Pengikut

Ahad, 6 Januari 2013

Aku Normal Bukan Songsang - Bab 3




“Jasmin! Kenapa ketawa begitu?” terdengar suara lelaki menegurnya dari tepi surau.
Jasmin menoleh untuk melihat lelaki tersebut. Bunga-bunga mekar di hatinya. Lelaki buruannya berada di depan mata. Apa tunggu lagi Jasmin? Peluang ni... peluang!
“Ada beruang madu kejar Min tadi,” kata Jasmin termengah-mengah.
“Beruang madu?” berkerut dahi Uzair mendengarnya. Setahunya di kawasan tersebut tidak terdapat beruang madu.
“Ya! Beruang madu tu ada di dapur.”
“Betul? Biar Abang Uzair pergi tengok.”
“Eh! Tak payahlah bang. Nanti dia marah pula sebab kacau dia masak.”
“Masak? Beruang madu  boleh masak ke?” bertambah hairan Uzair memikirkannya.
Jasmin ketawa melihat wajah keliru Uzair.
Bendullah pula, bisik hati Jasmin. Dia cuba bermain mata dengan Uzair.
“Err... Min buat apa di sini? Bukankah sepatutnya Min tolong Hani memasak? Nak curi tulang?” kata Uzair sambil melabuhkan pandangannya ke tanah.
Mana boleh pandang anak dara orang. Haram... haram.
“Beruang madu dah mengamuk. Dia suruh Min, main jauh-jauh.”
“Ooo... beruang madu tu Haninalah ya? Kenapa Min gelar dia begitu? Tak baik mengelar orang dengan panggilan yang tidak sepatutnya. ALLAH berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud; Dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk, amatlah buruknya sebutan nama fasiq sesudah ia beriman. Dan ingatlah, sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiqnya maka merekalah orang-orang yang zalim.”
Jasmin berpura-pura mendengar kata-kata Uzair.
Ceramahlah pula! Tapi tak apa, ceramahlah panjang-panjang. Aku bukan nak dengar pun. Boleh tengok janggut sejemput dia pun dah cukup baik. Kenapalah kau ni handsome sangat? Mulut pun merah. Ini mesti tak merokok. Adakah kau diciptakan untuk aku? bisik hati Jasmin.
Eh! Kenapa aku puji dia pula? Patut aku kutuk. Tarik balik pujian tadi. Kena fokus. Jangan jatuh cinta pada dia. Biar dia yang jatuh cinta pada aku. Lepas tu tinggalkan dia macam yang Syakir buat pada aku, Jasmin merangka di dalam kepala.
Matanya terpaku menatap wajah Uzair. Bibirnya mengorak senyum hingga ke telinga. Uzair yang menyedari renungan menggoda Jasmin pantas bergerak meninggalkan Jasmin.
“Abang Uzair! Janganlah tinggalkan Min. Marilah kita berbual lagi. Min nak tanya, abang sudi tak terima Min?” tanya Jasmin dengan suara yang merengek.
Pertanyaan Jasmin tidak berjawab. Uzair terus melangkah masuk ke surau. Dia memekakkan telinganya sambil mengurut dada.
“Astaghfirullahalazim!” Uzair beristighfar berkali-kali.
Takut benar dia dengan jerat syaitan. Perempuan... kenapalah kau tak tahu? Suara kau sudah cukup menggoncangkan iman! Inikan pula liuk lentok tubuh badanmu? Main-main mata pula. Kaulah senjata syaitan yang paling ampuh meruntuhkan iman kaum lelaki.
Uzair berwuduk. Dia perlu menghindarkan godaan syaitan yang menerpa ke tangkai jantungnya. Wajah dan suara Jasmin yang menggoda cuba dipadamkan sedaya mungkin. Uzair mendirikan solat sunat dan kemudian membaca al-Quran untuk mententeramkan hatinya. Berperang melawan hawa nafsu lebih hebat dari peperangan sebenar. Uzair takut tertewas di dalam peperangannya itu. Alahai, perempuan... perempuan.
Jasmin melangkah ke arah dapur. Dia tahu bila-bila masa sahaja Hajah Rahimah dan Haji Manaf akan pulang. Dia perlu berada di dapur bagi mengelakkan dirinya didenda oleh Haji Manaf. Tugasnya hari itu tidak dapat dilakukan dengan baik sebagaimana arahan Haji Manaf. Dia perlu meminta bantuan Hanina untuk merahsiakannya.
Honey! I’m back,” kata Jasmin setelah terjengul di dapur.
Hanina tidak memperdulikan Jasmin. Dia meletakkan makanan di dalam bekas.
Honey, you duduklah. Biar I pula yang buat,” kata Jasmin menghampiri Hanina.
Hanina tidak mengendahkan suruhan Jasmin dan meneruskan kerjanya. Jasmin memegang tangan Hanina. Tujuannya untuk mengambil senduk yang berada di tangan Hanina. Hanina terkejut kerana menyangka Jasmin cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya. Dia menampar muka Jasmin sekuat hati. Jasmin terkaku. Dia tidak menyangka Hanina akan bertindak begitu. Pipi yang terasa pijar dipegang.
“Kenapa Hanina? Salahkah aku nak tolong kau?”
Air mata Jasmin deras mengalir di pipi. Segera dia melarikan dirinya ke bilik. Hatinya menjerit pilu. Hanina yang baru tersedar akan tindakannya terasa kesal.
Apa aku dah buat? Min hanya nak menolong. Kenapa aku tak dapat mengawal rasa marah tiap kali dia dekat dengan aku? kata hati Hanina.
Hanina melangkah laju ke bilik Jasmin. Dia mengetuk-ngetuk pintu bilik beberapa kali sambil memanggil nama Jasmin. Jasmin tidak menghiraukan panggilan Hanina.
“Min, aku minta maaf. Aku terkejut tadi.”
Diam.
“Min! Bukalah pintu ni.”
Diam lagi.
“Min, kalau kau nak kawan dengan aku, kau buka pintu ni.”
“Pergilah! Aku tak mahu kawan dengan kau. Kau bukannya sukakan aku. Biar aku mati macam Zana. Hanya Zana yang faham perasaan aku.”
Hati Hanina tersentuh. Jasmin sukar diramal sikapnya. Hanina masih tidak memahami diri Jasmin. Hatinya masih dibayangi cerita-cerita buruk tentang Jasmin sewaktu di universiti.
“Min, aku tahu kau sedih. Aku mengaku aku silap. Maafkan aku. Bagilah peluang untuk aku perbaiki kesalahan aku. Kita kawan, ye?” pujuk Hanina.
Jasmin masih mendiamkan dirinya.
“Jasmin, bukalah pintu ni. Aku janji tak akan marah-marah kau lagi. Aku janji akan jadi kawan kau yang paling baik,” kata Hanina lagi.
Jasmin membuka selak pintu dan menjengulkan sedikit kepalanya.
“Betul kau tak marahkan aku dan nak jadi kawan baik aku?”
“Ya.”
“Walaupun aku panggil kau honey?”
“Panggillah, aku tak kisah. Asalkan kau mahu maafkan aku,” kata Hanina tersenyum.
“Kalau aku cium kau, kau marah tak?” tanya Jasmin menduga.
“Kalau kau cium tanpa niat atau maksud lain, aku tak marah.”
“Hah! Apa maksud kau? Aku tak faham,” ujar Jasmin sambil tangannya membuka pintu selebar-lebarnya. Kesan air mata dihapuskan dengan belakang tangan.
Hanina tersenyum memandang Jasmin. Sensitif juga rupanya budak ni, bisik hati Hanina.  “Betul kau tak tahu?” tanya Hanina.
Jasmin mengangguk. Matanya memandang tepat ke mata Hanina.
“Masa kau cium pipi aku, apa yang kau rasa?” soal Hanina.
“Aku rasa gembira sama macam aku cium pipi Zana atau mama. Kau kan dah jadi kawan baik aku? Tak salahkan kalau aku cium kau?”
“Tak salah. Aku izinkan.”
Hanina ketawa kecil. Dia dapat meneka yang Jasmin menciumnya kerana rasa sayang atau suka sebagai seorang kawan. Tidak lebih dari itu. Salah anggapannya pada Jasmin, perlu dibetulkannya.
“Maafkan aku. Selama ni aku dah salah faham dengan kau. Aku percaya bulat-bulat semua cerita tentang kau tanpa selidik betul atau tak.”
“Tak mengapalah Hani. Aku pun nak minta maaf pada kau kerana suka main-mainkan kau. Sengaja nak buat kau marah. Kita kira kosong kosong, ye?”
Hanina mengangguk dan memegang tangan Jasmin. Permusuhan yang wujud sebelum ini, terhapus dengan sebuah kemaafan. Mereka jalan beriringan menuju ke dapur. Di dapur, Hajah Rahimah yang baru pulang dari bandar telah berada di situ. Dia hairan melihat kedua-dua gadis tersebut.
“Hai! Berpegangan tangan? Dari mana kamu berdua? Kenapa tak tutup makanan ni?” tanya Hajah Rahimah bertalu-talu.
Hanina yang tersedar akan hal itu segera melepaskan pegangan tangannya. Dia tersenyum melihat wajah ibunya yang agak terkejut melihat perubahan sikapnya terhadap Jasmin.
“Tadi Min menangis. Hani pujuk Min. Itu yang tak sempat nak tutup makanan tu,” terang Jasmin tanpa diduga.
Hajah Rahimah menganggukkan kepala tanpa menyoal lebih lanjut. Hajah Rahimah mengambil tudung saji untuk menutup makanan yang terdedah. Apabila Hanina ingin membuka mulutnya bagi menerangkan hal sebenar, Jasmin menggelengkan kepalanya.
“Kenapa tak nak beritahu hal sebenar?” bisik Hanina.
“Nanti kau kena marah pula. Kalau aku, tak mengapa. Telinga aku dah lali,” jawab Jasmin sambil tersenyum.
“Memang patut pun aku kena marah. Aku tak sabar dan mudah menaruh syak wasangka.”
“Kalau aku jadi kau pun mungkin aku berprasangka juga.”
“Bisik-bisik apa tu?” tegur Hajah Rahimah.
“Tak ada apa-apa mak cik. Hal orang perempuan,” kata Jasmin sambil tersengih.
“Mak cik ni lelakikah?” tanya Hajah Rahimah, kehairanan.
“Maksud Min, hal orang muda. Orang tua tak boleh campur.”
“Ada-ada aje Min ni. Dahlah! Pergi panggil Uzair angkat talam.”
Hanina ingin melangkah tetapi ditegah oleh Jasmin.
“Biar Min panggil.”

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

lama dh tugu, x pon next...sambung lh dah ridu nie..cerita nie lain dri yang lain tau

Imanisa riana @ sarimah berkata...

memang cadang nak novel ni dibukukan lps THKK. Tapi nampak gayanya, kena edit dan isu songsang tak boleh dimasukkan atas permintaan editor. Tunggu saya edit semula. Nama watak tak akan bertukar.