Bab 20
Aku
dan Wirdah memilih untuk duduk di sofa berdua. Raja Azrin pula duduk di sofa
berhadapanku. Mak Engku dan Batrisya duduk bersama-sama di sofa bersebelahan
Raja Azrin. Mata mereka tertumpu ke arahku.
“Kak Sha jangan risau. Walau apa pun yang terjadi, Wirdah
akan tetap bersama Kak Sha. Kak Sha tak perlu rasa malu atau rendah diri.
Hadapi soal ni dengan tenang dan sabar. Insya-ALLAH, ALLAH bersama Kak Sha,”
kata Wirdah memberi semangat.
Aku menggenggam erat tangan Wirdah. Hati yang panas
menggelegak terasa surut sedikit demi sedikit. Itulah istimewanya Wirdah. Mampu
mendamaikan hati bila dia menasihat.
“I nak tanya you, Rain. Kenapa you panggil suami I
pembohong besar? Apa bukti you yang dia berbohong?” ujarku setelah aku dapat
mengawal emosi marahku sepenuhnya.
“You tahu apa pekerjaan Nain?” soal Raja Azrin
sambil memandang tepat ke wajahku.
“Dia kerja dengan ayahanda I dan jadi bodyguard I.”
“Maknanya you tak tahulah dia pernah kena penjara
kerana belasah orang sampai mati? Tentu you tak percayakan? Dia bukan saja
bunuh orang tapi dia juga peras ugut orang-orang kaya untuk bayar wang
pelindungan kepada dia. Sebenarnya, dia orang kedua dalam kumpulan gangster. Kapten tu pula, ketua dia.”
Aku agak terkejut mendengar kata-kata Raja Azrin.
Betulkah cakapnya atau dia sengaja mereka-reka cerita?
“Rain...bonda tak rasa Nain begitu. Mungkin Rain
silap orang.” Mak Engku mencelah.
“Rain nak tanya bonda. Bonda kenal siapa Nain dan
Kapten? Kapten yang bonda sebut tu dah dapat bonda hubungi?” soal Raja Azrin
bertubi-tubi.
“Bonda tak kenal sangat Kapten tu. Bonda kenal dia
pun sebab dia pernah datang untuk bagi bantuan buat anak-anak yatim. Dia bagi
nombor telefon rumah dan bonda dah telefon. Isteri dia kata dia keluar Negara
dan tak mahu beri nombor telefon Kapten. Segala urusan Kapten, isteri dia tak
tahu. Bonda tak dapat maklumat Nain sebab isteri kapten enggan berbual panjang.
Tapi pada bonda, Nain sangat baik dan banyak menolong kerja-kerja di sini. Dia baiki
paip yang bocor dan wakaf yang rosak.”
“Hanya kerana dia tolong bonda, bonda kata dia
sangat baik? Kalau Rain, bonda kata jahat. Inilah kelemahan bonda. Mudah
terpedaya dengan orang. Anak sendiri tak mahu percaya. Ada perniagaan serah
pada anak pungut. Anak sendiri ditolak ke tepi. Memang padanlah kalau kena
tipu,” sindir Raja Azrin Shah.
“Rain! Jangan nak ungkit hal Zain pula. Rain pun
tahu, bukan bonda yang tentukan siapa berkuasa dalam perniagaan kita. Arwah
ayahanda Rain sendiri yang putuskan. Pada bonda, Zain memang layak untuk
terajui perniagaan kita dan terbukti dia cukup beramanah serta gigih
memajukannya. Kalau serah pada Rain yang boros, silap-silap bungkus dah. Muflis,
bankrap. Jangan-jangan tempat ni pun, Rain jual.”
