Pengikut

Khamis, 9 Ogos 2012

Kerana Janji Suamiku.

Telah hampir tiga jam aku bertarung nyawa untuk melahirkan bayi sulungku. Habis segala doa dan ayat suci Al-Quran yang terhafal oleh ku, ku bacakan. Sakit yang ku rasakan makin mencengkam. Beberapa kali sakit begitu melanda diriku. Bagaikan hendak tercabut segala urat sendiku menahan sakit tersebut.
‘Kenapa bayi ni tak mahu keluar lagi? Ya, Allah jika ada dosa yang telah aku lakukan sama ada sengaja atau tidak sengaja, aku bermohon padaMu agar diampunkan segala dosaku itu. Permudahkanlah Ya, Allah kelahiran ini,’ bisik hatiku.
“Rozy, kuatkan semangat! Ingatkan Allah banyak-banyak,” terdengar suamiku berkata di hujung kepala.
Bagaikan mendapat suntikan semangat, aku berazam untuk meneruskan proses melahirkan yang terlalu sukar buat diriku. Tiba-tiba aku merasakan sakit yang datang mendadak. Terasa bayi di dalam perutku mulai melonjak untuk keluar.
“Okey. Push!” terdengar suara Doktor Azni memberi arahan.
Aku menurut arahan doktor muda itu dan dengan kekuatan yang bersisa aku akhirnya berjaya melahirkan seorang bayi lelaki. Penat yang ku rasakan bagaikan hilang apabila mendengar tangisan pertamanya. Bayi yang masih berlendir diletakkan di atas dadaku. Dapat ku rasakan degupan jantungnya. Jari-jarinya yang kecil ku pegang bersama linangan air mata. Alangkah indahnya anugerah Tuhan buat diriku. Syukur kepada Ilahi yang memberi rezeki sehebat ini.
“Terima kasih Rozy kerana melahirkannya untuk abang.” Suamiku memberikan ciuman di dahiku sambil tangannya turut memegang tangan bayi yang baru dilahirkan itu.
Doktor Azni sibuk menjahit lukaku dan memberikan bayiku kepada jururawat untuk dibersihkan. Suamiku kemudiannya dibenarkan untuk mengazan dan menqamatkan bayi kami. Kegembiraan jelas terbayang di wajahnya. Kebahagiaan meresap ke seluruh sanubariku. Ku berharap dengan adanya bayi ini, kasih sayang antara kami akan terjalin dengan lebih kukuh. Aku sedar aku bukanlah isteri pilihannya tetapi pilihan ibu bapanya. Dia menerimaku setelah dua kali pinangannya ditolak oleh keluarga kekasih hatinya. Walaupun dia tidak pernah mengungkapkan kata cinta kepadaku tetapi aku tahu dia sudah menerima kehadiranku di dalam hidupnya.
Aku dibenarkan pulang setelah dua hari berada di hospital. Suamiku membawa beg dan barang-barangku ke kereta manakala aku yang mengendong bayiku berjalan perlahan-lahan di belakangnya.
“Am!... Ammar!” tiba-tiba aku mendengar suara perempuan memanggil suamiku.
Pantas aku menoleh dan melihat seorang perempuan berambut perang menghampiri kami berdua. Aku melihat wajah suamiku agak terkejut tetapi senyuman tetap terukir di bibirnya. ‘Siapakah perempuan ni? Tak pernah aku lihat sebelum ni,’ bisik hatiku, curiga.
“Tak sangka I boleh jumpa you di sini. Apa khabar you sekarang?” tanya perempuan tersebut sambil tangannya cuba memegang tangan suamiku.
I sihat. Elisa ini isteri I, Roziah dan anak lelaki kami Raziman.” Suamiku mengelak pegangan tangan Elisa lalu memegang bahuku.
Wajah Elisa sedikit berubah tetapi dia tetap menghulurkan tangan kepadaku dengan senyum sinis. Aku menyambut huluran tangannya tanpa kata. Dalam hati hanya Allah yang tahu betapa meluatnya aku dengan aksi terlebih gediknya. Walaupun dia boleh dikategorikan sebagai perempuan yang cantik tetapi sikapnya membuatkan aku terasa menyampah. Aku tahu dia cuba menggoda suamiku. Mungkinkah dia bekas kekasih suamiku seperti yang pernah suamiku ceritakan?
“Am, i nak cakap sikit dengan you boleh tak? Sekejap pun jadilah.”
Hatiku mulai tidak senang dengan permintaannya itu. “Maaf ya, Cik Elisa. Kami perlu balik. Tak kan Cik Elisa tak nampak saya perlukan rehat. Lain kali sajalah kalau nak berbual.” Pintasku sebelum sempat suamiku bersuara.
“Err... Rozy tunggu abang di kereta. Kejap lagi abang datang. Hidupkan enjin dulu,” arah suamiku sambil menyerahkan kunci kereta kepadaku.
