Pengikut

Isnin, 9 Disember 2013

Kies 9 Cinta selamanya - bab 26



Perjalanan kami telah tiba di kawasan berbukit dan bergaung, lebuhraya Timur Barat yang menghubungkan Kelantan dan Perak. Amat cantik pemandangan di luar dan aku agak ralit melihatnya. Telefonku bergetar menandakan ada mesej yang masuk. Aku segera membuka dan membacanya. Aku terkejut kerana Iskandar memberitahu yang dia sedang mengekori kami.
              Aku memandang ke belakang tetapi tidak nampak kelibat Iskandar. Berkali-kali aku meninjau ke belakang tetapi hampa. Aku menghantar mesej bertanyakan Iskandar lokasinya tetapi mesejku tidak berbalas. Perasaanku tambah kecewa. Tanpa sedar aku mengeluh. Raja Azrin mengerling ke arahku. Dia seolah ingin bertanya sesuatu tetapi tidak jadi. Jusoh turut memandangku menggunakan cermin pandang belakang.
Aku berpura-pura tidak melihat Jusoh dan mengambil beberapa keping kerepek yang dihulurkan oleh Wirdah. Wirdah turut mempelawa Raja Azrin dan Jusoh tetapi mereka menolak. Dalam hati aku berdoa agar kehadiran Iskandar tidak dapat dikesan oleh mereka. Walaupun aku mencurgai Iskandar tetapi aku tidak mahu dia diapa-apakan. Aku merapatkan diriku dengan Wirdah. Secara sembunyi, aku menunjukkan mesej Iskandar kepada Wirdah. Wirdah memandang wajahku dan mengangkat keningnya. Aku mengangkat bahu sebagai isyarat tidak tahu.
 Ketika kereta membelok di selekoh berhampiran puncak bukit, aku terlihat kelibat Iskandar yang sedang menunggang motorsikal jauh ke belakang. Walaupun dia memakai topi keledar berpenutup penuh, tetapi aku dapat mengenalinya. Patutlah debaran hatiku makin kuat terasa. Rupanya dia telah hampir kepadaku. Hanya Iskandar yang mampu membuat aku berperasaan begitu. Aura Iskandar begitu kuat kesannya padaku. Hatiku kembali ceria.
Setelah beberapa ketika, telingaku dapat menangkap bunyi deringan telefon yang datang dari arah hadapan. Jusoh pantas menjawab panggilan itu. Aku memasang telinga mendengar perbualannya.
 “Hmm...Kenapa? Kau pastikah?” soal Jusoh sambil mengerling cermin pandang belakang.
Aku tahu dia memandangku kerana aku dapat melihat arah kerlingannya itu. Jusoh kemudiannya memandang cermin sisi. Hatiku mulai terasa curiga. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Tidak tahu apa, cuma gerak hati menyatakan begitu. Aku mengalihkan badanku untuk melihat arah belakang. Aku agak terkejut kerana dapat melihat Iskandar sedang mengekori dalam jarak selang empat kenderaan.
Kenapa dia mengekori dalam jarak begitu dekat? Soalku di dalam hati. Tentu dia tidak tahu kereta yang dipandu Mogan adalah rakan setugas Jusoh. Kebetulan kereta Mogan terselang dengan dua buah kenderaan daripada kereta yang dinaiki olehku. Ini bermakna Iskandar berada selang sebuah kenderaan dengan mereka.
“Hapuskan dia bila ada peluang,” arah Jusoh dan kemudian meletakkan telefon. Jusoh berpaling ke arah Raja Azrin dan Raja Azrin hanya terkebil-kebil tanpa kata.
Hatiku bagaikan terhenti bergegup mendengar arahan yang keluar daripada mulut Jusoh. Walau siapa pun Iskandar, aku tetap sayangkannya. Jadi, tak mungkin aku mahu melihatnya dibunuh. Aku lebih rela jika dia ditangkap. Aku mesti menghalang mereka.
“Jusoh, tolonglah jangan apa-apakan dia,” rayuku sambil merapatkan badan hampir ke kerusi hadapan. Resah, takut dan cemas mulai memenuhi ruang hati.
Jusoh mengerling sepintas. Tanpa kata, dia terus memandu. Sesekali matanya memerhati cermin sisi. Terasa sakit hatiku dengan sikap tidak peduli Jusoh. Wirdah juga tampak risau dan memandang ke belakang.
“Rain! Jangan apa-apakan Nain,” rayuku sambil menggoncang bahu Raja Azrin.
Raja Azrin memandang ke arahku. Wajahnya jelas dalam keadaan serba salah. Dia hanya tergaru-garu kepala dan kemudian melihat Jusoh. Aku sebenarnya terperasan akan perubahan sikap Raja Azrin yang seolah menjadi pendiam sejak menaiki kereta. Dia tidak banyak berbual dengan Jusoh dan kerap kali memejamkan matanya seolah tidur.
“Mana you tahu itu Iskandar?” soal Raja Azrin.
“I tahulah! Sebab tu I tak nak dia dihapuskan. Kalau boleh you tangkap sudahlah,” Aku cuba berdiplomasi dengan mereka.
Jika Iskandar di tangkap, paling tidak dia akan dibicarakan. Pada masa itu aku akan mengetahui rahsia dan misteri yang masih belum tersingkap. Dan yang paling penting, Iskandar tetap selamat.
“Maaf Tengku. Kami dapat arahan agar hapuskan dia. Jadi Tengku tak perlu merayu,” ujar Jusoh, tegas.
“Siapa yang beri arahan? Bukankah sepatutnya polis menangkap dia untuk disoal siasat?” soalku agak berani.
Jusoh hanya tersenyum dan memperlahankan kenderaan. Dia memberi isyarat agar kereta di belakangnya memotong. Kereta itu memotong dan kini kereta yang dipandu oleh Mogan berada di belakang kereta kami. Aku memusingkan badan dan dapat melihat Iskandar turut memperlahankan motorsikalnya. Jaraknya sengaja dikekalkan.
Aku menggeluarkan telefon dan mendail nombor Iskandar untuk memberi amaran. Aku dapat melihat Iskandar mengeluarkan telefonnya. Perasaanku tidak menentu apabila ternampak Rais dan Daud menghulurkan kepala keluar daripada tingkap. Mereka menghalakan pistol ke arah Iskandar. Aku terjerit-jerit meminta mereka tidak menembak Iskandar. Tetapi perbuatanku itu sia-sia. Mana mungkin mereka mendengar kerana mereka berada di kereta yang lain. Aku genggam tangan Wirdah yang juga terjerit-jerit sepertiku. Telefonku yang terjatuh tidak kuperdulikan lagi.
“Rain, Jusoh, tolonglah jangan bunuh dia!” jeritku dengan linangan air mata.
Sekejap aku memandang ke arah Raja Azrin dan kemudian ke belakang untuk melihat Iskandar. Iskandar yang agak terleka dengan telefon segera memberikan fokusnya setelah menyedari dirinya sedang menjadi sasaran. Keadaan diriku ibarat duduk di atas bara api. Serba tidak kena. Ingin aku membuka pintu dan terjun keluar tetapi Raja Azrin lebih pantas menghalang.
“Kiesha! Jangan jadi bodoh!” jerkah Raja Azrin sambil menolak tubuhku hingga terhumban ke tubuh Wirdah.
Aku bangun dan melihat ke belakang. Rais dan Daud sedang menembak secara bertubi-tubi ke arah Iskandar tanpa bunyi. Mungkin mereka menggunakan penyenyap pistol.
“Ya ALLAH! Abang!” tempikku apabila melihat motorsikal Iskandar terhoyong-hayang.
Tangisanku kian menggila. Aku tidak pasti sama ada Iskandar terkena tembakan atau tidak tetapi dia seolah hilang kawalan, mengelongsor laju menghala ke arah gaung.
“Abanggg!” jeritku dengan sekuat hati.
Wirdah turut menjerit memanggil nama Iskandar. Aku dapat mendengar letupan dan diikuti gumpalan api yang menjulang dari arah gaung. Pasti motorsikal Iskandar yang meletup setelah terhumban ke gaung.
Aku meraung di dalam pelukan Wirdah. Wirdah juga tidak dapat menahan tangisannya dan dia turut menangis teresak-esak. Raja Azrin hanya menundukkan wajahnya manakala Jusoh seperti orang yang tidak berperasaan. Jusoh terus memandu dengan lebih laju, diikuti rapat oleh Mogan di belakangnya.
Remuk redam hatiku memikirkan nasib Iskandar. Tentu Iskandar telah terkorban. Dia telah pergi buat selamanya. Meninggalkan aku yang terumbang-ambing dan masih mengharapkan kehadirannya. Iskandar terlalu baik padaku malah dia sentiasa memanjakanku. Tidak pernah marah dan selalu bersabar denganku. Tak mungkin ada insan lain yang mampu mencintaiku seperti Iskandar. Dialah ketenangan hatiku, temanku, rinduku, cintaku hanyalah pada dia... kekasih hatiku.
