Pengikut

Ahad, 17 Mac 2013

Abang King Control Ke? - Bab 25



Razif pulang dan mendapati Ustaz Azmi sedang mengajar Rosnah dan Awin seperti biasa. Hatinya menjadi tidak tenteram takut jika Ustaz Azmi mengambil kesempatan itu untuk berbual dengan Irdina. Dia hanya menjeling tajam ke arah Ustaz Azmi dan ketika Ustaz Azmi menghulurkan tangan kepadanya, dia hanya bersalam tanpa mahu berbual.
“Mak, mana Irdina?” tanya Razif kepada ibunya yang sedang leka menonton televisyen.
“Ada di atas. Dah lama dia naik, tak turun-turun. Mungkin tak mahu berjumpa Azmi.”
“Kalau begitu, Razif naik dulu.”
“Baiklah.”
Razif menaiki anak tangga ke tingkat atas. Perlahan-lahan dia menolak daun pintu dan melihat Irdina tertidur dengan buku di atas dadanya. Razif tersenyum sendirian kerana pasti Irdina tidak bertemu dengan Azmi. Razif meletakkan begnya dan kemudian naik ke atas katil. Tangannya mengambil buku di dada Irdina membuatkan Irdina tersedar dari tidur.
“Abang dah balik?” Irdina bangun dan duduk di hadapan Razif.
“Sayang baca buku atau buku yang baca sayang?” tanya Razif sambil tersenyum.
“Dua-dua.” Irdina ketawa kecil.
“Sayang dah solat Asar belum?”
“Belum. Irdina tertidur.”
“Kalau begitu, pergilah solat dulu.”
 Irdina turun dari katil dan sebelum dia melangkah, dia menoleh ke arah Razif.
“Abang, minta maaf sebab tak sambut abang pulang di pintu.”
“Tak mengapa, abang tak marah. Malah abang suka Irdina ada di atas waktu Azmi ada di bawah.”
Irdina tersenyum dan berlalu ke bilik air. Dia membersihkan dirinya dan berwuduk. Razif menyalin pakaiannya dan melihat Irdina mengenakan telekung untuk bersolat. Razif masuk ke bilik air dan mandi. Ketika Razif keluar, Irdina telah selesai menunaikan solat dan sedang duduk di birai katil.
“Sayang, tolong ambilkan baju abang.”
Irdina mengambil baju T berwarna hitam untuk Razif. Razif mengenakan baju tersebut dan memakai seluar pendek melepasi lutut.
“Abang, boleh tak Irdina guna komputer abang? Laptop Irdina tertinggal di rumah Balkis,” kata Irdina yang duduk di birai katil.
“Sayang nak buat apa?” tanya Razif sambil duduk di sebelah Irdina.
“Nak tengok email.”
“Email siapa? Boyfriend?”
“Irdina tiada boyfriend. Ada abang saja sekarang ni.”
“Habis tu nak tengok email siapa?”
“Kawan waktu sekolah. Ada yang tinggal di luar negara.”
“Daripada  tengok email, tengok abang lebih baik. Dapat juga pahala,” kata Razif sambil ketawa.
Irdina hanya tersenyum dan dia melihat Razif seperti disuruh.
“Abang nak dengar bayan bercerita,” kata Razif sambil membaringkan badannya.
 “Cerita pasal angan-angan?” Irdina berbaring di sebelah Razif dan memegang tangan Razif.
 Razif merenung wajah Irdina. “Ya.”
“Baiklah. Dalam angan-angan, Putera Raja mempunyai seorang bonda yang sangat prihatin. Dia amat risau akan perilaku anaknya itu. Putera Raja mempunyai seorang sahabat tetapi disebabkan sahabatnya itu pernah menjadi kekasih Puteri, maka Putera Raja memutuskan persahabatannya. Dia bimbang jika Puteri berpaling kasih dan mencintai kekasih lamanya kembali. Putera Raja tidak mengetahui bahawa Puteri amat mencintainya setelah Puteri menjadi isteri Putera. Tak mungkin Puteri mengasihi yang lain kerana di dalam hati Puteri sekarang hanya ada Putera Raja seorang.”
 “Adakah benar dalam hati Puteri hanya ada Putera seorang?”
“Ya. Jika tak percaya, ambil pisau belahlah dada dan lihatlah isinya. Pasti Putera akan nampak hanya Putera di hati Puteri,” kata Irdina sambil tersenyum.
Razif menghadiahkan ciuman di pipi Irdina. “Terima kasih kerana mencintai abang.”
“Putera sepatutnya memaafkan Puteri dan juga sahabat Putera kerana apa yang berlaku bukan kehendak mereka berdua. Persahabatan Putera tidak patut diputuskan kerana Puteri. Puteri tak akan gembira jika Putera memutuskan silatulrahim yang menjadi tuntutan agama. Sepatutnya Putera kena bijak dan tidak menaruh syak wasangka terhadap isteri dan sahabatnya.”
“Sayang, abang bukan berniat nak menaruh syak wasangka terhadap sayang. Mungkin abang silap dalam menilai dan bimbang sesuatu yang tak patut abang bimbang. Maafkan abang,” kata Razif sambil mencium tangan Irdina.
Irdina tersenyum dan berasa gembira kerana secara tak langsung Razif mahu mendengar nasihatnya. Dia berharap agar Razif mahu berbaik semula dengan Ustaz Azmi.
“Sayang, malam ni sayang nak ke mana-mana tak?”
“Ikut abanglah. Abang nak ke mana?” tanya Irdina sambil mengiring dan menghadap Razif.
“Abang rasa nak bawa sayang pergi ke tempat paling istimewa.”
“Di mana?” tanya Irdina, gembira. Dia meletakkan kepalanya di dada Razif. Bibirnya mengukir senyuman.
“Klinik abang, nak palam gigi sayang.” Kata Razif lalu ketawa.
“Ahh! Tak istimewa langsung,” kata Irdina sambil mengalihkan kepalanya dan berbaring kembali.
Razif menarik Irdina ke dalam pelukannya. “Sayang, tempat tu istimewa sebab di situlah abang jatuh cinta pada sayang.”
“Bila? Masa cabut gigi ke?”
“Tak. Masa jahitkan luka di dahi sayang. Masa tu abang sedar, abang benar-benar jatuh cinta dan tak mahu kehilangan sayang. Malah ketika itu abang hampir tidak dapat menahan diri untuk mencium sayang begini,” kata Razif sambil mencium wajah Irdina bertubi-tubi.
Irdina ketawa kegelian. “Kalau abang buat begitu masa tu, rasanya mak suruh kita kahwin ketika tu juga.”  Razif turut ketawa gembira. Dia dapat merasakan penerimaan Irdina terhadap dirinya.
…………………………………………..

Malam itu Razif membawa Irdina untuk membuat rawatan gigi seperti yang dijadualkan. Setelah selesai membuat tampalan, Irdina menunggu Razif di pejabatnya. Razif mengizinkan Irdina melihat komputernya sementara menanti kerja-kerja Razif siap. Irdina mengambil kesempatan itu melihat dan membalas emailnya. Dia juga mengemas kinikan blognya yang telah lama terbiar.
“Sayang pun ada blog?” tanya Razif yang tiba-tiba masuk ke situ.
“Hish! Abang ni. Buat Irdina terkejut saja.” Irdina mengurut dada.
“Maaf. Sayang ni asyik sangat sampai tak perasan abang masuk.”
Irdina hanya tersenyum dan membiarkan Razif melihat blognya. Razif melihat blog Irdina yang mempunyai warna merah jambu dan putih sebagai latar dan bertulisan hitam. Terdapat juga warna ungu di blog tersebut. Warna-warna kegemaran Irdina.
“Apa yang sayang tulis?” tanya Razif sambil matanya menyoroti tulisan Irdina.
Tulisan Irdina lebih mengenai kehidupan dan dunia seorang wanita. Pengikut di blog Irdina juga mencecah seribu lebih dan banyak komen diberikan terhadap artikel yang ditulis.
“Abang pun ada blog. Sayang nak tengok?” tanya Razif sambil tangannya mengambil tetikus dari tangan Irdina.
Razif membuka blognya dan menunjukkan kepada Irdina. Blognya berlatarkan warna hitam bertulisan putih. Blognya berkaitan dengan pergigian dan pengalamannya sebagai doktor gigi. Terdapat hampir 800 orang pengikutnya dan kebanyakan komen adalah pertanyaan tentang masalah pergigian dan penjagaan gigi serta mulut.
“Baguslah blog abang. Tentu maklumat diberikan akan memberi manfaat pada ramai,” kata Irdina memuji.
 Razif tersenyum dengan pujian Irdina. “Sayang, kerja abang dah habis. Mari kita pergi makan.”
Irdina bersetuju dan menolong Razif menutup klinik. Mereka bersama-sama melangkah ke kereta dan Razif membukakan pintu kereta untuk isterinya. Razif membawa Irdina menuju ke kedai makan yang sering dikunjunginya bersama Ustaz Azmi. Razif ternampak Ustaz Azmi yang sedang duduk seorang diri di sebuah meja. Dia ingin berpatah balik tetapi di tahan oleh Irdina. Irdina mengajak Razif berjumpa Ustaz Azmi agar kekusutan antara mereka dapat dirungkaikan.
“Abang, kita kena hadapi soal ni bersama-sama. Dulu abang tak sempat nak jelaskan situasi kita dan menyebabkan dia menyalahkan abang. Sekaranglah peluang untuk abang jelaskan dan jernihkan kembali tali persahabatan abang. Irdina tak mahu abang kehilangan dia. Irdina tak mungkin memilih dia lagi, percayalah,” pujuk Irdina sambil memeluk lengan Razif.
Razif termakan pujukan Irdina dan mereka sama-sama melangkah ke meja Ustaz Azmi. Ustaz Azmi bangun untuk bersalaman dengan Razif. Mereka saling meminta maaf dan berpelukan antara satu sama lain. Irdina juga meminta maaf kepada Ustaz Azmi.
“Razif, aku minta maaf kerana marahkan kau. Aku sepatutnya berfikiran terbuka dan menerima keputusan kamu berdua untuk berkahwin. Aku gembira kerana kau yang mengahwini Irdina. Kau berhak dapat yang terbaik. Walaupun aku pernah mencintainya, tapi aku dah buang jauh-jauh perasaan tu. Aku anggap dia sebagai adik dan isteri sahabat baik aku, tak lebih dari itu.” Tutur Ustaz Azmi, jujur.
“Terima kasih Azmi. Aku tak sepatutnya menaruh syak wasangka terhadap kau. Aku akui, aku pentingkan diri. Bila aku telah jatuh cinta pada Irdina, aku hanya mahu memilikinya. Aku tak sedar kau lebih dulu mencintainya dan dia juga mencintai kau. Kamu berdua tidak berterus terang kepada aku. Andai kata kau berterus terang, mungkin aku tidak akan terlanjur mencintainya.”
“Sudahlah Razif. Aku tak kesal apa yang berlaku. Aku bersyukur sahabat aku yang amat memilih tentang pasangan hidupnya, telah memilih wanita yang aku tahu baik untuk dijadikan isteri.”
“Aku akui aku memilih dan bersyukur aku dikurniakan isteri terbaik buat diriku,” kata Razif sambil memeluk Irdina.
Ustaz Azmi tersenyum memandang mereka. Dia mempersilakan mereka duduk di meja itu bersamanya. Mereka duduk dan memesan makanan.
“Aku nak ajak kau ke Perlis sewaktu majlis kenduri di kampung Irdina. Nanti bolehlah kita jalan-jalan sekitar Perlis. Kau tak pernah ke sanakan?” kata Razif.
“Ya, tak pernah. Kalau aku boleh pergi tentu seronok. Bila kenduri di sana?” tanya Ustaz Azmi.
“Hari Sabtu hujung bulan ni,” kata Razif.
Makanan yang dipesan Razif tiba. Razif memesan mee rebus untuk Irdina dan dirinya. Mereka makan sambil berbual ringan. Tiba-tiba Irdina tergigit cili dan kepedasan.
“Kenapa sayang?” tanya Razif yang melihat Irdina meminum air hingga habis.
“Pedas tergigit cili,” kata Irdina. Air matanya terkeluar kerana kepedasan.
“Sayang ambil air abang.” Razif menghulurkan straw ke mulut Irdina.
Irdina menyedut air Razif dan kemudian melepaskan straw tersebut. Razif mengesat air mata Irdina membuatkan Irdina ketawa kecil. Ustaz Azmi yang menyaksikan perlakuan mereka hanya tersenyum. Walaupun masih ada sisa cinta di hatinya terhadap Irdina tetapi melihat kemesraan mereka, membuatkan dia berazam menghapuskan cinta itu.
Mereka meminta diri untuk pulang setelah lama berbual dengan Ustaz Azmi. Razif merasa amat gembira kerana dia bukan saja berjaya memiliki hati Irdina tetapi dapat juga memulihkan hubungan persahabatannya.
“Sayang, Balkis dah putus dengan boyfriend diakan?” tanya Razif ketika mereka telah berada di bilik mereka.
“Ya. Kenapa?” tanya Irdina sambil duduk di sebelah Razif.
“Abang terfikir nak kenalkan Balkis dengan Azmi.”
“Mahu ke Balkis tu?”
“Kita cubalah. Kalau menjadi, Alhamdullillah. Kalau tak pun, kita dah mencuba.”
“Irdina tak pasti sebab Balkis ni jenis happy go lucky dan kadangkala gila-gila sikit,” kata Irdina kemudian ketawa.
“Kenapa sayang ketawa? Teruk sangat ke Balkis tu?”
“Tak teruk cuma kadangkala tindakannya pelik-pelik sikit. Abang tahu tak, apa dia buat selepas putus dengan boyfriend dia?” kata Irdina sambil memicit bahu Razif.
 “Apa yang dia buat?” tanya Razif yang rasa selesa diurut Irdina.
“Dia warnakan rambut sama macam perempuan yang digilai oleh boyfriend dia,” kata Irdina sambil ketawa.
“Kenapa begitu?”
“Dia kata nak rasai perbezaan bila berambut perang dan dia nak cari sebab kenapa lelaki suka perempuan begitu.”
Razif turut ketawa kecil.
“Azmi pernah bertunang dengan pilihan keluarganya. Tetapi sebelum sempat majlis akad nikah, tunangnya lari dengan lelaki lain. Selepas kejadian tu, dia macam serik dan keluarganya menyerahkan kepada dia untuk mencari sendiri,” terang Razif.
“Kesiannya dia. Irdina harap dia akan bertemu jodoh yang sesuai satu hari nanti.”
“Ya, abang pun harap begitu. Jadi macam mana rancangan nak kenalkan dia dengan Balkis?”
“Kita boleh cuba. Apa kata kita jemput kedua-duanya untuk makan bersama-sama kita? Lepas tu kita tinggalkan mereka berdua dan minta Ustaz Azmi hantarkan Balkis. Mungkin cara tu dapat mereka berbual dan berkenalan.” Cadang Irdina.
Razif berfikir sejenak dan kemudian bersetuju dengan cadangan isterinya.
“Cuba sayang tanyakan Balkis malam bila dia lapang. Nanti abang tanyakan Azmi. Bila sama-sama tak ke mana, bolehlah kita jalankan misi kita.”
“Kita ni macam agensi pencari jodoh pula,” kata Irdina sambil memeluk tengkuk Razif dari belakang. Kepalanya dilentokkan di bahu Razif.
“Kita tolong orang bina masjid, dapat pahala dan abang pun akan rasa bahagia.” Kata Razif sambil tersenyum.
 ‘Selamat bini aku,’ bisik Razif di dalam hati.
Irdina turut tersenyum.
“Bayan tak nak bercerita ke malam ni?” tanya Razif sambil menoleh dan melihat wajah Irdina yang rapat ke wajahnya.
“Tak naklah. Malam ni biar tiung pula bercerita.”
“Tiung tak pandai bercerita. Sekali tiung buka mulut terus kena rentap dan dibunuh tuannya.”
“Tiung tu tiung betina. Tiung yang ada dengan bayan ni, tiung jantan. Tak sama.” Kata Irdina, sambil jemarinya bermain-main di telinga Razif.
“Dalam hikayat tu, kalau tak silap abang bayan tu merupakan bayan jantan. Tapi bayan yang ada dengan abang bayan betina. Pandai pula mengoda,” kata Razif sambil menarik tubuh Irdina menyebabkan Irdina terjerit kecil kerana terkejut.
Kalau sebelum ini, Razif merasakan Irdina lebih banyak mengikut dalam paksaan tetapi kali ini atas kerelaannya sendiri. Irdina lebih ikhlas ketika melayan Razif. Gurau senda  membuatkan kemanisan berumah tangga kian terasa. Razif rasa bahagia di segenap kalbunya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

moga2 menjadi rancangan razif dan irdina nak satukan ustaz azmi dgn balkis

inc3 berkata...

nice job kak. saya semakin tertarik untuk episod seterusnya. Alhamdulillah Razif sudah berbaik dgn ustaz Azmi. semoga selepas ini Irdina menjadi lebih gembira di samping Razif.