Terkebil-kebil mataku mendengar kata-kata itu. Kunci yang dihulur tetap ku sambut. Aku dapat melihat senyuman kemenangan di bibir Elisa. Tanpa berlengah, aku meneruskan langkah menuju ke tempat letak kereta dalam terik matahari. Walaupun jarak kereta hanya 10 meter tetapi dalam keadaanku begini, menyukarkan pergerakanku. Sakit yang kurasa ku tahankan sahaja. 
Aku menutup sedikit tubuh anakku agar tidak terkena panas. Perlahan-lahan ku buka pintu kereta di bahagian belakang dan kuletakkan anakku di atas kerusi. Mataku pejam seketika ketika sakit di bahagian penjahitku mengilukan. Tanpa sedar air mataku mengalir. Ku seka alirannya.
Kemudian aku membuka pintu di sebelah pemandu. Enjin kereta kuhidupkan dan aku membuka penghawa dingin sehabis kuat. Panas terasa membahang, tetapi panas di hatiku telah mendidih. Aku masuk ke dalam kereta dan memangku anakku. Aku masuk ke bahagian belakang dan memangku anakku. 
Dari dalam kereta, aku nampak mereka berbual mesra dan sesekali suamiku menganggukkan kepalanya. Sempat juga ku lihat suamiku mengeluarkan telefonnya. Mungkin mereka bertukar-tukar nombor telefon, fikirku. Tapi untuk apa? Adakah suamiku masih menaruh harapan untuk bersamanya semula? Persoalan itu menyesakkan dadaku.
Setelah setengah jam menunggu, suamiku masuk ke dalam kereta. Ringan sahaja mulutku ingin bertanya tetapi apabila melihat wajahnya yang tidak mengukir senyum kepadaku, aku pendamkan sahaja. Bimbang jika dia mengherdikku jika tidak kena gaya. Aku cuba mengawal emosiku. Perlahan-lahan aku kucup pipi Raziman yang berada di pangkuan. Hanya anak menjadi penguat semangatku ketika itu. Aku cuma mampu berdoa agar suamiku tidak akan mengabaikan kami berdua.
..........................................................
Aku berbaring di katil setelah menyusukan Raziman. Suamiku masih berada di bilik air, sedang mandi. Tiba-tiba telefon suamiku berdering. Bimbang mengejutkan si kecil, lantas telefonnya ku angkat. Sebelum sempat aku memberi salam, terdengar suara perempuan di hujung talian.
“Sayang! I dah tunggu you lama tau. You janji nak jumpa I hari ni, kenapa you tak sampai lagi?” Rengekkan manjanya memualkan tekakku.
“Siapa ni?” soalku walaupun aku dapat meneka suara itu.
“Elisa! Am mana? Kenapa kau pula yang jawab? Bagi phone pada dia!” kata Elisa tanpa rasa bersalah. Malah boleh marah-marah. Bukankah sepatutnya aku yang marah?
“Abang Am tengah mandi. Ada apa-apa pesanan?” tanyaku dengan nada yang masih terkawal, sabar.
“Nama kau apa eh?”
“Rozy”
“Ha! Rozy, aku nak beritahu kau yang Am dan aku akan kahwin tak lama lagi. Dia akan ceraikan kau sebab aku tak mahu berkongsi. Anak Am, aku akan jaga sebagai mana anak aku sendiri. Kau bolehlah pilih mana-mana lelaki sebagai ganti Am aku.”
Bagaikan peluru berpandu dilepaskan, setiap patah kata Elisa menghancur leburkan hatiku. Kenapa Ammar tidak memberitahuku sendiri? Kenapa melalui mulut Elisa? Apa salahku? Hinakah aku di mata suamiku sendiri? Persoalan demi persoalan menghantui fikiranku. Tapi boleh percayakah kata-kata Elisa? Mungkinkah dia berbohong?
“Jangan kau berangan nak ambil anak aku! Aku akan pastikan anak aku tetap milik aku. Aku yang separuh nyawa lahirkan dia. Kau ingat senang-senang aku nak beri pada kau? Satu lagi, aku masih isteri abang Am. Selagi aku bergelar isteri, akan aku pastikan rumah tangga kami kekal wujud walaupun badai melanda.” Nada suaraku mulai meninggi.
Terdengar hilai tawa Elisa di hujung sana, seolah-olah mengejek aku. Begitu menyakitkan hatiku. Apa dia fikir dengan statusnya sebagai bekas kekasih suamiku, dia layak untuk menghancur leburkan hidupku?
“Hey Rozy! Aku cuma ingatkan kau. Selama ni kau dah rampas kekasih aku. Kau buat kami terpisah dan dia lupa pada janji dia. Tapi kini aku gembira kerana dia akan tunaikan janji dia pada aku. Janji untuk mengambil aku sebagai isterinya kerana aku pernah bersumpah tidak akan mengizinkan orang lain menyentuhku selain dirinya. Diriku hanya untuk Am dan Am untuk aku.” Terang Elisa dengan bangga.
“Akukah yang bersalah atau keluarga kau? Bukankah keluarga kau dah tolak pinangan dia? Bukan sekali malah dua kali! Adakah kau begitu yakin keluarga kau akan terima suami dan juga bapa orang sebagai calon suami kau?” Radangku makin meningkat.
