Atas permintaan ramai saya sambung semula cerita ini. Diharapkan terhibur membacanya.
...........................................................................................................................
Pagi
Sabtu, Balkis bercuti dan kesempatan itu digunakan untuk melakukan kerja-kerja
rumah. Ketika dia selesai menyidai pakaian, telefonnya berbunyi dan dia
mendapati Irdina yang menelefon.
“Balkis, mak mertua aku ajak kau dan Laila makan tengah
hari di sini.”
“Alhamdullillah, tak payah nak masak. Kenapa mak cik
tak ajak aku dari pagi lagi? Tak payahlah aku nak buat sarapan,” seloroh
Balkis.
“Sekejap aku tanyakan.” Irdina bertanyakan ibu
mertuanya akan hal itu.
“Balkis, mak kata datanglah. Ajak sekali Laila.
Nanti bolehlah tolong mak masak.” Irdina memberitahu keputusan Mak Cik Sopiah.
“Okey. Sekejap lagi aku dan Laila sampai,” kata
Balkis sebelum meletakkan telefonnya.
Razif yang telah selesai makan hanya memerhati
isterinya. Irdina kelihatan gembira tiap kali berbual dengan Balkis. Razif
tersenyum kerana setakat ini Irdina tidak membantah larangannya untuk bertemu
kawan-kawannya yang lain selain Balkis dan Laila.
“Razif, tolong pergi pasar dan belikan mak
barang-barang yang mak dah senaraikan ni. Ajak Irdina pergi sekali,” arah Mak
Cik Sopiah.
“Baiklah mak,” jawab Razif.
Razif menyuruh Irdina bersiap bagi mengikutinya.
Mereka berdua kemudiannya menuju ke kereta untuk ke pasar. Ketika itu Balkis
dan Laila tiba di rumah mereka.
“Kami dah datang Kak Irdina nak keluar pula,” tegur
Balkis.
“Masuklah dulu. Mak ada di dalam. Aku nak ke pasar
sekejap, beli barang dapur.” Pelawa Irdina.
Balkis dan Laila memberi salam sebelum masuk ke
rumah itu. Mak Cik Sopiah menyambut kedatangan mereka berdua dengan mesra.
Razif memandu keluar dari kawasan itu setelah Irdina berada di dalam kereta.
“Balkis…Laila… jemputlah makan. Jangan malu-malu,”
pelawa Mak Cik Sopiah.
“Kami tak malu, sebab tu nak datang dari pagi.” Jawab
Balkis kemudian ketawa.
Mak Cik Sopiah juga turut ketawa. Dia sudah maklum
dengan perangai Balkis yang sentiasa ceria dan suka bergurau. Perangai Balkis
amat berbeza dengan Irdina, menantunya. Laila pula jenis pendiam.
“Balkis… mak cik nak tahu sikit tentang diri Irdina,”
kata Mak Cik Sopiah setelah lama mereka berbual.
“Apa yang mak cik nak tahu?” tanya Balkis sambil
memandang tepat Mak Cik Sopiah.
“Apa yang dia suka buat sebelum ni, perangai dia dan
semua tentang diri dia yang mak cik tak tahu.”
“Kenapa mak cik nak selidik semua ni sedangkan dia
selalu ada dengan mak cik?” tanya Balkis.
“Di depan mak cik, mungkin dia tak ceritakan isi
hatinya dan kelakuannya pun mak cik tak faham. Mak cik nampak macam dia
terkongkong tapi bila mak cik tanya, dia menafikan. Malah dia kata tak apa
dengan sikap Razif yang kadangkala mak cik rasa tak patut.”
“Kak Irdina jenis lembut hati dan mudah mengalah
kerana tak suka menyusahkan orang. Dia sanggup berkorban untuk kebahagiaan
orang lain, murah hati dan sangat baik. Kelemahan dia, suka pendam perasaan
jika ada masalah dan tak mahu berterus terang kalau kita tanya. Dia akan
menangis seorang diri bila berseorangan.” Terang Balkis.
Mak Cik Sopiah memikirkan kata-kata Balkis.
“Mak cik… saya kesian dengan Kak Irdina. Kereta dia
adalah salah satu benda yang sangat disayangi selama ni. Dia dah belanjakan
wang yang banyak untuk hias kereta tu. Rasanya dia beri pada saya pun dengan
rasa terpaksa. Jiwa dia mungkin terseksa bila Abang Razif dah tak bagi dia
memandu. Malah pakaian mengikut warna kegemaran dia pun dah tak boleh pakai.
Silap-silap boleh sakit jiwa dia nanti,” kata Balkis sambil tangannya mencapai
teko lalu menuangkan air ke cawannya.
“Mak cik pun risau bila lihat dia bersedih kerana
hal tu. Tapi bila mak cik tanya, dia menafikan dan sering berkata tak mengapa.
Dia kata jika Razif bahagia, dia bahagia.” Luah Mak Cik Sopiah.
“Saya tak berniat nak masuk campur urusan rumah
tangga dia, tapi rasanya mak cik patut nasihatkan Abang Razif supaya lebih
bertolak ansur dalam hal tu. Jangan terlalu mengawal hingga tiada ruang untuk
Kak Irdina.”
Laila hanya mengangguk menyetujui pandangan Balkis.
“Mak cik pernah nasihatkan Razif tapi tak
diendahkan. Razif nak Irdina patuh dan taat terhadap apa saja kehendak dia.
Irdina pula tak pernah merungut dan terima saja apa yang disuruh atau
dilarang.”
“Jadi bagaimana mak cik nak selesaikan masalah ni?
Tak kan nak biarkan saja?” tanya Laila yang sedari tadi hanya mendengar.
“Mak cik rasa nak minta tolong Azmi. Mungkin kalau
Azmi yang nasihat Razif tentu dia mahu mendengar.”
“Jika dengan Ustaz Azmi pun tak jalan, nak buat
macam mana?” tanya Balkis.
“Paling tidak kita dah usaha. Mudah-mudahan
lembutlah sikit hati Razif dan mahu bertolak ansur.”
Balkis diam dan berfikir sejenak. “Mak cik, selain
kami berdua Kak Irdina boleh tak berkawan dengan yang lain?”
“Mak cik tak berapa pasti hal tu, Balkis. Tapi
rasanya tak ada. Keluar rumah ni pun dengan Razif saja.”
“Saya ada cadangan kalau mak cik setuju,” kata
Balkis
“Cadangan apa?”
“Mak cik beritahu Abang Razif, saya ajak Kak Irdina
temankan saya cari barang untuk persediaan perkahwinan. Saya akan bawa Kak
Irdina dengan kereta dia dan bagi dia memandu. Mungkin cara itu dapat hiburkan
hati Kak Irdina. Bolehlah Kak Irdina ada ruang untuk diri sendiri.”
“Mak cik setuju. Tapi barang untuk perkahwinan dah
tak perlu sebab dah ada. Lagi pun kenduri yang dibuat sekadar kenduri doa selamat
saja.”
“Barang tu untuk saya,” kata Balkis sambil
tersenyum.
“Balkis nak kahwin? Kenapa Irdina tak beritahu pun?”
tanya Mak Cik Sopiah, hairan.
“Dia pun tak tahu lagi. Sengaja kami rahsiakan.”
Laila terkejut memandang Balkis kerana dia juga
tidak tahu akan hal itu. “Aku pun tak tahu kau nak kahwin. Siapa lelaki tu?
Kami kenal tak?”
“Biarlah rahsia. Nanti tiba harinya kau tahulah,”
kata Balkis lalu ketawa kecil.
“Dia dah masuk meminang ke?” tanya Laila lagi.
“Dia dah berbincang di telefon dengan bapa aku. Kami
dah setuju sehari selepas kenduri rumah Kak Irdina, dia akan masuk meminang.
Masa tu aku ada di kampung, jadi mudahlah dia nak datang.”
“Maknanya minggu depanlah?” tanya Mak Cik Sopiah
inginkan kepastian.
“Ya.”
Balkis terus berbual dengan mereka tentang
rancangannya untuk mengajak Irdina keluar hari itu. Mak Cik Sopiah akan
menolong Balkis memujuk Razif membenarkan Irdina bersama Balkis. Mak Cik Sopiah
tahu Razif mempercayai Balkis tambahan Balkis mempunyai talian saudara dengan
Irdina.
p/s buku ini telah ada dipasaran dengan tajuk Abang King Kontrol terbitan Gedebook Sdn Bhd. Boleh dapatkan dipasaran atau terus order di bookcafe pts.
p/s buku ini telah ada dipasaran dengan tajuk Abang King Kontrol terbitan Gedebook Sdn Bhd. Boleh dapatkan dipasaran atau terus order di bookcafe pts.
7 ulasan:
saya sokong usaha anda.....
teruskan menyambung lagi novel ini..
dah lama tunggu n3 crite ni.
apa2 pun teruskan usaha.
idea dah ok so berusaha ek.
Sambung la lagi novel ni. Novel ni mmg best.
Saya tunggu bab 29.
Saya dh x sbr nk 2ggu bab 29. Tolong cepat sikit ya.
Buku Abang King Kontrol telah berada dipasaran sejak Mac 2014. Boleh dapatkan di kedai berhampiran atau di ptsbookcafe.
X sbr tnggu bab 29 ..
Catat Ulasan