Pengikut

Rabu, 26 Februari 2014

Abang King Kontrol - bab 3



Razif ternampak sebuah kereta mengundur keluar dari kawasan parkir. Dia segera memberi isyarat untuk memasuki parkir itu. Kawasan parkir di Batu Feringgi agak terhad. Kira nasibnya agak baik. Razif menunggu dengan sabar. Setelah kereta yang mengundur itu berlalu pergi, Razif ingin memasuki petak itu tetapi enjin kereta tiba-tiba terhenti. Dia menghidupkan kembali enjin dan bersedia untuk memarkir.
“Kurang ajar!” marah Razif apabila sebuah kereta Wira memintas dan memasuki petak parkir itu.
Razif menunggu seketika untuk melihat pemandu kereta Wira itu. Keluar dua orang perempuan dari kereta itu. Razif menurunkan cermin kereta.
“Hoi! Cik adik. Tak nampak ke aku dah tunggu nak masuk parking ni?” soal Razif agak kasar sambil matanya melihat gadis berbaju merah muda yang merupakan pemandu kereta Wira.
“Kau tak bagi isyarat nak masuk pun. Aku ingat kau nak tunggu bini kau beli makanan saja. Maaflah sebab dah parking,” ujar Irdina lalu menarik tangan Balkis untuk berlalu dari situ.
“Kurang ajar! Boleh dia pergi begitu saja.”
Razif terpaksa mengalihkan kenderaannya dan bergerak ke hadapan. Matanya dapat melihat sebuah petak parkir yang kosong. Dia tersenyum dan memasuki parkir itu. Razif keluar dan berjalan menuju ke gerai menjual laksa. Matanya bertembung dengan Irdina yang kebetulan memanggungkan kepala.
Irdina melarikan pandangan matanya. Rasa menyampah dengan Razif yang dianggapnya kasar dan sombong. Disebabkan tiada tempat kosong selain meja yang berhampiran dengan meja Irdina, maka hendak tidak hendak Razif melabuhkan punggungnya di kerusi. Irdina menjeling sekilas ke arah Razif.
“Jeling-jeling. Nanti juling baru tahu,” ujar Razif yang kurang senang dengan penampilan dan sikap Irdina. Padanya seorang perempuan yang tidak bertudung seperti Irdina dan Balkis adalah perempuan yang tidak patuh hukum agama. Tidak layak dibuat kawan apa lagi seorang isteri. Jika perempuan bertudung seperti Zaharah pun boleh melakukan maksiat dan khalwat, inikan pula perempuan tidak bertudung. Itulah persepsi Razif terhadap Irdina dan Balkis.
“Apa masalah Mamat ni? Kalau tak puas hati, jomlah race,” ujar Irdina, geram.
“Hisy! Kak Irdina ni. Sudah-sudahlah cari pasal. Biarlah kat orang tu. Bukan kita ganggu dia pun.”
“Aku tengah bengang. Mamat ni pula nak cari pasal. Sekali aku siram kuah laksa ni baru tahu.”
“Sabar Kak Irdina. Tak ada guna nak gaduh dengan dia. Makanlah cepat, nanti laksa sejuk tak sedap pula.”
Mata Irdina melingas mencari botol kicap. Dia terpandang botol kicap yang terletak di atas meja Razif. Tanpa berlengah, Irdina bangun untuk mengambil botol kicap itu.
“Woi! Kicap aku tu,” ujar Razif setelah Irdina menyambar botol kicap di hadapannya.
“Kicap kau?” Irdina tersenyum sumbing.
“Ya! Nak ambil tak tahu minta izin. Macam penyamun saja,” ujar Razif bengang.
“Mana ada nama kau kat botol ni? Kira harta awam, sesiapa pun boleh guna tanpa perlu minta izin,” ujar Irdina lalu duduk kembali di mejanya.
Irdina menuang kicap ke dalam laksanya. Dia makan dengan penuh selera. Razif melihat laksa yang diletakkan oleh pelayan di hadapannya.
“Adik, tolong ambil kicap daripada kakak Pingu tu,” ujar Razif sambil jarinya menunjuk ke arah Irdina dan Balkis. Dia memanggil mereka begitu kerana Irdina berbaju merah muda dan Balkis berbaju ungu. Kependekkan pink dan ungu, menjadi Pingu.
Irdina dapat mendengar gelaran Pingu yang diberikan oleh Razif kepada mereka. Panas hatinya kian meningkat.
“Amboi! Sedap mulut saja panggil kita Pingu. Rupa macam burung gagak, ada hati nak mengorat kita,” bidas Irdina.
Balkis hanya menggeleng kepala melihat perang mulut antara Razif dan Irdina.
“Aku nak mengorat kau? Cerminkanlah muka tu dulu. Kalau perempuan macam kau, bagi free pun aku tak ingin,” ujar Razif agak sombong.
Menggelegak perasaan Irdina ketika itu. Dia bangun untuk membuat perhitungan dengan Razif. Tetapi Balkis lebih pantas memeluk tubuh Irdina bagi menenangkannya.
“Sudahlah Kak Irdina! Malu orang tengok,” ujar Balkis sambil matanya memandang keliling.
Ada beberapa orang yang berhenti melihat pertengkaran Irdina dan Razif. Masing-masing ketawa dan tak kurang juga yang cuba mengapi-apikan. Irdina yang terperasan ramai orang memandangnya, segera menyerahkan wang kepada penjual laksa. Dia bergerak menuju ke kereta dengan perasaan mendongkol. Hasrat hati untuk menikmati laksa sambil melihat deruan ombak, telah terganggu dengan kehadiran Razif. Berbakul-bakul sumpah seranah dilontarkan buat Razif walaupun dia tahu Razif tidak mendengarnya.
Balkis terkocoh-kocoh masuk ke dalam kereta. Berdecit bunyi tayar kereta ketika Irdina mengalih keluar keretanya dengan laju. Razif tersenyum menang setelah Irdina berlalu pergi. Dia menuang kicap ke dalam laksa dan mulai menjamahnya. Terpejam-pejam matanya bagi menikmati keenakan laksa Penang sambil mendengar deruan ombak yang memukul pantai.
“Sakitnya hati aku! Nak makan pun tak senang dengan Mamat tu. Terlepas wad gila mana tah, asyik nak kutuk kita saja,” ujar Irdina, marah.
“Entahlah, aku pun tak tahu. Tapi handsome juga dia kan? Pakai serba hitam,” ujar Balkis separuh memuji.
“Huh! Buta warna ke kau ni? Serba hitam macam gagak tu handsome?”
Handsome! Kalau dengan Kak Irdina memang padan,” ujar Balkis lalu ketawa.
“Karang ada yang kena lempar keluar kereta.”
“Aku gurau saja, janganlah marah.”
“Hah! Tau pun takut. Lagi sekali kau kata Mamat tu handsome, aku lempar kau betul-betul.”
“Teruklah Kak Irdina ni. Orang nak gurau-gurau pun tak boleh.”
Irdina tersenyum melihat Balkis menarik mulut muncung. Dia terus memandu menghala ke arah kompleks membeli belah. Mereka ingin menghabiskan sedikit lagi masa di Pulau Pinang sebelum pulang ke Perlis.
Razif membayar harga makanan dan beredar ke kereta. Dia teringat untuk membeli beberapa buah tangan sebelum pulang ke Kajang. Setelah mendapatkan jeruk buah-buahan, Razif meneruskan pemanduan ke kompleks membeli belah.
‘Macam aku pernah nampak kereta ni,’ bisik hati Razif sambil meneliti kereta yang sedia terparkir di sebelah keretanya.
‘Minah Pingu!’ Terukir senyuman di bibir Razif.
Razif mengambil sekeping kertas dan mencoretkan sesuatu. Dia menyelitkan kertas dicelah bilah pada cermin hadapan kereta sebelum berlalu masuk ke dalam kompleks. Puas hatinya dapat menulis kata-kata itu buat Irdina.
Irdina yang telah selesai membeli barang keperluannya, mengajak Balkis pulang. Mereka berjalan beriringan ke kereta sambil bergurau senda. Sedikit sebanyak perasaan Irdina kembali tenang. Ingatannya terhadap Latif juga dapat dikawal. Dia berharap keadaan itu akan kekal sehingga dia pulang. Azamnya tidak mahu lagi memandu dalam keadaan marah.
“Kak Irdina, kertas apa tu?” soal Balkis sebelum sempat membuka pintu kereta.
“Entah. Mungkin orang letak iklan,” ujar Irdina sambil tangannya menarik keluar kertas itu.
Bulat mata Irdina melihat ayat-ayat yang tertera di atas kertas itu. Darahnya terasa menyirap. Matanya mencari-cari tuan yang meletakkan peringatan itu. Akhirnya pandangan matanya mendarat pada kereta Razif.
“Ni mesti Mamat gagak ni punya kerja. Kurang ajar betul!” Irdina menendang tayar kereta Razif.
“Kenapa Kak Irdina?” soal Balkis yang menghampiri Irdina. Risau hatinya jika Irdina merosakkan kereta milik orang lain.
“Mamat ni saja cari pasal dengan aku. Dia ni memang gila. Sampai ke sini pun dia ikut kita.”
“Biar betul? Takkan dia ikut kita pula? Kalau tengok gaya dia, bukan macam orang jahat. Macam doktor adalah,” ujar Balkis sambil mengambil kertas di tangan Irdina.
Balkis membaca peringatan yang ditulis oleh Razif.
‘Sebagai seorang Islam, anda berdua WAJIB menutup aurat. Pakaian ketat dan mengikut bentuk badan boleh mengundang maksiat serta dosa jika ditontonkan pada lelaki yang bukan mahram. Pakailah pakaian longgar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Pakailah jilbab sebelum rambut digantung hingga menggelegak di akhirat nanti. Jangan ingat kamu dah lakukan solat atau puasa, sudah cukup dan tak perlu menutup aurat. Dalam surah Al-Maidah yang bermaksud; “Barang siapa yang mengingkari hukum-hukum syariat Islam sesudah beriman, maka hapuslah pahala amalnya bahkan di akhirat dia termasuk orang-orang yang merugi.”
“Wah! Budget bagus Mamat ni,” ujar Balkis sambil menyerahkan kembali kertas itu kepada Irdina.
“Tau tak apa. Dia ingat dia bagus sangat nak nasihat orang. Nasihat bini sendiri sudahlah. Sibuk nak nasihat orang pula.”
Irdina mencapai pen dari dalam beg tangannya. Dia membalikkan kertas peringatan Razif. Irdina membalas kata-kata Razif. Setelah berpuas hati meluahkan apa yang dirasanya, Irdina menyelitkan kertas itu di cermin kereta Razif.
“Wah! Main balas-balas surat Kak Irdina dengan Mamat tu. Jangan-jangan nanti, Kak Irdina jatuh hati pada dia,” ujar Balkis lalu ketawa.
“Kau ni sengaja nak sakitkan hati aku. Aku kenal pun tak dengan Mamat tu. Jangan nak pandai-pandai padankan aku.”
“Janganlah marah.Aku rasa geli hati tengok Kak Irdina dengan Mamat tu. Macam ada keserasian. Bergaduh pun macam budak-budak. Main balas-balas mesej kertas.”
Irdina mencebikkan mulutnya dan masuk ke dalam kereta. Balkis bergegas masuk sebelum Irdina memecut keluar dari tempat itu. Razif yang selesai membeli barangan, menghampiri keretanya. Ketika membuka kunci, dia terpandang kertas yang ditinggalkan oleh Irdina. Segera dia mengambil kertas itu dan membaca.
‘Tak perlu nak nasihatkan orang kalau diri sendiri pun tak betul. Betulkan dahulu diri tu. Kalau tahu tengok perempuan tu boleh datangkan maksiat, duduk saja di rumah bawah ketiak mak kau. Jangan nak kutuk kami sangat. Takut nanti, kau jatuh hati kat kami angau tak senang nak duduk.’
Razif ketawa besar. Geli hatinya membaca ayat terakhir Irdina. Padanya, tidak mungkin dia jatuh cinta pada salah seorang daripada mereka. Apatah lagi, dia bukan orang utara. Mana mungkin dia akan berjumpa mereka lagi dan terpaut hati?
Razif memandu keluar dari situ. Destinasinya adalah pulang ke Kajang.

1 ulasan:

acefaggart berkata...

CASINO DATE - WV 1201 Casino Dr, Las Vegas NV
CASINO DATE. 진주 출장안마 December 8, 2019. CASINO DATE. Find reviews, hours, 원주 출장안마 directions, coupons, phone number, hours, 부산광역 출장안마 directions, 과천 출장샵 coupons, 오산 출장마사지