Pengikut

Ahad, 14 Oktober 2012

Abang King Control ke? - 6



Mereka turun daripada kereta setelah tiba di rumah Mak Cik Sopiah. Tiba-tiba berhenti sebuah kereta di hadapan rumah itu. Terjengul kepala pemandunya menegur Razif.
“Razif! Mari sekejap,” panggil Bakar.
Razif menghampiri Bakar yang asyik memerhati ke arah Irdina. Razif sempat mencuri pandang langkah Irdina yang memasuki rumahnya.
“Kenapa Irdina tu? Apa yang Razif dah buat pada dia?” tanya Bakar, ada nada cemburu.
“Dia sakit. Tadi kami bawa dia ke klinik dan sekarang mak suruh dia rehat di rumah.” Terang Razif yang tahu akan maksud pertanyaan Bakar.
“Kenapa tak rehat di rumah dia saja?”
“Tak ada siapa di rumah tu. Takut nanti dia pitam atau apa-apa terjadi pada dia bila berseorangan. Sebab tu mak ajak dia tinggal sementara di sini.” Razif memberi alasan.
“Abang Burn pun boleh tengokkan dia. Hari ni Abang Burn cuti. Tak perlulah dia duduk di rumah Razif. Biarlah dia rehat di rumah dia.”
“Abang Burn tak serik-serik lagi ke? Takut nanti Kak Zetty tahu, perang besar macam dulu pula. Saya tak mahu masuk campur kalau jadi apa-apa.” Razif mengingatkan Bakar.
“Aku bukan ada niat apa-apa. Dulu pun kamu semua yang buat Zetty tu salah anggap. Aku cuma nak tolong Zakiah. Kalau nak tunggu Mail balik tentu sakit Zakiah makin melarat.” Bakar mempertahankan tindakannya yang dahulu.
“Yalah tu. Kalau tak salah, takkan jadi macam tu. Kak Zetty pun tentu tak mengamuk pada Abang Burn.”
“Malaslah aku nak cakap dengan kau. Ingat Razif, Irdina tu anak dara. Jangan sampai kami tangkap basah kau dengan dia pula. Kalau aku dapat tangkap, siap kau aku malukan.” Bakar separuh mengugut.
“Kami tak buat salah. Nak tangkap buat apa? Lagi pun mak ada sekali.”
Bakar hanya mendengus dan memandu laju keluar daripada kawasan perumahan. Razif menggelengkan kepalanya lalu masuk ke rumah.
“Apa yang Bakar tu nak? Macam serius saja mak nampak dia cakap dengan Razif,” tanya Mak Cik Sopiah.
Irdina yang sedang duduk di sofa hanya memerhati gelagat dua beranak itu.
“Dia nak ugut Razif pula. Konon nak tangkap basah Razif dan Irdina. Kemudian nak malukan Razif. Dulu terang-terang dia masuk ke rumah Abang Mail masa Abang Mail tak ada di rumah. Buat alasan Kak Zakiah sakit dan dia nak tolong beri ubat. Pada hal dia nak buat onar. Bila kantoi, baru padan muka dia,” ujar Razif, geram.
“Hisy! Tak habis-habis Bakar ni nak cari pasal. Razif tak salah apa-apa dan tak perlu risau dengan ugutan dia.”
 “Razif tak takut dengan ugutan dia. Tapi Irdina kena hati-hati sikit dengan Abang Burn tu. Dia memang ramah dengan perempuan. Ramah ada makna.” Razif tersenyum kelat.
“Apa maksud doktor?” tanya Irdina, hairan.
“Kalau Irdina nak tahu, rumah yang Irdina tinggal sekarang adalah bekas rumah Abang Mail dan Kak Zakiah. Mereka dah pindah lepas kejadian Abang Burn ganggu isteri Abang Mail. Masa tu Abang Mail tak ada di rumah dan kebetulan Kak Zakiah demam panas. Bila Abang Burn dapat tahu, dia masuk rumah Abang Mail konon nak beri ubat pada Kak Zakiah. Tapi niat dia lain. Masa Kak Zakiah jerit minta tolong, saya terdengar dan lari ke rumah tu. Sempat saya halang dia daripada mencabul kehormatan Kak Zakiah,” terang Razif panjang lebar.
Terkebil-kebil mata Irdina mendengar hal tersebut.
‘Patutlah Kak Zetty tak ramah pada aku. Rupanya laki dia macam tu,’ bisik hati Irdina.
“Kalau Irdina nak tahu, punca Mail dan Zakiah pindah ke Pahang adalah kerana hal tu. Mereka sayang nak tinggalkan rumah mereka, tapi terpaksa. Mail minta tukar ke Pahang lepas dapat tawaran kenaikan pangkat. Rumah ni Shimah sepupu Zakiah yang uruskan,” terang Mak Cik Sopiah pula.
“Patutlah banyak syarat yang Kak Shimah berikan. Salah satu, mereka tak mahu ada budak-budak supaya rumah tak diconteng.” Irdina mengingati syarat yang diberitahu oleh Kak Shimah.
“Mak tak fahamlah perangai Bakar tu. Walaupun dah buat salah masih tak insaf lagi. Bukannya nak berterima kasih sebab penduduk di sini beri peluang lagi dia tinggal di sini, malah nak cari pasal pula. Nasib dia baik sebab Mail tak lapor pada polis. Dulu dia bergaduh dengan anak jiran hujung sana sebab budak tu bawa motorsikal laju. Hari ni ugut Razif, esok nak ugut siapa pula?” Mak Cik Sopiah menggelengkan kepalanya, kesal.
“Entahlah mak. Cuma pastikan Irdina tak duduk seorang diri di rumah dia. Takut Abang Burn masuk ke situ macam dulu. Dia kata dia tak kerja hari ni dan nak tolong jaga Irdina,” ujar Razif sambil melihat reaksi Irdina.
“Huh! Tak mahulah saya. Biar saya tinggal dengan mak cik di sini sampai Balkis dan Laila balik.” Irdina rasa cuak.
Razif tersenyum dan meminta diri untuk ke kliniknya. Mak Cik Sopiah menghantar Razif ke muka pintu dan kemudiannya mengunci pintu hadapan.
“Kesian doktor, sebab saya dia lambat ke klinik. Tentu ramai dah tunggu dia,”
“Tak mengapa. Dia ada pembantu dan seorang lagi doktor. Mereka selalunya bergilir kalau pesakit tak ramai. Asyik berbual pula. Marilah ke bilik tamu, berehat.”
Irdina mengekori Mak Cik Sopiah menuju ke bilik tamu yang terletak di tingkat bawah rumah dua tingkat itu. Kepalanya mulai terasa berat. Mak Cik Sopiah membantu Irdina berbaring di katil. Layanan mesra Mak Cik Sopiah mengharukan hati Irdina.
Mak Cik Sopiah segera ke dapur dan menyediakan ramuan untuk membuat sup ayam. Dia memasak dengan senang hati dan sesekali dia menjenguk Irdina di bilik. Wajah Irdina yang sedang lena ditatap oleh Mak Cik Sopiah. Bibir Irdina nampak kemerahan akibat demam panas. Mak Cik Sopiah meletakkan tangannya di dahi Irdina dan dia dapat merasakan bahang panas. Sesekali Irdina mengerang dan ini membuatkan Mak Cik Sopiah membasahkan tuala kecil lalu diletakkan di dahi Irdina.
“Maaf kerana menyusahkan mak cik,” kata Irdina yang tersedar daripada lenanya.
“Tak mengapa. Panas betul badan Irdina. Bukalah tudung Irdina, biar mak cik jaram air di kepala.”
Irdina membuka tudungnya dan membiarkan Mak Cik Sopiah membasahkan sebahagian kepalanya dengan air. Pening di kepalanya terasa berkurangan ketika Mak Cik Sopiah memicit-micit kepalanya buat beberapa ketika. Tuala kecil yang dibasahkan diletakkan di dahi Irdina. Mak Cik Sopiah menarik selimut tebal lalu menutupi badan Irdina.