“Soal tu tak timbul lagi. Keluarga aku dah boleh terima dia tapi dengan syarat dia ceraikan kau. Am akan datang berjumpa dengan keluarga aku sikit masa lagi. Jadi, aku harap kau bersedialah untuk menjadi janda,” kata-kata Elisa menghiris tangkai hatiku. Tapi ku tahankan jua.
“Jangan terlalu sombong Elisa. Jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Allah. Kita hanya mampu merancang. Jika tersurat hingga akhir hayatku abang Am adalah suamiku, tak mungkin kau dapat meruntuhkan suratan itu. Aku berserah kepada Allah menentukan segalanya. Assalamualaikum!” kataku lalu talian ku putuskan.
Aku membaringkan kembali badanku. Air mataku laju merembes di pipi. Terdengar pintu bilik air di buka. Aku berpura-pura tidur setelah air mata ku hapuskan. Ammar, ku lihat sedang berpakaian. Tentunya dia akan keluar kerana dia siap menyembur pewangi badan. Kebiasaan yang dilakukannya jika ingin keluar berjalan-jalan atau bekerja. Ammar mencapai telefonnya dan mendail nombor seseorang. Dia hanya memandang aku sekilas. Mungkin padanya aku sedang nyenyak tidur padahal kelopak mataku yang renggang melihat gerak gerinya.
“Hello sayang! I nak pergilah ni. You tunggu. Kejap lagi I sampai.” Walaupun ungkapan itu agak perlahan tetapi telingaku masih dapat mendengar bait-bait yang terluncur dari bibir Ammar. Ammar melangkah keluar bilik dan tidak lama selepas itu deruman enjin kereta kedengaran meninggalkan pekarangan rumahku.
Aku tahu Ammar meninggalkan aku untuk bersama-sama Elisa. Air mataku bagaikan empang yang pecah ketika itu. Alirannya makin laju setelah mataku tertancap ke tubuh kecil Raziman. Sepatutnya ketika ini aku bergembira kerana melahirkan zuriat buat suamiku. Suamiku pula sepatutnya berbangga kerana telah menjadi seorang bapa. Sepatutnya sakit tubuhku yang melahirkan Raziman diambil peduli. Tetapi tidak buat Ammar. Di sana dia tega memadu kasih dan membiarkan aku di sini menelan pahitnya hempedu.
“Sayang, mama tak akan biarkan sesiapa pun mengambil sayang dari mama. Mama berhak ke atas sayang. Jika papa nak buang mama, mama boleh terima. Mama sedar siapa diri mama. Mama tak secantik Elisa malah papa tak pernah ucap kata sayang buat mama. Segala yang dibuat oleh papa, hanyalah semata-mata kerana menjalankan tanggungjawabnya saja, tidak lebih dari itu. Sekarang papa dah dapat apa yang dikejarnya selama ini. Kekasih hatinya telah kembali. Haruskah mama pertahankan sedangkan di hati papa, mama hanyalah melukut di tepi gantang? Jika dibuang tidak merugikan apa-apa buat papa.” Aku berbicara dalam sendu walaupun aku tahu Raziman tidak mungkin memahaminya.
Pada siapa harus aku mengadu? Tak mungkin aku ceritakan masalah rumah tanggaku kepada kedua orang tua ku malah aku juga tak sanggup bercerita kepada keluarga mertuaku. Oleh itu aku mengambil keputusan untuk bertahan selagi mampu. Tiba-tiba telefonku berbunyi. Suara gembira ibuku di hujung talian menyapa gegendang telingaku. Aku mengawal suaraku dan membalas kata-kata ibuku dengan ria.
“Bila kau nak balik Rozy? Suruhlah Am hantar kau segera. Mak dah tempah tukang urut untuk kau. Abah kau dah pun carikan kambing untuk cucu dia. Nanti bolehlah dibuat Aqiqah.”
“Rozy akan balik esok. Terima kasih kerana mak dan abah dah bersusah payah untuk Rozy. Tak terbalas rasanya jasa mak dan abah.” Ucapku bersama sebak di dada. Bapaku bersusah payah mencari kambing untuk Aqiqah sedangkan Ammar yang sepatutnya berbuat begitu seolah-olah lepas tangan.
“Janganlah difikirkan begitu. Mak dan abah cuma tumpang gembira kerana kami dapat cucu lelaki pertama. Anak - anak Along dan Ngah semuanya perempuan. Jadi bila dapat hero, abah secara sukarela nak carikan kambing.” Aku tahu ibu dan bapaku terasa sangat gembira dengan kelahiran Raziman. Malah ibu bapa mertuaku pun begitu juga.
“Baiklah mak. Rozy ikut saja mana yang baik.” Tuturku sebelum menamatkan perbualan dengan ibuku. Tanpa sedar aku mengeluh. Mahukah Ammar menghantarku pulang sedangkan ketikaku memberitahunya akan hal itu, dia hanya mendiamkan diri. Malah sejak bertemu kembali dengan Elisa di hospital tempoh hari, Ammar makin kurang berbual denganku. Sepatah ku tanya sepatahlah dijawabnya. Akibat bosan, aku turut mendiamkan diri. Bercakap bila perlu.
............................................................................

Ammar kelihatan resah gelisah setelah menghantarku pulang ke kampung. Dia seolah-olah tidak betah duduk berlama-lama di kampungku. Hanya sehari, Ammar telah memberitahuku bahawa dia perlu pulang ke Bandar kerana kerjanya banyak dan itu minggu sibuknya.
‘Ya, lah... sibuk dengan Elisa,’ bisik hatiku. Kenapa hatiku seolah tidak berperasaan ketika dia memberi alasan begitu? Telah matikah perasaan aku setelah terang-terang suamiku curang kepadaku? Layakkah aku menahan perasaan cintanya kepada Elisa sedangkan selama ini aku sedar aku tidak memiliki cintanya?
“Abang, jika abang ada kelapangan jengoklah kami di sini terutama hari Aqiqah Raziman nanti,” ucapku sambil memerhati Ammar menyiapkan dirinya untuk pulang ke Bandar.
“Tengoklah. Kalau abang sibuk, abang tak balik. Rozy tunggu sini hingga abang jemput. Selagi abang tak jemput jangan ke mana-mana.” Ammar mengeluarkan arahan yang sekali gus menyekat pergerakan aku. Hatta untuk pulang ke rumah ku sendiri!
“Abang, jika apa yang ingin Rozy katakan ini menyinggung hati abang, Rozy minta ampun dan maaf. Rozy tak akan menyekat apa saja yang akan abang lakukan. Jika abang fikir janji abang pada Elisa lebih penting,  abang kahwinlah dengan dia. Abang boleh batalkan janji abang sewaktu akad nikah kita. Rozy harap, abang pulangkan Rozy kepada ibu bapa Rozy sebagai mana abang ambil Rozy dahulu. Rozy akan terima dengan rela hati. Tapi Rozy tak akan sekali-kali menyerahkan anak Rozy kepada Elisa. Rozy dah separuh nyawa melahirkannya. Jadi, Rozy harap abang pertimbangkan permintaan Rozy. Elisa boleh berikan abang lebih ramai anak. Tapi Rozy hanya ada Raziman. Biarkan Raziman di sisi Rozy,” kataku menahan air mata yang bergenang.
Tanpa kata Ammar bangun lalu mencium pipi Raziman. Tangannya dihulur kepadaku. Aku tunduk menyalaminya. Setelah kepalaku dipanggung, Ammar mencium dahiku. Perlakuan yang sering dilakukannya. Tertanya juga di dalam hatiku, apa sebenarnya yang tersemat di hati suamiku ini? Kenapa dia tidak membalas kata-kataku tadi? Adakah dia bersetuju dengan permintaanku? Bermakna sedikit masa lagi aku akan bergelar janda beranak satu. Satu gelaran yang tidak mahuku terima.
Ammar meninggalkan aku dan Raziman tanpa khabar berita. Berhari-hari aku tunggu panggilan telefonnya tetapi dia tidak menghubungi aku. Beberapa kali aku menghantar mesej tetapi semuanya tidak berbalas. Malah panggilan telefonku juga tidak dijawab. Bencikah dia pada diriku? Mungkin dia sedang berbahagia dengan Elisa, maka aku dilupakannya. Ramadhan kali ini begitu hambar terasa. Sudahlah aku tidak dapat berpuasa walaupun sehari, suamiku pula semakin menjauh. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah berdoa dan berzikir di dalam hati. Moga doaku di bulan barakah ini membuahkan hasilnya. Moga istanaku tidak roboh di tengah jalan.
.................................................................
Kenduri Aqiqah Raziman tetap diadakan meskipun Ammar tidak pulang. Disebabkan bulan Ramadhan, kenduri Aqiqah tersebut dilakukan di masjid kampungku. Aku bersyukur kerana ibu bapaku tidak banyak soal apabila ku nyatakan Ammar tidak dapat pulang kerana kesibukan kerjanya. Alasan yang dia perlu bekerja lebih masa agar memudahkan dia pulang berhari raya diterima oleh keluargaku tanpa curiga. Pada sangkaan mereka Ammar kerap menelefonku walhal yang kerap kali berbuat begitu adalah kawan baikku, Soleha yang juga merupakan teman sekerjaku. Padanya aku ceritakan serba sedikit masalah aku dan dia banyak memberikan nasihat agar aku bersabar dan berdoa kepada Allah. Pada pendapat Soleha, doa orang yang teraniaya akan dimakbulkan oleh Allah. Adakah aku juga tergolong dalam kalangan orang yang teraniaya?
“Rozy, kau harus tabah. Jangan cepat berputus asa. Ingat, Allah itu Maha Adil dan Maha Mendengar. Jika memang telah tertulis, Ammar kekal dengan kau Insya Allah tak ke mana suami kau. Allah uji kita bertujuan meningkatkan keimanan kita. Allah mahu kita bergantung harap kepada Allah dan bukannya kepada orang. Orang yang paling hampir kepada Allah ketika dia diuji, maka martabatnya di sisi Allah akan meningkat. Jadilah orang itu, Rozy. Mampirkan diri kau pada Allah.” Nasihat Soleha.
“Insya Allah, Ha. Aku akan cuba sedaya upaya. Syukur aku mempunyai kawan sebaik kau yang mampu memberi nasihat ketika jiwa aku kacau. Aku sedar, Ammar adalah pinjaman Allah kepadaku. Bila tiba masa, pasti pinjaman tu akan diambil semula. Jika tidak berpisah hidup, pasti berpisah mati. Aku akan pasrah dan redha dengan ketentuan Ilahi.”
Telinga aku dapat mendengar bunyi panggilan masuk. Segera aku memberitahu Soleha yang aku ingin menjawab panggilan tersebut. Alangkah terkejutnya hatiku, Ammar menelefonku. Terubat rinduku mendengar suaranya. Ya, aku akui aku memang merinduinya. Rindu setengah mati.
“Rozy, abang akan balik malam ni sebab nak ambil Rozy dan Raziman. Esok pagi kita bertolak balik. Siapkan semua pakaian dan barang Rozy.” Arah Ammar setelah memberi salam kepadaku. Kelopak bunga di taman hatiku terasa berkembang. Tapi, kenapa perlu balik mendadak sedangkan pantangku masih ada dua minggu? Apa muslihatnya kali ini?
“Err... bukankah abang suruh Rozy tinggal di sini hingga habis pantang?” soalku hairan.
“Abang tak lalu nak makan nasi bungkus lagi. Rozy dah sihatkan? Tak perlu tunggu hingga habis pantang. Balik dan tolong masakkan untuk abang.”
Kata-kata Ammar membuatkan hatiku yang berbunga tadi kembali menjadi layu. Adakah aku hanya diperlukan untuk menjadi tukang masak? Lepas ni apa lagi? Tukang cuci? Hatiku menyoal dalam sebal. Talian diputuskan tanpa sempat aku bertanya lebih lanjut. Kepiluan makin mencengkam jiwa. Aku hampa. Berkali-kali aku dikecewakannya.
Keesokkan harinya aku dan Raziman dibawa pulang semula ke rumah kami. Sepatutnya hatiku melonjak gembira tetapi kenapa terasa hambar? Sejak berada di dalam kereta, Ammar hanya mendiamkan diri. Aku yang tidak berani menyoal hanya membiarkan kebisuan itu berpanjangan. Sesampai di rumah, aku terus masuk dan meletakkan Raziman di atas katil. Ammar sibuk mengeluarkan semua barang dari kereta. Tiba-tiba aku terdengar, telefon Ammar berbunyi. Ammar segera keluar dari rumah dan menuju ke kereta. Dalam sekelip mata, bayangan Ammar hilang dari pandangan. Terduduk aku di muka pintu bersama sendu yang menggila.
“Kenapa kau seksa jiwaku Ammar? Setelah seluruh jiwa dan ragaku serahkan padamu, tergamak kau perlakukan aku begini? Jika dari awal kau tak sukakan aku kenapa kau pinang aku? Kenapa kau tergamak hancurkan hati aku?” Aku merintih penuh pilu. Aku menangis sepuas hati kerana selama ini aku tidak berpeluang berbuat begitu di rumah ibu bapaku. Di sini tiada siapa yang akan mendengar tangisanku. Tangisan kekecewaan yang sarat dengan penderitaan batin. Menangislah wahai mata. Keluarkan semua rasa sakit yang terpendam selama ini. Mungkin dengan ini kekecewaanku boleh terubat.
Aku melangkah masuk ke bilik dan membaringkan diriku di sebelah Raziman. Ku oles pipinya lalu kucium. Terbau haruman bedak bayi di tubuhnya. Begitu mendamaikan hati apabila aku membelai Raziman. Hilang seketika rasa sedih yang bermaharajalela.
“Razi, mama sayangkan Razi. Razi sumber kekuatan mama. Tanpa Razi di sisi, mama mungkin telah kecundang. Mama harap, besar nanti Razi jadilah anak yang soleh yang mampu membahagiakan mama,” bisikku di telinga Raziman. Aku mengucup dahi Raziman sebelum membaringkan badan yang kepenatan di sisinya. Lama kelama mataku terpejam juga.
.....................................................................
Tugasku memasak telah siap ku lakukan. Sajian untuk berbuka ku hidangkan di meja. Sesekali aku menjenguk Raziman yang sedang berbaring sendirian di ruang tengah. Ammar masih belum pulang sejak keluar dari rumah tengah hari tadi. Aku melihat jam di dinding. Tinggal setengah jam lagi, masuklah waktu Maghrib. Ke mana Ammar pergi? Sebelum ini beria menyuruh aku memasak. Setelah terhidang, batang hidungnya masih tidak kelihatan.
“Ah! Perdulilah. Kerja aku dah selesai. Kalau dia nak makan, pandai-pandailah dia balik.”
Raziman yang berbaring menangis tiba-tiba. Segera aku mengangkatnya. Mulutnya terbuka luas seolah-olah mencari sesuatu. Aku tersenyum kerana tahu, Raziman ingin menyusu. Tanpa bertangguh, aku susukan Raziman sambil bersandar di sofa. Kedengaran bunyi kereta memasuki pekarangan rumahku. Aku pasti itu adalah Ammar. Aku membiarkan saja kerana ku tahu pintu tidak berkunci. Ammar masuk ke rumah dan tersenyum kepadaku. Aku membalas senyumannya tanpa ragu. Senyuman ku mati apabila melihat perempuan yang berada di belakang Ammar. Kenapa perlu dibawa pulang perempuan bedebah ini? Tak cukupkah berpeleseran di luar? Kenapa perlu menayang di hadapan mataku? Apa maksud Ammar sebenarnya?
“Rozy, Elisa teringin berbuka bersama-sama kita. Jadi abang bawa dia ke sini. Rozy tak apa-apa kan?” tanya Ammar menguji kesabaranku.
“Ya. Eloklah tu. Rozy memang masak untuk abang berdua. Jemputlah nikmati hidangan yang tak seberapa tu. Jika abang beritahu dari awal yang Elisa nak datang, bolehlah Rozy masakkan ayam golek atau itik panggang. Maaflah di dalam peti ais tu hanya ada ikan bilis dan telur saja. Jadi Rozy hanya masakkan sambal tumis ikan bilis dan telur dadar.” Jawabku dengan muka yang sehabis manis. ‘Sengaja nak buat aku marah, ye? Tak mengapa! Aku sabar. Jika tak kerana Raziman masih menyusu ketika itu, tentu periuk belanga sudah terbang ke kepala Elisa. Biar bocor kepala si bedebah itu!’
“Eh! Rozy marilah kita makan bersama-sama.” Ajak Elisa sambil mengekori langkah Ammar ke meja makan.
“Tak mengapa. Makanlah. Saya tak puasa, jadi tak boleh makan bersama orang yang berpuasa. Tak layak.” Bidasku separuh menyindir.
 Wajah Ammar ku lihat bersahaja menarik kerusi untuk Elisa. Matanya mengerling ke arahku. Pandangan kami bertaut tetapi segera aku alihkan mataku ke wajah Raziman. ‘Ewah! Nak tunjuk romantik depan mataku pula. Kau sengaja Ammar! Memang kau kejam,’ cemuh hatiku.
Raziman yang selesai menyusu aku dukung menuju ke bilik. Lagi lama aku menyaksikan adegan yang menyakitkan hatiku, lagi tipis rasanya kesabaranku. Cepat-cepat aku tutup pintu bilik dan meletakkan Raziman di atas katil. Aku bergegas ke bilik air setelah melihat Raziman telah nyenyak tidur. Mahu rasanya aku menjerit ketika itu, tetapi kewarasan fikiranku masih mampu mengawalnya. Akhirnya aku hanya menangis tersedu-sedu melepaskan rasa sakit di hati. Lama aku berkeadaan begitu sehinggalah aku terdengar pintu bilik air tersebut diketuk dari luar. Segera aku membasuh mukaku dan melangkah keluar. Ammar tercegat di hadapan pintu merenungku tanpa kata. Pasti dia terperasan mataku yang sedikit membengkak akibat menangis.
Tangan Ammar menyambar tanganku. Aku terhenti seketika. Aku berusaha melepaskan pegangannya. Tetapi Ammar menarik aku ke dalam pelukannya.
“Rozy, maafkan abang,” bisiknya di telingaku.
Sukar aku menafsirkan apa maksud kata-katanya itu. Walaupun aku tahu dia meminta maaf, tetapi untuk apa?
“Kenapa abang buat Rozy begini? Bukankah Rozy dah ingatkan abang, jika abang tak perlukan Rozy pulangkan Rozy dengan baik ke pangkuan ibu bapa Rozy. Jangan disiksa perasaan Rozy. Rozy tak mampu bersabar lebih lama lagi. Jika abang hendak berkahwin dengan Elisa, abang kahwinlah. Tapi jangan buat begini. Amat menyakitkan di sini.” Aku menunjukkan ke arah hatiku.
Ammar menggenggam tanganku. Matanya ku lihat bergenang dengan air mata. Dia menangis? Tapi kenapa? Adakah dia keberatan untuk melepaskan aku? Ah! Kenapa semua ini menyesakkan mindaku?
“Sayang, maafkan abang. Abang tak bermaksud untuk bertindak kejam kepada sayang. Abang keliru. Antara kekasih dan isteri, abang terperangkap antaranya. Tolonglah abang, sayang. Abang dah penat dengan semua ini.”
‘Sayang? Aku tak salah dengarkah? Bukankah Elisa yang dipanggil sayang dan bukannya aku?’ makin keliru minda aku dibuatnya.
“Abang perlu tunaikan janji-janji abang. Jadi, abang perlu melepaskan salah seorang dari kamu berdua. Abang tak mampu mengasihi dua wanita dalam waktu yang sama. Abang dah cuba tapi abang rasa berat sangat. Selepas abang buat keputusan, abang harap Rozy tak akan salahkan abang. Terimalah keputusan abang dengan hati terbuka dan maafkan segala kesalahan abang. Abang sayangkan Rozy dan Raziman.,” kata Ammar lalu melepaskan tanganku. Dia berlalu keluar dan sebentar kemudian aku hanya mendengar bunyi enjin kereta, sayup-sayup dan makin menjauh.
Aku masih tegak berdiri mencerna kata-kata suamiku. Akukah yang akan dilepasnya? Jika itu keputusannya, aku redha. Hatiku terasa pedih tetapi anehnya air mataku seperti tidak mahu menitis lagi. Mungkin sudah lali dengan kesedihan. Pergilah wahai suamiku. Pergilah menunaikan janjimu. Akan ku simpan semua kenangan manis sewaktu bersamamu. Tak akan ku tuntut janjimu kepadaku sewaktu Ijab Kabul kita, kerana aku tahu janjimu yang kau lafaskan buat Elisa lebih bermakna.
...........................................................................
Aku telah menyiapkan beg pakaianku dan juga Raziman. Soleha memasukkan kedua-dua beg tersebut ke dalam keretaku. Aku terpaksa meminta bantuan Soleha kerana aku masih tidak mampu memandu jauh. Lebih-lebih lagi dalam keadaanku yang masih berpantang. Raziman yang merengek, cuba ku diamkan. Tetapi rengekannya makin kuat. Mungkin dia kelaparan kerana sejak dari tadi aku asyik mengemas.
Aku masuk ke ruang hadapan kereta dan menarik sedikit bajuku untuk menyusu Raziman. Soleha hanya tersenyum melihat Raziman yang agak rakus menghisap susunya. Perlahan-lahan Soleha mengundurkan keretaku. Tetapi pergerakan kereta terpaksa dihentikan kerana tiba-tiba kereta Ammar menghalang laluan. Ammar keluar dari kereta dengan wajah yang masam. Tangannya pantas membuka pintu di sebelahku.
“Rozy nak ke mana? Kenapa tak minta izin abang untuk keluar rumah?” tanya Ammar dengan wajah yang serius.
Aku menelan air liur. Ada benar kata-katanya itu. Aku tidak meminta izinnya. Pada sangkaanku setelah dua hari dia tidak pulang ke rumah, bermakna kehadiranku tidak diperlukan lagi. Apa guna aku menunggu? Lebih baik aku pulang ke kampung sebelum aku dihalau keluar.
“Rozy nak balik kampung. Dah dua hari abang tak balik, jadi Rozy faham maksud abang. Rozy tak mahu menyusahkan abang. Sebab tu Rozy minta bantuan Soleha untuk hantar Rozy. Maafkan Rozy kerana tidak memberitahu abang terlebih dahulu. Tapi Rozy ada tinggalkan surat untuk memberitahu abang, jika abang pulang ke rumah.”
“Jika Rozy nak pulang, kita pulang sama-sama. Tapi bukan hari ni. Tak perlu Rozy susahkan Soleha dengan masalah kita.” Ujar Ammar sambil matanya melirik ke arah Soleha yang masih setia di sebelahku.
Aku hanya tunduk tanpa kata. Tidak patut aku mengheret Soleha ke dalam kemelut rumah tanggaku. Tapi apa pilihanku? Hanya Soleha yang memahamiku dan sanggup bersusah payah untuk ku.
“Saya tak rasa suatu yang susah untuk menolong seorang kawan yang dalam kesusahan. Tak kan saya nak biarkan Rozy memandu dalam jarak yang jauh sedangkan saya tahu Rozy masih lemah?” Ujar Soleha, tenang.
“Tak perlu semua tu. Awak parkir semula kereta ni. Saya tak izinkan Rozy balik tanpa saya.” Ammar membuat keputusan yang mengejutkan aku. Kenapa mesti Ammar menyiksa jiwaku lagi? Tak cukupkah dia meninggalkan aku untuk Elisa? Aku sudah cukup terluka. Malah tiada rasa lagi yang bersisa, melainkan luka semata-mata.
Soleha memarkirkan semula keretaku. Dia keluar dan kemudian meminta diri setelah merasakan kehadirannya di situ tidak dialu-alukan oleh Ammar. Aku hanya mampu melihat kereta Soleha berlalu pergi meninggalkan aku termangu-mangu di hadapan Ammar.
“Mari masuk, Rozy.” Ammar menarik tanganku masuk ke rumah.
Aku menurut tanpa kata. Terasa jiwaku kosong saat itu. Ammar mengambil Raziman dari tanganku. Aku hanya membiarkan. Letih mindaku untuk menilai perlakuan Ammar. Mungkin juga Ammar ingin bermanja dengan anaknya sebelum melepaskan aku. Ammar mencium pipi Raziman bertalu-talu. Raziman hanya berbunyi sedikit dan kemudian lena kembali. Mungkin pelukan Ammar menyenangkannya.
