Pengikut

Ahad, 10 Februari 2013

Abang King Control Ke? - Bab 20



Irdina mendongak memerhatikan bulan yang mengambang. Dia dapat mendengar suara tangisan kanak-kanak di beberapa buah bilik yang gelap tanpa cahaya lilin. Lilin tidak dibekalkan menyebabkan mereka duduk di dalam gelap. Irdina berdiri di koridor dan memandang ke sekeliling. Kedudukan empat blok bangunan yang bersambungan seolah-olah membentuk segi empat sama.
“Kenapa duduk seorang diri di sini?” tegur Razif yang baru keluar dari bilik itu untuk mencari Irdina.
Irdina agak terkejut tetapi dia berjaya mengawalnya. “Tak boleh tidur.”
“Abang pun tak boleh tidur jika sayang tiada di sisi.”
“Tak boleh tidur konon! Yang berdengkur tu siapa?” kata Irdina sambil mencebikkan bibirnya.
“Mana abang tidur berdengkur? Abang Ihsan dan abah yang berdengkur,” kata Razif sambil ketawa kecil.
“Orang yang dah tidur mana nak dengar dengkuran sendiri.”
Razif tersenyum sendiri. Tangannya memeluk pinggang Irdina dan mencium pipi isterinya. Irdina hanya membiarkan tanpa kata. Apabila dia merasakan tangan Razif mulai merayap ke bahagian yang lain, Irdina segera menghalang.
“Abang, kita di tempat awam. Jaga kelakuan.”
“Apa salahnya? Irdina isteri abang. Ikut suka abanglah nak pegang di mana.”
“Tapi, di dalam bilik tu ada orang lain. Malah sekeliling kita pun ramai lagi. Adab sopan kena jaga walaupun kita sah untuk lakukannya.”
“Di sini gelap, orang tak boleh nampak.” Kata Razif sambil tangannya merayap lagi. Dia terasa asyik untuk membelai tubuh isterinya. Meremang bulu roma Irdina. Tidak selesa diperlakukan sebegitu di tempat terbuka.
“Janganlah. Nanti orang nampak,” kata Irdina agak cemas. Tangan Razif dipegangnya.
Tiba-tiba pintu bilik itu di buka dari dalam. Keluar dua orang jururawat pelatih untuk ke tandas. Mereka tersipu-sipu apabila melihat Razif memeluk erat tubuh Irdina. Segera Razif merungkaikan pelukannya.
“Itulah abang. Irdina dah kata.”
“Okey… abang minta maaf. Marilah kita tidur.”
“Abang masuklah dulu. Irdina nak duduk di sini lagi.”
“Kalau begitu, abang temankan sayang.”
Irdina mengeluh di dalam hati. Dia akhirnya mengajak Razif untuk masuk semula ke bilik tersebut. Razif mendepakan lengannya agar Irdina dapat tidur dengan lebih selesa.
“Sayang, tidurlah atas lengan abang.”
Irdina merebahkan kepalanya di lengan Razif. Razif membelai rambut Irdina perlahan-lahan sehingga Irdina melelapkan matanya. Agak nyenyak lena Irdina sehinggakan sesekali Razif berdengkur, dia tidak terjaga.
Pagi itu Irdina terbangun setelah dikejutkan oleh Razif untuk menunaikan solat. Mereka bergegas ke tandas dan membersihkan diri. Setelah mengambil wuduk, Irdina terperasan aliran air makin kecil dan akhirnya hanya menitis. Irdina mengikuti Razif untuk ke surau. Mereka solat berjemaah bersama-sama penghuni yang lain. Seusai bersolat Irdina melangkah keluar dan mendapati Razif menunggunya di tepi koridor.
“Sayang, di mana lagi ada air?”
“Kenapa?” tanya Irdina, hairan.
“Abang rasa nak buang air besar tetapi bekalan air dah terputus.”
“Kita ambil air banjir sajalah.” Irdina memberi cadangan.
Razif menyetujuinya dan Irdina masuk ke bilik untuk menyimpan telekung. Irdina mengeluarkan barang-barang dari baldi lalu membawa baldi tersebut keluar. Mereka berjalan hingga ke kawasan air yang agak dalam lalu Razif mengambil air di situ. Dia membawa baldi tersebut balik ke sekolah. Irdina duduk di koridor sementara Razif masuk ke tandas.
“Abah nak ke mana?” tanya Irdina setelah terlihat bapanya keluar dari bilik.
“Aku nak tengok ayag bah. Kalau dah surut dalam rumah, bolehlah kita balik.” Kata Pak Cik Idris.
“Tadi kami pi ambik ayag. Nampak ayag di tengah jalan tu dalam lagi,” kata Irdina.
“Kalau lagu tu, lambat lagi la nak surut.” Kata Pak Idris lalu turun ke tingkat bawah.
Irdina membuka radio di telefonnya dan mendengar hebahan yang dibuat mengenai banjir.
‘Keadaan banjir di Perlis bertambah buruk apabila hampir keseluruhan bandar Kangar ditenggelami air hingga menyebabkan usaha menghantar bantuan kepada mangsa bertambah sukar apabila paras air naik melebihi dua meter.’ Itulah berita yang didengari oleh Irdina.
Irdina hanya mampu berdoa agar keadaan banjir akan pulih kembali. Razif menghampiri Irdina dan duduk di kerusi bersebelahan isterinya itu.
“Kenapa sayang? Nampak tak ceria saja.”
“Banjir makin buruk. Kerja Irdina di pejabat tentu bertambah bila kita balik nanti.”
“Sayang berhenti kerjalah. Duduk rumah temankan mak.”
“Tapi Irdina dah biasa kerja. Nanti bosan duduk saja di rumah. Lagi pun kalau berhenti mengejut, kena bayar pada Syarikat pula.”
“Itu sayang jangan risau. Berapa pun, abang akan bayar. Sayang pasti tak bosan duduk di rumah. Nanti sayang ikutlah mak ke pasar atau pergi membeli belah.”
“Tak mungkin hari-hari membeli belah,” Irdina cuba membantah.
“Sayang… dengar cakap abang. Sayang kena biasakan diri sebab abang nak sayang jaga mak dan rumah tangga kita. Abang tak mahu isteri abang bersusah payah bekerja hingga malam untuk orang lain. Nanti bila dah balik ke sana, hantar surat perletakan jawatan.” Razif membuat keputusan tanpa memikirkan perasaan Irdina.
Irdina tidak mampu berkata apa-apa ketika itu. Sebak rasa hatinya bila Razif menggunakan kuasanya tanpa mahu berbincang. Tiba-tiba telefon Razif berbunyi dan Razif menjawabnya. Panggilan dari Doktor Amran membuatkan Razif bangun dan bercakap sambil menjarakkan dirinya dari Irdina. Irdina hanya memandang Razif dengan pandangan yang kosong.
“Irdina, tolong pegangkan Aiman sekejap. Kak Wina nak ke tandas sekejap,” kata Wina sambil menyerahkan Aiman ke dukungan Irdina.
“Kak Wina kena ambil air di baldi tu sebab air dah tak ada di tandas.” Irdina menunjukkan baldi yang diletakkan oleh Razif.
Wina mengambil baldi tersebut dan masuk ke tandas. Irdina bermain-main dengan jari jemari Aiman yang berusia 6 bulan. Aiman ketawa apabila Irdina menciumnya bertalu-talu. Sesekali Irdina mengagah anak saudaranya. Aiman ketawa gembira.
“Sayang… bagi abang pegang pula.” Pinta Razif yang telah selesai berbual di telefon.
Irdina menyerahkan Aiman kepada Razif. Razif mengagah Aiman beberapa kali membuatkan Aiman ketawa mengekek. Razif leka bermain dengan Aiman ketika Wina datang semula. Irdina hanya melihat tanpa kata. Dia turut tersenyum melihat keletah Aiman.
“Pandai Razif jaga Aiman,” puji Wina.
“Saya memang sukakan baby. Boleh beri ketenangan jiwa,” kata Razif sambil menyerahkan Aiman kepada Wina.
“Irdina, dengar tu. Cepat-cepatlah dapat baby,” usik Wina sambil tersenyum.
Irdina tersenyum tawar. Hatinya mengerutu melihat Razif yang tersengih.
‘Tak kuasa!’ desis hatinya.
………………………………………………………………………………….

Hari itu bekalan makanan yang tiba agak banyak dan mereka dapat makan dengan secukupnya malah berlebihan pula. Aktiviti Irdina dan Razif tidak banyak berubah pada hari itu. Mereka akan tidur bila keletihan dan berbual bila bangun.
“Abang, Irdina nak turun ke bawah. Kalau abang mengantuk, abang tidurlah dulu.”
“Abang nak ikut. Takut nanti ada yang mengorat isteri abang kalau dibiarkan sendirian.”
Irdina mengeluh di dalam hati. Dia hanya membiarkan Razif mengekori langkahnya menuruni tangga. Mereka kemudiannya duduk di bangku batu berhadapan pagar sekolah. Suasana petang itu tetap meriah kerana ramai kanak-kanak dan remaja bermain-main di dalam air banjir. Ada yang mandi dan ada yang bermain bola tampar air. Sesekali Irdina ketawa melihat gelagat remaja yang bermain bola tampar tersebut. Hendak menyertainya memang tidak akan diizinkan oleh Razif.
“Sayang asyik benar tengok lelaki lain. Sepatutnya sayang tengok abang saja. Dapat pahala tau. Tengok lelaki lain, silap-silap dapat dosa.” Tegur Razif setelah mendapati Irdina tidak memperdulikan kehadirannya.
Irdina memusingkan mukanya menghadap Razif. Mata mereka bertaut buat seketika. Irdina melarikan pandangannya. Ada debar yang melanda hatinya tiap kali mata itu direnung. Razif tersenyum. Dia meraih tangan Irdina.
“Sayang, abang nak tahu perasaan sayang terhadap abang. Adakah sayang cintakan abang?”
Irdina tersenyum seketika. Dia tahu hatinya masih goyah dan cintanya pada Razif baru sahaja cuba disemai. Tetapi dia perlu meyakinkan Razif agar tidak meragui dirinya. Dia tahu Razif agak cemburu. Cemburu itu menunjukkan Razif cintakan dirinya. Oleh itu dia perlu mencintai Razif sebagaimana Razif mencintainya.
“Abang, Irdina cintakan abang sebaik sahaja abang menjadi suami Irdina. Tidak ada lelaki lain dalam hati Irdina selain abang.” Jawab Irdina penuh yakin.
“Terima kasih atas pengakuan sayang. Abang hargai cinta sayang terhadap abang. Tapi abang tak mahu ada lelaki lain yang ganggu isteri abang. Jadi, abang harap sayang akan kotakan janji sayang yang sayang pernah ucapkan. Sayang kata akan taat dan patuh pada suami kan?”
“Ya… Irdina memang akan patuh dan taat pada abang selagi apa yang abang suruh tidak bertentang dengan agama kita.” Irdina melihat wajah Razif yang kelihatan serius. Dia tahu pasti ada sesuatu yang akan diminta oleh Razif.
 “Bagus! Itu yang abang mahu dari sayang. Sekarang, beri abang lihat telefon sayang.”
Irdina menghulurkan telefonnya dan Razif melihat nama-nama kenalan Irdina. Setiap nama lelaki yang ada di dalam telefon itu akan ditanya oleh Razif. Jika nama itu bukan mempunyai pertalian keluarga, Razif akan memadamnya.
“Latif ni kah bekas boyfriend sayang?” Tanya Razif sambil menunjukkan nama dan nombor telefon Latif di skrin telefon Irdina.
Lambat-lambat Irdina mengangguk. Hatinya terasa sebal kerana Razif telah memadam hampir kesemua kenalan lelaki termasuk pelanggan syarikat tempat Irdina bekerja. Nombor lelaki yang tinggal kini hanyalah nombor telefon bapa, bapa saudara, abang dan adiknya sahaja. Nombor telefon sepupunya juga turut dipadam. Alasan Razif, sepupu juga boleh berkahwin.
“Sayang masih ingatkan dia?” Tanya Razif sambil tangannya memadam nombor telefon Latif.
“Irdina dah lama lupakan dia. Hari tu kebetulan saja Irdina terjumpa dia di hentian sebelah.” Jawab Irdina, takut-takut.
“Tapi kenapa ambil nombor telefon dia?”
“Err… tak sengaja. Masa tu cuma ingat dia kawan Irdina yang lama tak jumpa. Sekadar bertegur sapa. Tak ada niat lain.”
“Betul tak ada niat lain? Atau sayang nak sambung semula hubungan yang terputus?” soal Razif, masih meragui Irdina. Dia takut Irdina juga termasuk 39% perempuan yang curang kepada pasangannya.
“Abang… Irdina benar-benar dah lupakan dia. Tak terlintas langsung untuk sambung kembali hubungan kami. Dia dan Irdina tak mungkin bersatu. Perangai dia, Irdina tak suka. Kaki perempuan dan leka dengan hiburan dunia. Sebab tu kami berpisah dulu. Janganlah abang ragui diri Irdina sebab Irdina akan kotakan janji yang dibuat. Tak ada sesiapa selain abang buat Irdina.” Irdina menggenggam erat tangan Razif sambil matanya merenung tepat ke mata Razif. Dia bersungguh-sungguh untuk menyakinkan Razif.
“Baiklah. Abang percayakan sayang. Abang sebenarnya tak mahu terjadi seperti apa yang pernah Abang Razman lalui. Dulu bekas isteri dia curang di belakangnya. Menggedik saja tahunya. Pantang nampak lelaki kacak, mulalah nak mengendeng. Suami diabaikan. Mulut mengaku sayangkan suami tapi masa yang sama serah tubuh pada lelaki lain. Nasib baik abang Razman terjumpa telefon yang dia guna untuk hubungi lelaki lain. Pandai pula tu. Guna dua telefon secara sembunyi. Telefon tu dia sorok dan silentkan masa di rumah.” Razif diam sebentar dan memerhati wajah Irdina yang terpaku memandangnya. Mungkin terkejut mendengar cerita yang disampaikan oleh suaminya.
“Abang Razman terus ceraikan dia lepas jumpa telefon tu?” Tanya Irdina, tidak sabar untuk mengetahui pengakhiran cerita itu.
“Tak. Abang Razman tengok mesej-mesej yang ada di telefon tu. Semuanya berbaur lucah dan ada gambar Kak Hanis tanpa seurat benang. Gambar tu dah dikirim pada kekasih gelap dia. Abang Razman marah tapi dia tak bertindak melulu. Dia terfikir juga tentang anak-anak dia yang masih kecil. Dalam masa yang sama dia cuba siasat ke mana isteri dia selalu pergi. Lepas mengintip selama seminggu, dia tangkap mereka bersama-sama pegawai agama sewaktu mereka berada di bilik hotel. Masa tu, Kak Hanis dan lelaki tu berada dalam keadaan mengaibkan di atas katil. Abang Razman terus ceraikan Kak Hanis.”
“Oh! Kesiannya abang Razman. Tentu dia kecewa dan malu dengan perbuatan isteri dia. Memang patut pun mereka bercerai. Kalau Irdina jadi lelaki, Irdina pun tak nak isteri yang curang macam tu.” Komen Irdina penuh emosi.
Razif memerhatikan mimik muka Irdina. Dia ketawa kecil membayangkan kata-kata Irdina. “Sayang tak mungkin ada isteri sebab sayangkan perempuan. Lainlah sayang, serong. Suka sama jenis.”
Irdina menampar lengan Razif kerana geram. “Hish! Ke situ pula. Irdina hanya mengandaikan saja. Bukan betul-betul pun. Irdina sedarlah Irdina perempuan. Tapi Irdina normal, tau. Bukan serong.”
“Ya, abang tahu sayang tak serong. Tapi abang harap sayang tak curang. Jangan ada hubungan dengan lelaki lain.” Razif mengingatkan kembali.
“Insya Allah Irdina akan pegang pada janji dan akan setia pada abang selagi Irdina bergelar isteri abang. Janganlah abang bimbang. Irdina milik abang seorang. Edisi khas ni. Terhad untuk abang saja. Abang nak tak?” Irdina cuba bergurau bagi mengelakkan ketegangan. Bimbang juga hatinya jika Razif terus mempersoalkan kesetiaannya. Takut hilang kesabarannya yang dirasakannya hanya senipis kulit bawang. Berdosa jika berkasar dengan suami.
Razif ketawa sambil menarik hidung Irdina. “Mestilah abang nak. Barang bagus mestilah dijaga dengan baik. Abang akan letakkan sayang di mahligai abang tanpa dapat dipandang atau disentuh oleh lelaki lain. Sayang hanya untuk abang dan abang akan pertahankan selagi nyawa di kandung badan.”
Irdina tersenyum memandang Razif. Razif melihat kembali telefon Irdina. Setelah semua nama lelaki yang tidak berkenaan dibuang, Razif membuka folder gambar.
“Seksinya gambar ni. Siapa yang tolong ambil?” tanya Razif sambil melihat gambar Irdina.
“Balkis yang ambil semasa kami mengemas rumah lama. Bukankah abang pernah lihat gambar tu dulu?”
“Abang tak pernah lihat gambar sayang sebenarnya. Abang tahu haram hukumnya lihat aurat sayang sebelum sayang jadi isteri abang. Malah gambar sayang ni pun haram abang tengok sebab masa ni, sayang bukan isteri abang lagi.”
“Kenapa haram? Bukankah kita dah halal?” Tanya Irdina yang keliru dengan kenyataan tersebut.
“Sekarang tak pakai apa pun halal. Tapi gambar ni waktu sayang masih solo. Kita tak akad nikah lagi. Jadi gambar ni pun haram untuk abang tengok. Tapi dah tertengok, nak buat macam mana? Istighfar sajalah mohon keampunan Allah.” Jelas Razif sambil memadam gambar-gambar tersebut.
 Irdina hanya memerhati tanpa kata perbuatan Razif. Hatinya seperti disayat sembilu ketika Razif mengembalikan telefon tersebut kepadanya. Hak peribadinya telah diceroboh. Dia dapat merasakan dirinya tiada pilihan melainkan mengikut sahaja kehendak Razif.
“Marilah kita naik. Maghrib dah dekat nak masuk.” Ajak Razif.
Irdina bangun dan mengikut langkah Razif menuju ke bilik darjah yang diduduki mereka. Mereka solat berjemaah di surau seperti biasa. Malam itu, bekalan elektrik pulih kembali dan kawasan sekolah di terangi oleh cahaya lampu. Kanak-kanak berlarian dan bermain sehingga lewat malam.
Setelah menikmati makan malam, mereka duduk berbual ringan sebelum masuk tidur. Mereka dapat tidur dengan lebih selesa kerana kipas angin berfungsi semula. Aiman juga tidur dengan nyenyak dan tidak meragam lagi. Lampu bilik ditutup dan mereka hanya membiarkan lampu koridor terpasang. Jika terlalu cerah, mata sukar untuk dilelapkan.
“Sayang tidurlah di sini,” bisik Razif sambil mendepakan lengannya. Irdina tidur di atas lengan Razif.  Setelah dua malam tidur berbantalkan lengan Razif, Irdina merasakan hatinya seolah-olah cair dan dapat menerima diri Razif. Ada perasaan halus yang sukar dimengertikan mulai terasa di hatinya. Mereka berbual secara berbisik agar tidak mengganggu tidur yang lain.
“Bayan tak nak cerita apa-apa ke malam ni?” tanya Razif.
“Nak cerita apa?”
“Cerita tentang impian sayang.”
“Impian? Banyak, takut tak habis satu malam.”
“Cerita sedikit dulu, kalau tak habis boleh sambung lagi.”
“Impian Irdina ingin suami yang menghargai setiap pengorbanan yang dilakukan. Suami mesti tahu tugas dan tanggungjawabnya pada isteri dan anak. Kalau boleh Irdina nak suami yang boleh menjadi seorang sahabat mendengar semua masalah, boleh melindungi, menghiburkan hati, teman bercerita dan ketawa,” kata Irdina sambil memandang wajah Razif yang hanya beberapa inci dari wajahnya.
“Itu saja?”
“Banyak lagi. Tapi cukup tu dulu. Apa pula impian abang?”
“Abang bukan bayan yang pandai bercerita.”
“Cerita sedikit pun tak mengapa. Janji Irdina tahu impian abang.”
“Baiklah. Abang nak isteri abang menjadi isteri yang solehah, bertaqwa kepada Allah,
 menghargai dan melayan suami dengan sepenuh hati. Isteri mestilah tahu tanggungjawabnya, taat dan setia pada suami. 
Abang juga nak anak satu bas,” kata Razif sambil ketawa kecil.
“Yang lain tu boleh diusahakan tetapi bab anak satu bas, Irdina tak sanggup.”
“Abang bergurau saja,” kata Razif sambil memicit hidung Irdina.
“Aduh! sakitlah.” 
Razif hanya ketawa dan memeluk erat tubuh isterinya. Irdina tertidur di dalam senyuman. 

2 ulasan:

nani comel berkata...

ish ish , romantisnye pengentin bahru

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Musin orang kawin minggu ni. Memang eloklah. Tapi kalau kawin dlm banjir tentu lebih menarik pengalamannya.