Kenyataan Mak Engku agak mengejutkan aku. Sebenarnya
aku tidak mengenali kaum keluarga Raja Azrin sebelum ini. Sepanjang perkenalan
kami, dia jarang bercerita tentang keluarganya. Malah aku mengenalinya dengan
nama Azrin atau Rain sahaja. Aku tidak tahu dia berketurunan raja sehinggalah
aku terlihat kad keahlian kerabat dirajanya ketika dia membuka beg duitnya. Dia
pernah memberitahuku bapanya, Raja Azhan adalah seorang diplomat dan menjadi
duta di Arab Saudi. Disebabkan Raja Azrin masih belajar di tahun akhir, jadi
dia tinggal seorang diri di Malaysia. Aku pula ketika itu baru memasuki
universiti yang sama dengannya.
“Asyik-asyik Zain. Tapi tak apa. Hari ni Rain tak
mahu sentuh soal Zain. Rain nak fokus soal Nain, si pembohong besar. Kalau
bonda nak tahu, Kapten tu dah pakat dengan Nain konon ada musuh yang nak bunuh Kiesha
tapi sebenarnya mereka yang sengaja nak bolot harta Kiesha. Orang yang nak
bunuh Kiesha tu, orang mereka. Tengku Badri adalah big boss mereka dan merupakan dalang dalam pembunuhan ibu bapa Kiesha.”
Terang Raja Azrin dengan penuh yakin.
“You bohong! Tak mungkin Abang Badri tergamak buat
begitu pada bapa saudara dia sendiri. Abang Badri seorang yang baik dan sangat
sayangkan ayahanda. Tak mungkin dia membunuh semata-mata kerana harta,” ujarku
tidak percaya. Mataku bulat merenung wajah Raja Azrin. Tuduhannya terhadap
Tengku Badri sukar untuk aku percayai.
“You ni terlalu naif. Mereka telah rancang dengan
teliti. Sebelum malam kejadian tu, sengaja Nain beri alasan yang emaknya
meninggal supaya dia dapat mengelakkan diri daripada dituduh sebagai pembunuh.
Tapi sebenarnya dia pulang sebaik sahaja selesai perkebumian emak dia tu. Tentu
dia beritahu you yang dia ada di kampung. Betul tak Kiesha?” soal Raja Azrin
dengan begitu yakin.
Aku agak terkejut mendengar kata-kata Raja Azrin.
Bagaimana dia tahu Iskandar berkata begitu kepadaku? Hatiku mulai keliru. Siapa
yang bercakap benar sekarang ini?
“Apa bukti you tuduh dia?” soalku walaupun keraguan
telah berbayang di hati.
“Apa bukti yang you ada untuk menafikannya? Tentu
tak adakan? You tak kenal dia. Bila dia datang konon tolong you, you terus
percaya pada dia. Pasti you serah tubuh badan you dengan mudah. Bila you sedar
you dah tersilap, dia yakinkan you yang dia dan you dah kahwin. Jadi you akan
terus percaya pada dia. Dia dapat body
you dan nanti dapat harta you.” Raja Azrin tersenyum sinis kepadaku.
Sakit hatiku bukan kepalang. Dia menuduhku
seolah-olah aku begitu murah dan mudah menyerahkan diri pada sesiapa sahaja.
Mungkin dahulu aku begitu murah di matanya tetapi aku tidak mahu dia terus
menganggap aku sebegitu. Aku ada harga diri. Aku ada maruah. Tapi kalau benar
kata-katanya tentang Iskandar, di mana harga diriku? Pasti aku lebih teruk daripada
dahulu. Tinggal sebumbung dan sekatil dengan lelaki yang kuanggap suami. Hakikatnya?
Tidak dapat aku bayangkan jika itu benar. Pasti hancur luluh hatiku. Tapi,
kenapa harus aku mempercayai kata-katanya?
“Rain! Jangan buat fitnah. Kalau apa yang Rain kata
tak betul, Rain dah berdosa. Bonda tak percaya Nain begitu. Solat tak tinggal dan
amalan agamanya pun sangat baik. Tak mungkin mereka tak kahwin lagi,” bantah
Mak Engku yang wajahnya jelas menunjukkan kemarahan.
