Razif
meneliti arah yang tertera di skrin GPS. Dia sudah hampir dengan tempat kediaman
Zaharah, kekasih hatinya. Percintaannya dengan Zaharah bermula sejak menuntut
di universiti lagi. Mereka terpisah setelah masing-masing bekerja. Razif di
Kuala Lumpur dan Zaharah di Pulau Pinang. Sebenarnya, Razif dalam perjalanan untuk
menemui Zaharah. Perasaan rindu yang menggebu mengamitnya ke situ. Dia ingin
membuat kejutan serta meraikan ulang tahun kelahiran Zaharah.
“Mungkin
flat ni gamaknya,” ujar Razif sendirian.
Razif
memarkirkan kereta di petak parkir. Dia cuba mendail nombor telefon Zaharah.
Berkali-kali dia mencuba tetapi tiada jawapan.
“Kenapa
tak angkat? Takkan kerja pula hari ni? Semalam aku dah tanya kawan dia. Memang
dia cuti. Ni, yang buat aku tak sedap hati,” ujar Razif sambil melepaskan
keluhan.
Teringat
dia akan perbualan telefon dengan Zaharah, seminggu lalu. Ketika itu dia ingin
menyampaikan hasratnya untuk meminang Zaharah.
“Za,
mak I dah setuju nak masuk meminang you
hujung bulan ni,” ujar Razif dengan gembira.
“Er...
kita tangguhkan dulu soal ni. I tak boleh bagi komitmen pada you jika kita kahwin. You pun tahu, kesibukan kita dengan
kerjaya masing-masing,” Zaharah beralasan.
“Bila
you sedia?” soal Razif, kecewa.
“Mungkin
dua tiga tahun lagi.”
“Kenapa
Za? You dah banyak berubah sejak
beberapa bulan ni. Dulu hari-hari you
telefon atau mesej I. Tapi sekarang ni, dah tak ada mesej you. Bila telefon, you
bagi alasan sibuk. I pun doktor. Sibuk macam you juga tapi masih ada masa untuk orang tersayang.”
“I
benar-benar sibuk, Razif. Jika ada masa, I akan mesej you.”
“Za,
I nak you berterus terang. You dah ada orang lain ke?”
“Apa
yang you merepek ni? I nak cari kawan
pun tak sempat, inikan pula nak ada orang baru.”
“Jika
begitu, kita bertunang dulu. Bila you
dah sedia, kita langsungkan perkahwinan kita,” ujar Razif masih mengharap.
“Razif,
I penat ni. Boleh tak kita bincang soal ni lain kali?”
“Za,
please! Cakap ya atau tidak.”
“You
ni suka mendesak. Tapi tak apa. Kalau you nakkan I, tunggu dua atau tiga tahun
lagi. Tak perlu bertunang, terus kahwin.”
“Tapi
Za...”
“Maafkan
I Razif. I nak sambung kerja sekarang. Pesakit ramai di luar sana.” Zaharah
telah mematikan talian sebelum sempat Razif membalas.
Lamunan
Razif terhenti apabila telefonnya berdering. Hatinya melonjak gembira
memikirkan kemungkinan Zaharah menelefonnya. Tetapi hatinya menjadi hampa
kerana abangnya, Razman yang menelefon. Razif menjawab salam yang diberikan
oleh Razman.
“Razif,
abang tak tahu nak cakap macam mana,” ujar Razman lemah, di hujung talian.
“Kenapa
bang?”
“Abang
rasa Hanis main kayu tiga belakang abang. Tapi abang tak ada bukti.”
“Abang
boleh siasat dan intip dia.”
“Abang
dah cuba siasat, tapi dia tak tinggalkan jejak.”
“Cuba
abang pura-pura ada kerja luar kawasan. Abang sewa mana-mana hotel dan tengok
apa yang dia nak buat.”
“Okey,
abang akan ikut cadangan Razif. Abang sangat berharap, ALLAH tunjukkan
kebenaran.”
“Mudah-mudahan,
abang.”
Mereka
berbual buat seketika sebelum menamatkannya. Razif mencapai jambangan bunga dan
melangkah keluar dari kereta. Matanya meliar mencari kedudukan rumah Zaharah.
Tiba-tiba melintas seorang remaja di hadapannya.
“Adik,
tumpang tanya,” sapa Razif dengan sopan.
Remaja
lelaki itu menghentikan langkah dan menghadap Razif.
“Adik
tahu tak alamat rumah ni?” soal Razif sambil menunjukkan alamat rumah Zaharah.
“Oh!
Rumah Kak Za.”
“Adik
kenal ke dia?”
“Kenal
sebab dia selalu beli nasi lemak di warung mak saya. Abang ni siapa? Kenapa nak
cari dia?”
“Abang
ni bakal suami dia.”
Remaja
itu menganggukkan kepala dan mengajak Razif menaiki lif. Mereka sempat berbual
ringan sehingga tiba di rumah sewaan Zaharah.
“Inilah
rumah dia. Abang boleh tekan loceng depan pintu tu. Saya nak minta diri dulu
sebab mak saya dah lama tunggu di warung,” ujar remaja itu.
“Baiklah.
Terima kasih atas pertolongan adik,” ujar Razif lalu bersalaman dengan remaja
itu.
Razif
menekan loceng rumah Zaharah setelah remaja itu berlalu pergi. Agak lama dia
menekan, barulah dia mendengar bunyi selak pintu dibuka. Razif bersiap sedia
dengan bunga di tangan. Dia berharap kejutannya itu membuatkan Zaharah terharu.
Senyumannya melebar.
Terbuka
sahaja pintu, senyuman Razif turut menghilang. Bukan Zaharah yang muncul,
sebaliknya seorang lelaki yang berseluar pendek tanpa baju dengan rambut
seperti orang baru bangun tidur.
“Cari
siapa?” soal lelaki itu sambil menguap.
“Maafkan
saya. Bukankah ini rumah Zaharah?” soal Razif penuh curiga.
“Ya.
Kenapa?”
“Saya
nak jumpa dia sekejap,” pinta Razif ragu-ragu. Perasaannya mulai tidak enak.
Persoalan siapa lelaki itu, bermain di minda.
“Darling! Siapa yang datang tu?”
terdengar suara Zaharah dari dalam bilik.
“Kawan
you,” laung lelaki itu.
Perasaan
Razif tidak menentu ketika itu. Pelbagai andaian buruk bermain di minda.
“Darling, I...” Zaharah tergamam melihat
Razif di muka pintu.
“Apa
semua ni Za?” soal Razif, meradang.
“Razif,
I minta maaf,” ujar Zaharah perlahan.
“Siapa
lelaki ni?” suara Razif makin meninggi.
“Hey!
Siapa you nak marah-marah isteri I?”
soal lelaki itu sambil menghalang Razif daripada memasuki rumah.
“Isteri
you?” soal Razif, memandang tepat ke
wajah lelaki itu.
“Ya,
isteri I. Dah dua hari kami kahwin.”
Seperti
halilintar membelah bumi, kata-kata lelaki itu menghancur leburkan hati Razif.
Punah segala impian. Hancur sebuah pengharapan.
“Patutlah you asyik mengelak, rupanya you dah ada orang lain. Mana janji you nak sehidup semati dengan I? I
datang dari jauh semata-mata nak sambut birthday
you. Rupanya ini hadiah yang you
beri pada I.”
“Maafkan
I, Razif. Perkahwinan kami pun tak dirancang. Kami terpaksa kahwin setelah kami
ditangkap khalwat.”
“Khalwat?”
Makin hampa rasa hati Razif. Zaharah yang disangka menjaga batas pergaulan,
boleh ditangkap khalwat dengan lelaki. Bermakna sifat curang memang sedia ada
pada perempuan. Luaran nampak alim tetapi sebenarnya penuh kepura-puraan.
Begitulah tanggapan Razif kini.
Razif
mencampakkan bunga ke dalam tong sampah dan berlalu pergi dari situ. Dia
memandu keluar ke arah Batu Feringgi. Fikirannya seolah tepu dengan kemarahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan