Mereka
turun daripada kereta setelah tiba di rumah Mak Cik Sopiah. Tiba-tiba berhenti
sebuah kereta di hadapan rumah itu. Terjengul kepala pemandunya menegur Razif.
“Razif!
Mari sekejap,” panggil Bakar.
Razif
menghampiri Bakar yang asyik memerhati ke arah Irdina. Razif sempat mencuri
pandang langkah Irdina yang memasuki rumahnya.
“Kenapa
Irdina tu? Apa yang Razif dah buat pada dia?” tanya Bakar, ada nada cemburu.
“Dia
sakit. Tadi kami bawa dia ke klinik dan sekarang mak suruh dia rehat di rumah.”
Terang Razif yang tahu akan maksud pertanyaan Bakar.
“Kenapa
tak rehat di rumah dia saja?”
“Tak
ada siapa di rumah tu. Takut nanti dia pitam atau apa-apa terjadi pada dia bila
berseorangan. Sebab tu mak ajak dia tinggal sementara di sini.” Razif memberi
alasan.
“Abang
Burn pun boleh tengokkan dia. Hari ni Abang Burn cuti. Tak perlulah dia duduk
di rumah Razif. Biarlah dia rehat di rumah dia.”
“Abang
Burn tak serik-serik lagi ke? Takut nanti Kak Zetty tahu, perang besar macam
dulu pula. Saya tak mahu masuk campur kalau jadi apa-apa.” Razif mengingatkan
Bakar.
“Aku
bukan ada niat apa-apa. Dulu pun kamu semua yang buat Zetty tu salah anggap.
Aku cuma nak tolong Zakiah. Kalau nak tunggu Mail balik tentu sakit Zakiah
makin melarat.” Bakar mempertahankan tindakannya yang dahulu.
“Yalah
tu. Kalau tak salah, takkan jadi macam tu. Kak Zetty pun tentu tak mengamuk
pada Abang Burn.”
“Malaslah
aku nak cakap dengan kau. Ingat Razif, Irdina tu anak dara. Jangan sampai kami
tangkap basah kau dengan dia pula. Kalau aku dapat tangkap, siap kau aku
malukan.” Bakar separuh mengugut.
“Kami
tak buat salah. Nak tangkap buat apa? Lagi pun mak ada sekali.”
Bakar
hanya mendengus dan memandu laju keluar daripada kawasan perumahan. Razif
menggelengkan kepalanya lalu masuk ke rumah.
“Apa
yang Bakar tu nak? Macam serius saja mak nampak dia cakap dengan Razif,” tanya
Mak Cik Sopiah.
Irdina
yang sedang duduk di sofa hanya memerhati gelagat dua beranak itu.
“Dia
nak ugut Razif pula. Konon nak tangkap basah Razif dan Irdina. Kemudian nak
malukan Razif. Dulu terang-terang dia masuk ke rumah Abang Mail masa Abang Mail
tak ada di rumah. Buat alasan Kak Zakiah sakit dan dia nak tolong beri ubat.
Pada hal dia nak buat onar. Bila kantoi, baru padan muka dia,” ujar Razif,
geram.
“Hisy!
Tak habis-habis Bakar ni nak cari pasal. Razif tak salah apa-apa dan tak perlu
risau dengan ugutan dia.”
“Razif tak takut dengan ugutan dia. Tapi Irdina
kena hati-hati sikit dengan Abang Burn tu. Dia memang ramah dengan perempuan.
Ramah ada makna.” Razif tersenyum kelat.
“Apa
maksud doktor?” tanya Irdina, hairan.
“Kalau
Irdina nak tahu, rumah yang Irdina tinggal sekarang adalah bekas rumah Abang
Mail dan Kak Zakiah. Mereka dah pindah lepas kejadian Abang Burn ganggu isteri
Abang Mail. Masa tu Abang Mail tak ada di rumah dan kebetulan Kak Zakiah demam
panas. Bila Abang Burn dapat tahu, dia masuk rumah Abang Mail konon nak beri ubat
pada Kak Zakiah. Tapi niat dia lain. Masa Kak Zakiah jerit minta tolong, saya
terdengar dan lari ke rumah tu. Sempat saya halang dia daripada mencabul
kehormatan Kak Zakiah,” terang Razif panjang lebar.
Terkebil-kebil
mata Irdina mendengar hal tersebut.
‘Patutlah
Kak Zetty tak ramah pada aku. Rupanya laki dia macam tu,’ bisik hati Irdina.
“Kalau
Irdina nak tahu, punca Mail dan Zakiah pindah ke Pahang adalah kerana hal tu.
Mereka sayang nak tinggalkan rumah mereka, tapi terpaksa. Mail minta tukar ke Pahang
lepas dapat tawaran kenaikan pangkat. Rumah ni Shimah sepupu Zakiah yang
uruskan,” terang Mak Cik Sopiah pula.
“Patutlah
banyak syarat yang Kak Shimah berikan. Salah satu, mereka tak mahu ada
budak-budak supaya rumah tak diconteng.” Irdina mengingati syarat yang
diberitahu oleh Kak Shimah.
“Mak
tak fahamlah perangai Bakar tu. Walaupun dah buat salah masih tak insaf lagi.
Bukannya nak berterima kasih sebab penduduk di sini beri peluang lagi dia
tinggal di sini, malah nak cari pasal pula. Nasib dia baik sebab Mail tak lapor
pada polis. Dulu dia bergaduh dengan anak jiran hujung sana sebab budak tu bawa
motorsikal laju. Hari ni ugut Razif, esok nak ugut siapa pula?” Mak Cik Sopiah
menggelengkan kepalanya, kesal.
“Entahlah
mak. Cuma pastikan Irdina tak duduk seorang diri di rumah dia. Takut Abang Burn
masuk ke situ macam dulu. Dia kata dia tak kerja hari ni dan nak tolong jaga Irdina,”
ujar Razif sambil melihat reaksi Irdina.
“Huh!
Tak mahulah saya. Biar saya tinggal dengan mak cik di sini sampai Balkis dan
Laila balik.” Irdina rasa cuak.
Razif
tersenyum dan meminta diri untuk ke kliniknya. Mak Cik Sopiah menghantar Razif
ke muka pintu dan kemudiannya mengunci pintu hadapan.
“Kesian
doktor, sebab saya dia lambat ke klinik. Tentu ramai dah tunggu dia,”
“Tak
mengapa. Dia ada pembantu dan seorang lagi doktor. Mereka selalunya bergilir
kalau pesakit tak ramai. Asyik berbual pula. Marilah ke bilik tamu, berehat.”
Irdina
mengekori Mak Cik Sopiah menuju ke bilik tamu yang terletak di tingkat bawah
rumah dua tingkat itu. Kepalanya mulai terasa berat. Mak Cik Sopiah membantu
Irdina berbaring di katil. Layanan mesra Mak Cik Sopiah mengharukan hati Irdina.
Mak
Cik Sopiah segera ke dapur dan menyediakan ramuan untuk membuat sup ayam. Dia
memasak dengan senang hati dan sesekali dia menjenguk Irdina di bilik. Wajah
Irdina yang sedang lena ditatap oleh Mak Cik Sopiah. Bibir Irdina nampak
kemerahan akibat demam panas. Mak Cik Sopiah meletakkan tangannya di dahi
Irdina dan dia dapat merasakan bahang panas. Sesekali Irdina mengerang dan ini
membuatkan Mak Cik Sopiah membasahkan tuala kecil lalu diletakkan di dahi
Irdina.
“Maaf
kerana menyusahkan mak cik,” kata Irdina yang tersedar daripada lenanya.
“Tak
mengapa. Panas betul badan Irdina. Bukalah tudung Irdina, biar mak cik jaram
air di kepala.”
Irdina
membuka tudungnya dan membiarkan Mak Cik Sopiah membasahkan sebahagian
kepalanya dengan air. Pening di kepalanya terasa berkurangan ketika Mak Cik
Sopiah memicit-micit kepalanya buat beberapa ketika. Tuala kecil yang
dibasahkan diletakkan di dahi Irdina. Mak Cik Sopiah menarik selimut tebal lalu
menutupi badan Irdina.
