Jasmin
melangkah dengan senang hati ke ruang hadapan. Dia melihat Uzair sedang berbual
dengan Haji Manaf sambil ditemani oleh Uwais dan beberapa orang lelaki lain.
“Abang Uzair! Mak cik panggil angkat hidangan.”
Uzair bangun setelah meminta diri dari Haji Manaf.
Jasmin sengaja menunggu Uzair untuk jalan bersama-sama. Uzair yang melihat
Jasmin menunggunya hanya menundukkan pandangannya dan berlalu selaju yang
mungkin.
“Abang Uzair kenapa laju sangat? Dah lapar sangat
ke?” tanya Jasmin sambil melangkah mengekori Uzair.
Uzair tidak menjawab panggilan Jasmin. Seboleh
mungkin dia tidak mahu berduaan dengan Jasmin. Bila berdekatan dengan Jasmin
bagai ada medan magnet bercas negatif pada diri Jasmin. Uzair pula bercas
positif. Bahaya! Haram... haram.
Jasmin berlari mengejar Uzair dan sekelip mata, dia
mengatasi langkah Uzair. Dia mendepakan tangannya bagi menghalang langkah
Uzair.
“Kenapa ni Jasmin? Janganlah main-main. Abang nak
angkat hidangan tu,” kata Uzair. Matanya dilarikan dari memandang wajah Jasmin.
Haram... haram.
“Soalan Min abang tak jawab lagi.”
“Apa yang Min soal? Abang tak dengar pun.”
“Abang terima Min tak? Kalau abang sudi terima Min,
esok kita kahwin.”
“Hah!” Terlopong mulut Uzair seketika. Terkejut
dengan permintaan Jasmin.
“Min, jangan
main-main soal kahwin. Abang tak mahu fikirkan hal ni. Maafkan abang.”
Uzair ingin melangkah tetapi lengannya dipaut oleh
Jasmin. Uzair cuba melepaskan dirinya. Terkial-kial dia di situ. Seboleh
mungkin dia tidak ingin menyentuh tangan Jasmin tanpa lapik. Haram!
“Jasmin! Lepaskan tangan Abang Uzair,” kata Hanina
yang terlihat perbuatan Jasmin.
“Tidak! selagi Abang Uzair tak berikan jawapannya,
Min tak mahu lepas.”
Uzair berpeluh mendengar kata-kata Jasmin. Kedudukan
Jasmin yang begitu hampir dengan dirinya, meresahkan hatinya. Peluh dingin
membasahi dahi. Uzair memandang Hanina sambil memberi isyarat meminta tolong. Hanina
bergerak menghampiri mereka berdua. Hatinya terasa geram dengan tingkah laku
Jasmin.
“Lepaskan tangan Min,” kata Hanina cuba merungkaikan
tangan Jasmin.
“Hanina, aku nak tahu jawapan Abang Uzair. Tapi dia
buat dek je.”
“Tak payah ganggu Abang Uzairlah. Min ikut Hani.
Kita pergi ke tempat lain, ya. Ada sesuatu yang Hani nak tunjuk pada Min.”
Hanina memaniskan mukanya memandang Jasmin. Dia cuba
memujuk Jasmin seperti memujuk kanak-kanak nakal. Jasmin tersenyum lalu
mengangguk. Tangannya dilepaskan dari memegang lengan Uzair. Uzair menarik
nafas lega. Tetapi hatinya hairan melihat Hanina memegang tangan Jasmin sambil
tersenyum lebar. Jasmin memeluk pinggang Hanina ketika mereka melangkah dari
situ. Mencerlung mata Uzair melihat keadaan itu.
Eh! Mesra semacam. Bukankah Hani kata Min tu
biseksual? Hani dah terpikat dengan Min? Habislah aku! bisik hati Uzair. Uzair
meneruskan langkahnya hingga ke dapur.
Hanina membawa Jasmin melihat kura-kura kecil
peliharaannya yang terletak di dalam biliknya. Jasmin seronok melihat telatah
kura-kura tersebut.
“Apa nama kura-kura ni?” tanya Jasmin.
“Yang ni namanya Min dan yang tu Mun.”
“Hah? Min dan Mun?”
“Ya. Kenapa? Tak sedap ke nama tu?”
“Apa kata tukar nama Mun tu jadi Hani? Min dan Hani.
Macam kita,” kata Jasmin lalu tersengih.
“Hisy! Tak mahulah. Mana boleh letak nama kita.”
“Habis tu, kenapa letak nama Min?”
“Nama tu dah lama aku letak sebelum kau datang sini
lagi.”
“Kalau begitu, tukarlah. Min dan Hani.”
“Apa kata kita namakan semula dengan nama yang lain?
Nama yang tiada kaitan dengan sesiapa pun di sini,” cadang Hanina.
“Dani dan Zani si kura-kura.”
“Dani dan Zani? Bukankah mereka tu senior kita? Si
kembar seiras yang menjadi pujaan ramai?” tanya Hanina mengingati kedua-dua
senior berwajah Pan Asia itu.
Jasmin ketawa
tiba-tiba membuatkan Hanina kehairanan.
“Kenapa kau
ketawa? Dah mereng?”
“Kau ingat tak masa minggu suai kenal dulu? Masa tu
aku dan Zana kena denda jadi kura-kura oleh mereka berdua. Lari keliling padang
pakai custom kura-kura. Lepas tu, kami
gelar mereka kura-kura kerana marah.”
“Ya, aku ingat. Aku pun kena juga. Aku kena pakai custom beruang. Sakit hati betul dengan
mereka berdua.”
“Kau jadi beruang pun nampak comel, macam honey bear aje.”
Mereka ketawa mengenangkan kisah tersebut.
“Bukankah
Dani tu pernah rapat dengan kau dulu?” tanya Hanina setelah tawa mereka
terhenti.
“Ya, tapi tak lama. Dia pun macam lelaki lain, hanya
nak mempermainkan aku.”
Wajah Jasmin bertukar muram apabila soal itu
dibangkitkan. Hanina terperasan perubahan wajah Jasmin.
“Min, kalau
nama tu buat kau sedih, lebih baik kita fikir nama lain. Apa kata kita namakan
A dan B sudahlah. Tak akan menyentuh mana-mana pihak.”
“A untuk Abang Uzair dan B untuk Baby. Aku setuju,” kata Jasmin, gembira.
Hanina ketawa sambil menggelengkan kepala. Diri
Jasmin penuh misteri bagi Hanina. Perwatakan Jasmin boleh berubah dengan
sekelip mata. Ada ketika dia kelihatan agak agresif, ada ketika pemurung dan
ada ketika terlalu manja. Mungkinkah dadah telah mempengaruhi jiwanya?
“Honey,
jom kita makan. Laparlah,” kata Jasmin sambil memaut lengan Hanina. Wajah Hanina
ditatap, manja.
Dia mula dah balik panggil begitu. Sabar sajalah Hanina,
bisik hati Hanina.
“Jom!”
Hanina bingkas bangun diikuti oleh Jasmin. Mereka
jalan beriringan menuju ke dapur.
“Min, aku tanya sikit boleh tak?”
“Apanya honey?”
“Er... apa punca kau mengambil dadah?”
“Shakir.”
“Shakir? Kenapa sebab dia?” berkerut dahi Hanina
mengingati nama itu.
Shakir merupakan salah seorang senior mereka yang
menjadi kekasih Jasmin. Jasmin cinta separuh mati terhadap Shakir. Shakir tidak
terlalu kacak tetapi sedap mata memandang. Keperibadian Shakir yang kelihatan
warak dan mengambil berat, membuatkan hati Jasmin tertawan.
“Ah! Aku benci Shakir. Benci... benci!” jerit Jasmin
lalu menendang pasu bunga kecil yang terletak di laluan tersebut.
Berderai pasu bunga dibuatnya. Jasmin berlari
meninggalkan Hanina. Hanina terpaku melihat perubahan sikap Jasmin. Nama itu
telah membuatkannya menjadi agresif semula. Hanina segera mengekori langkah
Jasmin. Dia mencari di sekitar kawasan itu tetapi bayangan Jasmin tidak
kelihatan.
Akhirnya Hanina
melangkah ke tepi kolam ikan dan menemui Jasmin yang sedang mencangkung di
situ. Perlahan-lahan dia menghampiri Jasmin. Takut Jasmin melakukan tindakan
melulu.
“Min, aku minta maaf. Marilah kita makan. Tadi kau
kata dah lapar.”
Jasmin tidak memperdulikan ajakan Hanina. Tangannya
asyik membaling ketulan batu ke dalam kolam. Matanya hanya memerhati percikan
air setiap kali ketulan batu itu masuk ke dalam air.
“Min, marilah.” Hanina memegang bahu Jasmin.
“Honey,
kalau aku terjun ke dalam kolam ni agak-agak aku boleh mati tak?” tanya Jasmin
tanpa melihat wajah Hanina.
“Jangan buat begitu. Kau tak sayangkan aku ke?”
tanya Hanina, risau.
“Kau bukan sukakan aku. Abang Uzair pun tak sukakan
aku. Mama, papa dan Abang Syamir pun dah tak sayangkan aku. Hanya Zana yang
suka dan sayangkan aku. Aku nak pergi jumpa Zana,” kata Jasmin lalu bangun
berdiri. Matanya tetap memandang ke dalam kolam ikan.
Apa yang dia nak buat? Nak bunuh diri? Ya ALLAH!
Jauhkan dia dari perbuatan tu, bisik hati Hanina.
Hanina keresahan. Takut jika dia tersilap kata,
Jasmin akan melakukan sesuatu yang boleh membahayakan dirinya sendiri. Dia
takut Jasmin terjun ke dalam kolam ikan yang agak dalam akibat hujan dua hari
lepas.
“Min, marilah ikut aku. Aku sayangkan kau. Bukankah
kau pun sayangkan aku?”
Jasmin tidak memperdulikan ajakan Hanina. Matanya
masih memandang kolam ikan.
“Min, jangan bertindak melulu. Marilah dekat aku.
Kau sayangkan aku kan? Jika tak kenapa kau panggil aku honey?” Hanina makin resah.
“Beruang madu,” kata Jasmin sambil menoleh ke arah Hanina.
“Beruang madu? Mana?”
Mata Hanina memerhati sekeliling. Jasmin menghampiri
Hanina. Hanina tersenyum senang kerana Jasmin telah menjauhkan diri dari kolam
tersebut. Lega hatinya.
“Honey,”
kata Jasmin lalu mencium pipi Hanina kiri dan kanan.
Hanina hanya tersenyum tanpa kata.
“Youlah si beruang madu tu,” kata Jasmin sambil ketawa.
Dia kemudian melarikan diri apabila melihat kening Hanina
menjongket ke atas. Hanina mengejar Jasmin kerana tahu dia telah dipermainkan.
“Min, tunggu!”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan