Bab 18
Hari
ini aku cuba untuk berpuasa setelah beberapa kali aku melihat Mak Engku dan
beberapa penghuni lain berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Malah Wirdah dan
kawan-kawannya turut berpuasa. Aku lihat mereka cukup ceria dan seolah-olah
mereka tidak letih walaupun tidak makan. Aktiviti mereka dilakukan seperti
biasa. Disebabkan persekolahan telah bermula, Wirdah dan kawan-kawannya telah ke
sekolah dalam keadaan mereka berpuasa sunat. Sesuatu yang mengagumkan bagiku.
Apabila aku bertanya Wirdah, dia menjawab yang dia
telah terbiasa dengan amalan itu. Malah dahulu pun hidupnya susah. Jadi soal
berlapar adalah perkara biasa. Termenung aku seketika mendengar cerita Wirdah. Kemiskinan
dan kesusahan mengajarnya menjadi kuat. Kuat semangat dan cekal mengharungi
hidup lebih-lebih lagi setelah kematian kedua-dua orang tuanya. Dia tinggal
sebatang kara. Adik beradiknya hanyalah penghuni rumah anak-anak yatim itu.
“Sha tak apa-apakah?” soal Mak Engku yang melihat
aku agak goyah ketika menunaikan solat sunat Zohor.
“Tak apa Mak Engku. Sha cuma rasa letih sikit. Nak
berdiri pun rasa tak larat,” ujarku sambil tersenyum.
“Sha, sebenarnya harus bagi sesiapa sahaja yang bersolat
sunat untuk melakukannya dalam keadaan duduk walaupun tanpa keuzuran. Jadi
kalau Sha tak larat berdiri, Sha duduklah.”
Aku menganggukkan kepala tanda faham. Selesai
menunaikan solat, kami meneruskan dengan pengajian al-Quran. Agak membanggakan
buat diriku kerana aku mampu menghafal surah pendek dan ayat-ayat dalam solat.
Malah aku juga telah mengenal huruf-huruf di dalam al-Quran. Aku bangga kerana
aku mulai celik al-Quran.
Aku pulang ke rumah setelah menunaikan solat Asar.
Tubuh rasa amat letih dan aku membaringkan diri di atas katil. Iskandar pulang
seketika kemudian. Dia masuk ke bilik dan menegurku.
“Sayang penatkah?” soalnya sambil memicit lembut
tanganku.
Aku biarkan sahaja. Terasa selesa urutannya. Hilang
rasa lenguh.
“Abang, pertama kali Sha berpuasa dan Sha rasa macam
nak berbuka aje. Letih dan kering tekak Sha. Tapi bila tengok Wirdah, Sha nak
teruskan juga. Keadaan Wirdah buat Sha terfikir dan ingin rasa macam mana hidup
orang susah. Wirdah beritahu Sha yang dia selalu makan sehari sekali aje. Pergi
sekolah jalan kaki tanpa sarapan. Hidup dia susah tapi dia begitu kaya dengan
budi pekerti dan taat pada agama. Pandang dia pun, hati dah rasa tenang. Tak
pernah Sha jumpa remaja sebegini.”
“Sebab tu dia jadi kesayangan penghuni di sini.
Nadhir tu pun tak dapat tahan hati nak dekati dia. Tapi dia macam yang Sha
kenal. Tegas dalam pendiriannya, sentiasa tunduk dan patuh pada suruhan dan
larangan agama. Pendek kata dia adalah contoh muslimah sejati,” Iskandar turut
memuji.
Entah kenapa, aku tidak rasa cemburu ketika Iskandar
memuji Wirdah padahal Wirdah adalah perempuan dan Iskandar boleh menikahinya.
Malah kalau menjadi maduku pun, boleh.
“Sha sukakan Wirdah. Kalau kita jadikan dia, adik
angkat kita boleh tak?” soalku sambil tersenyum.
“Adik angkat?” soal Iskandar kembali.
“Ya, adik angkat kita berdua. Kita tanggung semua
perbelanjaan dia. Jika boleh, Sha nak hantar dia belajar ke luar negara. Mesir
atau Jordan seperti yang dia impikan.”
Iskandar tersenyum dan kemudian menganggukkan
kepala.
“Kalau Sha rasa nak ambil dia jadi adik, abang
setuju aje. Nanti Sha beritahu Mak Engku dan dia. Sha kena terima apa aje
keputusan Wirdah sebab dia berhak memilih untuk menjadi adik kita atau tak.”
“Baiklah. Nanti Sha tanyakan pendapat Mak Engku.”
“Sha nak makan apa hari ni? Biar abang masak sebagai
meraikan Sha berpuasa hari ni,” ujar Iskandar setelah lama kami mendiamkan
diri.
“Abang masak apa aje pun tak apa. Sha akan makan.”
Jika dahulu aku sering memilih dan cerewet ketika
makan, tetapi kini perangai itu telah dapat aku hindari. Sekarang, aku boleh
makan apa sahaja yang terhidang di hadapanku. Janji halal dan bersih, aku akan
makan. Aku belajar mensyukuri rezeki yang ALLAH beri.
“Kalau begitu, abang nak masak nasi ayam Hainan buat
Sha.”
“Wah! Sedap tu. Sha nak tengok cara abang masak,”
kataku dengan wajah teruja.
Sejak akhir-akhir ini apa sahaja yang dimasak oleh
Iskandar amat sedap pada tekakku. Aku akan makan sehingga habis apa sahaja yang
Iskandar hidang. Sebenarnya Iskandar lebih banyak memasak berbandingku. Aku
memang tidak pandai dalam soal ini dan lebih banyak melihat. Iskandar akan
menerangkan padaku langkah untuk memasak dan kerap kali aku akan menolongnya.
“Sha boleh tahankah? Takut nanti tengok ayam, tak
tahan nak buka puasa pula.”
“Insya-ALLAH Sha akan tahan.”
Sejak berada di tempat ini aku telah pandai
menggunakan perkataan Insya-ALLAH, ALHAMDULILLAH dan SUBHANALLAH.
“Kalau begitu, jom tolong abang di dapur.”
Aku bingkas bangun dan mengekori langkah Iskandar ke
dapur. Iskandar menyuruhku duduk di kerusi sambil memerhati kerja-kerja yang
dilakukannya. Iskandar mengeluarkan ayam yang telah dibersihkan dari peti
sejuk. Aku hanya memerhati Iskandar memerap ayam dengan memasukkan kicap,
minyak bijan, bawang putih yang ditumbuk dan sedikit garam. Dia kemudiannya
menumis bawang dan memasukkan air ke dalam periuk. Kiub ayam turut dimasukkan. Beras
dibasuh dan ditoskan di dalam bekas penapis.
“Kenapa abang tak masukkan beras tu dalam air?”
soalku kehairanan.
Setahu aku apabila hendak memasak nasi, beras
dimasukkan bersama-sama air.
“Kena didihkan air dulu baru boleh masukkan beras.
Ini petua nak masak nasi yang ada perencah macam nasi tomato, nasi beriani atau
nasi ayam. Kawan abang yang kerja chef beritahu abang. Nasi mudah masak dan tak
mentah.”
“Oooo....” Aku berbunyi begitu dengan mulut
dimuncungkan seolah aku memahami apa yang Iskandar terang.
“Panjangnya O. Faham tak?” ujar Iskandar dengan
senyuman.
Aku cepat menggeleng tanda tidak faham. Berderai
tawa Iskandar. Aku turut ketawa. Iskandar meneruskan kerjanya dan aku
menolongnya mengupas kulit timun. Ayam yang diperap tadi dikukus oleh Iskandar.
Terpesona aku melihat tingkah Iskandar. Dalam diam aku mengaguminya.
Ada pendapat menyatakan apabila lelaki memasak,
mereka nampak seksi. Aku tidak tahu tetapi dia memang kelihatan sungguh menarik
dalam apron berbelang biru. Orang cakap, ‘hot
stuff’. Memang hot! Tambahan pula
berada di dapur dan menggunakan api. Merenik peluhnya di dahi. Aku begitu asyik
merenung Iskandar sambil menompang dagu di meja.
“Kenapa tenung abang macam tu? Sha kena ingat Sha
masih berpuasa. Jangan nanti terbatal puasa sedangkan tak sampai sejam lagi nak
berbuka. Abang ni tak apalah sebab tak puasa.” Kata-kata Iskandar menyedarkan
aku yang terleka.
“Tak faham. Apa maksud abang?” Aku kerut dahi berfikir sejenak.
“Sha
renung-renung, takut abang tergoda. Nanti Sha yang susah,” ujar Iskandar lalu
ketawa.
Aku menampar geram bahunya. Suka benar dia
mengenakan aku. Aku pula kadangkala lurus bendul. Memang jadi bahan gurauan
Iskandar. Tetapi selalunya aku tidak marah. Sekadar geram sayang. Siapa tak
sayang suamikan?
Iskandar menghidang makanan dan aku menolongnya.
Setelah kedengaran azan, Iskandar membacakan doa. Buat pertama kalinya aku
berbuka puasa. Kurma yang tidak aku pandang suatu ketika dahulu, kini masuk ke
perutku. Terasa segar dan manis kurma yang kumakan. Semanis perasaanku kini.
Aku berbangga kerana berjaya menahan diri sepanjang hari daripada lapar dan
dahaga. Mungkin beginilah rasanya perasaan orang yang susah. Berlapar kerana
terpaksa. Tiada makanan untuk dimakan. Tetapi apabila dapat menjamah makanan,
begitu nikmat terasa.
“Abang, bagaimana Wirdah dapat menahan lapar
sedangkan dia masih kecil waktu ibu bapa dia masih ada? Tentu perit hidup dia.
Makan sehari sekali dan kadangkala berlaukkan ikan kering atau sayur yang
dikutip aje. Bapa dia pula tak mampu nak sedia makanan yang sempurna,” ujarku
yang tiba-tiba teringatkan cerita Wirdah tentang kehidupannya diwaktu kecil.
Bapa Wirdah sebenarnya buta dan hanya melakukan
kerja-kerja menghasilkan barang kraf. Barang itu dijual kepada peraih dan di pasar
sehari. Ibu Wirdah akan menolong bapanya ketika mereka menjual di pasar sehari.
Mereka dilanggar lari oleh sebuah kereta ketika pulang daripada menjual.
Disebabkan itu, Wirdah menjadi yatim piatu dalam usianya masih mentah.
“Itulah salah satu hikmah berpuasa. Kita akan dapat
merasa penderitaan orang yang tidak berkemampuan ataupun saudara kita yang
ditimpa peperangan atau bencana. Macam di Palestin atau Kemboja. Rakyat hidup
susah dan makan ala kadar.”
“Untung kita hidup di Malaysia. Serba mewah hingga
kadangkala makanan terbuang begitu aje. Dulu Sha pun macam tu. Kalau tak suka
makanan tu, Sha buang. Lepas tu beli yang lain. Perangai Sha begitu buruk masa
tu. Ada ketika Sha hina makanan yang terhidang padahal itulah rezeki Sha. Sha
tak tahu bersyukur,” ujarku menginsafi diri.
“Bersyukurlah sebab Sha dah sedar. Abang bangga
dengan Sha sebab mahu berubah. Dulu abang sangka abang perlukan masa yang
panjang untuk bentuk diri Sha tetapi rupanya ALLAH permudahkan tugas abang.
Mungkin berkat doa bonda yang memang nak lihat Sha berubah. Bonda yang beria-ia
minta abang tolong ubah Sha.”
“Bonda? Bukan ayahanda yang jodohkan kita?” soalku
sambil memandang tepat ke wajah Iskandar.
“Ayahanda setuju setelah bonda yakinkan ayahanda.
Masa tu, ayahanda takut Sha bertindak liar dan terus menjauh daripada mereka
kalau tahu yang Sha akan dikahwinkan dengan abang. Bila Sha kata setuju, terus
ayahanda atur perkahwinan kita dan jadi wakil Sha.”
Aku terdiam dan tertunduk menahan rasa sebak.
Ingatan terhadap bonda dan ayahanda seringkali buat aku ingin menangis.
Iskandar yang terperasan akan perubahan wajahku segera memegang tanganku seolah
memujukku.
“Maafkan abang jika kata-kata abang buat Sha sedih.”
“Tak apa. Sesekali teringat Sha rasa sedih. Tapi
Sha, okey. Abang jangan risau,” ujarku sambil mengorak senyum kepada Iskandar.
“Cepat habiskan makanan tu. Kata nak ke surau tadi.”
Aku mengangguk dan menyambung makan. Selesai makan,
aku menolong Iskandar mengemas dan kemudian bergerak mengambil wuduk. Kami
solat maghrib bersama-sama dan kemudian melangkah menuju ke surau untuk
mengikuti pengajian agama.
Bab 19
Selama
tiga bulan aku menjalani kehidupan yang aman damai di Darul Durrani. Aku sudah
mampu melakukan ibadat solat wajib dan solat-solat sunat dengan baik. Malah aku
sudah mampu membaca al-Quran walaupun masih bertatih. Kegiatan harianku banyak
dipenuhi dengan pengisian agama. Di masa lapang aku turut membantu anak-anak
yatim di situ dalam bidang pelajaran terutama Bahasa Inggeris. Iskandar
sentiasa ada untukku dan dia terus memberi semangat serta kekuatan buatku.
“Sayang, berat rasa hati abang nak tinggalkan sayang
untuk tiga hari di sini. Sepanjang abang tak ada, sayang jaga diri. Kalau
sunyi, sayang boleh ajak Wirdah dan yang lain tidur di sini,” ujar Iskandar
setelah selesai kami bersarapan.
Iskandar memberitahuku bahawa dia terpaksa pulang ke
Kuala Lumpur kerana ada sedikit urusan keluarga di sana. Aku tidak diberitahu
urusan apa tetapi dia menyatakan abah dan ibunya akan pulang dari New Zealand. Disebabkan
aku masih tidak selamat untuk bebas ke sana sini, jadi aku memilih untuk terus
tinggal di sini. Walaupun hati rasa keberatan untuk berpisah, tetapi aku
terpaksa akur.
“Baiklah. Tapi Sha harap abang telefon Sha selalu.”
Sebelum ini Iskandar telah membeli telefon dan
nombor yang baru buatku. Tetapi aku hanya dibenarkan untuk menghubunginya sahaja.
Ini untuk mengelakkan aku dikesan musuh. Jika tidak dipesan pun, aku memang
tidak mahu menghubungi sesiapa selain dia. Padaku, hidupku di sini lebih
bermakna dan aman. Kehidupanku yang lalu ingin aku tinggalkan. Malah aku rasa
malas untuk mengambil tahu hal syarikatku. Padaku harta dan kekayaan itulah
yang membuat aku terpisah dengan kedua ayahanda dan bonda. Aku tak mahu
disebabkan harta itu, aku terpisah pula daripada Iskandar.
“Abang akan telefon Sha setiap malam. Kalau waktu
siang, abang akan hantar mesej jika perlu. Abang tak mahu ganggu waktu Sha
belajar.”
“Sha akan tunggu abang telefon setiap malam. Sha nak
abang teman Sha tidur seperti selalu walaupun hanya suara abang yang Sha
dengar.”
Iskandar tersenyum sambil menarikku ke dalam
pelukannya. Lama kami dalam keadaan itu. Terasa begitu sukar untukku melepaskannya
pergi. Air mata yang kutahan mengalir juga.
“Jangan menangis, sayang. Abang pergi sekejap aje.
Selesai kerja abang, abang akan pulang secepat mungkin. Sha tunggu abang dan
jangan nakal-nakal,” ujar Iskandar sambil menyeka air mataku.
Aku tersenyum dan menggenggam tangannya. Tangan itu
kukucup lama sebelum aku lepaskannya.
“Abang jangan lupakan Sha, ya.”
“Abang tak mungkin lupa permaisuri hati abang. Sha
sabar, ya. Nanti lepas kes ni selesai, kita bebas ke mana aje. Masa tu abang
nak bawa Sha honeymoon di Switzerland.”
Aku tersenyum membayangkannya.
“Tak sabar rasanya Sha nak ke sana dengan abang. Sha
harap kes ni cepat selesai. Polis masih tak dapat bukti siapa yang terlibat?”
“Masih samar-samar tapi suspek utama, Ayah Bad. Dia
ada motif yang kuat untuk rampas syarikat dan harta benda Sha. Sekarang dia
berkuasa penuh dalam syarikat Sha setelah Sha serah semua urusan pada dia. Cuma
abang tertunggu-tunggu apa tindakan dia seterusnya.”
“Bagaimana kalau Sha lepaskan semua saham pada dia?
Sha rasa harta tu buat Sha kehilangan orang tersayang. Sha nak hidup aman di
sini. Biar kita hidup susah, janji kita bersama. Boleh tak abang jumpa Ayah Bad
dan bincang soal ni. Kita buat perjanjian dengan dia. Sha serah harta dan dia
beri kebebasan buat Sha. Jadi dengan itu kes ni akan selesai. Soal dia terlibat
atau tidak dengan pembunuhan ayahanda dan bonda, kita serahkan hal itu pada
polis.”
“Tapi syarikat tu adalah titik peluh ayahanda. Takkan
Sha nak lepaskan begitu aje?”
“Apa ada pada harta jika nyawa galang gantinya?”
soalku sedikit geram. Aku bersungguh untuk memudahkannya, Iskandar pula seolah
menyukarkannya.
“Abang tak mahu Sha menyesal kemudian hari. Tapi
kalau Sha bersungguh, nanti abang jumpa peguam dan bincang soal ni. Kena minta
pendapat dia dulu. Abang nak buat perjanjian secara rasmi dan minta jaminan
Ayah Bad supaya hidup kita tidak akan diganggu lagi selepas ni,” ujar Iskandar
seolah memujukku.
“Baiklah. Abang boleh jumpa peguam ayahanda. Minta
dia uruskan soal ni. Kalau boleh, Sha nak urusan ni disegerakan.”
“Baiklah, boss.” Iskandar menarik hidungku.
Aku terjerit kecil sambil menggosok hidung yang
pastinya telah memerah. Iskandar ketawa dan aku turut ketawa bersamanya.
Iskandar mencapai kunci van dan menyalami aku sebelum melangkah keluar. Sempat
juga dia menghadiahkan ciuman di dahiku. Aku melambaikan tangan dengan linangan
air mata. Aku memerhati hingga van itu hilang daripada padangan mata.
Ketika aku ingin melangkah ekor mataku sempat
melihat ada sebuah kereta CRV memasuki perkarangan rumah anak-anak yatim.
Mungkin pembekal atau penderma yang ingin berjumpa Mak Engku, fikirku. Aku menyambung langkah dan memasuki
rumah. Ketika aku ingin menutup pintu, mataku terpandang arah pemandu CRV tadi.
Hatiku seolah terhenti berdegup melihat wajahnya. Tetapi aku tidak pasti kerana
hanya nampak dari arah tepi.
Betulkah dia atau orang lain? Kalau betul, apa harus
aku buat? bisik hatiku penuh cuak.
Aku membiarkan daun pintu renggang agar dapat aku pastikan
orang itu. Lelaki itu turun daripada keretanya tetapi wajahnya tidak begitu
jelas. Mungkin kerana jarak rumah Mak Engku dan tempat aku mengintai, agak
jauh. Tambahan pula, dia sedang berbual di telefon dan tangannya menghalang
sebahagian mukanya. Aku dapat melihat Batrisya berlari ke arah lelaki itu.
Lelaki itu merendahkan diri lalu memeluk dan mendukung Batrisya. Batrisya
kelihatan sangat gembira. Aku hanya dapat melihat belakang lelaki itu yang
melangkah masuk ke rumah Mak Engku.
Hmm...ayahanda Batrisya rupanya. Bukan dialah, bisik
hatiku meyakinkan diri sendiri. Tetapi kenapa debar hatiku masih ada? Seolah
lelaki yang kulihat tadi adalah Raja Azrin Shah.
Tanpa mahu memikirkan persoalan itu, aku melangkah
ke dapur dan membasuh pinggan yang berada di singki. Tengah hari nanti aku
bercadang untuk makan bersama-sama Wirdah dan anak-anak yatim yang lain.
Selesai melakukan kerja mengemas, aku melangkah keluar menuju arah dewan makan
untuk mencari Wirdah.
Aku terpaksa melalui jalan hadapan rumah Mak Engku
untuk ke dewan makan. Sempat aku mengerling nombor plat CRV yang tertera.
Plat Wilayah. Betullah ni ayahanda Batrisya bukan
mangkuk tu, bisik hatiku.
Batrisya pernah memberitahuku bahawa ayahandanya
bekerja di Kuala Lumpur. Aku terus melangkah tanpa melihat rumah Mak Engku. Wirdah,
kulihat sedang duduk di meja batu di bawah pokok tidak jauh dari dewan makan.
Mungkin dia sedang mengulangkaji pelajaran kerana terdapat beberapa buku di
atas meja. Begitu tekun dia mencoret sesuatu di buku.
“Assalamualaikum,” aku memberi salam lalu duduk di
sebelahnya.
“Waalaikumusalam,” Wirdah tersenyum sambil menjawab
salamku.
“Wirdah seorangkah? Mana kawan-kawan yang lain?”
“Syahmina balik ke bilik dan Izyan ke tandas
sekejap. Kak Sha tolonglah ajar Wirdah Bahasa Inggeris ni. Wirdah tak pandai
nak buat ayat,” pinta Wirdah dengan muka mengharap. Tampak comel wajah itu di
mataku.
Aku anggukkan kepala dan melihat bersama-samanya
buku yang terbentang. Aku menerangkan cara membuat ayat untuk karangannya. Wirdah
begitu tekun mencatat segala ajaranku dan sesekali bertanya maksud perkataan
yang tidak difahaminya. Izyan menghampiri kami berdua dan memberi salam. Kami
menjawab salam Izyan serentak. Izyan mengambil tempat di sebelahku. Aku terus
membantu mereka berdua mengulangkaji pelajaran.
“Aunty!”
panggil Batrisya yang muncul di situ secara tiba-tiba.
Aku dapat melihat wajahnya yang kemerahan dan
berpeluh. Pasti dia berlari sebentar tadi.
“Ya, Risya. Risya cari aunty ke?” soalku sambil tersenyum.
“Ayahanda nak jumpa aunty,” ujar Batrisya sambil menunjuk arah lelaki yang sedang
berdiri tidak jauh dari situ.
Berderau darahku melihat lelaki itu. Aku pandang
Batrisya dan kemudian lelaki itu. Patutlah wajah Batrisya membuat aku teringatkan
dia. Lelaki yang pernah bertahta di hatiku. Lelaki yang mengharu-birukan
hidupku. Batrisya begitu mirip wajah Raja Azrin. Rupanya benar gerak hatiku tadi.
Memang itu Raja Azrin Shah.
Aku alihkan wajahku ke arah Wirdah. Wirdah dan Izyan
memerhati tingkahku. Aku tahu mereka pasti hairan kerana aku membelakangkan
Batrisya. Tidak pernah aku bersikap begitu bila bersua Batrisya sebelum ini.
Selalunya aku layan Batrisya dengan sangat mesra.
“Aunty
Sha,” panggil Batrisya lagi.
Aku palingkan sedikit wajahku untuk melihat
Batrisya. Dalam hati rasa kasihan padanya tetapi aku perlu bertegas. Tak mahu
aku mengulangi kisah silam atau mengharapkan dirinya lagi. Segalanya telah aku
noktahkan setelah hatiku, kuserah pada Iskandar.
“Maafkan aunty.
Aunty tak mahu jumpa ayahanda Risya. Uncle Nain tak ada di sini. Jadi aunty rasa tak manis buat begitu. Risya
pun tahukan? Macam yang ustazah pernah ajar. Lelaki dan perempuan bukan mahram
tak boleh berjumpa berduaan. ”
Aku beralasan sehabis baik untuk tidak mengecilkan
hati Batrisya.
“Aunty
jangan risau, Risya ada. Bukan nak jumpa berdua.” Risya cuba memujuk.
Wirdah dan Izyan hanya memerhati tanpa kata.
Sesekali mata mereka mencuri pandang ke arah Raja Azrin.
“Tapi aunty...”
“Maaf Risya, aunty
tak boleh.”
“Tengku Kiesha Khalila! I nak cakap dengan you
sebentar.”
Terdengar suara Raja Azrin yang berdiri di belakang
Batrisya. Aku tak tahu bila dia menghampiri kami. Mungkin kerana aku
memusingkan badan membelakanginya, jadi aku tidak perasan.
“Maaf. Saya tak kenal awak. Jadi, jangan ganggu
saya.”
Aku masih membelakanginya. Aku melihat wajah Wirdah.
Cuba mencari kekuatan diri ketika itu. Wirdah yang seolah memahami, menggenggam
tanganku. Matanya lunak menyapa wajahku.
“Tak kenal atau pura-pura tak kenal?” soal Raja
Azrin.
Aku tunduk mendiamkan diri.
“Risya, kalau Risya nak tahu inilah mama Risya. Mama
yang lahirkan Risya bukan bonda,” ujar Raja Azrin mengejutkan semua di situ.
“Apa maksud kau ni Rain?” soalku marah. Aku bingkas
bangun menghadapnya.
“Kenal pun rupanya. Tadi sombong sangat,” kata Raja
Azrin sambil mencebikkan bibirnya.
“Ayahanda, betulkah ni mama Risya? Mama kandung
Risya?” soal Batrisya sambil melihat aku dan Raja Azrin, silih berganti.
Wajahnya penuh dengan tanda tanya.
“Ya, sayang. Inilah mama Risya yang sebenarnya.
Ayahanda ambil Risya di hospital selepas mama Risya lahirkan Risya. Masa tu
bonda Risya baru kehilangan baby yang
lahir tak cukup bulan. Mama Risya pula tak mahukan Risya. Jadi, ayahanda ambil
dan bawa Risya jumpa bonda. Bonda sukakan Risya dan anggap Risya seperti anak
dia sendiri,” ujar Raja Azrin sambil tersenyum memandangku.
Hatiku terasa menggelegak.
“Oh! Rupanya kaulah yang curi Risya masa di hospital
tu. Kau memang tak berhati perut!” mulutku menghamburkan kemarahan.
Tanpa sedar, aku terus meluru ke arah Raja Azrin.
Inginku tumbuk dan patah-patahkan tulangnya. Biar dia tahu perasaan sakit
hatiku. Tangan yang kulayangkan ke muka Raja Azrin dapat ditangkap olehnya. Aku
cuba menendang tetapi dia pantas mengilas tanganku ke belakang. Aku mengadui
kesakitan. Tenaga wanita tidak mampu mengatasi tenaga lelaki.
“Kiesha! Berhenti meronta dan ikut I jika tak mahu terus
jadi perhatian ramai,” ucap Raja Azrin hampir di telingaku.
Aku berhenti meronta dan melihat ke hadapan. Ramai
anak-anak yatim yang memerhatikan kami. Wirdah cuba membantu aku tetapi
langkahnya terhenti apabila Raja Azrin mengangkat tangan dan mengisyaratkan
agar berhenti.
“Lepaskan aku!”
“I akan lepaskan you, sayang. Tapi ikut I. Kita
perlu selesaikan hal ni.”
“Baiklah. Tapi aku nak bawa Wirdah sekali. Tak elok
jika hanya kita berdua.”
“Okey. I akan bawa Risya dan Wirdah untuk temankan you.”
Raja Azrin melepaskan tangannya. Aku menggosok-gosok
tangan yang dikilas tadi. Terasa masih sakit kerana Raja Azrin mengilas dengan
agak kuat. Wirdah dan Izyan menghampiriku.
“Hanya Wirdah yang boleh ikut. Yan tunggu di sini,”
ujar Raja Azrin memberi arahan.
Aku melihat wajah Wirdah dan Wirdah mengangguk tanda
setuju. Aku memegang tangan Wirdah dan mengikut langkah Raja Azrin yang telah
bergerak bersama-sama Batrisya. Sesekali Batrisya menoleh untuk melihatku. Aku
tahu Batrisya pasti keliru saat ini. Kami tiba di kereta Raja Azrin. Batrisya
terlebih dahulu masuk ke dalam kereta dan duduk di ruang hadapan bersebelahan
pemandu. Raja Azrin membuka pintu belakang untukku dan Wirdah.
“Azrin!” panggil Mak Engku.
Dia menyarungkan sandalnya dan bergerak ke arah kami
dalam keadaan gopoh- gapah. Dia cuba menghalang Raja Azrin daripada membawaku.
“Bonda, biar Rain selesaikan hal ni dengan Kiesha.
Bonda tak perlu campur tangan.”
“Rain, dengar cakap bonda. Sha isteri orang. Jangan
buat begini, berdosa. Tak baik nak runtuhkan masjid yang telah terbina.”
“Bonda... Si Nain tu dah bohongkan Kiesha dan bonda.
Dia tak pernah pun kahwin dengan Kiesha. Rain tahulah sebab Rain ikuti
perkembangan diri Kiesha. Mana ada majlis akad nikah antara mereka berdua.
Kalau bonda tak percaya, cuba tanya Kiesha bila tarikh dan masa dia bernikah.”
Aku dan Wirdah hanya memerhati perdebatan kedua-dua
beranak itu. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku boleh mendiamkan diri. Ingin aku
dengar cerita Raja Azrin tentang Iskandar. Mungkin kerana perasaan curigaku
terhadap Iskandar masih terselit di hati.
“Sha, cuba beritahu Mak Engku betul atau tidak apa
yang Rain kata?” soal Mak Engku sambil memandang tepat ke wajahku.
“Abang Nain
beritahu Sha yang kami dinikahkan oleh ayahanda dua minggu sebelum kejadian
pembunuhan tu. Kalau tak silap pagi hari Khamis, 15 Mac lepas. Akad nikah di
pejabat kadi.”
“Kiesha, you ada tak surat nikah untuk sahkan hal
ni?” soal Raja Azrin.
“Abang Nain beritahu dia tertinggal surat nikah di
Kuala Lumpur dan yang Sha punya ada dalam simpanan ayahanda. Ayahanda tak
sempat nak beri pada Sha sebab lepas akad nikah tu, ayahanda dan Abang Nain ke Madinah,”
ujarku dengan yakin.
“Bodoh betul you ni, Kiesha. Mudah kena tipu. Nain
tu pembohong besar. I kenallah dia tu. Pasti dia nak tipu dan rampas harta
you.” Raja Azrin mencebik mulutnya. Hatiku makin panas mendengar tuduhan itu.
“Kalau you dah kenal sangat hubby I, cuba you beritahu kenapa you panggil dia pembohong besar?”
soalku dengan nada yang kian tinggi.
“Sha... Rain... lebih baik kita semua masuk ke dalam
rumah untuk bincang soal ni. Tak perlu keluar sebab Sha tak minta izin Nain.
Lagi pun Nain dah pesan pada Mak Engku agar tengok-tengokkan Sha waktu dia
tiada di sini,” ujar Mak Engku perlahan tetapi tegas.
Aku mengangguk dan memegang tangan Wirdah. Padaku Wirdah
perlu ada untuk menyuntik semangat buat diriku.
“Wirdah tak perlu ada jika kita tak keluar,” ujar
Raja Azrin Shah apabila melihat Wirdah mengikutku.
“Jika Wirdah tak ada, Sha tak nak berbincang. Wirdah
adik Sha dan Sha perlukan dia.” Aku bertegas.
“Baiklah. I tak ada masalah. Cuma takut you yang
termalu nanti dengan Wirdah,” perli Raja Azrin.
Aku menjeling marah pada Raja Azrin tetapi aku tetap
memasuki rumah Mak Engku. Aku perlu pertahankan apa yang aku miliki sekarang.
Tidak mahu lagi aku menoleh ke belakang. Sejarah silam perlu dilenyapkan.
5 ulasan:
is benci dngan azrin,
is benci dngan azrin,
akak best sangat2. Saya dah bca bap 20 kt ilham, cepat2 sambung ye,
nani comel..
Terima kasih dan teruslah ikuti kisah ini. Akak akan cuba update jika tak sibuk.
Ada perbincangan berkaitan dengan Langkah Bendul dalam Semanis Kurma
Semoga Bermanfaat
Catat Ulasan