Razif pulang dan
mendapati Ustaz Azmi sedang mengajar Rosnah dan Awin seperti biasa. Hatinya
menjadi tidak tenteram takut jika Ustaz Azmi mengambil kesempatan itu untuk
berbual dengan Irdina. Dia hanya menjeling tajam ke arah Ustaz Azmi dan ketika
Ustaz Azmi menghulurkan tangan kepadanya, dia hanya bersalam tanpa mahu
berbual.
“Mak,
mana Irdina?” tanya Razif kepada ibunya yang sedang leka menonton televisyen.
“Ada
di atas. Dah lama dia naik, tak turun-turun. Mungkin tak mahu berjumpa Azmi.”
“Kalau
begitu, Razif naik dulu.”
“Baiklah.”
Razif
menaiki anak tangga ke tingkat atas. Perlahan-lahan dia menolak daun pintu dan
melihat Irdina tertidur dengan buku di atas dadanya. Razif tersenyum sendirian
kerana pasti Irdina tidak bertemu dengan Azmi. Razif meletakkan begnya dan
kemudian naik ke atas katil. Tangannya mengambil buku di dada Irdina membuatkan
Irdina tersedar dari tidur.
“Abang
dah balik?” Irdina bangun dan duduk di hadapan Razif.
“Sayang
baca buku atau buku yang baca sayang?” tanya Razif sambil tersenyum.
“Dua-dua.”
Irdina ketawa kecil.
“Sayang
dah solat Asar belum?”
“Belum.
Irdina tertidur.”
“Kalau
begitu, pergilah solat dulu.”
Irdina turun dari katil dan sebelum dia
melangkah, dia menoleh ke arah Razif.
“Abang,
minta maaf sebab tak sambut abang pulang di pintu.”
“Tak
mengapa, abang tak marah. Malah abang suka Irdina ada di atas waktu Azmi ada di
bawah.”
Irdina
tersenyum dan berlalu ke bilik air. Dia membersihkan dirinya dan berwuduk.
Razif menyalin pakaiannya dan melihat Irdina mengenakan telekung untuk
bersolat. Razif masuk ke bilik air dan mandi. Ketika Razif keluar, Irdina telah
selesai menunaikan solat dan sedang duduk di birai katil.
“Sayang,
tolong ambilkan baju abang.”
Irdina
mengambil baju T berwarna hitam untuk Razif. Razif mengenakan baju tersebut dan
memakai seluar pendek melepasi lutut.
“Abang,
boleh tak Irdina guna komputer abang? Laptop
Irdina tertinggal di rumah Balkis,” kata Irdina yang duduk di birai katil.
“Sayang
nak buat apa?” tanya Razif sambil duduk di sebelah Irdina.
“Nak
tengok email.”
“Email
siapa? Boyfriend?”
“Irdina
tiada boyfriend. Ada abang saja
sekarang ni.”
“Habis
tu nak tengok email siapa?”
“Kawan
waktu sekolah. Ada yang tinggal di luar negara.”
“Daripada tengok email, tengok abang lebih baik. Dapat
juga pahala,” kata Razif sambil ketawa.
Irdina
hanya tersenyum dan dia melihat Razif seperti disuruh.
“Abang
nak dengar bayan bercerita,” kata Razif sambil membaringkan badannya.
“Cerita pasal angan-angan?” Irdina berbaring
di sebelah Razif dan memegang tangan Razif.
Razif merenung wajah Irdina. “Ya.”
“Baiklah.
Dalam angan-angan, Putera Raja mempunyai seorang bonda yang sangat prihatin.
Dia amat risau akan perilaku anaknya itu. Putera Raja mempunyai seorang sahabat
tetapi disebabkan sahabatnya itu pernah menjadi kekasih Puteri, maka Putera
Raja memutuskan persahabatannya. Dia bimbang jika Puteri berpaling kasih dan
mencintai kekasih lamanya kembali. Putera Raja tidak mengetahui bahawa Puteri
amat mencintainya setelah Puteri menjadi isteri Putera. Tak mungkin Puteri mengasihi
yang lain kerana di dalam hati Puteri sekarang hanya ada Putera Raja seorang.”
“Adakah benar dalam hati Puteri hanya ada
Putera seorang?”
“Ya.
Jika tak percaya, ambil pisau belahlah dada dan lihatlah isinya. Pasti Putera
akan nampak hanya Putera di hati Puteri,” kata Irdina sambil tersenyum.
Razif
menghadiahkan ciuman di pipi Irdina. “Terima kasih kerana mencintai abang.”
“Putera
sepatutnya memaafkan Puteri dan juga sahabat Putera kerana apa yang berlaku
bukan kehendak mereka berdua. Persahabatan Putera tidak patut diputuskan kerana
Puteri. Puteri tak akan gembira jika Putera memutuskan silatulrahim yang
menjadi tuntutan agama. Sepatutnya Putera kena bijak dan tidak menaruh syak
wasangka terhadap isteri dan sahabatnya.”
“Sayang,
abang bukan berniat nak menaruh syak wasangka terhadap sayang. Mungkin abang
silap dalam menilai dan bimbang sesuatu yang tak patut abang bimbang. Maafkan
abang,” kata Razif sambil mencium tangan Irdina.
Irdina
tersenyum dan berasa gembira kerana secara tak langsung Razif mahu mendengar
nasihatnya. Dia berharap agar Razif mahu berbaik semula dengan Ustaz Azmi.
“Sayang,
malam ni sayang nak ke mana-mana tak?”
“Ikut
abanglah. Abang nak ke mana?” tanya Irdina sambil mengiring dan menghadap Razif.
“Abang
rasa nak bawa sayang pergi ke tempat paling istimewa.”
“Di
mana?” tanya Irdina, gembira. Dia meletakkan kepalanya di dada Razif. Bibirnya
mengukir senyuman.
“Klinik
abang, nak palam gigi sayang.” Kata Razif lalu ketawa.
“Ahh!
Tak istimewa langsung,” kata Irdina sambil mengalihkan kepalanya dan berbaring kembali.
Razif
menarik Irdina ke dalam pelukannya. “Sayang, tempat tu istimewa sebab di
situlah abang jatuh cinta pada sayang.”
“Bila?
Masa cabut gigi ke?”
“Tak.
Masa jahitkan luka di dahi sayang. Masa tu abang sedar, abang benar-benar jatuh
cinta dan tak mahu kehilangan sayang. Malah ketika itu abang hampir tidak dapat
menahan diri untuk mencium sayang begini,” kata Razif sambil mencium wajah
Irdina bertubi-tubi.
Irdina
ketawa kegelian. “Kalau abang buat begitu masa tu, rasanya mak suruh kita
kahwin ketika tu juga.” Razif turut
ketawa gembira. Dia dapat merasakan penerimaan Irdina terhadap dirinya.
…………………………………………..
Malam itu Razif
membawa Irdina untuk membuat rawatan gigi seperti yang dijadualkan. Setelah
selesai membuat tampalan, Irdina menunggu Razif di pejabatnya. Razif
mengizinkan Irdina melihat komputernya sementara menanti kerja-kerja Razif
siap. Irdina mengambil kesempatan itu melihat dan membalas emailnya. Dia juga
mengemas kinikan blognya yang telah lama terbiar.
“Sayang
pun ada blog?” tanya Razif yang tiba-tiba masuk ke situ.
“Hish!
Abang ni. Buat Irdina terkejut saja.” Irdina mengurut dada.
“Maaf.
Sayang ni asyik sangat sampai tak perasan abang masuk.”
Irdina
hanya tersenyum dan membiarkan Razif melihat blognya. Razif melihat blog Irdina
yang mempunyai warna merah jambu dan putih sebagai latar dan bertulisan hitam.
Terdapat juga warna ungu di blog tersebut. Warna-warna kegemaran Irdina.
“Apa
yang sayang tulis?” tanya Razif sambil matanya menyoroti tulisan Irdina.
Tulisan
Irdina lebih mengenai kehidupan dan dunia seorang wanita. Pengikut di blog
Irdina juga mencecah seribu lebih dan banyak komen diberikan terhadap artikel
yang ditulis.
“Abang
pun ada blog. Sayang nak tengok?” tanya Razif sambil tangannya mengambil
tetikus dari tangan Irdina.
Razif
membuka blognya dan menunjukkan kepada Irdina. Blognya berlatarkan warna hitam
bertulisan putih. Blognya berkaitan dengan pergigian dan pengalamannya sebagai
doktor gigi. Terdapat hampir 800 orang pengikutnya dan kebanyakan komen adalah
pertanyaan tentang masalah pergigian dan penjagaan gigi serta mulut.
“Baguslah
blog abang. Tentu maklumat diberikan akan memberi manfaat pada ramai,” kata
Irdina memuji.
Razif tersenyum dengan pujian Irdina. “Sayang,
kerja abang dah habis. Mari kita pergi makan.”
