Irdina mendongak
memerhatikan bulan yang mengambang. Dia dapat mendengar suara tangisan
kanak-kanak di beberapa buah bilik yang gelap tanpa cahaya lilin. Lilin tidak
dibekalkan menyebabkan mereka duduk di dalam gelap. Irdina berdiri di koridor
dan memandang ke sekeliling. Kedudukan empat blok bangunan yang bersambungan
seolah-olah membentuk segi empat sama.
“Kenapa
duduk seorang diri di sini?” tegur Razif yang baru keluar dari bilik itu untuk
mencari Irdina.
Irdina
agak terkejut tetapi dia berjaya mengawalnya. “Tak boleh tidur.”
“Abang
pun tak boleh tidur jika sayang tiada di sisi.”
“Tak
boleh tidur konon! Yang berdengkur tu siapa?” kata Irdina sambil mencebikkan
bibirnya.
“Mana
abang tidur berdengkur? Abang Ihsan dan abah yang berdengkur,” kata Razif
sambil ketawa kecil.
“Orang
yang dah tidur mana nak dengar dengkuran sendiri.”
Razif
tersenyum sendiri. Tangannya memeluk pinggang Irdina dan mencium pipi
isterinya. Irdina hanya membiarkan tanpa kata. Apabila dia merasakan tangan
Razif mulai merayap ke bahagian yang lain, Irdina segera menghalang.
“Abang,
kita di tempat awam. Jaga kelakuan.”
“Apa
salahnya? Irdina isteri abang. Ikut suka abanglah nak pegang di mana.”
“Tapi,
di dalam bilik tu ada orang lain. Malah sekeliling kita pun ramai lagi. Adab
sopan kena jaga walaupun kita sah untuk lakukannya.”
“Di
sini gelap, orang tak boleh nampak.” Kata Razif sambil tangannya merayap lagi. Dia
terasa asyik untuk membelai tubuh isterinya. Meremang bulu roma Irdina. Tidak
selesa diperlakukan sebegitu di tempat terbuka.
“Janganlah.
Nanti orang nampak,” kata Irdina agak cemas. Tangan Razif dipegangnya.
Tiba-tiba
pintu bilik itu di buka dari dalam. Keluar dua orang jururawat pelatih untuk ke
tandas. Mereka tersipu-sipu apabila melihat Razif memeluk erat tubuh Irdina.
Segera Razif merungkaikan pelukannya.
“Itulah
abang. Irdina dah kata.”
“Okey…
abang minta maaf. Marilah kita tidur.”
“Abang
masuklah dulu. Irdina nak duduk di sini lagi.”
“Kalau
begitu, abang temankan sayang.”
Irdina
mengeluh di dalam hati. Dia akhirnya mengajak Razif untuk masuk semula ke bilik
tersebut. Razif mendepakan lengannya agar Irdina dapat tidur dengan lebih
selesa.
“Sayang,
tidurlah atas lengan abang.”
Irdina
merebahkan kepalanya di lengan Razif. Razif membelai rambut Irdina
perlahan-lahan sehingga Irdina melelapkan matanya. Agak nyenyak lena Irdina
sehinggakan sesekali Razif berdengkur, dia tidak terjaga.
Pagi
itu Irdina terbangun setelah dikejutkan oleh Razif untuk menunaikan solat.
Mereka bergegas ke tandas dan membersihkan diri. Setelah mengambil wuduk,
Irdina terperasan aliran air makin kecil dan akhirnya hanya menitis. Irdina
mengikuti Razif untuk ke surau. Mereka solat berjemaah bersama-sama penghuni
yang lain. Seusai bersolat Irdina melangkah keluar dan mendapati Razif
menunggunya di tepi koridor.
“Sayang,
di mana lagi ada air?”
“Kenapa?”
tanya Irdina, hairan.
“Abang
rasa nak buang air besar tetapi bekalan air dah terputus.”
“Kita
ambil air banjir sajalah.” Irdina memberi cadangan.
Razif
menyetujuinya dan Irdina masuk ke bilik untuk menyimpan telekung. Irdina
mengeluarkan barang-barang dari baldi lalu membawa baldi tersebut keluar.
Mereka berjalan hingga ke kawasan air yang agak dalam lalu Razif mengambil air
di situ. Dia membawa baldi tersebut balik ke sekolah. Irdina duduk di koridor
sementara Razif masuk ke tandas.
“Abah
nak ke mana?” tanya Irdina setelah terlihat bapanya keluar dari bilik.
“Aku
nak tengok ayag bah. Kalau dah surut dalam rumah, bolehlah kita balik.” Kata Pak
Cik Idris.
“Tadi
kami pi ambik ayag. Nampak ayag di tengah jalan tu dalam lagi,” kata Irdina.
“Kalau
lagu tu, lambat lagi la nak surut.” Kata Pak Idris lalu turun ke tingkat bawah.
Irdina
membuka radio di telefonnya dan mendengar hebahan yang dibuat mengenai banjir.
‘Keadaan banjir di
Perlis bertambah buruk apabila hampir keseluruhan bandar Kangar ditenggelami
air hingga menyebabkan usaha menghantar bantuan kepada mangsa bertambah sukar
apabila paras air naik melebihi dua meter.’
Itulah berita yang didengari oleh Irdina.
Irdina
hanya mampu berdoa agar keadaan banjir akan pulih kembali. Razif menghampiri
Irdina dan duduk di kerusi bersebelahan isterinya itu.
“Kenapa
sayang? Nampak tak ceria saja.”
“Banjir
makin buruk. Kerja Irdina di pejabat tentu bertambah bila kita balik nanti.”
“Sayang
berhenti kerjalah. Duduk rumah temankan mak.”
“Tapi
Irdina dah biasa kerja. Nanti bosan duduk saja di rumah. Lagi pun kalau
berhenti mengejut, kena bayar pada Syarikat pula.”
“Itu
sayang jangan risau. Berapa pun, abang akan bayar. Sayang pasti tak bosan duduk
di rumah. Nanti sayang ikutlah mak ke pasar atau pergi membeli belah.”
“Tak
mungkin hari-hari membeli belah,” Irdina cuba membantah.
“Sayang…
dengar cakap abang. Sayang kena biasakan diri sebab abang nak sayang jaga mak
dan rumah tangga kita. Abang tak mahu isteri abang bersusah payah bekerja
hingga malam untuk orang lain. Nanti bila dah balik ke sana, hantar surat
perletakan jawatan.” Razif membuat keputusan tanpa memikirkan perasaan Irdina.
Irdina
tidak mampu berkata apa-apa ketika itu. Sebak rasa hatinya bila Razif
menggunakan kuasanya tanpa mahu berbincang. Tiba-tiba telefon Razif berbunyi
dan Razif menjawabnya. Panggilan dari Doktor Amran membuatkan Razif bangun dan
bercakap sambil menjarakkan dirinya dari Irdina. Irdina hanya memandang Razif
dengan pandangan yang kosong.
“Irdina,
tolong pegangkan Aiman sekejap. Kak Wina nak ke tandas sekejap,” kata Wina
sambil menyerahkan Aiman ke dukungan Irdina.
“Kak
Wina kena ambil air di baldi tu sebab air dah tak ada di tandas.” Irdina
menunjukkan baldi yang diletakkan oleh Razif.
Wina
mengambil baldi tersebut dan masuk ke tandas. Irdina bermain-main dengan jari
jemari Aiman yang berusia 6 bulan. Aiman ketawa apabila Irdina menciumnya
bertalu-talu. Sesekali Irdina mengagah anak saudaranya. Aiman ketawa gembira.
“Sayang…
bagi abang pegang pula.” Pinta Razif yang telah selesai berbual di telefon.
Irdina
menyerahkan Aiman kepada Razif. Razif mengagah Aiman beberapa kali membuatkan
Aiman ketawa mengekek. Razif leka bermain dengan Aiman ketika Wina datang
semula. Irdina hanya melihat tanpa kata. Dia turut tersenyum melihat keletah
Aiman.
“Pandai
Razif jaga Aiman,” puji Wina.
“Saya
memang sukakan baby. Boleh beri
ketenangan jiwa,” kata Razif sambil menyerahkan Aiman kepada Wina.
“Irdina,
dengar tu. Cepat-cepatlah dapat baby,”
usik Wina sambil tersenyum.
Irdina
tersenyum tawar. Hatinya mengerutu melihat Razif yang tersengih.
‘Tak
kuasa!’ desis hatinya.
………………………………………………………………………………….
Hari itu bekalan
makanan yang tiba agak banyak dan mereka dapat makan dengan secukupnya malah
berlebihan pula. Aktiviti Irdina dan Razif tidak banyak berubah pada hari itu.
Mereka akan tidur bila keletihan dan berbual bila bangun.
“Abang,
Irdina nak turun ke bawah. Kalau abang mengantuk, abang tidurlah dulu.”
“Abang
nak ikut. Takut nanti ada yang mengorat isteri abang kalau dibiarkan
sendirian.”
Irdina
mengeluh di dalam hati. Dia hanya membiarkan Razif mengekori langkahnya menuruni
tangga. Mereka kemudiannya duduk di bangku batu berhadapan pagar sekolah.
Suasana petang itu tetap meriah kerana ramai kanak-kanak dan remaja
bermain-main di dalam air banjir. Ada yang mandi dan ada yang bermain bola
tampar air. Sesekali Irdina ketawa melihat gelagat remaja yang bermain bola
tampar tersebut. Hendak menyertainya memang tidak akan diizinkan oleh Razif.
“Sayang
asyik benar tengok lelaki lain. Sepatutnya sayang tengok abang saja. Dapat
pahala tau. Tengok lelaki lain, silap-silap dapat dosa.” Tegur Razif setelah mendapati
Irdina tidak memperdulikan kehadirannya.
Irdina
memusingkan mukanya menghadap Razif. Mata mereka bertaut buat seketika. Irdina
melarikan pandangannya. Ada debar yang melanda hatinya tiap kali mata itu
direnung. Razif tersenyum. Dia meraih tangan Irdina.
“Sayang,
abang nak tahu perasaan sayang terhadap abang. Adakah sayang cintakan abang?”
Irdina
tersenyum seketika. Dia tahu hatinya masih goyah dan cintanya pada Razif baru
sahaja cuba disemai. Tetapi dia perlu meyakinkan Razif agar tidak meragui
dirinya. Dia tahu Razif agak cemburu. Cemburu itu menunjukkan Razif cintakan
dirinya. Oleh itu dia perlu mencintai Razif sebagaimana Razif mencintainya.
“Abang,
Irdina cintakan abang sebaik sahaja abang menjadi suami Irdina. Tidak ada
lelaki lain dalam hati Irdina selain abang.” Jawab Irdina penuh yakin.
“Terima
kasih atas pengakuan sayang. Abang hargai cinta sayang terhadap abang. Tapi
abang tak mahu ada lelaki lain yang ganggu isteri abang. Jadi, abang harap
sayang akan kotakan janji sayang yang sayang pernah ucapkan. Sayang kata akan
taat dan patuh pada suami kan?”
“Ya…
Irdina memang akan patuh dan taat pada abang selagi apa yang abang suruh tidak
bertentang dengan agama kita.” Irdina melihat wajah Razif yang kelihatan
serius. Dia tahu pasti ada sesuatu yang akan diminta oleh Razif.
“Bagus! Itu yang abang mahu dari sayang.
Sekarang, beri abang lihat telefon sayang.”
Irdina
menghulurkan telefonnya dan Razif melihat nama-nama kenalan Irdina. Setiap nama
lelaki yang ada di dalam telefon itu akan ditanya oleh Razif. Jika nama itu
bukan mempunyai pertalian keluarga, Razif akan memadamnya.
“Latif
ni kah bekas boyfriend sayang?” Tanya
Razif sambil menunjukkan nama dan nombor telefon Latif di skrin telefon Irdina.
Lambat-lambat
Irdina mengangguk. Hatinya terasa sebal kerana Razif telah memadam hampir
kesemua kenalan lelaki termasuk pelanggan syarikat tempat Irdina bekerja.
Nombor lelaki yang tinggal kini hanyalah nombor telefon bapa, bapa saudara, abang
dan adiknya sahaja. Nombor telefon sepupunya juga turut dipadam. Alasan Razif,
sepupu juga boleh berkahwin.
“Sayang
masih ingatkan dia?” Tanya Razif sambil tangannya memadam nombor telefon Latif.
“Irdina
dah lama lupakan dia. Hari tu kebetulan saja Irdina terjumpa dia di hentian
sebelah.” Jawab Irdina, takut-takut.
“Tapi
kenapa ambil nombor telefon dia?”
“Err…
tak sengaja. Masa tu cuma ingat dia kawan Irdina yang lama tak jumpa. Sekadar
bertegur sapa. Tak ada niat lain.”
“Betul
tak ada niat lain? Atau sayang nak sambung semula hubungan yang terputus?” soal
Razif, masih meragui Irdina. Dia takut Irdina juga termasuk 39% perempuan yang
curang kepada pasangannya.
“Abang…
Irdina benar-benar dah lupakan dia. Tak terlintas langsung untuk sambung
kembali hubungan kami. Dia dan Irdina tak mungkin bersatu. Perangai dia, Irdina
tak suka. Kaki perempuan dan leka dengan hiburan dunia. Sebab tu kami berpisah
dulu. Janganlah abang ragui diri Irdina sebab Irdina akan kotakan janji yang
dibuat. Tak ada sesiapa selain abang buat Irdina.” Irdina menggenggam erat
tangan Razif sambil matanya merenung tepat ke mata Razif. Dia
bersungguh-sungguh untuk menyakinkan Razif.
“Baiklah.
Abang percayakan sayang. Abang sebenarnya tak mahu terjadi seperti apa yang
pernah Abang Razman lalui. Dulu bekas isteri dia curang di belakangnya.
Menggedik saja tahunya. Pantang nampak lelaki kacak, mulalah nak mengendeng.
Suami diabaikan. Mulut mengaku sayangkan suami tapi masa yang sama serah tubuh
pada lelaki lain. Nasib baik abang Razman terjumpa telefon yang dia guna untuk
hubungi lelaki lain. Pandai pula tu. Guna dua telefon secara sembunyi. Telefon
tu dia sorok dan silentkan masa di
rumah.” Razif diam sebentar dan memerhati wajah Irdina yang terpaku
memandangnya. Mungkin terkejut mendengar cerita yang disampaikan oleh suaminya.
“Abang
Razman terus ceraikan dia lepas jumpa telefon tu?” Tanya Irdina, tidak sabar
untuk mengetahui pengakhiran cerita itu.
“Tak.
Abang Razman tengok mesej-mesej yang ada di telefon tu. Semuanya berbaur lucah
dan ada gambar Kak Hanis tanpa seurat benang. Gambar tu dah dikirim pada
kekasih gelap dia. Abang Razman marah tapi dia tak bertindak melulu. Dia
terfikir juga tentang anak-anak dia yang masih kecil. Dalam masa yang sama dia
cuba siasat ke mana isteri dia selalu pergi. Lepas mengintip selama seminggu,
dia tangkap mereka bersama-sama pegawai agama sewaktu mereka berada di bilik
hotel. Masa tu, Kak Hanis dan lelaki tu berada dalam keadaan mengaibkan di atas
katil. Abang Razman terus ceraikan Kak Hanis.”
“Oh!
Kesiannya abang Razman. Tentu dia kecewa dan malu dengan perbuatan isteri dia.
Memang patut pun mereka bercerai. Kalau Irdina jadi lelaki, Irdina pun tak nak
isteri yang curang macam tu.” Komen Irdina penuh emosi.
Razif
memerhatikan mimik muka Irdina. Dia ketawa kecil membayangkan kata-kata Irdina.
“Sayang tak mungkin ada isteri sebab sayangkan perempuan. Lainlah sayang,
serong. Suka sama jenis.”
Irdina
menampar lengan Razif kerana geram. “Hish! Ke situ pula. Irdina hanya
mengandaikan saja. Bukan betul-betul pun. Irdina sedarlah Irdina perempuan.
Tapi Irdina normal, tau. Bukan serong.”
“Ya,
abang tahu sayang tak serong. Tapi abang harap sayang tak curang. Jangan ada
hubungan dengan lelaki lain.” Razif mengingatkan kembali.
“Insya
Allah Irdina akan pegang pada janji dan akan setia pada abang selagi Irdina
bergelar isteri abang. Janganlah abang bimbang. Irdina milik abang seorang.
Edisi khas ni. Terhad untuk abang saja. Abang nak tak?” Irdina cuba bergurau
bagi mengelakkan ketegangan. Bimbang juga hatinya jika Razif terus
mempersoalkan kesetiaannya. Takut hilang kesabarannya yang dirasakannya hanya
senipis kulit bawang. Berdosa jika berkasar dengan suami.
Razif
ketawa sambil menarik hidung Irdina. “Mestilah abang nak. Barang bagus mestilah
dijaga dengan baik. Abang akan letakkan sayang di mahligai abang tanpa dapat
dipandang atau disentuh oleh lelaki lain. Sayang hanya untuk abang dan abang
akan pertahankan selagi nyawa di kandung badan.”
Irdina
tersenyum memandang Razif. Razif melihat kembali telefon Irdina. Setelah semua
nama lelaki yang tidak berkenaan dibuang, Razif membuka folder gambar.
“Seksinya
gambar ni. Siapa yang tolong ambil?” tanya Razif sambil melihat gambar Irdina.
“Balkis
yang ambil semasa kami mengemas rumah lama. Bukankah abang pernah lihat gambar
tu dulu?”
“Abang
tak pernah lihat gambar sayang sebenarnya. Abang tahu haram hukumnya lihat
aurat sayang sebelum sayang jadi isteri abang. Malah gambar sayang ni pun haram
abang tengok sebab masa ni, sayang bukan isteri abang lagi.”
“Kenapa
haram? Bukankah kita dah halal?” Tanya Irdina yang keliru dengan kenyataan
tersebut.
“Sekarang
tak pakai apa pun halal. Tapi gambar ni waktu sayang masih solo. Kita tak akad
nikah lagi. Jadi gambar ni pun haram untuk abang tengok. Tapi dah tertengok,
nak buat macam mana? Istighfar sajalah mohon keampunan Allah.” Jelas Razif
sambil memadam gambar-gambar tersebut.
Irdina hanya memerhati tanpa kata perbuatan
Razif. Hatinya seperti disayat sembilu ketika Razif mengembalikan telefon
tersebut kepadanya. Hak peribadinya telah diceroboh. Dia dapat merasakan
dirinya tiada pilihan melainkan mengikut sahaja kehendak Razif.
“Marilah
kita naik. Maghrib dah dekat nak masuk.” Ajak Razif.
Irdina
bangun dan mengikut langkah Razif menuju ke bilik darjah yang diduduki mereka.
Mereka solat berjemaah di surau seperti biasa. Malam itu, bekalan elektrik
pulih kembali dan kawasan sekolah di terangi oleh cahaya lampu. Kanak-kanak
berlarian dan bermain sehingga lewat malam.
Setelah
menikmati makan malam, mereka duduk berbual ringan sebelum masuk tidur. Mereka
dapat tidur dengan lebih selesa kerana kipas angin berfungsi semula. Aiman juga
tidur dengan nyenyak dan tidak meragam lagi. Lampu bilik ditutup dan mereka
hanya membiarkan lampu koridor terpasang. Jika terlalu cerah, mata sukar untuk
dilelapkan.
“Sayang
tidurlah di sini,” bisik Razif sambil mendepakan lengannya. Irdina tidur di
atas lengan Razif. Setelah dua malam
tidur berbantalkan lengan Razif, Irdina merasakan hatinya seolah-olah cair dan
dapat menerima diri Razif. Ada perasaan halus yang sukar dimengertikan mulai
terasa di hatinya. Mereka berbual secara berbisik agar tidak mengganggu tidur
yang lain.
“Bayan
tak nak cerita apa-apa ke malam ni?” tanya Razif.
“Nak
cerita apa?”
“Cerita
tentang impian sayang.”
“Impian?
Banyak, takut tak habis satu malam.”
“Cerita
sedikit dulu, kalau tak habis boleh sambung lagi.”
“Impian
Irdina ingin suami yang menghargai
setiap pengorbanan yang dilakukan. Suami mesti tahu
tugas dan tanggungjawabnya pada isteri dan anak. Kalau boleh Irdina nak suami
yang boleh menjadi seorang sahabat mendengar semua masalah, boleh melindungi,
menghiburkan hati, teman bercerita dan ketawa,” kata Irdina sambil memandang
wajah Razif yang hanya beberapa inci dari wajahnya.
“Itu
saja?”
“Banyak
lagi. Tapi cukup tu dulu. Apa pula impian abang?”
“Abang
bukan bayan yang pandai bercerita.”
“Cerita
sedikit pun tak mengapa. Janji Irdina tahu impian abang.”
“Baiklah. Abang nak isteri abang menjadi isteri yang solehah, bertaqwa kepada Allah,
menghargai dan melayan suami dengan sepenuh hati. Isteri mestilah tahu tanggungjawabnya, taat dan setia pada suami.
Abang juga nak anak satu bas,” kata Razif sambil ketawa kecil.
“Yang lain tu boleh diusahakan tetapi bab anak satu bas, Irdina tak sanggup.”
“Abang bergurau saja,” kata Razif sambil memicit hidung Irdina.
“Aduh! sakitlah.”
Razif hanya ketawa dan memeluk erat tubuh isterinya. Irdina tertidur di dalam senyuman.
2 ulasan:
ish ish , romantisnye pengentin bahru
Musin orang kawin minggu ni. Memang eloklah. Tapi kalau kawin dlm banjir tentu lebih menarik pengalamannya.
Catat Ulasan