Irdina mengajak
Razif turun untuk melihat kawasan yang dilanda banjir. Mereka berjalan
beriringan menuruni anak tangga. Irdina cuba menyelak skirt panjangnya ketika
mengharungi banjir tetapi membatalkannya setelah ditegur oleh Razif.
“Jernih
dan sejuknya air ni. Rasa nak mandi pula,” kata Irdina yang sememangnya suka
bermain air.
Razif
hanya tersenyum memandang Irdina yang mengocak air dengan kakinya. Ramai
kanak-kanak yang mandi manda di atas jalan. Kegembiraan mereka terserlah dengan
hilai tawa ketika bermain air. Irdina mengharungi air hingga ke jalan masuk
rumahnya.
“Dalamnya
air di situ.” Irdina menunjuk arah yang dimaksudkan.
“Tadi
Abang Ihsan balik ambil lilin dan lampu suluh. Dia kata air di jalan sudah
separas dada, tapi dalam rumah air mencecah paha,” kata Razif sambil memegang
tangan Irdina.
“Abang…
kalau Irdina mandi di sini boleh tak?”
“Jangan!
Tempat ni terbuka. Mandi di bilik air saja,” larang Razif tegas.
Irdina
tidak berkata apa-apa tapi kakinya masih mengocak air. Beberapa orang lelaki
dan perempuan muda turut mengharungi air sambil membawa bola tampar. Mereka
bermain bola tampar di dalam air dan salah seorang daripada mereka melompat
untuk menampar bola. Badannya terhempas di dalam air. Percikan air mengenai
muka Irdina membuatkannya terbatuk.
“Maaf
kak! Kami tak sengaja,” kata pemuda sebaya Ilyas sambil mengambil bola.
“Hati-hatilah.
Tengok sekeliling bila bermain.” Razif agak marah.
“Tak mengapa.” Irdina menarik tangan Razif
menjauh dari situ.
Razif
mengelap wajah Irdina dengan tangannya. Ilyas berlari-lari anak di hadapan
mereka.
“Kak!
Jomlah main bola tampar. Main dalam air,
best!” ajak Ilyas.
Irdina
memerhati wajah Razif untuk meminta kebenaran.
“Maaf,
Ilyas. Kak Irdina nak temankan abang,” kata Razif mewakili Irdina.
Ilyas
menyertai kawan-kawannya yang sedang bermain bola tampar. Hilai tawa mereka
memenuhi kawasan tersebut.
“Sayang,
kita duduk di sana,” kata Razif sambil menunjuk ke arah bangku batu yang
terletak tidak jauh dari pintu pagar sekolah.
Mereka
bergerak masuk semula ke kawasan sekolah dan duduk di bangku batu itu. Irdina
asyik melihat adiknya bermain bola tampar air. Sesekali Irdina ketawa bila
melihat Ilyas gagal memukul bola.
“Sayang,
ceritalah tentang diri sayang lagi,” pinta Razif sambil menarik perlahan wajah
Irdina agar memerhati wajahnya.
“Bayan
hanya bercerita waktu malam terutama masa nak tidur saja,” kata Irdina yang
rasa terganggu kerana dia ingin melihat adiknya bermain.
“Masa
tidur kita cerita yang lain. Sekarang ceritalah tentang sayang.”
Irdina
mengeluh di dalam hati. Tidak mampu membantah permintaan Razif. “Abang nak tahu
tentang apa?”
“Siapa
teman lelaki sayang dan kawan-kawan sayang.”
Irdina
menceritakan serba sedikit tentang kisahnya dengan Latif dan pertunangannya
dengan Jamil. Dia memerhatikan wajah Razif setiap kali menyebut nama Latif dan
Jamil. Ada riak cemburu di wajah Razif. Irdina menghentikan ceritanya.
“Kenapa
berhenti? Ceritalah lagi.”
“Bayan
nampak macam tiung dah cemburu. Takut nanti tiung serang bayan,” kata Irdina
bergurau.
Razif
ketawa mendengar kata-kata Irdina.
