Pengikut

Rabu, 28 Ogos 2013

Abang King Control Ke - Bab 28



 Atas permintaan ramai saya sambung semula cerita ini. Diharapkan terhibur membacanya.                
  ...........................................................................................................................
Pagi Sabtu, Balkis bercuti dan kesempatan itu digunakan untuk melakukan kerja-kerja rumah. Ketika dia selesai menyidai pakaian, telefonnya berbunyi dan dia mendapati Irdina yang menelefon.
“Balkis, mak mertua aku ajak kau dan Laila makan tengah hari di sini.”
“Alhamdullillah, tak payah nak masak. Kenapa mak cik tak ajak aku dari pagi lagi? Tak payahlah aku nak buat sarapan,” seloroh Balkis.
“Sekejap aku tanyakan.” Irdina bertanyakan ibu mertuanya akan hal itu.
“Balkis, mak kata datanglah. Ajak sekali Laila. Nanti bolehlah tolong mak masak.” Irdina memberitahu keputusan Mak Cik Sopiah.
“Okey. Sekejap lagi aku dan Laila sampai,” kata Balkis sebelum meletakkan telefonnya.
Razif yang telah selesai makan hanya memerhati isterinya. Irdina kelihatan gembira tiap kali berbual dengan Balkis. Razif tersenyum kerana setakat ini Irdina tidak membantah larangannya untuk bertemu kawan-kawannya yang lain selain Balkis dan Laila.
“Razif, tolong pergi pasar dan belikan mak barang-barang yang mak dah senaraikan ni. Ajak Irdina pergi sekali,” arah Mak Cik Sopiah.
“Baiklah mak,” jawab Razif.
Razif menyuruh Irdina bersiap bagi mengikutinya. Mereka berdua kemudiannya menuju ke kereta untuk ke pasar. Ketika itu Balkis dan Laila tiba di rumah mereka.
“Kami dah datang Kak Irdina nak keluar pula,” tegur Balkis.
“Masuklah dulu. Mak ada di dalam. Aku nak ke pasar sekejap, beli barang dapur.” Pelawa Irdina.
Balkis dan Laila memberi salam sebelum masuk ke rumah itu. Mak Cik Sopiah menyambut kedatangan mereka berdua dengan mesra. Razif memandu keluar dari kawasan itu setelah Irdina berada di dalam kereta.
“Balkis…Laila… jemputlah makan. Jangan malu-malu,” pelawa Mak Cik Sopiah.
“Kami tak malu, sebab tu nak datang dari pagi.” Jawab Balkis kemudian ketawa.
Mak Cik Sopiah juga turut ketawa. Dia sudah maklum dengan perangai Balkis yang sentiasa ceria dan suka bergurau. Perangai Balkis amat berbeza dengan Irdina, menantunya. Laila pula jenis pendiam.
“Balkis… mak cik nak tahu sikit tentang diri Irdina,” kata Mak Cik Sopiah setelah lama mereka berbual.
“Apa yang mak cik nak tahu?” tanya Balkis sambil memandang tepat Mak Cik Sopiah.
“Apa yang dia suka buat sebelum ni, perangai dia dan semua tentang diri dia yang mak cik tak tahu.”
“Kenapa mak cik nak selidik semua ni sedangkan dia selalu ada dengan mak cik?” tanya Balkis.
“Di depan mak cik, mungkin dia tak ceritakan isi hatinya dan kelakuannya pun mak cik tak faham. Mak cik nampak macam dia terkongkong tapi bila mak cik tanya, dia menafikan. Malah dia kata tak apa dengan sikap Razif yang kadangkala mak cik rasa tak patut.”
“Kak Irdina jenis lembut hati dan mudah mengalah kerana tak suka menyusahkan orang. Dia sanggup berkorban untuk kebahagiaan orang lain, murah hati dan sangat baik. Kelemahan dia, suka pendam perasaan jika ada masalah dan tak mahu berterus terang kalau kita tanya. Dia akan menangis seorang diri bila berseorangan.” Terang Balkis.
Mak Cik Sopiah memikirkan kata-kata Balkis.
“Mak cik… saya kesian dengan Kak Irdina. Kereta dia adalah salah satu benda yang sangat disayangi selama ni. Dia dah belanjakan wang yang banyak untuk hias kereta tu. Rasanya dia beri pada saya pun dengan rasa terpaksa. Jiwa dia mungkin terseksa bila Abang Razif dah tak bagi dia memandu. Malah pakaian mengikut warna kegemaran dia pun dah tak boleh pakai. Silap-silap boleh sakit jiwa dia nanti,” kata Balkis sambil tangannya mencapai teko lalu menuangkan air ke cawannya.
“Mak cik pun risau bila lihat dia bersedih kerana hal tu. Tapi bila mak cik tanya, dia menafikan dan sering berkata tak mengapa. Dia kata jika Razif bahagia, dia bahagia.” Luah Mak Cik Sopiah.
“Saya tak berniat nak masuk campur urusan rumah tangga dia, tapi rasanya mak cik patut nasihatkan Abang Razif supaya lebih bertolak ansur dalam hal tu. Jangan terlalu mengawal hingga tiada ruang untuk Kak Irdina.”
Laila hanya mengangguk menyetujui pandangan Balkis.
“Mak cik pernah nasihatkan Razif tapi tak diendahkan. Razif nak Irdina patuh dan taat terhadap apa saja kehendak dia. Irdina pula tak pernah merungut dan terima saja apa yang disuruh atau dilarang.”
“Jadi bagaimana mak cik nak selesaikan masalah ni? Tak kan nak biarkan saja?” tanya Laila yang sedari tadi hanya mendengar.
“Mak cik rasa nak minta tolong Azmi. Mungkin kalau Azmi yang nasihat Razif tentu dia mahu mendengar.”
“Jika dengan Ustaz Azmi pun tak jalan, nak buat macam mana?” tanya Balkis.
“Paling tidak kita dah usaha. Mudah-mudahan lembutlah sikit hati Razif dan mahu bertolak ansur.”
Balkis diam dan berfikir sejenak. “Mak cik, selain kami berdua Kak Irdina boleh tak berkawan dengan yang lain?”
“Mak cik tak berapa pasti hal tu, Balkis. Tapi rasanya tak ada. Keluar rumah ni pun dengan Razif saja.”
“Saya ada cadangan kalau mak cik setuju,” kata Balkis
“Cadangan apa?”
“Mak cik beritahu Abang Razif, saya ajak Kak Irdina temankan saya cari barang untuk persediaan perkahwinan. Saya akan bawa Kak Irdina dengan kereta dia dan bagi dia memandu. Mungkin cara itu dapat hiburkan hati Kak Irdina. Bolehlah Kak Irdina ada ruang untuk diri sendiri.”
“Mak cik setuju. Tapi barang untuk perkahwinan dah tak perlu sebab dah ada. Lagi pun kenduri yang dibuat sekadar kenduri doa selamat saja.”
“Barang tu untuk saya,” kata Balkis sambil tersenyum.
“Balkis nak kahwin? Kenapa Irdina tak beritahu pun?” tanya Mak Cik Sopiah, hairan.
“Dia pun tak tahu lagi. Sengaja kami rahsiakan.”
Laila terkejut memandang Balkis kerana dia juga tidak tahu akan hal itu. “Aku pun tak tahu kau nak kahwin. Siapa lelaki tu? Kami kenal tak?”
“Biarlah rahsia. Nanti tiba harinya kau tahulah,” kata Balkis lalu ketawa kecil.
“Dia dah masuk meminang ke?” tanya Laila lagi.
“Dia dah berbincang di telefon dengan bapa aku. Kami dah setuju sehari selepas kenduri rumah Kak Irdina, dia akan masuk meminang. Masa tu aku ada di kampung, jadi mudahlah dia nak datang.”
“Maknanya minggu depanlah?” tanya Mak Cik Sopiah inginkan kepastian.
“Ya.”
Balkis terus berbual dengan mereka tentang rancangannya untuk mengajak Irdina keluar hari itu. Mak Cik Sopiah akan menolong Balkis memujuk Razif membenarkan Irdina bersama Balkis. Mak Cik Sopiah tahu Razif mempercayai Balkis tambahan Balkis mempunyai talian saudara dengan Irdina.

p/s buku ini telah ada dipasaran dengan tajuk Abang King Kontrol terbitan Gedebook Sdn Bhd. Boleh dapatkan dipasaran atau terus order di bookcafe pts. 

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya sokong usaha anda.....
teruskan menyambung lagi novel ini..

Tanpa Nama berkata...

dah lama tunggu n3 crite ni.
apa2 pun teruskan usaha.
idea dah ok so berusaha ek.

anok kelate sejati berkata...

Sambung la lagi novel ni. Novel ni mmg best.

LOVE 4 EVER berkata...

Saya tunggu bab 29.

NURISMANINASYIQIN berkata...

Saya dh x sbr nk 2ggu bab 29. Tolong cepat sikit ya.

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Buku Abang King Kontrol telah berada dipasaran sejak Mac 2014. Boleh dapatkan di kedai berhampiran atau di ptsbookcafe.

Unknown berkata...

X sbr tnggu bab 29 ..