Bab 24
Aku
begitu sukar melelapkan mata. Wirdah dan Syahmina yang tidur di ruang hadapan
telah lama melayani mimpi masing-masing. Aku telah mengajak mereka tidur di
bilik bersama-samaku tetapi mereka menolak dengan alasan tidak elok untuk anak
dara seperti mereka memasuki bilik pasangan suami isteri. Apabila aku fikirkan
kembali, benar kata-kata Wirdah dan Syahmina. Bilik tidur adalah tempat rahsia
suami isteri. Tidak elok didedahkan untuk orang lain.
Aku cuba menghubungi Iskandar tetapi masih gagal.
Hati makin membahang dengan rasa marah. Tanpa sedar tanganku menumbuk bantal
Iskandar. Bertubi-tubi tumbukan dilepaskan. Aku bayangkan seolah aku menumbuk
dirinya.
“Kenapa abang buat Sha begini? Kenapa buat Sha jatuh
cinta dan kemudian permainkan? Abang kejam!”
Hati sedih penuh pilu, tapi ke manakah nak
kulepaskan rasa itu? Hanya pada ALLAH aku merayu, hadirkanlah pertemuan itu
agar terubat segala rinduku. Aku menyembamkan muka ke bantal Iskandar bersama
sendu yang membelenggu. Bau Iskandar yang masih segar di bantal, membangkitkan
kerinduanku. Tidak mungkin aku lupakannya. Bau yang dapat kuhidu sedikit
sebanyak mendamaikan rasa. Aku suka bau Iskandar malah bau itu seolah terapi
buat diriku. Perlahan-lahan mataku pejam menghayati momen indah bersama
Iskandar. Hanyut dibuai rasa.
Suasana begitu indah sekitarku. Haruman bunga hidup
memenuhi kamar. Aku yang telah bersolek cantik dan mengenakan busana pengantin
sedang menunggu Iskandar. Berdebar-debar rasa hati menantikan ketibaan Iskandar
yang sedang menjalani upacara akad nikah di ruang tamu rumahku. Shila yang
berada di sebelahku, sesekali mengelap peluhku yang merenik.
“Sha nampak sangat cantik hari ni.”
Aku menoleh apabila terdengar suara itu.
Raja Azrin? Mana perginya Shila? Bisik hatiku,
keliru.
“Kenapa you pandang I macam tu? Terpesona?” soal
Raja Azrin dengan senyum simpulnya.
“Apa you buat dalam bilik I? Keluar sekarang!”
jerkahku, garang.
“Kenapa marah-marah ni sayang? Hari ni adalah hari
bahagia kita berdua. You adalah isteri I dan kita baru aje diijab kabulkan. I
masuk ni nak sarungkan cincin,” ujar Raja Azrin sambil mengeluarkan kotak kaca
kecil berisi cincin emas.
Aku mengerutkan dahi kerana setahu aku, Iskandar
adalah suamiku dan bukannya Raja Azrin. Malah aku telah diberitahu oleh bonda
bahawa Iskandar sedang menjalani akad nikah. Aku tidak dibenarkan turun dan
disuruh tunggu di bilik. Kenapa Raja Azrin pula yang mengaku dia suamiku?
“Sayang, mari I sarungkan cincin ni pada you.”
Aku dapat melihat Raja Azrin sedang memegang cincin
di tangannya. Bersedia untuk menyarung ke jariku. Aku melihat jariku sendiri.
Masih tersarung cincin pemberian Iskandar sewaktu kami berada di rumah Mak Cik
Melur.
“Sha! Kenapa ada lelaki lain dalam bilik kita?”
tiba-tiba aku terdengar suara Iskandar seperti halilintar di pintu.
Iskandar yang berpakaian sedondon denganku merenung
tajam ke arahku dan Raja Azrin. Kecut perutku melihat wajah Iskandar yang
sedang marah. Tidak pernah dia marah sebegitu sebelum ini.
“Hey! Siapa kau nak marah-marah Kiesha?” soal Raja
Azrin.
“Aku suaminya yang sah!” jawab Iskandar, tegas.
“Aku suami dia dan dia sedang mengandungkan anak aku
sekarang.”
“Bohong! Itu anak aku.”
Pertikaman lidah antara Iskandar dan Raja Azrin
membuat aku menikus takut. Masing-masing berkeras menyatakan anak yang
kukandung adalah anak mereka.
Eh! Nanti. Betulkah aku mengandung? Aku kerutkan
dahi memikirkan persoalan itu.
Macam mana boleh mengandung jika aku baru diijab
kabulkan? Tapi bukankah aku pernah melakukan hubungan dengan mereka sebelum
ini? Tanpa nikah pun seseorang itu boleh mengandung. Itu hakikatnya. Aku meraba
perut yang masih kempis. Ketika aku memanggungkan kepala, aku melihat Tengku
Budriz sedang berdiri di sebelah Raja Azrin sambil menghalakan pistol ke arah
Iskandar.
“Riz jangan!” terdengar suara ayahanda melarang.
Aku memandang ke arah pintu. Ayahanda dan bonda
sedang berdiri bersebelahan Iskandar. Hatiku menjadi cemas melihat wajah garang
Tengku Budriz yang masih menghalakan pistol ke arah mereka bertiga.
“Maaf...Riz perlu tamatkan semua ni. Sha milik Riz
dan selamanya akan kekal begitu,” ujar Tengku Budriz lalu melepaskan tembakan
bertalu-talu.
Aku menjerit apabila melihat tubuh bonda dan
ayahanda bermandikan darah. Tengku Budriz hanya ketawa gembira. Aku berlari mendapatkan
ayahanda dan bonda tetapi aku terlambat kerana mereka telah menghembuskan nafas
yang terakhir. Raunganku bergema memenuhi ruang.
Iskandar cuba memeluk tubuhku bagi menenangkanku
seperti selalu. Aku cepat-cepat menepis. Tidak sudi dia memelukku lagi.
Iskandar agak terperanjat.
“Kenapa sayang?” soal Iskandar.
“Sayang abang tak bermakna buat Sha. Abang bohongkan
Sha. Sha benci abang!” jeritku bersama tangisan yang menggila.
Iskandar cuba untuk memegangku tetapi aku melarikan
diri daripadanya. Serentak itu aku terdengar tembakan dilepaskan. Apabila aku
menoleh, aku dapat melihat Iskandar tersembam di lantai. Darah memenuhi
wajahnya. Aku lihat Raja Azrin dan Tengku Budriz ketawa berdekah-dekah. Gembira
kerana menumpaskan musuh mereka.
“Abang!” Aku berlari mendapatkan Iskandar.
Kepala Iskandar yang berdarah kupangku berhati-hati.
Air mata bercucuran kubiarkan tanpa henti. Sedih hatiku tidak terperi melihat
kekasih hati seolah mati. Aku mengesat darah yang mengalir di dahi. Iskandar membuka
matanya dan dalam kepayahan dia mengorak senyuman.
“Abang cintakan Sha,” bisiknya lemah.
“Sha juga cintakan abang. Tolong, jangan tinggalkan
Sha.”
Berkali-kali aku mengusap wajahnya bersama juraian
air mata. Hiba hati melihat Iskandar yang kian lemah. Tubuh Iskandar kupeluk
erat. Inginku salurkan semua kekuatanku untuk membantu Iskandar. Aku ingin
lihat Iskandar bangun semula dan menjalani hidup bahagia di sampingku.
“Sha maafkan abang. Jaga diri Sha baik-baik,”
Iskandar seolah menuturkan kata perpisahan.
Hatiku menjerit pilu. Tidak mahu perpisahan terjadi.
Sakit bila ditinggalkan saat hati mengharapkan kehadirannya di sisi. Darah
mulai banyak membasahi tubuh Iskandar. Hamis darah memenuhi ruang bilik.
Kepalaku mulai terasa pening. Aku menggenggam erat tangan Iskandar, bimbang
jika aku kehilangannya. Tangan Iskandar mulai jatuh dan dia tidak memberikan
sebarang tindak balas walaupun aku memanggilnya berkali-kali.
“Banyak kali abang janji tak akan tinggalkan Sha.
Jadi buktikan dan jangan tinggalkan Sha!” pekikku sekuat hati.
Semua perasaan bercampur baur ketika itu. Marah dan
sakit hati kerana Iskandar mungkir janji. Sedih dan pilu kerana tahu aku telah
ditinggalkan. Sunyi dan sepi kerana tiada lagi bicara Iskandar. Hati merintih
pedih, duka nestapa, merana dan derita mewarnai garis hidupku.
“Abangg!” jeritanku memenuhi ruang.
“Kak Sha!” Tubuhku digoncang berulangkali serentak
dengan seruan namaku.
“Kak Sha, bangun.”
Terasa air membasahi wajahku. Segera aku mencelikkan
mata. Terbentang di ruang mata, wajah Wirdah dan Syahmina yang keresahan. Aku
segera memeluk Wirdah dengan debaran yang masih ada di dada. Wirdah mengurut
lembut belakangku. Perbuatannya sama seperti perbuatan Iskandar ketika
menenangkanku.
“Kenapa Kak Sha?” soal Wirdah setelah aku bertenang.
“Kak Sha mimpi Abang Nain terbunuh. Tengku Budriz
tembak dia setelah menembak ayahanda dan bonda Kak Sha,” ujarku sambil
meleraikan pelukan.
“Mimpi aje tu bukannya betul,” komen Syahmina.
“Kak Sha jangan risau. Itu semua mimpi dan mainan
syaitan. Mungkin Kak Sha terlalu fikirkan Abang Nain. Insya-ALLAH tak ada
apa-apa,” ujar Wirdah, memujuk.
“Betul tu. Kak Sha alami mimpi buruk aje. Kak Sha
jangan fikirkan sangat,” pujuk Syahmina pula.
“Mungkin benar kata Wirdah dan Mina. Kak Sha terlalu
fikirkan Abang Nain sebab tu boleh mimpi yang bukan-bukan,” ujarku bersama
keluhan.
“Kak Sha minum air dulu dan nanti tidur semula.”
Wirdah menyuakan gelas berisi air kepadaku. Aku menyambutnya
dan dengan lafaz Bismillah aku meminum air itu. Wirdah tersenyum dan bangun
berdiri. Syahmina juga turut turun daripada katilku.
“Wirdah dan Mina nak ke mana?” soalku setelah
melihat mereka ingin melangkah keluar.
“Kami nak keluar. Kak Sha tidurlah. Minta maaf sebab
kami berdua masuk ke bilik Kak Sha tanpa izin. Tadi Kak Sha terjerit-jerit
sebab tu kami masuk ke sini. Sekarang Kak Sha dah okey, kami minta diri dulu,”
Ujar Wirdah. Syahmina mengangguk tanda setuju.
“Teman Kak Sha tidur di sini. Kak Sha tak mahu mimpi
buruk tu datang lagi.”
“Tapi tak elok kami tidur di katil dan bilik ni.
Nanti Abang Nain kata apa pula,” Wirdah masih menolak dengan alasan yang sama.
“Abang Nain tak ada. Ini bilik Kak Sha. Kak Sha
boleh tentukan siapa yang akan tidur dengan Kak Sha, bukan dia.” Tiba-tiba
hatiku terasa ‘panas’ pada Iskandar. Perbuatannya tidak boleh dimaafkan. Dia
memperbodohkan diriku dan meragut maruahku dengan sewenang-wenangnya.
“Tapi...”
“Temankan Kak Sha, Wirdah. Mina sekali. Katil ni
cukup untuk kita bertiga,” ujarku lagi.
Wirdah memerhati wajah Syahmina bagi meminta
pendapat. Syahmina mengangguk dan akhirnya mereka setuju untuk tidur di
katilku. Wirdah tidur di sebelah kanan dan Syahmina pula di kiriku. Aku
mengecilkan diri dan memberi ruang untuk mereka berdua. Agak tersepit aku di
tengah-tengah tetapi aku gembira dan tidak berasa takut lagi.
Awal
pagi lagi kami bangun dan membersihkan diri. Sebelum azan subuh berkumandang,
kami telah berada di surau. Aku cuba untuk bertenang walaupun sebenarnya hatiku
bergelora dengan pelbagai rasa. Separuh hatiku masih mahu tinggal di situ dan
separuh lagi ingin pulang ke Kuala Lumpur.
