Sepanjang
jalan aku mendiamkan diri sambil melayan perasaan hiba. Ada ketika aku tertidur
kerana keletihan. Mungkin kerana lama menangis membuatkan aku lemah dan mataku
mulai membengkak. Wirdah yang setia di sisiku seolah memahami dan tidak
menggangguku. Akhirnya kami tiba juga ke Kuala Lumpur setelah sekian lama
berada di dalam kereta Raja Azrin. Raja Azrin yang memandu ketika itu terus
membawa kami ke rumah Tengku Budriz.
“Rain, I nak balik rumah I. Hantar I ke sana,”
pintaku dengan suara yang makin parau. Mungkin disebabkan aku tidak minum air
atau makan selepas kejadian siang tadi. Siapa yang masih ada selera makan jika
melihat orang kesayangan dibunuh? Hanya orang yang tiada perasaan sahaja mampu
berbuat begitu.
“Dah lewat malam ni. Rumah you bukan ada sesiapa.
Lagipun Riz yang suruh I hantar you ke sini. Di sini ada Bonda Indah. Jadi
keselamatan you, terjamin.” Raja Azrin cuba memujuk.
“I nak balik!” jerkahku.
Raja Azrin tetap memasuki kawasan rumah Tengku Budriz
tanpa menghiraukan kemarahanku. Aku mengajak Wirdah turun segera daripada
kereta setelah Raja Azrin menghentikannya. Sambil memegang tangan Wirdah, aku
melangkah ke arah pintu pagar. Tekadku hanya satu. Aku ingin pulang ke rumahku.
“Sha! Nak ke mana tu?” Terdengar laungan suara
Tengku Budriz.
“Sha nak balik!” Aku tetap melangkah.
Jusoh hanya melihat sambil menyalakan rokoknya. Dia
memberi isyarat dan Rais segera berlari untuk menghalangku.
“Cik Kak, tak payah tunjuk keras kepala. Ikut aje
arahan Ku Riz. Kerja kami pun senang, Cik Kak pun selamat. Paling untung sebab
Ku Riz nak peristerikan Cik Kak,” ujar Rais sambil tersengeh di hadapanku.
“Ke tepi!”
Rais tidak memperdulikan kemarahanku dan dia masih
boleh ketawa seolah aku sedang membuat aksi lawak di dalam rancangan Maharaja
Lawak Mega. Tahap kesabaranku bagaikan di bawah paras negatif. Tanpa amaran,
aku menendang kelangkang Rais seperti yang pernah diajar oleh Iskandar dahulu
ketika belajar cara mempertahankan diri. Terdengar Rais mengadui dan dia
terguling kesakitan.
Padan muka! Biar kau mandul selama-lamanya, bisik
hatiku puas.
Aku menggenggam tangan Wirdah dan bersedia untuk
berlari. Tidak sampai beberapa langkah, kami terhalang oleh Mogan dan Daud yang
berdiri betul-betul di hadapan pagar yang mulai tertutup dengan sendirinya.
Mungkin Tengku Budriz telah menekan alat kawalan jauh pagar tersebut. Aku
berusaha meloloskan diri tetapi gagal kerana Wirdah telah dapat ditangkap oleh
Daud.
“Kak Sha, lari! Jangan pedulikan Wirdah,” ujar
Wirdah yang telah terkunci pergerakannya.
Aku terpaksa menyerah kalah. Mogan cuba memegangku
tetapi tangannya kutepis.
“Jangan sentuh aku!”
“Okey! Calm
down. Lebih baik you ajak adik you masuk berehat. Kalau you nak balik juga,
esok pagi you minta Ku Riz hantar,” tutur Mogan agak lembut.
Aku segera mendapatkan Wirdah yang telah dilepaskan
oleh Daud. Raja Azrin dan Tengku Budriz menghampiri kami. Aku memeluk Wirdah
sambil menangis. Marah dan kecewa bersatu.
“Kak Sha, sabarlah. Mungkin kita patut berehat di
sini dulu. Esok pagi kita balik rumah Kak Sha,” pujuk Wirdah.
“Betul tu Keisha. You perlu rehat. Teruk sangat I
tengok keadaan you,” ujar Raja Azrin.
Mendengar suara Raja Azrin, kemarahanku bagai dicas
semula. Aku menghayunkan langkah ke arah Raja Azrin dan terus menendangnya. Tepat
mengenai sasaran. Raja Azrin menyeringai kesakitan sambil tangannya menekup
bahagian sensitif lelaki yang kutendang.
“Kei...sha...ke...napa?” tanya Raja Azrin dengan
nada terputus-putus.
“You deserved
it! Mandul terus, lebih baik!”
Tengku Budriz ketawa kecil sambil menggeleng. Dia
menolong Raja Azrin untuk berdiri.
“Riz, aku balik dulu. Lagi lama aku duduk sini,
silap-silap mandul terus aku nanti,” ujar Raja Azrin sambil membetulkan
diriannya.
Raja Azrin memasuki keretanya dan terus memandu
keluar dari kawasan rumah itu. Aku hanya memerhati dengan rasa puas hati. Dapat
juga aku melampiaskan kemarahan terhadapnya.
“Sha,
masuklah berehat. Jangan fikir yang bukan-bukan. Lama bonda tunggu Sha sampai
tertidur. Takkan Sha tak mahu jumpa dia?” Manis mulut Tengku Budriz memujuk.
Entah kenapa, aku termakan juga pujukannya. Mungkin
benar kata mereka, aku benar-benar perlukan rehat. Terasa hairan juga di
hatiku. Kenapa aku bagaikan tidak teruja untuk berjumpa Bonda Indah? Seperti
perasaanku mati. Gerak hati terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena tetapi
aku tidak tahu apa. Aku menurut saranan Tengku Budriz dan kami melangkah masuk
ke rumah. Aku dan Wirdah duduk di sofa setelah Tengku Budriz menyuruhku berbuat
begitu. Katanya ingin berbincang sesuatu denganku.
“Sha, Riz minta maaf sebab tak tahu sikap sebenar
Badri. Kalau Riz tahu dia yang rancang pembunuhan ayahanda dan bonda Sha, tentu
Riz dah halang. Tak sangka dia sanggup tikam bapa sendiri setelah gagal
dapatkan wang. Riz benar-benar kesal. Tak sangka, Badri begitu tamak dan tak
bersyukur dengan jawatan yang Pak Su beri pada dia.”
Walaupun ketika itu wajah Tengku Budriz jelas
kelihatan sugul tetapi hatiku tidak tersentuh. Seolah apa yang dikatanya tidak
bermakna buatku. Sebenarnya Tengku Badri adalah Pengurus Akaun yang dilantik
oleh ayahandaku. Tengku Budriz pula dilantik sebagai Pengurus Pemasaran
syarikat. Pergeseran antara Tengku Badri dan Tengku Budriz telah lama aku
ketahui. Ada ketika aku dapat melihat yang Tengku Budriz mencemburui abangnya
sendiri. Tengku Badri seringkali dipuji oleh ayahandaku kerana kerja-kerjanya
yang sentiasa beres dan efisyen.
“Riz, Sha letih. Sha nak masuk rehat dulu. Perkara
ni kita bincang kemudian.”
Aku berdiri sambil menayangkan muka bosan dan letih.
Tengku Budriz jelas tidak berpuas hati dengan sikapku. Tetapi dia tetap
tersenyum dan turut berdiri.
“Sha boleh tidur di bilik tetamu di atas. Budak ni
boleh tidur di bilik Mak Tam,” ujar Tengku Budriz sambil memandang arah Wirdah.
Aku tidak terkejut dengan saranan Tengku Budriz. Dia
masih mementingkan darjat dan kedudukan. Aku pasti dia telah mengetahui siapa
Wirdah yang sebenarnya melalui Raja Azrin.
“Ini adik Sha. Di mana Sha berada, di situ juga
tempat dia,” ujarku sambil menggenggam tangan Wirdah.
“Baiklah, kalau Sha dah kata begitu.”
Jelas kelihatan air muka Tengku Budriz yang tidak
menyenangi Wirdah. Tetapi aku tidak kisah. Yang penting, Wirdah bersamaku. Aku
mengajak Wirdah ke bilik tetamu dan Wirdah sempat mengucapkan terima kasih buat
Tengku Budriz. Kami melangkah
bersama-sama meninggalkan Tengku Budriz yang masih tidak berganjak daripada
tempat duduknya.
10 ulasan:
mcam mana keaadaan iskandar ni, janganlah terjadi apa2 kat dia, kusha memang degil coba bila tak ikut raja mesti tak jadi mcam ni
bila nak sambung lagi....
Hendak tahu apa yang berlaku kepada Iskandar, terus ikuti kisah ini.
Sambung lah lagi...Nak tahu apa yang jadi dekat IS dan KuSha....
Eh??? Mana smbungan? Arghhh!!Knapa tak da??
Smbung lah lagi
buku ini telah diterbitkan bulan september lepas dan telah berada di pasaran sekarang dengan tajuk TERGOLEK HATIKU KERANA KAMU. Boleh dapatkan di kedai berhampiran atau klik link pada gambar THKK untuk pembelian.. terima kasih.
Mna sambungannya? Dan knpa bab 28 dan seterusnya tak boleh nk baca??
Aduh! Sambung la lagi cerita ni. Please.. saya merayu. Tolong la kasi sambungannya..
Aduh! Sambung la lagi cerita ni. Please.. saya merayu. Tolong la kasi sambungannya..
Aduh! Sambung la lagi cerita ni. Please.. saya merayu. Tolong la kasi sambungannya..
Catat Ulasan