Pengikut

Isnin, 4 Mac 2013

Abang King Control Ke? - bab 24



Mak Cik Sopiah melihat semua pakaian yang dibeli oleh Razif kepada Irdina. Kebanyakan pakaian Irdina mempunyai kombinasi warna kegemaran Razif, hitam, putih dan kelabu. Baju kurung bercorak dan mempunyai dasar hitam atau dasar putih. Begitu juga dengan blaus dan skirt panjang. Sehinggakan pakaian dalam Irdina juga berwarna hitam. Pakaian-pakaian itu diletakkan di bilik mendobi kerana Razif mahu pakaian itu dibasuh dahulu sebelum dipakai.
“Irdina, mak tengok pakaian ni semuanya macam warna kegemaran Razif. Siapa yang pilih pakaian Irdina? Irdina atau Razif?” tanya Mak Cik Sopiah ketika Irdina berada di bilik mendobi pagi itu.
“Abang Razif,” jawab Irdina sambil tangannya membuang tanda harga di pakaian.
“Pakaian dalam ni, Razif juga yang pilih?”
“Ya. Irdina cuma pilih bentuk dan saiz.” Irdina berterus terang.
“Kenapa tak pilih warna yang Irdina suka?”
“Abang Razif tak suka warna merah jambu.”
Mak Cik Sopiah terdiam. Baru dia perasan, selalunya Irdina akan memakai pakaian yang mempunyai warna ungu dan merah jambu tetapi kini kebanyakan pakaian Irdina berubah ke warna putih dan hitam. Walaupun ada sedikit corak ungu tetapi dasarnya tetap putih atau hitam. Warna merah jambu tidak pernah dipakai lagi.
“Mana pergi baju warna merah jambu Irdina? Lama mak tak nampak Irdina pakai.”
“Dah beri pada Balkis dan Laila,” jawab Irdina sambil tangannya memasukkan pakaian ke dalam mesin basuh.
“Kenapa beri pada mereka?” Mak Cik Sopiah semakin hairan.
“Abang Razif suruh. Dari dibuang, baik beri pada Balkis.”
“Kereta Irdina pun beri pada Balkis?”
“Ya. Abang Razif tak bagi Irdina memandu lagi.”
Irdina memasukkan cecair pencuci pakaian dan pelembut pakaian ke dalam mesin basuh. Dia kemudiannya menekan butang kawalan mesin. Terbit rasa simpati di dalam hati Mak Cik Sopiah terhadap menantunya itu.
“Irdina, mari keluar. Mak nak cakap sedikit dengan Irdina.”
Irdina mengekori langkah ibu mertuanya keluar dari bilik mendobi. Mereka duduk di kerusi yang terletak di ruang dapur. Irdina duduk menghadap ibu mertuanya.
“Irdina, cuba cakap pada mak secara terus terang dan jangan sembunyikan apa-apa pada mak. Hari ni mak nak tahu cerita sebenar tentang Irdina dan Razif.”
“Irdina tak faham. Apa maksud mak?”
“Adakah Irdina pernah kenal dan bercinta dengan Razif sebelum ni?”
“Tak. Irdina pernah terserempak sekali di Pasar Mini dan kemudian bila berpindah ke sini, baru Irdina mengenali dia. Kami tak pernah bercinta.”
“Tapi mak dengar, kamu berdua saling memanggil sayang sebelum ni. Adakah benar Razif dah buat sesuatu pada Irdina ketika Irdina sakit dulu?”
“Semua tu salah faham saja. Irdina sengaja nak sakitkan hatinya dan dia juga begitu. Untuk pengetahuan mak, tidak ada apa-apa yang berlaku sebenarnya. Selepas mak keluar ke rumah Mak Siah, Irdina pulang ke rumah tapi tertinggal telefon. Disebabkan banyak maklumat dan nombor yang penting di dalam tu, Irdina berpatah balik ke sini. Bila masuk ke bilik tamu, Abang Razif ada di bilik air tapi Irdina tak tahu,” kata Irdina sambil matanya memandang wajah ibu mertuanya.
“ Tapi kenapa Irdina menangis ketika mak masuk?”
“Selepas gagal mencari telefon tu. Irdina rasa sedih sangat sebab tu menangis.”
“Bukan kerana Razif memperkosa Irdina?” tanya Mak Cik Sopiah, ingin kepastian.
“Tak… dia tak pernah sentuh Irdina sebelum ni,” kata Irdina sambil menundukkan kepalanya.
Mak Cik Sopiah agak terkejut dengan kenyataan itu.
“Tapi kenapa Razif bersembunyi di bawah katil semasa hari kedua Irdina di sini?”
“Kami sama-sama tak mahu dikahwinkan. Abang Razif cuba beritahu Irdina rancangan mak suruh Abang Ihsan ke mari. Tapi disebabkan Irdina tak dengar panggilan telefon dia, sebab tu dia masuk ke bilik untuk beritahu. Bila mak ketuk pintu, kami rasa takut dan panik.”
“Jadi betullah kata Razif, Azmi mencintai Irdina?”
“Ya dan dia bercadang melamar Irdina.”
Mak Cik Sopiah melepaskan satu keluhan yang berat. Dia bangun lalu memeluk Irdina. Hatinya penuh dengan rasa bersalah terhadap Irdina.
 “Maafkan mak kerana merosakkan impian Irdina dan Azmi. Mak menyesal kerana tidak mahu mendengar penjelasan kamu berdua dengan hati terbuka. Mak lebih memikirkan tentang malu dan mak rasakan tindakan mak dapat menyelamatkan maruah Irdina dan Razif ketika itu. Rupanya mak silap. Maafkan mak Irdina,” kata Mak Cik Sopiah sambil menangis.
“Tak mengapalah mak. Dah jodoh Irdina dengan Abang Razif. Irdina redha dengan ketentuan Allah. Irdina pun dah dapat terima Abang Razif.”
“Tapi mak tahu Irdina tak bahagia,” kata Mak Cik Sopiah sambil melepaskan pelukannya.
“Irdina bahagia kalau Abang Razif bahagia.”
“Mak tahu jiwa Irdina terseksa dengan sikap Razif.”
“Mungkin Irdina perlukan masa untuk menyesuaikan diri. Mak jangan risau, Irdina akan buat yang terbaik untuk Abang Razif.”
Mak Cik Sopiah diam dan berfikir sendiri. Dia perlu menegur sikap Razif dan membetulkan keadaan. Beberapa ketika kemudian, Irdina meneruskan kerjanya membersih cermin tingkap dan kemudian menolong Mak Cik Sopiah memasak. Dia hanya berehat apabila disuruh oleh ibu mertuanya.
Irdina melangkah ke balkoni dan duduk di kerusi. Hatinya sedikit terhibur melihat biliknya yang lalu dan mengenang kembali detik-detik gembira ketika bersama-sama Balkis dan Laila. Hatinya terasa ingin menelefon Balkis tetapi dia tahu Balkis pasti sibuk dengan tugasnya ketika itu. Telefonnya berbunyi dan dia segera menjawab panggilan tersebut.
“Sayang, hari ni abang tak balik makan tengah hari. Sayang makan dengan mak, jangan tunggu abang.”
“Baiklah.”
“Sayang tengah buat apa? Tapi jangan jawab buat bodoh lagi,” kata Razif sambil ketawa kecil.
“Tengah berangan.”
“Hai! berangan apa?”
“Kahwin dengan Putera Raja dan Irdina duduk di dalam istana emas yang penuh hiasan kaca.”
“Menarik. Kenapa nak kahwin dengan Putera Raja sedangkan abang ada?”
“Dalam angan-angan Irdina, abanglah Putera Raja tu.”
“Itu abang suka. Tapi kalau abang Putera Raja, abang suka hiasannya juga diperbuat daripada emas. Kalau kaca, takut pecah dan melukakan sayang.”
“Sebab itulah Irdina tak mampu bergerak dalam istana angan-angan Irdina. Penuh kaca yang melukakan.”
“Abang tak akan biarkan itu berlaku. Abang akan bawa Irdina ke istana abang, istana kita sekarang. Irdina pasti bahagia dengan abang,” kata Razif yakin.
“Ya… Irdina bahagia,” jawab Irdina, lemah.
“Sayang, abang terpaksa pergi. Ada ramai lagi pesakit di luar. Malam nanti abang nak dengar bayan bercerita tentang angan-angan, bolehkan?”
“Boleh. Irdinakan bayan budiman yang sentiasa menghiburkan hati pemiliknya.” 
Razif hanya ketawa gembira dan kemudian menamatkan perbualan mereka. Irdina bangun dan masuk semula ke bilik. Dia mengambil wuduk dan menunaikan solat Zohor. Ketika dia ingin keluar dari bilik itu, telefonnya berbunyi. Dia menjawab panggilan tersebut.
“Irdina, apa khabar?” tanya suara lelaki di hujung talian.
“Baik. Siapa ni?”
“Akulah, Latif.”
“Oh! kau rupanya. Apa kau nak?”
“Aku nak kau,” jawab Latif lalu ketawa.
“Hish! Cakap betul-betullah.”
“Betullah tu. Aku rasa nak sambung kembali percintaan kita yang putus di tengah jalan.”
“Tak mungkin. Kau dah terlambat.”
“Kenapa? Kau dah ada pilihan hati?”
“Aku dah kahwin.”
“Bila? Aku tanya kawan-kawan kita, mereka semua kata kau belum kahwin. Kau jangan nak main-main.”
“Aku serius. Kereta yang aku pandu hari tu adalah kepunyaan suami aku dan ketika itu aku dalam perjalanan pulang untuk akad nikah.”
“Aku minta maaf, tak tahu kau dah kahwin.” Kata Latif perlahan.
“Ramai yang tak tahu sebab tak kenduri lagi. Hari Sabtu, hujung bulan ni kenduri di rumah aku. Jemputlah datang nanti.”
“Insya Allah. Tapi aku rasa aku tak dapat balik. Kalau dekat Kajang, mungkin boleh.”
“Kalau begitu, jemputlah datang ke rumah aku di sini. Di sini, kendurinya seminggu selepas kenduri di Perlis.”
“Baiklah. Nanti aku datang.”
“Okey.”
“Selamat pengantin baru, Irdina. Aku tumpang gembira, jika kau bahagia.”
“Terima kasih Latif,” kata Irdina mengakhiri perbualan mereka.
Irdina memandang telefonnya. Dia cuba mengingati kata-kata Razif, takut terlanggar larangan yang dikenakan ke atasnya.
‘Rasanya tak apa. Aku bukan ada hubungan sulit dengan Latif. Abang Razif tak beri aku simpan nombor lelaki bukan keluarga tapi tak kata, tak boleh berbual. Lagipun bukan aku yang telefon. Tak salah rasanya aku jemput dia ke kenduri aku sebagai seorang kawan,’ bisik hati Irdina. Irdina turun ke tingkat bawah dan mendapati Rosnah telah pulang dari sekolah. Mak Cik Sopiah sedang menunggu mereka untuk makan bersama.
“Irdina, Razif tak balik ke?” tanya Mak Cik Sopiah.
“Abang Razif tak balik. Dia tak telefon mak ke?”
“Tak. Tapi mak agak dia tak balik sebab waktu begini pun tak sampai lagi.”
“Abang Razif suruh kita makan dan tak perlu tunggu dia. Mungkin dia balik lewat sikit.”
“Tak mengapalah. Marilah kita makan. Rosnah pun dah balik,” kata Mak Cik Sopiah sambil tangannya menyenduk nasi.
Rosnah menyertai mereka untuk makan tengah hari. Mereka makan sambil berbual-bual. Irdina ketawa apabila Rosnah bercerita sesuatu yang lucu. Mak Cik Sopiah turut ketawa dan hatinya agak senang melihat Irdina boleh menyesuaikan diri dengan mereka. Selesai makan, Rosnah meminta diri untuk ke tingkat atas. Irdina membasuh pinggan sambil ditemani oleh ibu mertuanya.
“Irdina, Azmi akan datang petang ini untuk mengajar Rosnah dan kawannya. Kalau Irdina nak bercakap dengan Azmi, mak izinkan.”
“Tak mahulah mak. Nanti Abang Razif kata apa pula.”
“Tapi, mak harap Irdina nasihatkanlah Razif supaya berbaik semula dengan Azmi. Mak tak mahu mereka bermasam muka. Puas sudah mak minta Razif berbaik semula tetapi dia macam tidak mahu saja. Dia seolah-olah tak mahu melihat muka Azmi lagi,” kata Mak Cik Sopiah, sedih.
“Tak kan sampai begitu mak? Kenapa dia tak boleh maafkan Ustaz Azmi sedangkan mereka kawan baik dulu?” tanya Irdina sambil duduk di hadapan ibu mertuanya. Dia telah selesai melakukan kerjanya.
“Entahlah. Dia telefon mak sewaktu kamu berdua masih berada di pusat permindahan banjir dan minta mak larang Azmi datang ke sini. Dia suruh Rosnah berhenti belajar dengan Azmi, tapi Rosnah tak mahu sebab peperiksaan dia dah dekat. Mak serba salah. Razif ni keras kepala sikit. Irdina pujuklah dia, mungkin dia mahu dengar.” Mak Cik Sopiah memegang tangan Irdina.
“Irdina akan cuba, tapi Irdina tak janji apa-apa sebab Irdina tak tahu cara nak memujuk abang. Selalunya abang yang buat semua keputusan untuk Irdina.”
“Mak faham perasaan Irdina. Tapi cubalah, mungkin boleh berjaya. Kalau tak berjaya, tak apa sebab Irdina dah mencuba. Mak tahu Razif sayangkan Irdina sebab tu dia mengawal Irdina dalam semua hal. Mungkin dia takut Irdina terlepas dari tangannya,” Mak Cik Sopiah membuat telahan.
“Kalau itulah alasannya, dia dah tersilap. Pada Irdina, sesiapa yang bergelar suami buat diri Irdina tetap Irdina akan sayang, setia dan patuh. Tiada lelaki lain, walaupun sebelum berkahwin Irdina kenal ramai lelaki. Dalam hati Irdina sekarang hanya ada seorang suami yang Irdina cintai,” luah Irdina berterus terang.
‘Entahlah Irdina. Mak harap Irdina sabar dan mak akan cuba nasihatkannya supaya tak terlalu mengawal Irdina. Mak nak kamu berdua hidup bahagia hingga akhir hayat.”
“Begitu juga harapan Irdina,” kata Irdina sambil tersenyum memandang ibu mertuanya.
Irdina kemudiannya meminta diri untuk berada di tingkat atas. Dia tidak mahu ketika Ustaz Azmi tiba, dia masih berada di bawah. Seboleh mungkin dia tidak mahu menimbulkan salah faham Razif terhadapnya. Irdina masuk ke biliknya. Dia mengambil buku yang dibeli ketika keluar dengan Razif, lalu dibacanya.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kesiannya irdina dapat lagi king control.apa kejadahnya baju semua colour hitam , putih , kelabu....agak-agaklah kalau nak pilihkan untuk bini..kata sayang bini.

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Hihihi...tunggu turn Razif pula kena control nanti. Baru dia tahu langit tinggi rendah

Tanpa Nama berkata...

tensen jugak dapat suami macam razif tu. agak bodoh2 alam jugak. tak faham bahasa kiasan yang irdina guna.
cite ni menarik, bila nak sambung....