Seusai solat, aku bertemu Mak Engku untuk meminta
izin pulang ke Kuala Lumpur bersama-sama Raja Azrin. Teragak-agak Mak Engku untuk
mengizinkan kerana dia masih memegang amanah untuk menjagaku sepanjang
ketiadaan Iskandar.
“Mak Engku jangan risau. Sha dah telefon Abang Nain
banyak kali tapi semua panggilan tu tak berjawab. Semalam, sepupu Sha beritahu
yang bapa saudara Sha kena tikam dan sedang koma. Jadi, Sha nak pulang dan
lihat keadaan dia.”
“Sha, Mak Engku rasa tak sedap hati nak lepaskan Sha
pulang. Nain tentu marahkan Mak Engku kalau dia tahu Sha balik tanpa izin dia.”
“Mak Engku, Sha sendiri tak yakin dia suami Sha.
Sepupu Sha dah upah orang siasat dan dia kata Abang Nain tu terlibat dalam
pembunuhan ibu bapa Sha. Sha rasa apa yang Rain dan sepupu Sha cakap tu ada
kebenarannya. Mak Engku pun pernah telefon Kapten Meor tapi tak dapat. Hanya
dapat cakap dengan isterinya. Mak Engku tak rasa sangsikah? Mereka berdua
seolah melarikan diri setelah rahsia mereka terbongkar,” aku berhujah panjang
lebar.
“Mak Engku tak tahu nak kata apa. Semalam Rain pun
ada cerita tentang Nain. Tapi Mak Engku kurang yakin yang Nain tu samseng.
Sepanjang dia duduk di sini tak pernah nampak dia berbuat jahat. Sentiasa
tunjuk contoh yang baik pada budak-budak di sini. Dia juga begitu murah hati
dan selalu bantu Mak Engku.”
“Kita dah terpedaya dengan kebaikannya. Sha rasa
diri Sha paling malang. Dia perlakukan Sha macam isteri dia sendiri malah Sha
pun dah anggap dia suami Sha. Dulu Sha tersesat tetapi masih rasa bermaruah.
Sekarang bila Sha dah insaf, rasa maruah Sha hilang. Taraf Sha sama dengan
perempuan simpanan,” ujarku sambil mengesat air mata yang mengalir.
Sedih rasa hati bila mengingatkan aku
bersungguh-sungguh untuk bertaubat dan mencari ALLAH. Tetapi dalam waktu yang
sama aku sebenarnya bergelumang dengan dosa. Umpama dosa dalam dosa. Dosa lama
tidak terampun, dosa baru makin menimbun. Adakah ALLAH akan mengampunkan
dosa-dosaku? Makin takut aku memikirkannya.
“Sha tak salah. Kalau benar apa
yang Rain dan sepupu Sha kata, bermakna yang menanggung dosa tu adalah Nain.
Dia tahu keadaan sebenar dan merahsiakannya. Tapi Mak Engku nasihatkan agar Sha
selidik dulu hal ni betul-betul. Jangan menyesal kemudian hari.”
“Mak Engku jangan risau. Sha yakin
berita ni benar sebab Shila pun ada dengan Budriz. Kalau tak betul tentu Shila
dah beritahu Sha.”
“Hati-hatilah Sha. Walaupun Rain
anak Mak Engku, tapi Mak Engku tak akan sebelahi dia jika dia salah. Sha boleh
bawa Wirdah sebagai peneman dan nanti selalulah telefon Mak Engku untuk
beritahu keadaan Sha.”
“Terima kasih Mak Engku. Nanti Sha
akan maklum keadaan Sha. Sha akan hantar Wirdah pulang dengan kapal terbang
lepas kami selamat tiba di sana,” ujarku sambil memegang tangan Wirdah yang
berada di sebelahku.
Mak Engku menganggukkan kepalanya.
Aku tahu Mak Engku keberatan untuk melepaskan aku dan Wirdah pergi. Tetapi dia
terpaksa.
“Mak Engku doakan agar Sha dan
Wirdah selamat pergi dan balik. Apa-apa hal nanti, telefon Mak Engku.”
Aku menyalami dan memeluk Mak
Engku. Mak Engku mengalirkan air mata dan aku juga begitu. Aku turut menyalami
semua jemaah yang berada di situ. Kami semua tenggelam dalam tangisan perpisahan.
Selesai bersalaman aku pulang ke rumah untuk menyiapkan pakaianku. Wirdah juga
telah pulang ke asramanya untuk menyiapkan pakaiannya.
Bab 26
Raja
Azrin memandu keretanya keluar daripada kawasan Darul Durrani. Aku dan Wirdah
duduk di belakang. Kami melambaikan tangan kepada penghuni di situ yang
kebanyakannya keluar untuk menghantarku pulang. Adegan air mata sekali lagi
mengiringi pemergian kami. Aku tabahkan hati untuk tidak berganjak dengan
keputusanku walaupun terasa berat.
Aku tidak memakai niqab tetapi
hanya mengenakan tudung dan jubah seperti kebiasaanku di Darul Durrani. Terasa
agak janggal bila keluar daripada kawasan itu tanpa niqab. Wirdah yang berada
di sebelahku kelihatan teruja. Mungkin peluang dapat berjalan jauh membuatkan
dia rasa begitu. Sebenarnya Raja Azrin tidak bersetuju Wirdah menemaniku.
Tetapi kerana aku berkeras akhirnya dia membiarkan.
Kami tidak banyak berbual dan
masing-masing melayan perasaan sendiri. Kubaringkan tubuh Wirdah yang terlelap
ke atas ribaanku. Terasa tenang hatiku melihat wajahnya yang polos dan suci.
Mungkin aura keimanan yang terpancar di wajahnya membuatkan dia kelihatan
begitu.
Sepanjang perjalanan, Raja Azrin
memasang lagu bagi menghilangkan kebosanan. Sesekali dia berbual denganku
hal-hal biasa. Aku agak hairan kerana dia tidak langsung menyentuh soal
keinginannya melamarku sebagai isteri atau mama buat Batrisya. Raja Azrin
seolah berubah sikap. Sikapnya sekarang seperti kawan lama yang bertemu semula
kawannya. Berbual hanya perkara yang baik-baik sahaja. Aku agak hairan tetapi
mulutku berat untuk bertanya. Akhirnya aku membiarkan persoalan itu berlalu
begitu sahaja.
“Sha, I nak singgah di stesen
minyak sekejap. Kalau you nak beli apa-apa bolehlah tapi jangan lama sangat.
Kawan Riz akan tunggu kita di situ. Mereka akan iringi kita hingga kita selamat
sampai,” ujar Raja Azrin sambil membelok masuk ke stesen minyak.
Aku mengejutkan Wirdah. Wirdah
bangun dan membetulkan tudungnya. Setelah kereta diparkir, aku dan Wirdah turun
ke kedai stesen. Aku membiarkan Wirdah memilih apa sahaja makanan dan minuman
yang dikehendakinya. Tiba-tiba telefonku berbunyi dan aku melihat nombor yang
tertera. Nombor tanpa nama membuatkan aku cuak untuk menjawabnya. Aku biarkan
telefon itu berhenti sendiri.
“Kenapa Kak Sha tak jawab?” soal
Wirdah.
“Kak Sha tak tahu nombor siapa.
Takut nak jawab.”
Telefon berbunyi lagi dan beberapa
pelanggan memandang ke arahku. Aku agak serba salah untuk menjawabnya. Akhirnya
aku memutuskan talian itu.
“Kak Sha, bagi Wirdah jawab jika
dia telefon lagi. Mungkin ada perkara penting yang orang tu nak beritahu,”
cadang Wirdah.
“Baiklah.”
Telefonku berdering lagi. Aku
menekan butang jawab dan menyerahkannya kepada Wirdah. Wirdah menjawab salam
yang diberi.
“Err...Abang Nain. Ni Wirdah, bukan
Kak Sha,” jawab Wirdah dengan senyum simpulnya.
Wirdah menyerahkan telefon
kepadaku. Aku menyambut hulurannya tetapi dengan muka yang dicebikkan. Sakit
hatiku mendengar nama Iskandar. Wirdah menjarakkan dirinya bagi memberi ruang
untukku berbual dengan Iskandar.
“Sayang, tolong dengar apa yang
abang nak kata. Nyawa sayang dalam bahaya. Rain hanya mengumpan sayang untuk
keluar daripada persembunyian. Sebenarnya dia dah berpakat dengan pembunuh
keluarga sayang. Sayang ada di mana sekarang? Abang akan pergi untuk dapatkan
sayang.”
“Hentikanlah sandiwaramu wahai
Encik Iskandar. Sha tak nak perbodohkan diri lagi dengan mempercayai pembohongan
awak. Mana awak pergi selama ni? Kenapa tiap kali Sha telefon, tak berjawab.
Awak bersembunyi di mana, pembohong?” luahku dengan nada marah. Tiada lagi
panggilan abang buat Iskandar.
“Sayang kenapa ni? Abang bukan
sengaja tak telefon sayang tapi beg duit, van dan telefon abang dicuri orang
masa abang singgah solat Jumaat. Abang minta tolong Adli untuk pulang semula ke
Darul Durrani. Bila abang sampai, Mak Engku beritahu yang Sha dah balik KL
dengan Rain.”
“Abang bohong! Kalau dah jumpa Adli
kenapa tak terus telefon Sha? Kenapa sekarang baru nak telefon?”
“Sha, abang tak ingat nombor
telefon Sha. Bila balik ke rumah baru abang dapat nombor Sha yang abang catat
di diari abang.”
Aku terdiam buat seketika.
Memikirkan kata-kata Iskandar. Mataku terpandang arah luar kedai dan dapat
melihat sebuah kereta pacuan empat roda berhenti di belakang kereta Raja Azrin.
Keluar empat orang lelaki daripada kereta itu. Mereka menghampiri Raja Azrin
dan salah seorangnya menarik Raja Azrin rapat ke sisinya. Wajah Raja Azrin
kelihatan takut-takut dan hanya mengangguk ketika lelaki itu bercakap.
“Abang, Sha tak pasti sekarang
siapa yang betul dan siapa yang salah. Tapi Sha baru nampak ada empat lelaki
yang semuanya berbadan besar sedang berdiri di tepi Rain. Budriz kata itu orang
dia yang akan iringi kami. Sha rasa tak sedap hati tengok mereka. Abang tolong
datang cepat sikit. Sha sekarang ada di stesen minyak Petronas Tanah Merah.”
“Baiklah. Sha cuba lambat-lambatkan
masa. Pura-pura nak buang air atau apa sahaja alasan. Abang cuba sampai ke sana
secepat mungkin. Tapi jangan dedahkan yang Sha dah beritahu abang. Berlagak
biasa dan kalau ada peluang, Sha ajak Wirdah lari.”
“Okey. Sha terpaksa letak telefon.
Raja Azrin dan seorang lelaki tu menghala ke mari,” ujarku dengan rasa gentar.
“Sha jangan tunjukkan yang Sha
takut. Ajak Wirdah ke toilet.
Pura-pura sakit perut dan kata nak buang air. Lengah-lengahkan masa selagi
terdaya. Kalau dah terpaksa, Sha ikut mereka dulu. Nanti abang fikirkan cara
untuk halang mereka.”
“Baik,” ujarku lalu mematikan
talian.
Aku segera mendapatkan Wirdah dan
memberitahu apa yang Iskandar sampaikan kepadaku. Wirdah mencadangkan agar kami
terus berpura-pura membeli dan kemudian membayar harga barang. Setelah membayar
aku akan memberi alasan untuk ke tandas. Aku dan Wirdah berpura-pura membelek
bungkusan makanan di hadapan kami walaupun sebenarnya bakul kami telah penuh
dengan makanan.
“Kiesha, kita kena bertolak
sekarang. Takut nanti lewat sampai,” ujar Raja Azrin sambil menghampiri kami.
“Kami tak habis lagi ni. Boleh
tunggu sekejap tak?” pintaku sekadar beralasan.
“Tak habis lagi?” soal lelaki yang
mengekori Raja Azrin. Misainya yang tebal membuatkan mukanya kelihatan bengis.
“Siapa ni Rain?” soalku sambil
menarik tangan Wirdah rapat kepadaku.
“Err...dia ni polis. Nama dia Rais,
kawan Riz. Dia dan kawan-kawan dia akan temankan kita sepanjang perjalanan ni.”
Rais tersenyum kepadaku sambil
menghulurkan tangan. Aku tidak menyambut huluran itu dan meminta maaf. Ini
membuatkannya tersenyum sinis.
“Cepat sikit Cik Kak. Kita tak
boleh nak berlama-lama di sini,” ujar Rais membuatkan aku terasa sakit hati.
“Saya ada nama tahu. Tolong panggil
saya Tengku Kiesha atau Tengku Sha,” ujarku dengan geram.
“Oh! Anak raja juga rupanya.
Patutlah berlagak lebih. Cepat sikit. Aku tak suka perempuan yang
terhegeh-hegeh. Tak kira kau raja atau tengku, pada aku kau tetap perempuan.
Perempuan semuanya leceh!” ujar Rais.
Dia berlalu pergi dan meninggalkan
kami bertiga. Aku sempat membuat muka untuk Rais. Hatiku berganda-ganda rasa
sakit dan benci dengan pernyataan Rais.
“Kiesha, I minta maaf jika you tak
senang hati dengan Rais. Dia memang begitu. Kurang mesra dengan perempuan
terutama yang pakai jubah dan tudung. I rasa elok you cepat sikit. Takut nanti
mengamuk pula yang lain,” gesa Raja Azrin.
Aku mengambil bakul di tangan
Wirdah dan mengajaknya ke kaunter bayaran. Raja Azrin turut mengambil beberapa botol
air dan beratur di belakangku. Ada tiga orang lagi di hadapanku dan aku mula
memberi isyarat mata buat Wirdah.
“Rain, you boleh tolong bayarkan
tak? I nak ke tandas sekejap. Perut I ni rasa memulas.”
Aku kerutkan muka dan berpura-pura
sakit perut. Bakul kuserahkan kepada Raja Azrin dan dia menyambutnya walaupun
teragak-agak.
“Kiesha tolong cepat sikit, ya.”
Pesan Raja Azrin sebelum kami beredar.
Aku mengangguk dan memegang tangan
Wirdah. Laju kaki kami melangkah menuju ke tandas.
“Eh! Nak ke mana tu Cik Kak?” soal
Rais yang baru keluar daripada tandas lelaki.
“Tandas!” jawabku sambil memasamkan
muka.
“Cepat sikit. Jangan nak bersolek
lama-lama pulak,” sambung Rais lagi.
Aku tidak menghiraukannya dan terus
memasuki tandas wanita bersama-sama Wirdah. Pintu masuk kututup.
“Wirdah, kita nak buat macam mana
ni?” soalku sambil mundar mandir di hadapan Wirdah.
“Kak Sha tenang dulu. Kita biar
Abang Nain sampai baru kita keluar.”
“Kalau dia tak sampai hingga sejam,
takkan kita nak terperap dalam tandas ni?”
“Err...cuba Kak Sha telefon dan
tanya Abang Nain dah sampai di mana?” cadang Wirdah.
Aku mencapai telefon dan mendail
nombor Iskandar tetapi panggilanku tidak berjawab. Aku mencuba beberapa kali
lagi tetapi tetap tidak dijawab.
“Dia tak jawab pula,”ujarku sambil
menyimpan telefon ke dalam beg tangan.
“Kak Sha rasa siapa yang cakap
betul dan siapa yang bohong?”
“Entah. Kak Sha tak pasti tapi hati
Kak Sha rasa tak sedap. Macam ada sesuatu yang akan berlaku.”
“Walau apa yang terjadi, kita
jangan berputus asa. Wirdah akan temankan Kak Sha. Kak Sha jangan takut.”
“Terima kasih Wirdah. Kalau tak ada
Wirdah tentu Kak Sha lagi panik. Ada Wirdah, Kak Sha rasa bersemangat. Kak Sha fikir,
nak siasat siapa sebenarnya yang bunuh ayahanda dan bonda Kak Sha. Jadi, kita
perlu ikut mereka jika kita nak tahu.”
“Kalau kita ikut mereka, bermakna
kita tak perlu tunggu Abang Nain. Takut nanti jika mereka tahu Abang Nain nak
selamatkan kita, mereka bertindak pula. Wirdah takut jika mereka hapuskan kita
sebelum sempat kita tiba di KL.” Wajah Wirdah menampakkan kegusaran.
“Kak Sha tak fikir mereka akan
bunuh kita. Muka aje nampak macam penjahat tapi mereka polis. Shila tentu dah
maklumkan jika Riz salah. Kak Sha percayakan Shila dan juga Bonda Indah. Bonda
Indah tengah susah hati sekarang. Tentu Riz tak berbohong tentang ayahanda dia.”
“Hmm...Kak Sha ni tak tetap
pendirian. Sekejap fikir Abang Nain betul dan sekejap fikir sebaliknya.
Betulkah Tengku Budriz tak ada niat jahat? Wirdah takut dia yang bersalah tapi
pura-pura baik dengan Kak Sha. Takut bukan polis yang iring kita tapi penjahat.”
Aku terdiam memikirkan kata-kata
Wirdah. Terdetik juga di hati akan hal itu tetapi mindaku cepat menyangkal.
“Kak Sha keliru sekarang. Siapa
yang betul atau salah, Kak Sha tak boleh tentukan. Kalau betul Abang Nain yang
salah, Kak Sha terpaksa bertindak dan serahkan dia kepada pihak berkuasa.”
“Kalau dia tak salah?”
“Kalau tak salah bermakna salah
seorang daripada keluarga Ayah Bad bersalah. Abang Nain pernah kata Ayah Bad
sendiri yang rancang pembunuhan tu. Tapi Budriz kata abang dia, Tengku Badri yang
terlibat. Sekarang ni Tengku Badri dah ditahan polis. Kak Sha tak tahu mana
satu yang benar.”
“Kiesha! Cepat. Kita nak bertolak
sekarang,” terdengar laungan suara Raja Azrin dari luar tandas.
Perbualanku dengan Wirdah terhenti.
“Okey! Tunggu sekejap I nak make-up dulu.” Aku memberi alasan.
Aku mengeluarkan lipstik lalu kuoles
sedikit di bibir. Sekadar untuk menampakkan yang aku mengemaskan solekan.
“Wirdah, kita keluar dan berlagak
seperti biasa. Kita perlu selidik sebelum bertindak. Kak Sha nak mesej pada Mak
Engku dan beritahu dia kita selamat dan nak teruskan perjalanan,” ujarku sambil
mengeluarkan telefon.
Aku menulis mesej kepada Mak Engku.
Wirdah membasahkan sedikit wajahnya dan membetulkan tudung. Kami keluar
daripada tandas dan menuju ke kereta. Aku cuba mencari jika Iskandar telah
sampai tetapi bayangannya pun tidak kelihatan. Aku diperkenalkan oleh Raja
Azrin kepada tiga orang lelaki yang bersama Rais. Daud berkulit cerah dan
bermata sepet. Mogan berbangsa India dan agak tinggi berbanding yang lain.
Jusoh pula adalah ketua bagi mereka berempat. Wajahnya agak lembut berbanding
ketiga-tiga rakannya. Jusoh agak pendiam dan tidak banyak bercakap.
Kami menaiki kereta Raja Azrin dan
Jusoh mengambil alih pemanduan. Raja Azrin duduk di sebelah pemandu. Rais, Daud
dan Mogan menaiki kereta pacuan empat roda. Lega hatiku kerana Rais tidak naik
bersama kami. Aku tidak suka akan tutur katanya yang kasar dan biadap. Kereta
kami bergerak meninggalkan stesen minyak. Aku masih mencari kelibat Iskandar
tetapi tetap tiada. Separuh hatiku rasa kecewa dan separuh lagi tiada rasa. Aku
menyerahkan segalanya pada takdir dan bertawakal kepada ALLAH. Dalam hati aku
berdoa untuk keselamatan aku dan Wirdah.
2 ulasan:
bap 26 kak , di tunggu ya haha
Dah update...sila baca ya ;)
Catat Ulasan