“Tiung
tak marah malah sayangkan bayan. Bayan pandai bercerita dan dah mengembirakan
hati tiung,” kata Razif sambil mencuit hidung isterinya.
“Sayang,
hotel paling dekat di sini ada di mana?” tanya Razif sambil tangannya
menggenggam tangan Irdina.
“Hotel?”
tanya Irdina hairan.
“Ya,
hotel. Honey moon. Abang tak nak
diganggu lagi. Nak dapatkan first kiss
di sini pun susah.” Kata Razif sambil tersenyum manis.
“Hotel
dah tenggelam,” kata Irdina sambil ketawa.
“Betul
ke? Di mana hotel tu?”
“Pusat
bandar. Mungkin akan tenggelam lepas semua pintu empang di buka.”
“Hrmm!
Nampak gayanya hotel sini sajalah kita malam ni,” kata Razif tersenyum tawar.
“Hotel
beribu bintang. Kalau malam ni tak ada elektrik lagi, bergelaplah kita.”
“Tak
ada lilin ke?”
“Tadi
Abang Ihsan ambil di rumah. Ada beberapa batang saja.”
“Ada
tak kedai runcit yang buka?”
“Entahlah.
Pagi tadi pun tak ada yang buka.”
“Harap
bekalan elektrik tak pulih lagi malam ni. Abang nak first kiss abang tau. Tak ada gangguan jika orang lain tak nampak.”
Razif mengenyitkan matanya.
Irdina
hanya mampu tersenyum. Dia tahu dia tidak mungkin lari dari Razif. Apa yang
perlu dilakukan, hanyalah menurut segala kemahuan suaminya. Tidak mahu
memikirkan persoalan itu, Irdina memberi
tumpuan ke arah Ilyas yang seronok bermain. Dia tersenyum melihat gelagat
adiknya. Razif menggenggam erat tangan Irdina. Matanya turut memerhati Ilyas
dengan senyuman.
…………………………………………………………………………………………..
Malam itu mereka
bergelap kerana bekalan elektrik masih ditutup kerana banjir. Keseluruhan
kawasan sekolah hanya diterangi oleh cahaya bulan yang mengambang. Suara Aiman
yang menangis kerana kepanasan memenuhi ruang bilik itu. Wina memujuk sambil
mengibas-ngibas badan anaknya dengan kertas akhbar.
“Abah!
Ada orang bagi tikar di bawah,” kata Ilyas yang berdiri di koridor.
“Pergilah
ambil.” Arah Pak Cik Idris yang sedang membalut rokok daunnya.
Ilyas
menuruni tangga berpandukan cahaya telefonnya untuk mengambil tikar tersebut.
Irdina duduk di atas tikar sambil menyandarkan badan di dinding bilik darjah.
Tangannya memegang sekeping kertas tebal yang dijadikan kipas. Sesekali dia
mengibas kertas tersebut untuk menghilangkan rasa panas.
“Sayang,
kipas abang sama.” Pinta Razif yang sedang berbaring dengan kepalanya di
letakkan di atas riba Irdina.
Irdina
menurut suruhan Razif dan mengibas-ngibas kertas tersebut. Sesekali tangan
Irdina mengusap lembut rambut Razif. Ada rasa bahagia yang menjalar di hati
Razif dengan perlakuan Irdina. Razif tersenyum sambil memejamkan matanya dan
akhirnya terlena. Irdina tidak dapat bergerak ke mana-mana lalu mengeluarkan
pemain muzik dari beg tangannya. Lagu kegemarannya dimainkan sambil tangannya
meneruskan kibasannya.
“Abah,
Ilyas hanya dapat dua keping tikar saja.” Ilyas meletakkan tikar tersebut di
sisi bapanya.
“Bolehlah
dari tak dak. Paling tak kita ada alas yang cukup untuk tidur,” kata Pak Cik
Idris.
“Ilyas
nak turun lagi. Kot sat gi ada orang hantag makanan,” kata Ilyas lalu melangkah
keluar dari situ.