“Rain, boleh tak kita patah balik dan tolong Nain?” soalku dengan suara yang serak.
Raja Azrin memandangku dengan pandangan yang sayu. Dia menggeleng dan kemudian menunduk.
“Jusoh, tolonglah. Patah balik sekejap. Saya nak tengok suami saya,” rayuku dengan lindangan air mata.
Jusoh tetap membisu dan meneruskan pemanduannya. Aku memeluk Wirdah yang turut sama menangis.
“Rain, tolonglah. Sekali ni saja I minta tolong you. Kita patah balik. Sekejap pun jadilah.” Aku merayu lagi.
“Tengku, tolong bagi kerjasama. Saya bukan baik sangat. Jika Tengku tak mahu saya ikat mulut Tengku, lebih baik Tengku diam,” kata Jusoh dengan penuh amaran.
Aku memandang dengan geram ke arah Jusoh. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku maki hamun dia tetapi Wirdah menyabarkan aku.
“Kak Sha, bawa bersabar. Mungkin Abang Nain selamat,” pujuk Wirdah sambil menyeka air mataku.
“Wirdah tengok sendirikan motorsikal tu meletup. Mana mungkin dia selamat?” sangkalku.
“Ya, Wirdah. Nain tak mungkin selamat. Gaung tu pun dalam. Kemungkinan untuk dia selamat adalah tipis,” ujar Raja Azrin menyokong pendapatku.
“Betul tu. Baik Tengku lupakan apa yang berlaku sebentar tadi. Pada saya, Tengku Budriz lebih layak buat Tengku,” komen Jusoh.
Hati yang penuh luka bertambah pedih apabila mendengar kata-kata Jusoh.
“Apa maksud awak Jusoh?” soalku dengan geram.
“Takkan Tengku tak tahu yang Tengku bakal isteri Tengku Budriz?”
“Apa?” Soalku agak kuat, mungkin kerana terkejut.
Mataku bulat melihat Jusoh. Jusoh mengerling sekilas di cermin pandang belakang. Mulutnya tersenyum senget melihat kemarahanku. Aku goncang-goncangkan kerusi Jusoh dengan marah. Raja Azrin cuba memujukku.
“Kiesha, jangan bertindak begini. Cuba bawa bertenang. Jangan ikut sangat rasa marah tu.”
“You pun sama Rain! You kata, you nak kahwin dengan I tapi kenapa sekarang Riz pula? Apa muslihat kamu semua, hah?” soalku makin berang.
Aku menumbuk belakang Raja Azrin bertalu-talu. Raja Azrin berusaha mengelak dan mengangkat kedua-dua tangannya untuk menghalang perbuatanku. Wirdah pantas memeluk tubuhku dan berusaha menenangkanku. Berkali-kali dia memintaku bersabar dan beristighfar. Aku cuba menurut saranan Wirdah tetapi hatiku bagaikan tidak dapat bersabar. Sukar untukku menenangkan diri.
“Maafkan I, Kiesha. I terpaksa.” Sugul wajah Raja Azrin ketika meminta maaf.
“Terpaksa? Apa maksud you?” jerkah aku.
Tanganku hinggap lagi ke kepala Raja Azrin dan dia berusaha menghalang dengan tangannya. Aku agak pelik kerana Raja Azrin langsung tidak berkasar denganku. 
“Tengku! Saya dah bagi amaran. Jika Tengku tak mahu diikat dan dilayan dengan kasar, tolong duduk diam-diam!” Jerkahan Jusoh membuatkan aku terdiam.
Ugutannya benar-benar merisaukan aku. Takut juga jika dia mengapa-apakan diriku dan Wirdah. Tambahan aku melihat Raja Azrin tidak membantu malah dia seperti takut kepada Jusoh dan yang lain. Aku menarik Wirdah ke dalam pelukanku. Kami berdua bersandar ke penyandar kerusi dan mendiamkan diri. Aku menggenggam erat tangan Wirdah yang terasa sejuk. Mungkin dia juga takut sepertiku.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tu la Kiesha. Asyik curiga je dgn iskandar. Ckp mak engku pun tak nak dgr. Kan Nain dah accdnt tu.

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Itulah...yg nak menyesal pun diri sendiri juga. Sama ada Nain meninggal atau tidak, terus ikuti cerita ini :)