Keesokkan
harinya, rumah Irdina dipenuhi oleh sanak saudara dan jiran-jiran. Mereka
menolong keluarga Irdina untuk menjalankan majlis akad nikah dan juga sajian
untuk tetamu. Suasana hiruk pikuk tidak diendahkan oleh Irdina. Dia duduk di
birai katil menanti tibanya saat untuk diijab kabulkan.
“Kak
Irdina… cantiklah,” puji Balkis.
“Aku
memang cantik.” Jawab Irdina, bergurau.
“Maksud
aku baju Kak Irdina tu, bukan tuannya.” Balkis sengaja mengusik.
“Kau
nak? Nanti waktu akad nikah kau, aku bagi pinjam.” Ujar Irdina sambil matanya
melihat baju yang dipakainya. Baju itu adalah hadiah yang diberikan oleh Mak
Cik Sopiah.
“Eloklah
tu! Dah jadi second hand nak bagi aku,”
kata Balkis, mencebikkan bibirnya.
“Baju
ni mana boleh pakai selalu. Masa akad nikah kau tentu baju ni elok lagi.”
“Kalau
nak bagi, aku nak yang baru. Tak mainlah barang second,” kata Balkis sambil ketawa kecil.
“Berlagak!
Baiklah aku janji, baju untuk akad nikah kau aku beli.”
“Ya?
Terima kasih.”
“Kak
Balkis pun nak bernikah ke?” tanya Maya salah seorang sepupu mereka.
“Tak.
Calon pun tak ada lagi.” Jawab Balkis.
“Irdina,
duduk elok-elok. Orang nak masuk dah tu.” Tegur Mak Cik Mesa yang tiba-tiba
muncul di pintu.
Irdina
membetulkan duduknya dan memerhati ke arah pintu. Matanya terpegun melihat
wajah Razif yang nampak tampan apabila bersongkok dan berbaju Melayu. Hampir
matanya tidak berkelip jika tidak di sentuh oleh Balkis.
“Wah!
Handsome betul,” bisik Balkis di tepi
telinga Irdina.
Irdina
yang tersedar hanya tersenyum malu. Razif menyarungkan cincin berlian ke jari
Irdina. Irdina tunduk untuk mencium tangan Razif. Razif menghadiahkan sebuah
ciuman di dahi Irdina. Mereka terus berada
buat beberapa ketika di dalam bilik untuk sesi bergambar.
“Irdina
nampak cantik sekali hari ni,” bisik Razif ketika mereka sedang berdiri untuk
bergambar.
“Hari
ni saja ke?” tanya Irdina juga berbisik.
“Hari
lain pun cantik, tapi hari ni lebih cantik sebab dah jadi isteri abang,” bisik
Razif.
Irdina
hanya mendiamkan dirinya. Dia hanya mengekori langkah Razif keluar dari bilik
untuk makan dengan keluarga yang lain. Razif duduk bersila di tepi Irdina.
Irdina berasa tidak selesa kerana dia terpaksa duduk bersimpuh dengan gaya yang
sopan. Selendang yang berlapis-lapis terasa menyesakkan nafasnya. Jarak pinggan
nampak jauh dari aras mulutnya. Selalunya dia akan duduk bersila jika makan di
lantai dan pinggan di angkat di atas tapak tangan. Apabila terpaksa bersopan,
terasa susah untuk dilakukan.
Razif
makan dengan penuh selera dan sesekali dia meminta Irdina mengambilkan lauk
untuknya. Dia dapat melihat Irdina agak kekok dan nampak tidak selesa. Nasinya
pun tidak habis dimakan.
“Kenapa
makan sikit sangat?” tanya Razif, perlahan.
“Saja
nak jaga badan.” Jawab Irdina, geram. Sebenarnya dia masih lapar lagi tetapi
duduknya membuatkan dia sukar untuk makan.
Razif
hanya tersenyum melihat Irdina. Irdina bangun untuk ke biliknya setelah mereka
semua selesai makan, meninggalkan Razif yang duduk berbual dengan keluarganya.
Balkis masuk ke bilik tersebut untuk meminta diri.
“Kak
Irdina, aku kena balik dulu. Air dah makin naik. Mak aku takut banjir di rumah
aku.”
“Dah
banjir?” tanya Irdina, terkejut.
“Padang
Besar dah banjir dan ada kawasan di Arau yang dah mula dinaiki air,” beritahu
Balkis.
Irdina
terdiam. Dia hanya memandang Balkis yang melangkah keluar dari biliknya.
Seketika kemudian adiknya memanggil Irdina ke hadapan untuk bergambar
beramai-ramai. Keluarga Razif turut sama bergambar dengan keluarga Irdina. Selesai
sesi bergambar, Mak Cik Sopiah menghampiri Irdina dan Razif.
“Razif,
mak nak ikut Razman balik ke rumah dia. Mak nak tengok cucu baru. Esok bila
Razif balik, singgah ambil mak di rumah dia.”
“Baiklah
mak. Pak Lang pun nak balik ke?” tanya Razif.
“Pak
Lang pun nak ke rumah Razman.”
Razif
dan Irdina bersalam-salaman dengan mereka semua sebelum mereka menaiki
kenderaan. Kedua-dua buah kereta itu kemudiannya meninggalkan kawasan rumah
Irdina di dalam hujan yang makin lebat. Irdina masuk semula ke biliknya tanpa
memperdulikan Razif dan menanggalkan tudungnya. Dia merasa agak selesa selepas
menanggalkannya. Rambutnya disisir rapi. Matanya melihat jam di dinding dan
menyedari telah lama masuknya waktu Zohor. Dia menyalin pakaiannya dan kemudian
keluar dari bilik untuk mengambil wuduk.
“Irdina,
Razif ke mana?” tanya Ihsan yang berada di meja dapur.
“Entah.
Ada di depan gamaknya,” jawab Irdina.
“Baguslah
tu! Laki sendiri pun tak ambil peduli. Nanti bila Razif datang balik, minta
maaf dari dia.” Arah Ihsan, tegas.
“Kenapa
pula?” tanya Irdina sambil menghentikan langkahnya.
“Tanya
pula. Yang Irdina biar dia balik ke homestay
seorang diri buat apa? Kenapa tak temankan dia? Ingat redha suami bermakna
Allah redha kepada isteri,” kata Ihsan.
“Maaf,
Irdina tak tahu. Nanti Irdina telefon dia selepas solat.” Irdina melangkah
masuk ke bilik air. Kecut perutnya bila ditegur oleh abangnya. Dia sedar yang
dia telah melakukan kesalahan.
Setelah
Irdina selesai menunaikan solat, dia merebahkan badannya di atas katil untuk
berehat. Terlupa yang dia berjanji dengan Ihsan untuk menelefon Razif. Matanya
makin mengecil dan akhirnya tertidur. Cuaca sejuk di luar membuatkan tidur
Irdina agak nyenyak. Beberapa ketika selepas itu, telefonnya berbunyi. Irdina
menjawab salam Razif dengan mata yang masih terpejam.
“Sayang
tidur, ke?” tanya Razif.
‘Dia
nak bersayang-sayang pula dah,’ rungut hati Irdina.
“Hello!
Sayang dengar tak?”
“Dengar.”
“Marilah
temankan abang di sini. Sejuklah tidur seorang diri.”
“Kalau
sejuk, selimut bagi tebal.”
“Tak
seronoklah. Tak ada teman nak berbual.”
“Sekarang
dah berbual,” jawab Irdina sambil menguap.
“Tak
puaslah, tak nampak wajah.”
“Abang
datanglah ke sini. Irdina mana ada kenderaan kalau nak ke sana. Takkan nak main
hujan pula.”
“Kalau
ke sana tak boleh duduk dalam bilik saja. Ramai yang ada, abang malulah.”
“Kalau
malu, tak payah datang. Irdina tak kisah.”
“Amboi!
Sombongnya. Baik, abang pergi sekarang.”
Irdina
segera bangun dari katil dan mengikat rambutnya. Dia keluar dari bilik dan
menuju ke dapur. Di dapur, ibunya sedang menyediakan minuman panas untuk ahli
keluarganya. Irdina membasuh mukanya dan kemudian mencapai cawan. Dia menuang
air yang dibancuh oleh ibunya lalu duduk di meja.
“Pintu
empang nombor dua depa (mereka) buka sebab tu Arau banjir. Sekolah pun dah
tutup,” beritahu Pak Cik Idris.
“Macam
mana abah tau?” tanya Irdina.
“Dengag
(dengar) radio Perlis dok heboh tak sat ( menghebahkan sebentar tadi ),” kata Pak
Cik Idris dalam loghat Perlis yang pekat..
“Gamak-gamak
belah kita ni nak bah tak?” tanya Mak Cik Mesa.
“Tak
taulah. Tapi ayag (air) laut nak pasang besag (besar). Takut bah (banjir) lagi
teruk dari dulu.” Pak Cik Idris menyambung lagi.
Irdina
terdiam memikirkan kemungkinan itu. Dia asyik menyisip airnya.
“Yang
hang tak ikut Razif tadi pasai apa? Kesian dia balik sorang tadi,” kata Pak Cik
Idris, mengejutkan Irdina.
“Mana
Irdina tau dia nak pi sana. Dia tak habag ( beritahu) pun.” Irdina memberi
alasan.
“Dah
hang cepat sangat masuk bilik. Seganlah dia nak panggil,” kata Mak Cik Mesa.
“Sat
gi mai la tu (sekejap lagi, marilah tu),” kata Irdina sambil mencapai kuih yang
terhidang.
“Kalau
dia mai (datang), layan dia baik-baik. Hang dah jadi bini orang. Buat kelaku (
kelakuan ) tu elok-elok sikit,” tegur Pak Cik Idris.
“Yang
elok-elok tu sikit saja kan? Yang tak elok tu banyak,” jawab Irdina sambil
ketawa.
“Orang
cakap betui-betui, dia buat main pulak. Aku pelangkong ( pukul ) nanti baru
tau.” Sambung Pak Cik Idris.
Irdina
hanya tersengih melihat bapanya. Ibunya hanya menggeleng kepala melihat dua
beranak tersebut bergurau. Razif yang tiba terus melangkah masuk ke rumah.
Ihsan menyuruhnya terus ke dapur kerana Irdina berada di situ. Razif memberi
salam kepada mereka dan kemudiannya duduk di sebelah Irdina. Irdina bangun
untuk mengambil cawan buat Razif.
“Air
sungai tu nampak macam nak melimpah. Ada kemungkinan banjir tak?” tanya Razif
sambil mengambil kuih.
“Kalau
depa buka pintu empang lagi mungkin boleh bah,” jawab Pak Cik Idris.
“Empang?
Ada empangan di sini ke?” tanya Razif yang tidak tahu keadaan di Perlis.
“Ada
Empangan Timah Tasoh. Kalau semua pintu empang di buka mungkin boleh tenggelam bandar
Kangar,” beritahu Irdina.
“Ayag
dah naik kat rumah Pak Su Bahari,” kata Pak Cik Idris.
“Mana
abah tau?” tanya Irdina.
“Depa bagitau tadi.”
“Kesian Balkis. Doa sangat bah untuk aku,
alih-alih rumah dia bah dulu.” Irdina ketawa kecil.
“Awat
hang gelak? Orang dok susah, hang boleh gelak lagi.” Tegur Pak Cik Idris.
“Tak
lah. Cuma teringat yang Balkis pernah doa supaya bah masa Irdina kawin.”
“Awat
yang dok doa lagu tu? ( Kenapa doa begitu? ) Orang doa minta jauh bala, dia
minta bala pula.” Sampuk Mak Cik Mesa.
“Tik
tau kat dia, (tak tahulah dia)” kata Irdina menggunakan gaya bahasa kawasan Abi.
Irdina
ketawa melihat wajah Razif yang kelihatan bingung kerana kurang faham apa yang
diperkatakan. Dia sengaja membiarkan Razif terpinga-pinga, malah sengaja
bercakap mengikut loghat kawasan Abi.
“Abah
ada tak, nat ( pasar tani) esok? Rasa nak pi nat cari pelam (mempelam). Ada
orang teringin nak makan puluit pelam. Jangan dia makan puluit sampai
terkentuit-kentuit sudah la.” Irdina sengaja menekankan perkataan puluit dan
terkentuit. Puluit bermaksud pulut dan terkentuit bermaksud terkentut.
Mereka
yang lain ketawa membuatkan Razif terpinga-pinga. Berkerut dahinya cuba
memahami maksud percakapan Irdina.
“Esok
nat Simpang Empat. Buah pelam Siam banyak la, hak kita tak dak dah,” kata Pak
Cik Idris setelah tawa mereka terhenti.
“Nak
buat gena? Dah tak dak rezeki nak makan puluit pelam Harum Manis. Pelam siam
pun tak pa la kot. Dia bukan kenai pelam pun. Boh saja pelam apa pun. Tibai
habag pelam harum manis pun pecaya habih.” (Nak buat macammana? Dah tak ada
rezeki nak makan pulut mempelam Harum Manis. Mempelam Thailand pun tak mengapa,
agaknya. Dia bukan kenal mempelam pun. Beri saja mempelam apa pun. Tipu kata
mempelam Harum Manis pun percaya habis.) Sambung Irdina lagi sengaja
mempermainkan Razif yang kelihatan keliru.
“Lagu
ni, mau dia beli tepi jalan sorang-sorang, sah-sah kena tipu hidup-hidup. Dah
la tak faham satu habuk pun kita kata, melonggo saja. Kesian laki hang. (Jika
begini, bila dia beli di tepi jalan seorang diri, pasti kena tipu. Sudahlah tak
faham perkataan yang kita kata, melopong saja. Kasihan suami kau.)” Kutuk Pak
Cik Idris.
“Pelam
Sala ada kat pokok kan? Nak buat garam belacanlah,” kata Irdina menukar topik.
“Irdina
dan abah kata apa? Abang tak faham,” kata Razif dengan wajah yang berkerut.
Irdina
hanya ketawa tanpa mahu menjelaskan kata-kata mereka sebentar tadi. Dia bangun
untuk melihat pokok mempelam Sala di tepi rumahnya. Ilyas dipanggil untuk
mengambil buah mempelam tersebut. Irdina menyediakan pencicah mempelam yang
diperbuat daripada gula, kicap, cili padi, garam dan belacan. Ramuan itu dimesin
sehingga halus dan pekat. Dia membawa buah mempelam yang siap dikupas ke meja.
Razif
hanya memerhati kerja-kerja yang dilakukan oleh Irdina dengan penuh minat. Hendak
bertanya, Irdina tidak memperdulikannya. Matanya melihat kelincahan tangan
Irdina menghiris buah mempelam muda tersebut. Kecur air liurnya. Akhirnya dia
mengambil sehiris buah mempelam tersebut lalu dicicahnya. Hirisan tersebut
dimasukkan ke mulut. Berkerut-kerut mukanya menahan masam dan pedas. Irdina
hanya ketawa melihat wajah Razif.
“Apa
nama kuah ni?” tanya Razif dengan muka yang masih terkerut.
“Orang
sini sebut garam belacan. Sedap tak?” tanya Irdina.
“Sedap!
Dah makan, macam tak boleh nak berhenti pula,” kata Razif membuatkan Irdina
ketawa lagi. Lesung pipitnya nampak nyata. Razif tersenyum melihat wajah ceria
Irdina.
Irdina
mengambil sehiris mempelam lalu di
masukkan ke dalam mulut. Dengan selamba dia mengunyah tanpa kerutan di
wajahnya. Hairan Razif melihat perlakuan isterinya. “Sayang tak rasa masam atau
pedas ke?”
“Rasalah
juga tapi dah biasa makan, tak jadi hal. Garam belacan ni memang terkenal di
sini. Kalau nak jadi orang Perlis, mesti pandai makan garam belacan.”
“Hrmm…
abang boleh jadi orang Perlis jugalah. Garam belacan ni rasa sesuai saja dengan
tekak abang. Lebih-lebih lagi ada kicap kesukaan abang. Ditambah pula sayang
yang buatkannya. Lagilah abang suka.” Razif tersenyum sambil mengenyitkan
matanya.
Irdina
mencebikkan bibirnya. “Hisy! Ayat tak boleh blah. Nak mengayat Irdinalah tu.”
“Mengayat
isteri sendiri. Tak salahkan? Dapat pahala juga.” Razif ketawa sambil
mengerling wajah Irdina yang masih membuat mimik muka kepadanya. Hatinya terasa
lucu dengan kelakuan Irdina.
“Razif
pun pandai makan garam belacan?” tanya Ihsan yang tiba-tiba muncul di situ.
“Suka
sebab ada kicap Qasih.” Jawab Irdina sebelum sempat Razif menjawab.
“Razif
pun suka kicap?” tanya Ihsan sambil mengambil sehiris mempelam.
“Suka…
sampai berebut dengan Irdina masa di Pasar Mini dulu,” jawab Razif.
“Kicap
pun boleh berebut? Tapi lepas ni kena kongsilah pula.”
Razif
mengiakan sambil tersenyum memandang Irdina tetapi Irdina tidak
memperdulikannya.
2 ulasan:
sis update bab seterusnya ;D
baca ni sambil tengok move kat youtube best, AYAT AYAT CINTA
Catat Ulasan