“Tengku
Kiesha Khalila, tolong beri kerjasama. Pakai baju ni untuk keselamatan,” arah Inspektor
Azni dengan tegas. Apabila dia menyebut nama penuhku, bermakna dia serius.
Mahu tak mahu, aku terpaksa menyambut hulurannya.
Lambat-lambat aku mengenakan vest kalis peluru itu setelah menanggalkan
blausku. Inspektor Azni menolong aku mengenakan butang pada vest. Aku menyarung
kembali blaus ke badanku. Inspektor Azni tersenyum sekilas.
Setelah pasukannya bersedia, Inspektor Azni
mengarahkan aku memasuki Alphard berwarna putih. Aku patuh tanpa banyak soal.
Aku tahu tugas mereka melindungi nyawaku. Terasa begitu penting diriku saat ini.
Kawalan keselamatan terhadapku dipertingkatkan dan aku sebenarnya sedang
dipindahkan ke suatu tempat rahsia.
“Azni, saya nak call
pak cik saya sebentar. Saya nak maklumkan yang saya selamat,” pintaku setelah
beberapa ketika.
“Baiklah. Tapi sekejap aje. Jangan dedahkan
destinasi kita, bimbang ada orang yang terdengar nanti,” arah Inspektor Azni.
Aku mengangguk tanda faham. Sejak semalam aku tidak
dibenarkan menghubungi sesiapa pun. Bila aku tanya, kata Inspektor Azni dia
perlu memastikan keadaan terkawal dan aku berada dalam keadaan selamat.
Tengku Badrul Zaman atau Ayah Bad adalah bapa
saudaraku yang paling aku percayai. Dia begitu mengambil berat akan diriku dan
dia jugalah yang syorkan kawalan keselamatan untukku. Aku mendail nombor Ayah
Bad dan dia segera menjawab panggilanku.
“Syukurlah Sha selamat. Ayah Bad bimbang sangat
sebab tak dapat hubungi Sha. Sha ada di mana sekarang?” tanya Tengku Badrul
Zaman dengan suara yang gembira.
“Ayah Bad jangan risau. Sha dalam perjalanan nak ke
tempat perlindungan. Kami dah masuk ke lebuh raya. Tapi Sha tak boleh beritahu Ayah
Bad tempatnya. Ini untuk keselamatan Sha juga.”
“Tak mengapalah Sha. Janji Sha selamat. Ayah Bad tak
mahu kehilangan Sha pula.”
“Semasa ketiadaan Sha, Ayah Bad tolong tengokkan
syarikat ayahanda.”
“Sha jangan bimbang. Ayah Bad akan jaga syarikat ayahanda
Sha dengan baik. Nanti bila kes ni dah selesai, Sha ambil alihlah balik
syarikat tu. Ayah Bad akan tunggu Sha.”
“Terima kasih, Ayah Bad. Sha hargai pertolongan ayah
Bad. Jika tak ada ayah Bad, Sha tak tahu nak buat macam mana.”
“Dah kewajipan Ayah Bad. Sha satu-satunya anak arwah
Kamarul. Jadi Sha adalah tanggungjawab Ayah Bad. Jaga diri baik-baik Sha. Nanti
bila dah sampai Sha beritahu Ayah Bad.”
“Baiklah Ayah Bad. Sha minta diri dulu.”
“Eh, Sha. Riz kirim salam. Dia ada di sini. Dia pun
risaukan Sha.”
“Oh, Riz pun ada. Ayah Bad cakap pada dia yang Sha
tak apa-apa. Nanti Sha call dia bila
lapang,” ujarku. Sempat mindaku melakar wajah kacak sepupuku, Tengku Budriz.
“Baiklah. Bye Sha.”
“Bye.”
Aku memutuskan talian dan menyimpan kembali telefon
di dalam beg sandangku. Mataku sempat melihat papan tanda yang menunjukkan kami
sedang bergerak ke arah Utara. Aku lihat Inspektor Azni asyik bercakap di
telefonnya manakala dua orang anggota polis lelaki sedang mengawasi jalan dan
sesekali mengawasiku. Pemandu Alphard memandu dengan tenang. Aku menyandarkan
tubuhku dan memejamkan mata untuk tidur.
Agak nyenyak tidurku hinggalah aku dikejutkan dengan
tempikan kuat menyeru nama Inspektor Azni. Aku membuka mata dan terlihat sebuah
kereta Toyota Unser sedang memintas. Beberapa das tembakan dilepaskan. Kereta
kami diserang hendap. Jantungku bagaikan berhenti berdegup. Takut dan panik
membuatkan aku terkaku.
Inspektor Azni segera menarikku agar meniarap.
Badannya dijadikan perisai melindungi tubuhku. Kereta yang kami naiki hilangkawalan
dan merempuh tembok. Hentaman yang kuat menyebabkan pemandu tersepit di tempat
duduknya. Kepalanya terkulai. Darah membasahi wajahnya.
“Tengku! Tengku tak apa-apa ke?” tanya Inspektor
Azni, cemas. Dia segera memeriksa tubuhku.
“Saya okey.”
“Tengku, saya akan lindungi Tengku. Harap Tengku jangan
bangun dan terus meniarap,” bisiknya. Matanya tajam mengawasi keadaan di luar.
Dua orang polis lelaki yang berada bersama kami, berbalas
tembakan dengan penyerang. Aku hanya memejamkan mata. Takut mendengar bunyi
tembakan yang kuat. Jantungku terasa bagaikan hendak luruh. Tidak tahu apa yang
perlu aku lakukan.
“Puan! Kita terkepung puan,” adu salah seorang polis
lelaki.
“Terus bertahan. Saya dah minta bantuan,” arah Inspektor
Azni sambil melepaskan tembakan.
Aku tidak tahu bila masanya dia meminta bantuan. Mungkin aku terlalu
takut hingga tidak mendengar apa-apa kecuali bunyi tembakan sahaja. Menggeletar
tubuhku tiap kali bunyi tembakan mengenai dinding kereta. Kepada siapa harusku
gantung pengharapan agar nyawaku tidak berakhir di sini? Adakah kepada ALLAH sedangkan aku tidak
pernah sujud kepada-Nya? Tanpa sedar mulutku menyebut nama ILAHI.
Ya ALLAH! Selamatkanlah diriku, ya ALLAH. Doaku dalam hati. Doa
orang berdosa.
Keadaan menjadi semakin genting apabila kedua-dua polis lelaki
tersebut tumpas dalam drama tembak menembak itu. Bunyi derap kaki semakin jelas
menghampiri kami.
“Azni, saya takut.” Air mata berlinangan. Terasa nyawaku
di hujung tanduk.
“Saya akan lindungi Tengku. Jangan bangun,” arah Inspektor
Azni.
Tangannya
pantas memasukkan peluru ke pistol. Dia memanggungkan kepala dan melepaskan
tembakan. Aku terus berdoa. Malu menerpa ke dasar hati. Selama ini aku tidak pernah
mahu menyebut nama ALLAH. Aku begitu sombong dan riak dengan kekayaan ayahandaku
yang merimpah ruah hingga aku lupa segalanya. Sedangkan itu adalah daripada
ALLAH.
Aku sedar yang aku abaikan segalanya. Rukun Iman dan
rukun Islam aku tolak ke tepi. Agamaku hanya tertera di kad pengenalan bukan di
hati. Hidupku bergelumang dosa. Dalam keadaan mendesak ini, tahu pula aku
mengingati ALLAH. Hati mengutuk diri sendiri.
Tembakan makin mendekat. Aku terasa pintu kereta di
buka secara kasar dan serentak dengan itu aku merasakan tubuh Inspektor Azni
menghempap belakangku. Aku menoleh sedikit dan terpandang wajahnya yang
dipenuhi darah terkulai di atas kepalaku. Darahnya menitis mengenai pipiku. Aku
ingin menjerit tetapi mulutku seakan terkunci. Aku tahu bila-bila masa sahaja
ajalku akan tiba.
“Ya ALLAH, Ya ALLAH! Ampunkanlah segala dosaku.
Berilah peluang untukku bertaubat kepada-MU. Aku janji akan berubah. Selamatkanlah
diriku Ya ALLAH.”
Aku terus berdoa dan berjanji dengan getaran hebat
di dada. Menggigil seluruh tubuhku. Seluruh urat nadiku seolah telah membeku. Kematian
terbayang di mata. Ketakutan bermaharaja di jiwa.
Ya ALLAH, tolonglah, rayuku di dalam hati.
“Cepat
alihkan dia!” Terdengar suara memberi arahan.
Aku dapat rasakan tubuh Inspektor Azni sedang
dialihkan. Air mataku makin laju membasahi pipi. Aku pasrah jika begini pengakhiran
hidupku. Mataku pejam serapat-rapatnya. Bimbang jika aku membuka mata, aku akan
melihat pistol yang akan menghancur lebur kepalaku. Makin kuat aku berdoa
memohon keampunan ILAHI. Aku mendengar picu ditarik.
Hatiku mengucap kalimah syahadah berulang kali. Aku
menunggu saat kepalaku bersepai. Tentu sakit dan azab kematianku. Malaikat Maut
tentu merentap nyawaku dengan kasar sesuai dengan dosa-dosaku yang menggunung.
Aku takut. Benar-benar takut. Terasa sia-sia hidupku selama ini. Segala apa
yang aku banggakan tidak dapat membantuku kini. Adakah ALLAH akan mengampunkan
segala dosaku? Taubatku di hujung nyawa, adakah diterima ALLAH?
Ya ALLAH! Jika ini pengakhiran hidupku, ampunkanlah
dosaku ya ALLAH. ALLAH... ALLAH... ALLAH, bisik hatiku pasrah. Saat kematian
mendekati, aku hanya mampu menyebut nama ILAHI.
Tembakan kuat bergema di hujung kepalaku. Jantungku seakan
berhenti berfungsi. Suasana hening menyelubungi diri. Adakah aku telah mati?
Mataku masih tertutup rapat. Telingaku menangkap suara mengerang kesakitan. Tiba-tiba,
tubuhku terasa ditarik. Aku cuba melawan dan meronta walaupun aku tahu aku tak
mungkin selamat.
“Ku Sha! Berhenti
meronta. Saya kawan Azni,” ujar lelaki yang menarikku, memperkenalkan diri.
Aku segera memeluknya, erat. Sangat erat sebenarnya
kerana aku dapat mendengar degupan jantungnya. Terasa kehadirannya amat bererti
saat aku di ambang maut. Seolah dia ‘malaikat penyelamat’ aku. Pelukanku
dileraikannya. Mukanya tampak sedikit terkejut dengan perbuatanku.
“Kita perlu beredar segera dari sini,” tegas lelaki
itu sambil menyelitkan pistol semi automatik ke pinggangnya.
Aku hanya mengangguk, tetapi mataku tetap terpaku
melihat raut wajahnya yang ditumbuhi jambang meliar.
Selekeh, bisik hatiku. Ah! Sempat lagi aku menilai
dirinya di saat genting begini.
Dia segera
membuka jaketnya dan memakaikan jaket kulit tersebut ke tubuhku. Aku seperti
terpukau membiarkan perlakuannya itu. Mataku melekat ke bola matanya yang
bagaikan helang. Pandangannya tajam dan mengerunkan. Zip jaket ditarik hingga hujung
daguku.
Aku tersentak. Nafasku terasa sesak. Terasa hembusan
nafasnya menyapa mukaku. Dia mencapai beg sandangku lalu disangkutkan ke
tubuhku. Aku sedikit terkejut. Tanganku ditarik pantas ke motorsikal berkuasa
tinggi Kawasaki ER-6f. Aku
terpaksa berlari anak mengikut langkahnya yang panjang.
“Apa nama awak?” tanyaku sambil berlari.
“Is.”
“Is? Is apa? Ismail? Isma Daniel? Ishak? Iskandar?”
tanyaku bertalu-talu.
Tanpa mahu menjawab soalanku dia mencapai topi
keleder jenis bertutup penuh lalu disarungkan ke kepalaku. Aku terdiam ketika
tangannya pantas mengenakan tali pengikat. Terpaku mataku melihat aksinya yang
kelihatan ala-ala hero pujaanku Bruce Willis dalam filem Die Hard 4.0. Pantas
dan cekap setiap gerakannya. Penuh dengan sifat kelakian. Mulutku hampir
terlopong. Mengagumi seketika lelaki Melayu itu.
“Naik cepat!”
Arahan kerasnya mengejutkanku. Segera aku duduk di
belakangnya. Tanpa sempat aku membetulkan dudukku, dia memecut laju membelah
kegelapan malam. Sempat mataku melihat mayat yang bergelimpangan bermandikan
darah. Ngeri terasa. Badan kurapatkan ke bahagian belakang Is serapatnya apabila
terasa tubuhku tidak stabil. Tanganku memeluk tubuhnya, kemas. Aku mudah mabuk bila
melihat darah. Lebih-lebih lagi bau hanyir darah Inspektor Azni masih terlekat
di mukaku.
“Hey! Jangan rapat sangat,” jerit Is kepadaku.
Dia terpaksa
menjerit bagi mengatasi bunyi deruman enjin motorsikal tersebut. Aku mengangkat
pelindung muka plastik pada topi keleder.
“Saya rasa
peninglah. Bukannya nak menggatal,” tempikku geram.
Tolonglah! Setakat muka serabut macam mawas aku tak hinginlah,
bisik hatiku dengan sombong.
“Kenapa?” jeritnya lagi.
“Mabuk darah!”
“Okey, Kau boleh peluk tapi jangan rapatkan badan
kau.”
Huh! Jika tak terpaksa, aku tak ingin peluk kau. You
are not my type. Serabut dan berbau, kutuk hatiku.
Dalam aku mengutuk, tanganku tetap memeluk erat
tubuhnya. Cuma badan aku tidak dirapatkan seperti tadi. Terasa ketul-ketulan
ototnya yang hanya dibaluti baju T putih. Aku amati baju T itu.
Ah! baju T murah? Tak ada class langsung, cemuh hatiku. Aku terfikir kemudian, jaket yang aku
pakai ni jaket dia. Tentu busuk dan berbau dah badan aku dengan peluh dia.
Eee... bencinya! Tapi nak buat macam mana? Nak aku tanggalkan nanti terjatuh
pula aku dari motorsikal. Lepas ni kalau berhenti, aku tak mahu dah pakai jaket
dia. Lagi satu, kenapa baju dia basah? Peluh ke? Tapi agak melekit.
Aku paut tubuhnya dengan sebelah tangan dan sebelah
tangan lagi aku bawa ke hidungku. Aku ingin memastikan rasa melekit yang ku
pegang adalah peluh atau darah. Manalah tahu dia terluka ketika menyelamatkan
aku. Aku mencium bau tersebut.
Hamis! Dia berdarah? Berkali-kali aku mengesat-ngesat
tanganku di belakang bajunya.
“Hoi! Kau buat apa?” tempiknya lalu memperlahankan
kelajuan motorsikalnya.
Aku terkejut dan menghentikan perbuatanku serta
merta.
4 ulasan:
jalan cerita yang saspens,,,
tetapi ceritanya macam agak meleret,,
kalau boleh intronya terangkan pasal latar belakang perempuan itu dulu k,,,msih saspen,,siapa hero dlam cerita ini,,,maaf kalu komen saya menguris perasaan anda,,,tetapi ok lah jlan crita dia,,tapi saya lbih suka cerita2 romantik,,
saya baca cerita ni dlm http://ilham.karangkraf.com/ dan best sangat! memng sy tertunggu2 cerita ni. mula2 start memng tertanya2 hubungan Ku Sha dgn Iskandar. bt sy lebih tak sbr mennti ep seterusnya :)
Tanpa Nama.
Terima kasih atas komen. Komen anda amat dihargai. Masing2 ada pendapat. Mungkin teknik yang saya guna agak lari daripada kebiasaan penulis lain. Anda perlu baca bab seterusnya untuk mengenal watak. Cerita ni pun romantik cuma ada kelainannya.
Nik Ainaa.
Terima kasih kerana sudi membaca di ilham. Di sana dah saya upload banyak bab. MUngkin akan diupload lagi selepas ini. Terus kan mengikuti kisah ini. InsyaAllah jika tiada aral, buku ini akan jadi buku kedua diterbitkan oleh Buku Prima.
Catat Ulasan