Kami
tiba di rumah anak-anak yatim Darul Durrani ketika malam melabuhkan tirainya.
Aku agak terkejut melihat suasana di dalam kawasan itu. Sangkaku tempat itu
mestilah mundur dan diperbuat daripada papan. Tetapi tempat ini berlainan sama
sekali daripada apa yang dibayangkan oleh otakku.
Bangunan asrama anak-anak yatim adalah seperti
asrama pelajar di sekolah biasa. Diperbuat daripada batu dan konkrit. Tiada
bangunan papan. Malah suraunya agak luas. Rumah untuk golongan dewasa yang
ingin mendalami ilmu agama berada di kawasan belakang berhampiran rumah Mak
Engku. Menurut Iskandar, rumah itu didiami oleh kenalan dan saudara Mak Engku.
Mereka membeli atau menyewa rumah itu sepanjang mengikuti pengajian di situ.
Mak Engku menyambut kedatangan kami dengan wajah
yang ceria. Aku berkenalan dan bersalaman dengan Mak Engku. Mak Engku
menyerahkan kunci rumah tetamu yang akan menjadi kediaman kami.
“Sha, Mak Engku harap Sha selesa tinggal di sini. Mungkin
Sha dan Nain dah letih. Pergilah rehat dahulu. Esok bolehlah kita berkenalan
dengan penghuni yang lain.”
“Terima kasih Mak Engku. Sha bersyukur dapat tinggal
di sini.”
Aku tersenyum melihat kemesraan Mak Engku. Walaupun
telah berusia enam puluh tahun tetapi Mak Engku nampak cergas dan sihat.
“Nenda!” panggil seorang kanak-kanak perempuan yang
baru keluar daripada rumah Mak Engku.
Mak Engku memandang ke arah kanak-kanak itu dan
mengamitnya. Kanak-kanak itu berlari ke arah kami. Matanya asyik memandang ke
arahku. Aku mengukir senyuman buatnya.
“Ini Batrisya, cucu Mak Engku.” Mak Engku
memperkenalkan kanak-kanak itu.
Batrisya menghulurkan tangan untuk bersalam
denganku. Aku menyambut hulurannya dan kemudian memeluk kanak-kanak itu. Ciuman
kuberikan di pipinya. Wajahnya yang polos dan jernih aku tatap. Raut wajahnya
mengingatkan aku akan seseorang. Aku terpempan. Pantas aku bangun dan menjauh
darinya. Mukaku paling ke arah lain. Hatiku berdegup kencang. Iskandar
memandangku dengan wajah yang kehairanan. Mak Engku juga turut memandang
tingkah lakuku yang serba tidak kena.
“Abang, Sha rasa penat sangat. Sha nak rehat. Jomlah
kita ke rumah tetamu tu.”
Aku menarik tangan Iskandar agar segera beredar dari
situ. Iskandar meminta diri dan kemudian mengikut langkahku menghala ke rumah
tetamu yang terletak paling hujung deretan
rumah di situ.
“Sha, ada apa-apa yang tak kenakah? Kenapa Sha
nampak resah dan gelisah?” soal Iskandar setelah kami masuk ke dalam rumah.
Aku memandang sekeliling rumah yang agak sempit dan hanya
mempunyai sebuah bilik. Ruang hadapannya hanya terdapat dua buah kerusi dan
sebuah meja kopi. Terdapat meja plastik bersama empat kerusi plastik di ruang
makan. Bilik air pula terletak di ruang dapur. Tiada televisyen atau radio. Di
dapur, hanya terdapat kabinet dapur dan perkakas asas untuk memasak.
“Sha, abang tanya ni. Kenapa Sha nampak gelisah
lepas salam dengan Batrisya?” soal Iskandar sambil menarik tubuhku agar
menghadapnya.
“Abang, Sha okey. Sha cuma letih dan nak rehat.
Mungkin badan Sha panas dan melekit, sebab tu tak selesa dan rimas.”
Aku memberi alasan dan menolak pegangan tangan Iskandar.
Iskandar merenungku dengan kerutan di dahi.
“Betul Sha tak apa-apa? Kalau Sha rasa nak lepaskan beban
perasaan, ceritakan aje. Abang sudi mendengar.”
“Sha tak apa-apa. Sha nak mandi dan rehat. Boleh
abang ambilkan beg pakaian Sha?” Aku memaniskan mukaku kepada Iskandar.
“Baiklah. Sha pergilah masuk bilik dulu. Abang nak
ambil beg pakaian kita di van.”
Iskandar keluar menuju ke arah van dan aku memasuki
bilik untuk menukar pakaian. Aku menanggalkan jubah dan duduk di birai katil
menunggu Iskandar membawa masuk beg pakaian. Iskandar masuk dengan menjinjing
dua beg pakaian. Aku lantas mengambil beg pakaianku daripada tangan Iskandar.
Setelah mengambil barangan penjagaan diri dan tuala,
aku bergerak ke arah bilik air. Bilik air itu tidak dilengkapi dengan pemanas
air. Aku terpaksa mandi air yang agak sejuk seperti di rumah Mak Cik Melur.
Tubuhku pun seolah-olah sudah dapat menerima keadaan begini. Segalanya berubah
dan aku perlu belajar menyesuaikan diri mengikut keadaan.
Aku keluar daripada bilik air dan menuju ke bilik.
Iskandar, kulihat sedang berbaring di atas katil dengan mata yang tertutup
rapat. Mungkin kepenatan memandu seharian. Aku mengambil pakaianku yang masih
berada di dalam beg lalu mengenakannya ke tubuhku. Selesai berpakaian, aku mengejutkan
Iskandar.
“Abang, bangun. Mandi dulu.”
“Hmm... esoklah abang mandi,” ujar Iskandar dengan
mata yang masih tertutup.
“Kalau abang tak nak mandi, jangan tidur dengan
Sha.”
Mata Iskandar terbuka luas. Bibirnya mengukir
senyuman.
“Oo... kalau Sha tak mandi, Sha tak kisah pun tidur
sebelah abang. Tapi bila abang tak nak mandi, Sha tak bagi tidur dengan Sha.
Mana adil macam ni?”
“Sha tak mandi pun sentiasa wangi. Abang tu kalau
tak mandi, bau satu bilik,” ujarku sambil ketawa kecil.
“Abang busuk, ya? Sha wangi?” tanya Iskandar sambil
bangun dan mendekatiku.
Aku mengundur selangkah. Iskandar makin maju dan aku
makin mundur sehingga aku tersandar di dinding. Iskandar mengepungku dengan
kedua-dua tangannya. Badannya yang tidak berbaju, kelihatan melekit dengan
peluh.
“Err... abang nak buat apa? Sha dah mandi.”
Aku menyoalnya sampil mata memerhati tangannya
menyapu peluh di badannya. Bulat mataku bila tangannya itu mendarat di bajuku.
Dia mengulanginya lagi. Mengesat peluhnya dengan tangan dan tangan itu disapu
ke pipiku.
“Apa ni abang?” Aku cuba menolak tubuhnya tetapi
tidak berjaya.
“Selalunya abang tak kisah kalau Sha berpeluh dan
terkena tubuh abang. Kenapa Sha nak kisah pula?” soal Iskandar sambil menaikkan
sedikit keningnya.
Aku terdiam. Memang betul. Bila aku tidak mandi dan
berpeluh, dia tidak kisah pun malah boleh memelukku tanpa merungut aku berbau
busuk atau tidak.
“Sha tak kisah sebenarnya. Tapi rasanya lebih baik
abang mandi supaya abang lebih segar.”
Aku cuba berhelah padahal aku mulai rasa geli dengan
peluhnya dan aku tahu bajuku telah terlekat bau badannya.
“Sha tahu tak, singa jantan menanda kawasan
kepunyaannya dengan air kencing?”
“Ya.” Aku memandang wajah Iskandar dengan hairan.
“Abang nak tanda hak milik abang juga,” ujar
Iskandar sambil tersenyum lebar.
“Takkan abang nak kencing atas Sha?”
Iskandar ketawa mendengar soalanku. Aku mulai cuak.
Tubuhku masih tidak dapat bergerak kerana Iskandar masih menghalang.
“Sha jangan bergerak. Abang nak tanda hak abang.”
Aku agak terkejut dengan tindakan Iskandar tetapi
kubiarkan sahaja. Iskandar tersenyum lebar setelah selesai ‘menanda.’ Tubuhku
ditarik menghadap cermin. Aku terkejut melihat tanda kemerahan berbentuk nombor
9 di leherku.
“Kies... Nain.
Kiesha Zulkarnain,” bisik Iskandar di telingaku.
Iskandar memelukku dari belakang. Aku tersenyum
sambil tanganku menyapa lembut ke pipi Iskandar. Terasa bahagia saat itu.
Bunga-bunga cinta berkembang di taman hati. Aku mengalihkan badan menghadapnya.
“Oh! Baru Sha faham, Kiesha Zulkarnain. Kies Nain, gabungan
nama kita. Sha suka. Romantik juga abang ni rupanya.”
Aku memeluk tubuh Iskandar seeratnya. Peluhnya yang
melekit tidak aku hiraukan. Malah bau peluhnya itu kurasakan seharum minyak
wangi polo black. Betullah, bila hati dah suka bau kentut pun tak mengapa!
“Abang nak mandi sekejap. Sha rehatlah dulu,” kata
Iskandar setelah pelukanku terlerai.
Aku memberikan tuala kepada Iskandar dan dia
mencapai tuala itu. Sebelum berlalu dia sempat mencium pipiku. Bibirku berterusan
mengukir senyum. Mataku memandang hingga kelibatnya hilang di sebalik pintu.
Aku meraba kawasan ‘tandaan’ Iskandar. Walaupun ada sedikit rasa perit, tetapi
aku gembira.
Cinta Iskandar lebih hebat dari Raja Azrin. Berada bersama-sama
Iskandar membuat aku mulai melupakan perasaan benci terhadap lelaki Melayu. Malah
rinduku terhadap Raja Azrin juga kian pudar. Aku yakin, jika aku bertemu Raja
Azrin ketika ini hatiku tidak mungkin beralih kepadanya lagi. Iskandar sudah
mencuri hatiku sepenuhnya.
Tidak semena-mena mataku terpandang telefon Iskandar
yang terletak elok bersebelahan kunci van di meja solek. Hatiku mulai
berperang. Separuh mindaku menyuruhku bertindak menelefon Shila tetapi separuh
lagi melarang. Aku teragak-agak untuk menyiasat siapa Iskandar yang sebenarnya.
Aku takut jika kebenaran yang kuterima akan melukakan hatiku. Bahagia yang kucari
sudah bersamaku. Haruskah aku mencurigainya lagi? Perlukah aku melupakan niatku
dan terus menjadi isteri Iskandar?
“Kiesha, apa harus kau buat?” aku menyoal diri
sendiri.
Jika aku menelefon Shila, kemungkinan musuhku dapat
mengesan kedudukanku sekarang. Aku tidak mahu ada lagi yang datang untuk
membunuhku. Aku mahu hidup. Aku mahu bertaubat dan berada di samping Iskandar
lebih lama. Aku ingin nikmati percintaan ini. Aku ingin suburkan rasa cinta ini
agar menjadi pohon yang rendang. Pastinya rendang yang berbuah.
Lama aku berteleku di birai katil hingga akhirnya
Iskandar keluar dari bilik air. Aku tersenyum melihat Iskandar yang masuk ke
bilik dengan hanya memakai tuala.
“Hmm... segar bau abang.”
Pujiku sambil membuat aksi seperti menarik nafas.
Senyum kuberi sehabis manis. Iskandar membalas senyumanku sambil mencapai
bajunya. Dia berpakaian di hadapanku tanpa rasa malu.
“Sha tak
mengantuk lagikah?” soal Iskandar sambil duduk di sebelahku.
“Tak. Sha
tunggu abang.”
“Abang tak mengantuk lagi. Jadi apa yang kita nak
buat?” tanya Iskandar sambil tersenyum herot. Tangannya mencapai tanganku dan dia
memberikan ciuman demi ciuman di hujung jariku.
“Err... abang ajarkan Sha cara nak tunaikan solat
taubat,” ujarku dengan senyuman.
Iskandar menghentikan perlakuannya. Dia merenung
mataku untuk memastikan kesungguhanku. Aku buat mimik muka mengharap.
“Sha ambilkan buku tentang solat sunat,” arah
Iskandar.
Aku bangun dan mengambil buku yang dimaksudkan lalu
duduk semula di sebelah Iskandar. Iskandar menerangkan kepadaku cara-cara
menunaikan solat sunat taubat. Aku diajar membaca surah al-Fatihah
berulangkali. Akhirnya aku dapat mengingati bacaan tersebut. Dalam hatiku amat
gembira kerana aku berjaya menghafal surah yang telah lama aku lupakan. Selepas
ini aku berazam untuk menghafal lebih banyak surah lagi.
Mobile - Ilham Grup Buku Karangkraf
2 ulasan:
sekarang irdina ngan abang razif dah stop ye kak?
Stop kejap. Bg laluan novel ke dua ni. Insya Allah akan di sambung semula selepas ni tapi akan diolah untuk dibukukan. Versi buku adalah genre komedi romantik.
Catat Ulasan