Mak Cik Sopiah
melihat semua pakaian yang dibeli oleh Razif kepada Irdina. Kebanyakan pakaian
Irdina mempunyai kombinasi warna kegemaran Razif, hitam, putih dan kelabu. Baju
kurung bercorak dan mempunyai dasar hitam atau dasar putih. Begitu juga dengan
blaus dan skirt panjang. Sehinggakan pakaian dalam Irdina juga berwarna hitam.
Pakaian-pakaian itu diletakkan di bilik mendobi kerana Razif mahu pakaian itu
dibasuh dahulu sebelum dipakai.
“Irdina,
mak tengok pakaian ni semuanya macam warna kegemaran Razif. Siapa yang pilih
pakaian Irdina? Irdina atau Razif?” tanya Mak Cik Sopiah ketika Irdina berada
di bilik mendobi pagi itu.
“Abang
Razif,” jawab Irdina sambil tangannya membuang tanda harga di pakaian.
“Pakaian
dalam ni, Razif juga yang pilih?”
“Ya.
Irdina cuma pilih bentuk dan saiz.” Irdina berterus terang.
“Kenapa
tak pilih warna yang Irdina suka?”
“Abang
Razif tak suka warna merah jambu.”
Mak
Cik Sopiah terdiam. Baru dia perasan, selalunya Irdina akan memakai pakaian
yang mempunyai warna ungu dan merah jambu tetapi kini kebanyakan pakaian Irdina
berubah ke warna putih dan hitam. Walaupun ada sedikit corak ungu tetapi
dasarnya tetap putih atau hitam. Warna merah jambu tidak pernah dipakai lagi.
“Mana
pergi baju warna merah jambu Irdina? Lama mak tak nampak Irdina pakai.”
“Dah
beri pada Balkis dan Laila,” jawab Irdina sambil tangannya memasukkan pakaian
ke dalam mesin basuh.
“Kenapa
beri pada mereka?” Mak Cik Sopiah semakin hairan.
“Abang
Razif suruh. Dari dibuang, baik beri pada Balkis.”
“Kereta
Irdina pun beri pada Balkis?”
“Ya.
Abang Razif tak bagi Irdina memandu lagi.”
Irdina
memasukkan cecair pencuci pakaian dan pelembut pakaian ke dalam mesin basuh.
Dia kemudiannya menekan butang kawalan mesin. Terbit rasa simpati di dalam hati
Mak Cik Sopiah terhadap menantunya itu.
“Irdina,
mari keluar. Mak nak cakap sedikit dengan Irdina.”
Irdina
mengekori langkah ibu mertuanya keluar dari bilik mendobi. Mereka duduk di
kerusi yang terletak di ruang dapur. Irdina duduk menghadap ibu mertuanya.
“Irdina,
cuba cakap pada mak secara terus terang dan jangan sembunyikan apa-apa pada
mak. Hari ni mak nak tahu cerita sebenar tentang Irdina dan Razif.”
“Irdina
tak faham. Apa maksud mak?”
“Adakah
Irdina pernah kenal dan bercinta dengan Razif sebelum ni?”
“Tak.
Irdina pernah terserempak sekali di Pasar Mini dan kemudian bila berpindah ke
sini, baru Irdina mengenali dia. Kami tak pernah bercinta.”
“Tapi
mak dengar, kamu berdua saling memanggil sayang sebelum ni. Adakah benar Razif
dah buat sesuatu pada Irdina ketika Irdina sakit dulu?”
“Semua
tu salah faham saja. Irdina sengaja nak sakitkan hatinya dan dia juga begitu.
Untuk pengetahuan mak, tidak ada apa-apa yang berlaku sebenarnya. Selepas mak
keluar ke rumah Mak Siah, Irdina pulang ke rumah tapi tertinggal telefon.
Disebabkan banyak maklumat dan nombor yang penting di dalam tu, Irdina berpatah
balik ke sini. Bila masuk ke bilik tamu, Abang Razif ada di bilik air tapi
Irdina tak tahu,” kata Irdina sambil matanya memandang wajah ibu mertuanya.
“
Tapi kenapa Irdina menangis ketika mak masuk?”
“Selepas
gagal mencari telefon tu. Irdina rasa sedih sangat sebab tu menangis.”
“Bukan
kerana Razif memperkosa Irdina?” tanya Mak Cik Sopiah, ingin kepastian.
“Tak…
dia tak pernah sentuh Irdina sebelum ni,” kata Irdina sambil menundukkan
kepalanya.
Mak
Cik Sopiah agak terkejut dengan kenyataan itu.
“Tapi
kenapa Razif bersembunyi di bawah katil semasa hari kedua Irdina di sini?”
“Kami
sama-sama tak mahu dikahwinkan. Abang Razif cuba beritahu Irdina rancangan mak
suruh Abang Ihsan ke mari. Tapi disebabkan Irdina tak dengar panggilan telefon
dia, sebab tu dia masuk ke bilik untuk beritahu. Bila mak ketuk pintu, kami
rasa takut dan panik.”
“Jadi
betullah kata Razif, Azmi mencintai Irdina?”
“Ya
dan dia bercadang melamar Irdina.”
Mak
Cik Sopiah melepaskan satu keluhan yang berat. Dia bangun lalu memeluk Irdina.
Hatinya penuh dengan rasa bersalah terhadap Irdina.
“Maafkan mak kerana
merosakkan impian Irdina dan Azmi. Mak menyesal kerana tidak mahu mendengar
penjelasan kamu berdua dengan hati terbuka. Mak lebih memikirkan tentang malu
dan mak rasakan tindakan mak dapat menyelamatkan maruah Irdina dan Razif ketika
itu. Rupanya mak silap. Maafkan mak Irdina,” kata Mak Cik Sopiah sambil
menangis.
“Tak
mengapalah mak. Dah jodoh Irdina dengan Abang Razif. Irdina redha dengan
ketentuan Allah. Irdina pun dah dapat terima Abang Razif.”
“Tapi
mak tahu Irdina tak bahagia,” kata Mak Cik Sopiah sambil melepaskan pelukannya.
“Irdina
bahagia kalau Abang Razif bahagia.”
“Mak
tahu jiwa Irdina terseksa dengan sikap Razif.”
“Mungkin
Irdina perlukan masa untuk menyesuaikan diri. Mak jangan risau, Irdina akan
buat yang terbaik untuk Abang Razif.”
Mak
Cik Sopiah diam dan berfikir sendiri. Dia perlu menegur sikap Razif dan
membetulkan keadaan. Beberapa ketika kemudian, Irdina meneruskan kerjanya
membersih cermin tingkap dan kemudian menolong Mak Cik Sopiah memasak. Dia
hanya berehat apabila disuruh oleh ibu mertuanya.
Irdina
melangkah ke balkoni dan duduk di kerusi. Hatinya sedikit terhibur melihat
biliknya yang lalu dan mengenang kembali detik-detik gembira ketika
bersama-sama Balkis dan Laila. Hatinya terasa ingin menelefon Balkis tetapi dia
tahu Balkis pasti sibuk dengan tugasnya ketika itu. Telefonnya berbunyi dan dia
segera menjawab panggilan tersebut.
“Sayang,
hari ni abang tak balik makan tengah hari. Sayang makan dengan mak, jangan
tunggu abang.”
“Baiklah.”
“Sayang
tengah buat apa? Tapi jangan jawab buat bodoh lagi,” kata Razif sambil ketawa
kecil.
“Tengah
berangan.”
“Hai!
berangan apa?”
“Kahwin
dengan Putera Raja dan Irdina duduk di dalam istana emas yang penuh hiasan
kaca.”
“Menarik.
Kenapa nak kahwin dengan Putera Raja sedangkan abang ada?”
“Dalam
angan-angan Irdina, abanglah Putera Raja tu.”
“Itu
abang suka. Tapi kalau abang Putera Raja, abang suka hiasannya juga diperbuat
daripada emas. Kalau kaca, takut pecah dan melukakan sayang.”
“Sebab
itulah Irdina tak mampu bergerak dalam istana angan-angan Irdina. Penuh kaca
yang melukakan.”
“Abang
tak akan biarkan itu berlaku. Abang akan bawa Irdina ke istana abang, istana
kita sekarang. Irdina pasti bahagia dengan abang,” kata Razif yakin.
“Ya…
Irdina bahagia,” jawab Irdina, lemah.
“Sayang,
abang terpaksa pergi. Ada ramai lagi pesakit di luar. Malam nanti abang nak
dengar bayan bercerita tentang angan-angan, bolehkan?”
“Boleh.
Irdinakan bayan budiman yang sentiasa menghiburkan hati pemiliknya.”
Razif
hanya ketawa gembira dan kemudian menamatkan perbualan mereka. Irdina bangun
dan masuk semula ke bilik. Dia mengambil wuduk dan menunaikan solat Zohor.
Ketika dia ingin keluar dari bilik itu, telefonnya berbunyi. Dia menjawab
panggilan tersebut.
“Irdina,
apa khabar?” tanya suara lelaki di hujung talian.
“Baik.
Siapa ni?”
“Akulah,
Latif.”
“Oh!
kau rupanya. Apa kau nak?”
“Aku
nak kau,” jawab Latif lalu ketawa.
“Hish!
Cakap betul-betullah.”
“Betullah
tu. Aku rasa nak sambung kembali percintaan kita yang putus di tengah jalan.”
“Tak
mungkin. Kau dah terlambat.”
“Kenapa?
Kau dah ada pilihan hati?”
“Aku
dah kahwin.”
“Bila?
Aku tanya kawan-kawan kita, mereka semua kata kau belum kahwin. Kau jangan nak
main-main.”
“Aku
serius. Kereta yang aku pandu hari tu adalah kepunyaan suami aku dan ketika itu
aku dalam perjalanan pulang untuk akad nikah.”
“Aku
minta maaf, tak tahu kau dah kahwin.” Kata Latif perlahan.
“Ramai
yang tak tahu sebab tak kenduri lagi. Hari Sabtu, hujung bulan ni kenduri di
rumah aku. Jemputlah datang nanti.”
“Insya
Allah. Tapi aku rasa aku tak dapat balik. Kalau dekat Kajang, mungkin boleh.”
“Kalau
begitu, jemputlah datang ke rumah aku di sini. Di sini, kendurinya seminggu
selepas kenduri di Perlis.”
“Baiklah.
Nanti aku datang.”
“Okey.”
“Selamat
pengantin baru, Irdina. Aku tumpang gembira, jika kau bahagia.”
“Terima
kasih Latif,” kata Irdina mengakhiri perbualan mereka.
Irdina
memandang telefonnya. Dia cuba mengingati kata-kata Razif, takut terlanggar
larangan yang dikenakan ke atasnya.
‘Rasanya
tak apa. Aku bukan ada hubungan sulit dengan Latif. Abang Razif tak beri aku simpan
nombor lelaki bukan keluarga tapi tak kata, tak boleh berbual. Lagipun bukan
aku yang telefon. Tak salah rasanya aku jemput dia ke kenduri aku sebagai
seorang kawan,’ bisik hati Irdina. Irdina turun ke tingkat bawah dan mendapati
Rosnah telah pulang dari sekolah. Mak Cik Sopiah sedang menunggu mereka untuk
makan bersama.
“Irdina,
Razif tak balik ke?” tanya Mak Cik Sopiah.
“Abang
Razif tak balik. Dia tak telefon mak ke?”
“Tak.
Tapi mak agak dia tak balik sebab waktu begini pun tak sampai lagi.”
“Abang
Razif suruh kita makan dan tak perlu tunggu dia. Mungkin dia balik lewat
sikit.”
“Tak
mengapalah. Marilah kita makan. Rosnah pun dah balik,” kata Mak Cik Sopiah
sambil tangannya menyenduk nasi.
Rosnah
menyertai mereka untuk makan tengah hari. Mereka makan sambil berbual-bual.
Irdina ketawa apabila Rosnah bercerita sesuatu yang lucu. Mak Cik Sopiah turut
ketawa dan hatinya agak senang melihat Irdina boleh menyesuaikan diri dengan
mereka. Selesai makan, Rosnah meminta diri untuk ke tingkat atas. Irdina
membasuh pinggan sambil ditemani oleh ibu mertuanya.
“Irdina,
Azmi akan datang petang ini untuk mengajar Rosnah dan kawannya. Kalau Irdina
nak bercakap dengan Azmi, mak izinkan.”
“Tak
mahulah mak. Nanti Abang Razif kata apa pula.”
“Tapi,
mak harap Irdina nasihatkanlah Razif supaya berbaik semula dengan Azmi. Mak tak
mahu mereka bermasam muka. Puas sudah mak minta Razif berbaik semula tetapi dia
macam tidak mahu saja. Dia seolah-olah tak mahu melihat muka Azmi lagi,” kata Mak
Cik Sopiah, sedih.
“Tak
kan sampai begitu mak? Kenapa dia tak boleh maafkan Ustaz Azmi sedangkan mereka
kawan baik dulu?” tanya Irdina sambil duduk di hadapan ibu mertuanya. Dia telah
selesai melakukan kerjanya.
“Entahlah.
Dia telefon mak sewaktu kamu berdua masih berada di pusat permindahan banjir
dan minta mak larang Azmi datang ke sini. Dia suruh Rosnah berhenti belajar
dengan Azmi, tapi Rosnah tak mahu sebab peperiksaan dia dah dekat. Mak serba
salah. Razif ni keras kepala sikit. Irdina pujuklah dia, mungkin dia mahu
dengar.” Mak Cik Sopiah memegang tangan Irdina.
“Irdina
akan cuba, tapi Irdina tak janji apa-apa sebab Irdina tak tahu cara nak memujuk
abang. Selalunya abang yang buat semua keputusan untuk Irdina.”
“Mak
faham perasaan Irdina. Tapi cubalah, mungkin boleh berjaya. Kalau tak berjaya,
tak apa sebab Irdina dah mencuba. Mak tahu Razif sayangkan Irdina sebab tu dia
mengawal Irdina dalam semua hal. Mungkin dia takut Irdina terlepas dari
tangannya,” Mak Cik Sopiah membuat telahan.
“Kalau
itulah alasannya, dia dah tersilap. Pada Irdina, sesiapa yang bergelar suami
buat diri Irdina tetap Irdina akan sayang, setia dan patuh. Tiada lelaki lain,
walaupun sebelum berkahwin Irdina kenal ramai lelaki. Dalam hati Irdina
sekarang hanya ada seorang suami yang Irdina cintai,” luah Irdina berterus
terang.
‘Entahlah
Irdina. Mak harap Irdina sabar dan mak akan cuba nasihatkannya supaya tak
terlalu mengawal Irdina. Mak nak kamu berdua hidup bahagia hingga akhir hayat.”
“Begitu
juga harapan Irdina,” kata Irdina sambil tersenyum memandang ibu mertuanya.
Irdina
kemudiannya meminta diri untuk berada di tingkat atas. Dia tidak mahu ketika
Ustaz Azmi tiba, dia masih berada di bawah. Seboleh mungkin dia tidak mahu
menimbulkan salah faham Razif terhadapnya. Irdina masuk ke biliknya. Dia
mengambil buku yang dibeli ketika keluar dengan Razif, lalu dibacanya.
3 ulasan:
kesiannya irdina dapat lagi king control.apa kejadahnya baju semua colour hitam , putih , kelabu....agak-agaklah kalau nak pilihkan untuk bini..kata sayang bini.
Hihihi...tunggu turn Razif pula kena control nanti. Baru dia tahu langit tinggi rendah
tensen jugak dapat suami macam razif tu. agak bodoh2 alam jugak. tak faham bahasa kiasan yang irdina guna.
cite ni menarik, bila nak sambung....
Catat Ulasan