“Tidurlah
dulu. Nanti bila sup dah siap, mak cik gerak Irdina.”
Irdina
hanya tersenyum lemah memandang Mak Cik Sopiah. Dia kemudiannya memejamkan
matanya setelah Mak Cik Sopiah keluar daripada bilik itu.
Mak
Cik Sopiah menyendukkan sup dan bubur nasi ke dalam mangkuk. Mangkuk-mangkuk
itu diletakkan di atas dulang bersama-sama air suam. Dia membawa makanan itu ke
bilik tamu untuk Irdina.
“Irdina.”
Mak Cik Sopiah meletakkan dulang makanan di meja kecil.
Irdina
membuka matanya perlahan-lahan. Dia dapat melihat Mak Cik Sopiah tersenyum
lebar memandangnya.
“Mari
makan, nak. Lepas makan nanti boleh makan ubat.” Mak Cik Sopiah membantu Irdina
duduk.
Mak
Cik Sopiah mengambil sup ayam lalu disuakannya kepada Irdina.
“Terima
kasih mak cik. ALLAH sajalah yang akan membalas budi baik mak cik sekeluarga.”
Irdina memegang tangan Mak Cik Sopiah. Dia rasa terharu dengan layanan Mak Cik
Sopiah.
“Tak
mengapa. Irdina makanlah perlahan-lahan. Biar mak cik ambilkan ubat Irdina.”
Irdina
cuba untuk makan dan setelah separuh bubur nasi masuk ke perutnya, tekaknya
terasa loya. Cepat-cepat dia bangun ke bilik air yang terdapat di dalam bilik
itu. Apa yang dimakannya tadi terhambur keluar. Perit dan pahit terasa
ditekaknya. Dia terasa ada tangan yang mengurut-urut belakangnya.
“Angin
dah masuk perut tu,” telah Mak Cik Sopiah.
Mak
Cik Sopiah membuka air paip dan menghulurkan kepada Irdina. Irdina membasuh
mulutnya dan ketika dia hendak mencuci muntahnya, Mak Cik Sopiah melarang.
“Biar
mak cik yang buat. Irdina pergilah baring semula.”
Irdina
yang masih terasa pening bergerak perlahan-lahan ke katil. Matanya dapat
melihat Mak Cik Sopiah mencurahkan air dan membuka penutup lubang saliran di
lantai bilik air. Setelah selesai membersihkan bilik air, Mak Cik Sopiah
mendapatkan Irdina.
“Makan
dulu ubat ni.” Mak Cik Sopiah membantu Irdina bangun.
Dalam
keterpaksaan Irdina mengambil ubat yang diberi oleh Mak Cik Sopiah. Terketar-ketar
dia menelan ubat. Terasa sukar, tetapi digagahkan juga. Pahit menguasai
tekaknya. Pantas tangannya mencapai gelas. Air suam diminum rakus untuk melancarkan
perjalanan ubat. Akhirnya ubat itu selamat masuk ke perutnya.
“Tidurlah.”
Mak Cik Sopiah membaring dan menyelimutkan badan Irdina.
“Terima
kasih mak cik,” ucap Irdina lemah.
Dia
tersenyum kepada Mak Cik Sopiah dan kemudian melelapkan matanya. Tidurnya agak
nyenyak buat beberapa lama. Irdina hanya sedar ketika terdengar bunyi deringan
telefon. Tangannya mencapai telefon yang terdapat di dalam beg tangannya yang
terletak di meja kecil bersebelahan katil.
“Macam
mana Kak Irdina? Nak ke klinik ke tak?” tanya Balkis.
“Tak
payahlah. Aku dah pergi dengan Mak Cik Sopiah dan anak dia pagi tadi.”
“Kalau
begitu, baguslah. Aku kena buat overtime
hari ni, jadi lewat sikit aku balik. Tadi aku ingat nak suruh Kak Irdina pergi
dengan Laila saja.”
“Tak
mengapalah. Aku ada di rumah Mak Cik Sopiah. Takut nak tinggal seorang diri di
rumah.”
“Hai!
Selalu Kak Irdina boleh tinggal seorang diri, kenapa kali ni tak boleh pula? Ni
mesti nak mengorat anak Mak Cik Sopiah.” Balkis ketawa mengekek.
“Wei!
Aku tak ada niat macam tu. Anak Mak Cik Sopiah beritahu, dulu Abang Burn pernah
nak buat jahat pada isteri jiran dia yang demam. Jiran tu, tuan rumah kitalah.
Tadi pun Abang Burn kata nak jaga aku. Seram aku dengar.”
“Hisy!
Bahaya tu. Patutlah terlebih ramah Abang Burn tu. Memang jenis buaya tembaga.”
“Laila balik pukul berapa hari ni? Tak mahu
aku berlama-lama di rumah Mak Cik Sopiah. Serba salah aku dengan layanan dia.”
“Kenapa?
Dia layan kau buruk ke?”
“Tak.
Baik sangat-sangat. Aku takut termakan budi. Nak balas aku memang tak mampu.”
“Orang
berbudi kita berbahasa, Mak Cik Sopiah memberi Kak Irdina merasa. Aku rasa elok
Kak Irdina jadi menantu dialah. Bolehlah Kak Irdina balas budi dia hari-hari.”
Balkis bergurau.
“Aku
tak mahulah. Doktor tu membosankan. Asyik berleter pada aku.”
“Berleter?
Ada juga lelaki yang suka berleter. Aku ingat perempuan saja yang kuat
berleter.”
“Entahlah.”
“Eh!
Kak Irdina kata tadi doktorkan? Anak Mak Cik Sopiah tu doktor ke?”
“Ya,
doktor gigi. Hari tu aku pergi klinik dialah. Terkejut aku, rupanya dia adalah
Mamat gedik yang kita jumpa di Pasar Mini dulu.”
“Apa?
Mamat tu?”
“Ya,
dia. Aku pun terkejut beruk dibuatnya.”
“Aku
rasa doa aku nak makbul,” kata Balkis sambil ketawa.
“Doa
apa?”
“Doa
masa di Pasar Mini tu. Semoga Kak Irdina bertemu jodoh dengan Mamat tu,” jawab
Balkis dalam tawanya.
“Selisih
malaikat empat puluh empat. Tarik baliklah doa kau tu. Aku tak mahu hidup
dengan dia. Bayangkan kalau hari-hari dia berleter pada aku. Mau bernanah
telinga aku dibuatnya.”
“Doa
mana boleh ditarik balik. Doa aku mungkin dah diaminkan oleh para malaikat
sebab aku doakan yang baik untuk Kak Irdina.”
“Kau
doakanlah aku dengan orang lain. Dengan ustaz yang kawan dengan doktor tu pun
tak apa.”
“Ustaz
tu? Silap-silap laki orang pula,” Balkis ketawa lagi.
“Balkis,
aku nak ke bilik air. Nanti kita cerita lain.”
“Okeylah.
Aku pun nak sambung kerja. Jaga diri Kak Irdina baik-baik. Kalau Laila tak
balik lagi, tidurlah di rumah Mak Cik Sopiah tu dulu.”
Irdina
menamatkan perbualannya dengan Balkis dan kemudian menuju ke bilik air. Pening
di kepalanya terasa berkurangan dan dia mengambil wuduk untuk menunaikan solat
Zohor. Dia melihat sekeliling bilik dan mendapati di dalam bilik itu tidak
terdapat telekung. Dia memakai tudungnya kembali dan perlahan-lahan bergerak keluar
bilik untuk mencari Mak Cik Sopiah.
Suasana
sunyi sepi dan tiada bayangan Mak Cik Sopiah. Irdina bergerak ke dapur apabila
terdengar bunyi air dari arah situ. Irdina terus memanggil Mak Cik Sopiah
kerana dia yakin tiada siapa di rumah itu selain dia dan Mak Cik Sopiah.
“Mak
cik, saya… er…” kata-kata Irdina terhenti apabila dia melihat bukan Mak Cik
Sopiah yang berada di situ.
“Oh!
Maaf. Mak Cik Sopiah dah naik ke atas. Mungkin solat,” ujar Ustaz Azmi yang
sedang meletakkan gelas di rak pinggan.
“Err…
kenapa ustaz ada di sini?” tanya Irdina hairan.
“Saya
datang untuk mengajar Rosnah dan kawannya Bahasa Arab serta Pendidikan Islam.”
Irdina
menganggukkan kepala tanda faham.
“Demam
awak dah kebah ke? Tadi Mak Cik Sopiah beritahu jiran sebelah ada di bilik tamu
sebab demam panas. Rupanya awak.”
“Ya,
saya. Pening kepala saya dah makin kurang.”
“Alhamdulillah.
Bagus Mak Cik Sopiah ni. Ambil berat hal jiran. Bukan senang nak jumpa orang
sebaik Mak Cik Sopiah di Kajang ni.”
“Ya,
saya rasa bertuah sangat ada jiran sebaik ni. Saya sebenarnya nak minta pinjam
telekung. Nanti bila Mak Cik Sopiah dah selesai solat, ustaz tolong beritahu
dia, boleh?”
“Insya
ALLAH. Awak pergilah rehat. Nanti saya beritahu Rosnah,” ujar Ustaz Azmi sambil
melangkah ke ruang hadapan.
Irdina
hanya memerhati langkah Ustaz Azmi. Dalam diam hatinya berbunga riang kerana
dapat bertemu Ustaz Azmi lagi. Kalau diikutkan hatinya, dia mahu berbual lebih
lama dengan ustaz itu.
“Kak
Irdina dah bangun rupanya,” tegur Rosnah yang berjalan menuju ke arah Irdina.
“Ya.
Boleh Kak Irdina pinjam telekung. Nak Solat Zohor.”
“Solat
Zohor? Sekarang ni dah Asar.”
“Pukul
berapa sekarang?” tanya Irdina kehairanan. Tadi dia tidak memerhatikan jam.
Oleh itu dia menyangka hari masih tengah hari lagi.
“Dah
pukul 5.30 petang. Nanti Ros ambilkan telekung untuk Kak Irdina,” ujar Rosnah
sebelum melangkah naik ke tingkat atas.
Selang
beberapa ketika Rosnah turun semula dengan telekung di tangannya. Dia
memberikan telekung itu kepada Irdina. Irdina mengambilnya dan kemudian masuk
ke bilik untuk menunaikan solat asar dan qadha solat zohor. Selesai menunaikan
solat dan berdoa, Irdina menelefon Laila.
“Laila,
kau balik tak lagi?”
“Sekejap
lagi. Aku nak ke rumah kawan. Ada jamuan. Kenapa Kak Irdina?” tanya Laila.
“Bila
kau dah balik, telefon aku. Aku ada di rumah Mak Cik Sopiah.”
“Kenapa
pula di rumah Mak Cik Sopiah? Ada kenduri ke?”
“Kenduri
apanya? Aku takut tinggal di rumah kita lepas dengar cerita Doktor Razif pasal
Abang Burn jiran sebelah kita.”
“Siapa
pula Doktor Razif?”
“Anak
Mak Cik Sopiah. Nanti aku cerita lebih lanjut lepas kau balik.”
“Baiklah.
Kak Irdina duduklah dulu di situ. Nanti aku balik, aku telefon. Balkis tak
balik lagi ke?”
“Dia
kena buat overtime hari ni.”
“Tak
mengapalah. Kak Irdina tunggulah sampai aku balik. Kalau aku lambat, Kak Irdina
sembang-sembanglah dulu dengan doktor tu. Mana tau, boleh sangkut,” usik Laila.
“Hisy!
Ke situ pula. Jangan balik lambat sangat. Dah lama aku duduk di rumah Mak Cik
Sopiah. Naik segan aku dibuatnya.”
“Okey.”
Irdina
kemudiannya menamatkan perbualan telefonnya dengan Laila.
3 ulasan:
best best cepat 2 kahwin
hahahah...best3..tp mcm lwk pun ade..hanya kerana telefon die terpaksa kahwin..bwahahahha... >.<
bila ni nak sambung ni. Dah tertunggu2 lama lah, akak cepat2 lah sambung
Catat Ulasan