Pengikut

Isnin, 2 Disember 2013

Kies 9 cinta selamanya - Bab 22 & 23



Bab 22
Selesai makan dan mengemas, aku mengajak Wirdah dan Syahmina ke rumahku. Kami berjalan bersama-sama sambil berbual.
“Kiesha.”
Terkejut aku apabila Raja Azrin tiba-tiba muncul di hadapanku. Aku menggenggam erat tangan Wirdah. Inginku mengajak Wirdah dan Syahmina lari tetapi Raja Azrin lebih pantas menghalang.
“You nak apa lagi Rain? Tak cukup lagikah you ganggu I?” soalku radang.
“Kiesha, tolong dengar dulu apa yang I nak kata,” ujar Raja Azrin dengan nada yang lembut.
“Apa yang you nak kata? Nak buat fitnah lagi? Nak kata I mama Risya?” soalku bertalu-talu.
“Jangan marah, Keisha. I tahu, dulu I dah buat silap. I abai dan kecewakan you. Sekarang I dah sedar dan I nak betulkan keadaan. Kalau you tak boleh terima I, I tak marah. Tapi berilah peluang untuk Risya rasai kasih sayang seorang ibu. Kasihan dia, Kiesha. Tak ada ibu untuk bermanja,” ujar Raja Azrin seolah merayu.
“I boleh berikan kasih sayang pada dia tapi bukan sebagai ibu. I dah suruh dia panggil aunty dan dia pun nampak selesa panggil I begitu. Janganlah you cuba rosakkan segalanya hanya untuk kepentingan you. I tak layak jadi mama dia. Malah I tak layak jadi isteri you. You sendiri yang kata I perempuan murah dan tak sesuai untuk you. Takkan you nak jilat ludah you semula? You tak rasa jijikkah?”
Aku memulangkan paku buah keras kepada Raja Azrin Shah. Terasa puas hatiku dapat melihat wajahnya yang kelat. Hilang segala senyumannya. Kalau boleh aku ingin melunaskan segala dendam dan sakit hatiku kepadanya tetapi aku tidak sekejam itu. Hatiku yang ingin kuputihkan tidak mahu aku calitkan kembali dengan tanda hitam. Tidak mahu aku kotorkan sesuatu yang sudah aku bersihkan dengan bersusah payah. Tetapi aku adalah manusia yang punya nafsu amarah. Tidak banyak, sedikit pun pasti terselit.
“Kiesha, maafkan I. I tak bermaksud untuk mempermainkan you. Tapi keadaan I terdesak masa tu. I tak boleh mengelak perkahwinan yang diatur oleh bapa I. Kalau I menolak, tentu I merempat dan tak punya apa-apa. Malah hubungan I dengan keluarga pun pasti putus.”
Raja Azrin cuba menegakkan benang basah. Menyalahkan orang lain dan bukan diri sendiri. Suatu sifat yang paling kubenci. Tahu buat tetapi tidak tahu bertanggungjawab. Pandai memberi alasan untuk mengelak.
“Rain, I nasihatkan you carilah perempuan yang lebih baik untuk jadi isteri you. I dah ada suami. Hanya Iskandar Zulkarnain di hati I. Untuk pengetahuan you, kami saling mencintai dan hidup penuh bahagia. Jadi, you jangan cuba nak kacau kebahagiaan kami.”
“Suami? Lelaki pembohong besar tu, you kata suami? Kalau betul dia suami you, mana dia sekarang? Tentu you tak dapat hubungi dia. Pasti dia dah lari setelah tembelang dia pecah,” ujar Raja Azrin dengan cebikan di bibir.
Aku agak terkejut kerana dia boleh tahu yang aku tidak dapat menghubungi Iskandar padahal tiada siapa yang tahu selain Wirdah dan Syahmina. Mak Engku pun baru tahu sebentar tadi. Mustahil Mak Engku memberitahunya kerana sepanjang makan, Mak Engku berada di sebelahku. Malah Mak Engku masih di dewan makan. Wirdah dan Syahmina pasti tidak memberitahunya kerana mereka sentiasa bersamaku sepanjang hari ini.
“Kenapa terkejut? Pasti betul apa yang I kata. Dia dah larikan? Tentu dia tahu yang I nak ke sini. Awal-awal lagi dia buat alasan nak balik KL. Dia tak mahu jumpa I, takut rahsia dia terbongkar.”
Kata-kata Raja Azrin ibarat racun yang mulai meresap ke hatiku. Pendirianku mulai goyah dalam mempercayai Iskandar.
“Macam mana you boleh tahu yang I tak dapat hubungi dia?” soalku dengan rasa hairan.
“I boleh baca tindakan Nain. Pasti dia lari menyorok di mana-mana dan nanti bila tahu I dah balik KL, pasti dia balik ke sini. I yakin dia akan kata I bohongkan you dan I ada niat jahat pada you. Percayalah Kiesha, I kenal siapa Nain tu. I harap you tak terus terpedaya dengan dia. Dia memang nampak macam warak dan tahu hal ehwal agama. Dulu dia pernah belajar di sekolah agama, jadi dia tahulah serba sikit. Dia pernah masuk tentera tapi kena buang sebab masalah disiplin. Lepas tu dia ikut Kapten Meor salah seorang samseng terkenal di Lembah Kelang.”
“I tak percaya! You bohong. Dia tak mungkin seteruk tu,” ujarku penuh amarah.
“I dah boleh agak, you pasti tak percaya. Hati dah sayang pasti tak dapat terima semua ni. Kalau you tak percayakan I, you boleh tanyakan Budriz. Dia dah siasat latar belakang Nain. Maklumat yang dia dapat sama macam yang I dapat,” kata Raja Azrin sambil tersenyum.
“You kenal Budriz?” soalku sambil memandang hairan wajah Raja Azrin.
Wirdah dan Syahmina hanya diam melihat kami. Tangan kiri Wirdah masih menggenggam tangan kananku. Syahmina pula memaut lengan kiriku. Seolah mereka memberi kekuatan dan sokongan untukku.
“I kenal dia sebab kami selalu jumpa di kelab golf. Bila bercerita tentang arwah ayahanda you, baru I tahu dia sepupu you.”
“Berapa lama you kenal Abang Nain?” tanyaku ingin tahu sejauhmana dia mengenali Iskandar.
“I kenal dia dalam dua tahun lepas. Dia pernah datang ke pejabat I dengan geng dia untuk minta wang perlindungan.”
“You beri?”
“Ya, sebab I tak mahu dia terus ganggu perniagaan I. Lepas I dengar Risya sebut nama dia dan you, I beritahu Budriz. Dia upah orang siasat Nain.”
“Kalau you dah siasat, tentu you tahu siapa ibu dan bapa dia,” soalku cuba mencungkil maklumat. Walaupun aku tak pasti maklumat siapa yang betul tetapi aku perlu tahu. Jika ada peluang nanti aku akan siasat sendiri kesahihannya.
“Bapa dia meninggal waktu dia kecil lagi dan emak dia meninggal sehari sebelum tarikh ayahanda dan bonda you meninggal.”
“Abang Nain beritahu yang ibu dan bapa dia masih ada. Mereka ada di Madinah. Yang meninggal tu, mak angkat dia.”
“You percaya?”
Aku anggukkan kepala walaupun agak lemah. Keyakinanku terhadap Iskandar mulai menurun peratusannya.
“You dah diperbodohkan oleh dia. You patut percayakan I. Kalau you tak percaya cerita I, you call Budriz.”
Telah dua kali Raja Azrin menyuruhku menghubungi sepupuku. Padahal sebelum ini aku begitu takut untuk menghubungi sesiapa pun dalam kalangan keluarga Tengku Badrul Zaman.
“Sebelum ni you kata sepupu I jadi dalang pembunuhan ayahanda dan bonda I. Kenapa Budriz tak halang kalau dia tahu abang dia terlibat?” soalku apabila teringat tuduhannya terhadap Tengku Badri sebelum ini.
“Dia pun tak tahu sebelum ni. Tapi bila I beritahu dia tentang Nain, dia upah orang siasat. Hasilnya dia dapat tahu abang dia terlibat. Tapi dia tak sempat beritahu bapa dia. Semalam Badri dah bertindak dan cuba bunuh Tengku Bad. Nasib baik Shila nampak dan menjerit waktu Badri tikam Tengku Bad. Badri larikan diri tapi polis dah dapat tangkap dia.”
“Apa? Abang Badri tikam Ayah Bad? Tak mungkin!”
 Kepalaku tergeleng-geleng cuba menafikan cerita Raja Azrin. Aku tidak dapat menerima yang Tengku Badri sekejam itu kerana aku tahu Tengku Badri seorang yang baik dan sangat menyayangi bapanya. Jika Tengku Budriz mungkin aku percaya kerana Tengku Budriz agak berbeza perangainya. Tengku Budriz juga bermusuhan dengan abangnya yang berlainan ibu. Ibu Tengku Badri adalah orang kebanyakan dan telah meninggal dunia sewaktu melahirkannya. Tengku Kamarul Zaman kemudiannya mengahwini Tengku Indah Maheran iaitu bonda Tengku Budriz.
