Pengikut

Rabu, 26 Februari 2014

Abang King Kontrol - bab 4



“Razif, abang nak minta tolong Razif temankan abang malam ni,” ujar Razman setelah selesai menghadapi hidangan makan malam bersama-sama keluarga mereka.
“Nasib baik Razif free malam ni. Nak ke mana?” soal Razif sambil mengangkat pinggan kotor ke singki.
Mak Cik Sopiah, emak Razif sedang sibuk membersihkan meja manakala Rosnah pula  membasuh pinggan. Razman turut menolong Razif mengangkat pinggan.
“Abang dah dapat maklumat daripada kawan abang. Dia nampak Hanis bersama seorang lelaki.”
“Kalau begitu, kita bergerak sekarang,” ujar Razif, bersemangat.
“Abang, Ros nak ikut,” ujar Rosnah.
“Tak payah ikut. Ros temankan mak di rumah. Lagipun ini kerja orang dewasa, bukan kerja budak-budak,” ujar Razman.
Rosnah menarik muka masam. Mak Cik Sopiah hanya menggelengkan kepalanya melihat tingkah anak bongsunya itu.
“Abang-abang Ros nak pergi cegah maksiat. Bukan nak pergi suka-suka,” ujar Mak Cik Sopiah sambil membasuh tangannya.
“Maksiat tu apa?” soal Rosnah yang baru berusia sepuluh tahun.
“Benda tak baik yang dilakukan oleh lelaki dan perempuan. Ros, mungkin tak faham lagi. Nanti bila dah besar, baru Ros faham,” terang Mak Cik Sopiah.
Mak Cik Sopiah sebenarnya telah menjanda sejak empat tahun yang lalu. Dia tidak bekerja dan hanya mengharapkan wang pencen serta sumbangan anak-anak untuk perbelanjaan harian. Walaupun begitu, hidupnya sentiasa bahagia dan ceria.
“Mak, doakan yang terbaik buat kami. Jika benar Hanis bersalah, Man akan lepaskan dia,” ujar Razman sambil menyalami emaknya.
“Mak doakan moga ALLAH tunjukkan kebenaran. Jika betul tindakan Man, mak akan sokong. Apa yang penting, Man tak jadi suami yang dayus.”
Mak Cik Sopiah telah maklum akan masalah rumah tangga Razman yang bergolak. Telah hampir tiga tahun Razman berkahwin dengan Hanis tetapi tidak dikurniakan cahaya mata. Hanis seorang yang cantik dan nampak baik. Razman telah mendengar desas desus menyatakan isterinya curang tetapi tidak dapat bukti yang kukuh. Setelah memasang pengintip, tempat Hanis melakukan maksiat dapat dikesan.
Razif masuk ke tempat pemandu dan Razman duduk di sebelahnya. Kereta diundurkan dan mereka bergerak menuju destinasi yang telah diberitahu oleh Murad, pengintip Razman. Sebuah hotel mewah di tengah-tengah bandaraya menjadi lokasi Hanis memadu asmara.
Mereka tiba di hotel yang dinyatakan seketika kemudian. Razif memasuki kawasan parkir dan menemui Murad yang telah bersiap sedia dengan pasukan pencegah maksiat. Mereka menyerbu bilik yang diduduki oleh Hanis bersama pasangannya. Setelah berkali-kali pintu diketuk, seorang lelaki membuka pintu. Mereka melakukan pemeriksaan dan mendapati Hanis bersembunyi di dalam bilik air dengan hanya berkemban tuala.
Merah padam muka Razman melihat isterinya berkeadaan begitu. Malu, kesal dan rasa terhina diperlakukan sebegitu oleh isteri tersayang. Pegawai agama mengarahkan kedua-dua mereka berpakaian lengkap dan menyerahkan kad pengenalan. Razman dan Razif hanya membiarkan pegawai-pegawai itu menjalankan tugas mereka.
 “Hanis, kenapa kau lakukan semua ni?” soal Razman menahan sebak di dada.
“Abang! Maafkan Hanis. Hanis tak bersalah. Hanis terpaksa sebab dia ugut akan sebarkan gambar bogel Hanis jika Hanis tak ikut cakap dia,” ujar Hanis merayu-rayu di hujung kaki Razman.
Razif berasa jijik melihat kakak iparnya. Selama ini dia menganggap kakak iparnya seorang perempuan baik, bertudung litup dan lemah lembut. Rupanya di sebalik itu, tersembunyi nafsu serakah yang tidak pernah surut. Jika tidak memulakan, bagai mana gambar bogel boleh berada di tangan lelaki itu? Razif membuat diagnosis sendiri.
“Jika benar Hanis dipaksa, kenapa tak beritahu abang? Kenapa masih mengikut lelaki ni ke hotel? Berapa banyak yang dia bayar Hanis hingga Hanis sanggup berbohong pada abang. Konon ada kursus di Melaka, rupanya buat maksiat di sini,” ujar Razman dengan geram.
Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menumbuk lelaki yang merupakan ketua kepada Hanis. Lelaki itu telah beristeri tetapi masih mahu melakukan perbuatan keji bersama-sama isteri orang. Yang halal ada tetapi haram juga menjadi idaman. Itulah manusia bertuhankan nafsu syaitan.
“Abang, Hanis mengaku Hanis salah. Tolonglah maafkan Hanis,” rayu Hanis sambil memegang tangan Razman.
Razman menepis tangan Hanis. Hatinya terasa di sayat-sayat, pedih menusuk hingga ke jantung. Kepercayaannya diinjak-injak isteri sendiri. Segala kasih sayang dan kemewahan yang diberi masihkah belum cukup lagi? Kenapa Hanis curang, sedangkan dia tetap setia pada Hanis?  Dia beristighfar beberapa kali untuk mencari ketenangan.
“Hanis... abang maafkan Hanis,” ujar Razman setelah bertenang.
Hanis merasa gembira dengan pengakuan Razman. Dia mencapai tangan Razman dan mengucupnya. Razman hanya membiarkan. Razif yang mendengar kata-kata abangnya berasa hairan. Kenapa Razman memaafkan Hanis sedangkan sepatutnya Hanis dibuang sahaja daripada hidup Razman? Hati Razif tertanya-tanya. Matanya sempat mengerling pegawai agama yang masih menyoal siasat pasangan Hanis.
Hanis ingin memeluk Razman tetapi Razman mengelak. Hanis agak terkejut dan mulai menangis. Dia dapat merasakan bahawa Razman menyimpan perasaan marah dan dendam terhadapnya.
“Hanis, bertaubatlah kau kepada ALLAH dengan sebenar-benar taubat dan jangan ulangi perkara sebegini lagi. Abang minta halal makan minum dan segalanya dunia akhirat. Mulai saat ini aku, Razman bin Razali menceraikan Nur Hanis binti Osman dengan talak tiga,” ujar Razman dengan nada yang tenang.
Hanis terjelepuk lemah di lantai. Dia menangis penuh penyesalan sambil melihat langkah Razman yang meninggalkan bilik itu bersama-sama Razif. Nasi telah menjadi bubur. Menangis air mata darah sekali pun, Razman tetap tidak akan kembali lagi kepadanya.
Sepanjang perjalanan pulang, Razif dan Razman hanya berdiam diri sambil melayan perasaan masing-masing. Razif amat simpati dengan nasib abangnya. Mungkin nasibnya baik sedikit kerana dia masih belum berkahwin dengan Zaharah. Apabila Zaharah curang, kesannya tidak sehebat seperti yang dialami oleh abangnya.
“Razif, abang cadang nak minta tukar. Jika abang masih di sini, abang pasti akan bertembung dengan Hanis. Abang tak mampu nak pandang muka dia lagi. Sakit, sangat-sangat sakit di sini,” ujar Razman sambil tangannya menunjuk arah hati.
“Jika itu keputusan abang, Razif sokong saja. Tentang mak dan Ros, abang jangan risau. Razif akan jaga mereka.”
“Terima kasih Razif kerana memahami.”
“Kita sama-sama kecewa. Perempuan memang tak boleh dipercayai. Yang nampak baik luaran, belum tentu baik di dalam. Pepat di luar rencong di dalam,” luah Razif bersama sebuah keluhan.
“Abang tak nak salahkan semua perempuan. Mungkin nasib kita berjumpa yang curang. Berdoalah moga satu hari nanti kita bertemu yang benar-benar beriman dan patuh kepada suruhan ALLAH dan menghindari larangan-NYA,” ujar Razman sambil tersenyum.
Razif turut tersenyum dan meneruskan pemanduannya. Mereka tiba di rumah tidak lama kemudian. Razman menceritakan apa yang terjadi kepada Mak Cik Sopiah. Walaupun berasa hiba, tetapi Mak Cik Sopiah menerima keputusan Razman dengan hati terbuka.
“Kalau Man rasa nak bertukar tempat kerja, pergilah. Mak doakan semoga Man berjaya dan bahagia di sana,” ujar Mak Cik Sopiah memberi sokongan.
“Terima kasih mak kerana menyokong Man. Esok Man akan uruskan soal perceraian dan juga pertukaran tu.”
Mak Cik Sopiah tersenyum dan menganggukkan kepala. Setelah lama berbual, mereka masuk ke bilik masing-masing. Razif menyalin pakaiannya dan berbaring di katil. Ingatannya terhadap Zaharah datang semula. Razif mencapai telefon dan ingin mendail nombor Zaharah. Tetapi sebelum sempat menekan, hatinya melarang.
‘Eh! Kenapa aku nak telefon dia? Dia dah jadi isteri orang,’ bisik hati Razif.
Razif membatalkan niatnya untuk menelefon Zaharah. Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Razif melihat di skrin nama yang tertera. Senyumnya terukir ketika menjawab salam yang diberikan.
“Aku dengar kau dan Abang Man dah selesaikan kes Kak Hanis. Betulkah?” soal Ustaz Azmi, yang merupakan kawan baik Razif sejak di bangku sekolah.
“Ya. Cepat kau dengar berita. Siapa yang bagi tahu?”
“Tadi aku ke rumah kau, tapi kau tak ada. Mak cik yang bagi tahu aku hal tu.”
“Aku kasihan pada Abang Man. Dia sangat sayangkan Kak Hanis sebab dari sekolah lagi mereka berkawan. Tak sangka Kak Hanis sanggup main kayu tiga dengan bos dia sendiri. Bos tu pula dah ada isteri. Apa nak jadi dengan perempuan sekarang pun aku tak tahu? Banyak yang curang dan penipu,” luah Razif.
“Aku pun tak tahu Razif. Kita semua pernah lalui nasib malang dengan perempuan,” keluh Ustaz Azmi.
“Nasib kau lagi sadis. Hampir dah nak akad nikah, tiba-tiba pengantin perempuan lari dengan boyfriend dia ke Thailand,” ujar Razif menyingkap kisah malang Ustaz Azmi setahun lalu.
“Memang sedihkan bila orang yang kita sayang, tiba-tiba berpaling kepada orang lain.”
“Perempuan tak boleh dipercayai. Penuh penipuan dan kecurangan, kecuali mak dan adik kita,” ujar Razif beremosi.
“Mak cik Sopiah tentu kecewa macam ummi aku dulu. Dulu ummi tak nak keluar rumah sebab tak nak orang tanya itu ini pada dia. Dia sedih dan rasa terhina bila perempuan yang dia percaya buat begitu.”
“Mak aku memang sedih tapi aku tahu dia kuat dan tabah. Mungkin Abang Man akan bertukar tempat kerja. Jadi lepas ni, aku nak minta kau tolong tengok-tengokkan mak aku dan Ros bila aku tak ada di rumah.”
“Insya Allah Razif. Mak dan adik kau, macam mak dan adik aku juga. Kalau kau tak bagi tahu pun, aku akan tengok-tengokkan.”
“Terima kasih Azmi. Kaulah sahabat aku dunia akhirat,” ujar Razif tersenyum senang. Dia bersyukur kerana mempunyai kawan sebaik Ustaz Azmi yang sentiasa ada untuknya ketika susah dan senang.

Irdina meneliti bungkusan besar yang diterimanya. Dia agak hairan memikirkan siapa yang menghantar bungkusan itu kerana tidak mempunyai alamat pengirim. Bungkusan itu telah ditinggalkan oleh seseorang di hadapan pintu rumahnya pagi itu. Hanya namanya yang tertera di bungkusan itu.
“Jangan-jangan orang letak bom tak?” soal Ilyas membuat andaian.
“Huh! Capuinya mulut. Dok sebut benda yang bukan-bukan,” ujar Irdina memarahi adiknya. Perasaannya tetap cuak untuk membuka bungkusan itu.
“Yalah, dah ada nama Kak Irdina saja kat bungkusan ni. Jangan-jangan orang tu marah sangat kat Kak Irdina sebab tu kirim bom,” Ilyas masih membayangkan hal itu.
“Kalau sehari hang tak merapu tak boleh ka?” soal Mak Mesa.
“Betul la apa Ilyas kata. Kalau tak percaya, suruh Kak Irdina buka. Mau ada bom, muka Kak Irdina yang bersepai dulu.” Ilyas ketawa terbahak-bahak.
Irdina menampar geram tangan Ilyas. Kata-kata Ilyas buat dia rasa ragu-rgu untuk membuka bungkusan itu. Pak Idris yang melihat mereka takut-takut untuk membuka bungkusan itu, menawarkan diri. Dia menyuruh mereka menjauh. Irdina dan Mak Mesa masuk ke dalam rumah dan melihat melalui tingkap. Ilyas pula duduk jauh di atas pokok sambil memerhati Pak Idris membuka balutan pertama. Terketar-ketar tangan Pak Idris. Bimbang juga jika benar bom yang berada di dalam. Pak Idris berjaya membuka bungkusan itu dan mengeluarkan sehelai baju.
“Barang apa ni? Macam baju lelaki. Buat apa bagi kat Irdina?” soal Pak Idris.
Irdina tahu, itulah barang-barang yang pernah dihadiahkan kepada Latif selama tiga tahun perkenalan mereka.
“Buang sajalah barang tu. Latif yang bagi balik barang yang pernah Irdina hadiahkan kat dia,” ujar Irdina berterus terang.
“Sayanglah kalau nak buang. Baju Nike ni bagi kat Ilyas la,” ujar Ilyas yang telah berada di sisi Pak Idris. Pantas sahaja dia turun dari pokok setelah menyedari tiada bom di dalam bungkusan itu.
“Kalau Ilyas nak, ambillah. Yang lain tu, Ilyas tolong bakar,” ujar Irdina lalu meninggalkan ruang itu untuk ke biliknya.
Irdina mencapai telefon bimbit dan mendail nombor Latif. Berulangkali dia mendail dan akhirnya Latif menjawab panggilan itu.
“Kenapa telefon aku” soal Latif, kasar.
“Kenapa pulangkan semua barang yang Irdina beri?” Irdina tidak menjawab soalan sebaliknya menanyakan soalan lain.
“Aku tak mahu simpan barang-barang tu. Ambillah balik. Nanti bolehlah kau bagi kat boyfriend baru kau,” ujar Latif, separuh mengejek.
“Aku tak minta, tapi kalau kau nak bagi sangat aku ambil. Nanti aku pulangkan balik barang-barang yang kau bagi pada aku,” ujar  Irdina geram.
“Tak payah! Kau buangkan saja ke dalam sungai belakang rumah kau.”
“Sombong betul kau, Latif.”
“Katalah apa yang kau mahu. Aku tetap tak mahu kembali pada kau.”
“Aku pun tak ingin kawan dengan lelaki hidung belang macam kau. Banyak lelaki baik dalam dunia ni yang boleh kawan dengan aku. Aku tak rugi pun kalau kau tak ada.”
“Hrmm... baguslah begitu. Lepas ni jangan telefon atau cari aku.”
Irdina yang meradang, terus mematikan talian telefon. Dia mencampakkan telefon bimbit ke tepi lalu membaringkan dirinya di atas katil. Harapannya untuk memujuk Latif agar menerima dirinya kembali, berkecai. Latif benar-benar nekad memutuskan hubungan mereka.
“Akukah yang bodoh kerana terus mengharap pada yang tak sudi?” soal Irdina buat diri sendiri.
Hatinya masih bersedih mengingati Latif. Beberapa hari lepas dia melihat Latif berjalan berduaan dengan penuh mesra bersama-sama kekasih barunya. Irdina hanya mampu memandang dalam kesedihan, luka dilukai. Semangatnya bagai direngut pergi oleh Latif.
“Pergilah Latif, pergilah. Aku akan belajar untuk melupakan kenangan cinta kita,” ujar Irdina sambil memadam nombor telefon Latif yang berada di dalam telefonnya.
Dia bangun dan mencapai sebuah kotak. Habis semua barang-barang pemberian Latif di humbankan ke dalam kotak itu. Selesai membuang semuanya, dia memanggil Ilyas agar membawa kotak itu ke tempat pembakaran sampah. Seboleh mungkin dia ingin melupuskan semuanya termasuk cinta yang masih bersisa di kalbu. Tumbuh azam dalam hati untuk terus melangkah dan berubah. Dia ingin menjadi Irdina baru, Irdina yang jauh daripada bayangan Latif.

Tiada ulasan: