Pengikut

Jumaat, 15 Februari 2013

Abang King Control ke? - Bab 21



Keesokkan harinya air makin surut di jalan dan juga kawasan rumah Pak Idris. Selepas makan tengah hari, 
mereka pulang untuk membersihkan rumah. Wina dan anak-anaknya tidak dibenarkan pulang sehingga
 rumah mereka dibersihkan. Irdina diminta untuk menemani Azam dan Athirah, anak-anak Wina dan Ihsan. 
               Peluang itu digunakan oleh Irdina untuk berbual dengan penghuni yang lain di situ. Sebelum ini 
masanya banyak dihabiskan bersama Razif. Razif seolah-olah mengawalnya dari berbual-bual dengan yang 
lain kecuali ahli keluarganya sahaja. Ketika asyik berbual, telefonnya berbunyi. Irdina segera menjawab 
panggilan tersebut.
“Kak Irdina, aku dah balik ke rumah. Kami tengah mencuci rumah ni. Kak Irdina  bagaimana?” tanya Balkis di hujung talian.
“Rasanya hari ni aku boleh balik ke rumah.”
“Bila Kak Irdina nak balik Kajang?”
“Tak tahu lagi. Aku ikut Abang Razif.”
“Nanti bagitahu aku bila Kak Irdina nak balik. Jangan tinggalkan aku pula.”
“Aku tahulah. Nanti aku bincang dengan Abang Razif dan bagitahu kau kemudian.”
“Baiklah. Macam mana hubungan Kak Irdina dengan Abang Razif?”
“Okey je. Cuma lepas ni aku kena buat surat letak jawatan.”
“Kak Irdina nak berhenti kerja?”
“Terpaksa. Abang Razif mahu aku jaga mak dia dan rumahtangga kami saja.”
“Baguslah tu! Boleh goyang kaki. Duit tetap masyuk!” kata Balkis sambil ketawa.
Irdina terdiam buat seketika.
“Kak Irdina, nanti kita cerita lain. Mak aku dah panggil,” kata Balkis.
Irdina memutuskan talian dan melihat anak-anak saudaranya yang bermain bola di kawasan lapang berhadapannya. Irdina melihat dua orang lelaki sebaya bapanya sedang berbual di bangku batu. Setiap butir perbualan mereka dapat didengari oleh Irdina.
“Banyak kereta orang taman tu tenggelam dalam banjir,” kata lelaki yang hampir botak kepalanya.
“Jenuh nak perbaik. Makan duit semua tu,” kata Pakcik berkopiah putih.
“Kereta aku pun tenggelam jugak. Nak hantar budak-budak pi sekolah, sehari dua ni kena angkut dengan motor sajalah,” kata lelaki botak lagi.
“Kereta aku pun tenggelam jugak, tapi aku tak kisah.” Kata lelaki berkopiah dengan selamba.
“Hairan! Orang pakat susah hati, hang boleh tak kisah pulak. Kereta apa yang tenggelam tu?”
“Kereta sorong!” kata lelaki berkopiah sambil ketawa.
“Ceh!” lelaki botak turut ketawa.
Irdina tersenyum mendengar gurauan mereka berdua. Matanya masih mengawasi anak-anak saudaranya bermain. Sesekali dia ketawa kecil melihat gelagat mereka. Telefonnya berdering menandakan ada panggilan masuk. Irdina menjawab panggilan itu walaupun hanya tertera nombor pada skrin telefon.
“Aku, Latif.” kata pemanggil memperkenalkan diri.
“Oh! kau rupanya. Kau di mana?”
“Aku masih di Arau. Esok pagi aku nak balik Shah Alam. Kau sibuk tak?”
“Tak. Kenapa? Kau nak ajak aku berlumba?” tanya Irdina, bergurau.
Terdengar Latif ketawa. “Kadangkala aku teringin lalui kembali zaman dulu. Aku tak sangka, sekali aku ajar kau cara berlumba kau dah boleh lakukan dengan baik.”
“Masa tu  kita sama-sama remaja dan darah masih panas.”
“Hari tu aku tengok skill kau masih mantap. Kalau masuk litar pun boleh.” Latif ketawa lagi.
“Lepas ni mungkin aku kena lupakan tabiat tu selamanya. Aku nak jadi wanita solehah sejati dan sikap lama aku perlu ubah.”
“Baguslah. Aku sokong kalau perubahan tu membawa kebaikan. Aku sendiri cuba berubah dan sekarang aku lebih berkeyakinan berbanding dulu. Kalau dulu aku leka dengan hiburan, kini aku nak tumpu pada ibadah.”
“Aku pun sedang berusaha mencari Nur Ilahi yang sekian lama aku abaikan dulu. Kita sama-sama leka dengan keasyikkan dunia. Aku bersyukur, kita sama-sama telah mula berhijrah. Semoga hijrah kita diberkati Allah,” kata Irdina bersungguh.
“Amin.” Latif mengaminkan doa Irdina.
“Bila kau nak balik Kajang?” tanya Latif pula.
“Entah. Aku nak tengok keadaan dulu. Jalan ke Alor Setar dah boleh lalu ke?”
“Kalau ikut jalan kampung boleh lepas. Tapi kalau ikut lebuhraya, mungkin tak boleh lagi.”
“Mana kau tahu?”
“Adik aku baru balik dari Penang. Dia guna jalan kampung dari Alor Setar. Ada orang kampung tolong tunjuk jalan di sepanjang jalan yang dia lalu.”
“Baiknya orang kampung tu.”
“Ya. Hanya Allah yang mampu membalas kebaikan mereka. Irdina, aku minta diri dulu. Lain kali aku hubungi kau lagi. Aku nak tahu perkembangan diri kau, tentu menarik.”
“Baiklah. Bila kau lapang telefonlah,” kata Irdina sebelum menamatkan perbualan.
Dari jauh Irdina ternampak Razif berjalan menuju ke arahnya. Razif tersenyum lalu duduk di sebelahnya.
“Dah habis ke kerja-kerja membersih?” tanya Irdina sambil melihat wajah Razif yang berpeluh-peluh.
“Ada sedikit lagi, tapi kita dah boleh pulang ke rumah.”
“Abang nak air ke?”
“Boleh juga.”
Irdina bangun mendapatkan air minuman di dalam kotak yang terletak tidak jauh dari tempat itu. Dia membuka tudung botol lalu menyerahkannya kepada Razif. Razif meneguk air beberapa teguk.
“Sayang, abang nak bawa kereta ke sini. Tolong beritahu Kak Wina untuk bersiap dan kemas barang,” kata Razif sambil bangun untuk mengambil keretanya.
Irdina memanggil anak-anak saudaranya dan mengajak mereka ke tingkat atas untuk sama-sama menolong ibu mereka mengemas barang. Seketika kemudian Razif tiba dan kerja-kerja memindahkan barang dibuat oleh mereka semua. Razif memandu pulang setelah mereka semua berada di dalam keretanya. Razif memberhentikan keretanya di tepi rumah. Mereka semua keluar dari kereta dan memasukkan barang-barang ke rumah.
“Sayang, abang rasa kita patut balik esok. Dah banyak hari kita terkandas di sini. Kasihan Amran terpaksa buat semua kerja.”
“Tadi Balkis telefon sebab nak tahu bila kita nak balik. Nanti Irdina bagitahu dia yang kita nak balik esok. Bolehlah dia siapkan barang dan datang awal ke sini.”
“Dia pun dah balik ke rumah mak dia ke?”
“Ya. Tadi dia kata tengah cuci rumah.”
“Tak sangka teruk juga kesan banjir ni. Penuh lumpur dalam rumah. Almari baju habis kembang macam biskut terendam air.” Kata Razif sambil melihat Ilyas mengangkat serpihan almari yang telah rosak.
“Nampak gayanya kita kena tolong mak sampai selesai. Selagi tak selesai semua kerja, rasa tak seronok pula nak tinggalkan rumah. Boleh tak, esok kita balik sebelah petang?”
“Abang okey saja. Sayang larat ke nak buat kerja-kerja berat ni? Rasanya elok sayang tolong mak masak sudahlah. Kerja-kerja mengemas ni biar abang dan yang lain buat.”
“Irdina boleh buat. Kalau sama-sama kita buat kerja, cepatlah siapnya.”
“Hah! Irdina tunggu apa lagi? Asyik nak berkepit dengan Razif, bila masa kami semua nak makan. Pergilah tolong Kak Wina masak.” Tegur Ihsan yang sedang menyusun pasu bunga yang terbalik.
Irdina cepat-cepat meminta diri dan masuk ke ruang dapur. Dia dan Wina membuat kerja-kerja memasak dan mengemas di dapur manakala yang lain mengemas di ruangan yang lain. Mereka berhenti rehat untuk makan tengah hari setelah hidangan disajikan. Mereka makan dengan penuh selera setelah beberapa hanya memakan nasi yang berlaukkan sardin.
“Sayang, ini ikan apa?” Tanya Razif sambil menunjuk arah ikan perkasam yang terdapat di piring hadapannya.
“Ini ikan sepat dan haruan. Abang tak pernah makan perkasam ke sebelum ni?” Tanya Irdina pula.
“Abang selalunya makan perkasam ikan puyu saja. Tak pernah lagi cuba perkasam haruan dan sepat. Tapi bila makan, sedap juga.” Komen Razif.
Irdina tersenyum lebar. “Abang nak tambah nasi lagi?”
“Boleh juga. Walaupun lauk hari ni nampak simple tapi sedap rasanya. Mungkin sebab sayang masak gamaknya.” Razif tersenyum sambil melihat Irdina memasukkan nasi tambah ke pinggannya.
“Irdina tak masak seorang diri. Kak Wina pun tolong.”
Razif hanya tersenyum dan menyambung makannya. Irdina melihat Wina begitu sibuk melayan anak-anaknya makan. Sempat juga Irdina terfikir, mungkin suatu hari nanti dia juga akan menjadi seperti kakak iparnya itu. Mendahulukan anak-anak dan suami makan sebelum diri sendiri menikmati makanan.
Mereka menyambung kembali kerja-kerja mengemas setelah solat Zohor. Kerja-kerja mereka dapat disiapkan menjelang petang. Malam itu masing-masing tertidur dalam keletihan. Razif juga turut tertidur dan sesekali terdengar dengkurannya. Irdina yang masih berjaga, duduk di ruang hadapan sambil menonton siaran televisyen. Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Segera dia menjawab panggilan itu.
“Esok kau datanglah awal sikit. Kita kena bertolak selepas Zohor.”
“Baiklah. Nanti aku ke rumah Kak Irdina sesudah Subuh.” Balkis bergurau.
“Aku tahulah maksud kau tu. Pada kau, selagi tak masuknya waktu Zohor masih dikira sesudah Subuh kan?” Tanya Irdina yang telah maklum gurauan sepupunya.
“Kak Irdina ni makin pandai setelah kahwin. Boleh teka apa yang aku fikirkan.” Balkis ketawa.
“Huh! Kalau tak kahwin pun aku boleh teka. Aku dah cukup masak dengan perangai kau.” Irdina turut ketawa.
“Eh! Kak Irdina tak tidur lagi ke? Dah pukul 11.30 ni.”
“Awal lagilah. Aku tengah tengok TV ni.”
 “Hai…pengantin baru tak kan tidur lewat? Atau Kak Irdina saja lari dan mengelak dari Abang Razif? Saja buat alasan tengok TV.” Balkis terus menyakat Irdina.
  “Amboi! Kau yang berlebih eh? Aku tak larilah. Saja tak nak kacau Abang Razif yang dah tertidur. Kesian aku tengok dia. Letih betul.”
“Letih tolong kemas atau letih kerana Kak Irdina? Maklumlah dah berapa hari asyik pandang saja.” Balkis ketawa di hujung talian.
“Balkis!” Irdina terjerit geram. 
“Eleh! Nak malu apa? Semua pengantin baru mesti laluinya kan? Termasuklah Kak Irdina.”
“Gatal kau ya? Tak apa ni giliran aku. Kalau kau kahwin nanti, tahulah aku nak sakat kau pula.”
Balkis ketawa lepas. “Aku dapat bayangkan mesti muka Kak Irdina merah padam sekarang ni. Dah la, aku malas nak kacau lama-lama. Pergilah temankan buah hati Kak Irdina tu. Hujan turun malam ni. Best, sejuk!”
“Sudahlah mengarut tu. Ingat, esok kau datang awal. Kalau kau lambat, kami tinggal.” Irdina menukar topik agar Balkis tidak terus mengusiknya.
“Tahulah! Aku pun nak masuk tidur dah ni. Good night and good luck. Anak satu bas, tau!” Balkis ketawa sebelum talian diputuskannya.
Irdina tergelak sendiri. Matanya menjeling ke sisi. ‘Patutlah aku rasa sunyi saja. Rupanya Ilyas pun dah terlelap.’ Bisik hati Irdina melihat adiknya yang terbaring di hadapan televisyen. Rata-rata penghuni rumah itu telah tertidur kerana kepenatan. Kini tinggal dia seorang yang masih tercongok di situ. Perlahan-lahan dia bangun dan menekan butang tutup pada alat kawalan jauh.
“Ilyas! Bangun. Tidur dalam bilik.” Kejut Irdina.
Ilyas yang tersedar terus bangun. Dalam keadaan mata yang separuh buka, dia bergerak ke arah biliknya. Irdina tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Tombol pintu bilik dipulas perlahan agar tidak mengeluarkan bunyi. Dia tidak mahu mengejutkan Razif yang sedang lena di katil. Irdina bergerak ke arah meja solek dan mencapai sikat. Getah pengikat rambut dirungkaikan dan dia menyikat rambut sambil matanya mencuri pandang tubuh Razif melalui cermin. Walaupun bilik tersebut hanya diterangi cahaya lampu tidur, tetapi Irdina masih dapat melihatnya. Bibirnya mengukir senyum setelah melihat mulut Razif sedikit terbuka dan mengeluarkan bunyi dengkuran.
Melihat keadaan suaminya itu dia teringat kembali akan kenakalannya sewaktu kecil. Dahulu jika dia terlihat bapanya tertidur dalam keadaan sebegitu di waktu siang, dia akan mengambil seketul garam kasar dan mengikatnya dengan benang. Dia akan ‘mengail’ mulut bapanya ‘berumpankan’ garam tersebut. Pak Cik Idris selalunya akan terjilat garam tersebut dan bangun serta merta. Irdina akan ketawa terkekeh-kekeh walaupun ada ketikanya Pak Idris memarahinya. Dia tahu bapanya itu tidak bersungguh-sungguh marahkannya dan ada ketika akan ketawa bersamanya.
‘Kalau aku mengail dia, boleh tak? Tapi aku tak tahu macam mana reaksi dia nanti. Kalau abah tentu dah lali dengan perangai aku dan boleh terima gurauan tu. Dia ni boleh diajak melawak tak? Hish! Tak beranilah aku nak ambil risiko. Buatnya dia marah-marah, malu aku.’ Bisik hati Irdina membatalkan niat yang terlintas di benaknya.
Irdina menghampiri katil dan melabuhkan tubuhnya perlahan-lahan di sisi Razif. Ada resah dan bimbang di hatinya. Tetapi sedaya upaya dikawalnya. Dia sedar tanggungjawabnya sebagai isteri perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Razif adalah suaminya yang wajib ditaati dan dilayan dengan baik. Irdina cuba meminimakan gerakkannya agar tidur Razif tidak terganggu. Razif tersedar ketika Irdina cuba membetulkan selimut di tubuhnya.
“Sayang.” Razif menarik tubuh Irdina agar berbaring rapat dengannya.
“Maafkan Irdina sebab dah membuatkan abang terjaga.” Irdina memandang wajah Razif, gementar.
“Tak mengapa. Sayang dah habis menonton ke? Maaflah sebab abang letih sangat dan tak dapat temankan sayang. Dan maafkan abang sebab tak dapat jalankan tanggungjawab abang, malam ni. Tentu sayang hampa.” Razif mencium pipi isterinya yang tersenyum manis menatap wajahnya.
“Eh, tak mengapa. Irdina faham keadaan abang. Esok abang nak pandu jauh. Tentu perlukan rehat dan tenaga yang cukup. Abang jangan rasa bersalah pula. Irdina okey saja. Jangan risau, ya.” Irdina memegang pipi Razif sambil tersenyum lega. Perasaan resah yang ada di hatinya seolah hilang dengan pengakuan Razif.
“Hrmm… bagi abang rehat dulu. Pagi nanti kalau abang dah okey, abang beri. Sabar ya, sayang.” Razif berkata dengan mata separuh terbuka. Tangannya memeluk tubuh Irdina.
“Tak apa. Abang tak payah fikirkan soal tu. Irdina nak abang rehat betul-betul. Abang tak beri pun tak apa. Irdina  tak akan tuntut.” Bersungguh-sungguh Irdina menyakinkan Razif. ‘Hish! Kenapa dia fikir aku yang kemaruk sangat? Padahal, aku rasa nak lari sembunyi bawah katil saja ni.’ Bisik hati Irdina.
“Hrmm… esok, ya.” Razif bercakap dalam mamai. Matanya makin tertutup rapat. Nafasnya menyapa wajah Irdina yang hanya seinci dari wajahnya.
‘Aduh! Nak buat macam mana ni? Buatnya pagi-pagi esok dia dah tuntut, tak kan aku nak lari pusing katil? Gegak gempita pula nanti. Tak mahulah.’ Irdina berfikir sendiri.
‘Kalau sembunyi bawah katil, okey tak?’ Irdina bersoal jawab di dalam benaknya. Dia mencebikkan bibirnya sambil tergeleng kecil. ‘Kalau tanya Balkis, tentu dia gelak keras perut. Aku nak tanya pendapat siapa ni?’ Irdina bermonolog sendiri. 
Apabila merasakan pelukan Razif kian longgar, Irdina menarik nafas lega. Perlahan-lahan dia membetulkan posisi badannya agar wajahnya tidak terlalu rapat dengan wajah Razif. Matanya dipejamkan dan lama kelamaan dia tertidur juga.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hehehe...sabar je ayat Razif :) cepat continue hehe ~,~

Imanisa riana @ sarimah berkata...

sabor le...hahaha

Tanpa Nama berkata...

cpt smbung yea