Razif bergerak
menuju ke arah keretanya. Dia mengeluarkan beg pakaian mereka lalu dibawanya ke
kantin sekolah tersebut. Matanya mencari-cari Irdina tetapi tiada di situ.
Hatinya terasa panas kerana Irdina engkar terhadap arahannya agar menunggu di
situ. Setelah menanti seketika, Irdina muncul bersama anak saudaranya.
“Sayang
ke mana? Bukankah abang suruh tunggu di sini?” tanya Razif dengan nada yang
dilembutkan. Dia berusaha untuk mengawal kemarahannya.
“Irdina
minta maaf. Tadi Athirah nak ke tandas. Kak Wina pula tengah bancuh susu, sebab
tu Irdina temankan dia,” jelas Irdina.
“Abang
maafkan.” Terasa suhu kemarahannya turun apabila mengetahui situasi sebenar.
“Razif
takut Irdina lari ke? Nampak risau sangat tadi bila tengok Irdina tak ada,” kata
Wina sambil ketawa kecil.
Razif
hanya tersenyum tanpa mahu memberi komen.
“Jom
kita naik. Mak dan abah dah bersihkan bilik darjah di atas,” kata Pak Cik Idris
mengajak ahli keluarganya.
Mereka
semua naik ke bilik yang dimaksudkan. Tikar yang dibawa dari rumah mereka,
dihampar di atas lantai. Mereka duduk beramai-ramai di situ. Anak-anak saudara
Irdina kemudiannya turun ke bawah untuk bermain-main. Pak Cik Idris, Ilyas dan
Ihsan turun semula ke tingkat bawah.
Irdina
mengeluarkan skirt panjang untuk menggantikan seluarnya yang basah. Dengan
menggunakan kain sarung, Irdina menyalin seluarnya. Dia memakai skirt panjang
yang diperbuat daripada kain jeans. Seluar yang basah disangkutkan di kerusi. Irdina
duduk bersebelahan Razif dan dapat mendengar bunyi perut Razif yang sememangnya
lapar.
“Abang
lapar?” tanya Irdina.
“Lapar
juga.”
Irdina
bangun lalu mengambil biskut yang dibawa oleh Ihsan dari rumah mereka. Dia
meletakkan bungkusan biskut tersebut di hadapan Razif. Mereka duduk dan makan
biskut tersebut beberapa keping.
“Selama
ini abang hanya lihat melalui televisyen mangsa banjir yang ditempatkan di
pusat pemindahan. Sekarang baru abang rasa sendiri kesusahan mereka,” kata
Razif.
“Selalunya
kita tidak akan menghargai nikmat yang Allah beri sehingga Allah menarik balik
nikmat tersebut,” kata Irdina.
“Betul.
Selalunya biskut begini abang jarang makan. Tapi hari ini rasa sedap pula bila
perut rasa lapar.”
“Air
kosong pun rasa sedap. Tapi jangan paksa Irdina minum hingga seliter lagi,” kata
Irdina sambil ketawa.
“Abang
minta maaf di atas perbuatan abang terhadap sayang. Abang akui, abang memang
keterlaluan mengenakan sayang hari tu.”
“Tak
mengapalah. Perkara dah lepas, nak buat macam mana?” jawab Irdina, perlahan.
Agak pedih bila kenangan lalu diputar kembali.
“Abang
janji akan jaga dan memberi kebahagiaan untuk sayang. Abang nak keluarga kita
menjadi keluarga yang bertaqwa dan beriman kepada Allah.” Razif menggenggam
erat tangan Irdina. Irdina hanya tersenyum.
Irdina
menguap beberapa kali kerana keletihan dan mengantuk. Dia bangun dan mengambil
beg pakaiannya untuk dijadikan alas tidur. Razif mengeluarkan kain pelekatnya
lalu menyelimuti badan Irdina. Dia memerhati wajah isterinya yang telah
tertidur. Polos dan sangat menarik. Perlahan-lahan dia merebahkan badannya di
sisi Irdina. Tangannya dilengkarkan ke pinggang isterinya sebelum matanya
terlelap.
“Kesian
mak tengok depa berdua. Baru menikah dah kena duk penempatan banjir,” kata Mak
Cik Mesa kepada menantunya.
“Nak
buat macam mana mak? Dah takdir jadi banjir masa mereka baru menikah. Honey moon di penempatanlah jawabnya,” kata
Wina sambil ketawa.
Mak
Cik Mesa turut ketawa kecil sambil membaringkan badannya. Dia juga ingin
melelapkan matanya. Wina hanya memerhati mereka yang telah terlelap. Dia menepuk
perlahan badan Aiman untuk menidurkannya.
Beberapa
ketika kemudian Irdina tersedar dari tidurnya dan mendapati wajah Razif berada
hanya beberapa inci dari wajahnya. Dia mengamati wajah itu dan dapat melihat
dengan jelas tunggul-tunggul kasar yang mulai memenuhi wajah Razif. Hatinya
teringin menyentuh wajah itu tetapi mindanya melarang. Razif mengeliat kecil
membuatkan Irdina menutup kembali matanya. Irdina berpura-pura sedang tidur dan
dia dapat merasakan tangan Razif membelai wajahnya. Irdina membuka matanya apabila dia merasakan mulut
Razif melekat di pipinya.
“Sayang
dah bangun?”
Irdina
tersenyum malu. Dia bangun perlahan-lahan lalu duduk. Matanya memandang sekitar
bilik tersebut dan mendapati Wina tertidur dengan kepalanya disandarkan ke
kerusi. Anak kecilnya lena di pangkuan. Mak Cik Mesa juga sedang tidur secara
mengiring membelakangi mereka. Razif yang turut duduk, melihat sekeliling. Dia
kemudiannya menarik Irdina lalu memeluknya. Debaran jantung Irdina terasa
kencang. Pun begitu, dia hanya membiarkan perlakuan Razif.
Tangan
Razif mengelus pipi isterinya dengan lembut. Kucupan demi kucupan hinggap di dahi,
pipi dan hidung Irdina. Dia dapat mendengar desahan nafas Irdina yang agak
cemas. Tentunya isterinya itu kelemasan dengan belaiannya. Segaris senyuman
terpamer di bibir Razif. Gelora jiwanya bagaikan tidak tertahan lagi.
Perlahan-lahan dia merapatkan bibirnya ke bibir Irdina. Irdina hanya menahan
nafas sambil matanya terpaku memandang wajah Razif yang hampir bersatu dengan
wajahnya. Tinggal seinci lagi bibir mereka akan bersatu.
“Ehem!”
Pak Cik Idris yang masuk secara tiba-tiba mengejutkan mereka berdua. Razif segera
meleraikan pelukannya dan tersipu-sipu melihat bapa mertuanya. Irdina
memusingkan tubuhnya menghadap dinding. Malu menerpa ke mukanya. Tertangkap
ketika aksi 18 SX benar-benar membuatkannya seolah-olah hilang kepala.
“Mai
makan. Abah dah ambik tapi tak dapat banyak, kena kongsilah.” Pak Cik Idris berpura-pura
tidak melihat perbuatan anak dan menantunya sebentar tadi. Tangannya ligat meletakkan
bungkusan makanan dan botol minuman. Pak Cik Idris kemudiannya melabuhkan
punggungnya di penjuru bilik. Dia ingin berehat setelah lama menunggu bekalan
makanan. Bekalan makanan mereka dihantar oleh sukarelawan.
Wina
dan Mak Cik Mesa yang baru terjaga bangun menghampiri Pak Cik Idris. Tangan
Razif mencuit Irdina. Irdina mengalihkan pandangannya ke wajah Razif. Razif
memberi isyarat agar Irdina mengambil makanan tersebut. Irdina bangun lalu
mengambil sebungkus makanan dan sebotol air. Dia membawa makanan tersebut dan
duduk di sisi Razif.
“Kita
kongsi nasi ni,” kata Irdina.
Irdina
membuka bekas tersebut. Di dalamnya mengandungi nasi putih berlaukkan ikan
sardin. Dengan menggunakan sudu plastik yang terdapat di dalam bungkusan itu, Irdina
menyuapkan nasi ke mulut Razif dan dirinya silih berganti. Irdina melebihkan
suapan ke mulut Razif berbanding dirinya kerana dia tidak gemarkan ikan sardin,
lebih-lebih lagi tiada kicap di dalam nasi itu. Razif makan sambil matanya
asyik merenung wajah Irdina. Dia merasakan tiap suapan yang diberikan oleh
Irdina amat sedap walaupun hanya berlaukkan sardin tanpa kicap kegemarannya.
“Sayang,
kalau hari-hari sayang suapkan abang tentu bahagia hidup abang.”
“Hari-hari?”
Irdina berasa cuak.
“Ya,
hari-hari.” Razif tersenyum.
“Kalau
hari-hari Irdina tak boleh nak buat kerjalah. Kerja Irdina kadangkala tak tentu
masa. Ada ketika kena buat overtime bila
urusan tu penting. Kalau waktu begitu, Irdina akan balik malam. Abang pula,
malam masih di klinik. Jadi tak bolehlah rasanya.” Irdina memberi alasan yang
dirasakannya munasabah.
“Kalau
begitu, sayang berhenti kerja. Abang mampu sara hidup sayang. Tiap bulan abang
akan beri duit lebih dari gaji sayang sekarang. Jadi bolehlah sayang layan
abang saja,” kata Razif membuatkan Irdina terdiam.
Hati
Irdina menjadi bertambah sedih bila memikirkan kemungkinan itu. Sedangkan
sehari suntuk bersama Razif, hatinya tidak tenteram inikan pula seumur hidup!
Irdina melihat awan mendung melalui tingkap bilik darjah itu. Hatinya seperti
awan mendung itu yang bila-bila masa akan menitiskan hujannya.
“Sayang,
waktu Zohor dah nak masuk ni. Ada surau tak di sini?”
“Rasanya
ada di blok sebelah.”
Irdina
bangun untuk mengambil telekungnya dan kemudian mengekori Razif ke surau
sekolah. Di dalam surau, terdapat tiga orang ibu muda yang mempunyai anak kecil
berada di situ. Mungkin disebabkan surau tersebut mempunyai hamparan, maka
mereka memilih untuk tinggal di situ. Suasana agak riuh dengan kanak-kanak yang
berlari ke sana sini. Tirai pembahagi antara lelaki dan perempuan tidak
berfungsi dengan baik menyebabkan seolah-olah tiada sekatan antaranya.
Razif
mengambil wuduk di bahagian lelaki dan Irdina berwuduk di bahagian perempuan.
Ramai penghuni mengambil wuduk untuk mengerjakan solat. Laungan azan
diperdengarkan dan seketika kemudian mereka yang berada di dalam surau
mendirikan solat. Tetapi ramai juga yang hanya berbual kosong di bawah ketika
orang lain mendirikan solat. Seolah-olah seruan azan tidak memberi kesan di
hati mereka. Bukankah mereka juga beragama Islam? Solat adalah tiang agama
untuk diri sendiri. Jika masih sombong dan tidak mahu sujud kepada Allah,
masihkah tidak malu mengaku diri seorang Islam? Sudah diuji dengan musibah,
masih mampu bergelak ketawa. Hendak didatangkan peringatan bagai mana lagi?
Adakah menunggu bumi diterbalikkan baru teringat untuk bersolat? Razif berasa
insaf sendiri. Terasa begitu kerdilnya diri.
Irdina
keluar dari surau dan menuju ke bilik tadi. Dia tidak nampak kelibat Razif di
situ. Ada kelegaan di hatinya. Dia keluar dari bilik itu menuju ke hujung blok
untuk melihat sekitar kawasan tersebut. Irdina mengeluarkan telefon lalu
mendail nombor Balkis. Setelah memberi salam, dia bertanyakan khabar Balkis.
“Balkis,
makbul juga doa kau. Aku memang terperangkap di dalam sebuah bilik bersama-sama
Abang Razif sewaktu banjir. Tapi bilik ni bukan aku berdua saja, tapi dah jadi
satu keluarga. Kalau duduk dalam bas, memang satu bas!” Kata Irdina lalu
ketawa.
“Padan
muka kau dan padan juga muka aku. Kita sama-sama terperangkap dan tak boleh
balik. Selatan Thailand termasuk Hatyai pun banjir sebab tu jadi banjir besar
tempat kita. Aku dengar Alor Setar pun dah banjir. Pekan Rabu yang tak pernah
banjir pun dah naik air,” kata Balkis.
“Betul? Tentu lambat lagi nak surut air ni. Macam
mana nak balik ke sana?”
“Aku
pun risau. Tadi aku dah bagitau bos minta tambah cuti sebab aku rasa paling
kurang tiga atau empat hari lagi baru kita boleh balik.”
“Aduh!
Aku dah tak tahan duduk di sini. Sakit badan tidur atas lantai. Makan pun tak
cukup, nasi dengan ikan sardin. Tak ada kicap,” kata Irdina dengan nada sedih.
Balkis
ketawa di hujung talian. “Aku di sini lagi teruk. Sampai ada yang bertumbuk
kerana berebut nasi.”
“Kenapa
jadi macam tu? Tak boleh sabar ke?”
“Nasi
yang dihantar sukarelawan tak cukup dan ramai yang tak dapat. Ada seorang budak
yang tak dapat nasi lalu menangis. Ada seorang lelaki tu tak mahu beralah. Dia
nak ambil juga nasi yang tinggal sebungkus. Apalagi, bapa budak tu tumbuklah
lelaki yang tak mahu beralah. Kecoh jadinya.”
“Sebab
sebungkus nasi boleh haru biru hidup. Aku pun rasa haru biru bila berkongsi
sebungkus nasi dengan Abang Razif,” kata Irdina dengan nada sedih.
“Kenapa?
Bukankah seharusnya Kak Irdina gembira? Dalam suasana pengantin baru, berkongsi
makan tentu nampak sweet.”
“Sweet apanya? Lepas ni sour. Aku nak kena layan dia hari-hari
dan paling aku susah hati, aku kena berhenti kerja. Tak boleh pakai seluar
jeans, kena pakai baju kurung atau jubah. Aku tak suka pakai jubah,” keluh
Irdina.
“Baru
sehari kahwin dah merungut. Aku tak dapat bayangkan kalau Kak Irdina terpaksa
menghadapinya setiap hari, seumur hidup.”
“Masak
aku jadinya. Hilanglah warna warni hidupku.”
Balkis
ketawa lagi. Irdina mendengar nada yang menandakan ada satu panggilan masuk.
Dia melihat seketika.
“Balkis
sekejap. Abang Razif telefon,” kata Irdina lalu menekan butang menjawab
panggilan Razif.
“Sayang
ada di mana? Puas abang cari.”
“Ada
di koridor hujung blok tempat kita duduk tadi.”
“Buat
apa di sana?”
“Tengok
permandangan dan berbual dengan Balkis.”
“Baiklah,
abang ke situ. Jangan ke mana-mana,” kata Razif sambil meletakkan telefonnya.
“Balkis,
aku tak boleh berbual lama-lama. Abang Razif dah cari aku. Lemasnya aku!”
“Nasib
kaulah Labu!” kata Balkis sambil ketawa.
“Baiklah
Labi, lain kali aku telefon lagi.” Irdina mematikan talian.
Irdina
dapat melihat Razif menghampirinya dengan senyuman. Irdina membalas senyuman
itu walaupun hatinya mengerutu.
“Sayang,
berbual apa dengan Balkis?”
“Cerita
tentang banjir dan keadaan kecoh di penempatan Balkis. Ada orang sampai
bertumbuk sebab sebungkus nasi.”
“Sampai
begitu sekali? Bila perut lapar, orang sanggup buat apa saja. Bayangkan, kita
baru sehari tak makan dah kecoh. Kalau di Somalia yang berbulan-bulan tak dapat
makan tentu lebih teruk. Ada yang terpaksa makan kulit pokok untuk terus hidup.
Waktu sekarang ada duit pun tak guna, sebab tak ada kedai makan yang buka.
Malah bekalan makan pun mungkin terputus sebab bantuan tak sampai.”
“Betul.
Kita mungkin bernasib baik kawasan penempatan di sini masih ada bekalan makanan
dan mudah bantuan untuk sampai. Kalau kawasan yang airnya dalam, mungkin sukar
kerja-kerja mengagih bantuan. Kalau tak kena gaya, kena ikat perut dan
berlaparlah.”
“Abang
dengar tadi, pintu empang akan dibuka lagi. Kali ni mungkin menghala arah pusat
bandar petang nanti.”
“Betul?
Makin buruklah keadaan nanti. Kita mungkin tak boleh balik dalam masa terdekat,”
keluh Irdina.
“Abang
tak kisah selagi sayang ada di sisi abang. Di mana pun abang sanggup,” kata
Razif sambil memeluk pinggang Irdina.
Razif
memandang wajah Irdina yang masih memandang ke bawah. Dia menyentuh lembut
wajah Irdina membuatkan Irdina berpaling ke arahnya. Razif mendekatkan wajahnya
ke wajah Irdina. Ingin menyambung kembali adegan yang terganggu. Tetapi sebelum
sempat bibirnya bertemu bibir Irdina, tiba-tiba mereka disergah dari belakang.
Razif terpaksa membuat ‘brek kecemasan’. Muka Irdina membahang rasa malu.
Tertangkap lagi!
“Kakak
ni pengantin baru ke?” tanya seorang kanak-kanak perempuan yang mengejutkan
mereka berdua.
Irdina berpaling dengan senyuman malu. Dia
melihat kanak-kanak perempuan itu berdiri bersebelahan Athirah anak saudaranya.
“Macam mana adik tahu? Athirah beritahu ke?” tanya Irdina.
“Ada
inai di tangan dan kaki kakak. Selalunya pengantin yang pakai begitu,” kata
kanak-kanak itu lagi.
Irdina
hanya tersenyum memandang mereka. Razif juga turut tersenyum.
“Kesian
kakak.”
“Kenapa?”
“Tak
dapat bersanding sebab banjir.”
Irdina
dan Razif ketawa serentak mendengar kata-kata kanak-kanak itu. Kanak-kanak itu
dan Athirah berlari meninggalkan mereka berdua.
4 ulasan:
Wah romantiknya honeymoon dalam banjir cepatlah dapat junior nanti hehehe...
Hahaha...memang romantik. tak pernah dibuat org.
romantis sentisa kena kacau je lah..huh, sedih aje rasa hati.. Razif lah kesian macam tak sabar je...hehehe ~,~
Ikan halal depan mata, kucing tak kan nk pandang saja?
Catat Ulasan