Pengikut

Selasa, 19 Februari 2013

Abang King Control Ke? - Bab 22



Keesokan harinya, Balkis datang ke rumah itu lebih awal seperti yang disuruh Irdina. Ihsan sekeluarga turut pulang bersama-sama dan mereka bertolak selepas Zohor. Perjalanan mereka agak perlahan ketika melalui jalan yang masih bergenang dengan air. Tetapi setelah memasuki lebuhraya, perjalanan menjadi lancar. Mereka berhenti di R & R Bukit Merah untuk berehat seketika.
“Balkis, esok kau masuk kerja ke?” tanya Irdina ketika mereka sedang berdiri di hadapan cermin di bilik air wanita.
“Ya. Kenapa?” tanya Balkis sambil membasuh tangannya.
“Aku dah beritahu bos aku nak berhenti. Kau tolong beri surat perletakkan jawatan aku pada dia,” kata Irdina sambil membetulkan tudungnya.
“Boleh aku pinjam kereta Kak Irdina dulu sebelum aku dapat cari kenderaan sendiri?”
“Kau gunalah dulu dan bilik aku pun kau boleh duduk. Ambillah katil dan tilam tu sekali.”
“Sofa, televisyen dan peti ais tu nak kira macam mana?” tanya Balkis sambil mengekori langkah Irdina keluar dari situ.
“Kau sambung bayar sajalah. Tak banyak pun sebab aku dah bayar separuh harganya.”
“Nampak gayanya aku dapat barang second hand Kak Irdina lagi. Seluar jeans pun dah dapat dan kalau ada pakaian yang Abang Razif reject lagi, bagi pada aku. Cuma aku harap tak berkahwin dengan bekas kekasih Kak Irdina. Jika tidak, suami aku pun kategori second hand,” kata Balkis sambil ketawa.
“Ada-ada saja kau ni,” kata Irdina turut ketawa.
Mereka duduk di sebuah meja di mana Razif dan keluarga Ihsan sedang menunggu.
“Abang dah ambilkan nasi ayam ni untuk sayang. Balkis kena cari sendiri sebab abang tak tahu apa yang Balkis hendak,” kata Razif kepada mereka berdua.
“Tak mengapa. Balkis boleh cari sendiri,” kata Balkis.
“Aku ikut,” kata Irdina.
“Tak payah! Duduk di sini.” Razif melarang dan mengarah.
“Tapi, Irdina nak beli kerepek dan kacang.”
“Makan dulu, nanti kita beli.”
Irdina duduk dengan wajah yang kelat. Balkis hanya tersenyum dan berlalu dari situ. Irdina hanya memerhati nasi di hadapannya.
“Makanlah nanti sejuk pula,” kata Razif.
Irdina makan tanpa kata. Matanya memandang ke arah anak-anak saudaranya yang berada di meja bersebelahan. Hatinya agak terhibur dengan gelagat mereka yang riang ketika makan.
“Sayang dah beritahu Balkis tentang surat perletakkan jawatan tu?”
Irdina menganggukkan kepalanya.
“Apa dia kata?”
“Okey.”
“Itu saja? Tak ada yang lain?” tanya Razif ingin tahu apa yang dibualkan oleh isterinya hingga menyebabkan mereka lama di bilik air.
“Dia nak pinjam kereta sebelum dapat beli yang baru,” jawab Irdina.
“Beri sajalah kereta tu pada dia. Sayang tak perlukan kereta tu lagi,” kata-kata Razif mengejutkan Irdina.
“Irdina sayangkan kereta tu. Mana boleh bagi begitu saja,” bantah Irdina.
“Kalau tak mahu beri saja, minta dia bayar sedikit demi sedikit.”
“Tapi dia kena bayar duit sofa, peti ais dan televisyen yang Irdina tinggalkan. Kesian dia kalau terpaksa bayar macam-macam. Gaji dia pun tak besar sangat.”
“Kalau begitu beri saja kereta tu sebagai hadiah untuk dia,” kata Razif bersahaja.
“Nanti kalau Irdina nak guna kereta, nak bawa kereta mana?”
“Abang tak izinkan Irdina memandu. Kalau nak ke mana-mana biar abang yang hantar.”
Irdina terasa amat kecewa kerana sedikit demi sedikit Razif mengikatnya dengan pelbagai larangan. Hatinya menangis pilu. Terasa ada titis air yang ingin keluar dari kelopak matanya. Sedaya mungkin dia menahannya tetapi air tersebut tetap menitis. Cepat-cepat tangannya mengambil tisu lalu mengelapnya.
“Kenapa?” tanya Razif.
“Pedas tergigit cili,” Irdina memberi alasan sambil menghapuskan air matanya.
Razif hanya memerhati dan kemudiannya memberikan air untuk Irdina.
“Minumlah, mungkin boleh hilang pedas.”
Irdina meminumnya dan berharap abang dan kakak iparnya tidak akan tahu keadaan sebenar. Balkis datang semula dan duduk di hadapan Irdina.
“Kenapa Kak Irdina menangis?” tanya Balkis hairan.
“Tergigit cili,” kata Razif.
Balkis hanya memerhati wajah Irdina dan dia tahu Irdina menangis bukan kerana tergigit cili. Balkis menikmati makanannya sambil matanya memerhati ke arah parkir kereta.
“Kak Irdina, cuba tengok mereka tu. Agak-agaknya mereka tu dah lama kahwin atau baru berkahwin?” tanya Balkis sambil menunjuk ke arah suami isteri yang sedang berjalan dari arah parkir.
“Manalah aku tahu. Aku bukan ahli nujum,” kata Irdina.
“Aku rasa dah lama kahwin.”
“Mana kau tahu?”
“Cuba tengok tu. Suami dia jalan jauh di hadapan dan biar isteri dia yang mengendong anak di belakang.”
“Dah ada anak tentu dah lama kahwin,” komen Irdina.
“Tapi kalau nak tahu lama mana usia perkahwinan seseorang tu, tengok jarak antara mereka bila berjalan. Makin jauh suami ke hadapan bermakna makin lamalah usia perkahwinan mereka. Rasanya mereka ni dalam empat atau lima tahun berkahwin.” Balkis berkata dengan yakin.
“Pandailah kau,” kata Irdina sambil ketawa. Hilang rasa sedih seketika.
“Memanglah aku pandai. Cuba kau tengok pasangan tu pula.” Balkis menunjukkan sepasang suami isteri yang berjalan berpegangan tangan.
“Yang tu mungkin baru kahwin,” kata Irdina.
Razif mendengar perbualan mereka dengan penuh minat. Dia seronok mendengar pandangan Balkis yang begitu menarik.
“Betul. Tapi rasanya dah beberapa bulan sebab tu pegang tangan pun hujung jari dan ada jarak antara mereka,” kata Balkis.
Razif hanya tersenyum mendengar pendapat Balkis.
“Kalau yang tu,” tanya Razif sambil menunjuk ke arah lelaki dan perempuan yang berjalan sambil berpelukan pinggang.
“Itu baru kahwin macam Abang Razif dan Kak Irdina. Sebab tu tak boleh berenggang. Kalau boleh masuk tandas pun nak bersama-sama,” kata Balkis membuatkan Razif ketawa gelihati.
“Balkis ni boleh jadi ahli psikologi,” kata Razif dalam tawanya.
“Tapi yang tu mesti kau tak boleh agak. Cuba tengok sana,” kata Irdina sambil menunjukkan arah lelaki dan perempuan yang duduk di atas motorsikal.
“Yang tu mungkin belum kahwin. Sebab tu nampak takut-takut dan nak sorok muka,” kata Balkis sambil ketawa.
Ada-ada saja kau ni,” kata Irdina dalam tawanya.
Balkis menyambung makannya sambil diperhatikan oleh Irdina. Mereka berbual ringan dan setelah beberapa ketika mereka meneruskan perjalanan. Mereka berpisah ketika Ihsan mengambil jalan pulang ke rumahnya di Cheras manakala Razif meneruskan perjalanan ke Kajang.
Mereka tiba di rumah Razif ketika hampir jam 10.00 malam. Balkis terus balik ke rumahnya setelah mengucapkan terima kasih. Mak Cik Sopiah dan Rosnah menyambut kepulangan Razif dan Irdina dengan gembira. Mereka telah pulang terlebih dahulu dengan bas setelah Razif tidak dapat pulang seperti yang dijanjikan.
“Syukurlah kamu berdua dah selamat sampai. Bimbang hati mak bila mengetahui kamu berdua terperangkap dengan banjir,” kata Mak Cik Sopiah sambil mengiringi mereka masuk.
“Ya, mak. Razif pun tak sangka banjir besar berlaku. Tapi syukur sebab semuanya selamat.” Razif duduk di sofa melepaskan lelah.
“Rosnah, tolong bawa beg Kak Irdina dan abang ke atas,” perintah Mak Cik Sopiah.
“Tak payah bawa naiklah Ros. Kebanyakannya pakaian tak berbasuh. Tolong letak di bilik mendobi,” kata Razif.
Rosnah menuruti suruhan abangnya dan membawa beg-beg tersebut ke bilik mendobi bersebelahan dapur.
“Abang, Irdina nak balik ke rumah Irdina sekejap.”
“Rumah Irdina di sini,” kata Razif.
“Maksud Irdina, rumah Balkis. Nak ambil baju.”
“Mari abang temankan.” Razif bangun lalu memegang tangan Irdina.
Irdina terpaksa membiarkan Razif mengikutinya. Mak Cik Sopiah hanya melihat mereka keluar dengan senyuman. Razif memeluk pinggang Irdina ketika berjalan.
“Perlukah kita menunjuk-nunjuk pada orang lain?” tanya Irdina.
“Apa maksud sayang?”
“Jalan begini.”
“Perlu! Supaya orang tahu kita dah kahwin,” kata Razif sambil tersenyum. Dia teringat kata-kata Balkis sewaktu di R & R tadi.
“Ramai yang dah tahukan?” tanya Irdina.
“Tak semua,” jawab Razif sambil membuka pintu pagar di rumah Balkis.
“Abang tunggu di gazebo boleh tak? Biar Irdina ambil sedikit dahulu baju, nanti bila lapang Irdina datang ambil lagi.”
Razif membiarkan Irdina masuk dan dia menunggu di gazebo. Mata Razif dapat melihat Rahimah, isteri jiran yang tinggal berhadapan rumah itu baru pulang. Dia dihantar oleh seorang lelaki yang tidak dikenali oleh Razif. Razif dapat melihat kemesraan lelaki tersebut dengan Rahimah.
‘Siapa lelaki tu? Berani hantar Kak Rahimah hingga ke rumah,’ bisik hati Razif. Razif tahu bahawa suami Rahimah, Rohim kerap bertugas di luar kawasan. Sering kali bila Rohim tiada di rumah, pasti ada lelaki yang akan menghantar isterinya pulang. Hal ini telah diketahui oleh Razif yang kerap melihat keadaan begitu ketika dia berada di balkoni biliknya setelah pulang dari klinik.
“Inilah susahnya jika isteri bekerja dan bebas bergaul dengan lelaki lain. Aku akan pastikan Irdina tidak bersikap begitu. Tiada lelaki lain yang boleh berkawan dengan dia lagi,” azam Razif.
Beberapa ketika kemudian, Irdina keluar dengan sebuah beg pakaian. Razif segera mengambil beg tersebut lalu membawanya. Mereka berjalan beriringan baik ke rumah. Razif mengajak Irdina masuk dan duduk di meja makan. Mak Cik Sopiah telah menyediakan minuman ringan untuk mereka.
“Minumlah dulu. Nanti pergilah berehat. Mak tengok letih benar kamu berdua,” kata Mak Cik Sopiah.
“Ya, mak. Lama Razif memandu, rasa macam nak kejang kaki.”
“Irdina nak pandu tak nak beri. Kalau tak, tak letihlah sangat,” kata Irdina selepas menyisip airnya.
“Oh, tidak! Abang tak akan bagi sayang pandu lagi.”
“Abang percayalah, Irdina boleh bawa dengan hati-hati.”
Razif menggelengkan kepalanya. “Serik dah!” kata Razif.
“Tapi…”
No!” kata Razif tegas.
Irdina terkulat-kulat memandang Razif.
“Dah! Mari naik ke atas,” kata Razif lalu memegang tangan Irdina.
“Cawan tak kemas lagi.” Irdina mencari alasan.
“Tak apa, biar mak kemaskan. Irdina naiklah berehat,” kata Mak Cik Sopiah sambil tersenyum.
Irdina mengikut langkah Razif menuju ke bilik Razif. Beg pakaian Irdina diletakkan di tepi almari oleh Razif. Irdina memandang sekeliling bilik yang agak luas dengan hiasan yang sederhana. Bilik tersebut mempunyai kombinasi warna putih, hitam dan kelabu, warna kegemaran Razif.
 “Sayang… kalau nak mandi pergilah,” kata Razif sambil membuka bajunya.
Irdina mengeluarkan baju dan kain tuala dari beg pakaiannya. Dia teringatkan pakaian dalam dan bahan penjagaan dirinya yang masih ada di dalam beg yang ditinggalkan di bilik mendobi.
“Abang, Irdina nak turun sekejap. Nak ambil barang dalam beg baju di bawah.”
“Barang apa? Biar abang yang ambilkan.”
“Tak mengapalah. Irdina boleh ambil sendiri,” kata Irdina agak malu.
“Biar abang ambil. Cepat beritahu, barang apa.”
“Er… panties, bra dan toiletries. Ada dalam beg, bahagian paling atas. Irdina dah asingkan.”
“Okey. Sayang mandi dulu, abang turun ambil.” Kata Razif bersahaja.
Razif keluar dari bilik tersebut meninggalkan Irdina keseorangan. Irdina membuka pakaiannya dan memakai tuala lantas masuk ke bilik air. Dia melihat di atas rak tersusun rapi bahan penjagaan diri kepunyaan Razif.
“Amboi! Bersih dan tersusun barang-barang dia.” Irdina membuka air di tab mandi dan menunggu seketika. Dia memasukkan tangannya bagi merasa suhu air tersebut. Suam-suam kuku.
“Sayang! Abang dah ambil barang sayang.” Razif mengetuk pintu bilik air.
Irdina membuka sedikit pintu dan menjengulkan kepalanya. “Abang, tolong ambilkan beg toiletries Irdina sekejap.”
Razif mengambil beg tersebut dan terus memasuki bilik air. Irdina terkejut dengan tindakan Razif.
“Kenapa masuk?” tanya Irdina, gugup.
“Nak tolong gosokkan daki di belakang sayang.”
“Mana ada?”
“Ada. Dah berapa hari sayang tak mandi masa di penempatan banjir hari tu. Sebab tu banyak daki,” kata Razif sambil tersenyum simpul.
Berkerut-kerut dahi Irdina memikirkannya. 
‘Bukankah aku dah mandi dan gosok semua daki kelmarin? Rasanya tak ada daki pun.’
 Matanya bulat bila melihat senyuman Razif yang memanjang.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tggu lha irdina akan dicntrolll,,msukkkan bab seterusnya,,nk thu ap terjadii slpas ini

Tanpa Nama berkata...

Boleh tahan gatal juga si Razif ni ea! huh..sabar je lh Irdina kerana control dengan Razif.. sampai bila boleh bertahan..? ~,~

Tanpa Nama berkata...

cepat sambung ye...ape akan jadi selepas ini...

Tanpa Nama berkata...

ni bukan sayang namanya.dah terlalu obsess.mati kutulah irdina .... semuanya tak boleh

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Tanpa nama 1,2,3,4.
Dapat rasakan cengkaman King Control? hihihi...
memang boleh mati kutu kalau dpt suami begini ^_^