Telah hampir tiga jam
aku bertarung nyawa untuk melahirkan bayi sulungku. Habis segala doa dan ayat
suci Al-Quran yang terhafal oleh ku, ku bacakan. Sakit yang ku rasakan makin
mencengkam. Beberapa kali sakit begitu melanda diriku. Bagaikan hendak tercabut
segala urat sendiku menahan sakit tersebut.
‘Kenapa
bayi ni tak mahu keluar lagi? Ya, Allah jika ada dosa yang telah aku lakukan
sama ada sengaja atau tidak sengaja, aku bermohon padaMu agar diampunkan segala
dosaku itu. Permudahkanlah Ya, Allah kelahiran ini,’ bisik hatiku.
“Rozy,
kuatkan semangat! Ingatkan Allah banyak-banyak,” terdengar suamiku berkata di
hujung kepala.
Bagaikan
mendapat suntikan semangat, aku berazam untuk meneruskan proses melahirkan yang
terlalu sukar buat diriku. Tiba-tiba aku merasakan sakit yang datang mendadak.
Terasa bayi di dalam perutku mulai melonjak untuk keluar.
“Okey.
Push!” terdengar suara Doktor Azni
memberi arahan.
Aku
menurut arahan doktor muda itu dan dengan kekuatan yang bersisa aku akhirnya berjaya
melahirkan seorang bayi lelaki. Penat yang ku rasakan bagaikan hilang apabila
mendengar tangisan pertamanya. Bayi yang masih berlendir diletakkan di atas
dadaku. Dapat ku rasakan degupan jantungnya. Jari-jarinya yang kecil ku pegang
bersama linangan air mata. Alangkah indahnya anugerah Tuhan buat diriku. Syukur
kepada Ilahi yang memberi rezeki sehebat ini.
“Terima
kasih Rozy kerana melahirkannya untuk abang.” Suamiku memberikan ciuman di
dahiku sambil tangannya turut memegang tangan bayi yang baru dilahirkan itu.
Doktor
Azni sibuk menjahit lukaku dan memberikan bayiku kepada jururawat untuk
dibersihkan. Suamiku kemudiannya dibenarkan untuk mengazan dan menqamatkan bayi
kami. Kegembiraan jelas terbayang di wajahnya. Kebahagiaan meresap ke seluruh
sanubariku. Ku berharap dengan adanya bayi ini, kasih sayang antara kami akan
terjalin dengan lebih kukuh. Aku sedar aku bukanlah isteri pilihannya tetapi
pilihan ibu bapanya. Dia menerimaku setelah dua kali pinangannya ditolak oleh
keluarga kekasih hatinya. Walaupun dia tidak pernah mengungkapkan kata cinta
kepadaku tetapi aku tahu dia sudah menerima kehadiranku di dalam hidupnya.
Aku
dibenarkan pulang setelah dua hari berada di hospital. Suamiku membawa beg dan
barang-barangku ke kereta manakala aku yang mengendong bayiku berjalan
perlahan-lahan di belakangnya.
“Am!...
Ammar!” tiba-tiba aku mendengar suara perempuan memanggil suamiku.
Pantas
aku menoleh dan melihat seorang perempuan berambut perang menghampiri kami
berdua. Aku melihat wajah suamiku agak terkejut tetapi senyuman tetap terukir
di bibirnya. ‘Siapakah perempuan ni? Tak pernah aku lihat sebelum ni,’ bisik
hatiku, curiga.
“Tak
sangka I boleh jumpa you di sini. Apa khabar you sekarang?” tanya perempuan tersebut
sambil tangannya cuba memegang tangan suamiku.
“I sihat. Elisa ini isteri I, Roziah dan anak lelaki kami Raziman.”
Suamiku mengelak pegangan tangan Elisa lalu memegang bahuku.
Wajah
Elisa sedikit berubah tetapi dia tetap menghulurkan tangan kepadaku dengan
senyum sinis. Aku menyambut huluran tangannya tanpa kata. Dalam hati hanya
Allah yang tahu betapa meluatnya aku dengan aksi terlebih gediknya. Walaupun
dia boleh dikategorikan sebagai perempuan yang cantik tetapi sikapnya
membuatkan aku terasa menyampah. Aku tahu dia cuba menggoda suamiku. Mungkinkah
dia bekas kekasih suamiku seperti yang pernah suamiku ceritakan?
“Am,
i nak cakap sikit dengan you boleh tak? Sekejap pun jadilah.”
Hatiku
mulai tidak senang dengan permintaannya itu. “Maaf ya, Cik Elisa. Kami perlu
balik. Tak kan Cik Elisa tak nampak saya perlukan rehat. Lain kali sajalah
kalau nak berbual.” Pintasku sebelum sempat suamiku bersuara.
“Err...
Rozy tunggu abang di kereta. Kejap lagi abang datang. Hidupkan enjin dulu,”
arah suamiku sambil menyerahkan kunci kereta kepadaku.
Terkebil-kebil
mataku mendengar kata-kata itu. Kunci yang dihulur tetap ku sambut. Aku dapat
melihat senyuman kemenangan di bibir Elisa. Tanpa berlengah, aku meneruskan
langkah menuju ke tempat letak kereta dalam terik matahari. Walaupun jarak kereta hanya 10 meter tetapi dalam keadaanku begini, menyukarkan pergerakanku. Sakit yang kurasa ku tahankan sahaja.
Aku menutup sedikit tubuh anakku agar tidak terkena panas. Perlahan-lahan ku buka pintu kereta di bahagian belakang dan kuletakkan anakku di atas kerusi. Mataku pejam seketika ketika sakit di bahagian penjahitku mengilukan. Tanpa sedar air mataku mengalir. Ku seka alirannya.
Kemudian aku membuka pintu di sebelah pemandu. Enjin kereta kuhidupkan dan aku membuka penghawa dingin sehabis kuat. Panas terasa membahang, tetapi panas di hatiku telah mendidih. Aku masuk ke dalam kereta dan memangku anakku. Aku masuk ke bahagian belakang dan memangku anakku.
Dari dalam kereta, aku nampak mereka berbual mesra dan sesekali suamiku menganggukkan kepalanya. Sempat juga ku lihat suamiku mengeluarkan telefonnya. Mungkin mereka bertukar-tukar nombor telefon, fikirku. Tapi untuk apa? Adakah suamiku masih menaruh harapan untuk bersamanya semula? Persoalan itu menyesakkan dadaku.
Aku menutup sedikit tubuh anakku agar tidak terkena panas. Perlahan-lahan ku buka pintu kereta di bahagian belakang dan kuletakkan anakku di atas kerusi. Mataku pejam seketika ketika sakit di bahagian penjahitku mengilukan. Tanpa sedar air mataku mengalir. Ku seka alirannya.
Kemudian aku membuka pintu di sebelah pemandu. Enjin kereta kuhidupkan dan aku membuka penghawa dingin sehabis kuat. Panas terasa membahang, tetapi panas di hatiku telah mendidih. Aku masuk ke dalam kereta dan memangku anakku. Aku masuk ke bahagian belakang dan memangku anakku.
Dari dalam kereta, aku nampak mereka berbual mesra dan sesekali suamiku menganggukkan kepalanya. Sempat juga ku lihat suamiku mengeluarkan telefonnya. Mungkin mereka bertukar-tukar nombor telefon, fikirku. Tapi untuk apa? Adakah suamiku masih menaruh harapan untuk bersamanya semula? Persoalan itu menyesakkan dadaku.
Setelah
setengah jam menunggu, suamiku masuk ke dalam kereta. Ringan sahaja mulutku
ingin bertanya tetapi apabila melihat wajahnya yang tidak mengukir senyum
kepadaku, aku pendamkan sahaja. Bimbang jika dia mengherdikku jika tidak kena gaya. Aku cuba mengawal emosiku. Perlahan-lahan aku
kucup pipi Raziman yang berada di pangkuan. Hanya anak menjadi penguat
semangatku ketika itu. Aku cuma mampu berdoa agar suamiku tidak akan
mengabaikan kami berdua.
..........................................................
Aku berbaring di katil
setelah menyusukan Raziman. Suamiku masih berada di bilik air, sedang mandi.
Tiba-tiba telefon suamiku berdering. Bimbang mengejutkan si kecil, lantas
telefonnya ku angkat. Sebelum sempat aku memberi salam, terdengar suara
perempuan di hujung talian.
“Sayang!
I dah tunggu you lama tau. You janji
nak jumpa I hari ni, kenapa you tak sampai lagi?” Rengekkan
manjanya memualkan tekakku.
“Siapa
ni?” soalku walaupun aku dapat meneka suara itu.
“Elisa!
Am mana? Kenapa kau pula yang jawab? Bagi phone
pada dia!” kata Elisa tanpa rasa bersalah. Malah boleh marah-marah. Bukankah
sepatutnya aku yang marah?
“Abang
Am tengah mandi. Ada apa-apa pesanan?” tanyaku dengan nada yang masih terkawal,
sabar.
“Nama
kau apa eh?”
“Rozy”
“Ha!
Rozy, aku nak beritahu kau yang Am dan aku akan kahwin tak lama lagi. Dia akan
ceraikan kau sebab aku tak mahu berkongsi. Anak Am, aku akan jaga sebagai mana
anak aku sendiri. Kau bolehlah pilih mana-mana lelaki sebagai ganti Am aku.”
Bagaikan
peluru berpandu dilepaskan, setiap patah kata Elisa menghancur leburkan hatiku.
Kenapa Ammar tidak memberitahuku sendiri? Kenapa melalui mulut Elisa? Apa
salahku? Hinakah aku di mata suamiku sendiri? Persoalan demi persoalan
menghantui fikiranku. Tapi boleh percayakah kata-kata Elisa? Mungkinkah dia
berbohong?
“Jangan
kau berangan nak ambil anak aku! Aku akan pastikan anak aku tetap milik aku.
Aku yang separuh nyawa lahirkan dia. Kau ingat senang-senang aku nak beri pada
kau? Satu lagi, aku masih isteri abang Am. Selagi aku bergelar isteri, akan aku
pastikan rumah tangga kami kekal wujud walaupun badai melanda.” Nada suaraku
mulai meninggi.
Terdengar
hilai tawa Elisa di hujung sana, seolah-olah mengejek aku. Begitu menyakitkan
hatiku. Apa dia fikir dengan statusnya sebagai bekas kekasih suamiku, dia layak
untuk menghancur leburkan hidupku?
“Hey
Rozy! Aku cuma ingatkan kau. Selama ni kau dah rampas kekasih aku. Kau buat
kami terpisah dan dia lupa pada janji dia. Tapi kini aku gembira kerana dia
akan tunaikan janji dia pada aku. Janji untuk mengambil aku sebagai isterinya
kerana aku pernah bersumpah tidak akan mengizinkan orang lain menyentuhku
selain dirinya. Diriku hanya untuk Am dan Am untuk aku.” Terang Elisa dengan bangga.
“Akukah
yang bersalah atau keluarga kau? Bukankah keluarga kau dah tolak pinangan dia?
Bukan sekali malah dua kali! Adakah kau begitu yakin keluarga kau akan terima
suami dan juga bapa orang sebagai calon suami kau?” Radangku makin meningkat.
“Soal
tu tak timbul lagi. Keluarga aku dah boleh terima dia tapi dengan syarat dia
ceraikan kau. Am akan datang berjumpa dengan keluarga aku sikit masa lagi.
Jadi, aku harap kau bersedialah untuk menjadi janda,” kata-kata Elisa menghiris
tangkai hatiku. Tapi ku tahankan jua.
“Jangan
terlalu sombong Elisa. Jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Allah. Kita hanya
mampu merancang. Jika tersurat hingga akhir hayatku abang Am adalah suamiku,
tak mungkin kau dapat meruntuhkan suratan itu. Aku berserah kepada Allah
menentukan segalanya. Assalamualaikum!” kataku lalu talian ku putuskan.
Aku
membaringkan kembali badanku. Air mataku laju merembes di pipi. Terdengar pintu
bilik air di buka. Aku berpura-pura tidur setelah air mata ku hapuskan. Ammar,
ku lihat sedang berpakaian. Tentunya dia akan keluar kerana dia siap menyembur
pewangi badan. Kebiasaan yang dilakukannya jika ingin keluar berjalan-jalan
atau bekerja. Ammar mencapai telefonnya dan mendail nombor seseorang. Dia hanya
memandang aku sekilas. Mungkin padanya aku sedang nyenyak tidur padahal kelopak
mataku yang renggang melihat gerak gerinya.
“Hello
sayang! I nak pergilah ni. You tunggu. Kejap lagi I sampai.” Walaupun ungkapan itu agak
perlahan tetapi telingaku masih dapat mendengar bait-bait yang terluncur dari
bibir Ammar. Ammar melangkah keluar bilik dan tidak lama selepas itu deruman
enjin kereta kedengaran meninggalkan pekarangan rumahku.
Aku
tahu Ammar meninggalkan aku untuk bersama-sama Elisa. Air mataku bagaikan
empang yang pecah ketika itu. Alirannya makin laju setelah mataku tertancap ke
tubuh kecil Raziman. Sepatutnya ketika ini aku bergembira kerana melahirkan
zuriat buat suamiku. Suamiku pula sepatutnya berbangga kerana telah menjadi
seorang bapa. Sepatutnya sakit tubuhku yang melahirkan Raziman diambil peduli.
Tetapi tidak buat Ammar. Di sana dia tega memadu kasih dan membiarkan aku di
sini menelan pahitnya hempedu.
“Sayang,
mama tak akan biarkan sesiapa pun mengambil sayang dari mama. Mama berhak ke
atas sayang. Jika papa nak buang mama, mama boleh terima. Mama sedar siapa diri
mama. Mama tak secantik Elisa malah papa tak pernah ucap kata sayang buat mama.
Segala yang dibuat oleh papa, hanyalah semata-mata kerana menjalankan
tanggungjawabnya saja, tidak lebih dari itu. Sekarang papa dah dapat apa yang dikejarnya selama ini.
Kekasih hatinya telah kembali. Haruskah mama pertahankan sedangkan di hati papa, mama hanyalah melukut di tepi
gantang? Jika dibuang tidak merugikan apa-apa buat papa.” Aku berbicara dalam sendu walaupun aku tahu Raziman tidak mungkin
memahaminya.
Pada
siapa harus aku mengadu? Tak mungkin aku ceritakan masalah rumah tanggaku kepada
kedua orang tua ku malah aku juga tak sanggup bercerita kepada keluarga
mertuaku. Oleh itu aku mengambil keputusan untuk bertahan selagi mampu.
Tiba-tiba telefonku berbunyi. Suara gembira ibuku di hujung talian menyapa
gegendang telingaku. Aku mengawal suaraku dan membalas kata-kata ibuku dengan
ria.
“Bila
kau nak balik Rozy? Suruhlah Am hantar kau segera. Mak dah tempah tukang urut
untuk kau. Abah kau dah pun carikan kambing untuk cucu dia. Nanti bolehlah
dibuat Aqiqah.”
“Rozy
akan balik esok. Terima kasih kerana mak dan abah dah bersusah payah untuk
Rozy. Tak terbalas rasanya jasa mak dan abah.” Ucapku bersama sebak di dada.
Bapaku bersusah payah mencari kambing untuk Aqiqah sedangkan Ammar yang
sepatutnya berbuat begitu seolah-olah lepas tangan.
“Janganlah
difikirkan begitu. Mak dan abah cuma tumpang gembira kerana kami dapat cucu
lelaki pertama. Anak - anak Along dan Ngah semuanya perempuan. Jadi bila dapat hero, abah secara sukarela nak carikan
kambing.” Aku tahu ibu dan bapaku terasa sangat gembira dengan kelahiran
Raziman. Malah ibu bapa mertuaku pun begitu juga.
“Baiklah
mak. Rozy ikut saja mana yang baik.” Tuturku sebelum menamatkan perbualan
dengan ibuku. Tanpa sedar aku mengeluh. Mahukah Ammar menghantarku pulang
sedangkan ketikaku memberitahunya akan hal itu, dia hanya mendiamkan diri.
Malah sejak bertemu kembali dengan Elisa di hospital tempoh hari, Ammar makin
kurang berbual denganku. Sepatah ku tanya sepatahlah dijawabnya. Akibat bosan,
aku turut mendiamkan diri. Bercakap bila perlu.
............................................................................
Ammar kelihatan resah
gelisah setelah menghantarku pulang ke kampung. Dia seolah-olah tidak betah
duduk berlama-lama di kampungku. Hanya sehari, Ammar telah memberitahuku bahawa
dia perlu pulang ke Bandar kerana kerjanya banyak dan itu minggu sibuknya.
‘Ya,
lah... sibuk dengan Elisa,’ bisik hatiku. Kenapa hatiku seolah tidak
berperasaan ketika dia memberi alasan begitu? Telah matikah perasaan aku
setelah terang-terang suamiku curang kepadaku? Layakkah aku menahan perasaan
cintanya kepada Elisa sedangkan selama ini aku sedar aku tidak memiliki
cintanya?
“Abang,
jika abang ada kelapangan jengoklah kami di sini terutama hari Aqiqah Raziman
nanti,” ucapku sambil memerhati Ammar menyiapkan dirinya untuk pulang ke
Bandar.
“Tengoklah.
Kalau abang sibuk, abang tak balik. Rozy tunggu sini hingga abang jemput.
Selagi abang tak jemput jangan ke mana-mana.” Ammar mengeluarkan arahan yang
sekali gus menyekat pergerakan aku. Hatta untuk pulang ke rumah ku sendiri!
“Abang,
jika apa yang ingin Rozy katakan ini menyinggung hati abang, Rozy minta ampun
dan maaf. Rozy tak akan menyekat apa saja yang akan abang lakukan. Jika abang fikir
janji abang pada Elisa lebih penting, abang kahwinlah dengan dia. Abang boleh
batalkan janji abang sewaktu akad nikah kita. Rozy harap, abang pulangkan Rozy
kepada ibu bapa Rozy sebagai mana abang ambil Rozy dahulu. Rozy akan terima
dengan rela hati. Tapi Rozy tak akan sekali-kali menyerahkan anak Rozy kepada
Elisa. Rozy dah separuh nyawa melahirkannya. Jadi, Rozy harap abang
pertimbangkan permintaan Rozy. Elisa boleh berikan abang lebih ramai anak. Tapi
Rozy hanya ada Raziman. Biarkan Raziman di sisi Rozy,” kataku menahan air mata
yang bergenang.
Tanpa
kata Ammar bangun lalu mencium pipi Raziman. Tangannya dihulur kepadaku. Aku
tunduk menyalaminya. Setelah kepalaku dipanggung, Ammar mencium dahiku.
Perlakuan yang sering dilakukannya. Tertanya juga di dalam hatiku, apa
sebenarnya yang tersemat di hati suamiku ini? Kenapa dia tidak membalas
kata-kataku tadi? Adakah dia bersetuju dengan permintaanku? Bermakna sedikit
masa lagi aku akan bergelar janda beranak satu. Satu gelaran yang tidak mahuku
terima.
Ammar
meninggalkan aku dan Raziman tanpa khabar berita. Berhari-hari aku tunggu
panggilan telefonnya tetapi dia tidak menghubungi aku. Beberapa kali aku
menghantar mesej tetapi semuanya tidak berbalas. Malah panggilan telefonku juga
tidak dijawab. Bencikah dia pada diriku? Mungkin dia sedang berbahagia dengan
Elisa, maka aku dilupakannya. Ramadhan kali ini begitu hambar terasa. Sudahlah
aku tidak dapat berpuasa walaupun sehari, suamiku pula semakin menjauh. Apa
yang mampu aku lakukan hanyalah berdoa dan berzikir di dalam hati. Moga doaku
di bulan barakah ini membuahkan hasilnya. Moga istanaku tidak roboh di tengah jalan.
.................................................................
Kenduri Aqiqah Raziman
tetap diadakan meskipun Ammar tidak pulang. Disebabkan bulan Ramadhan, kenduri
Aqiqah tersebut dilakukan di masjid kampungku. Aku bersyukur kerana ibu bapaku
tidak banyak soal apabila ku nyatakan Ammar tidak dapat pulang kerana kesibukan
kerjanya. Alasan yang dia perlu bekerja lebih masa agar memudahkan dia pulang
berhari raya diterima oleh keluargaku tanpa curiga. Pada sangkaan mereka Ammar
kerap menelefonku walhal yang kerap kali berbuat begitu adalah kawan baikku,
Soleha yang juga merupakan teman sekerjaku. Padanya aku ceritakan serba sedikit
masalah aku dan dia banyak memberikan nasihat agar aku bersabar dan berdoa
kepada Allah. Pada pendapat Soleha, doa orang yang teraniaya akan dimakbulkan
oleh Allah. Adakah aku juga tergolong dalam kalangan orang yang teraniaya?
“Rozy,
kau harus tabah. Jangan cepat berputus asa. Ingat, Allah itu Maha Adil dan Maha
Mendengar. Jika memang telah tertulis, Ammar kekal dengan kau Insya Allah tak
ke mana suami kau. Allah uji kita bertujuan meningkatkan keimanan kita. Allah
mahu kita bergantung harap kepada Allah dan bukannya kepada orang. Orang yang
paling hampir kepada Allah ketika dia diuji, maka martabatnya di sisi Allah
akan meningkat. Jadilah orang itu, Rozy. Mampirkan diri kau pada Allah.”
Nasihat Soleha.
“Insya
Allah, Ha. Aku akan cuba sedaya upaya. Syukur aku mempunyai kawan sebaik kau
yang mampu memberi nasihat ketika jiwa aku kacau. Aku sedar, Ammar adalah
pinjaman Allah kepadaku. Bila tiba masa, pasti pinjaman tu akan diambil semula.
Jika tidak berpisah hidup, pasti berpisah mati. Aku akan pasrah dan redha
dengan ketentuan Ilahi.”
Telinga
aku dapat mendengar bunyi panggilan masuk. Segera aku memberitahu Soleha yang
aku ingin menjawab panggilan tersebut. Alangkah terkejutnya hatiku, Ammar
menelefonku. Terubat rinduku mendengar suaranya. Ya, aku akui aku memang
merinduinya. Rindu setengah mati.
“Rozy,
abang akan balik malam ni sebab nak ambil Rozy dan Raziman. Esok pagi kita
bertolak balik. Siapkan semua pakaian dan barang Rozy.” Arah Ammar setelah
memberi salam kepadaku. Kelopak bunga di taman hatiku terasa berkembang. Tapi,
kenapa perlu balik mendadak sedangkan pantangku masih ada dua minggu? Apa
muslihatnya kali ini?
“Err...
bukankah abang suruh Rozy tinggal di sini hingga habis pantang?” soalku hairan.
“Abang
tak lalu nak makan nasi bungkus lagi. Rozy dah sihatkan? Tak perlu tunggu
hingga habis pantang. Balik dan tolong masakkan untuk abang.”
Kata-kata
Ammar membuatkan hatiku yang berbunga tadi kembali menjadi layu. Adakah aku
hanya diperlukan untuk menjadi tukang masak? Lepas ni apa lagi? Tukang cuci?
Hatiku menyoal dalam sebal. Talian diputuskan tanpa sempat aku bertanya lebih
lanjut. Kepiluan makin mencengkam jiwa. Aku hampa. Berkali-kali aku
dikecewakannya.
Keesokkan
harinya aku dan Raziman dibawa pulang semula ke rumah kami. Sepatutnya hatiku
melonjak gembira tetapi kenapa terasa hambar? Sejak berada di dalam kereta,
Ammar hanya mendiamkan diri. Aku yang tidak berani menyoal hanya membiarkan
kebisuan itu berpanjangan. Sesampai di rumah, aku terus masuk dan meletakkan
Raziman di atas katil. Ammar sibuk mengeluarkan semua barang dari kereta.
Tiba-tiba aku terdengar, telefon Ammar berbunyi. Ammar segera keluar dari rumah
dan menuju ke kereta. Dalam sekelip mata, bayangan Ammar hilang dari pandangan.
Terduduk aku di muka pintu bersama sendu yang menggila.
“Kenapa
kau seksa jiwaku Ammar? Setelah seluruh jiwa dan ragaku serahkan padamu,
tergamak kau perlakukan aku begini? Jika dari awal kau tak sukakan aku kenapa
kau pinang aku? Kenapa kau tergamak hancurkan hati aku?” Aku merintih penuh pilu.
Aku menangis sepuas hati kerana selama ini aku tidak berpeluang berbuat begitu
di rumah ibu bapaku. Di sini tiada siapa yang akan mendengar tangisanku.
Tangisan kekecewaan yang sarat dengan penderitaan batin. Menangislah wahai
mata. Keluarkan semua rasa sakit yang terpendam selama ini. Mungkin dengan ini
kekecewaanku boleh terubat.
Aku
melangkah masuk ke bilik dan membaringkan diriku di sebelah Raziman. Ku oles
pipinya lalu kucium. Terbau haruman bedak bayi di tubuhnya. Begitu mendamaikan
hati apabila aku membelai Raziman. Hilang seketika rasa sedih yang
bermaharajalela.
“Razi,
mama sayangkan Razi. Razi sumber kekuatan mama. Tanpa Razi di sisi, mama
mungkin telah kecundang. Mama harap, besar nanti Razi jadilah anak yang soleh
yang mampu membahagiakan mama,” bisikku di telinga Raziman. Aku mengucup dahi
Raziman sebelum membaringkan badan yang kepenatan di sisinya. Lama kelama
mataku terpejam juga.
.....................................................................
Tugasku memasak telah
siap ku lakukan. Sajian untuk berbuka ku hidangkan di meja. Sesekali aku
menjenguk Raziman yang sedang berbaring sendirian di ruang tengah. Ammar masih belum
pulang sejak keluar dari rumah tengah hari tadi. Aku melihat jam di dinding.
Tinggal setengah jam lagi, masuklah waktu Maghrib. Ke mana Ammar pergi? Sebelum
ini beria menyuruh aku memasak. Setelah terhidang, batang hidungnya masih tidak
kelihatan.
“Ah!
Perdulilah. Kerja aku dah selesai. Kalau dia nak makan, pandai-pandailah dia
balik.”
Raziman
yang berbaring menangis tiba-tiba. Segera aku mengangkatnya. Mulutnya terbuka
luas seolah-olah mencari sesuatu. Aku tersenyum kerana tahu, Raziman ingin menyusu.
Tanpa bertangguh, aku susukan Raziman sambil bersandar di sofa. Kedengaran
bunyi kereta memasuki pekarangan rumahku. Aku pasti itu adalah Ammar. Aku
membiarkan saja kerana ku tahu pintu tidak berkunci. Ammar masuk ke rumah dan
tersenyum kepadaku. Aku membalas senyumannya tanpa ragu. Senyuman ku mati
apabila melihat perempuan yang berada di belakang Ammar. Kenapa perlu dibawa
pulang perempuan bedebah ini? Tak cukupkah berpeleseran di luar? Kenapa perlu
menayang di hadapan mataku? Apa maksud Ammar sebenarnya?
“Rozy,
Elisa teringin berbuka bersama-sama kita. Jadi abang bawa dia ke sini. Rozy tak
apa-apa kan?” tanya Ammar menguji kesabaranku.
“Ya.
Eloklah tu. Rozy memang masak untuk abang berdua. Jemputlah nikmati hidangan
yang tak seberapa tu. Jika abang beritahu dari awal yang Elisa nak datang,
bolehlah Rozy masakkan ayam golek atau itik panggang. Maaflah di dalam peti ais
tu hanya ada ikan bilis dan telur saja. Jadi Rozy hanya masakkan sambal tumis
ikan bilis dan telur dadar.” Jawabku dengan muka yang sehabis manis. ‘Sengaja
nak buat aku marah, ye? Tak mengapa! Aku sabar. Jika tak kerana Raziman masih
menyusu ketika itu, tentu periuk belanga sudah terbang ke kepala Elisa. Biar
bocor kepala si bedebah itu!’
“Eh!
Rozy marilah kita makan bersama-sama.” Ajak Elisa sambil mengekori langkah
Ammar ke meja makan.
“Tak
mengapa. Makanlah. Saya tak puasa, jadi tak boleh makan bersama orang yang
berpuasa. Tak layak.” Bidasku separuh menyindir.
Wajah Ammar ku lihat bersahaja menarik kerusi
untuk Elisa. Matanya mengerling ke arahku. Pandangan kami bertaut tetapi segera
aku alihkan mataku ke wajah Raziman. ‘Ewah! Nak tunjuk romantik depan mataku
pula. Kau sengaja Ammar! Memang kau kejam,’ cemuh hatiku.
Raziman
yang selesai menyusu aku dukung menuju ke bilik. Lagi lama aku menyaksikan
adegan yang menyakitkan hatiku, lagi tipis rasanya kesabaranku. Cepat-cepat aku
tutup pintu bilik dan meletakkan Raziman di atas katil. Aku bergegas ke bilik
air setelah melihat Raziman telah nyenyak tidur. Mahu rasanya aku menjerit
ketika itu, tetapi kewarasan fikiranku masih mampu mengawalnya. Akhirnya aku
hanya menangis tersedu-sedu melepaskan rasa sakit di hati. Lama aku berkeadaan
begitu sehinggalah aku terdengar pintu bilik air tersebut diketuk dari luar.
Segera aku membasuh mukaku dan melangkah keluar. Ammar tercegat di hadapan
pintu merenungku tanpa kata. Pasti dia terperasan mataku yang sedikit
membengkak akibat menangis.
Tangan
Ammar menyambar tanganku. Aku terhenti seketika. Aku berusaha melepaskan
pegangannya. Tetapi Ammar menarik aku ke dalam pelukannya.
“Rozy,
maafkan abang,” bisiknya di telingaku.
Sukar
aku menafsirkan apa maksud kata-katanya itu. Walaupun aku tahu dia meminta
maaf, tetapi untuk apa?
“Kenapa
abang buat Rozy begini? Bukankah Rozy dah ingatkan abang, jika abang tak
perlukan Rozy pulangkan Rozy dengan baik ke pangkuan ibu bapa Rozy. Jangan
disiksa perasaan Rozy. Rozy tak mampu bersabar lebih lama lagi. Jika abang
hendak berkahwin dengan Elisa, abang kahwinlah. Tapi jangan buat begini. Amat
menyakitkan di sini.” Aku menunjukkan ke arah hatiku.
Ammar
menggenggam tanganku. Matanya ku lihat bergenang dengan air mata. Dia menangis?
Tapi kenapa? Adakah dia keberatan untuk melepaskan aku? Ah! Kenapa semua ini
menyesakkan mindaku?
“Sayang,
maafkan abang. Abang tak bermaksud untuk bertindak kejam kepada sayang. Abang
keliru. Antara kekasih dan isteri, abang terperangkap antaranya. Tolonglah
abang, sayang. Abang dah penat dengan semua ini.”
‘Sayang?
Aku tak salah dengarkah? Bukankah Elisa yang dipanggil sayang dan bukannya aku?’
makin keliru minda aku dibuatnya.
“Abang
perlu tunaikan janji-janji abang. Jadi, abang perlu melepaskan salah seorang
dari kamu berdua. Abang tak mampu mengasihi dua wanita dalam waktu yang sama.
Abang dah cuba tapi abang rasa berat sangat. Selepas abang buat keputusan,
abang harap Rozy tak akan salahkan abang. Terimalah keputusan abang dengan hati
terbuka dan maafkan segala kesalahan abang. Abang sayangkan Rozy dan Raziman.,”
kata Ammar lalu melepaskan tanganku. Dia berlalu keluar dan sebentar kemudian
aku hanya mendengar bunyi enjin kereta, sayup-sayup dan makin menjauh.
Aku
masih tegak berdiri mencerna kata-kata suamiku. Akukah yang akan dilepasnya?
Jika itu keputusannya, aku redha. Hatiku terasa pedih tetapi anehnya air mataku
seperti tidak mahu menitis lagi. Mungkin sudah lali dengan kesedihan. Pergilah
wahai suamiku. Pergilah menunaikan janjimu. Akan ku simpan semua kenangan manis
sewaktu bersamamu. Tak akan ku tuntut janjimu kepadaku sewaktu Ijab Kabul kita,
kerana aku tahu janjimu yang kau lafaskan buat Elisa lebih bermakna.
...........................................................................
Aku telah menyiapkan
beg pakaianku dan juga Raziman. Soleha memasukkan kedua-dua beg
tersebut ke dalam keretaku. Aku terpaksa meminta bantuan Soleha kerana aku
masih tidak mampu memandu jauh. Lebih-lebih lagi dalam keadaanku yang masih
berpantang. Raziman yang merengek, cuba ku diamkan. Tetapi rengekannya makin
kuat. Mungkin dia kelaparan kerana sejak dari tadi aku asyik mengemas.
Aku
masuk ke ruang hadapan kereta dan menarik sedikit bajuku untuk menyusu Raziman.
Soleha hanya tersenyum melihat Raziman yang agak rakus menghisap susunya.
Perlahan-lahan Soleha mengundurkan keretaku. Tetapi pergerakan kereta terpaksa
dihentikan kerana tiba-tiba kereta Ammar menghalang laluan. Ammar keluar dari
kereta dengan wajah yang masam. Tangannya pantas membuka pintu di sebelahku.
“Rozy
nak ke mana? Kenapa tak minta izin abang untuk keluar rumah?” tanya Ammar
dengan wajah yang serius.
Aku
menelan air liur. Ada benar kata-katanya itu. Aku tidak meminta izinnya. Pada
sangkaanku setelah dua hari dia tidak pulang ke rumah, bermakna kehadiranku
tidak diperlukan lagi. Apa guna aku menunggu? Lebih baik aku pulang ke kampung
sebelum aku dihalau keluar.
“Rozy
nak balik kampung. Dah dua hari abang tak balik, jadi Rozy faham maksud abang.
Rozy tak mahu menyusahkan abang. Sebab tu Rozy minta bantuan Soleha untuk
hantar Rozy. Maafkan Rozy kerana tidak memberitahu abang terlebih dahulu. Tapi
Rozy ada tinggalkan surat untuk memberitahu abang, jika abang pulang ke rumah.”
“Jika
Rozy nak pulang, kita pulang sama-sama. Tapi bukan hari ni. Tak perlu Rozy
susahkan Soleha dengan masalah kita.” Ujar Ammar sambil matanya melirik ke arah
Soleha yang masih setia di sebelahku.
Aku
hanya tunduk tanpa kata. Tidak patut aku mengheret Soleha ke dalam kemelut
rumah tanggaku. Tapi apa pilihanku? Hanya Soleha yang memahamiku dan sanggup
bersusah payah untuk ku.
“Saya
tak rasa suatu yang susah untuk menolong seorang kawan yang dalam kesusahan. Tak
kan saya nak biarkan Rozy memandu dalam jarak yang jauh sedangkan saya tahu
Rozy masih lemah?” Ujar Soleha, tenang.
“Tak
perlu semua tu. Awak parkir semula kereta ni. Saya tak izinkan Rozy balik tanpa
saya.” Ammar membuat keputusan yang mengejutkan aku. Kenapa mesti Ammar
menyiksa jiwaku lagi? Tak cukupkah dia meninggalkan aku untuk Elisa? Aku sudah
cukup terluka. Malah tiada rasa lagi yang bersisa, melainkan luka semata-mata.
Soleha
memarkirkan semula keretaku. Dia keluar dan kemudian meminta diri setelah
merasakan kehadirannya di situ tidak dialu-alukan oleh Ammar. Aku hanya mampu
melihat kereta Soleha berlalu pergi meninggalkan aku termangu-mangu di hadapan
Ammar.
“Mari
masuk, Rozy.” Ammar menarik tanganku masuk ke rumah.
Aku
menurut tanpa kata. Terasa jiwaku kosong saat itu. Ammar mengambil Raziman dari
tanganku. Aku hanya membiarkan. Letih mindaku untuk menilai perlakuan Ammar.
Mungkin juga Ammar ingin bermanja dengan anaknya sebelum melepaskan aku. Ammar
mencium pipi Raziman bertalu-talu. Raziman hanya berbunyi sedikit dan kemudian
lena kembali. Mungkin pelukan Ammar menyenangkannya.
“Abang,
Rozy dah penat.” Aku berkata mengharapkan dia faham maksud tersiratku.
“Pergilah
tidur. Biar abang jaga Raziman.”
“Rozy
bukan nak tidur tapi Rozy nak penjelasan abang. Kenapa abang tak izinkan Rozy
pulang sedangkan abang telah melepaskan Rozy?”
Ammar
hanya tersenyum dan meletakkan Raziman di buaian. Dia menghampiriku lalu duduk
melutut di hadapanku. Tanganku digenggam erat. Makin pening aku dengan
sikapnya.
“Sayang,
abang dah kata abang akan tunaikan janji abang. Jadi, sayang jangan persoalkan
segala tindakan abang. Sayang adalah tanggungjawab abang dan amanah yang Allah
berikan buat abang. Janji abang sewaktu melafaskan Ijab Kabul lebih bermakna
buat abang kerana abang berjanji menggunakan nama Allah. Abang tak sanggup
mungkiri janji tu. Maafkan abang kerana buat sayang sedih dan kecewa.” Tanganku yang masih
digenggamannya dikucup lembut.
Aku
terlopong mendengar kata-katanya. Betulkah apa yang ku dengar atau hanya ilusi?
Kenapa dia tidak memilih Elisa?
“Sayang
tentu hairan, kenapa abang tidak memilih Elisa. Betulkan?” tanyanya sambil
tersenyum lalu duduk di sebelahku.
Aku
hanya mengangguk tanpa mengalihkan mataku dari wajahnya.
“Sebenarnya
abang dah tunaikan janji abang pada Elisa. Bukan sekali tapi dua kali. Bila
keluarganya menolak bermakna abang tidak terikat lagi dengan janji abang. Jadi
kenapa dia masih menuntut janji abang? Bila abang renungkan kembali, baru abang
sedari kenapa keluarganya bersetuju abang berkahwin dengannya. Sayang nak tahu
kenapa?” tanya Ammar sambil merenung mataku.
Pantas
aku mengangguk. Matanya masih ku renung tanpa jemu. Kata-katanya bagaikan embun
yang membasuh sedikit demi sedikit lukaku.
“Dulu
abang miskin dan hanya memiliki sebuah motorsikal. Waktu tu abang hanyalah
seorang kerani rendah. Sebab itu mereka menolak lamaran abang. Setelah ditolak
kedua kalinya, abang kecewa dan menyambung pelajaran abang di samping bekerja.
Abang berjaya mendapat segulung ijazah. Bila keluarga abang meminang Rozy, abang
dinaikkan pangkat. Malah rezeki abang bertambah murah bila Rozy menjadi isteri
abang. Abang mendapat hadiah kereta dalam cabutan bertuah malah rumah kita ini
pun abang beli dengan harga yang murah dari kawan abang. Mungkin mereka melihat
abang telah punya kehidupan yang senang maka mereka terima. Jika tidak pandang
sebelah mata pun mereka tidak mahu.”
“Bagai
mana dengan Elisa? Dapatkah dia terima keputusan abang?”
“Rozy
ni masih lagi nak fikirkan tentang diri dia. Sedangkan dia terang-terang tak
pernah fikirkan tentang Rozy. Dia tak seikhlas sayang abang ni.” Ammar mencuit
hidungku. Aku hanya tersenyum senang.
“Abang
sedar abang dah banyak melukakan hati isteri abang. Abang keliru seketika dan
terbuai oleh cinta Elisa. Abang terlupa Elisa adalah masa lalu abang yang patut abang lupakan. Rozy dan Raziman
adalah masa kini abang. Abang sayangkan isteri dan anak abang. Berilah abang
peluang untuk membetulkan kesilapan abang. Abang janji tak kan menduakan sayang
lagi,” kata Ammar sambil mengangkat tangannya seolah-olah berikrar.
“Betul
abang tak kan menduakan Rozy?” tanyaku dengan senyuman.
“Betul!
Abang janji dengan sepenuh hati. Abang cintakan sayang dan tak akan menduakan
sayang.”
“Rozy
takut abang tak menduakan tapi abang mentiga malah mengempatkan Rozy,” kata
sambil bangun dari dudukku.
“Oo...
nak kenakan abang ye? Mari sini! Abang nak bagi tiga dan empat sekali gus,”
kata Ammar sambil membulatkan matanya.
“Tak
nak!”
Aku
cuba melarikan diri tetapi tangan Ammar pantas memaut pinggangku. Hilai tawa
kami bergema menandakan tamatnya konflik antara kami. Ammar mengemaskan
pelukannya dan aku hanya membiarkan. Saat-saat begini telah lama tidak ku
rasakan. Bunga-bunga di taman hatiku mekar kembali. Kali ini mekar bersama
haruman bak kasturi kerana aku tahu kini, Ammar sebenarnya mencintaiku. Apa
yang ku harap kini suamiku tetap berpegang kepada janjinya. Janji seorang
suami.
2 ulasan:
Mohon share
Boleh share tapi letakkan link blog akak sekali ya. Insya Allah cerpen ni pun akan dibukukan seperti cerpen yang lain.
Catat Ulasan