Aiman
telah terlelap di atas ribaan Wina. Perlahan-lahan Wina meletakkan anaknya di
atas tikar. Dia turut merebahkan badannya di sisi anaknya. Ihsan dan dua orang
anaknya yang lain telah pun tidur bersebelahan Wina. Pak Idris yang terasa
mengantuk merebahkan badannya di sisi Mak Cik Mesa.
Tiba-tiba
sekumpulan gadis seramai empat orang muncul di hadapan bilik tersebut.
“Kakak,
boleh kami tumpang di sini?” tanya salah seorang dari mereka.
“Masuklah,”
pelawa Irdina.
Mereka
berempat memasuki bilik tersebut dan mengambil ruang di sudut kiri bilik
tersebut.
“Adik,
ambillah tikar tu.” Irdina menunjuk ke arah tikar bersebelahan bapanya.
Mereka
mengucapkan terima kasih dan mengambil tikar tersebut.
“Adik
datang dari mana?” tanya Irdina.
“Kami
dari Jalan Sekolah Derma. Rumah kami dah ditenggelami banjir dan tadi tentera
hantar kami ke sini,” terang gadis berbaju biru.
“Dalam
ke air di sana?” tanya Irdina.
“Dalam.
Hospital pun dah tenggelam,” kata seorang lagi gadis.
Mereka
membentangkan tikar lalu duduk bersandar. Irdina hanya mendengar perbualan
mereka yang berkisar masalah mereka sebagai jururawat pelatih di Hospital
Tuanku Fauziah. Mereka juga bimbang kerana berkemungkinan besar tidak dapat
menghadiri kursus atau ke tempat kerja. Kebas terasa di kaki Irdina. Hatinya
melarang dirinya dari mengejutkan Razif. Perlahan-lahan dia meletakkan kepala
Razif di atas beg dan mengalihkan kakinya. Irdina bangun untuk ke tandas. Dia
memasang sebatang lilin dan membawanya ke tandas.
Razif tersedar dari tidurnya dan terkejut
kerana Irdina tiada di situ. Apabila melihat keempat-empat gadis tersebut,
Razif bertambah terkejut. “Siapa kamu semua?” tanya Razif.
“Kami
jururawat pelatih dan rumah kami dah ditenggelami banjir,” jawab gadis yang
berbaju biru.
“Oo…
begitu rupanya. Ada nampak isteri abang tak?” tanya Razif.
“Tadi
dia keluar, tapi tak tahu ke mana.” Jawab gadis itu lagi.
Razif
mengucapkan terima kasih dan bangun untuk mencari Irdina. Telinga Razif dapat
menangkap kata-kata salah seorang gadis itu.
“Pengantin
barulah,” katanya disambut ketawa kecil kawan-kawannya.
Razif
memerhati sekitar koridor yang gelap. Dia berjalan berpandukan cahaya bulan.
Irdina keluar dari tandas dan berjalan perlahan-lahan agar cahaya lilin tidak
terpadam. Tiba-tiba angin memadamkan nyalaan lilin tersebut menyebabkan keadaan
sekitarnya gelap. Irdina merasakan ada tangan memegang lengannya.
“Warghh!!”
Irdina menjerit ketakutan.
“Sayang!
Abang ni.” Razif menarik Irdina ke dalam pelukannya.
Irdina
memeluk Razif dengan agak kuat kerana ketakutan dan terkejut. “Abang, jangan
buat begitu lagi,” kata Irdina sambil melepaskan pelukannya.
“Abang
minta maaf. Lain kali abang tak buat lagi.” Razif memegang tangan Irdina dan
kemudiannya berjalan memasuki bilik tadi. Irdina dapat melihat keempat-empat
jururawat pelatih itu meletakkan kerusi dan beg sebagai penghadang agar
kedudukan mereka terlindung dari pandangan mata keluarga Irdina. Irdina dan
Razif duduk di kerusi yang mengarah ke padang.
“Abang,
mungkin kita kena tidur di sini beberapa malam lagi.”
“Tak
sangka kita akan terperangkap begini. Satu pengalaman yang tak mungkin kita
lupakan,” kata Razif sambil ketawa kecil.
“Laparlah.
Tak ada orang hantar bekalan makanan ke malam ni?” tanya Irdina.
“Tak
tahulah. Kita cuma boleh berdoa agar ada rezeki kita malam ni.”
Ilyas naik semula dengan beg plastik
yang penuh dengan bungkusan makanan dan air untuk mereka semua.
“Akak! Ada orang hantar nasi,” kata
Ilyas sambil meletakkan bungkusan tersebut di meja tengah.
Ilyas memanggil mereka yang lain untuk makan bersama-sama.
“Ilyas ambil lebih tak? Ada
kakak-kakak jururawat yang baru masuk ke sini,” kata Irdina.
“Tak
boleh ambil lebih. Dapat cukup-cukup saja,” kata Ilyas.
“Kita
kongsi sajalah.” Irdina mengambil dua bungkus nasi dan dua botol air untuk
jururawat pelatih tersebut. Irdina menyerahkan bungkusan nasi dan air tersebut
kepada mereka berempat. “Adik, ini ada nasi. Tapi kena kongsi.”
“Terima kasih banyak-banyak. Kami
memang tengah lapar,” kata salah seorang dari mereka.
Irdina
tersenyum lalu berpatah balik ke meja tengah untuk mengambil bungkusan nasi serta
air untuk dirinya dan Razif. Keluarga Irdina yang lain turut bangun dan mereka
berkongsi makan bersama-sama.
“Ikan
sardin lagi.” Irdina tersenyum tawar.
“Bersyukurlah
apa yang ada,” kata Razif.
“Alhamdullillah!
Syukur nikmat Allah beri,” kata Irdina. Irdina melakukan perkara yang sama
seperti tengah hari tadi, menyuap Razif dan dirinya bersilih ganti.
“So sweet!” hujung telinga Irdina dapat
mendengar komen begitu dari seorang jururawat pelatih tersebut.
“Romantiknya!
Aku pun nak kalau hari-hari begitu,” kata salah seorang lagi. Razif mendengar
tersenyum lebar tetapi Irdina berpura-pura tidak mendengarnya.
“Sayang,
hulurkan abang air tu.”
Irdina
menyuakan air mineral tersebut kepada Razif. Razif membuka penutup botol dan
menyerahkan kepada Irdina. Irdina yang tahu maksud Razif meneguk sedikit air
tersebut. Setelah itu dia menyerahkan kembali kepada Razif. Razif minum pada
bekas mulut Irdina. Begitulah yang dilakukannya ketika berkongsi air. Setelah
selesai makan, Irdina mengambil tikar lalu membentangnya untuk dirinya dan
Razif. Sebelum ini mereka tidur beralaskan kotak kerana tikar yang dibawa dari
rumah mereka hanyalah sebidang sahaja. Itu pun digunakan oleh anak-anak
saudaranya, Wina dan ibunya.
Razif
membantu Irdina dan meletakkan beg mereka sebagai alas kepala. Kain pelekat
dijadikan selimut mereka berdua. Razif berbaring sambil memeluk Irdina. Kerusi
yang diletakkan di sekeliling mereka menjadi sempadan dan tabir bagi menghalang
pandangan orang lain. Tetapi Irdina tetap tidak selesa kerana memikirkan ada
orang lain bersama mereka ketika itu. Aksi-aksi mesra pasti tidak sesuai
dipamerkan di situ.
“Sayang,
abang nak first kiss abang.” Bisik
Razif.
“Kiss saja. Jangan lebih-lebih.” Bisik
Irdina pula.
“Ya.
Abang tahu. Yang lebih nanti, abang tuntut masa kita dah balik ke rumah.”
Irdina
hanya tersenyum tawar. Berkali-kali dia menelan liur bagi menstabilkan rasa
cemasnya. Perlahan-lahan bibir Razif bersatu dengan bibirnya menerbitkan
pelbagai rasa di hatinya.
“Terima
kasih, sayang.” Bisik Razif.
Razif
mengemaskan pelukannya dan kemudian memejamkan matanya. Dia tertidur dalam
senyuman. Irdina masih terkebil-kebil melayan perasaan sendiri. Dia cuba
memejamkan matanya. Tidurnya tidak begitu nyenyak kerana terganggu dengan bunyi
dengkuran bapanya, Ihsan dan Razif yang silih berganti. Dengkuran-dengkuran itu
membentuk satu irama yang tidak harmoni. Irdina bangun perlahan-lahan dan
keluar dari bilik tersebut. Dia menutup semula pintu bilik dan duduk di bangku yang
terletak di luar bilik tersebut. Irdina mengeluarkan telefonnya lalu mendail
nombor telefon Balkis. Salam yang diberi dijawab oleh Balkis.
“Kenapa
telefon aku jam 1.00 pagi ni?” tanya Balkis.
“Aku
tak boleh tidur.”
“Ha!
Baguslah tu. Kak Irdina tak boleh tidur, aku pula kena berjaga.” Balkis
berleter.
“Balkis,
aku bosanlah. Aku rasa macam nak lari dari sini. Tapi aku tak tahu nak ke
mana.”
“Sabarlah,
aku pun bosan juga. Tapi aku cuba menceriakan diri aku.”
“Macam
mana nak ceria kalau sepanjang masa menghadap wajah yang sama. Itu tak boleh,
ini tak boleh. Nak berbual dengan orang lain pun tak boleh. Asyik kena control saja.” Irdina mengeluh.
“Hai!
Pengantin baru pun mengeluh? Sepatutnya Kak Irdina suka sebab hari-hari menatap
muka suami kesayangan.” Balkis ketawa kecil.
“Aku
dah mula rasa terkongkong. Tak dapat bayangkan hidup aku nanti.”
“Sabarlah.
Cuba belajar menerima diri dia seadanya. Mungkin dia cuba nak jadikan Kak
Irdina isteri yang terbaik dan solehah. Atau mungkin juga dia macam kita, bosan
dan tak tahu nak buat apa. Jadi dia mengulit Kak Irdina sajalah. Bukan orang
lain, isteri dia sendiri. Tak salahkan?” Balkis memberikan pandangannya.
“Memanglah
tak salah. Tapi aku bosan. Sekarang ni aku tengah fikir, adakah aku boleh
tinggal dengan kau dan Laila seperti selalu selepas ni?”
“Mungkin
tidak.”
“Jadi
aku akan kehilangan kawan yang sering memberi sokongan dan nasihat kepada aku.”
“Kita
masih berjiran. Insya Allah kita boleh berjumpa seperti selalu sama ada di
tempat kerja atau di rumah mak mertua Kak Irdina.”
“Mungkin
tak sama dan aku dapat rasakan dia akan mengawal pergerakan aku. Segala
maklumat tentang kawan dan bekas teman lelaki aku dia nak tahu.”
“Kak
Irdina cerita tak?”
“Cerita
sikit-sikit.”
“Kak
Irdina cubalah berbincang baik-baik dengan dia supaya tak timbul salah faham
dan masing-masing kena jujur. Baru hubungan dapat bertahan.”
“Aku
akan cuba. Terima kasih kerana sudi mendengar luahan hati aku,” kata Irdina sebelum
menamatkan perbualannya.
4 ulasan:
kesian idrina,,rasa sentap kat rizif saye... Kmanapun idrina pergi nak ikut trus., oh ya cik kak,kangen kat uzair ngan yasmin
ish ish ish geramye ngan suami. . Betul betul king control ! ! Sabar ye idrina.
Tanpa nama,
Sentap2 pun sudi2kanlah terus baca cerita ni. Tgk mcm mana hubungan mrk seterusnya. Kangen ama min dan uzair? Insya Allah akan dipost nanti. Tunggu ya.
Nani comel,
Hihihi...dh abangnya king control, pasti semuanya dicontrol, termasuklah....nk tahu apa yg akan dicontrol lg, terus ikuti cerita ni.
tak sabar nak tau kelanjutan.
Catat Ulasan