Perjalanan
kami telah tiba di kawasan berbukit dan bergaung, lebuhraya Timur Barat yang
menghubungkan Kelantan dan Perak. Amat cantik pemandangan di luar dan aku agak
ralit melihatnya. Telefonku bergetar menandakan ada mesej yang masuk. Aku
segera membuka dan membacanya. Aku terkejut kerana Iskandar memberitahu yang
dia sedang mengekori kami.
Aku memandang ke belakang tetapi
tidak nampak kelibat Iskandar. Berkali-kali aku meninjau ke belakang tetapi
hampa. Aku menghantar mesej bertanyakan Iskandar lokasinya tetapi mesejku tidak
berbalas. Perasaanku tambah kecewa. Tanpa sedar aku mengeluh. Raja Azrin
mengerling ke arahku. Dia seolah ingin bertanya sesuatu tetapi tidak jadi.
Jusoh turut memandangku menggunakan cermin pandang belakang.
Aku berpura-pura tidak melihat
Jusoh dan mengambil beberapa keping kerepek yang dihulurkan oleh Wirdah. Wirdah
turut mempelawa Raja Azrin dan Jusoh tetapi mereka menolak. Dalam hati aku
berdoa agar kehadiran Iskandar tidak dapat dikesan oleh mereka. Walaupun aku
mencurgai Iskandar tetapi aku tidak mahu dia diapa-apakan. Aku merapatkan diriku
dengan Wirdah. Secara sembunyi, aku menunjukkan mesej Iskandar kepada Wirdah.
Wirdah memandang wajahku dan mengangkat keningnya. Aku mengangkat bahu sebagai
isyarat tidak tahu.
Ketika kereta membelok di selekoh berhampiran
puncak bukit, aku terlihat kelibat Iskandar yang sedang menunggang motorsikal
jauh ke belakang. Walaupun dia memakai topi keledar berpenutup penuh, tetapi
aku dapat mengenalinya. Patutlah debaran hatiku makin kuat terasa. Rupanya dia
telah hampir kepadaku. Hanya Iskandar yang mampu membuat aku berperasaan
begitu. Aura Iskandar begitu kuat kesannya padaku. Hatiku kembali ceria.
Setelah beberapa ketika, telingaku
dapat menangkap bunyi deringan telefon yang datang dari arah hadapan. Jusoh
pantas menjawab panggilan itu. Aku memasang telinga mendengar perbualannya.
“Hmm...Kenapa? Kau pastikah?” soal Jusoh
sambil mengerling cermin pandang belakang.
Aku tahu dia memandangku kerana aku
dapat melihat arah kerlingannya itu. Jusoh kemudiannya memandang cermin sisi. Hatiku
mulai terasa curiga. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Tidak tahu apa, cuma
gerak hati menyatakan begitu. Aku mengalihkan badanku untuk melihat arah
belakang. Aku agak terkejut kerana dapat melihat Iskandar sedang mengekori
dalam jarak selang empat kenderaan.
Kenapa dia mengekori dalam jarak
begitu dekat? Soalku di dalam hati. Tentu dia tidak tahu kereta yang dipandu
Mogan adalah rakan setugas Jusoh. Kebetulan kereta Mogan terselang dengan dua
buah kenderaan daripada kereta yang dinaiki olehku. Ini bermakna Iskandar
berada selang sebuah kenderaan dengan mereka.
“Hapuskan dia bila ada peluang,”
arah Jusoh dan kemudian meletakkan telefon. Jusoh berpaling ke arah Raja Azrin
dan Raja Azrin hanya terkebil-kebil tanpa kata.
Hatiku bagaikan terhenti bergegup mendengar
arahan yang keluar daripada mulut Jusoh. Walau siapa pun Iskandar, aku tetap
sayangkannya. Jadi, tak mungkin aku mahu melihatnya dibunuh. Aku lebih rela
jika dia ditangkap. Aku mesti menghalang mereka.
“Jusoh, tolonglah jangan apa-apakan
dia,” rayuku sambil merapatkan badan hampir ke kerusi hadapan. Resah, takut dan
cemas mulai memenuhi ruang hati.
Jusoh mengerling sepintas. Tanpa
kata, dia terus memandu. Sesekali matanya memerhati cermin sisi. Terasa sakit
hatiku dengan sikap tidak peduli Jusoh. Wirdah juga tampak risau dan memandang
ke belakang.
“Rain! Jangan apa-apakan Nain,”
rayuku sambil menggoncang bahu Raja Azrin.
Raja Azrin memandang ke arahku.
Wajahnya jelas dalam keadaan serba salah. Dia hanya tergaru-garu kepala dan
kemudian melihat Jusoh. Aku sebenarnya terperasan akan perubahan sikap Raja
Azrin yang seolah menjadi pendiam sejak menaiki kereta. Dia tidak banyak
berbual dengan Jusoh dan kerap kali memejamkan matanya seolah tidur.
“Mana you tahu itu Iskandar?” soal
Raja Azrin.
“I tahulah! Sebab tu I tak nak dia
dihapuskan. Kalau boleh you tangkap sudahlah,” Aku cuba berdiplomasi dengan
mereka.
Jika Iskandar di tangkap, paling
tidak dia akan dibicarakan. Pada masa itu aku akan mengetahui rahsia dan
misteri yang masih belum tersingkap. Dan yang paling penting, Iskandar tetap
selamat.
“Maaf Tengku. Kami dapat arahan
agar hapuskan dia. Jadi Tengku tak perlu merayu,” ujar Jusoh, tegas.
“Siapa yang beri arahan? Bukankah
sepatutnya polis menangkap dia untuk disoal siasat?” soalku agak berani.
Jusoh hanya tersenyum dan
memperlahankan kenderaan. Dia memberi isyarat agar kereta di belakangnya
memotong. Kereta itu memotong dan kini kereta yang dipandu oleh Mogan berada di
belakang kereta kami. Aku memusingkan badan dan dapat melihat Iskandar turut
memperlahankan motorsikalnya. Jaraknya sengaja dikekalkan.
Aku menggeluarkan telefon dan
mendail nombor Iskandar untuk memberi amaran. Aku dapat melihat Iskandar
mengeluarkan telefonnya. Perasaanku tidak menentu apabila ternampak Rais dan
Daud menghulurkan kepala keluar daripada tingkap. Mereka menghalakan pistol ke
arah Iskandar. Aku terjerit-jerit meminta mereka tidak menembak Iskandar.
Tetapi perbuatanku itu sia-sia. Mana mungkin mereka mendengar kerana mereka
berada di kereta yang lain. Aku genggam tangan Wirdah yang juga terjerit-jerit
sepertiku. Telefonku yang terjatuh tidak kuperdulikan lagi.
“Rain, Jusoh, tolonglah jangan
bunuh dia!” jeritku dengan linangan air mata.
Sekejap aku memandang ke arah Raja
Azrin dan kemudian ke belakang untuk melihat Iskandar. Iskandar yang agak
terleka dengan telefon segera memberikan fokusnya setelah menyedari dirinya
sedang menjadi sasaran. Keadaan diriku ibarat duduk di atas bara api. Serba
tidak kena. Ingin aku membuka pintu dan terjun keluar tetapi Raja Azrin lebih
pantas menghalang.
“Kiesha! Jangan jadi bodoh!” jerkah
Raja Azrin sambil menolak tubuhku hingga terhumban ke tubuh Wirdah.
Aku bangun dan melihat ke belakang.
Rais dan Daud sedang menembak secara bertubi-tubi ke arah Iskandar tanpa bunyi.
Mungkin mereka menggunakan penyenyap pistol.
“Ya ALLAH! Abang!” tempikku apabila
melihat motorsikal Iskandar terhoyong-hayang.
Tangisanku kian menggila. Aku tidak
pasti sama ada Iskandar terkena tembakan atau tidak tetapi dia seolah hilang
kawalan, mengelongsor laju menghala ke arah gaung.
“Abanggg!” jeritku dengan sekuat
hati.
Wirdah turut menjerit memanggil
nama Iskandar. Aku dapat mendengar letupan dan diikuti gumpalan api yang
menjulang dari arah gaung. Pasti motorsikal Iskandar yang meletup setelah
terhumban ke gaung.
Aku meraung di dalam pelukan
Wirdah. Wirdah juga tidak dapat menahan tangisannya dan dia turut menangis
teresak-esak. Raja Azrin hanya menundukkan wajahnya manakala Jusoh seperti
orang yang tidak berperasaan. Jusoh terus memandu dengan lebih laju, diikuti
rapat oleh Mogan di belakangnya.
Remuk redam hatiku memikirkan nasib
Iskandar. Tentu Iskandar telah terkorban. Dia telah pergi buat selamanya.
Meninggalkan aku yang terumbang-ambing dan masih mengharapkan kehadirannya.
Iskandar terlalu baik padaku malah dia sentiasa memanjakanku. Tidak pernah
marah dan selalu bersabar denganku. Tak mungkin ada insan lain yang mampu
mencintaiku seperti Iskandar. Dialah ketenangan hatiku, temanku, rinduku,
cintaku hanyalah pada dia... kekasih hatiku.
“Rain, boleh tak kita patah balik
dan tolong Nain?” soalku dengan suara yang serak.
Raja Azrin memandangku dengan
pandangan yang sayu. Dia menggeleng dan kemudian menunduk.
“Jusoh, tolonglah. Patah balik
sekejap. Saya nak tengok suami saya,” rayuku dengan lindangan air mata.
Jusoh tetap membisu dan meneruskan
pemanduannya. Aku memeluk Wirdah yang turut sama menangis.
“Rain, tolonglah. Sekali ni saja I
minta tolong you. Kita patah balik. Sekejap pun jadilah.” Aku merayu lagi.
“Tengku, tolong bagi kerjasama.
Saya bukan baik sangat. Jika Tengku tak mahu saya ikat mulut Tengku, lebih baik
Tengku diam,” kata Jusoh dengan penuh amaran.
Aku memandang dengan geram ke arah
Jusoh. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku maki hamun dia tetapi Wirdah
menyabarkan aku.
“Kak Sha, bawa bersabar. Mungkin
Abang Nain selamat,” pujuk Wirdah sambil menyeka air mataku.
“Wirdah tengok sendirikan
motorsikal tu meletup. Mana mungkin dia selamat?” sangkalku.
“Ya, Wirdah. Nain tak mungkin
selamat. Gaung tu pun dalam. Kemungkinan untuk dia selamat adalah tipis,” ujar
Raja Azrin menyokong pendapatku.
“Betul tu. Baik Tengku lupakan apa
yang berlaku sebentar tadi. Pada saya, Tengku Budriz lebih layak buat Tengku,”
komen Jusoh.
Hati yang penuh luka bertambah
pedih apabila mendengar kata-kata Jusoh.
“Apa maksud awak Jusoh?” soalku
dengan geram.
“Takkan Tengku tak tahu yang Tengku
bakal isteri Tengku Budriz?”
“Apa?” Soalku agak kuat, mungkin
kerana terkejut.
Mataku bulat melihat Jusoh. Jusoh
mengerling sekilas di cermin pandang belakang. Mulutnya tersenyum senget
melihat kemarahanku. Aku goncang-goncangkan kerusi Jusoh dengan marah. Raja
Azrin cuba memujukku.
“Kiesha, jangan bertindak begini.
Cuba bawa bertenang. Jangan ikut sangat rasa marah tu.”
“You pun sama Rain! You kata, you
nak kahwin dengan I tapi kenapa sekarang Riz pula? Apa muslihat kamu semua,
hah?” soalku makin berang.
Aku menumbuk belakang Raja Azrin
bertalu-talu. Raja Azrin berusaha mengelak dan mengangkat kedua-dua tangannya
untuk menghalang perbuatanku. Wirdah pantas memeluk tubuhku dan berusaha
menenangkanku. Berkali-kali dia memintaku bersabar dan beristighfar. Aku cuba
menurut saranan Wirdah tetapi hatiku bagaikan tidak dapat bersabar. Sukar
untukku menenangkan diri.
“Maafkan I, Kiesha. I terpaksa.”
Sugul wajah Raja Azrin ketika meminta maaf.
“Terpaksa? Apa maksud you?” jerkah
aku.
Tanganku hinggap lagi ke kepala
Raja Azrin dan dia berusaha menghalang dengan tangannya. Aku agak pelik kerana
Raja Azrin langsung tidak berkasar denganku.
“Tengku! Saya dah bagi amaran. Jika
Tengku tak mahu diikat dan dilayan dengan kasar, tolong duduk diam-diam!” Jerkahan
Jusoh membuatkan aku terdiam.
Ugutannya benar-benar merisaukan
aku. Takut juga jika dia mengapa-apakan diriku dan Wirdah. Tambahan aku melihat
Raja Azrin tidak membantu malah dia seperti takut kepada Jusoh dan yang lain.
Aku menarik Wirdah ke dalam pelukanku. Kami berdua bersandar ke penyandar
kerusi dan mendiamkan diri. Aku menggenggam erat tangan Wirdah yang terasa
sejuk. Mungkin dia juga takut sepertiku.
2 ulasan:
tu la Kiesha. Asyik curiga je dgn iskandar. Ckp mak engku pun tak nak dgr. Kan Nain dah accdnt tu.
Itulah...yg nak menyesal pun diri sendiri juga. Sama ada Nain meninggal atau tidak, terus ikuti cerita ini :)
Catat Ulasan