Pengikut

Ahad, 3 Februari 2013

Abang King Control Ke? - Bab 19



Irdina mengajak Razif turun untuk melihat kawasan yang dilanda banjir. Mereka berjalan beriringan menuruni anak tangga. Irdina cuba menyelak skirt panjangnya ketika mengharungi banjir tetapi membatalkannya setelah ditegur oleh Razif.
“Jernih dan sejuknya air ni. Rasa nak mandi pula,” kata Irdina yang sememangnya suka bermain air.
Razif hanya tersenyum memandang Irdina yang mengocak air dengan kakinya. Ramai kanak-kanak yang mandi manda di atas jalan. Kegembiraan mereka terserlah dengan hilai tawa ketika bermain air. Irdina mengharungi air hingga ke jalan masuk rumahnya.
“Dalamnya air di situ.” Irdina menunjuk arah yang dimaksudkan.
“Tadi Abang Ihsan balik ambil lilin dan lampu suluh. Dia kata air di jalan sudah separas dada, tapi dalam rumah air mencecah paha,” kata Razif sambil memegang tangan Irdina.
“Abang… kalau Irdina mandi di sini boleh tak?”
“Jangan! Tempat ni terbuka. Mandi di bilik air saja,” larang Razif tegas.
Irdina tidak berkata apa-apa tapi kakinya masih mengocak air. Beberapa orang lelaki dan perempuan muda turut mengharungi air sambil membawa bola tampar. Mereka bermain bola tampar di dalam air dan salah seorang daripada mereka melompat untuk menampar bola. Badannya terhempas di dalam air. Percikan air mengenai muka Irdina membuatkannya terbatuk.
“Maaf kak! Kami tak sengaja,” kata pemuda sebaya Ilyas sambil mengambil bola.
“Hati-hatilah. Tengok sekeliling bila bermain.” Razif agak marah.
 “Tak mengapa.” Irdina menarik tangan Razif menjauh dari situ.
Razif mengelap wajah Irdina dengan tangannya. Ilyas berlari-lari anak di hadapan mereka.
“Kak! Jomlah main bola tampar. Main dalam air, best!” ajak Ilyas.
Irdina memerhati wajah Razif untuk meminta kebenaran.
“Maaf, Ilyas. Kak Irdina nak temankan abang,” kata Razif mewakili Irdina.
Ilyas menyertai kawan-kawannya yang sedang bermain bola tampar. Hilai tawa mereka memenuhi kawasan tersebut.
“Sayang, kita duduk di sana,” kata Razif sambil menunjuk ke arah bangku batu yang terletak tidak jauh dari pintu pagar sekolah.
Mereka bergerak masuk semula ke kawasan sekolah dan duduk di bangku batu itu. Irdina asyik melihat adiknya bermain bola tampar air. Sesekali Irdina ketawa bila melihat Ilyas gagal memukul bola.
“Sayang, ceritalah tentang diri sayang lagi,” pinta Razif sambil menarik perlahan wajah Irdina agar memerhati wajahnya.
“Bayan hanya bercerita waktu malam terutama masa nak tidur saja,” kata Irdina yang rasa terganggu kerana dia ingin melihat adiknya bermain.
“Masa tidur kita cerita yang lain. Sekarang ceritalah tentang sayang.”
Irdina mengeluh di dalam hati. Tidak mampu membantah permintaan Razif. “Abang nak tahu tentang apa?”
“Siapa teman lelaki sayang dan kawan-kawan sayang.”
Irdina menceritakan serba sedikit tentang kisahnya dengan Latif dan pertunangannya dengan Jamil. Dia memerhatikan wajah Razif setiap kali menyebut nama Latif dan Jamil. Ada riak cemburu di wajah Razif. Irdina menghentikan ceritanya.
“Kenapa berhenti? Ceritalah lagi.”
“Bayan nampak macam tiung dah cemburu. Takut nanti tiung serang bayan,” kata Irdina bergurau.
Razif ketawa mendengar kata-kata Irdina.
“Tiung tak marah malah sayangkan bayan. Bayan pandai bercerita dan dah mengembirakan hati tiung,” kata Razif sambil mencuit hidung isterinya.
“Sayang, hotel paling dekat di sini ada di mana?” tanya Razif sambil tangannya menggenggam tangan Irdina.
“Hotel?” tanya Irdina hairan.
“Ya, hotel. Honey moon. Abang tak nak diganggu lagi. Nak dapatkan first kiss di sini pun susah.” Kata Razif sambil tersenyum manis.
“Hotel dah tenggelam,” kata Irdina sambil ketawa.
“Betul ke? Di mana hotel tu?”
“Pusat bandar. Mungkin akan tenggelam lepas semua pintu empang di buka.”
“Hrmm! Nampak gayanya hotel sini sajalah kita malam ni,” kata Razif tersenyum tawar.
“Hotel beribu bintang. Kalau malam ni tak ada elektrik lagi, bergelaplah kita.”
“Tak ada lilin ke?”
“Tadi Abang Ihsan ambil di rumah. Ada beberapa batang saja.”
“Ada tak kedai runcit yang buka?”
“Entahlah. Pagi tadi pun tak ada yang buka.”
“Harap bekalan elektrik tak pulih lagi malam ni. Abang nak first kiss abang tau. Tak ada gangguan jika orang lain tak nampak.” Razif mengenyitkan matanya.
Irdina hanya mampu tersenyum. Dia tahu dia tidak mungkin lari dari Razif. Apa yang perlu dilakukan, hanyalah menurut segala kemahuan suaminya. Tidak mahu memikirkan persoalan itu, Irdina  memberi tumpuan ke arah Ilyas yang seronok bermain. Dia tersenyum melihat gelagat adiknya. Razif menggenggam erat tangan Irdina. Matanya turut memerhati Ilyas dengan senyuman.
…………………………………………………………………………………………..

Malam itu mereka bergelap kerana bekalan elektrik masih ditutup kerana banjir. Keseluruhan kawasan sekolah hanya diterangi oleh cahaya bulan yang mengambang. Suara Aiman yang menangis kerana kepanasan memenuhi ruang bilik itu. Wina memujuk sambil mengibas-ngibas badan anaknya dengan kertas akhbar.
“Abah! Ada orang bagi tikar di bawah,” kata Ilyas yang berdiri di koridor.
“Pergilah ambil.” Arah Pak Cik Idris yang sedang membalut rokok daunnya.
Ilyas menuruni tangga berpandukan cahaya telefonnya untuk mengambil tikar tersebut. Irdina duduk di atas tikar sambil menyandarkan badan di dinding bilik darjah. Tangannya memegang sekeping kertas tebal yang dijadikan kipas. Sesekali dia mengibas kertas tersebut untuk menghilangkan rasa panas.
“Sayang, kipas abang sama.” Pinta Razif yang sedang berbaring dengan kepalanya di letakkan di atas riba Irdina.
Irdina menurut suruhan Razif dan mengibas-ngibas kertas tersebut. Sesekali tangan Irdina mengusap lembut rambut Razif. Ada rasa bahagia yang menjalar di hati Razif dengan perlakuan Irdina. Razif tersenyum sambil memejamkan matanya dan akhirnya terlena. Irdina tidak dapat bergerak ke mana-mana lalu mengeluarkan pemain muzik dari beg tangannya. Lagu kegemarannya dimainkan sambil tangannya meneruskan kibasannya.
“Abah, Ilyas hanya dapat dua keping tikar saja.” Ilyas meletakkan tikar tersebut di sisi bapanya.
“Bolehlah dari tak dak. Paling tak kita ada alas yang cukup untuk tidur,” kata Pak Cik Idris.
“Ilyas nak turun lagi. Kot sat gi ada orang hantag makanan,” kata Ilyas lalu melangkah keluar dari situ.
Aiman telah terlelap di atas ribaan Wina. Perlahan-lahan Wina meletakkan anaknya di atas tikar. Dia turut merebahkan badannya di sisi anaknya. Ihsan dan dua orang anaknya yang lain telah pun tidur bersebelahan Wina. Pak Idris yang terasa mengantuk merebahkan badannya di sisi Mak Cik Mesa.
Tiba-tiba sekumpulan gadis seramai empat orang muncul di hadapan bilik tersebut.
“Kakak, boleh kami tumpang di sini?” tanya salah seorang dari mereka.
“Masuklah,” pelawa Irdina.
Mereka berempat memasuki bilik tersebut dan mengambil ruang di sudut kiri bilik tersebut.
“Adik, ambillah tikar tu.” Irdina menunjuk ke arah tikar bersebelahan bapanya.
Mereka mengucapkan terima kasih dan mengambil tikar tersebut.
“Adik datang dari mana?” tanya Irdina.
“Kami dari Jalan Sekolah Derma. Rumah kami dah ditenggelami banjir dan tadi tentera hantar kami ke sini,” terang gadis berbaju biru.
“Dalam ke air di sana?” tanya Irdina.
“Dalam. Hospital pun dah tenggelam,” kata seorang lagi gadis.
Mereka membentangkan tikar lalu duduk bersandar. Irdina hanya mendengar perbualan mereka yang berkisar masalah mereka sebagai jururawat pelatih di Hospital Tuanku Fauziah. Mereka juga bimbang kerana berkemungkinan besar tidak dapat menghadiri kursus atau ke tempat kerja. Kebas terasa di kaki Irdina. Hatinya melarang dirinya dari mengejutkan Razif. Perlahan-lahan dia meletakkan kepala Razif di atas beg dan mengalihkan kakinya. Irdina bangun untuk ke tandas. Dia memasang sebatang lilin dan membawanya ke tandas.
 Razif tersedar dari tidurnya dan terkejut kerana Irdina tiada di situ. Apabila melihat keempat-empat gadis tersebut, Razif bertambah terkejut. “Siapa kamu semua?” tanya Razif.
“Kami jururawat pelatih dan rumah kami dah ditenggelami banjir,” jawab gadis yang berbaju biru.
“Oo… begitu rupanya. Ada nampak isteri abang tak?” tanya Razif.
“Tadi dia keluar, tapi tak tahu ke mana.” Jawab gadis itu lagi.
Razif mengucapkan terima kasih dan bangun untuk mencari Irdina. Telinga Razif dapat menangkap kata-kata salah seorang gadis itu.
“Pengantin barulah,” katanya disambut ketawa kecil kawan-kawannya.
Razif memerhati sekitar koridor yang gelap. Dia berjalan berpandukan cahaya bulan. Irdina keluar dari tandas dan berjalan perlahan-lahan agar cahaya lilin tidak terpadam. Tiba-tiba angin memadamkan nyalaan lilin tersebut menyebabkan keadaan sekitarnya gelap. Irdina merasakan ada tangan memegang lengannya.
“Warghh!!” Irdina menjerit ketakutan.
“Sayang! Abang ni.” Razif menarik Irdina ke dalam pelukannya.
Irdina memeluk Razif dengan agak kuat kerana ketakutan dan terkejut. “Abang, jangan buat begitu lagi,” kata Irdina sambil melepaskan pelukannya.
“Abang minta maaf. Lain kali abang tak buat lagi.” Razif memegang tangan Irdina dan kemudiannya berjalan memasuki bilik tadi. Irdina dapat melihat keempat-empat jururawat pelatih itu meletakkan kerusi dan beg sebagai penghadang agar kedudukan mereka terlindung dari pandangan mata keluarga Irdina. Irdina dan Razif duduk di kerusi yang mengarah ke padang.
“Abang, mungkin kita kena tidur di sini beberapa malam lagi.”
“Tak sangka kita akan terperangkap begini. Satu pengalaman yang tak mungkin kita lupakan,” kata Razif sambil ketawa kecil.
“Laparlah. Tak ada orang hantar bekalan makanan ke malam ni?” tanya Irdina.
“Tak tahulah. Kita cuma boleh berdoa agar ada rezeki kita malam ni.”
Ilyas naik semula dengan beg plastik yang penuh dengan bungkusan makanan dan air untuk mereka semua.
“Akak! Ada orang hantar nasi,” kata Ilyas sambil meletakkan bungkusan tersebut di meja tengah. Ilyas memanggil mereka yang lain untuk makan bersama-sama.
“Ilyas ambil lebih tak? Ada kakak-kakak jururawat yang baru masuk ke sini,” kata Irdina.
“Tak boleh ambil lebih. Dapat cukup-cukup saja,” kata Ilyas.
“Kita kongsi sajalah.” Irdina mengambil dua bungkus nasi dan dua botol air untuk jururawat pelatih tersebut. Irdina menyerahkan bungkusan nasi dan air tersebut kepada mereka berempat. “Adik, ini ada nasi. Tapi kena kongsi.”
“Terima kasih banyak-banyak. Kami memang tengah lapar,” kata salah seorang dari mereka.
Irdina tersenyum lalu berpatah balik ke meja tengah untuk mengambil bungkusan nasi serta air untuk dirinya dan Razif. Keluarga Irdina yang lain turut bangun dan mereka berkongsi makan bersama-sama.
“Ikan sardin lagi.” Irdina tersenyum tawar.
“Bersyukurlah apa yang ada,” kata Razif.
“Alhamdullillah! Syukur nikmat Allah beri,” kata Irdina. Irdina melakukan perkara yang sama seperti tengah hari tadi, menyuap Razif dan dirinya bersilih ganti.
So sweet!” hujung telinga Irdina dapat mendengar komen begitu dari seorang jururawat pelatih tersebut.
“Romantiknya! Aku pun nak kalau hari-hari begitu,” kata salah seorang lagi. Razif mendengar tersenyum lebar tetapi Irdina berpura-pura tidak mendengarnya.
“Sayang, hulurkan abang air tu.”
Irdina menyuakan air mineral tersebut kepada Razif. Razif membuka penutup botol dan menyerahkan kepada Irdina. Irdina yang tahu maksud Razif meneguk sedikit air tersebut. Setelah itu dia menyerahkan kembali kepada Razif. Razif minum pada bekas mulut Irdina. Begitulah yang dilakukannya ketika berkongsi air. Setelah selesai makan, Irdina mengambil tikar lalu membentangnya untuk dirinya dan Razif. Sebelum ini mereka tidur beralaskan kotak kerana tikar yang dibawa dari rumah mereka hanyalah sebidang sahaja. Itu pun digunakan oleh anak-anak saudaranya, Wina dan ibunya.
Razif membantu Irdina dan meletakkan beg mereka sebagai alas kepala. Kain pelekat dijadikan selimut mereka berdua. Razif berbaring sambil memeluk Irdina. Kerusi yang diletakkan di sekeliling mereka menjadi sempadan dan tabir bagi menghalang pandangan orang lain. Tetapi Irdina tetap tidak selesa kerana memikirkan ada orang lain bersama mereka ketika itu. Aksi-aksi mesra pasti tidak sesuai dipamerkan di situ.
“Sayang, abang nak first kiss abang.” Bisik Razif.
Kiss saja. Jangan lebih-lebih.” Bisik Irdina pula.
“Ya. Abang tahu. Yang lebih nanti, abang tuntut masa kita dah balik ke rumah.”
Irdina hanya tersenyum tawar. Berkali-kali dia menelan liur bagi menstabilkan rasa cemasnya. Perlahan-lahan bibir Razif bersatu dengan bibirnya menerbitkan pelbagai rasa di hatinya.
“Terima kasih, sayang.” Bisik Razif.
Razif mengemaskan pelukannya dan kemudian memejamkan matanya. Dia tertidur dalam senyuman. Irdina masih terkebil-kebil melayan perasaan sendiri. Dia cuba memejamkan matanya. Tidurnya tidak begitu nyenyak kerana terganggu dengan bunyi dengkuran bapanya, Ihsan dan Razif yang silih berganti. Dengkuran-dengkuran itu membentuk satu irama yang tidak harmoni. Irdina bangun perlahan-lahan dan keluar dari bilik tersebut. Dia menutup semula pintu bilik dan duduk di bangku yang terletak di luar bilik tersebut. Irdina mengeluarkan telefonnya lalu mendail nombor telefon Balkis. Salam yang diberi dijawab oleh Balkis.
“Kenapa telefon aku jam 1.00 pagi ni?” tanya Balkis.
“Aku tak boleh tidur.”
“Ha! Baguslah tu. Kak Irdina tak boleh tidur, aku pula kena berjaga.” Balkis berleter.
“Balkis, aku bosanlah. Aku rasa macam nak lari dari sini. Tapi aku tak tahu nak ke mana.”
“Sabarlah, aku pun bosan juga. Tapi aku cuba menceriakan diri aku.”
“Macam mana nak ceria kalau sepanjang masa menghadap wajah yang sama. Itu tak boleh, ini tak boleh. Nak berbual dengan orang lain pun tak boleh. Asyik kena control saja.” Irdina mengeluh.
“Hai! Pengantin baru pun mengeluh? Sepatutnya Kak Irdina suka sebab hari-hari menatap muka suami kesayangan.” Balkis ketawa kecil.
“Aku dah mula rasa terkongkong. Tak dapat bayangkan hidup aku nanti.”
“Sabarlah. Cuba belajar menerima diri dia seadanya. Mungkin dia cuba nak jadikan Kak Irdina isteri yang terbaik dan solehah. Atau mungkin juga dia macam kita, bosan dan tak tahu nak buat apa. Jadi dia mengulit Kak Irdina sajalah. Bukan orang lain, isteri dia sendiri. Tak salahkan?” Balkis memberikan pandangannya.
“Memanglah tak salah. Tapi aku bosan. Sekarang ni aku tengah fikir, adakah aku boleh tinggal dengan kau dan Laila seperti selalu selepas ni?”
“Mungkin tidak.”
“Jadi aku akan kehilangan kawan yang sering memberi sokongan dan nasihat kepada aku.”
“Kita masih berjiran. Insya Allah kita boleh berjumpa seperti selalu sama ada di tempat kerja atau di rumah mak mertua Kak Irdina.”
“Mungkin tak sama dan aku dapat rasakan dia akan mengawal pergerakan aku. Segala maklumat tentang kawan dan bekas teman lelaki aku dia nak tahu.”
“Kak Irdina cerita tak?”
“Cerita sikit-sikit.”
“Kak Irdina cubalah berbincang baik-baik dengan dia supaya tak timbul salah faham dan masing-masing kena jujur. Baru hubungan dapat bertahan.”
“Aku akan cuba. Terima kasih kerana sudi mendengar luahan hati aku,” kata Irdina sebelum menamatkan perbualannya.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kesian idrina,,rasa sentap kat rizif saye... Kmanapun idrina pergi nak ikut trus., oh ya cik kak,kangen kat uzair ngan yasmin

Unknown berkata...

ish ish ish geramye ngan suami. . Betul betul king control ! ! Sabar ye idrina.

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Tanpa nama,
Sentap2 pun sudi2kanlah terus baca cerita ni. Tgk mcm mana hubungan mrk seterusnya. Kangen ama min dan uzair? Insya Allah akan dipost nanti. Tunggu ya.

Nani comel,
Hihihi...dh abangnya king control, pasti semuanya dicontrol, termasuklah....nk tahu apa yg akan dicontrol lg, terus ikuti cerita ni.

Unknown berkata...

tak sabar nak tau kelanjutan.