Irdina
bersetuju dan menolong Razif menutup klinik. Mereka bersama-sama melangkah ke
kereta dan Razif membukakan pintu kereta untuk isterinya. Razif membawa Irdina
menuju ke kedai makan yang sering dikunjunginya bersama Ustaz Azmi. Razif
ternampak Ustaz Azmi yang sedang duduk seorang diri di sebuah meja. Dia ingin
berpatah balik tetapi di tahan oleh Irdina. Irdina mengajak Razif berjumpa
Ustaz Azmi agar kekusutan antara mereka dapat dirungkaikan.
“Abang,
kita kena hadapi soal ni bersama-sama. Dulu abang tak sempat nak jelaskan
situasi kita dan menyebabkan dia menyalahkan abang. Sekaranglah peluang untuk
abang jelaskan dan jernihkan kembali tali persahabatan abang. Irdina tak mahu
abang kehilangan dia. Irdina tak mungkin memilih dia lagi, percayalah,” pujuk
Irdina sambil memeluk lengan Razif.
Razif
termakan pujukan Irdina dan mereka sama-sama melangkah ke meja Ustaz Azmi.
Ustaz Azmi bangun untuk bersalaman dengan Razif. Mereka saling meminta maaf dan
berpelukan antara satu sama lain. Irdina juga meminta maaf kepada Ustaz Azmi.
“Razif,
aku minta maaf kerana marahkan kau. Aku sepatutnya berfikiran terbuka dan
menerima keputusan kamu berdua untuk berkahwin. Aku gembira kerana kau yang
mengahwini Irdina. Kau berhak dapat yang terbaik. Walaupun aku pernah mencintainya,
tapi aku dah buang jauh-jauh perasaan tu. Aku anggap dia sebagai adik dan
isteri sahabat baik aku, tak lebih dari itu.” Tutur Ustaz Azmi, jujur.
“Terima
kasih Azmi. Aku tak sepatutnya menaruh syak wasangka terhadap kau. Aku akui,
aku pentingkan diri. Bila aku telah jatuh cinta pada Irdina, aku hanya mahu
memilikinya. Aku tak sedar kau lebih dulu mencintainya dan dia juga mencintai
kau. Kamu berdua tidak berterus terang kepada aku. Andai kata kau berterus
terang, mungkin aku tidak akan terlanjur mencintainya.”
“Sudahlah
Razif. Aku tak kesal apa yang berlaku. Aku bersyukur sahabat aku yang amat
memilih tentang pasangan hidupnya, telah memilih wanita yang aku tahu baik
untuk dijadikan isteri.”
“Aku
akui aku memilih dan bersyukur aku dikurniakan isteri terbaik buat diriku,”
kata Razif sambil memeluk Irdina.
Ustaz
Azmi tersenyum memandang mereka. Dia mempersilakan mereka duduk di meja itu
bersamanya. Mereka duduk dan memesan makanan.
“Aku
nak ajak kau ke Perlis sewaktu majlis kenduri di kampung Irdina. Nanti bolehlah
kita jalan-jalan sekitar Perlis. Kau tak pernah ke sanakan?” kata Razif.
“Ya,
tak pernah. Kalau aku boleh pergi tentu seronok. Bila kenduri di sana?” tanya
Ustaz Azmi.
“Hari
Sabtu hujung bulan ni,” kata Razif.
Makanan
yang dipesan Razif tiba. Razif memesan mee rebus untuk Irdina dan dirinya.
Mereka makan sambil berbual ringan. Tiba-tiba Irdina tergigit cili dan
kepedasan.
“Kenapa
sayang?” tanya Razif yang melihat Irdina meminum air hingga habis.
“Pedas
tergigit cili,” kata Irdina. Air matanya terkeluar kerana kepedasan.
“Sayang
ambil air abang.” Razif menghulurkan straw ke mulut Irdina.
Irdina
menyedut air Razif dan kemudian melepaskan straw tersebut. Razif mengesat air
mata Irdina membuatkan Irdina ketawa kecil. Ustaz Azmi yang menyaksikan
perlakuan mereka hanya tersenyum. Walaupun masih ada sisa cinta di hatinya
terhadap Irdina tetapi melihat kemesraan mereka, membuatkan dia berazam
menghapuskan cinta itu.
Mereka
meminta diri untuk pulang setelah lama berbual dengan Ustaz Azmi. Razif merasa
amat gembira kerana dia bukan saja berjaya memiliki hati Irdina tetapi dapat
juga memulihkan hubungan persahabatannya.
“Sayang,
Balkis dah putus dengan boyfriend
diakan?” tanya Razif ketika mereka telah berada di bilik mereka.
“Ya.
Kenapa?” tanya Irdina sambil duduk di sebelah Razif.
“Abang
terfikir nak kenalkan Balkis dengan Azmi.”
“Mahu
ke Balkis tu?”
“Kita
cubalah. Kalau menjadi, Alhamdullillah. Kalau tak pun, kita dah mencuba.”
“Irdina
tak pasti sebab Balkis ni jenis happy go
lucky dan kadangkala gila-gila sikit,” kata Irdina kemudian ketawa.
“Kenapa
sayang ketawa? Teruk sangat ke Balkis tu?”
“Tak
teruk cuma kadangkala tindakannya pelik-pelik sikit. Abang tahu tak, apa dia
buat selepas putus dengan boyfriend
dia?” kata Irdina sambil memicit bahu Razif.
“Apa yang dia buat?” tanya Razif yang rasa
selesa diurut Irdina.
“Dia
warnakan rambut sama macam perempuan yang digilai oleh boyfriend dia,” kata Irdina sambil ketawa.
“Kenapa
begitu?”
“Dia
kata nak rasai perbezaan bila berambut perang dan dia nak cari sebab kenapa
lelaki suka perempuan begitu.”
Razif
turut ketawa kecil.
“Azmi
pernah bertunang dengan pilihan keluarganya. Tetapi sebelum sempat majlis akad
nikah, tunangnya lari dengan lelaki lain. Selepas kejadian tu, dia macam serik
dan keluarganya menyerahkan kepada dia untuk mencari sendiri,” terang Razif.
“Kesiannya
dia. Irdina harap dia akan bertemu jodoh yang sesuai satu hari nanti.”
“Ya,
abang pun harap begitu. Jadi macam mana rancangan nak kenalkan dia dengan
Balkis?”
“Kita
boleh cuba. Apa kata kita jemput kedua-duanya untuk makan bersama-sama kita?
Lepas tu kita tinggalkan mereka berdua dan minta Ustaz Azmi hantarkan Balkis.
Mungkin cara tu dapat mereka berbual dan berkenalan.” Cadang Irdina.
Razif
berfikir sejenak dan kemudian bersetuju dengan cadangan isterinya.
“Cuba
sayang tanyakan Balkis malam bila dia lapang. Nanti abang tanyakan Azmi. Bila
sama-sama tak ke mana, bolehlah kita jalankan misi kita.”
“Kita
ni macam agensi pencari jodoh pula,” kata Irdina sambil memeluk tengkuk Razif
dari belakang. Kepalanya dilentokkan di bahu Razif.
“Kita
tolong orang bina masjid, dapat pahala dan abang pun akan rasa bahagia.” Kata
Razif sambil tersenyum.
‘Selamat bini aku,’ bisik Razif di dalam hati.
Irdina
turut tersenyum.
“Bayan
tak nak bercerita ke malam ni?” tanya Razif sambil menoleh dan melihat wajah
Irdina yang rapat ke wajahnya.
“Tak
naklah. Malam ni biar tiung pula bercerita.”
“Tiung
tak pandai bercerita. Sekali tiung buka mulut terus kena rentap dan dibunuh
tuannya.”
“Tiung
tu tiung betina. Tiung yang ada dengan bayan ni, tiung jantan. Tak sama.” Kata
Irdina, sambil jemarinya bermain-main di telinga Razif.
“Dalam
hikayat tu, kalau tak silap abang bayan tu merupakan bayan jantan. Tapi bayan
yang ada dengan abang bayan betina. Pandai pula mengoda,” kata Razif sambil
menarik tubuh Irdina menyebabkan Irdina terjerit kecil kerana terkejut.
Kalau
sebelum ini, Razif merasakan Irdina lebih banyak mengikut dalam paksaan tetapi
kali ini atas kerelaannya sendiri. Irdina lebih ikhlas ketika melayan Razif. Gurau
senda membuatkan kemanisan berumah tangga
kian terasa. Razif rasa bahagia di segenap kalbunya.
2 ulasan:
moga2 menjadi rancangan razif dan irdina nak satukan ustaz azmi dgn balkis
nice job kak. saya semakin tertarik untuk episod seterusnya. Alhamdulillah Razif sudah berbaik dgn ustaz Azmi. semoga selepas ini Irdina menjadi lebih gembira di samping Razif.
Catat Ulasan