Pengikut

Selasa, 13 Ogos 2013

KIES 9 Bab 15


Ilham Grup Buku Karangkraf



Pagi itu aku bangun setelah terdengar suara orang membaca al-Quran. Agak kuat bacaannya kerana menggunakan pembesar suara. Iskandar, kulihat telah selesai mandi dan sedang berpakaian. Dia tersenyum padaku.
“Sha, pergi mandi dan nanti kita berjemaah bersama-sama yang lain di surau.”
“Abang tunggu Sha. Sha segan nak keluar seorang diri,” pintaku sambil turun daripada katil.
“Baiklah. Abang tunggu Sha.”
Aku segera bergerak ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwuduk. Apabila aku keluar, pakaianku telah diletakkan di atas katil oleh Iskandar. Seperti Iskandar, aku juga tidak berasa malu untuk berpakaian di hadapannya. Tiada had aurat untuk suami isteri, itu yang diberitahu oleh Iskandar kepadaku. Iskandar juga menerangkan kepadaku bahawa, seorang isteri adalah pakaian buat suami dan begitulah sebaliknya.
Kami bergerak bersama-sama menuju ke surau. Aku memasuki bahagian perempuan yang terletak di sebelah kiri. Surau ini terletak di tengah-tengah kawasan bagi memudahkan penghuni lelaki dan perempuan mengunjunginya. Asrama perempuan terletak agak ke belakang dari rumah tetamu manakala asrama lelaki terletak di bahagian hadapan berdekatan pintu utama.
Aku terpegun melihat kanak-kanak berusia antara enam hingga tujuh belas tahun sedang menanti masuknya waktu Subuh. Mereka tidak berbual tetapi masing-masing seolah khusyuk mengikut bacaan al-Quran yang diperdengarkan walaupun tanpa suara. Hanya mulut yang berkumat kamit menunjukkan mereka membaca. Aku duduk di hujung saf sambil mata melirik ke arah Mak Engku yang berada di barisan paling hadapan bersama-sama wanita dewasa.
Azan dilaungkan dan semua jemaah menjawab seruan azan tersebut. Aku cuba mendengar kalimah yang diucapkan mereka tetapi aku gagal mengikutinya. Mereka menadah tangan berdoa dan aku mengikut sahaja. Selesai berdoa, mereka bangun serentak untuk menunaikan solat sunat. Aku teragak-agak untuk mengikut dan akhirnya aku bergerak ke belakang menjauh dari saf.
Terasa diri begitu teruk kerana kanak-kanak sekecil usia enam tahun pun tahu melakukan solat sunat Subuh, sedangkan aku yang telah berusia dua puluh tujuh tahun tidak tahu melakukannya. Kalau mengikut umur, aku seharusnya telah mahir malah boleh dianggap guru kepada kanak-kanak itu. Tetapi realitinya, mereka yang boleh menjadi guruku.
Aku memasuki saf setelah mereka bersedia untuk mendirikan solat Subuh. Hatiku terasa lapang mendengar alunan suara imam yang lunak membaca surah-surah di dalam sembahyang. Walaupun agak panjang dan aku terpaksa berdiri lama, tetapi hatiku tetap gembira.
Seusai solat Subuh, aku berjabat salam dengan semua jemaah yang ada. Mereka bukan sekadar bersalam tetapi setiap daripada mereka mencium pipiku. Aku turut membalas ciuman mereka. Indah terasa ukhwah Islamiah. Saling mengasihi walaupun baru sehari bersua. Aku turut berkenal-kenalan secara ringkas dengan mereka.
Apabila selesai, aku keluar daripada surau. Ketika beberapa langkah aku berjalan, tiba-tiba aku mendengar bunyi tapak kaki berlari ke arahku. Aku menoleh ke belakang dan terlihat Batrisya sedang melambai kepadaku. Aku menunggu Batrisya.
“Kak Sha! Betulkah Kak Sha dah kahwin dengan Abang Nain?” soal Batrisya sambil memandang wajahku.
“Ya. Kenapa Batrisya tanya?”
“Kak Sha panggil Risya seperti orang lain, ya.”
Aku anggukkan kepala.
“Risya ingat itu abang Kak Sha. Kalau Kak Sha tak kahwin lagi, tentu boleh kenal dengan ayahanda Risya.”
“Ayahanda Risya?”
“Ya, ayahanda. Bonda Risya dah meninggal. Jadi kalau Kak Sha tak kahwin lagi, Risya ingat nak suruh ayahanda kahwin dengan Kak Sha. Kak Sha jadi bonda Risya. Risya suka sebab Kak Sha cantik.”
Aku ketawa kecil dengan kata-kata Batrisya.
“Maaf Risya, Aunty Sha tak boleh jadi bonda Risya.”
Wajah Batrisya muram. Aku tahu dia kecewa tetapi aku perlu berterus terang dengannya.
Aunty Sha boleh jadi aunty buat Risya. Itupun kalau Risya mahu.”
Senyuman Batrisya terukir. Dia memelukku dengan gembira sambil menyatakan persetujuannya. Aku turut tersenyum dan mengusap belakang badannya.
Aunty boleh ajarkan Risya hafazan tak?”
Aku telan liur mendengar soalannya.
“Maaf, sayang. Aunty tak pandai. Aunty pun baru nak belajar,” ujarku sambil memandang wajahnya.
Aunty nak belajar dengan nenda ke?”
Aunty tak kisah belajar dengan siapa. Asalkan boleh belajar, aunty rasa syukur sangat.”
“Risya nak bagi ayam makan. Aunty nak ikut tak?” soal Batrisya.
“Siapa bela ayam?” soalku, berminat untuk mengetahui keadaaan di situ.
“Kami semua. Di hujung kawasan ni ada kebun sayur dan kolam ikan. Reban ayam pun ada. Selalunya kami akan gilirkan kerja untuk bagi makan ikan dan ayam. Kalau aunty nak tengok, jomlah.”
“Risya tunggu sekejap sebab aunty nak simpan telekung ni dulu,” ujarku sambil menunjukkan telekung di tangan.
“Baiklah. Risya tunggu.”
Aku segera melangkah ke rumah tetamu dan menyimpan telekung. Iskandar telah membenarkan aku tidak memakai niqab sewaktu di dalam kawasan itu. Musuh tidak mungkin menjangka aku akan berada di rumah anak yatim dan tempat pengajian al-Quran.
Aku mengikuti langkah Batrisya hingga ke reban ayam. Sepanjang berjalan, Batrisya bercerita tentang kawan-kawannya yang berada di situ dan menunjukkan padang tempat mereka bermain. Aku kagum melihat kebun sayur yang menghijau dengan pelbagai jenis sayuran. Tampak begitu segar dan menyelerakan.
“Kalau aunty nak tahu, sebelah pagi orang perempuan yang jaga kebun dan bagi makan ayam serta ikan. Sebelah petang pula orang lelaki yang buat,” terang Batrisya tanpa dipinta.
Aku dapat melihat kebenaran kata-kata Batrisya kerana selepas itu, lebih ramai kanak-kanak dan remaja perempuan yang menyertai kami. Masing-masing tahu tugas yang perlu dibuat tanpa disuruh. Batrisya mencapai makanan ayam dan meletakkannya di dalam bekas. Aku turut membantu Batrisya. Aku meletakkan makanan ayam di atas tapak tangan dan kemudian menghulurkannya di hadapan seekor ayam. Ayam itu memagut makanan itu. Terasa geli tapak tanganku bila paruh ayam mengenai telapak tanganku. Aku dan Batrisya ketawa gembira.
Aunty nak petik sayur tak?” soal Batrisya setelah selesai tugasnya.
“Boleh juga,” jawabku teruja.
Aku menghampiri sekumpulan remaja perempuan yang begitu tekun melakukan kerja-kerja mencabut rumput dan membersihkan batas sayur. Salah seorang remaja itu bangun dan menunjukkan cara memetik kacang panjang dan memberitahuku yang mana sesuai dipetik. Aku memilih kacang panjang yang sesuai dan memasukkannya ke dalam bekas.
“Kak Sha, dah banyak tu. Cukuplah untuk masak hari ni. Kalau ambil lebih nanti membazir pula,” tegur Wirdah yang merupakan ketua bagi pelajar perempuan di situ.
 Wirdah telah berusia tujuh belas tahun dan dia tinggal di situ sejak berusia sepuluh tahun. Ibu bapanya meninggal dunia akibat kemalangan. Bapa saudaranya yang menempatkannya di situ kerana ketidak mampuan mereka untuk menjaganya. Kemiskinan merupakan faktor utama.
Aku tersenyum sambil menganggukkan kepala. Selesai melakukan kerja-kerja di situ kami semua bergerak pulang. Aku pulang ke rumah manakala mereka yang lain menuju ke asrama atau dewan makan. Disebabkan sekarang adalah musim cuti sekolah, maka kelas pengajian al-Quran mereka akan bermula jam lapan iaitu setelah mereka bersarapan. Jika di hari persekolahan biasa, mereka akan ke sekolah agama berdekatan dan pengajian al-Quran akan diadakan sebelah malam.
Aku memberi salam ketika memasuki rumah, suatu perkara yang kupelajari daripada Iskandar. Iskandar yang sedang sibuk menghidangkan sarapan menoleh ke arahku sambil menjawab salamku. Senyuman terukir di bibirku. Aku menghampirinya dan memberikan ciuman selamat pagi di pipinya.
“Sayang dari mana?” tanya Iskandar tersenyum senang.
“Sha ikut Batrisya tengok kebun sayur dan reban ayam,” jawabku sambil menarik kerusi dan duduk di sebelah Iskandar.
“Tadi abang keluar beli nasi lemak dan kuih ni. Sha pernah makan tak kuih ni?” tanya Iskandar sambil menunjukkan kuih yang berbalut daun pisang.
“Kuih apa ni? Sha tak pernah tengok pun,” jawabku sambil membuka daun pisang yang membaluti kuih itu.
“Pulut dakap.”
“Hah? Kenapa pelik namanya?” Aku ketawa kecil.
“Sayang nak tahu sebab apa dipanggil pulut dakap?”
Aku angguk kepala.
“Sebab pulut tu mendakap erat pisang di tengahnya. Macam sayang jugalah.”
“Apa pula Sha? Selalunya abang yang peluk Sha.”
Aku mengulum senyum melihat Iskandar tersenyum lebar. Aku gigit sedikit pulut dakap dan kemudian menghulurkannya ke mulut Iskandar. Iskandar menggigit separuh dan selebihnya aku habiskan. Iskandar turut menyuapkan aku nasi lemaknya dan begitu juga aku. Aku senang dengan perlakuan itu. Terasa cinta makin mekar di hati.
“Sha nak belajar mengaji. Abang boleh ajarkan Sha tak?” soalku setelah kami selesai bersarapan.
“Boleh, sayang. Abang akan ajar sayang dan nanti sayang juga boleh ikuti kelas agama dengan yang lain.”
“Bila boleh mula?” soalku bersemangat.
“Sekarang pun boleh. Sayang pergi ambil wuduk dulu.”
Aku mematuhi arahan Iskandar dengan senang hati. Semangat untuk belajar terasa membuak-buak. Rasanya inilah kali pertama aku bersungguh-sungguh untuk belajar membaca al-Quran. Harapan aku agar dapat menguasainya dalam masa terdekat.
 

Tiada ulasan: