Irdina menanti
kepulangan Balkis dengan sabar. Dia duduk dengan Razif di balkoni agar mereka
nampak dengan jelas jika Balkis pulang. Selain mahu melihat Balkis, Irdina juga
suka berada di situ pada waktu malam untuk melihat kereta kesayangannya.
Hatinya akan terhibur bila dapat melihat, walaupun dari jauh.
“Abang,
kalau abang nak tidur dulu pergilah. Irdina nak duduk di sini lagi.”
“Tak
mengapa. Abang pun nak tengok reaksi mereka. Harap-harap ada jodoh mereka
berdua.”
“Sudah
lewat ni. Jangan-jangan Balkis balik naik teksi. Rosak rancangan kita.”
“Rasanya
tak, sebab tadi abang dah pesan minta dia hantar Balkis tak kira apa pun
terjadi.”
Beberapa
ketika selepas itu, Balkis pulang dengan dihantar oleh Ustaz Azmi. Balkis turun
dan mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Azmi. Ketika itu Bakar berada di
hadapan rumahnya.
“Amboi,
Ustaz! Usung anak dara orang malam-malam buta. Tak haram ke?” perli Bakar.
“Saya
cuma hantar Balkis balik, salah ke?” tanya Ustaz Azmi.
“Salah
tu memang salah. Dia bukan siapa-siapa dengan ustaz. Nama saja ustaz, perangai
mengalahkan orang jahil.”
“Abang
Burn, jangan salahkan ustaz. Dia cuma tolong saya.” Bela Balkis.
“Tolong
apa? Tolong menambahkan maksiat. Dulu sepupu kau buat maksiat sampai kahwin
mengejut, ni kau pula. Eloklah tu, dengan kawan baik si Razif pula.
Jangan-jangan kau pun sama macam sepupu kau, jual diri.” Tuduh Bakar.
“Abang
Burn jangan tuduh Kak Irdina dan saya sebarangan. Abang Burn jangan suka buat
fitnah. Ingatlah fitnah itu lebih zalim dari membunuh. Bawa-bawa bertaubatlah Abang
Burn. Kubur dah memanggil, rumah dah menghalau.” Balkis mulai geram.
Bakar
yang marah menghampiri Balkis menyebabkan Ustaz Azmi keluar dari keretanya dan
menghalang Bakar.
“Abang
Burn jangan berani dengan perempuan saja.”
“Yang
kau nak bela dia kenapa?”
“Abang
Burn nak buat apa pada dia?”
“Nak
ajar sikit mulut dia yang celupar.”
“Abang
Burn yang celupar dan menuduh kami yang bukan-bukan. Firman Allah di dalam
Al-Quran Surah Al-Buruj ayat 10 yang bermaksud, Allah mengancam orang yang
menyebarkan fitnah terhadap orang-orang beriman dengan azab yang membakar di
dalam neraka Jahannam, kecuali kalau mereka bertaubat.” Ustaz Azmi berhujah,
tegas.
“Nak
tunjuk lagak konon. Ingat kau saja yang beriman, aku tidak?”
“Saya
tak kata Abang Burn tak beriman. Cuma saya nak ingatkan orang yang buat fitnah,
balasannya Neraka Jahannam.”
“Betul
tu! Abang Burn ni boleh dikategorikan sebagai jiran yang suka menyakitkan hati
jiran tetangga. Kalau tak silap Balkis ada satu hadis tentang hal ni. Ustaz
ingat tak hadis tu?” tanya Balkis.
“Menurut
hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu
Abid-Dunya bermaksud Rasulullah s.a.w bersabda; Tidak akan lurus iman seseorang
hamba, sehingga lurus pula hatinya dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus
pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya
belum aman daripada kejahatannya,” kata Ustaz Azmi, menambah perisa di hati
Bakar.
“Ahh! Kau dua-dua ni sama saja. Ingat ustaz! Jangan
sampai aku beritahu semua ahli kariah tentang kau dan Balkis. Nanti malu kau
dan mak kau.”
“Kami tak buat salah. Jangan nak fitnah kami pula.” Balkis,
marah.
“Hei, Balkis! Kau tu orang luar. Jangan nak buat onar
di taman ni. Keturunan kau memang suka buat maksiat!” kata Bakar.
“Ini dah melampau! Sampai angkat keturunan, apa
hal?” kata Balkis benar-benar meradang.
“Sabar Balkis. Tak ada gunanya kita berlawan cakap
dengan Abang Burn. Balkis masuk dulu,” pintas Ustaz Azmi bagi meredakan
kemarahan Balkis.
“Baiklah. Terima kasih, Abang Azmi sebab temankan
Balkis. Senang-senang telefonlah Balkis. Nanti bolehlah kita buat maksiat
lagi!” kata Balkis sambil melayangkan flying
kiss dan melambai kepada Ustaz Azmi dengan gaya menggedik.
Ustaz Azmi ketawa kecil kerana dia tahu Balkis
sengaja menyindir Bakar. Balkis melangkah masuk ke rumahnya. Ustaz Azmi masuk
ke dalam keretanya dan berlalu dari situ meninggalkan Bakar yang sedang
mengutuk mereka berdua.
“Abang, kenapalah Abang Burn suka buat fitnah?”
tanya Irdina.
Mereka
dapat mendengar dan menyaksikan peristiwa yang berlaku sebentar tadi. Ada rasa
bersalah di hati Irdina kerana rancangan mereka telah membuatkan Balkis
menerima fitnah sepertinya.
“Entahlah.
Tapi abang tahu, dia memang berdendam dengan abang. Apa saja yang berkaitan
abang, dia tak suka. Dia pernah nak pikat sayang dan larang abang ganggu
sayang. Sebab tu dia tumbuk abang masa mereka semua serbu ke bilik tamu dulu,”
kata Razif.
“Irdina
benar-benar takut masa mereka serbu dan tumbuk abang. Tak pernah Irdina temui
jiran yang berhati busuk seperti Abang Burn tu. Dulu waktu kami tinggal di
dalam kawasan taman yang bercampur kaum lain, tak pernah timbul masalah begini.
Bila duduk di taman yang majoritinya kaum kita, penuh dengan masalah.”
“Abang
pun tak tahulah kenapa jiran-jiran di sini tak boleh bersatu padu.
Masing-masing nak tunjuk kuasa. Yang ada hubungan dengan orang politik, tunjuk
lagak contohnya Abang Burn. Walaupun dah pernah buat salah tapi disokong kuat
oleh orang politik, dia terpaksa diterima lagi oleh penduduk di sini.”
“Mak
pernah cerita yang dulu di sini ada masalah kecurian dan pecah masuk ke rumah
orang di waktu siang oleh salah seorang jiran. Tapi dia dah ditangkap.”
“Betul
tu. Jiran di sini ada pelbagai ragam. Ada yang terang-terang berskandal bila
suami tiada di rumah. Ada juga yang tak campur orang langsung, ada yang
terlebih campur sampai hal-hal sulit rumah tangga orang dijadikan bahan
bercerita.”
“Irdina
kasihankan Balkis. Tak pasal-pasal dia dah kena fitnah. Takut nanti Abang Burn
buat cerita, orang taman serbu Balkis pula.”
“Mungkin
tidak! Selagi tiada lelaki bukan mahram di rumah mereka, tiada siapa boleh
tuduh mereka berkhalwat.”
“Harap
Balkis tak bencikan Irdina selepas ni.” Kata Irdina, lemah.
“Mungkin
tidak. Cuba tengok tadi. Balkis boleh buat flying
kiss dan lambai pada Azmi.”
“Itu
cuma nak sakitkan hati Abang Burn.”
“Mungkin
ya. Tapi itu satu permulaan dalam hubungan Balkis dan Azmi. Sayang jangan
risau. Nanti sayang tanyakan Balkis dan minta maaf sekali.”
“Baiklah.”
“Marilah
kita masuk, abang dah mengantuk.” Razif memegang tangan Irdina.
Mereka
masuk dan menutup pintu balkoni. Razif mengunci pintu tersebut.
“Abang,
Irdina nak telefon Balkis sekejap. Abang tidurlah dulu.” Irdina masih tidak
senang hati jika tidak bercakap dengan Balkis.
“Baiklah.”
Razif baring di atas katil.
Irdina
duduk di meja komputer di sudut bilik tersebut. Dia mendail nombor Balkis dan
sekejap sahaja Balkis menjawab panggilannya. “Balkis, aku minta maaf atas apa
yang berlaku malam ni. Aku mengaku, aku dan Abang Razif sengaja nak temukan kau
dengan Ustaz Azmi. Tapi aku tak sangka pula Abang Burn akan ada di depan rumah
dia.”
“Terima
kasih kerana kenalkan aku. Ustaz Azmi tu, boleh buat kawan juga. Tadi masa Abang
Burn buat fitnah, Ustaz Azmi bacakan petikan tafsir Al-Quran dan hadis. Kagum
juga aku. Rasa macam nak cair hati aku,” kata Balkis lalu ketawa.
“Kau
tak marahkan aku?”
“Nak
marah pun tak guna, benda dah jadi. Tapi, aku tahu niat Kak Irdina baik.”
“Kau
ke mana dengan Ustaz Azmi? Lama baru balik.”
“Aku
pergi dating, bercengkerama, memadu
asmara di taman bunga.” Jawab Balkis sambil ketawa.
“Hah!
Betul ke?” tanya Irdina, hairan.
“Tak
betullah. Sebetulnya dia temankan aku beli tuala wanita dan barang-barang
lain.”
“Hah!
Dia tak rasa segan ke?”
“Segan,
tak segan aku tak tahu. Tapi aku yang rasa tebal muka masa di kaunter. Dia
selamba saja tolong bayar dan tolong bawa sekali.”
Irdina
ketawa mendengar kata-kata Balkis. Hatinya senang sebab Balkis tidak menyimpan
rasa marah terhadapnya. Mereka berbual beberapa ketika sebelum menamatkan
perbualan. Irdina tersenyum sendiri lalu bangun mendapatkan Razif yang telah
tertidur di katil. Perlahan-lahan Irdina merebahkan badannya agar tidak
mengganggu tidur Razif.
4 ulasan:
tiada sambungan lagi ke cerita nier..tak sabar nak tunggu entry seterusnya..
Cerita ni dlm proses olahan semula dan akan dibukukan juga suatu hari nanti. Sementara tu layan dulu buku ke dua saya KIES 9.
A ah kak imanisa riana...buku kan trus,comfirm sy bli..hehe...romantik,sukenye!:-P
Insya Allah. Masih menunggu jawapan penerbit. Doakanlah agar berhasil.
Catat Ulasan