Petang itu
Balkis pulang seperti biasa dari tempat kerjanya. Ketika dia tiba di rumah,
Irdina menelefon dan memberitahu bahawa Irdina akan datang ke rumahnya. Balkis
menanti kedatangan Irdina di muka pintu. Balkis menjemput Irdina masuk ke dalam
rumah.
“Lama
aku tak nampak Kak Irdina. Sibuk sangat ke jadi seorang isteri ni?” tanya
Balkis sambil melabuhkan tubuhnya di sofa.
“Sibuk
tak sibuk kau akan tahu bila kau dah kahwin nanti,” jawab Irdina sambil
tersenyum.
“Macam
banyak kerja je yang Kak Irdina buat. Mak Cik Sopiah dan Abang Razif buli Kak
Irdina ke?”
“Taklah.
Pandai je kau buat andaian.”
“Aku
tengok semua yang Kak Irdina suka dah tak boleh buat sekarang. Kalau dulu pandu
kereta laju-laju. Sekarang tak nampak langsung Kak Irdina memandu.”
“Sekarang
aku ada pemandu. Ke mana saja aku nak pergi, pemandu aku akan hantar. Malah aku
akan diiringi sekali. Macam puteri.”
“Puteri
apa namanya tu? Tu macam dah kena king
control. Warna pakaian ni pun bukan ikut cita rasa Kak Irdina lagi. Hitam,
warna yang tidak disukai oleh Kak Irdina.”
“Sesetengah
perkara terpaksa kita tinggalkan untuk menyenangkan hati pasangan kita,” jawab
Irdina perlahan.
“Baguslah!
Nak menyenangkan hati pasangan sampai hati sendiri pun tak dijaga? Aku tahu Kak
Irdina pasti menangis kerana terpaksa melakukan apa yang Kak Irdina tak suka.
Warna ni memang bukan warna Kak Irdina. Tak ceria langsung,” komen Balkis.
“Aku
nak buat macam mana? Dah Abang Razif suka aku berpakaian mengikut cita rasa
dia, aku kena ikutlah. Warna kesukaan aku, bukanlah warna kesukaan dia.”
“Jadi
Kak Irdina tak ada haklah nak tentukan warna pakaian sendiri, begitu? Aku rasa bra dan panties Kak Irdina pun dah berwarna hitam.” Kata Balkis, geram.
“Mana
kau tahu?” tanya Irdina, terkejut. Bulat matanya memandang wajah Balkis. Tak
mungkin Balkis nampak apa yang tersarung di sebalik blaus dan kain hitamnya.
“Ya,
Allah! Aku tak sangka Kak Irdina sampai jadi begini. Kalau sampai pakaian dalam
sendiri pun dia tentukan, mana kebebasan Kak Irdina? Sampai tak ada ruang untuk
Kak Irdina sendiri.”
Irdina
hanya terdiam. Di dalam hatinya mengakui hakikat itu. Dia terlalu mengikut
kehendak Razif hingga segala apa yang dibuatnya perlu bertanyakan Razif terlebih
dahulu. Malah ketika membeli tuala wanitanya, Razif yang tentukan warna
bungkusannya. Bungkusan berwarna merah jambu tidak boleh sama sekali. Oleh itu,
dia terpaksa menukar jenama tuala wanitanya dan memilih tuala wanita berbungkus
biru.
“Kak
Irdina, aku bukan bertujuan campur tangan dalam rumah tangga Kak Irdina. Tapi
kalau perkara yang tidak menyenangkan atau yang terbuku di hati, bawalah
berbincang. Dalam perkahwinan yang bahagia tidak
sepatutnya ada tembok antara suami dan isteri. Seharusnya, isteri atau suami
dapat meluahkan perasaannya dengan bebas tanpa khuatir disakiti hatinya oleh
pasangan. Kena ada sifat bertolak ansur dan saling memahami,” nasihat Balkis.
“Kau ni macam kaunselor perkahwinan
pula. Tapi aku hargai nasihat kau. Buat masa ini aku lihat Abang Razif memang
tak boleh bertolak ansur dalam menentukan apa yang perlu aku buat. Dia nak aku
ikut acuan dia dan bukan acuan aku sendiri. Aku perlu patuh dan taat dalam
perkara yang tidak menyalahi syarak. Dan apa yang disuruh oleh Abang Razif mmang
tidak menyalahi syarak.”
“Aku
tak tahu nak kata apa, bila Kak Irdina dah kata begitu. Pada aku, Abang Razif
agak keterlaluan dalam mengawal Kak Irdina.”
“Tak
mengapalah Balkis. Abang Razif mengawal sebab dia sangat sayang pada aku. Jadi,
apalah sangat jika dibandingkan kasih sayang dia terhadap aku?”
“Ikut
suka Kak Irdinalah.”
“Balkis,
aku dan Abang Razif nak ajak kau pergi makan-makan. Kau lapang tak malam ni?”
tanya Irdina setelah lama mereka mendiamkan diri.
“Makan?
Aku bab makan-makan tak akan tolak. Lebih-lebih ada orang nak belanja. Aku
lapang sangat-sangat malam ni,” kata Balkis sambil ketawa kecil.
“Baguslah
kalau begitu. Nanti aku telefon Abang Razif sekejap. Aku nak beritahu keputusan
kau.” kata Irdina sambil mengeluarkan telefonnya.
Irdina
menelefon Razif memberitahu keputusan Balkis dan Razif juga memberitahu bahawa
Ustaz Azmi juga telah bersetuju. Mereka sangat gembira kerana rancangan mereka
untuk menemukan Ustaz Azmi dan Balkis mungkin berjaya.
“Kak
Irdina tak ajak Laila sekali?” tanya Balkis.
“Laila
kata dia ada hal malam ni. Dia suruh kita saja yang pergi,” jawab Irdina.
Sebenarnya Irdina telah memberitahu Laila rancangan mereka dan meminta Laila
merahsiakannya dari pengetahuan Balkis. Laila juga bersetuju tidak mengikuti
mereka dengan memberi alasan ada hal lain untuk dibuat.
“Balkis,
kau siap-siaplah. Dalam pukul 8.00 malam kau datang ke rumah kami. Pakai baju
yang cantik-cantik sikit tau.”
“Cantik
sikit saja? Cantik banyak tak boleh?” tanya Balkis bergurau.
“Aku
takut kalau cantik banyak, ada orang yang ikut kau balik.” Irdina ketawa.
“Kak
Irdina takut Abang Razif ikut aku balik ke? Aku tak mahulah bekas Kak Irdina.
Kalau barang aku mahu, kalau orang aku tak mahu.” Balkis ketawa lagi.
“Aku
pun tak mahu bagi Abang Razif pada kau.” Irdina tersenyum.
Mereka
terus berbual beberapa ketika dan kemudian Irdina pulang ke rumahnya. Razif
sedang berada di tepi kolam ikan sambil memerhatikan ikan-ikan yang berenang.
“Abang,”
panggil Irdina sambil menghampiri Razif dengan senyuman.
Razif
tersenyum melihat Irdina. “Misi berjaya?”
“Sukses!”
kata Irdina sambil ketawa. Irdina duduk di sebelah Razif sambil memberi ikan
makan. Berebut-rebut ikan-ikan itu makan pelet yang diberikan.
“Abang,
Irdina tak beritahu Balkis yang Ustaz Azmi akan menyertai kita.”
“Abang
pun tak beritahu Azmi. Takut kalau dia tahu, dia batalkan pula.” Razif mengambil
bungkusan makanan ikan dari tangan Irdina. Dia mengajak Irdina masuk ke rumah
kerana hampir masuk waktu Maghrib ketika itu.
Balkis
telah menunggu Irdina di halaman rumah tepat jam 8.00 malam. Dia duduk di
kerusi taman sambil memerhati kolam ikan. Irdina keluar dari rumah dan
perlahan-lahan menghampiri Balkis.
“Hah!”
sergah Irdina.
“Opocot
mak kau!” terkejut Balkis hingga terlatah.
Irdina
ketawa melihat reaksi Balkis.
“Kak
Irdina ni nak bagi aku jadi arwah cepat ke?” kata Balkis sambil mengurut dada.
“Maaf,”
kata Irdina dalam sisa tawanya.
Irdina
melihat Balkis dari atas hingga ke bawah. Pakaian Balkis serba sederhana. Blaus
dan skirt panjang. “Mana baju berlabuci atau manik kau?” tanya Irdina.
“Kak
Irdina ni. Tadi suruh pakai cantik sikit, bukan cantik banyak. Kak Irdina tak
apalah cantik banyak. Cantik jubah hitam ni.” Puji Balkis sambil memegang baju
jubah moden Irdina.
“Aku
tak pernah pakai jubah. Agak kekok dibuatnya.”
“Ini
pun Abang Razif pilih?”
“Ya.”
Balkis
hanya tersenyum dan sebelum sempat dia memberikan komen, dia ternampak Razif
keluar dari rumah. Razif mengajak mereka menaiki kereta dan bertolak ke
destinasi yang dijanjikan. Ustaz Azmi telah menunggu di tempat meletak kereta
dan apabila melihat Razif, dia segera mendapatkan mereka.
“Lama
dah menunggu?” tanya Razif sambil bersalaman dengan Azmi.
“Tak…aku
pun baru sampai,” jawab Azmi.
“Azmi…
aku kenalkan. Ini Balkis, sepupu Irdina. Kau dah biasa jumpa dia bersama Irdina
dulukan?” kata Razif kepada Ustaz Azmi.
Ustaz
Azmi hanya tersenyum dan menganggukkan kepala. Balkis turut tersenyum.
“Marilah
kita masuk. Nanti boleh berbual lagi,” kata Razif sambil melangkah masuk ke
restoran.
Razif
duduk bersebelahan Irdina dan membiarkan Balkis duduk di sebelah Ustaz Azmi.
Mereka makan dan berbual sambil ketawa bila ada perkara lucu yang diceritakan.
Balkis kemudiannya melihat bekas teman lelakinya masuk ke restoran tersebut
bersama-sama seorang perempuan. Hatinya terasa panas melihat gelagat mereka.
“Aku
hairanlah, mengapa pasangan yang suka bercouple kelihatan lebih
romantik berbanding pasangan yang berkahwin secara sah. Adakah bercinta sebelum
kahwin lebih romantik daripada bercinta selepas kahwin?” tanya Balkis.
“Apa
maksud kau?” tanya Irdina hairan.
Balkis
menunjuk secara isyarat ke arah Ariff yang sedang berpelukan dan kelihatan
sangat intim dengan Juliana yang berambut perang.
“Ada
banyak sebab, tapi sebab utamanya adalah peranan syaitan. Jika pasangan itu
bercinta sebelum kahwin maka syaitan akan menampakkan kemanisan cinta kepada
mereka sehingga tahap sanggup berzina. Tapi jika pasangan ini mahu bercinta
selepas berkahwin, syaitan akan mengganggu dan menampakkan kejemuan untuk
bercinta kepada mereka sehingga terasa bosan dan tawar untuk bercinta,” terang
Ustaz Azmi tanpa dipinta.
“Begitu?
Jahat sungguh syaitan ni. Katakanlah, pasangan tu tak nak bercinta sebelum
kahwin dan selepas kahwin baru nak bercinta. Adakah syaitan tu akan datang ke
rumah mereka dan ganggu percintaan mereka?” tanya Balkis, menguji.
“Besar
kemungkinan. Tapi jika pasangan tu beriman dan bertaqwa kepada Allah, Insya
Allah syaitan tak mampu gugat kasih sayang mereka. Malah, kasih sayang akan
teguh kerana ketaqwaan kepada Allah,” jelas Ustaz Azmi.
“Tapi
seringkali yang dah kahwin tak nampak romantik. Mula-mula tu mungkinlah sebab
baru. Tapi bila dah lama sikit, jalan pun tak nak sekali dengan isteri. Suami
di depan, isteri sebatu di belakang.” Balas Balkis pula, tidak mahu kalah.
“Itulah
silapnya orang kita. Bila dah lama kahwin tak mahu menjaga suasana romantik tu.
Rasulullah s.a.w sendiri merupakan suami yang romantik. Di dalam banyak hadis,
diriwayatkan betapa hebatnya komunikasi Baginda s.a.w dengan para isteri.
Terdapat hadis yang menceritakan tentang kerajinan Baginda s.a.w membantu para
isteri. Baginda s.a.w memanggil nama isteri dengan lunaknya, bahkan dengan
panggilan yang cukup istimewa. Ada hadis menceritakan romantiknya Baginda s.a.w
yang mandi bersama dan minum pula dari bekas yang sama dengan isteri,” terang
Ustaz Azmi sambil tersenyum.
Razif
memandang Irdina dengan senyuman. Razif memberi isyarat kepada Irdina seperti
yang telah mereka rancang. Dia kemudiannya meminta diri untuk ke tandas.
“Ustaz
ni dah kahwin ke belum? Bercerita macam dah ada isteri,” kata Balkis sambil
tersenyum.
“Belum.
Tengah mencari. Yang dulu dah terlepas,” jawab Ustaz Azmi sambil ketawa kecil.
“Balkis
ni pun solo lagi. Lelaki yang bersama perempuan berambut perang tu pernah janji
nak bertunang dengan dia. Tapi hampeh!” kata Irdina.
“Wei!
pecah lubang pula. Aku dah tak rasa apa-apalah tengok perangai gedik mereka.
Malah aku bersyukur tak jadi kahwin dengan lelaki yang tak tahu nak hargai
wanita sebaik aku.” Kata Balkis lalu tersenyum. Sengaja memuji diri sendiri.
“Betul
kau tak rasa apa-apa?”
“Betul!
Apalah sangat ada pada lelaki tu. Mungkin ada lelaki lain yang lebih baik dari
dia dan beriman serta handsome macam
Ustaz Azmi. Betul tak ustaz?” tanya Balkis.
Ustaz
Azmi yang keresahan kerana ditinggalkan Razif dengan wanita-wanita itu tidak
memberi tumpuan terhadap perbualan mereka. Dia terkejut bila namanya disebut.
Lantas menjawab tanpa berfikir.
“Betul.”
Balkis
dan Irdina ketawa serentak kerana mereka tahu Ustaz Azmi tidak mendengar
kata-kata Balkis sebentar tadi. Ustaz Azmi terpinga-pinga melihat mereka tetapi
kemudian dia turut tersenyum. Irdina kemudiannya turut meminta diri untuk ke
tandas. Balkis dan Ustaz Azmi saling berpandangan. Mereka terus menanti kedua
suami isteri itu dengan sabar.
“Balkis
tinggal satu kampung dengan Irdina ke?” tanya Ustaz Azmi.
“Tak.
Dia di Kangar, saya di Chuping. Kenapa tanya? Ustaz nak masuk meminang saya
ke?” tanya Balkis bergurau.
Ustaz
Azmi turut ketawa kecil. “Kalau boleh,” balas Ustaz Azmi membuatkan Balkis
terdiam.
“Maaf
saya bergurau saja tadi. Kalau ustaz terasa, saya minta maaf.” Kata Balkis,
serius.
“Tak
mengapa. Saya pun bergurau. Sebenarnya Razif ajak saya ke Perlis masa kenduri
mereka nanti. Saya tak pernah ke sana, jadi teringin jugalah melihat suasana
kampung.”
“Baguslah
tu. Kalau ustaz ke sana, jangan lupa singgah rumah saya. Saya boleh bawa ustaz
tengok ladang tebu, ladang anggur, ladang mempelam, ladang rusa, ladang burung
unta dan macam-macam ladang lagi.”
“Di
Perlis hanya ada ladang ke?” tanya Ustaz Azmi, hairan.
“Tidak.
Tapi saja saya nak bawa ustaz melawat ladang,” kata Balkis sambil ketawa kecil.
Ustaz
Azmi tersenyum memandang Balkis. Gurau senda Balkis sikit sebanyak mencuit
hatinya.
“Hish!
Pergi tandas ke buat tandas? Tak kan dua-dua cirit birit sampai lama begini?”
tanya Balkis sambil memandang ke arah yang dituju oleh Irdina tadi.
“Mungkin
ada masalah sebab tu lambat sikit.” Ustaz Azmi memberi pandangan.
“Masalah
apa ustaz? Tak kan nak masuk tandas pun Abang Razif kena pilih? Berpadalah nak
kawal bini pun. Ini tidak, semua dia tentukan sampai warna underware bini pun dia pilih.” Kata Balkis, geram.
“Apa
Balkis kata? Kawal bini? Razif mengawal Irdina?” tanya Ustaz Azmi, hairan.
“Ya.
Dia kawal semua. Abang Razif tak bagi Kak Irdina kerja, tak bagi Kak Irdina memandu dan tak
boleh pakai pakaian yang dia tak suka. Kereta Kak Irdina, Abang Razif suruh
beri pada saya. Malah semua pakaian Kak Irdina yang berwarna pink dan purple diberi pada saya dan Laila. Seluar jeans pun juga. Kesian
saya tengok Kak Irdina, pakai pakaian mengikut warna yang Abang Razif pilih
saja. Warna tu pula warna yang dia tak suka,” adu Balkis.
“Kenapa
sampai macam tu sekali? Irdina mengadu pada Balkis ke?”
“Tak,
dia tak mengadu tapi saya yang boleh teka. Saya kenal Kak Irdina bukan sehari
dua, tapi dah lama. Saya tahu isi hati dia. Walaupun jiwa dia tertekan, dia tak
akan beritahu. Dia jenis lembut hati, sebab tu mudah tertipu dengan bekas
tunang dia dulu.”
Ustaz
Azmi berfikir sejenak. Mungkin ada benarnya kata-kata Balkis. Dia melihat
sendiri Irdina berpakaian hitam seperti Razif. Pada sangkaannya Irdina hanya
ingin berkongsi cita rasa dengan Razif.
“Kenapa
Razif tak beri Irdina memandu?”
“Silap
Kak Irdina juga. Walaupun dia nampak lembut, tapi bila memandu dia agak kasar
sikit. Mungkin dah jadi kebiasaan dia memandu laju kerana dulu dia pernah
terlibat dengan aktiviti berlumba kereta dengan kawan-kawan sekolah. Tapi dia
tak buat dah. Ketika kami semua dalam perjalanan ke Perlis, dia pandu kereta Abang
Razif dan berlumba dengan kereta yang mencabarnya. Itulah punca dia tak boleh
memandu lagi.”
Ustaz
Azmi terdiam mendengar kata-kata Balkis. Lama dia memikirkan cara terbaik untuk
menegur Razif. Dia takut dikatakan campur tangan di dalam urusan rumah tangga
orang. Kalau tak ditegur, jiwa Irdina akan merana dan mungkin satu hari akan
timbul masalah lain. Tiba-tiba telefon Ustaz Azmi berdering menandakan ada
mesej yang masuk. Dia segera membaca mesej dari Razif. Mukanya berubah setelah
habis membaca mesej tersebut.
“Balkis,
mari saya hantar awak balik.”
“Tak
mengapalah, ustaz. Saya boleh balik dengan Kak Irdina,” kata Balkis memaniskan
wajahnya bagi melindungi keresahan hati.
“Mereka
dah balik.”
“Apa?
Habis tu saya ni macam mana?” tanya Balkis terkejut.
“Razif
suruh saya hantar Balkis.”
“Apa?”
Makin terkejut Balkis dibuatnya.
“Marilah.”
“Err…
saya naik teksi sajalah.”
“Tak
payah susah-susah, saya hantar. Tak kan Balkis takut dengan saya?”
“Memang
saya takut,” jawab Balkis. Wajahnya jelas berubah.
“Saya
tak makan orang,” kata Ustaz Azmi ketawa kecil.
“Memanglah
tak makan. Tapi, ustaz tak takut fitnah ke? Nanti tak pasal-pasal nama ustaz
juga yang tercemar. Saya pula terpaksa kahwin macam Kak Irdina.”
“Kalau
dah jodoh kita, terimalah.”
“Ustaz
cakap senang saja. Saya ni mana padan dengan ustaz, macam bumi dengan langit.”
“Habis
tu, Balkis nak tidur sini?”
“Tak.
Biar saya naik teksi.”
“Tak
takut ke naik teksi seorang diri malam-malam? Banyak kes rogol dan bunuh melibatkan
gadis yang balik seorang diri.”
Balkis
terdiam dalam keresahan. Hatinya mengutuk Razif dan Irdina.
“Marilah.
Balkis lebih selamat dengan saya dari naik teksi dengan orang yang Balkis tak
kenal. Kalau Balkis kena kahwin dengan saya pun bukan nak rugi apa-apa,” kata
Ustaz Azmi sambil ketawa kecil.
‘Hah!
Biar betul ustaz ni. Tapi kalau lama-lama tengok ustaz ni pun boleh tahan juga.
Ada janggut, tapi nampak kemas,’ bisik hati Balkis.
Tiba-tiba
Balkis teringat kata-kata Irdina tentang lelaki berjanggut dan doa Irdina agar
Balkis berkahwin dengan lelaki berjanggut. “Alamak!” kata Balkis tanpa sedar.
“Kenapa?”
tanya Ustaz Azmi memandang wajah Balkis.
“Ustaz
rasa tak apa yang saya rasa?” tanya Balkis.
Pertanyaan
Balkis membuatkan Ustaz Azmi agak tersentak. ‘Adakah aku tidak bertepuk sebelah
tangan?’ bisik hati kecilnya.
“Balkis
sukakan saya?” Terkeluar kata-kata itu tanpa sedar.
“Apa
ustaz? Saya sukakan ustaz?” Muka Balkis berubah kemerahan.
“Saya
pun sukakan Balkis.” Akui Ustaz Azmi.
“Alahai…
Kak Irdina!” kata Balkis sambil menghentak-hentakkan kakinya, geram.
“Kenapa?
Saya ada buat salah ke?” Panik Ustaz Azmi, seketika. Takut ada yang menyalah
tafsir perbuatan Balkis sebentar tadi.
“Tak.
Ustaz tak salah tapi mereka berdua tu. Kalau ustaz nak tahu, Kak Irdina pernah
doakan saya agar bertemu jodoh dengan orang yang ada janggut. Saya rasa mereka
sengaja nak kenakan saya,” kata Balkis berterus terang.
“Baguslah
tu. Mungkin kita ada jodoh.” Jawab Ustaz Azmi, selamba. Bibirnya mengukir
senyuman.
“Dah
ke situ pula?” kata Balkis, makin geram.
“Saya
tak fahamlah perempuan ni. Sekejap kata suka, sekejap nak marah. Awak period ke?” Ustaz Azmi meneka.
‘Aduh!
Macam mana dia tahu ni? Jelas sangat ke urat hijau di dahi aku? Orang kata,
kalau urat hijau jelas kelihatan tandanya datang bulan.’ Bisik hati Balkis.
“Saya
tak marahkan ustaz. Tapi saya tak suka mereka berdua permainkan saya begini.
Tadi janji lepas makan nak temankan saya beli barang. Kalau saya balik dan
kemudian keluar semula, tentu pasaraya dah tutup.”
“Kalau
begitu, biar saya temankan Balkis beli barang.”
Balkis
menjadi serba salah. Dia agak malu kerana barang yang ingin dibeli adalah
barang-barang keperluan wanita termasuklah tuala wanita. “Ustaz tak rasa segan
ke nanti?”
“Jangan
fikir yang bukan-bukan. Marilah cepat, takut nanti pasaraya tutup awak tak
boleh beli barang pula.” Ajak Ustaz Azmi.
Akhirnya
Balkis terpaksa mengikut Ustaz Azmi ke keretanya. Balkis duduk di sebelah
pemandu dan matanya hanya memerhati ke hadapan. Dia agak resah sepanjang jalan.
Ustaz Azmi hanya tersenyum melihatnya.
5 ulasan:
best la Balkis ni. tak de nak kontrol² ayu depan Ustaz Azmi...
budak balqis ni selamba betul orangnya ye....
best2.. x ssabar nak tunggu part seterusnya!...
memang best n3 kali ni...
sambung la lagi...
go balkis... watak balkis lagi best dari irdina
Untuk pengetahuan semua,
Buku Ini akan diolah sedikit untuk menjadikannya versi komedi romantik dan akan menjadi buku ketiga saya untuk Buku Prima...insyaAllah.
Catat Ulasan