Pengikut

Sabtu, 19 Januari 2013

Abang King Control Ke? - Bab 16


Keesokkan harinya, rumah Irdina dipenuhi oleh sanak saudara dan jiran-jiran. Mereka menolong keluarga Irdina untuk menjalankan majlis akad nikah dan juga sajian untuk tetamu. Suasana hiruk pikuk tidak diendahkan oleh Irdina. Dia duduk di birai katil menanti tibanya saat untuk diijab kabulkan.
“Kak Irdina… cantiklah,” puji Balkis.
“Aku memang cantik.” Jawab Irdina, bergurau.
“Maksud aku baju Kak Irdina tu, bukan tuannya.” Balkis sengaja mengusik.
“Kau nak? Nanti waktu akad nikah kau, aku bagi pinjam.” Ujar Irdina sambil matanya melihat baju yang dipakainya. Baju itu adalah hadiah yang diberikan oleh Mak Cik Sopiah.
“Eloklah tu! Dah jadi second hand nak bagi aku,” kata Balkis, mencebikkan bibirnya.
“Baju ni mana boleh pakai selalu. Masa akad nikah kau tentu baju ni elok lagi.”
“Kalau nak bagi, aku nak yang baru. Tak mainlah barang second,” kata Balkis sambil ketawa kecil.
“Berlagak! Baiklah aku janji, baju untuk akad nikah kau aku beli.”
“Ya? Terima kasih.”
“Kak Balkis pun nak bernikah ke?” tanya Maya salah seorang sepupu mereka.
“Tak. Calon pun tak ada lagi.” Jawab Balkis.
“Irdina, duduk elok-elok. Orang nak masuk dah tu.” Tegur Mak Cik Mesa yang tiba-tiba muncul di pintu.
Irdina membetulkan duduknya dan memerhati ke arah pintu. Matanya terpegun melihat wajah Razif yang nampak tampan apabila bersongkok dan berbaju Melayu. Hampir matanya tidak berkelip jika tidak di sentuh oleh Balkis.
“Wah! Handsome betul,” bisik Balkis di tepi telinga Irdina.
Irdina yang tersedar hanya tersenyum malu. Razif menyarungkan cincin berlian ke jari Irdina. Irdina tunduk untuk mencium tangan Razif. Razif menghadiahkan sebuah ciuman di dahi Irdina. Mereka terus berada buat beberapa ketika di dalam bilik untuk sesi bergambar.
“Irdina nampak cantik sekali hari ni,” bisik Razif ketika mereka sedang berdiri untuk bergambar.
“Hari ni saja ke?” tanya Irdina juga berbisik.
“Hari lain pun cantik, tapi hari ni lebih cantik sebab dah jadi isteri abang,” bisik Razif.
Irdina hanya mendiamkan dirinya. Dia hanya mengekori langkah Razif keluar dari bilik untuk makan dengan keluarga yang lain. Razif duduk bersila di tepi Irdina. Irdina berasa tidak selesa kerana dia terpaksa duduk bersimpuh dengan gaya yang sopan. Selendang yang berlapis-lapis terasa menyesakkan nafasnya. Jarak pinggan nampak jauh dari aras mulutnya. Selalunya dia akan duduk bersila jika makan di lantai dan pinggan di angkat di atas tapak tangan. Apabila terpaksa bersopan, terasa susah untuk dilakukan.
Razif makan dengan penuh selera dan sesekali dia meminta Irdina mengambilkan lauk untuknya. Dia dapat melihat Irdina agak kekok dan nampak tidak selesa. Nasinya pun tidak habis dimakan.
“Kenapa makan sikit sangat?” tanya Razif, perlahan.
“Saja nak jaga badan.” Jawab Irdina, geram. Sebenarnya dia masih lapar lagi tetapi duduknya membuatkan dia sukar untuk makan.
Razif hanya tersenyum melihat Irdina. Irdina bangun untuk ke biliknya setelah mereka semua selesai makan, meninggalkan Razif yang duduk berbual dengan keluarganya. Balkis masuk ke bilik tersebut untuk meminta diri.
“Kak Irdina, aku kena balik dulu. Air dah makin naik. Mak aku takut banjir di rumah aku.”
“Dah banjir?” tanya Irdina, terkejut.
“Padang Besar dah banjir dan ada kawasan di Arau yang dah mula dinaiki air,” beritahu Balkis.
Irdina terdiam. Dia hanya memandang Balkis yang melangkah keluar dari biliknya. Seketika kemudian adiknya memanggil Irdina ke hadapan untuk bergambar beramai-ramai. Keluarga Razif turut sama bergambar dengan keluarga Irdina. Selesai sesi bergambar, Mak Cik Sopiah menghampiri Irdina dan Razif.
“Razif, mak nak ikut Razman balik ke rumah dia. Mak nak tengok cucu baru. Esok bila Razif balik, singgah ambil mak di rumah dia.”
“Baiklah mak. Pak Lang pun nak balik ke?” tanya Razif.
“Pak Lang pun nak ke rumah Razman.”
Razif dan Irdina bersalam-salaman dengan mereka semua sebelum mereka menaiki kenderaan. Kedua-dua buah kereta itu kemudiannya meninggalkan kawasan rumah Irdina di dalam hujan yang makin lebat. Irdina masuk semula ke biliknya tanpa memperdulikan Razif dan menanggalkan tudungnya. Dia merasa agak selesa selepas menanggalkannya. Rambutnya disisir rapi. Matanya melihat jam di dinding dan menyedari telah lama masuknya waktu Zohor. Dia menyalin pakaiannya dan kemudian keluar dari bilik untuk mengambil wuduk.
“Irdina, Razif ke mana?” tanya Ihsan yang berada di meja dapur.
“Entah. Ada di depan gamaknya,” jawab Irdina.
“Baguslah tu! Laki sendiri pun tak ambil peduli. Nanti bila Razif datang balik, minta maaf dari dia.” Arah Ihsan, tegas.
“Kenapa pula?” tanya Irdina sambil menghentikan langkahnya.
“Tanya pula. Yang Irdina biar dia balik ke homestay seorang diri buat apa? Kenapa tak temankan dia? Ingat redha suami bermakna Allah redha kepada isteri,” kata Ihsan.
“Maaf, Irdina tak tahu. Nanti Irdina telefon dia selepas solat.” Irdina melangkah masuk ke bilik air. Kecut perutnya bila ditegur oleh abangnya. Dia sedar yang dia telah melakukan kesalahan.
Setelah Irdina selesai menunaikan solat, dia merebahkan badannya di atas katil untuk berehat. Terlupa yang dia berjanji dengan Ihsan untuk menelefon Razif. Matanya makin mengecil dan akhirnya tertidur. Cuaca sejuk di luar membuatkan tidur Irdina agak nyenyak. Beberapa ketika selepas itu, telefonnya berbunyi. Irdina menjawab salam Razif dengan mata yang masih terpejam.
“Sayang tidur, ke?” tanya Razif.
‘Dia nak bersayang-sayang pula dah,’ rungut hati Irdina.
“Hello! Sayang dengar tak?”
“Dengar.”
“Marilah temankan abang di sini. Sejuklah tidur seorang diri.”
“Kalau sejuk, selimut bagi tebal.”
“Tak seronoklah. Tak ada teman nak berbual.”
“Sekarang dah berbual,” jawab Irdina sambil menguap.
“Tak puaslah, tak nampak wajah.”
“Abang datanglah ke sini. Irdina mana ada kenderaan kalau nak ke sana. Takkan nak main hujan pula.”
“Kalau ke sana tak boleh duduk dalam bilik saja. Ramai yang ada, abang malulah.”
“Kalau malu, tak payah datang. Irdina tak kisah.”
“Amboi! Sombongnya. Baik, abang pergi sekarang.”
Irdina segera bangun dari katil dan mengikat rambutnya. Dia keluar dari bilik dan menuju ke dapur. Di dapur, ibunya sedang menyediakan minuman panas untuk ahli keluarganya. Irdina membasuh mukanya dan kemudian mencapai cawan. Dia menuang air yang dibancuh oleh ibunya lalu duduk di meja.
“Pintu empang nombor dua depa (mereka) buka sebab tu Arau banjir. Sekolah pun dah tutup,” beritahu Pak Cik Idris.
“Macam mana abah tau?” tanya Irdina.
“Dengag (dengar) radio Perlis dok heboh tak sat ( menghebahkan sebentar tadi ),” kata Pak Cik Idris dalam loghat Perlis yang pekat..
“Gamak-gamak belah kita ni nak bah tak?” tanya Mak Cik Mesa.
“Tak taulah. Tapi ayag (air) laut nak pasang besag (besar). Takut bah (banjir) lagi teruk dari dulu.” Pak Cik Idris menyambung lagi.
Irdina terdiam memikirkan kemungkinan itu. Dia asyik menyisip airnya.
“Yang hang tak ikut Razif tadi pasai apa? Kesian dia balik sorang tadi,” kata Pak Cik Idris, mengejutkan Irdina.
“Mana Irdina tau dia nak pi sana. Dia tak habag ( beritahu) pun.” Irdina memberi alasan.
“Dah hang cepat sangat masuk bilik. Seganlah dia nak panggil,” kata Mak Cik Mesa.
“Sat gi mai la tu (sekejap lagi, marilah tu),” kata Irdina sambil mencapai kuih yang terhidang.
“Kalau dia mai (datang), layan dia baik-baik. Hang dah jadi bini orang. Buat kelaku ( kelakuan ) tu elok-elok sikit,” tegur Pak Cik Idris.
“Yang elok-elok tu sikit saja kan? Yang tak elok tu banyak,” jawab Irdina sambil ketawa.
“Orang cakap betui-betui, dia buat main pulak. Aku pelangkong ( pukul ) nanti baru tau.” Sambung Pak Cik Idris.
Irdina hanya tersengih melihat bapanya. Ibunya hanya menggeleng kepala melihat dua beranak tersebut bergurau. Razif yang tiba terus melangkah masuk ke rumah. Ihsan menyuruhnya terus ke dapur kerana Irdina berada di situ. Razif memberi salam kepada mereka dan kemudiannya duduk di sebelah Irdina. Irdina bangun untuk mengambil cawan buat Razif.
“Air sungai tu nampak macam nak melimpah. Ada kemungkinan banjir tak?” tanya Razif sambil mengambil kuih.
“Kalau depa buka pintu empang lagi mungkin boleh bah,” jawab Pak Cik Idris.
“Empang? Ada empangan di sini ke?” tanya Razif yang tidak tahu keadaan di Perlis.
“Ada Empangan Timah Tasoh. Kalau semua pintu empang di buka mungkin boleh tenggelam bandar Kangar,” beritahu Irdina.
“Ayag dah naik kat rumah Pak Su Bahari,” kata Pak Cik Idris.
“Mana abah tau?” tanya Irdina.
 “Depa bagitau tadi.”
  “Kesian Balkis. Doa sangat bah untuk aku, alih-alih rumah dia bah dulu.” Irdina ketawa kecil.
“Awat hang gelak? Orang dok susah, hang boleh gelak lagi.” Tegur Pak Cik Idris.
“Tak lah. Cuma teringat yang Balkis pernah doa supaya bah masa Irdina kawin.”
“Awat yang dok doa lagu tu? ( Kenapa doa begitu? ) Orang doa minta jauh bala, dia minta bala pula.” Sampuk Mak Cik Mesa.
“Tik tau kat dia, (tak tahulah dia)” kata Irdina menggunakan gaya bahasa kawasan Abi.
Irdina ketawa melihat wajah Razif yang kelihatan bingung kerana kurang faham apa yang diperkatakan. Dia sengaja membiarkan Razif terpinga-pinga, malah sengaja bercakap mengikut loghat kawasan Abi.
“Abah ada tak, nat ( pasar tani) esok? Rasa nak pi nat cari pelam (mempelam). Ada orang teringin nak makan puluit pelam. Jangan dia makan puluit sampai terkentuit-kentuit sudah la.” Irdina sengaja menekankan perkataan puluit dan terkentuit. Puluit bermaksud pulut dan terkentuit bermaksud terkentut.
Mereka yang lain ketawa membuatkan Razif terpinga-pinga. Berkerut dahinya cuba memahami maksud percakapan Irdina.
“Esok nat Simpang Empat. Buah pelam Siam banyak la, hak kita tak dak dah,” kata Pak Cik Idris setelah tawa mereka terhenti.
“Nak buat gena? Dah tak dak rezeki nak makan puluit pelam Harum Manis. Pelam siam pun tak pa la kot. Dia bukan kenai pelam pun. Boh saja pelam apa pun. Tibai habag pelam harum manis pun pecaya habih.” (Nak buat macammana? Dah tak ada rezeki nak makan pulut mempelam Harum Manis. Mempelam Thailand pun tak mengapa, agaknya. Dia bukan kenal mempelam pun. Beri saja mempelam apa pun. Tipu kata mempelam Harum Manis pun percaya habis.) Sambung Irdina lagi sengaja mempermainkan Razif yang kelihatan keliru.
“Lagu ni, mau dia beli tepi jalan sorang-sorang, sah-sah kena tipu hidup-hidup. Dah la tak faham satu habuk pun kita kata, melonggo saja. Kesian laki hang. (Jika begini, bila dia beli di tepi jalan seorang diri, pasti kena tipu. Sudahlah tak faham perkataan yang kita kata, melopong saja. Kasihan suami kau.)” Kutuk Pak Cik Idris.
“Pelam Sala ada kat pokok kan? Nak buat garam belacanlah,” kata Irdina menukar topik.
“Irdina dan abah kata apa? Abang tak faham,” kata Razif dengan wajah yang berkerut.
Irdina hanya ketawa tanpa mahu menjelaskan kata-kata mereka sebentar tadi. Dia bangun untuk melihat pokok mempelam Sala di tepi rumahnya. Ilyas dipanggil untuk mengambil buah mempelam tersebut. Irdina menyediakan pencicah mempelam yang diperbuat daripada gula, kicap, cili padi, garam dan belacan. Ramuan itu dimesin sehingga halus dan pekat. Dia membawa buah mempelam yang siap dikupas ke meja.
Razif hanya memerhati kerja-kerja yang dilakukan oleh Irdina dengan penuh minat. Hendak bertanya, Irdina tidak memperdulikannya. Matanya melihat kelincahan tangan Irdina menghiris buah mempelam muda tersebut. Kecur air liurnya. Akhirnya dia mengambil sehiris buah mempelam tersebut lalu dicicahnya. Hirisan tersebut dimasukkan ke mulut. Berkerut-kerut mukanya menahan masam dan pedas. Irdina hanya ketawa melihat wajah Razif.
“Apa nama kuah ni?” tanya Razif dengan muka yang masih terkerut.
“Orang sini sebut garam belacan. Sedap tak?” tanya Irdina.
“Sedap! Dah makan, macam tak boleh nak berhenti pula,” kata Razif membuatkan Irdina ketawa lagi. Lesung pipitnya nampak nyata. Razif tersenyum melihat wajah ceria Irdina.
Irdina  mengambil sehiris mempelam lalu di masukkan ke dalam mulut. Dengan selamba dia mengunyah tanpa kerutan di wajahnya. Hairan Razif melihat perlakuan isterinya. “Sayang tak rasa masam atau pedas ke?”
“Rasalah juga tapi dah biasa makan, tak jadi hal. Garam belacan ni memang terkenal di sini. Kalau nak jadi orang Perlis, mesti pandai makan garam belacan.”
“Hrmm… abang boleh jadi orang Perlis jugalah. Garam belacan ni rasa sesuai saja dengan tekak abang. Lebih-lebih lagi ada kicap kesukaan abang. Ditambah pula sayang yang buatkannya. Lagilah abang suka.” Razif tersenyum sambil mengenyitkan matanya.
Irdina mencebikkan bibirnya. “Hisy! Ayat tak boleh blah. Nak mengayat Irdinalah tu.”
“Mengayat isteri sendiri. Tak salahkan? Dapat pahala juga.” Razif ketawa sambil mengerling wajah Irdina yang masih membuat mimik muka kepadanya. Hatinya terasa lucu dengan kelakuan Irdina.
“Razif pun pandai makan garam belacan?” tanya Ihsan yang tiba-tiba muncul di situ.
“Suka sebab ada kicap Qasih.” Jawab Irdina sebelum sempat Razif menjawab.
“Razif pun suka kicap?” tanya Ihsan sambil mengambil sehiris mempelam.
“Suka… sampai berebut dengan Irdina masa di Pasar Mini dulu,” jawab Razif.
“Kicap pun boleh berebut? Tapi lepas ni kena kongsilah pula.”
Razif mengiakan sambil tersenyum memandang Irdina tetapi Irdina tidak memperdulikannya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sis update bab seterusnya ;D

Tanpa Nama berkata...

baca ni sambil tengok move kat youtube best, AYAT AYAT CINTA