“Bagaimana keadaan Ayah Bad?” soalku agak risau.
Lama aku tidak mendengar khabar berita Tengku Badrul. Rindu mulai berputik di hati. Wajahnya turut bermain di minda. Menghantar sekali perasaan duka nestapa.
“Riz kata dia dalam keadaan stabil. Jadi, I rasa elok you telefon dia untuk tanya berita ni dengan lebih lanjut,” saran Raja Azrin.
Aku terdiam buat seketika. Mindaku mulai menerawang memikirkan soal Ayah Bad. Aku ingin menelefon Tengku Budriz dan bertanyakan keadaan bapa saudaraku itu.
“Terima kasih atas maklumat you. I minta diri dulu. Dah lewat ni. Mina dan Wirdah nak buat ulangkaji,” ujarku memberi alasan.
“Okeylah. Tapi I harap esok kita boleh jumpa lagi. You telefonlah Riz dan tanyakan khabar dia. Tentu Riz gembira jika dapat bercakap dengan you,” ujar Raja Azrin dengan senyuman.
“Baiklah.”
Aku terus berlalu setelah memberi salam. Raja Azrin menjawab salamku dan membiarkan kami berlalu pergi.

 Bab 23

Wirdah dan Syahmina terus mendiamkan diri hingga mereka masuk ke rumah. Aku mengunci pintu dan kemudian menanggalkan tudungku. Wirdah dan Syahmina turut berbuat begitu.
“Kak Sha percayakah apa yang Engku Rain kata?” soal Wirdah.
“Entah. Tapi Kak Sha nak telefon dan tanyakan kesihatan Ayah Bad. Kak Sha sedar yang Kak Sha akan langgar larangan Abang Nain jika hubungi mereka. Tapi Kak Sha terdesak. Hati Kak Sha tak tenang sekarang.”
“Kak Sha telefonlah,” sokong Syahmina.
“Baiklah, Kak Sha telefon sekarang. Harap dia tak tidur lagi.”
Aku segera mencapai telefon dan mendail nombor telefon Shila. Aku perlu mengambil langkah selamat dan menelefon Shila. Hanya Shila yang boleh mengesahkan kebenaran hal ini. Agak lama baru talianku diangkat. Salam yang kuberi, dijawab.
“Shila, ini Sha. Apa dah berlaku pada Ayah Bad?” soalku.
“Sha, keadaan Tengku Badrul tak berapa baik. Shila kasihan lihat Bonda Indah yang tak cukup rehat. Sebab tu Shila tinggal sini dan tolong tengok-tengokkan pula,” jawab Shila di hujung talian.
“Bonda Indah macam mana? Dia okey tak?”
“Sha baliklah ke sini. Bonda Indah perlukan Sha. Dia rindukan Sha. Selalu dia sebut nama Sha. Dia rasa kesal sangat sebab Tengku Badri yang bunuh ibu dan bapa Sha. Lepas tahu rahsia dia akan terbongkar, dia cuba nak larikan diri. Tapi sebelum larikan diri, dia jumpa Tengku Bad untuk minta wang. Bila Tengku Bad tak beri, dia tikam Tengku Bad.”
“Sha tak boleh balik Shila. Bagi Sha cakap dengan Bonda Indah.”
“Err...Bonda Indah baru keluar. Err...Shila...err...tak tahu dia ke mana,” ujar Shila tergagap-gagap. Terdengar bunyi Shila menarik nafas yang agak kuat tetapi tersekat-sekat.
“Kenapa Shila?”
“Err...tak apa-apa. Mungkin Shila rasa penat sikit. Lagipun hujan di sini.”
“Shila kena serangan asmakah? Macam tercungap-cungap aje suara Shila.” Aku agak risau memikirkan keadaan Shila yang menghidap penyakit asma.
“Sha tak perlu risau keadaan Shila. Shila okey. Lagipun Shila ada di hospital. Tapi, Shila harap Sha dapat balik ke sini dengan segera.”
“Sha bukan tak nak balik. Tapi Sha takut keselamatan Sha terancam. Sha masih tak tahu siapa yang nak bunuh Sha. Shila tahu tak siapa yang terlibat?”
“Err...Shila tak tahu. Sha balik sini, ya. Kalau Sha takut nanti Sha balik dengan Raja Azrin.”
“Macam mana Shila tahu Raja Azrin ada di sini?” soalku, mulai berasa hairan.
“Raja Azrin ada telefon Tengku Budriz dan beritahu dah jumpa Sha. Tengku Budriz beritahu Shila dan minta Shila pujuk Sha agar balik ke sini. Keadaan dah selamat kerana polis dah dapat tangkap Tengku Badri.”
Aku agak hairan mendengar kata-kata Shila. Bagaimana Shila boleh berbaik dengan Tengku Budriz yang paling sombong dan membenci Shila? Adakah Shila menyembunyikan sesuatu? Tetapi Shila adalah orang yang aku percayai. Shila merupakan orang yang paling jujur dan rapat denganku berbanding sepupuku yang lain. Shila yang kukenal, tidak sebulu dengan Tengku Budriz. Apatah lagi Tengku Budriz seringkali menghina Shila yang bukan berdarah raja. Mungkin disebabkan Shila adalah sepupuku sebelah ibu. Ibuku tidak berdarah raja dan dia turut tidak disukai oleh Tengku Budriz dan Bonda Indah.
“Shila, apa sebenarnya yang terjadi? Setahu Sha, Riz tak mahu dekat dengan Shila. Adakah Riz dah boleh terima Shila?”
Aku menyoal untuk mengetahui dengan lebih lanjut hubungannya dengan Tengku Budriz. Hatiku mulai meragui dan berasa seperti ada yang tidak kena. Tetapi aku tidak pasti. Cuma yang aku tahu, tidak mungkin Tengku Budriz yang sombong dan mementingkan darah keturunan raja boleh menerima kehadiran Shila musuhnya bagi menjaga ayahandanya. Terasa amat pelik dan seperti ada sesuatu yang Shila sembunyikan.
“Sha, sepupuku yang tersayang. Lama Riz tak berbual dengan Sha. Sha sihat?” soal suara lelaki di hujung talian.
Terkejut aku mendengar suara itu. Hati mulai tertanya-tanya.
“Riz? Mana Shila? Apa yang Riz buat pada Shila?” soalku bertubi-tubi.
“Shila ada di sebelah Riz. Sha jangan terkejut, sebenarnya kami sekarang dah berdamai dan Riz anggap Shila macam adik Riz sendiri.”
“Apa? Tak mungkin!”
Aku benar-benar terkejut hingga aku berdiri tanpa sedar. Terdengar suara Tengku Budriz ketawa di hujung talian.
“Tentu Sha tak percaya. Memanglah Riz sombong dulu. Tapi dalam diam, Riz kagum dengan Shila. Tak kiralah berdarah raja atau tidak, Riz terima Shila sebagai adik.”
“Betulkah? Riz tak main-main?” soalku masih tidak percaya.
“Betul! Kalau Sha tak percaya, baliklah ke sini dan tengok kemesraan kami.”
“Erkk! Jangan.”
Aku terdengar suara Shila seolah melarang dan hilaian tawa Tengku Budriz makin kuat. Aku meneka, Tengku Budriz mungkin membuat aksi ‘mesra’ yang pasti tidak disukai oleh Shila. Aku tahu, Shila amat menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Malah dia begitu berhati-hati dalam berkawan.
“Riz! Jangan buat benda tak senonoh pada Shila,” kataku untuk menarik perhatian Tengku Budriz.
“Sha, Riz tak buat apa-apalah. Riz geram dengan Shila, nak pegang sikit pun tak bagi.”
“Riz kena hormatkan pendirian Shila. Kalau betul Riz anggap Shila sebagai adik, Sha tumpang gembira. Tapi kena jaga batasan agama.”
“Sha kena balik ke sini dengan segera. Riz dah tahu siapa Iskandar. Dia tu bahaya. Sha kena keluar daripada tempat tu,” ujar Tengku Budriz menukar topik.
“Betulkah maklumat yang Riz dapat?” Aku masih cuba menafikan bahawa Iskandar seorang yang jahat. Kalau boleh aku tidak mahu mendengar perkhabaran buruk tentangnya. Aku takut hatiku akan terluka.
“Ya, betul! Percayalah, maklumat ni benar. Iskandar seorang yang jahat dan dia terlibat dalam pembunuhan keluarga Sha. Malah dia dah rancang nak rampas harta Sha. Dia dah dapatkan surat nikah palsu untuk kaburi mata Sha. Mungkin lepas ni, kalau dia jumpa Sha, dia akan tunjukkan surat tu supaya Sha percaya. Bukankah dalam wasiat ada tertulis, jika Sha berkahwin suami akan dapat sepuluh peratus saham syarikat. Bila Sha lahirkan anak nanti, maka anak Sha jadi pewaris harta Sha. Dia dah tahu semua tu. Hati-hati Sha.”
