Pengikut

Khamis, 28 Februari 2013

KIES 9 - Cinta Selamanya ( Bab 1 )



“Tengku Kiesha Khalila, tolong beri kerjasama. Pakai baju ni untuk keselamatan,” arah Inspektor Azni dengan tegas. Apabila dia menyebut nama penuhku, bermakna dia serius.
Mahu tak mahu, aku terpaksa menyambut hulurannya. Lambat-lambat aku mengenakan vest kalis peluru itu setelah menanggalkan blausku. Inspektor Azni menolong aku mengenakan butang pada vest. Aku menyarung kembali blaus ke badanku. Inspektor Azni tersenyum sekilas.
Setelah pasukannya bersedia, Inspektor Azni mengarahkan aku memasuki Alphard berwarna putih. Aku patuh tanpa banyak soal. Aku tahu tugas mereka melindungi nyawaku. Terasa begitu penting diriku saat ini. Kawalan keselamatan terhadapku dipertingkatkan dan aku sebenarnya sedang dipindahkan ke suatu tempat rahsia.
“Azni, saya nak call pak cik saya sebentar. Saya nak maklumkan yang saya selamat,” pintaku setelah beberapa ketika.
“Baiklah. Tapi sekejap aje. Jangan dedahkan destinasi kita, bimbang ada orang yang terdengar nanti,” arah Inspektor Azni.
Aku mengangguk tanda faham. Sejak semalam aku tidak dibenarkan menghubungi sesiapa pun. Bila aku tanya, kata Inspektor Azni dia perlu memastikan keadaan terkawal dan aku berada dalam keadaan selamat.
Tengku Badrul Zaman atau Ayah Bad adalah bapa saudaraku yang paling aku percayai. Dia begitu mengambil berat akan diriku dan dia jugalah yang syorkan kawalan keselamatan untukku. Aku mendail nombor Ayah Bad dan dia segera menjawab panggilanku.
“Syukurlah Sha selamat. Ayah Bad bimbang sangat sebab tak dapat hubungi Sha. Sha ada di mana sekarang?” tanya Tengku Badrul Zaman dengan suara yang gembira.
“Ayah Bad jangan risau. Sha dalam perjalanan nak ke tempat perlindungan. Kami dah masuk ke lebuh raya. Tapi Sha tak boleh beritahu Ayah Bad tempatnya. Ini untuk keselamatan Sha juga.”
“Tak mengapalah Sha. Janji Sha selamat. Ayah Bad tak mahu kehilangan Sha pula.”
“Semasa ketiadaan Sha, Ayah Bad tolong tengokkan syarikat ayahanda.”
“Sha jangan bimbang. Ayah Bad akan jaga syarikat ayahanda Sha dengan baik. Nanti bila kes ni dah selesai, Sha ambil alihlah balik syarikat tu. Ayah Bad akan tunggu Sha.”
“Terima kasih, Ayah Bad. Sha hargai pertolongan ayah Bad. Jika tak ada ayah Bad, Sha tak tahu nak buat macam mana.”
“Dah kewajipan Ayah Bad. Sha satu-satunya anak arwah Kamarul. Jadi Sha adalah tanggungjawab Ayah Bad. Jaga diri baik-baik Sha. Nanti bila dah sampai Sha beritahu Ayah Bad.”
“Baiklah Ayah Bad. Sha minta diri dulu.”
“Eh, Sha. Riz kirim salam. Dia ada di sini. Dia pun risaukan Sha.”
“Oh, Riz pun ada. Ayah Bad cakap pada dia yang Sha tak apa-apa. Nanti Sha call dia bila lapang,” ujarku. Sempat mindaku melakar wajah kacak sepupuku, Tengku Budriz.
“Baiklah. Bye Sha.”
Bye.”
Aku memutuskan talian dan menyimpan kembali telefon di dalam beg sandangku. Mataku sempat melihat papan tanda yang menunjukkan kami sedang bergerak ke arah Utara. Aku lihat Inspektor Azni asyik bercakap di telefonnya manakala dua orang anggota polis lelaki sedang mengawasi jalan dan sesekali mengawasiku. Pemandu Alphard memandu dengan tenang. Aku menyandarkan tubuhku dan memejamkan mata untuk tidur.
Agak nyenyak tidurku hinggalah aku dikejutkan dengan tempikan kuat menyeru nama Inspektor Azni. Aku membuka mata dan terlihat sebuah kereta Toyota Unser sedang memintas. Beberapa das tembakan dilepaskan. Kereta kami diserang hendap. Jantungku bagaikan berhenti berdegup. Takut dan panik membuatkan aku terkaku.
Inspektor Azni segera menarikku agar meniarap. Badannya dijadikan perisai melindungi tubuhku. Kereta yang kami naiki hilangkawalan dan merempuh tembok. Hentaman yang kuat menyebabkan pemandu tersepit di tempat duduknya. Kepalanya terkulai. Darah membasahi wajahnya.
“Tengku! Tengku tak apa-apa ke?” tanya Inspektor Azni, cemas. Dia segera memeriksa tubuhku.
“Saya okey.”
“Tengku, saya akan lindungi Tengku. Harap Tengku jangan bangun dan terus meniarap,” bisiknya. Matanya tajam mengawasi keadaan di luar.
Dua orang polis lelaki yang berada bersama kami, berbalas tembakan dengan penyerang. Aku hanya memejamkan mata. Takut mendengar bunyi tembakan yang kuat. Jantungku terasa bagaikan hendak luruh. Tidak tahu apa yang perlu aku lakukan.
“Puan! Kita terkepung puan,” adu salah seorang polis lelaki.
“Terus bertahan. Saya dah minta bantuan,” arah Inspektor Azni sambil melepaskan tembakan.
Aku tidak tahu bila masanya dia meminta bantuan. Mungkin aku terlalu takut hingga tidak mendengar apa-apa kecuali bunyi tembakan sahaja. Menggeletar tubuhku tiap kali bunyi tembakan mengenai dinding kereta. Kepada siapa harusku gantung pengharapan agar nyawaku tidak berakhir di sini?  Adakah kepada ALLAH sedangkan aku tidak pernah sujud kepada-Nya? Tanpa sedar mulutku menyebut nama ILAHI.
Ya ALLAH! Selamatkanlah diriku, ya ALLAH. Doaku dalam hati. Doa orang berdosa.
Keadaan menjadi semakin genting apabila kedua-dua polis lelaki tersebut tumpas dalam drama tembak menembak itu. Bunyi derap kaki semakin jelas menghampiri kami.
“Azni, saya takut.” Air mata berlinangan. Terasa nyawaku di hujung tanduk.
“Saya akan lindungi Tengku. Jangan bangun,” arah Inspektor Azni.
 Tangannya pantas memasukkan peluru ke pistol. Dia memanggungkan kepala dan melepaskan tembakan. Aku terus berdoa. Malu menerpa ke dasar hati. Selama ini aku tidak pernah mahu menyebut nama ALLAH. Aku begitu sombong dan riak dengan kekayaan ayahandaku yang merimpah ruah hingga aku lupa segalanya. Sedangkan itu adalah daripada ALLAH.
Aku sedar yang aku abaikan segalanya. Rukun Iman dan rukun Islam aku tolak ke tepi. Agamaku hanya tertera di kad pengenalan bukan di hati. Hidupku bergelumang dosa. Dalam keadaan mendesak ini, tahu pula aku mengingati ALLAH. Hati mengutuk diri sendiri.
Tembakan makin mendekat. Aku terasa pintu kereta di buka secara kasar dan serentak dengan itu aku merasakan tubuh Inspektor Azni menghempap belakangku. Aku menoleh sedikit dan terpandang wajahnya yang dipenuhi darah terkulai di atas kepalaku. Darahnya menitis mengenai pipiku. Aku ingin menjerit tetapi mulutku seakan terkunci. Aku tahu bila-bila masa sahaja ajalku akan tiba.
“Ya ALLAH, Ya ALLAH! Ampunkanlah segala dosaku. Berilah peluang untukku bertaubat kepada-MU. Aku janji akan berubah. Selamatkanlah diriku Ya ALLAH.”
Aku terus berdoa dan berjanji dengan getaran hebat di dada. Menggigil seluruh tubuhku. Seluruh urat nadiku seolah telah membeku. Kematian terbayang di mata. Ketakutan bermaharaja di jiwa.
Ya ALLAH, tolonglah, rayuku di dalam hati.
 “Cepat alihkan dia!” Terdengar suara memberi arahan.
Aku dapat rasakan tubuh Inspektor Azni sedang dialihkan. Air mataku makin laju membasahi pipi. Aku pasrah jika begini pengakhiran hidupku. Mataku pejam serapat-rapatnya. Bimbang jika aku membuka mata, aku akan melihat pistol yang akan menghancur lebur kepalaku. Makin kuat aku berdoa memohon keampunan ILAHI. Aku mendengar picu ditarik.
Hatiku mengucap kalimah syahadah berulang kali. Aku menunggu saat kepalaku bersepai. Tentu sakit dan azab kematianku. Malaikat Maut tentu merentap nyawaku dengan kasar sesuai dengan dosa-dosaku yang menggunung. Aku takut. Benar-benar takut. Terasa sia-sia hidupku selama ini. Segala apa yang aku banggakan tidak dapat membantuku kini. Adakah ALLAH akan mengampunkan segala dosaku? Taubatku di hujung nyawa, adakah diterima ALLAH?
Ya ALLAH! Jika ini pengakhiran hidupku, ampunkanlah dosaku ya ALLAH. ALLAH... ALLAH... ALLAH, bisik hatiku pasrah. Saat kematian mendekati, aku hanya mampu menyebut nama ILAHI.
Tembakan kuat bergema di hujung kepalaku. Jantungku seakan berhenti berfungsi. Suasana hening menyelubungi diri. Adakah aku telah mati? Mataku masih tertutup rapat. Telingaku menangkap suara mengerang kesakitan. Tiba-tiba, tubuhku terasa ditarik. Aku cuba melawan dan meronta walaupun aku tahu aku tak mungkin selamat.
 “Ku Sha! Berhenti meronta. Saya kawan Azni,” ujar lelaki yang menarikku, memperkenalkan diri.
Aku segera memeluknya, erat. Sangat erat sebenarnya kerana aku dapat mendengar degupan jantungnya. Terasa kehadirannya amat bererti saat aku di ambang maut. Seolah dia ‘malaikat penyelamat’ aku. Pelukanku dileraikannya. Mukanya tampak sedikit terkejut dengan perbuatanku.
“Kita perlu beredar segera dari sini,” tegas lelaki itu sambil menyelitkan pistol semi automatik ke pinggangnya.
Aku hanya mengangguk, tetapi mataku tetap terpaku melihat raut wajahnya yang ditumbuhi jambang meliar.
Selekeh, bisik hatiku. Ah! Sempat lagi aku menilai dirinya di saat genting begini.
 Dia segera membuka jaketnya dan memakaikan jaket kulit tersebut ke tubuhku. Aku seperti terpukau membiarkan perlakuannya itu. Mataku melekat ke bola matanya yang bagaikan helang. Pandangannya tajam dan mengerunkan. Zip jaket ditarik hingga hujung daguku.
Aku tersentak. Nafasku terasa sesak. Terasa hembusan nafasnya menyapa mukaku. Dia mencapai beg sandangku lalu disangkutkan ke tubuhku. Aku sedikit terkejut. Tanganku ditarik pantas ke motorsikal berkuasa tinggi Kawasaki ER-6f. Aku terpaksa berlari anak mengikut langkahnya yang panjang.
“Apa nama awak?” tanyaku sambil berlari.
“Is.”
“Is? Is apa? Ismail? Isma Daniel? Ishak? Iskandar?” tanyaku bertalu-talu.
Tanpa mahu menjawab soalanku dia mencapai topi keleder jenis bertutup penuh lalu disarungkan ke kepalaku. Aku terdiam ketika tangannya pantas mengenakan tali pengikat. Terpaku mataku melihat aksinya yang kelihatan ala-ala hero pujaanku Bruce Willis dalam filem Die Hard 4.0. Pantas dan cekap setiap gerakannya. Penuh dengan sifat kelakian. Mulutku hampir terlopong. Mengagumi seketika lelaki Melayu itu.
 “Naik cepat!”
Arahan kerasnya mengejutkanku. Segera aku duduk di belakangnya. Tanpa sempat aku membetulkan dudukku, dia memecut laju membelah kegelapan malam. Sempat mataku melihat mayat yang bergelimpangan bermandikan darah. Ngeri terasa. Badan kurapatkan ke bahagian belakang Is serapatnya apabila terasa tubuhku tidak stabil. Tanganku memeluk tubuhnya, kemas. Aku mudah mabuk bila melihat darah. Lebih-lebih lagi bau hanyir darah Inspektor Azni masih terlekat di mukaku.
“Hey! Jangan rapat sangat,” jerit Is kepadaku.
 Dia terpaksa menjerit bagi mengatasi bunyi deruman enjin motorsikal tersebut. Aku mengangkat pelindung muka plastik pada topi keleder.
 “Saya rasa peninglah. Bukannya nak menggatal,” tempikku geram.
Tolonglah! Setakat muka serabut macam mawas aku tak hinginlah, bisik hatiku dengan sombong.
“Kenapa?” jeritnya lagi.
“Mabuk darah!”
“Okey, Kau boleh peluk tapi jangan rapatkan badan kau.”
Huh! Jika tak terpaksa, aku tak ingin peluk kau. You are not my type. Serabut dan berbau, kutuk hatiku.
Dalam aku mengutuk, tanganku tetap memeluk erat tubuhnya. Cuma badan aku tidak dirapatkan seperti tadi. Terasa ketul-ketulan ototnya yang hanya dibaluti baju T putih. Aku amati baju T itu.
Ah! baju T murah? Tak ada class langsung, cemuh hatiku. Aku terfikir kemudian, jaket yang aku pakai ni jaket dia. Tentu busuk dan berbau dah badan aku dengan peluh dia. Eee... bencinya! Tapi nak buat macam mana? Nak aku tanggalkan nanti terjatuh pula aku dari motorsikal. Lepas ni kalau berhenti, aku tak mahu dah pakai jaket dia. Lagi satu, kenapa baju dia basah? Peluh ke? Tapi agak melekit.
Aku paut tubuhnya dengan sebelah tangan dan sebelah tangan lagi aku bawa ke hidungku. Aku ingin memastikan rasa melekit yang ku pegang adalah peluh atau darah. Manalah tahu dia terluka ketika menyelamatkan aku. Aku mencium bau tersebut.
Hamis! Dia berdarah? Berkali-kali aku mengesat-ngesat tanganku di belakang bajunya.
“Hoi! Kau buat apa?” tempiknya lalu memperlahankan kelajuan motorsikalnya.
Aku terkejut dan menghentikan perbuatanku serta merta.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jalan cerita yang saspens,,,
tetapi ceritanya macam agak meleret,,
kalau boleh intronya terangkan pasal latar belakang perempuan itu dulu k,,,msih saspen,,siapa hero dlam cerita ini,,,maaf kalu komen saya menguris perasaan anda,,,tetapi ok lah jlan crita dia,,tapi saya lbih suka cerita2 romantik,,

Nik Ainaa berkata...

saya baca cerita ni dlm http://ilham.karangkraf.com/ dan best sangat! memng sy tertunggu2 cerita ni. mula2 start memng tertanya2 hubungan Ku Sha dgn Iskandar. bt sy lebih tak sbr mennti ep seterusnya :)

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Tanpa Nama.
Terima kasih atas komen. Komen anda amat dihargai. Masing2 ada pendapat. Mungkin teknik yang saya guna agak lari daripada kebiasaan penulis lain. Anda perlu baca bab seterusnya untuk mengenal watak. Cerita ni pun romantik cuma ada kelainannya.

Nik Ainaa.
Terima kasih kerana sudi membaca di ilham. Di sana dah saya upload banyak bab. MUngkin akan diupload lagi selepas ini. Terus kan mengikuti kisah ini. InsyaAllah jika tiada aral, buku ini akan jadi buku kedua diterbitkan oleh Buku Prima.

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.