Pengikut

Sabtu, 23 Februari 2013

Abang King Control Ke? - bab 23



Malam itu, buat pertama kalinya Irdina tidur di bilik Razif. Matanya masih tidak dapat dilelapkan sedangkan Razif telah lama berdengkur. Dengkuran Razif dan suasana baru di bilik tersebut membuatkannya sukar melelapkan mata. Hatinya berkeluh kesah bila mengingati bahawa kehidupannya telah berubah begitu cepat. Dia tidak mengenali dengan mendalam lelaki yang tidur di sebelahnya. Malah dia pernah membenci lelaki itu.
Kini lelaki itu telah mengawal segala pergerakannya malah penampilannya. Dia seolah-olah tidak mempunyai hak untuk menentukan pilihannya sendiri. Warna pakaiannya juga di tegur oleh Razif. Razif tidak menyukai pakaiannya yang berwarna merah jambu dan semua pakaian tersebut akan diberi kepada Balkis. Razif berjanji akan membeli pakaian yang baru untuknya.
Irdina mengalihkan tangan Razif perlahan-lahan dari badannya. Dia bangun dan menghampiri tingkap, melihat ke arah biliknya yang menjadi milik Balkis. Bilik itu kelihatan gelap. Mungkin Balkis sedang nyenyak tidur ketika itu. Hatinya merindui suasana dulu. Walaupun tidur seorang diri tetapi hatinya sentiasa gembira berbanding sekarang. Perlahan-lahan dia membuka pintu balkoni dan melangkah keluar. Pintu balkoni ditutup semula. Dia duduk di kerusi yang terdapat di balkoni tersebut.
Razif terjaga dan menyedari ketiadaan Irdina. Apabila mendapati Irdina tiada di bilik air, dia turun ke tingkat bawah untuk mencari Irdina. Hati Razif menjadi risau memikirkan keselamatan isterinya. Hampir seluruh ruang dicari tetapi tidak ditemui.
‘Mana Irdina pergi? Tak kan dah lari?’ bisik hati Razif, ragu.
Dia bimbang sikapnya yang agak tegas terhadap Irdina mungkin menyebabkan Irdina bertindak begitu. Irdina dipaksa mengikut kehendaknya tanpa kompromi. Padanya setiap inci tubuh badan serta jiwa Irdina adalah kepunyaannya. Oleh itu dia berhak menentukan segalanya buat Irdina. Razif naik semula ke tingkat atas lalu masuk ke biliknya. Dia melihat pakaian Irdina masih berada di dalam almari. Malah beg tangannya juga masih di atas meja. Matanya memandang sekeliling bilik tersebut dan akhirnya matanya terarah ke balkoni. Razif menolak pintu balkoni dan hatinya mengucap syukur kerana isterinya berada di situ.
Razif melihat wajah Irdina yang tertidur di kerusi balkoni tersebut. Ada kesan basah pada pipi Irdina. Razif mengusap lembut pipi Irdina membuatkan Irdina membuka matanya.
 “Kenapa sayang tidur di sini?” tanya Razif.
“Tadi rasa nak ambil angin. Tak sangka tertidur pula.” Irdina memberi alasan.
“Marilah kita masuk. Sejuk di sini,” kata Razif sambil memegang tangan Irdina. Razif menutup dan mengunci pintu balkoni. Mereka naik semula ke katil dan berbaring. Tangan Razif menggenggam kemas tangan Irdina.
“Sayang… kalau sayang nak keluar ke balkoni lagi, jangan pakai pakaian begini. Pakaian ini sesuai untuk abang saja. Orang lain tak boleh tengok kecantikan isteri abang,” Razif mengiringkan badannya menghadap Irdina.
“Maaf,” kata Irdina sepatah. Dia tahu baju tidur satin tanpa lengan berwarna hitam yang dibeli oleh Razif itu agak singkat dan kelihatan seksi. ‘Waktu tengah malam begini siapa yang akan berada di luar rumah?’ fikir Irdina.
“Sayang, apa yang mengganggu fikiran sayang?” tanya Razif sambil membelai rambut Irdina.
“Tak ada apa. Mungkin tempat baru, suasana baru, baju baru dan segala-galanya baru buat diri Irdina.”
Razif tersenyum mendengar kata-kata Irdina. “Esok abang nak ajak sayang beli baju baru. Sayang nak beli di mana?
“Tak payah susah-susah. Abangkan perlu ke klinik?”
“Lepas abang balik, kita pergilah. Kita pergi Mid Valley Megamall.” Razif membuat keputusan.
Irdina tersenyum bagi menyenangkan hati Razif. Razif mengucup dahi Irdina. “Tidurlah sayang.” Razif memeluk tubuh isterinya. Irdina memejamkan matanya dan lama kelamaan dia terlelap juga.
……………………………………………
Irdina menolong Mak Cik Sopiah menyiapkan sarapan di dapur. Mak Cik Sopiah menyuruh Irdina menyediakan air untuk Razif. Irdina kemudiannya membawa air dan sarapan ke meja makan. Dia melihat Razif sedang membaca akhbar di sofa hadapan.
“Abang… minum dulu,” ajak Irdina.
Razif tidak mendengar ajakan Irdina kerana sedang asyik membaca.
“Abang, marilah minum dulu. Nanti sejuk pula makanan tu,” kata Irdina sambil berdiri di hadapan Razif dan melipat sedikit akhbar itu.
“Ada apa sayang?” tanya Razif, hairan.
“Dua kali Irdina ajak abang tak dengar ke?”
“Nak ke mana?”
Irdina mengambil akhbar di tangan Razif dan menarik tangan Razif agar mengikutnya. Razif hanya menurut langkah Irdina ke meja makan. Irdina menarik kerusi untuk Razif dan meminta Razif duduk di situ. Dia menuangkan air dan menyendukkan nasi goreng ke pinggan Razif.
“Abang… makanlah,” kata Irdina sambil duduk di sebelah Razif.
“Sayang, kita kongsi makan macam di penempatan banjir tu.” Pinta Razif.
Tanpa bantahan, Irdina memasukkan sedikit kicap di atas nasi goreng itu lalu memusingkan badannya menghadap Razif. Nasi itu disuapkan ke mulut Razif dan kemudian ke mulutnya. Dia melebihkan suapan ke mulut Razif berbanding dirinya. Mak Cik Sopiah yang melihat dari dapur hanya tersenyum gembira. Dia dapat melihat kebahagiaan pada wajah anak lelakinya itu.
Setelah selesai makan, Razif meminta diri dari ibunya untuk ke tempat kerja. Irdina mencium tangan Razif dan Razif mengucup dahi Irdina sebelum Razif melangkah ke kereta. Irdina menutup pintu dan melangkah ke meja makan.
“Mak, kerja apa yang perlu Irdina buat hari ni?” tanya Irdina seolah-olah bertanyakan ketuanya di pejabat.
“Duduklah dulu. Banyak masa lagi nak buat kerja tu,” kata Mak Cik Sopiah yang sedang menikmati makanannya.
“Irdina dah biasa buat kerja. Tak reti pula nak duduk saja,” kata Irdina jujur.
“Kenapa berhenti kerja? Sepatutnya Irdina boleh terus bekerja jika mahu.”
“Abang Razif, tak bagi kerja.” Jawab Irdina perlahan.
Mak Cik Sopiah dapat membaca riak wajah Irdina yang muram. Dia mengagak Irdina tidak gembira dengan keputusan Razif.
“Irdina… kalau Irdina nak, mak boleh pujuk Razif supaya izinkan Irdina bekerja.”
“Tak mengapalah mak. Irdina dah hantar surat perletakkan jawatan dan rasa malu pula nak memohon kembali. Biarlah Irdina jaga mak dan rumah tangga seperti yang Abang Razif mahu.”
“Irdina… kalau ada apa-apa yang terbuku di hati, jangan simpan. Bawalah berbincang agar tiada rasa kecewa di hati yang boleh membawa masalah di kemudian hari,” nasihat Mak Cik Sopiah.
Irdina mendiamkan diri lalu menolong ibu mertuanya mengemas meja dan dapur. Irdina melakukan kerja-kerja mencuci pakaian dan mengemas rumah. Selesai mengemas, dia mengambil mop dan mengelap lantai.
“Irdina, cukuplah dulu. Mak tengok Irdina tak henti bekerja dari tadi.”
“Tak mengapa mak,” kata Irdina sambil meneruskan kerjanya.
“Marilah temankan mak minum,” kata Mak Cik Sopiah sambil memegang tangan Irdina.
Irdina terpaksa menghentikan kerjanya dan mengikut ibu mertuanya minum di dapur.
“Irdina, macam mana Razif layan Irdina?” tanya Mak Cik Sopiah sambil melihat wajah Irdina.
“Baik.”
“Mak nampak Irdina macam tidak gembira. Adakah apa-apa yang Irdina sembunyikan?”
“Tak ada.”
“Irdina, mak tahu Irdina sedih tetapi tak tahu apa puncanya. Kalau Irdina terus berdiam diri, masalah tak akan selesai. Cuba ceritakan apa masalah Irdina.” Mak Cik Sopiah cuba menyelidik.
“Tak mengapalah mak. Masalah kecil saja. Mak tak perlu risau,” kata Irdina sambil tersenyum kepada ibu mertuanya.
Mak Cik Sopiah hanya mendiamkan dirinya. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang mengganggu fikiran menantunya itu. Sikap Irdina juga agak berbeza dan tidak ceria seperti mula-mula dia mengenali Irdina dulu.
“Irdina, pergilah berehat dulu di bilik,” kata Mak Cik Sopiah setelah melihat Irdina ingin menyambung kerja mengelap lantai.
“Tapi, kerja Irdina tak selesai lagi.”
“Tak mengapa. Bukannya kotor sangat lantai ni. Pergilah berehat.”
Irdina terpaksa mengikut suruhan ibu mertuanya dan naik ke bilik atas. Di dalam bilik, dia mengemas dan mencuci bilik air. Setelah itu, dia menyusun barang dan mengelap meja. Habis semua sudut dikemasnya. Dia melangkah keluar balkoni setelah mengenakan tudung kepala. Dia duduk di kerusi sambil memandang ke arah biliknya yang dahulu.
Airmatanya mengalir membasahi pipi. Sangkar emas yang disediakan oleh Razif benar-benar menyiksa jiwa dan raganya. Dia melihat telefon kesayangannya yang telah dipantau oleh Razif. Malah setiap hari Razif akan memeriksa telefon Irdina. Dia berkecil hati dengan sikap Razif yang seolah-olah meraguinya. Dia tahu Razif begitu takut kejadian yang menimpa abang dan sepupunya berulang. Tetapi tindakan Razif dirasakannya tidak wajar. Tidak mungkin dia berlaku curang. Malah dia bukanlah tergolong dalam 39% perempuan yang curang. Dirinya ada dalam kalangan 61% perempuan yang setia!
Balkoni itu seolah-olah tempat paling sesuai baginya untuk menyendiri. Irdina membiarkan air matanya terus bercucuran. Dia mahu menangis sepuas-puasnya kerana selama ini dia hanya menahan tangisan di dalam hati. Razif memperlakukannya seperti dia tidak mempunyai perasaan. Apa yang perlu dilakukannya hanyalah patuh dan taat tanpa soal. Tiba-tiba telefonnya berbunyi dan dia melihat di skrin, nama Razif yang tertera.
“Sayang, tengah buat apa tu?”
“Buat bodoh,” jawab Irdina, tidak bersemangat.
Razif ketawa mendengar jawapan Irdina. “Sayang, abang nak balik sekejap lagi. Sayang siaplah.”
“Irdina tak sempat masak lagi.”
“Tak payah masak. Kita makan di luar.”
“Baiklah.”
Irdina memasuki biliknya setelah Razif mematikan talian telefon. Dia menutup dan mengunci pintu balkoni. Kain tuala diambil dan dia melangkah ke bilik air untuk mandi. Setelah mandi, Irdina membuka almarinya dan melihat pakaian yang tergantung. Baju yang tinggal adalah baju kurung dan blaus longgar. Tiada baju berwarna merah jambu. Air matanya menitis tanpa sedar. Irdina mengenakan blaus berwarna biru dan skirt labuh berwarna putih. Tudungnya juga berwarna putih. Dia turun ke tingkat bawah sambil membawa beg tangannya. Irdina melihat ibu mertuanya belum bersiap lagi.
“Mak, Abang Razif kata nak ajak kita keluar. Kenapa mak tak siap lagi?”
“Irdina pergilah dengan Razif. Mak tak larat berjalan kalau nak membeli belah ni.” Mak Cik Sopiah memberi alasan.
“Tapi, nanti mak tinggal seorang diri pula.”
“Tak mengapa sebab mak dah biasa tinggal seorang diri. Lagipun Rosnah akan balik tak lama lagi.”
Irdina menganggukkan kepalanya dan duduk menunggu Razif di ruang hadapan. Seketika kemudian, Razif pulang dan memasuki rumah setelah memberi salam. Irdina menyambut kepulangan Razif dan mencium tangannya. Razif tersenyum gembira melihat Irdina.
“Abang, nak minum dulu?” tanya Irdina.
“Tak payahlah. Abang dah minum di klinik tadi,” kata Razif sambil memerhati pakaian Irdina dari atas ke bawah.
“Sayang, cuba pusing sekejap,” kata Razif.
Irdina menurut suruhan Razif dan memusingkan badannya.
“Mari naik ke bilik. Salin baju yang lebih sesuai,” kata Razif sambil menarik tangan  Irdina.
Mak Cik Sopiah hanya melihat tingkah laku Razif. Irdina menurut tanpa kata. Tetapi Mak Cik Sopiah dapat melihat wajah Irdina yang sugul dan kecewa. Razif membuka pintu bilik dan menyuruh Irdina menanggalkan semua pakaian tersebut sambil dia memilih pakaian yang lain.
“Kenapa baju ni tak boleh sedangkan longgar?” tanya Irdina. Lambat-lambat dia membuka butang blausnya.
“Bukan kerana baju tapi kain dan selendang tu. Kain tu nampak ketat di punggung dan selendang tu jarang,” kata Razif membantu Irdina menanggalkan pakaian. Tanpa kata, Irdina hanya menurut kehendak suaminya. Irdina mengambil baju kurung yang diberi oleh Razif dan mengenakannya. Razif hanya memerhati ketika Irdina memakai pakaian tersebut. Dia juga memilih tudung untuk Irdina. Setelah selesai berpakaian Irdina memerhati ke arah Razif. Razif mengangguk dan tersenyum lebar kerana Irdina patuh akan suruhannya.
Razif memeluk pinggang Irdina sambil menuruni tangga. Irdina hanya tersenyum tawar sambil mengikut langkah Razif. Mak Cik Sopiah memerhati wajah menantunya. Hatinya dapat menangkap perasaan yang tersirat di sebalik wajah itu.
 “Mak, Razif pergi dulu. Ada apa-apa yang mak nak pesan?” tanya Razif setelah berada di hadapan ibunya.
“Gembirakanlah hati Irdina.”
Irdina hampir menitiskan air mata mendengar kata-kata ibu mertuanya. Tetapi Razif yang tidak dapat memahami maksud ibunya itu tersenyum. “Mak jangan risau, Razif akan pastikan Irdina sentiasa gembira bila berada di sisi Razif,” kata Razif sambil memeluk lebih erat tubuh Irdina.
Irdina hanya mampu menundukkan wajah bagi menyembunyikan isi hatinya yang sebenar. Mak Cik Sopiah memerhati langkah mereka dengan perasaan yang bercampur. Gembira kerana anaknya mendapat pasangan hidup yang taat dan patuh kepada suami tetapi dalam masa yang sama sedih dengan sikap anaknya sendiri yang tidak prihatin.
Razif membawa Irdina mengunjungi pusat membeli belah terkenal di Kuala Lumpur dan memilih pakaian untuk Irdina mengikut citarasa Razif. Walaupun Razif bertanya apa yang ingin dibeli oleh Irdina tetapi keputusan untuk memilih tetap di tangan Razif. Pelbagai pakaian harian termasuk pakaian dalam dibeli tetapi kebanyakannya warna yang dipersetujui oleh Razif. Setelah penat membeli belah, Razif membawa Irdina makan di sebuah restoran. Razif memilih menu untuk mereka berdua.
“Sayang nak air apa?” tanya Razif.
“Sirap bandung.”
“Minuman tu bersusu, ambil minuman lain.”
“Air kosong,” kata Irdina kepada pelayan yang sedang mencatatkan pesanan.
Setelah pelayan itu berlalu, Razif menegur Irdina. “Sayang, kita nak makan nasi yang berlaukkan ikan. Jadi tak elok mengambil susu dengan ikan. Kalau makan makanan yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin serentak, tidak baik untuk kesihatan dan boleh mendatangkan penyakit. Contohnya susu dengan telur atau daging dengan susu. Kita kena mengimbangi makanan bersifat panas dengan sejuk. Ini adalah sunnah Nabi s.a.w.”
Irdina mengangguk lemah. Mengiyakan sahaja apa kata Razif. Razif menyambung, “Kalau sayang nak minum susu, elok tidak bercampur dengan makanan bersifat panas. Susu ni baik untuk membuang panas badan, menguatkan belakang, memperbaiki otak, memperbaharui pandangan mata dan membuang kelupaan.”
“Baiklah.” Jawab Irdina, bosan.
Setelah makanan yang dipesan tiba, Irdina makan tanpa banyak berbual. Dia lebih suka melayan perasaannya dan tidak mendengar dengan teliti apa yang diperkatakan oleh Razif. Selesai makan mereka ke surau berhampiran untuk menunaikan solat.
“Sayang… kalau sayang sudah dahulu, tunggu abang di sini. Jangan ke mana-mana.”
“Baiklah. Irdina masuk dulu.”
Razif mengangguk dan memerhati langkah Irdina masuk ke bahagian surau perempuan. Setelah kelibat Irdina hilang, Razif masuk ke surau lelaki. Irdina bersandar di dinding dan memerhati jemaah yang agak ramai di situ. Sengaja dia memberi peluang kepada orang lain untuk solat dahulu agar hatinya dapat ditenangkan. Tindakan Razif sepanjang hari itu amat melukakan hatinya. Tetapi dia tidak mempunyai pilihan kerana apa yang dipinta oleh Razif, tidak menyalahi Syariat.
‘Tenanglah hati.’ Bisik hati Irdina sambil melangkah mengambil giliran untuk bersolat. Selesai solat, Irdina keluar dari surau dan melihat Razif menantinya di bangku kayu.
Razif terus memeluk pinggang Irdina. “Ramai ke orang yang solat?”
“Ya. Maaflah sebab buat abang terpaksa menunggu.”
“Tak mengapa. Bukan salah sayang. Abang faham, tempat ni ramai orang.”
Irdina menurut langkah Razif menyusuri kedai dan butik pakaian. Razif mencari barang-barang yang dirasakan sesuai untuk Irdina. Mata Razif tertancap pada sehelai jubah moden berwarna hitam yang tergantung di sebuah butik.
“Sayang, cuba pakai yang ni. Abang nak tengok.” Razif memberikan baju tersebut kepada Irdina.
Irdina menyambutnya tanpa perasaan. Dia kemudiannya melangkah ke ruang persalinan. Seperti biasa, Razif turut masuk untuk melihat isterinya mencuba pakaian pilihannya. Walaupun Irdina tidak selesa, tetapi dia terpaksa menebalkan mukanya. Dia terasa malu dengan jurujual yang tersipu-sipu melihat perlakuan selamba Razif. Razif membantu  Irdina menanggalkan pakaian dan kemudian memakai jubah tersebut.  
“Sayang nampak cantik dalam jubah ni.” Puji Razif sambil matanya meneliti susuk tubuh Irdina. Pakaian tersebut terletak elok di tubuh Irdina.
Irdina hanya tersenyum dan kemudian menanggalkan jubah tersebut. Razif memegang jubah yang baru ditanggalkan itu sambil matanya memerhati Irdina mengenakan semula pakaiannya. Sudah terasa seperti hobinya pula melihat Irdina membuka dan memakai pakaian. Perlakuan Irdina yang bersahaja juga membuatkan dia merasakan Irdina rela diperlakukan sebegitu.
Razif membuka kunci bilik persalinan setelah memastikan pakaian Irdina telah tersarung kemas. Tangan kiri Razif menggenggam erat tangan Irdina. Razif mengeluarkan dompet dari saku seluarnya dengan tangan kanan dan menyua dompet tersebut hadapan Irdina. Irdina yang telah maklum, akan mengeluarkan wang dengan sebelah tangannya. Jurujual yang melihat perlakuan mereka berdua, tersenyum-senyum. Mungkin memikirkan begitu romantiknya perlakuan Razif. Irdina menyerahkan wang untuk pembayaran dan mengambil bakinya.Wang yang lebih akan dimasukkan ke dalam beg tangannya. Itu yang disuruh oleh Razif.
“Sayang nak apa-apa lagi tak?”
“Irdina rasa letihlah. Jom, kita balik.” Irdina sempat mengurut kakinya yang terasa kejang. Mungkin kerana lama berdiri dan berjalan.
“Baiklah. Sayang rasa sakit kaki ke?” Tanya Razif sambil menyentuh kaki Irdina.
“Lenguh sikit saja.”
“Hrmm… malam nanti abang tolong urutkan sayang, ya.” Razif tersenyum senang.
Irdina hanya mengangguk dan menghadiahkan senyuman. Apa yang dilakukannya kini hanyalah untuk menyenangkan hati Razif. Padanya jika suami gembira dan redha, Allah pasti akan memberikan ganjaran pahala yang tidak sedikit untuk dirinya. Bukan susah untuk seorang isteri mengutip pahala. Apa yang perlu dilakukan, patuh dan taat.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

razif...razif .. jgn over sgt .dari rasa syg dah jadi menyampah pulak....jgn sampai bini lari nanti....

Tanpa Nama berkata...

x suke r laki lau prangai cm2... ish33... melampau taw.. x prihatin lgsung,,.. nk ikot kate dye je... ooppss... sori terEMO sket... hehe

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Tanpa nama;
Betul tu. Kalau sayang isteri, jgn terlalu mengawal. Buruk akibatnya nanti. Terus ikuti cerita ini ya.

inc3 berkata...

Salam kak,

Baru ada kesempatan belek blog novel akak ni. Akan diterbitkan dalam bentuk novel ke cerita ni? Rasa marah pulak pada Razif. Haha.. Memiliki itu tidak sepatutnya menafikan hak. Takpe baru seminggu. Saya tunggu episod seterusnya. Caiyok2 kak..

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Waalaikumusalam Linda,
Terima kasih.
Novel ni tak hantar ke mana2 lg. Tp InsyaAllah akan dihantar ke editor juga. Kena tunggu giliran...