“Tidurlah dulu. Nanti bila sup dah siap, mak cik gerak Irdina.”
Irdina hanya tersenyum lemah memandang Mak Cik Sopiah. Dia kemudiannya memejamkan matanya setelah Mak Cik Sopiah keluar daripada bilik itu.
Mak Cik Sopiah menyendukkan sup dan bubur nasi ke dalam mangkuk. Mangkuk-mangkuk itu diletakkan di atas dulang bersama-sama air suam. Dia membawa makanan itu ke bilik tamu untuk Irdina.
“Irdina.” Mak Cik Sopiah meletakkan dulang makanan di meja kecil.
Irdina membuka matanya perlahan-lahan. Dia dapat melihat Mak Cik Sopiah tersenyum lebar memandangnya.
“Mari makan, nak. Lepas makan nanti boleh makan ubat.” Mak Cik Sopiah membantu Irdina duduk.
Mak Cik Sopiah mengambil sup ayam lalu disuakannya kepada Irdina.
“Terima kasih mak cik. ALLAH sajalah yang akan membalas budi baik mak cik sekeluarga.” Irdina memegang tangan Mak Cik Sopiah. Dia rasa terharu dengan layanan Mak Cik Sopiah.
“Tak mengapa. Irdina makanlah perlahan-lahan. Biar mak cik ambilkan ubat Irdina.”
Irdina cuba untuk makan dan setelah separuh bubur nasi masuk ke perutnya, tekaknya terasa loya. Cepat-cepat dia bangun ke bilik air yang terdapat di dalam bilik itu. Apa yang dimakannya tadi terhambur keluar. Perit dan pahit terasa ditekaknya. Dia terasa ada tangan yang mengurut-urut belakangnya.
“Angin dah masuk perut tu,” telah Mak Cik Sopiah.
Mak Cik Sopiah membuka air paip dan menghulurkan kepada Irdina. Irdina membasuh mulutnya dan ketika dia hendak mencuci muntahnya, Mak Cik Sopiah melarang.
“Biar mak cik yang buat. Irdina pergilah baring semula.”
Irdina yang masih terasa pening bergerak perlahan-lahan ke katil. Matanya dapat melihat Mak Cik Sopiah mencurahkan air dan membuka penutup lubang saliran di lantai bilik air. Setelah selesai membersihkan bilik air, Mak Cik Sopiah mendapatkan Irdina.
“Makan dulu ubat ni.” Mak Cik Sopiah membantu Irdina bangun.
Dalam keterpaksaan Irdina mengambil ubat yang diberi oleh Mak Cik Sopiah. Terketar-ketar dia menelan ubat. Terasa sukar, tetapi digagahkan juga. Pahit menguasai tekaknya. Pantas tangannya mencapai gelas. Air suam diminum rakus untuk melancarkan perjalanan ubat. Akhirnya ubat itu selamat masuk ke perutnya.
“Tidurlah.” Mak Cik Sopiah membaring dan menyelimutkan badan Irdina.
“Terima kasih mak cik,” ucap Irdina lemah.
Dia tersenyum kepada Mak Cik Sopiah dan kemudian melelapkan matanya. Tidurnya agak nyenyak buat beberapa lama. Irdina hanya sedar ketika terdengar bunyi deringan telefon. Tangannya mencapai telefon yang terdapat di dalam beg tangannya yang terletak di meja kecil bersebelahan katil.
“Macam mana Kak Irdina? Nak ke klinik ke tak?” tanya Balkis.
“Tak payahlah. Aku dah pergi dengan Mak Cik Sopiah dan anak dia pagi tadi.”
“Kalau begitu, baguslah. Aku kena buat overtime hari ni, jadi lewat sikit aku balik. Tadi aku ingat nak suruh Kak Irdina pergi dengan Laila saja.”
“Tak mengapalah. Aku ada di rumah Mak Cik Sopiah. Takut nak tinggal seorang diri di rumah.”
“Hai! Selalu Kak Irdina boleh tinggal seorang diri, kenapa kali ni tak boleh pula? Ni mesti nak mengorat anak Mak Cik Sopiah.” Balkis ketawa mengekek.
“Wei! Aku tak ada niat macam tu. Anak Mak Cik Sopiah beritahu, dulu Abang Burn pernah nak buat jahat pada isteri jiran dia yang demam. Jiran tu, tuan rumah kitalah. Tadi pun Abang Burn kata nak jaga aku. Seram aku dengar.”
“Hisy! Bahaya tu. Patutlah terlebih ramah Abang Burn tu. Memang jenis buaya tembaga.”
 “Laila balik pukul berapa hari ni? Tak mahu aku berlama-lama di rumah Mak Cik Sopiah. Serba salah aku dengan layanan dia.”
“Kenapa? Dia layan kau buruk ke?”
“Tak. Baik sangat-sangat. Aku takut termakan budi. Nak balas aku memang tak mampu.”
“Orang berbudi kita berbahasa, Mak Cik Sopiah memberi Kak Irdina merasa. Aku rasa elok Kak Irdina jadi menantu dialah. Bolehlah Kak Irdina balas budi dia hari-hari.” Balkis bergurau.
“Aku tak mahulah. Doktor tu membosankan. Asyik berleter pada aku.”
“Berleter? Ada juga lelaki yang suka berleter. Aku ingat perempuan saja yang kuat berleter.”
“Entahlah.”
“Eh! Kak Irdina kata tadi doktorkan? Anak Mak Cik Sopiah tu doktor ke?”
“Ya, doktor gigi. Hari tu aku pergi klinik dialah. Terkejut aku, rupanya dia adalah Mamat gedik yang kita jumpa di Pasar Mini dulu.”
“Apa? Mamat tu?”
“Ya, dia. Aku pun terkejut beruk dibuatnya.”
“Aku rasa doa aku nak makbul,” kata Balkis sambil ketawa.
“Doa apa?”
“Doa masa di Pasar Mini tu. Semoga Kak Irdina bertemu jodoh dengan Mamat tu,” jawab Balkis dalam tawanya.
“Selisih malaikat empat puluh empat. Tarik baliklah doa kau tu. Aku tak mahu hidup dengan dia. Bayangkan kalau hari-hari dia berleter pada aku. Mau bernanah telinga aku dibuatnya.”
“Doa mana boleh ditarik balik. Doa aku mungkin dah diaminkan oleh para malaikat sebab aku doakan yang baik untuk Kak Irdina.”
“Kau doakanlah aku dengan orang lain. Dengan ustaz yang kawan dengan doktor tu pun tak apa.”
“Ustaz tu? Silap-silap laki orang pula,” Balkis ketawa lagi.
“Balkis, aku nak ke bilik air. Nanti kita cerita lain.”
“Okeylah. Aku pun nak sambung kerja. Jaga diri Kak Irdina baik-baik. Kalau Laila tak balik lagi, tidurlah di rumah Mak Cik Sopiah tu dulu.”
Irdina menamatkan perbualannya dengan Balkis dan kemudian menuju ke bilik air. Pening di kepalanya terasa berkurangan dan dia mengambil wuduk untuk menunaikan solat Zohor. Dia melihat sekeliling bilik dan mendapati di dalam bilik itu tidak terdapat telekung. Dia memakai tudungnya kembali dan perlahan-lahan bergerak keluar bilik untuk mencari Mak Cik Sopiah.
Suasana sunyi sepi dan tiada bayangan Mak Cik Sopiah. Irdina bergerak ke dapur apabila terdengar bunyi air dari arah situ. Irdina terus memanggil Mak Cik Sopiah kerana dia yakin tiada siapa di rumah itu selain dia dan Mak Cik Sopiah.
“Mak cik, saya… er…” kata-kata Irdina terhenti apabila dia melihat bukan Mak Cik Sopiah yang berada di situ.
“Oh! Maaf. Mak Cik Sopiah dah naik ke atas. Mungkin solat,” ujar Ustaz Azmi yang sedang meletakkan gelas di rak pinggan.
“Err… kenapa ustaz ada di sini?” tanya Irdina hairan.
“Saya datang untuk mengajar Rosnah dan kawannya Bahasa Arab serta Pendidikan Islam.”
Irdina menganggukkan kepala tanda faham.
“Demam awak dah kebah ke? Tadi Mak Cik Sopiah beritahu jiran sebelah ada di bilik tamu sebab demam panas. Rupanya awak.”
“Ya, saya. Pening kepala saya dah makin kurang.”
“Alhamdulillah. Bagus Mak Cik Sopiah ni. Ambil berat hal jiran. Bukan senang nak jumpa orang sebaik Mak Cik Sopiah di Kajang ni.”
“Ya, saya rasa bertuah sangat ada jiran sebaik ni. Saya sebenarnya nak minta pinjam telekung. Nanti bila Mak Cik Sopiah dah selesai solat, ustaz tolong beritahu dia, boleh?”
“Insya ALLAH. Awak pergilah rehat. Nanti saya beritahu Rosnah,” ujar Ustaz Azmi sambil melangkah ke ruang hadapan.
Irdina hanya memerhati langkah Ustaz Azmi. Dalam diam hatinya berbunga riang kerana dapat bertemu Ustaz Azmi lagi. Kalau diikutkan hatinya, dia mahu berbual lebih lama dengan ustaz itu.
“Kak Irdina dah bangun rupanya,” tegur Rosnah yang berjalan menuju ke arah Irdina.
“Ya. Boleh Kak Irdina pinjam telekung. Nak Solat Zohor.”
“Solat Zohor? Sekarang ni dah Asar.”
“Pukul berapa sekarang?” tanya Irdina kehairanan. Tadi dia tidak memerhatikan jam. Oleh itu dia menyangka hari masih tengah hari lagi.
“Dah pukul 5.30 petang. Nanti Ros ambilkan telekung untuk Kak Irdina,” ujar Rosnah sebelum melangkah naik ke tingkat atas.
Selang beberapa ketika Rosnah turun semula dengan telekung di tangannya. Dia memberikan telekung itu kepada Irdina. Irdina mengambilnya dan kemudian masuk ke bilik untuk menunaikan solat asar dan qadha solat zohor. Selesai menunaikan solat dan berdoa, Irdina menelefon Laila.
“Laila, kau balik tak lagi?”
“Sekejap lagi. Aku nak ke rumah kawan. Ada jamuan. Kenapa Kak Irdina?” tanya Laila.
“Bila kau dah balik, telefon aku. Aku ada di rumah Mak Cik Sopiah.”
“Kenapa pula di rumah Mak Cik Sopiah? Ada kenduri ke?”
“Kenduri apanya? Aku takut tinggal di rumah kita lepas dengar cerita Doktor Razif pasal Abang Burn jiran sebelah kita.”
“Siapa pula Doktor Razif?”
“Anak Mak Cik Sopiah. Nanti aku cerita lebih lanjut lepas kau balik.”
“Baiklah. Kak Irdina duduklah dulu di situ. Nanti aku balik, aku telefon. Balkis tak balik lagi ke?”
“Dia kena buat overtime hari ni.”
“Tak mengapalah. Kak Irdina tunggulah sampai aku balik. Kalau aku lambat, Kak Irdina sembang-sembanglah dulu dengan doktor tu. Mana tau, boleh sangkut,” usik Laila.
“Hisy! Ke situ pula. Jangan balik lambat sangat. Dah lama aku duduk di rumah Mak Cik Sopiah. Naik segan aku dibuatnya.”
“Okey.”
Irdina kemudiannya menamatkan perbualan telefonnya dengan Laila.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

best best cepat 2 kahwin

Tanpa Nama berkata...

hahahah...best3..tp mcm lwk pun ade..hanya kerana telefon die terpaksa kahwin..bwahahahha... >.<

Tanpa Nama berkata...

bila ni nak sambung ni. Dah tertunggu2 lama lah, akak cepat2 lah sambung