Pengikut

Rabu, 11 Disember 2013

KIES 9 Cinta Selamanya - bab 27

PENGUMUMAN: NOVEL INI TELAH DITERBITKAN OLEH GEDEBOOK SDN BHD DENGAN TAJUK TERGOLEK HATIKU KERANA KAMU. bOLEH DAPATKANNYA DI PASARAN.


Sepanjang jalan aku mendiamkan diri sambil melayan perasaan hiba. Ada ketika aku tertidur kerana keletihan. Mungkin kerana lama menangis membuatkan aku lemah dan mataku mulai membengkak. Wirdah yang setia di sisiku seolah memahami dan tidak menggangguku. Akhirnya kami tiba juga ke Kuala Lumpur setelah sekian lama berada di dalam kereta Raja Azrin. Raja Azrin yang memandu ketika itu terus membawa kami ke rumah Tengku Budriz.
“Rain, I nak balik rumah I. Hantar I ke sana,” pintaku dengan suara yang makin parau. Mungkin disebabkan aku tidak minum air atau makan selepas kejadian siang tadi. Siapa yang masih ada selera makan jika melihat orang kesayangan dibunuh? Hanya orang yang tiada perasaan sahaja mampu berbuat begitu.
“Dah lewat malam ni. Rumah you bukan ada sesiapa. Lagipun Riz yang suruh I hantar you ke sini. Di sini ada Bonda Indah. Jadi keselamatan you, terjamin.” Raja Azrin cuba memujuk.
“I nak balik!” jerkahku.
Raja Azrin tetap memasuki kawasan rumah Tengku Budriz tanpa menghiraukan kemarahanku. Aku mengajak Wirdah turun segera daripada kereta setelah Raja Azrin menghentikannya. Sambil memegang tangan Wirdah, aku melangkah ke arah pintu pagar. Tekadku hanya satu. Aku ingin pulang ke rumahku.
“Sha! Nak ke mana tu?” Terdengar laungan suara Tengku Budriz.
“Sha nak balik!” Aku tetap melangkah.
Jusoh hanya melihat sambil menyalakan rokoknya. Dia memberi isyarat dan Rais segera berlari untuk menghalangku.
“Cik Kak, tak payah tunjuk keras kepala. Ikut aje arahan Ku Riz. Kerja kami pun senang, Cik Kak pun selamat. Paling untung sebab Ku Riz nak peristerikan Cik Kak,” ujar Rais sambil tersengeh di hadapanku.
 “Ke tepi!”
Rais tidak memperdulikan kemarahanku dan dia masih boleh ketawa seolah aku sedang membuat aksi lawak di dalam rancangan Maharaja Lawak Mega. Tahap kesabaranku bagaikan di bawah paras negatif. Tanpa amaran, aku menendang kelangkang Rais seperti yang pernah diajar oleh Iskandar dahulu ketika belajar cara mempertahankan diri. Terdengar Rais mengadui dan dia terguling kesakitan.
Padan muka! Biar kau mandul selama-lamanya, bisik hatiku puas.
Aku menggenggam tangan Wirdah dan bersedia untuk berlari. Tidak sampai beberapa langkah, kami terhalang oleh Mogan dan Daud yang berdiri betul-betul di hadapan pagar yang mulai tertutup dengan sendirinya. Mungkin Tengku Budriz telah menekan alat kawalan jauh pagar tersebut. Aku berusaha meloloskan diri tetapi gagal kerana Wirdah telah dapat ditangkap oleh Daud.
“Kak Sha, lari! Jangan pedulikan Wirdah,” ujar Wirdah yang telah terkunci pergerakannya.
Aku terpaksa menyerah kalah. Mogan cuba memegangku tetapi tangannya kutepis.
“Jangan sentuh aku!”
“Okey! Calm down. Lebih baik you ajak adik you masuk berehat. Kalau you nak balik juga, esok pagi you minta Ku Riz hantar,” tutur Mogan agak lembut.
Aku segera mendapatkan Wirdah yang telah dilepaskan oleh Daud. Raja Azrin dan Tengku Budriz menghampiri kami. Aku memeluk Wirdah sambil menangis. Marah dan kecewa bersatu.
“Kak Sha, sabarlah. Mungkin kita patut berehat di sini dulu. Esok pagi kita balik rumah Kak Sha,” pujuk Wirdah.
“Betul tu Keisha. You perlu rehat. Teruk sangat I tengok keadaan you,” ujar Raja Azrin.
Mendengar suara Raja Azrin, kemarahanku bagai dicas semula. Aku menghayunkan langkah ke arah Raja Azrin dan terus menendangnya. Tepat mengenai sasaran. Raja Azrin menyeringai kesakitan sambil tangannya menekup bahagian sensitif lelaki yang kutendang.
“Kei...sha...ke...napa?” tanya Raja Azrin dengan nada terputus-putus.
You deserved it! Mandul terus, lebih baik!”
Tengku Budriz ketawa kecil sambil menggeleng. Dia menolong Raja Azrin untuk berdiri.
“Riz, aku balik dulu. Lagi lama aku duduk sini, silap-silap mandul terus aku nanti,” ujar Raja Azrin sambil membetulkan diriannya.
Raja Azrin memasuki keretanya dan terus memandu keluar dari kawasan rumah itu. Aku hanya memerhati dengan rasa puas hati. Dapat juga aku melampiaskan kemarahan terhadapnya.
 “Sha, masuklah berehat. Jangan fikir yang bukan-bukan. Lama bonda tunggu Sha sampai tertidur. Takkan Sha tak mahu jumpa dia?” Manis mulut Tengku Budriz memujuk.
Entah kenapa, aku termakan juga pujukannya. Mungkin benar kata mereka, aku benar-benar perlukan rehat. Terasa hairan juga di hatiku. Kenapa aku bagaikan tidak teruja untuk berjumpa Bonda Indah? Seperti perasaanku mati. Gerak hati terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena tetapi aku tidak tahu apa. Aku menurut saranan Tengku Budriz dan kami melangkah masuk ke rumah. Aku dan Wirdah duduk di sofa setelah Tengku Budriz menyuruhku berbuat begitu. Katanya ingin berbincang sesuatu denganku.
“Sha, Riz minta maaf sebab tak tahu sikap sebenar Badri. Kalau Riz tahu dia yang rancang pembunuhan ayahanda dan bonda Sha, tentu Riz dah halang. Tak sangka dia sanggup tikam bapa sendiri setelah gagal dapatkan wang. Riz benar-benar kesal. Tak sangka, Badri begitu tamak dan tak bersyukur dengan jawatan yang Pak Su beri pada dia.”
Walaupun ketika itu wajah Tengku Budriz jelas kelihatan sugul tetapi hatiku tidak tersentuh. Seolah apa yang dikatanya tidak bermakna buatku. Sebenarnya Tengku Badri adalah Pengurus Akaun yang dilantik oleh ayahandaku. Tengku Budriz pula dilantik sebagai Pengurus Pemasaran syarikat. Pergeseran antara Tengku Badri dan Tengku Budriz telah lama aku ketahui. Ada ketika aku dapat melihat yang Tengku Budriz mencemburui abangnya sendiri. Tengku Badri seringkali dipuji oleh ayahandaku kerana kerja-kerjanya yang sentiasa beres dan efisyen.
“Riz, Sha letih. Sha nak masuk rehat dulu. Perkara ni kita bincang kemudian.”
Aku berdiri sambil menayangkan muka bosan dan letih. Tengku Budriz jelas tidak berpuas hati dengan sikapku. Tetapi dia tetap tersenyum dan turut berdiri.
“Sha boleh tidur di bilik tetamu di atas. Budak ni boleh tidur di bilik Mak Tam,” ujar Tengku Budriz sambil memandang arah Wirdah.
Aku tidak terkejut dengan saranan Tengku Budriz. Dia masih mementingkan darjat dan kedudukan. Aku pasti dia telah mengetahui siapa Wirdah yang sebenarnya melalui Raja Azrin.
“Ini adik Sha. Di mana Sha berada, di situ juga tempat dia,” ujarku sambil menggenggam tangan Wirdah.
“Baiklah, kalau Sha dah kata begitu.”
Jelas kelihatan air muka Tengku Budriz yang tidak menyenangi Wirdah. Tetapi aku tidak kisah. Yang penting, Wirdah bersamaku. Aku mengajak Wirdah ke bilik tetamu dan Wirdah sempat mengucapkan terima kasih buat Tengku Budriz.  Kami melangkah bersama-sama meninggalkan Tengku Budriz yang masih tidak berganjak daripada tempat duduknya.

10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mcam mana keaadaan iskandar ni, janganlah terjadi apa2 kat dia, kusha memang degil coba bila tak ikut raja mesti tak jadi mcam ni

Tanpa Nama berkata...

bila nak sambung lagi....

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Hendak tahu apa yang berlaku kepada Iskandar, terus ikuti kisah ini.

Dyan berkata...

Sambung lah lagi...Nak tahu apa yang jadi dekat IS dan KuSha....

Tanpa Nama berkata...

Eh??? Mana smbungan? Arghhh!!Knapa tak da??
Smbung lah lagi

Imanisa riana @ sarimah berkata...

buku ini telah diterbitkan bulan september lepas dan telah berada di pasaran sekarang dengan tajuk TERGOLEK HATIKU KERANA KAMU. Boleh dapatkan di kedai berhampiran atau klik link pada gambar THKK untuk pembelian.. terima kasih.

Tanpa Nama berkata...

Mna sambungannya? Dan knpa bab 28 dan seterusnya tak boleh nk baca??

Tanpa Nama berkata...

Aduh! Sambung la lagi cerita ni. Please.. saya merayu. Tolong la kasi sambungannya..

Tanpa Nama berkata...

Aduh! Sambung la lagi cerita ni. Please.. saya merayu. Tolong la kasi sambungannya..

Tanpa Nama berkata...

Aduh! Sambung la lagi cerita ni. Please.. saya merayu. Tolong la kasi sambungannya..