Pengikut

Sabtu, 3 Ogos 2013

KIES 9 bab 14



Kami tiba di rumah anak-anak yatim Darul Durrani ketika malam melabuhkan tirainya. Aku agak terkejut melihat suasana di dalam kawasan itu. Sangkaku tempat itu mestilah mundur dan diperbuat daripada papan. Tetapi tempat ini berlainan sama sekali daripada apa yang dibayangkan oleh otakku.
Bangunan asrama anak-anak yatim adalah seperti asrama pelajar di sekolah biasa. Diperbuat daripada batu dan konkrit. Tiada bangunan papan. Malah suraunya agak luas. Rumah untuk golongan dewasa yang ingin mendalami ilmu agama berada di kawasan belakang berhampiran rumah Mak Engku. Menurut Iskandar, rumah itu didiami oleh kenalan dan saudara Mak Engku. Mereka membeli atau menyewa rumah itu sepanjang mengikuti pengajian di situ.
Mak Engku menyambut kedatangan kami dengan wajah yang ceria. Aku berkenalan dan bersalaman dengan Mak Engku. Mak Engku menyerahkan kunci rumah tetamu yang akan menjadi kediaman kami.
“Sha, Mak Engku harap Sha selesa tinggal di sini. Mungkin Sha dan Nain dah letih. Pergilah rehat dahulu. Esok bolehlah kita berkenalan dengan penghuni yang lain.”
“Terima kasih Mak Engku. Sha bersyukur dapat tinggal di sini.”
Aku tersenyum melihat kemesraan Mak Engku. Walaupun telah berusia enam puluh tahun tetapi Mak Engku nampak cergas dan sihat.
“Nenda!” panggil seorang kanak-kanak perempuan yang baru keluar daripada rumah Mak Engku.
Mak Engku memandang ke arah kanak-kanak itu dan mengamitnya. Kanak-kanak itu berlari ke arah kami. Matanya asyik memandang ke arahku. Aku mengukir senyuman buatnya.
“Ini Batrisya, cucu Mak Engku.” Mak Engku memperkenalkan kanak-kanak itu.
Batrisya menghulurkan tangan untuk bersalam denganku. Aku menyambut hulurannya dan kemudian memeluk kanak-kanak itu. Ciuman kuberikan di pipinya. Wajahnya yang polos dan jernih aku tatap. Raut wajahnya mengingatkan aku akan seseorang. Aku terpempan. Pantas aku bangun dan menjauh darinya. Mukaku paling ke arah lain. Hatiku berdegup kencang. Iskandar memandangku dengan wajah yang kehairanan. Mak Engku juga turut memandang tingkah lakuku yang serba tidak kena.
“Abang, Sha rasa penat sangat. Sha nak rehat. Jomlah kita ke rumah tetamu tu.”
Aku menarik tangan Iskandar agar segera beredar dari situ. Iskandar meminta diri dan kemudian mengikut langkahku menghala ke rumah tetamu yang terletak paling hujung  deretan rumah di situ.
“Sha, ada apa-apa yang tak kenakah? Kenapa Sha nampak resah dan gelisah?” soal Iskandar setelah kami masuk ke dalam rumah.
Aku memandang sekeliling rumah yang agak sempit dan hanya mempunyai sebuah bilik. Ruang hadapannya hanya terdapat dua buah kerusi dan sebuah meja kopi. Terdapat meja plastik bersama empat kerusi plastik di ruang makan. Bilik air pula terletak di ruang dapur. Tiada televisyen atau radio. Di dapur, hanya terdapat kabinet dapur dan perkakas asas untuk memasak.
“Sha, abang tanya ni. Kenapa Sha nampak gelisah lepas salam dengan Batrisya?” soal Iskandar sambil menarik tubuhku agar menghadapnya.
“Abang, Sha okey. Sha cuma letih dan nak rehat. Mungkin badan Sha panas dan melekit, sebab tu tak selesa dan rimas.”
Aku memberi alasan dan menolak pegangan tangan Iskandar. Iskandar merenungku dengan kerutan di dahi.
“Betul Sha tak apa-apa? Kalau Sha rasa nak lepaskan beban perasaan, ceritakan aje. Abang sudi mendengar.”
“Sha tak apa-apa. Sha nak mandi dan rehat. Boleh abang ambilkan beg pakaian Sha?” Aku memaniskan mukaku kepada Iskandar.
“Baiklah. Sha pergilah masuk bilik dulu. Abang nak ambil beg pakaian kita di van.”
Iskandar keluar menuju ke arah van dan aku memasuki bilik untuk menukar pakaian. Aku menanggalkan jubah dan duduk di birai katil menunggu Iskandar membawa masuk beg pakaian. Iskandar masuk dengan menjinjing dua beg pakaian. Aku lantas mengambil beg pakaianku daripada tangan Iskandar.
Setelah mengambil barangan penjagaan diri dan tuala, aku bergerak ke arah bilik air. Bilik air itu tidak dilengkapi dengan pemanas air. Aku terpaksa mandi air yang agak sejuk seperti di rumah Mak Cik Melur. Tubuhku pun seolah-olah sudah dapat menerima keadaan begini. Segalanya berubah dan aku perlu belajar menyesuaikan diri mengikut keadaan.
Aku keluar daripada bilik air dan menuju ke bilik. Iskandar, kulihat sedang berbaring di atas katil dengan mata yang tertutup rapat. Mungkin kepenatan memandu seharian. Aku mengambil pakaianku yang masih berada di dalam beg lalu mengenakannya ke tubuhku. Selesai berpakaian, aku mengejutkan Iskandar.
“Abang, bangun. Mandi dulu.”
“Hmm... esoklah abang mandi,” ujar Iskandar dengan mata yang masih tertutup.
“Kalau abang tak nak mandi, jangan tidur dengan Sha.”
Mata Iskandar terbuka luas. Bibirnya mengukir senyuman.
“Oo... kalau Sha tak mandi, Sha tak kisah pun tidur sebelah abang. Tapi bila abang tak nak mandi, Sha tak bagi tidur dengan Sha. Mana adil macam ni?”
“Sha tak mandi pun sentiasa wangi. Abang tu kalau tak mandi, bau satu bilik,” ujarku sambil ketawa kecil.
“Abang busuk, ya? Sha wangi?” tanya Iskandar sambil bangun dan mendekatiku.
Aku mengundur selangkah. Iskandar makin maju dan aku makin mundur sehingga aku tersandar di dinding. Iskandar mengepungku dengan kedua-dua tangannya. Badannya yang tidak berbaju, kelihatan melekit dengan peluh.
“Err... abang nak buat apa? Sha dah mandi.”
Aku menyoalnya sampil mata memerhati tangannya menyapu peluh di badannya. Bulat mataku bila tangannya itu mendarat di bajuku. Dia mengulanginya lagi. Mengesat peluhnya dengan tangan dan tangan itu disapu ke pipiku.
“Apa ni abang?” Aku cuba menolak tubuhnya tetapi tidak berjaya.
“Selalunya abang tak kisah kalau Sha berpeluh dan terkena tubuh abang. Kenapa Sha nak kisah pula?” soal Iskandar sambil menaikkan sedikit keningnya.
Aku terdiam. Memang betul. Bila aku tidak mandi dan berpeluh, dia tidak kisah pun malah boleh memelukku tanpa merungut aku berbau busuk atau tidak.
“Sha tak kisah sebenarnya. Tapi rasanya lebih baik abang mandi supaya abang lebih segar.”
Aku cuba berhelah padahal aku mulai rasa geli dengan peluhnya dan aku tahu bajuku telah terlekat bau badannya.
“Sha tahu tak, singa jantan menanda kawasan kepunyaannya dengan air kencing?”
“Ya.” Aku memandang wajah Iskandar dengan hairan.
“Abang nak tanda hak milik abang juga,” ujar Iskandar sambil tersenyum lebar.
“Takkan abang nak kencing atas Sha?”
Iskandar ketawa mendengar soalanku. Aku mulai cuak. Tubuhku masih tidak dapat bergerak kerana Iskandar masih menghalang.
“Sha jangan bergerak. Abang nak tanda hak abang.”
Aku agak terkejut dengan tindakan Iskandar tetapi kubiarkan sahaja. Iskandar tersenyum lebar setelah selesai ‘menanda.’ Tubuhku ditarik menghadap cermin. Aku terkejut melihat tanda kemerahan berbentuk nombor 9 di leherku.
“Kies... Nain. Kiesha Zulkarnain,” bisik Iskandar di telingaku.
Iskandar memelukku dari belakang. Aku tersenyum sambil tanganku menyapa lembut ke pipi Iskandar. Terasa bahagia saat itu. Bunga-bunga cinta berkembang di taman hati. Aku mengalihkan badan menghadapnya.
“Oh! Baru Sha faham, Kiesha Zulkarnain. Kies Nain, gabungan nama kita. Sha suka. Romantik juga abang ni rupanya.”
Aku memeluk tubuh Iskandar seeratnya. Peluhnya yang melekit tidak aku hiraukan. Malah bau peluhnya itu kurasakan seharum minyak wangi polo black. Betullah, bila hati dah suka bau kentut pun tak mengapa!
“Abang nak mandi sekejap. Sha rehatlah dulu,” kata Iskandar setelah pelukanku terlerai.
Aku memberikan tuala kepada Iskandar dan dia mencapai tuala itu. Sebelum berlalu dia sempat mencium pipiku. Bibirku berterusan mengukir senyum. Mataku memandang hingga kelibatnya hilang di sebalik pintu. Aku meraba kawasan ‘tandaan’ Iskandar. Walaupun ada sedikit rasa perit, tetapi aku gembira.
Cinta Iskandar lebih hebat dari Raja Azrin. Berada bersama-sama Iskandar membuat aku mulai melupakan perasaan benci terhadap lelaki Melayu. Malah rinduku terhadap Raja Azrin juga kian pudar. Aku yakin, jika aku bertemu Raja Azrin ketika ini hatiku tidak mungkin beralih kepadanya lagi. Iskandar sudah mencuri hatiku sepenuhnya.
Tidak semena-mena mataku terpandang telefon Iskandar yang terletak elok bersebelahan kunci van di meja solek. Hatiku mulai berperang. Separuh mindaku menyuruhku bertindak menelefon Shila tetapi separuh lagi melarang. Aku teragak-agak untuk menyiasat siapa Iskandar yang sebenarnya. Aku takut jika kebenaran yang kuterima akan melukakan hatiku. Bahagia yang kucari sudah bersamaku. Haruskah aku mencurigainya lagi? Perlukah aku melupakan niatku dan terus menjadi isteri Iskandar?
“Kiesha, apa harus kau buat?” aku menyoal diri sendiri.
Jika aku menelefon Shila, kemungkinan musuhku dapat mengesan kedudukanku sekarang. Aku tidak mahu ada lagi yang datang untuk membunuhku. Aku mahu hidup. Aku mahu bertaubat dan berada di samping Iskandar lebih lama. Aku ingin nikmati percintaan ini. Aku ingin suburkan rasa cinta ini agar menjadi pohon yang rendang. Pastinya rendang yang berbuah.
Lama aku berteleku di birai katil hingga akhirnya Iskandar keluar dari bilik air. Aku tersenyum melihat Iskandar yang masuk ke bilik dengan hanya memakai tuala.
“Hmm... segar bau abang.”
Pujiku sambil membuat aksi seperti menarik nafas. Senyum kuberi sehabis manis. Iskandar membalas senyumanku sambil mencapai bajunya. Dia berpakaian di hadapanku tanpa rasa malu.
 “Sha tak mengantuk lagikah?” soal Iskandar sambil duduk di sebelahku.
 “Tak. Sha tunggu abang.”
“Abang tak mengantuk lagi. Jadi apa yang kita nak buat?” tanya Iskandar sambil tersenyum herot. Tangannya mencapai tanganku dan dia memberikan ciuman demi ciuman di hujung jariku.
“Err... abang ajarkan Sha cara nak tunaikan solat taubat,” ujarku dengan senyuman.
Iskandar menghentikan perlakuannya. Dia merenung mataku untuk memastikan kesungguhanku. Aku buat mimik muka mengharap.
“Sha ambilkan buku tentang solat sunat,” arah Iskandar.
Aku bangun dan mengambil buku yang dimaksudkan lalu duduk semula di sebelah Iskandar. Iskandar menerangkan kepadaku cara-cara menunaikan solat sunat taubat. Aku diajar membaca surah al-Fatihah berulangkali. Akhirnya aku dapat mengingati bacaan tersebut. Dalam hatiku amat gembira kerana aku berjaya menghafal surah yang telah lama aku lupakan. Selepas ini aku berazam untuk menghafal lebih banyak surah lagi.


Mobile - Ilham Grup Buku Karangkraf

2 ulasan:

Unknown berkata...

sekarang irdina ngan abang razif dah stop ye kak?

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Stop kejap. Bg laluan novel ke dua ni. Insya Allah akan di sambung semula selepas ni tapi akan diolah untuk dibukukan. Versi buku adalah genre komedi romantik.