“Abang, Rozy dah penat.” Aku berkata mengharapkan dia faham maksud tersiratku.
“Pergilah tidur. Biar abang jaga Raziman.”
“Rozy bukan nak tidur tapi Rozy nak penjelasan abang. Kenapa abang tak izinkan Rozy pulang sedangkan abang telah melepaskan Rozy?”
Ammar hanya tersenyum dan meletakkan Raziman di buaian. Dia menghampiriku lalu duduk melutut di hadapanku. Tanganku digenggam erat. Makin pening aku dengan sikapnya.
“Sayang, abang dah kata abang akan tunaikan janji abang. Jadi, sayang jangan persoalkan segala tindakan abang. Sayang adalah tanggungjawab abang dan amanah yang Allah berikan buat abang. Janji abang sewaktu melafaskan Ijab Kabul lebih bermakna buat abang kerana abang berjanji menggunakan nama Allah. Abang tak sanggup mungkiri janji tu. Maafkan abang kerana buat sayang sedih dan kecewa.” Tanganku yang masih digenggamannya dikucup lembut.
Aku terlopong mendengar kata-katanya. Betulkah apa yang ku dengar atau hanya ilusi? Kenapa dia tidak memilih Elisa?
“Sayang tentu hairan, kenapa abang tidak memilih Elisa. Betulkan?” tanyanya sambil tersenyum lalu duduk di sebelahku.
Aku hanya mengangguk tanpa mengalihkan mataku dari wajahnya.
“Sebenarnya abang dah tunaikan janji abang pada Elisa. Bukan sekali tapi dua kali. Bila keluarganya menolak bermakna abang tidak terikat lagi dengan janji abang. Jadi kenapa dia masih menuntut janji abang? Bila abang renungkan kembali, baru abang sedari kenapa keluarganya bersetuju abang berkahwin dengannya. Sayang nak tahu kenapa?” tanya Ammar sambil merenung mataku.
Pantas aku mengangguk. Matanya masih ku renung tanpa jemu. Kata-katanya bagaikan embun yang membasuh sedikit demi sedikit lukaku.
“Dulu abang miskin dan hanya memiliki sebuah motorsikal. Waktu tu abang hanyalah seorang kerani rendah. Sebab itu mereka menolak lamaran abang. Setelah ditolak kedua kalinya, abang kecewa dan menyambung pelajaran abang di samping bekerja. Abang berjaya mendapat segulung ijazah. Bila keluarga abang meminang Rozy, abang dinaikkan pangkat. Malah rezeki abang bertambah murah bila Rozy menjadi isteri abang. Abang mendapat hadiah kereta dalam cabutan bertuah malah rumah kita ini pun abang beli dengan harga yang murah dari kawan abang. Mungkin mereka melihat abang telah punya kehidupan yang senang maka mereka terima. Jika tidak pandang sebelah mata pun mereka tidak mahu.”
“Bagai mana dengan Elisa? Dapatkah dia terima keputusan abang?”
“Rozy ni masih lagi nak fikirkan tentang diri dia. Sedangkan dia terang-terang tak pernah fikirkan tentang Rozy. Dia tak seikhlas sayang abang ni.” Ammar mencuit hidungku. Aku hanya tersenyum senang.
“Abang sedar abang dah banyak melukakan hati isteri abang. Abang keliru seketika dan terbuai oleh cinta Elisa. Abang terlupa Elisa adalah masa lalu abang yang patut abang lupakan. Rozy dan Raziman adalah masa kini abang. Abang sayangkan isteri dan anak abang. Berilah abang peluang untuk membetulkan kesilapan abang. Abang janji tak kan menduakan sayang lagi,” kata Ammar sambil mengangkat tangannya seolah-olah berikrar.
“Betul abang tak kan menduakan Rozy?” tanyaku dengan senyuman.
“Betul! Abang janji dengan sepenuh hati. Abang cintakan sayang dan tak akan menduakan sayang.”
“Rozy takut abang tak menduakan tapi abang mentiga malah mengempatkan Rozy,” kata sambil bangun dari dudukku.
“Oo... nak kenakan abang ye? Mari sini! Abang nak bagi tiga dan empat sekali gus,” kata Ammar sambil membulatkan matanya.
“Tak nak!”
Aku cuba melarikan diri tetapi tangan Ammar pantas memaut pinggangku. Hilai tawa kami bergema menandakan tamatnya konflik antara kami. Ammar mengemaskan pelukannya dan aku hanya membiarkan. Saat-saat begini telah lama tidak ku rasakan. Bunga-bunga di taman hatiku mekar kembali. Kali ini mekar bersama haruman bak kasturi kerana aku tahu kini, Ammar sebenarnya mencintaiku. Apa yang ku harap kini suamiku tetap berpegang kepada janjinya. Janji seorang suami.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mohon share

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Boleh share tapi letakkan link blog akak sekali ya. Insya Allah cerpen ni pun akan dibukukan seperti cerpen yang lain.