“Kalau bonda nak tahu, Kiesha ni sebenarnya ibu
kandung Risya. Risya anak kami berdua. Jadi bonda jangan terkejut jika dia
boleh tinggal dengan Nain tanpa nikah sebab dia mudah serah diri pada lelaki,”
ujar Raja Azrin mengejutkan Mak Engku dan Wirdah.
Batrisya hanya memerhati dengan mata terkebil-kebil.
Mungkin tidak memahami perkara yang berlaku ketika itu. Hatiku terasa amat sakit.
Dia menghina aku di hadapan insan-insan yang aku hormati. Aku bangun untuk
menumbuk mulut berbisa Raja Azrin tetapi terhalang kerana Wirdah lebih pantas
memelukku dan menyuruhku bersabar.
“Sabar, Kak Sha. Jangan bertindak melulu. Jika
tuduhan ini fitnah, Kak Sha perlu hadapinya dengan tenang. Kalau Kak Sha yakin
yang Kak Sha benar, pertahankanlah. Jangan mudah mengalah. Wirdah akan sokong
Kak Sha. Kak Sha tak keseorangan,” ujar Wirdah melunakkan hatiku.
Aku duduk kembali bersama-sama Wirdah. Tangan Wirdah
kugenggam untuk mendapatkan kekuatan. Wirdah turut membalasnya. Aku mendiamkan
diri bagi menenangkan perasaan. Wajah Iskandar terbayang di ruang mata.
Selalunya bila aku hadapi tekanan, Iskandar ada untukku. Pelukannya mampu
menenangkan hatiku. Tetapi hari ini hatiku tidak menentu. Apa yang aku harap,
aku mampu bertahan.
“Apa maksud Rain yang Risya anak Sha? Bukanlah Arysa
yang lahirkan Risya?” soal Mak Engku setelah melihatku tenang.
“Rain akui yang Rain terlanjur dengan Kiesha. Tapi
waktu tu bonda dan ayahanda dah tunangkan Rain dengan Arysa. Ayahanda desak
Rain terima Arysa sebab dah terhutang budi dengan keluarga Arysa. Semuanya
kerana perniagaan ayahanda. Rain tak ada pilihan dan terpaksa tinggalkan
Kiesha. Anak yang Arysa kandung alami masalah dan lahir tak cukup bulan. Baby tu meninggal dunia. Kebetulan masa
tu, Kiesha lahirkan Risya dan dia tak mahu bayi dia. Rain dapat tahu hal tu
daripada seorang jururawat dan dia tolong Rain dapatkan Risya. Rain bawa Risya
dan tunjuk pada Arysa. Arysa sukakan Risya dan anggap macam anak dia. Lepas tu
Rain beritahu semua orang yang itu anak Arysa. Semua orang percaya termasuk
bonda,” terang Raja Azrin dengan panjang lebar.
“Kenapa you sanggup berbohong Raja Azrin Shah? Apa
yang you dapat dengan pembohongan ni?” tempikku keras sambil bangun berdiri. Wirdah
turut bangun dan memaut lenganku.
“Mengaku ajelah Kiesha.” Raja Azrin tersenyum
sumbing tanpa mempedulikan kemarahanku. Begitu sakit hatiku melihat wajahnya
yang selamba.
“Nak mengaku apa kalau I tak pernah mengandung
apatah lagi nak lahirkan bayi. I tak tahu kenapa you sanggup buat semua ni. You
tak sayangkan anak you kah? Jangan jadikan Risya mangsa permainan you. Cukup I
rasa sakit diperbodohkan oleh you, dulu. You ragut kesucian I dengan cara
salah. Lepas tu, you tuduh I perempuan murah kerana you nak bersama Arysa. I
tak sangka hati you begitu busuk, Rain. Menyesal I kenal dan jatuh cinta pada
you.”
“You jangan bohonglah, Kiesha. I dengar sendiri you
mengaku you mengandungkan anak I. Tapi waktu tu I terpaksa tinggalkan you.
Sekarang I nak tebus kesilapan I dan penuhi impian you. Kahwin dengan I,
Kiesha. Risya perlukan mama dia dan I perlukan you. Kita lupakan kesilapan
lalu.”
Panas hatiku makin meningkat. Boleh dia melamarku
dalam keadaan begini? Setelah apa yang dilakukan terhadapku, dia ingat mudah
untukku menerimanya.
“You dah gila ke? I dah kahwin dan kalau tak kahwin
lagi pun, I memang tak mahu berbalik pada you. Cukup segala kesakitan yang you
hadiahkan buat I. I tak mahu ulanginya lagi.”
“I cuma bagi you peluang yang you dah terlepas.
Terima ajelah Kiesha. Bukankah you cintakan I?”
“Cukup! Hentikan semua cerita karut ni. I nak balik.
Lepas ni jangan muncul lagi depan muka I. I bencikan you. Tolong betulkan
kembali tanggapan Risya yang I ni bukan mama dia. Jangan rosakkan pemikiran
anak you demi kepentingan you.”
Aku melangkah dari situ bersama-sama Wirdah. Raja
Azrin sempat menyambar tanganku. Aku merentap kasar. Terlepas pegangannya.
Makin membuak rasa marahku terhadapnya.
“Kiesha! Jangan pergi. Kita tak habis bincang lagi.”
“Nak bincang apa lagi?” jerkahku.
Aku dapat melihat Batrisya memeluk nendanya. Mungkin
kerana takut melihat kemarahanku atau suaraku yang memetir. Hati rasa simpati
padanya tetapi aku tidak dapat berlembut dengan ayahandanya.
“Okey! I minta maaf. Tapi dengar dulu apa yang I nak
kata,” ujar Raja Azrin cuba berdiplomasi.
“Apa?” soalku, masih kasar.
“Kita lupakan segala kisah lalu dan kita mulakan
lembaran baru. I nak kahwin dengan you demi Batrisya. I tahu, dia ingin sangat
you jadi mama dia. Dia selalu telefon I dan beritahu tentang you. Segala-gala
tentang you menambat hatinya. Dia perlukan seorang mama, Kiesha. Tolong jadi
mama buat dia, please.”
Raja Azrin memujukku dengan nada yang lembut.
Selembut pujukannya ketika ingin mendapatkan diriku. Aku tahu pujukannya mampu
mencairkan hatiku. Jadi sebelum aku terperangkap dalam mainannya, aku perlu
bertindak.
“Mak Engku maafkan Sha. Sha harap Mak Engku
nasihatkan anak Mak Engku supaya tak ganggu isteri orang. Besar dosanya mengganggu
hak orang apatah lagi berniat merampasnya. Sha sayangkan Nain dan tak akan
terima sesiapa selain Nain,” ujarku lalu aku menarik tangan Wirdah agar
melangkah keluar dari situ dengan segera.
“Kiesha!” Raja Azrin cuba menghalang tetapi
langkahnya dihalang oleh Mak Engku.
“Rain! Cukuplah memalukan bonda. Sha isteri orang
dan tak mungkin jadi isteri Rain,” tegas suara mak Engku.
“Tapi bonda...”
“Tak ada tapi-tapi. Bonda tak suka perangai Rain ni.
Jangan ganggu Sha lagi.”
“Ahh!!” tempik Raja Azrin.
Aku dan Wirdah mempercepatkan langkah tanpa mahu
berpaling lagi. Kami berlari anak untuk segera sampai ke rumah. Bimbang Raja
Azrin mengekori. Tetapi kami menarik nafas lega apabila kelibatnya tidak
kelihatan.
Aku
keresahan memikirkan kata-kata Raja Azrin tentang Iskandar. Mundar-mandir aku
berjalan di ruang hadapan. Wirdah yang duduk di sofa hanya memerhati tingkahku.
“Kak Sha, duduklah dan bertenang. Kalau Kak Sha
mundar-mandir tak akan selesai masalah tapi akan menambahkan rasa resah.
Sebaiknya Kak Sha berselawat banyak-banyak agar hati Kak Sha tenang.”
Aku mengikut saranan Wirdah dan duduk di sebelahnya.
Dalam hati aku berselawat berulangkali. Tanganku mendail nombor telefon
Iskandar buat ke sepuluh kali.
“Wirdah, kenapa Abang Nain tak angkat telefon dia?
Asyik masuk peti suara aje,” ujarku sambil meletakkan telefon.
“Mungkin dia tutup telefon sebab dah dekat masuk
waktu solat Jumaat. Nanti lepas solat, dia telefon Kak Sha. Jangan risau
sangatlah,” ujar Wirdah seakan memujuk.
“Hmm... mungkin juga. Tak terfikir Kak Sha tadi.
Pasti dia berhenti untuk solat dulu. Nanti bila dia telefon, Kak Sha nak tanya
dia. Kata-kata Raja Azrin tadi buat Kak Sha tak senang hati.”
“Kak Sha, kalau tak keberatan Wirdah nak tanyakan
Kak Sha tentang Risya.”
“Wirdah pun fikir Kak Sha yang lahirkan Risya?”
soalku sambil memandang wajah Wirdah.
“Tak, bukan itu maksud Wirdah. Cuma Wirdah nak
dengar cerita Kak Sha tentang Risya. Dulu Kak Sha pernah cerita, kawan Kak Sha
lahirkan anak bernama Risya Kirana. Lepas tu dia dicuri dan hilang hingga ke
hari ni. Adakah benar Risya tu adalah Batrisya?”
“Wirdah percayakan siapa? Kak Sha atau dia?” soalku
agak garang.
“Maafkan Wirdah. Bukan Wirdah nak campur tangan
dalam soal Kak Sha.”
Aku tatap wajah Wirdah yang kelihatan takut-takut.
Rasa bersalah terbit di hatiku kerana memarahinya. Aku mencapai tangannya dan
menariknya ke dalam pelukanku sambil memohon maaf.
“Kak Sha, kalau soal Risya buat Kak Sha tak selesa,
kita lupakan saja. Wirdah tak nak Kak Sha tertekan dan susah hati.”
“Terima kasih Wirdah. Sebenarnya sukar untuk Kak Sha
ceritakan sejarah silam. Banyak sangat kenangan yang menguris hati Kak Sha.
Dulu, Kak Sha marah sangat bila dapat tahu Raja Azrin akan berkahwin dengan
Puteri Arysa yang merupakan senior Kak Sha. Kak Sha bohongkan dia dan kata Kak
Sha mengandung.”
“Jadi, Kak Sha bukanlah ibu Risya?”
Aku hanya tersenyum kelat tanpa mahu mengulas
panjang.
“Kalau Wirdah nak tahu, Puteri Arysa ni alim sikit dan
sentiasa menutup aurat. Dia juga terlibat dalam kumpulan usrah dan dakwah.
Pernah kumpulannya tegur pemakaian Kak Sha dan nak dakwah Kak Sha. Tapi Kak Sha
tak suka. Lebih-lebih lagi sebab dia rampas Raja Azrin daripada Kak Sha.”
“Wirdah pernah tengok arwah masa dia datang ke sini.
Masa tu dia tengah mengandung. Dia nampak baik. Engku Rain pun nampak gembira
dan bahagia. Lepas tu, Wirdah dapat tahu dia lahirkan Risya. Tak sampai setahun
umur Risya, Puteri meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya. Mak Engku bawa
balik Risya ke sini dan kerapkali Engku Rain balik tengok Risya.”
“Kak Sha tak tahu semua tu. Masa tu Kak Sha sendiri
pun tengah hadapi masalah dalam diri. Kak Sha kesal dengan sikap Raja Azrin
yang lepas tangan. Tak mahu mengaku perbuatan dia walaupun Kak Sha dah
berlembut dan tak ambil tindakan undang-undang.”
“Kenapa Kak Sha biarkan dia terlepas selepas apa
yang dia buat pada Kak Sha? Bonda dan ayahanda Kak Sha tak marahkah?”
“Kak Sha tak cerita pun pada mereka apa yang Raja
Azrin buat pada Kak Sha. Mungkin kerana Kak Sha terlalu sayangkan dia. Dia rayu
dan minta maaf. Dia kata dia tersilap dan tak dapat kawal nafsu bila tengok Kak
Sha. Kak Sha yang bodoh ni, percaya pada janji dia yang kata akan pinang Kak Sha
secepat mungkin. Tapi lepas sebulan daripada kejadian tu, dia tinggalkan Kak
Sha.” Aku duduk di sebelah Wirdah sambil melepaskan sebuah keluhan.
“Tak patut Engku Rain buat begitu pada Kak Sha.
Kenapa Kak Sha tak jumpa Mak Engku untuk beritahu hal ni? Mungkin Mak Engku
akan terima Kak Sha.”
“Kak Sha tak dapat fikir dengan waras ketika tu. Kak
Sha malu nak ceritakan kejadian tu. Hanya Shila yang tahu dan dia nasihatkan
Kak Sha buat laporan polis. Tapi Kak Sha tak mahu sebab akan memalukan ayahanda
dan bonda Kak Sha. Sebab tu, Kak Sha pilih untuk sambung belajar keluar Negara
bagi lupakan masalah tu.”
“Adakah Kak Sha dapat lupakannya?”
“Kak Sha tak
dapat lupakan walaupun pelbagai cara Kak Sha buat termasuk yang haram. Makin
lama, hidup Kak Sha makin jauh menyimpang. Tinggal di tempat asing dan bergaul
dengan orang bukan Islam buat Kak Sha hidup seperti mereka. Hidup tanpa aturan
agama. Tapi Kak Sha bersyukur kerana ALLAH beri kesempatan untuk Kak Sha
bertaubat,” ujarku sambil tersenyum memandang Wirdah.
“Kak Sha, kalau kita nak pastikan seseorang tu anak
kita atau tidak, kita boleh jalankan ujian DNAkan? Kalau Engku Rain berkeras
nanti, Kak Sha buatlah ujian tu. Kalau ada maklumat tu, pasti akan tahu siapa
ibu kandung Risya.”
“Betul juga. Kenapalah Kak Sha tak terfikir tadi.
Lepas ni kalau Rain berkeras juga, Kak Sha akan minta kami semua buat ujian tu.
Lepas tu baru boleh sahkan Risya anak siapa.”
Wirdah tersenyum melihatku. Dia menganggukkan kepala
tanda setuju.
“Wirdah dah lama tinggal di sinikan?”
“Ya.”
“Tentu Wirdah tahu serba sedikit hal keluarga Mak
Engku. Kak Sha hairan kenapa Mak Engku tinggal di sini seorang diri. Siapa
Zain? Kenapa Raja Azrin panggil dia anak pungut?” aku menyoal seolah-olah Wirdah
tahu kesemuanya.
“Setahu Wirdah, dulu tempat ni diurus oleh Raja Hussin,
bapa Mak Engku. Lepas Raja Hussin meninggal, Mak Engku upah Haji Kassim untuk
uruskannya. Tapi lepas tu, Mak Engku datang dan tinggal di sini. Kata Mak Engku,
dia nak hilangkan rasa sedih lepas kematian Pak Engku. Abang Zain sebenarnya
anak yatim piatu yang dijadikan anak angkat oleh Mak Engku. Sejak kecil lagi, Mak
Engku dah pelihara dia. Walaupun tak ada pertalian darah, tapi Mak Engku sangat
sayangkan dia. Abang Zain seorang yang baik dan bertanggungjawab. Dia kahwin
dengan Ustazah Husna yang juga anak yatim piatu. Sekali-sekala mereka akan ke
sini untuk lawat Mak Engku.”
“Baguslah begitu. Raja Azrin tu bukan boleh diharap.
Kak Sha hairan kenapa dia bersungguh-sungguh nak Kak Sha mengaku sebagai mama
Risya. Ajak kahwin pula tu. Kalau dulu mungkin Kak Sha akan terima dia tapi
sekarang memang Kak Sha tak mahu. Abang Nain cukup membahagiakan Kak Sha.”
“Jadi, Kak Sha jangan perduli sangat kata-kata dia
tadi. Abang Nain aje yang boleh sahkan yang dia memang suami Kak Sha,” ujar
Wirdah sambil tersenyum.
“Betul tu. Tak perlu risau. Jomlah kita pergi makan.
Kak Sha rasa mungkin Raja Azrin dah pergi masjid. Jadi tak adalah dia nak
ganggu Kak Sha buat masa ni.”
Wirdah mengikutku keluar dan menuju ke dapur dewan
makan. Kami makan bersama-sama penghuni perempuan yang lain. Penghuni lelaki
sebenarnya telah makan terlebih dahulu sebelum ke masjid. Selesai makan, kami
beramai-ramai ke surau untuk solat Zohor. Aku terus berada di surau kerana
mengikuti pengajian agama yang di sampaikan oleh Ustazah Nurul Jannah.
Sepanjang waktu itu aku membiarkan telefonku berada dalam mod senyap. Aku
berharap apabila Iskandar menelefon, aku akan perasan. Tetapi aku hampa kerana
Iskandar tidak menghubungiku.
Aku pulang sekejap ke rumah pada lewat petang untuk
mandi dan menyalin pakaian. Kesempatan itu aku gunakan untuk menghubungi
Iskandar. Hatiku mulai terasa pelik. Pelbagai persoalan menjelma di lubuk fikiran.
Andaian buruk menerpa di minda. Kata-kata Raja Azrin tentang Iskandar yang
dianggap pembohong besar, terngiang-ngiang di telinga. Sedaya upaya aku melawan
perasaan itu. Aku cuba sedapkan hati sendiri dengan beranggapan yang baik
sahaja.
Maghrib itu aku solat di surau dan mengikuti kuliah
Maghrib. Hatiku makin tidak tenang. Apa yang disampaikan oleh Ustaz Kassim
tidak menarik perhatianku. Minda asyik mengingati Iskandar.
Kenapa abang tak hubungi Sha? Adakah benar apa yang
Rain kata? Kalau benar macam mana hidup Sha? bisik hatiku, mulai meragui. Astaghfirullah!
Aku dalam majlis agama. Majlis untuk ingatkan ALLAH. Kenapa aku ingatkan yang
lain? Fokus Sha, fokus!
Aku cuba memberi tumpuan semula tetapi agak hampa
kerana Ustaz Kassim telah menutup kalamnya dengan bacaan doa. Seketika kemudian
laungan azan Isyak kedengaran. Aku menunaikan solat sunat dan solat Isyak
bersama jemaah yang lain. Solatku juga seolah terganggu dengan
lintasan-lintasan di hati yang masih mengingati Iskandar. Aku tahu, tidak
sepatutnya aku bersikap begitu tetapi apakan daya, imanku masih lemah. Syaitan
mudah menyelinap dalam hati yang lalai.
“Kak Sha, kita pergi makan dulu sebelum balik ke
rumah Kak Sha,” ujar Wirdah setelah kami keluar daripada surau.
“Hmm...baiklah,” jawabku lemah.
“Tak semangat aje Kak Sha malam ni,” tegur Syahmina
yang ada bersama kami.
“Kak Sha risaulah Mina,” ujarku berterus terang.
Sebenarnya aku rasa selesa berbual dengan Syahmina
dan Wirdah dan boleh berkongsi cerita dengan mereka berdua. Kadangkala
pandangan mereka agak matang daripada usia mereka. Mungkin kemiskinan dan cara
hidup di situ membuatkan mereka lebih fokus soal hidup secara Islam dan
mengamalkannya. Kehidupan yang sederhana dan diberkati ALLAH.
“Kak Sha kena bertenang. Jangan fikirkan masalah
yang belum Kak Sha tahu benar atau tidaknya. Kita makan dulu dan nanti kita
fikirkan apa yang perlu dibuat,” ujar Wirdah sambil memegang tanganku.
Aku tersenyum melihat mereka tersenyum. Kakiku
terhenti apabila aku terlihat kelibat Raja Azrin berhampiran pintu masuk untuk
lelaki di dewan makan itu. Aku ingin berpatah balik tetapi kehadiran Mak Engku
membuatkan aku serba salah.
“Jom masuk Sha. Kita makan sama-sama,” ujar Mak
Engku, menyentuh bahuku.
Aku terpaksa menurut dengan rasa longlai. Wirdah
yang terperasan keadaanku, terus menggenggam tanganku.
“Be strong
Kak Sha,” bisiknya perlahan.
Aku mengorak senyum dan melangkah masuk ke ruang
makan. Aku dapat melihat Raja Azrin merenung aku dari jauh. Segera aku
palingkan muka dan mengambil makanan yang terhidang secara buffet. Nasib baik
ruang makan antara lelaki dan perempuan dipisahkan. Maka aku terselamat buat
seketika daripada gangguan Raja Azrin. Mak Engku turut mengambil makanan dan
duduk di sebelahku.
“Sha, Mak Engku minta maaf di atas ketelanjuran kata
Rain tengah hari tadi. Mak Engku harap Sha tak marah kalau Mak Engku tanya,”
ujar Mak Engku.
“Tak mengapa Mak Engku. Sha tak marahkan Mak Engku.
Tanyalah apa dia?” ujarku cuba memaniskan muka.
“Mak Engku nampak Sha makan sikit sangat. Tengah
hari tadi pun sikit. Malam ni pun sikit. Sha tak sihat ke?” soal Mak Engku
sambil memandang wajahku.
“Sha sihat cuma fikiran Sha agak terganggu. Abang
Nain tak telefon Sha dari siang tadi. Sha risaulah Mak Engku,” kataku meluahkan
rasa hati.
“Sha tak telefonkah?”
“Sha dah telefon berkali-kali tapi tak dapat.”
“Sabarlah Sha. Insya-ALLAH tak apa-apa. Mungkin Nain
ada hal penting dan tak sempat nak telefon. Mungkin esok-esok dia telefonlah.
Lagipun bukan lama dia di sana. Tiga hari aje. Nanti baliklah tu. Usah risau,”
ujar Mak Engku memujukku.
Hatiku agak terharu dengan sikap Mak Engku yang
mengambil berat tentang diriku sejak hari mula aku berada di situ. Malah aku
merasakan Mak Engku seperti bondaku.
“Terima kasih Mak Engku. Sha akan cuba bersabar.
Malam ni Sha nak minta izin Mak Engku. Sha nak ajak Wirdah dan Mina tidur di
rumah Sha. Boleh tak?”
“Boleh. Tadi pun Wirdah dan Mina dah beritahu Mak
Engku. Kalau Sha ada masalah, Sha beritahu Mak Engku. Telefon pun boleh.”
Aku menganggukkan kepala dan kemudian menyambung
makan. Wirdah yang berada di hadapanku tersenyum memandangku. Aku turut
tersenyum kepadanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan