Keesokan
harinya, Balkis datang ke rumah itu lebih awal seperti yang disuruh Irdina.
Ihsan sekeluarga turut pulang bersama-sama dan mereka bertolak selepas Zohor.
Perjalanan mereka agak perlahan ketika melalui jalan yang masih bergenang
dengan air. Tetapi setelah memasuki lebuhraya, perjalanan menjadi lancar.
Mereka berhenti di R & R Bukit Merah untuk berehat seketika.
“Balkis,
esok kau masuk kerja ke?” tanya Irdina ketika mereka sedang berdiri di hadapan
cermin di bilik air wanita.
“Ya.
Kenapa?” tanya Balkis sambil membasuh tangannya.
“Aku
dah beritahu bos aku nak berhenti. Kau tolong beri surat perletakkan jawatan
aku pada dia,” kata Irdina sambil membetulkan tudungnya.
“Boleh
aku pinjam kereta Kak Irdina dulu sebelum aku dapat cari kenderaan sendiri?”
“Kau
gunalah dulu dan bilik aku pun kau boleh duduk. Ambillah katil dan tilam tu
sekali.”
“Sofa,
televisyen dan peti ais tu nak kira macam mana?” tanya Balkis sambil mengekori
langkah Irdina keluar dari situ.
“Kau
sambung bayar sajalah. Tak banyak pun sebab aku dah bayar separuh harganya.”
“Nampak
gayanya aku dapat barang second hand
Kak Irdina lagi. Seluar jeans pun dah dapat dan kalau ada pakaian yang Abang
Razif reject lagi, bagi pada aku.
Cuma aku harap tak berkahwin dengan bekas kekasih Kak Irdina. Jika tidak, suami
aku pun kategori second hand,” kata
Balkis sambil ketawa.
“Ada-ada
saja kau ni,” kata Irdina turut ketawa.
Mereka
duduk di sebuah meja di mana Razif dan keluarga Ihsan sedang menunggu.
“Abang
dah ambilkan nasi ayam ni untuk sayang. Balkis kena cari sendiri sebab abang
tak tahu apa yang Balkis hendak,” kata Razif kepada mereka berdua.
“Tak
mengapa. Balkis boleh cari sendiri,” kata Balkis.
“Aku
ikut,” kata Irdina.
“Tak
payah! Duduk di sini.” Razif melarang dan mengarah.
“Tapi,
Irdina nak beli kerepek dan kacang.”
“Makan
dulu, nanti kita beli.”
Irdina
duduk dengan wajah yang kelat. Balkis hanya tersenyum dan berlalu dari situ.
Irdina hanya memerhati nasi di hadapannya.
“Makanlah
nanti sejuk pula,” kata Razif.
Irdina
makan tanpa kata. Matanya memandang ke arah anak-anak saudaranya yang berada di
meja bersebelahan. Hatinya agak terhibur dengan gelagat mereka yang riang
ketika makan.
“Sayang
dah beritahu Balkis tentang surat perletakkan jawatan tu?”
Irdina
menganggukkan kepalanya.
“Apa
dia kata?”
“Okey.”
“Itu
saja? Tak ada yang lain?” tanya Razif ingin tahu apa yang dibualkan oleh
isterinya hingga menyebabkan mereka lama di bilik air.
“Dia
nak pinjam kereta sebelum dapat beli yang baru,” jawab Irdina.
“Beri
sajalah kereta tu pada dia. Sayang tak perlukan kereta tu lagi,” kata-kata
Razif mengejutkan Irdina.
“Irdina
sayangkan kereta tu. Mana boleh bagi begitu saja,” bantah Irdina.
“Kalau
tak mahu beri saja, minta dia bayar sedikit demi sedikit.”
“Tapi
dia kena bayar duit sofa, peti ais dan televisyen yang Irdina tinggalkan.
Kesian dia kalau terpaksa bayar macam-macam. Gaji dia pun tak besar sangat.”
“Kalau
begitu beri saja kereta tu sebagai hadiah untuk dia,” kata Razif bersahaja.
“Nanti
kalau Irdina nak guna kereta, nak bawa kereta mana?”
“Abang
tak izinkan Irdina memandu. Kalau nak ke mana-mana biar abang yang hantar.”
Irdina
terasa amat kecewa kerana sedikit demi sedikit Razif mengikatnya dengan
pelbagai larangan. Hatinya menangis pilu. Terasa ada titis air yang ingin
keluar dari kelopak matanya. Sedaya mungkin dia menahannya tetapi air tersebut
tetap menitis. Cepat-cepat tangannya mengambil tisu lalu mengelapnya.
“Kenapa?”
tanya Razif.
“Pedas
tergigit cili,” Irdina memberi alasan sambil menghapuskan air matanya.
Razif
hanya memerhati dan kemudiannya memberikan air untuk Irdina.
“Minumlah,
mungkin boleh hilang pedas.”
Irdina
meminumnya dan berharap abang dan kakak iparnya tidak akan tahu keadaan
sebenar. Balkis datang semula dan duduk di hadapan Irdina.
“Kenapa
Kak Irdina menangis?” tanya Balkis hairan.
“Tergigit
cili,” kata Razif.
Balkis
hanya memerhati wajah Irdina dan dia tahu Irdina menangis bukan kerana tergigit
cili. Balkis menikmati makanannya sambil matanya memerhati ke arah parkir
kereta.
“Kak
Irdina, cuba tengok mereka tu. Agak-agaknya mereka tu dah lama kahwin atau baru
berkahwin?” tanya Balkis sambil menunjuk ke arah suami isteri yang sedang
berjalan dari arah parkir.
“Manalah
aku tahu. Aku bukan ahli nujum,” kata Irdina.
“Aku
rasa dah lama kahwin.”
“Mana
kau tahu?”
“Cuba
tengok tu. Suami dia jalan jauh di hadapan dan biar isteri dia yang mengendong
anak di belakang.”
“Dah
ada anak tentu dah lama kahwin,” komen Irdina.
“Tapi
kalau nak tahu lama mana usia perkahwinan seseorang tu, tengok jarak antara
mereka bila berjalan. Makin jauh suami ke hadapan bermakna makin lamalah usia
perkahwinan mereka. Rasanya mereka ni dalam empat atau lima tahun berkahwin.”
Balkis berkata dengan yakin.
“Pandailah
kau,” kata Irdina sambil ketawa. Hilang rasa sedih seketika.
“Memanglah
aku pandai. Cuba kau tengok pasangan tu pula.” Balkis menunjukkan sepasang
suami isteri yang berjalan berpegangan tangan.
“Yang
tu mungkin baru kahwin,” kata Irdina.
Razif
mendengar perbualan mereka dengan penuh minat. Dia seronok mendengar pandangan
Balkis yang begitu menarik.
“Betul.
Tapi rasanya dah beberapa bulan sebab tu pegang tangan pun hujung jari dan ada
jarak antara mereka,” kata Balkis.
Razif
hanya tersenyum mendengar pendapat Balkis.
“Kalau
yang tu,” tanya Razif sambil menunjuk ke arah lelaki dan perempuan yang
berjalan sambil berpelukan pinggang.
“Itu
baru kahwin macam Abang Razif dan Kak Irdina. Sebab tu tak boleh berenggang.
Kalau boleh masuk tandas pun nak bersama-sama,” kata Balkis membuatkan Razif
ketawa gelihati.
“Balkis
ni boleh jadi ahli psikologi,” kata Razif dalam tawanya.
“Tapi
yang tu mesti kau tak boleh agak. Cuba tengok sana,” kata Irdina sambil
menunjukkan arah lelaki dan perempuan yang duduk di atas motorsikal.
“Yang
tu mungkin belum kahwin. Sebab tu nampak takut-takut dan nak sorok muka,” kata
Balkis sambil ketawa.
“Ada-ada saja kau ni,” kata Irdina dalam tawanya.
Balkis
menyambung makannya sambil diperhatikan oleh Irdina. Mereka berbual ringan
dan setelah beberapa ketika mereka meneruskan perjalanan. Mereka berpisah ketika
Ihsan mengambil jalan pulang ke rumahnya di Cheras manakala Razif meneruskan
perjalanan ke Kajang.
Mereka
tiba di rumah Razif ketika hampir jam 10.00 malam. Balkis terus balik ke
rumahnya setelah mengucapkan terima kasih. Mak Cik Sopiah dan Rosnah menyambut
kepulangan Razif dan Irdina dengan gembira. Mereka telah pulang terlebih dahulu
dengan bas setelah Razif tidak dapat pulang seperti yang dijanjikan.
“Syukurlah
kamu berdua dah selamat sampai. Bimbang hati mak bila mengetahui kamu berdua
terperangkap dengan banjir,” kata Mak Cik Sopiah sambil mengiringi mereka
masuk.
“Ya,
mak. Razif pun tak sangka banjir besar berlaku. Tapi syukur sebab semuanya selamat.”
Razif duduk di sofa melepaskan lelah.
“Rosnah,
tolong bawa beg Kak Irdina dan abang ke atas,” perintah Mak Cik Sopiah.
“Tak
payah bawa naiklah Ros. Kebanyakannya pakaian tak berbasuh. Tolong letak di
bilik mendobi,” kata Razif.
Rosnah
menuruti suruhan abangnya dan membawa beg-beg tersebut ke bilik mendobi
bersebelahan dapur.
“Abang,
Irdina nak balik ke rumah Irdina sekejap.”
“Rumah
Irdina di sini,” kata Razif.
“Maksud
Irdina, rumah Balkis. Nak ambil baju.”
“Mari
abang temankan.” Razif bangun lalu memegang tangan Irdina.
Irdina
terpaksa membiarkan Razif mengikutinya. Mak Cik Sopiah hanya melihat mereka
keluar dengan senyuman. Razif memeluk pinggang Irdina ketika berjalan.
“Perlukah
kita menunjuk-nunjuk pada orang lain?” tanya Irdina.
“Apa
maksud sayang?”
“Jalan
begini.”
“Perlu!
Supaya orang tahu kita dah kahwin,” kata Razif sambil tersenyum. Dia teringat
kata-kata Balkis sewaktu di R & R tadi.
“Ramai
yang dah tahukan?” tanya Irdina.
“Tak
semua,” jawab Razif sambil membuka pintu pagar di rumah Balkis.
“Abang
tunggu di gazebo boleh tak? Biar Irdina ambil sedikit dahulu baju, nanti bila
lapang Irdina datang ambil lagi.”
Razif
membiarkan Irdina masuk dan dia menunggu di gazebo. Mata Razif dapat melihat
Rahimah, isteri jiran yang tinggal berhadapan rumah itu baru pulang. Dia
dihantar oleh seorang lelaki yang tidak dikenali oleh Razif. Razif dapat
melihat kemesraan lelaki tersebut dengan Rahimah.
‘Siapa
lelaki tu? Berani hantar Kak Rahimah hingga ke rumah,’ bisik hati Razif. Razif
tahu bahawa suami Rahimah, Rohim kerap bertugas di luar kawasan. Sering kali
bila Rohim tiada di rumah, pasti ada lelaki yang akan menghantar isterinya
pulang. Hal ini telah diketahui oleh Razif yang kerap melihat keadaan begitu
ketika dia berada di balkoni biliknya setelah pulang dari klinik.
“Inilah
susahnya jika isteri bekerja dan bebas bergaul dengan lelaki lain. Aku akan
pastikan Irdina tidak bersikap begitu. Tiada lelaki lain yang boleh berkawan
dengan dia lagi,” azam Razif.
Beberapa
ketika kemudian, Irdina keluar dengan sebuah beg pakaian. Razif segera
mengambil beg tersebut lalu membawanya. Mereka berjalan beriringan baik ke
rumah. Razif mengajak Irdina masuk dan duduk di meja makan. Mak Cik Sopiah
telah menyediakan minuman ringan untuk mereka.
“Minumlah
dulu. Nanti pergilah berehat. Mak tengok letih benar kamu berdua,” kata Mak Cik
Sopiah.
“Ya,
mak. Lama Razif memandu, rasa macam nak kejang kaki.”
“Irdina
nak pandu tak nak beri. Kalau tak, tak letihlah sangat,” kata Irdina selepas
menyisip airnya.
“Oh,
tidak! Abang tak akan bagi sayang pandu lagi.”
“Abang
percayalah, Irdina boleh bawa dengan hati-hati.”
Razif
menggelengkan kepalanya. “Serik dah!” kata Razif.
“Tapi…”
“No!” kata Razif tegas.
Irdina
terkulat-kulat memandang Razif.
“Dah!
Mari naik ke atas,” kata Razif lalu memegang tangan Irdina.
“Cawan
tak kemas lagi.” Irdina mencari alasan.
“Tak
apa, biar mak kemaskan. Irdina naiklah berehat,” kata Mak Cik Sopiah sambil
tersenyum.
Irdina
mengikut langkah Razif menuju ke bilik Razif. Beg pakaian Irdina diletakkan di
tepi almari oleh Razif. Irdina memandang sekeliling bilik yang agak luas dengan
hiasan yang sederhana. Bilik tersebut mempunyai kombinasi warna putih, hitam dan
kelabu, warna kegemaran Razif.
“Sayang… kalau nak mandi pergilah,” kata Razif
sambil membuka bajunya.
Irdina
mengeluarkan baju dan kain tuala dari beg pakaiannya. Dia teringatkan pakaian
dalam dan bahan penjagaan dirinya yang masih ada di dalam beg yang ditinggalkan
di bilik mendobi.
“Abang,
Irdina nak turun sekejap. Nak ambil barang dalam beg baju di bawah.”
“Barang
apa? Biar abang yang ambilkan.”
“Tak
mengapalah. Irdina boleh ambil sendiri,” kata Irdina agak malu.
“Biar
abang ambil. Cepat beritahu, barang apa.”
“Er…
panties, bra dan toiletries. Ada dalam beg, bahagian paling atas. Irdina dah
asingkan.”
“Okey.
Sayang mandi dulu, abang turun ambil.” Kata Razif bersahaja.
Razif
keluar dari bilik tersebut meninggalkan Irdina keseorangan. Irdina membuka
pakaiannya dan memakai tuala lantas masuk ke bilik air. Dia melihat di atas rak
tersusun rapi bahan penjagaan diri kepunyaan Razif.
“Amboi!
Bersih dan tersusun barang-barang dia.” Irdina membuka air di tab mandi dan
menunggu seketika. Dia memasukkan tangannya bagi merasa suhu air tersebut.
Suam-suam kuku.
“Sayang!
Abang dah ambil barang sayang.” Razif mengetuk pintu bilik air.
Irdina
membuka sedikit pintu dan menjengulkan kepalanya. “Abang, tolong ambilkan beg toiletries Irdina sekejap.”
Razif
mengambil beg tersebut dan terus memasuki bilik air. Irdina terkejut dengan
tindakan Razif.
“Kenapa
masuk?” tanya Irdina, gugup.
“Nak
tolong gosokkan daki di belakang sayang.”
“Mana
ada?”
“Ada.
Dah berapa hari sayang tak mandi masa di penempatan banjir hari tu. Sebab tu
banyak daki,” kata Razif sambil tersenyum simpul.
Berkerut-kerut
dahi Irdina memikirkannya.
‘Bukankah aku dah mandi dan gosok semua daki kelmarin?
Rasanya tak ada daki pun.’
Matanya bulat bila melihat senyuman Razif yang memanjang.
5 ulasan:
tggu lha irdina akan dicntrolll,,msukkkan bab seterusnya,,nk thu ap terjadii slpas ini
Boleh tahan gatal juga si Razif ni ea! huh..sabar je lh Irdina kerana control dengan Razif.. sampai bila boleh bertahan..? ~,~
cepat sambung ye...ape akan jadi selepas ini...
ni bukan sayang namanya.dah terlalu obsess.mati kutulah irdina .... semuanya tak boleh
Tanpa nama 1,2,3,4.
Dapat rasakan cengkaman King Control? hihihi...
memang boleh mati kutu kalau dpt suami begini ^_^
Catat Ulasan