Hatiku yang goyah mulai tersungkur. Kepercayaanku terhadap Iskandar seolah hilang. Aku melihat wajah Syahmina dan Wirdah yang sedari tadi asyik memerhatikan aku. Aku tahu aku perlu bertindak segera sebelum Iskandar pulang.
“Riz, apa yang perlu Sha buat?” soalku, lemah.
“Sha ikut Rain pulang ke sini. Rain dah beritahu Riz yang dia dah jumpa Sha.”
 “Baiklah. Esok Sha bincang dengan Rain.”
 “Bagus! Sha perlu cepat sebelum Iskandar sedar yang Sha dah tahu rahsia dia. Nanti Riz minta kawan-kawan Riz tolong temankan Rain dan Sha. Nanti Riz beritahu Rain hal ni.”
“Okey. Nanti apa-apa hal, Riz beritahu Sha. Assalamualaikum.”
Tengku Budriz memutuskan talian setelah menjawab salamku.
“Apa maklumat yang Kak Sha dapat?” soal Wirdah setelah aku meletakkan telefon di meja.
Aku menceritakan apa yang dikatakan oleh Tengku Budriz dan rancanganku untuk keluar daripada tempat itu.
“Kak Sha yakin dengan tindakan Kak Sha?” soal Wirdah lagi.
“Apa pilihan yang Kak Sha ada? Kak Sha dah tak yakin dengan Abang Nain dan Kak Sha rasa nak ajak Raja Azrin balik ke Kuala Lumpur.”
“Boleh Wirdah ikut Kak Sha?” pinta Wirdah.
“Wirdah kena ke sekolah. Macam mana nak ikut Kak Sha?”
“Tapi, Wirdah rasa perlu temankan Kak Sha. Tak elok jika Kak Sha balik berdua dengan Engku Rain. Hal sekolah, nanti Wirdah beritahu Mak Engku. Mina pula boleh beritahu cikgu. Bila Kak Sha dah selamat sampai sana, Wirdah akan balik ke sini dengan bas.”
“Okey, Wirdah boleh ikut Kak Sha tapi bila Wirdah nak balik ke sini, Kak Sha akan hantar. Kita naik kapal terbang.”
“Wah! Wirdah tak pernah rasa naik kapal terbang. Tentu seronok.”
Aku lihat wajah Wirdah penuh teruja. Tetapi Syahmina menampakkan wajah yang kurang ceria. Mungkin dia juga tidak pernah menaiki kapal terbang. Pengalaman begitu pasti ditunggu oleh remaja seperti mereka.
“Mina jangan sedih. Kak Sha janji akan bawa Mina naik kapal terbang bila semua masalah Kak Sha selesai. Buat masa ni, Kak Sha akan bawa Wirdah sebagai peneman Kak Sha. Kak Sha pun rasa tak selesa nak balik berdua dengan Tengku Azrin. Harap Mina mengerti,” ujarku sambil memegang tangan Syahmina.
“Mina tak apa-apa. Cuma Mina rasa sedih sebab Kak Sha nak pergi dari sini.”
“Kak Sha pergi tak lama. Nanti bila selesai masalah Kak Sha, Kak Sha akan datang semula. Bila Mina dan yang lain habis SPM nanti, Kak Sha nak ajak semua ke rumah Kak Sha di Kuala Lumpur. Kak Sha akan bawa semua pergi bercuti di pantai atau pusat peranginan.”
“Itu yang buat Mina sayangkan Kak Sha. Kak Sha sudi bersama kami yang miskin dan yatim ni walaupun Kak Sha berketurunan Tengku. Kak Sha tak sombong dan ikhlas dengan kami semua. Kami sayangkan Kak Sha dan dah anggap Kak Sha sebagai kakak sulung kami,” ujar Syahmina sambil tersenyum.
 “Mina dan yang lain sebenarnya cukup kaya. Kaya dengan budi bahasa dan sifat terpuji. Kak Sha banyak belajar tentang Islam dan cara hidup sederhana di sini. Sokongan dan bantuan semua, amat Kak Sha hargai. Kak Sha sayangkan semua adik-adik Kak Sha di sini,” ujarku sambil menarik Syahmina ke dalam pelukan. Rasa terharu dengan kata-katanya.
Wirdah turut memeluk tubuhku dan Syahmina. Kami bertiga kemudiannya ketawa gembira. Aku mengajak mereka untuk mengulangkaji pelajaran. Fikiranku juga agak tenang. Terasa gembira dan bangga melihat ‘adik-adikku’ mengulangkaji pelajaran dengan bersungguh-sungguh.

Tiada ulasan: