Pengikut

Jumaat, 29 Mac 2013

Abang King Control Ke? - Bab 26



Petang itu Balkis pulang seperti biasa dari tempat kerjanya. Ketika dia tiba di rumah, Irdina menelefon dan memberitahu bahawa Irdina akan datang ke rumahnya. Balkis menanti kedatangan Irdina di muka pintu. Balkis menjemput Irdina masuk ke dalam rumah.
“Lama aku tak nampak Kak Irdina. Sibuk sangat ke jadi seorang isteri ni?” tanya Balkis sambil melabuhkan tubuhnya di sofa.
“Sibuk tak sibuk kau akan tahu bila kau dah kahwin nanti,” jawab Irdina sambil tersenyum.
“Macam banyak kerja je yang Kak Irdina buat. Mak Cik Sopiah dan Abang Razif buli Kak Irdina ke?”
“Taklah. Pandai je kau buat andaian.”
“Aku tengok semua yang Kak Irdina suka dah tak boleh buat sekarang. Kalau dulu pandu kereta laju-laju. Sekarang tak nampak langsung Kak Irdina memandu.”
“Sekarang aku ada pemandu. Ke mana saja aku nak pergi, pemandu aku akan hantar. Malah aku akan diiringi sekali. Macam puteri.”
“Puteri apa namanya tu? Tu macam dah kena king control. Warna pakaian ni pun bukan ikut cita rasa Kak Irdina lagi. Hitam, warna yang tidak disukai oleh Kak Irdina.”
“Sesetengah perkara terpaksa kita tinggalkan untuk menyenangkan hati pasangan kita,” jawab Irdina perlahan.
“Baguslah! Nak menyenangkan hati pasangan sampai hati sendiri pun tak dijaga? Aku tahu Kak Irdina pasti menangis kerana terpaksa melakukan apa yang Kak Irdina tak suka. Warna ni memang bukan warna Kak Irdina. Tak ceria langsung,” komen Balkis.
“Aku nak buat macam mana? Dah Abang Razif suka aku berpakaian mengikut cita rasa dia, aku kena ikutlah. Warna kesukaan aku, bukanlah warna kesukaan dia.”
“Jadi Kak Irdina tak ada haklah nak tentukan warna pakaian sendiri, begitu? Aku rasa bra dan panties Kak Irdina pun dah berwarna hitam.” Kata Balkis, geram.
“Mana kau tahu?” tanya Irdina, terkejut. Bulat matanya memandang wajah Balkis. Tak mungkin Balkis nampak apa yang tersarung di sebalik blaus dan kain hitamnya.
“Ya, Allah! Aku tak sangka Kak Irdina sampai jadi begini. Kalau sampai pakaian dalam sendiri pun dia tentukan, mana kebebasan Kak Irdina? Sampai tak ada ruang untuk Kak Irdina sendiri.”
Irdina hanya terdiam. Di dalam hatinya mengakui hakikat itu. Dia terlalu mengikut kehendak Razif hingga segala apa yang dibuatnya perlu bertanyakan Razif terlebih dahulu. Malah ketika membeli tuala wanitanya, Razif yang tentukan warna bungkusannya. Bungkusan berwarna merah jambu tidak boleh sama sekali. Oleh itu, dia terpaksa menukar jenama tuala wanitanya dan memilih tuala wanita berbungkus biru.
“Kak Irdina, aku bukan bertujuan campur tangan dalam rumah tangga Kak Irdina. Tapi kalau perkara yang tidak menyenangkan atau yang terbuku di hati, bawalah berbincang. Dalam perkahwinan yang bahagia tidak sepatutnya ada tembok antara suami dan isteri. Seharusnya, isteri atau suami dapat meluahkan perasaannya dengan bebas tanpa khuatir disakiti hatinya oleh pasangan. Kena ada sifat bertolak ansur dan saling memahami,” nasihat Balkis.
“Kau ni macam kaunselor perkahwinan pula. Tapi aku hargai nasihat kau. Buat masa ini aku lihat Abang Razif memang tak boleh bertolak ansur dalam menentukan apa yang perlu aku buat. Dia nak aku ikut acuan dia dan bukan acuan aku sendiri. Aku perlu patuh dan taat dalam perkara yang tidak menyalahi syarak. Dan apa yang disuruh oleh Abang Razif mmang tidak menyalahi syarak.”
“Aku tak tahu nak kata apa, bila Kak Irdina dah kata begitu. Pada aku, Abang Razif agak keterlaluan dalam mengawal Kak Irdina.”
“Tak mengapalah Balkis. Abang Razif mengawal sebab dia sangat sayang pada aku. Jadi, apalah sangat jika dibandingkan kasih sayang dia terhadap aku?”
“Ikut suka Kak Irdinalah.”
“Balkis, aku dan Abang Razif nak ajak kau pergi makan-makan. Kau lapang tak malam ni?” tanya Irdina setelah lama mereka mendiamkan diri.
“Makan? Aku bab makan-makan tak akan tolak. Lebih-lebih ada orang nak belanja. Aku lapang sangat-sangat malam ni,” kata Balkis sambil ketawa kecil.
“Baguslah kalau begitu. Nanti aku telefon Abang Razif sekejap. Aku nak beritahu keputusan kau.” kata Irdina sambil mengeluarkan telefonnya.
Irdina menelefon Razif memberitahu keputusan Balkis dan Razif juga memberitahu bahawa Ustaz Azmi juga telah bersetuju. Mereka sangat gembira kerana rancangan mereka untuk menemukan Ustaz Azmi dan Balkis mungkin berjaya.
“Kak Irdina tak ajak Laila sekali?” tanya Balkis.
“Laila kata dia ada hal malam ni. Dia suruh kita saja yang pergi,” jawab Irdina. Sebenarnya Irdina telah memberitahu Laila rancangan mereka dan meminta Laila merahsiakannya dari pengetahuan Balkis. Laila juga bersetuju tidak mengikuti mereka dengan memberi alasan ada hal lain untuk dibuat.
“Balkis, kau siap-siaplah. Dalam pukul 8.00 malam kau datang ke rumah kami. Pakai baju yang cantik-cantik sikit tau.”
“Cantik sikit saja? Cantik banyak tak boleh?” tanya Balkis bergurau.
“Aku takut kalau cantik banyak, ada orang yang ikut kau balik.” Irdina ketawa.
“Kak Irdina takut Abang Razif ikut aku balik ke? Aku tak mahulah bekas Kak Irdina. Kalau barang aku mahu, kalau orang aku tak mahu.” Balkis ketawa lagi.
“Aku pun tak mahu bagi Abang Razif pada kau.” Irdina tersenyum.
Mereka terus berbual beberapa ketika dan kemudian Irdina pulang ke rumahnya. Razif sedang berada di tepi kolam ikan sambil memerhatikan ikan-ikan yang berenang.
“Abang,” panggil Irdina sambil menghampiri Razif dengan senyuman.
Razif tersenyum melihat Irdina. “Misi berjaya?”
“Sukses!” kata Irdina sambil ketawa. Irdina duduk di sebelah Razif sambil memberi ikan makan. Berebut-rebut ikan-ikan itu makan pelet yang diberikan.
“Abang, Irdina tak beritahu Balkis yang Ustaz Azmi akan menyertai kita.”
“Abang pun tak beritahu Azmi. Takut kalau dia tahu, dia batalkan pula.” Razif mengambil bungkusan makanan ikan dari tangan Irdina. Dia mengajak Irdina masuk ke rumah kerana hampir masuk waktu Maghrib ketika itu.
Balkis telah menunggu Irdina di halaman rumah tepat jam 8.00 malam. Dia duduk di kerusi taman sambil memerhati kolam ikan. Irdina keluar dari rumah dan perlahan-lahan menghampiri Balkis.
“Hah!” sergah Irdina.
“Opocot mak kau!” terkejut Balkis hingga terlatah.
Irdina ketawa melihat reaksi Balkis.
“Kak Irdina ni nak bagi aku jadi arwah cepat ke?” kata Balkis sambil mengurut dada.
“Maaf,” kata Irdina dalam sisa tawanya.
Irdina melihat Balkis dari atas hingga ke bawah. Pakaian Balkis serba sederhana. Blaus dan skirt panjang. “Mana baju berlabuci atau manik kau?” tanya Irdina.
“Kak Irdina ni. Tadi suruh pakai cantik sikit, bukan cantik banyak. Kak Irdina tak apalah cantik banyak. Cantik jubah hitam ni.” Puji Balkis sambil memegang baju jubah moden Irdina.
“Aku tak pernah pakai jubah. Agak kekok dibuatnya.”
“Ini pun Abang Razif pilih?”
“Ya.”
Balkis hanya tersenyum dan sebelum sempat dia memberikan komen, dia ternampak Razif keluar dari rumah. Razif mengajak mereka menaiki kereta dan bertolak ke destinasi yang dijanjikan. Ustaz Azmi telah menunggu di tempat meletak kereta dan apabila melihat Razif, dia segera mendapatkan mereka.
“Lama dah menunggu?” tanya Razif sambil bersalaman dengan Azmi.
“Tak…aku pun baru sampai,” jawab Azmi.
“Azmi… aku kenalkan. Ini Balkis, sepupu Irdina. Kau dah biasa jumpa dia bersama Irdina dulukan?” kata Razif kepada Ustaz Azmi.
Ustaz Azmi hanya tersenyum dan menganggukkan kepala. Balkis turut tersenyum.
“Marilah kita masuk. Nanti boleh berbual lagi,” kata Razif sambil melangkah masuk ke restoran.
Razif duduk bersebelahan Irdina dan membiarkan Balkis duduk di sebelah Ustaz Azmi. Mereka makan dan berbual sambil ketawa bila ada perkara lucu yang diceritakan. Balkis kemudiannya melihat bekas teman lelakinya masuk ke restoran tersebut bersama-sama seorang perempuan. Hatinya terasa panas melihat gelagat mereka.
“Aku hairanlah, mengapa pasangan yang suka bercouple kelihatan lebih romantik berbanding pasangan yang berkahwin secara sah. Adakah bercinta sebelum kahwin lebih romantik daripada bercinta selepas kahwin?” tanya Balkis.
“Apa maksud kau?” tanya Irdina hairan.
Balkis menunjuk secara isyarat ke arah Ariff yang sedang berpelukan dan kelihatan sangat intim dengan Juliana yang berambut perang.
“Ada banyak sebab, tapi sebab utamanya adalah peranan syaitan. Jika pasangan itu bercinta sebelum kahwin maka syaitan akan menampakkan kemanisan cinta kepada mereka sehingga tahap sanggup berzina. Tapi jika pasangan ini mahu bercinta selepas berkahwin, syaitan akan mengganggu dan menampakkan kejemuan untuk bercinta kepada mereka sehingga terasa bosan dan tawar untuk bercinta,” terang Ustaz Azmi tanpa dipinta.
“Begitu? Jahat sungguh syaitan ni. Katakanlah, pasangan tu tak nak bercinta sebelum kahwin dan selepas kahwin baru nak bercinta. Adakah syaitan tu akan datang ke rumah mereka dan ganggu percintaan mereka?” tanya Balkis, menguji.
“Besar kemungkinan. Tapi jika pasangan tu beriman dan bertaqwa kepada Allah, Insya Allah syaitan tak mampu gugat kasih sayang mereka. Malah, kasih sayang akan teguh kerana ketaqwaan kepada Allah,” jelas Ustaz Azmi.
“Tapi seringkali yang dah kahwin tak nampak romantik. Mula-mula tu mungkinlah sebab baru. Tapi bila dah lama sikit, jalan pun tak nak sekali dengan isteri. Suami di depan, isteri sebatu di belakang.” Balas Balkis pula, tidak mahu kalah.
“Itulah silapnya orang kita. Bila dah lama kahwin tak mahu menjaga suasana romantik tu. Rasulullah s.a.w sendiri merupakan suami yang romantik. Di dalam banyak hadis, diriwayatkan betapa hebatnya komunikasi Baginda s.a.w dengan para isteri. Terdapat hadis yang menceritakan tentang kerajinan Baginda s.a.w membantu para isteri. Baginda s.a.w memanggil nama isteri dengan lunaknya, bahkan dengan panggilan yang cukup istimewa. Ada hadis menceritakan romantiknya Baginda s.a.w yang mandi bersama dan minum pula dari bekas yang sama dengan isteri,” terang Ustaz Azmi sambil tersenyum.
Razif memandang Irdina dengan senyuman. Razif memberi isyarat kepada Irdina seperti yang telah mereka rancang. Dia kemudiannya meminta diri untuk ke tandas.
“Ustaz ni dah kahwin ke belum? Bercerita macam dah ada isteri,” kata Balkis sambil tersenyum.
“Belum. Tengah mencari. Yang dulu dah terlepas,” jawab Ustaz Azmi sambil ketawa kecil.
“Balkis ni pun solo lagi. Lelaki yang bersama perempuan berambut perang tu pernah janji nak bertunang dengan dia. Tapi hampeh!” kata Irdina.
“Wei! pecah lubang pula. Aku dah tak rasa apa-apalah tengok perangai gedik mereka. Malah aku bersyukur tak jadi kahwin dengan lelaki yang tak tahu nak hargai wanita sebaik aku.” Kata Balkis lalu tersenyum. Sengaja memuji diri sendiri.
“Betul kau tak rasa apa-apa?”
“Betul! Apalah sangat ada pada lelaki tu. Mungkin ada lelaki lain yang lebih baik dari dia dan beriman serta handsome macam Ustaz Azmi. Betul tak ustaz?” tanya Balkis.
Ustaz Azmi yang keresahan kerana ditinggalkan Razif dengan wanita-wanita itu tidak memberi tumpuan terhadap perbualan mereka. Dia terkejut bila namanya disebut. Lantas menjawab tanpa berfikir.
“Betul.”
Balkis dan Irdina ketawa serentak kerana mereka tahu Ustaz Azmi tidak mendengar kata-kata Balkis sebentar tadi. Ustaz Azmi terpinga-pinga melihat mereka tetapi kemudian dia turut tersenyum. Irdina kemudiannya turut meminta diri untuk ke tandas. Balkis dan Ustaz Azmi saling berpandangan. Mereka terus menanti kedua suami isteri itu dengan sabar.
“Balkis tinggal satu kampung dengan Irdina ke?” tanya Ustaz Azmi.
“Tak. Dia di Kangar, saya di Chuping. Kenapa tanya? Ustaz nak masuk meminang saya ke?” tanya Balkis bergurau.
Ustaz Azmi turut ketawa kecil. “Kalau boleh,” balas Ustaz Azmi membuatkan Balkis terdiam.
“Maaf saya bergurau saja tadi. Kalau ustaz terasa, saya minta maaf.” Kata Balkis, serius.
“Tak mengapa. Saya pun bergurau. Sebenarnya Razif ajak saya ke Perlis masa kenduri mereka nanti. Saya tak pernah ke sana, jadi teringin jugalah melihat suasana kampung.”
“Baguslah tu. Kalau ustaz ke sana, jangan lupa singgah rumah saya. Saya boleh bawa ustaz tengok ladang tebu, ladang anggur, ladang mempelam, ladang rusa, ladang burung unta dan macam-macam ladang lagi.”
“Di Perlis hanya ada ladang ke?” tanya Ustaz Azmi, hairan.
“Tidak. Tapi saja saya nak bawa ustaz melawat ladang,” kata Balkis sambil ketawa kecil.
Ustaz Azmi tersenyum memandang Balkis. Gurau senda Balkis sikit sebanyak mencuit hatinya.
“Hish! Pergi tandas ke buat tandas? Tak kan dua-dua cirit birit sampai lama begini?” tanya Balkis sambil memandang ke arah yang dituju oleh Irdina tadi.
“Mungkin ada masalah sebab tu lambat sikit.” Ustaz Azmi memberi pandangan.
“Masalah apa ustaz? Tak kan nak masuk tandas pun Abang Razif kena pilih? Berpadalah nak kawal bini pun. Ini tidak, semua dia tentukan sampai warna underware bini pun dia pilih.” Kata Balkis, geram.
“Apa Balkis kata? Kawal bini? Razif mengawal Irdina?” tanya Ustaz Azmi, hairan.
“Ya. Dia kawal semua. Abang Razif tak bagi Kak Irdina  kerja, tak bagi Kak Irdina memandu dan tak boleh pakai pakaian yang dia tak suka. Kereta Kak Irdina, Abang Razif suruh beri pada saya. Malah semua pakaian Kak Irdina yang berwarna pink dan purple diberi pada saya dan Laila. Seluar jeans pun juga. Kesian saya tengok Kak Irdina, pakai pakaian mengikut warna yang Abang Razif pilih saja. Warna tu pula warna yang dia tak suka,” adu Balkis.
“Kenapa sampai macam tu sekali? Irdina mengadu pada Balkis ke?”
“Tak, dia tak mengadu tapi saya yang boleh teka. Saya kenal Kak Irdina bukan sehari dua, tapi dah lama. Saya tahu isi hati dia. Walaupun jiwa dia tertekan, dia tak akan beritahu. Dia jenis lembut hati, sebab tu mudah tertipu dengan bekas tunang dia dulu.”
Ustaz Azmi berfikir sejenak. Mungkin ada benarnya kata-kata Balkis. Dia melihat sendiri Irdina berpakaian hitam seperti Razif. Pada sangkaannya Irdina hanya ingin berkongsi cita rasa dengan Razif.
“Kenapa Razif tak beri Irdina memandu?”
“Silap Kak Irdina juga. Walaupun dia nampak lembut, tapi bila memandu dia agak kasar sikit. Mungkin dah jadi kebiasaan dia memandu laju kerana dulu dia pernah terlibat dengan aktiviti berlumba kereta dengan kawan-kawan sekolah. Tapi dia tak buat dah. Ketika kami semua dalam perjalanan ke Perlis, dia pandu kereta Abang Razif dan berlumba dengan kereta yang mencabarnya. Itulah punca dia tak boleh memandu lagi.”
Ustaz Azmi terdiam mendengar kata-kata Balkis. Lama dia memikirkan cara terbaik untuk menegur Razif. Dia takut dikatakan campur tangan di dalam urusan rumah tangga orang. Kalau tak ditegur, jiwa Irdina akan merana dan mungkin satu hari akan timbul masalah lain. Tiba-tiba telefon Ustaz Azmi berdering menandakan ada mesej yang masuk. Dia segera membaca mesej dari Razif. Mukanya berubah setelah habis membaca mesej tersebut.
“Balkis, mari saya hantar awak balik.”
“Tak mengapalah, ustaz. Saya boleh balik dengan Kak Irdina,” kata Balkis memaniskan wajahnya bagi melindungi keresahan hati.
“Mereka dah balik.”
“Apa? Habis tu saya ni macam mana?” tanya Balkis terkejut.
“Razif suruh saya hantar Balkis.”
“Apa?” Makin terkejut Balkis dibuatnya.
“Marilah.”
“Err… saya naik teksi sajalah.”
“Tak payah susah-susah, saya hantar. Tak kan Balkis takut dengan saya?”
“Memang saya takut,” jawab Balkis. Wajahnya jelas berubah.
“Saya tak makan orang,” kata Ustaz Azmi ketawa kecil.
“Memanglah tak makan. Tapi, ustaz tak takut fitnah ke? Nanti tak pasal-pasal nama ustaz juga yang tercemar. Saya pula terpaksa kahwin macam Kak Irdina.”
“Kalau dah jodoh kita, terimalah.”
“Ustaz cakap senang saja. Saya ni mana padan dengan ustaz, macam bumi dengan langit.”
“Habis tu, Balkis nak tidur sini?”
“Tak. Biar saya naik teksi.”
“Tak takut ke naik teksi seorang diri malam-malam? Banyak kes rogol dan bunuh melibatkan gadis yang balik seorang diri.”
Balkis terdiam dalam keresahan. Hatinya mengutuk Razif dan Irdina.
“Marilah. Balkis lebih selamat dengan saya dari naik teksi dengan orang yang Balkis tak kenal. Kalau Balkis kena kahwin dengan saya pun bukan nak rugi apa-apa,” kata Ustaz Azmi sambil ketawa kecil.
‘Hah! Biar betul ustaz ni. Tapi kalau lama-lama tengok ustaz ni pun boleh tahan juga. Ada janggut, tapi nampak kemas,’ bisik hati Balkis.
Tiba-tiba Balkis teringat kata-kata Irdina tentang lelaki berjanggut dan doa Irdina agar Balkis berkahwin dengan lelaki berjanggut. “Alamak!” kata Balkis tanpa sedar.
“Kenapa?” tanya Ustaz Azmi memandang wajah Balkis.
“Ustaz rasa tak apa yang saya rasa?” tanya Balkis.
Pertanyaan Balkis membuatkan Ustaz Azmi agak tersentak. ‘Adakah aku tidak bertepuk sebelah tangan?’ bisik hati kecilnya.
“Balkis sukakan saya?” Terkeluar kata-kata itu tanpa sedar.
“Apa ustaz? Saya sukakan ustaz?” Muka Balkis berubah kemerahan.
“Saya pun sukakan Balkis.” Akui Ustaz Azmi.
“Alahai… Kak Irdina!” kata Balkis sambil menghentak-hentakkan kakinya, geram.
“Kenapa? Saya ada buat salah ke?” Panik Ustaz Azmi, seketika. Takut ada yang menyalah tafsir perbuatan Balkis sebentar tadi.
“Tak. Ustaz tak salah tapi mereka berdua tu. Kalau ustaz nak tahu, Kak Irdina pernah doakan saya agar bertemu jodoh dengan orang yang ada janggut. Saya rasa mereka sengaja nak kenakan saya,” kata Balkis berterus terang.
“Baguslah tu. Mungkin kita ada jodoh.” Jawab Ustaz Azmi, selamba. Bibirnya mengukir senyuman.
“Dah ke situ pula?” kata Balkis, makin geram.
“Saya tak fahamlah perempuan ni. Sekejap kata suka, sekejap nak marah. Awak period ke?” Ustaz Azmi meneka.
‘Aduh! Macam mana dia tahu ni? Jelas sangat ke urat hijau di dahi aku? Orang kata, kalau urat hijau jelas kelihatan tandanya datang bulan.’ Bisik hati Balkis.
“Saya tak marahkan ustaz. Tapi saya tak suka mereka berdua permainkan saya begini. Tadi janji lepas makan nak temankan saya beli barang. Kalau saya balik dan kemudian keluar semula, tentu pasaraya dah tutup.”
“Kalau begitu, biar saya temankan Balkis beli barang.”
Balkis menjadi serba salah. Dia agak malu kerana barang yang ingin dibeli adalah barang-barang keperluan wanita termasuklah tuala wanita. “Ustaz tak rasa segan ke nanti?”
“Jangan fikir yang bukan-bukan. Marilah cepat, takut nanti pasaraya tutup awak tak boleh beli barang pula.” Ajak Ustaz Azmi.
Akhirnya Balkis terpaksa mengikut Ustaz Azmi ke keretanya. Balkis duduk di sebelah pemandu dan matanya hanya memerhati ke hadapan. Dia agak resah sepanjang jalan. Ustaz Azmi hanya tersenyum melihatnya.

5 ulasan:

misza berkata...

best la Balkis ni. tak de nak kontrol² ayu depan Ustaz Azmi...

Tanpa Nama berkata...

budak balqis ni selamba betul orangnya ye....

Tanpa Nama berkata...

best2.. x ssabar nak tunggu part seterusnya!...

Tanpa Nama berkata...

memang best n3 kali ni...
sambung la lagi...
go balkis... watak balkis lagi best dari irdina

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Untuk pengetahuan semua,
Buku Ini akan diolah sedikit untuk menjadikannya versi komedi romantik dan akan menjadi buku ketiga saya untuk Buku Prima...insyaAllah.