Malam itu, buat
pertama kalinya Irdina tidur di bilik Razif. Matanya masih tidak dapat
dilelapkan sedangkan Razif telah lama berdengkur. Dengkuran Razif dan suasana
baru di bilik tersebut membuatkannya sukar melelapkan mata. Hatinya berkeluh
kesah bila mengingati bahawa kehidupannya telah berubah begitu cepat. Dia tidak
mengenali dengan mendalam lelaki yang tidur di sebelahnya. Malah dia pernah
membenci lelaki itu.
Kini
lelaki itu telah mengawal segala pergerakannya malah penampilannya. Dia
seolah-olah tidak mempunyai hak untuk menentukan pilihannya sendiri. Warna
pakaiannya juga di tegur oleh Razif. Razif tidak menyukai pakaiannya yang
berwarna merah jambu dan semua pakaian tersebut akan diberi kepada Balkis.
Razif berjanji akan membeli pakaian yang baru untuknya.
Irdina
mengalihkan tangan Razif perlahan-lahan dari badannya. Dia bangun dan
menghampiri tingkap, melihat ke arah biliknya yang menjadi milik Balkis. Bilik
itu kelihatan gelap. Mungkin Balkis sedang nyenyak tidur ketika itu. Hatinya
merindui suasana dulu. Walaupun tidur seorang diri tetapi hatinya sentiasa
gembira berbanding sekarang. Perlahan-lahan dia membuka pintu balkoni dan
melangkah keluar. Pintu balkoni ditutup semula. Dia duduk di kerusi yang
terdapat di balkoni tersebut.
Razif
terjaga dan menyedari ketiadaan Irdina. Apabila mendapati Irdina tiada di bilik
air, dia turun ke tingkat bawah untuk mencari Irdina. Hati Razif menjadi risau
memikirkan keselamatan isterinya. Hampir seluruh ruang dicari tetapi tidak
ditemui.
‘Mana
Irdina pergi? Tak kan dah lari?’ bisik hati Razif, ragu.
Dia bimbang sikapnya yang agak tegas terhadap Irdina
mungkin menyebabkan Irdina bertindak begitu. Irdina dipaksa mengikut
kehendaknya tanpa kompromi. Padanya setiap inci tubuh badan serta jiwa Irdina
adalah kepunyaannya. Oleh itu dia berhak menentukan segalanya buat Irdina. Razif
naik semula ke tingkat atas lalu masuk ke biliknya. Dia melihat pakaian Irdina
masih berada di dalam almari. Malah beg tangannya juga masih di atas meja. Matanya
memandang sekeliling bilik tersebut dan akhirnya matanya terarah ke balkoni.
Razif menolak pintu balkoni dan hatinya mengucap syukur kerana isterinya berada
di situ.
Razif
melihat wajah Irdina yang tertidur di kerusi balkoni tersebut. Ada kesan basah
pada pipi Irdina. Razif mengusap lembut pipi Irdina membuatkan Irdina membuka
matanya.
“Kenapa sayang tidur di sini?” tanya Razif.
“Tadi
rasa nak ambil angin. Tak sangka tertidur pula.” Irdina memberi alasan.
“Marilah
kita masuk. Sejuk di sini,” kata Razif sambil memegang tangan Irdina. Razif
menutup dan mengunci pintu balkoni. Mereka naik semula ke katil dan berbaring.
Tangan Razif menggenggam kemas tangan Irdina.
“Sayang…
kalau sayang nak keluar ke balkoni lagi, jangan pakai pakaian begini. Pakaian
ini sesuai untuk abang saja. Orang lain tak boleh tengok kecantikan isteri
abang,” Razif mengiringkan badannya menghadap Irdina.
“Maaf,”
kata Irdina sepatah. Dia tahu baju tidur satin tanpa lengan berwarna hitam yang
dibeli oleh Razif itu agak singkat dan kelihatan seksi. ‘Waktu tengah malam
begini siapa yang akan berada di luar rumah?’ fikir Irdina.
“Sayang,
apa yang mengganggu fikiran sayang?” tanya Razif sambil membelai rambut Irdina.
“Tak
ada apa. Mungkin tempat baru, suasana baru, baju baru dan segala-galanya baru
buat diri Irdina.”
Razif
tersenyum mendengar kata-kata Irdina. “Esok abang nak ajak sayang beli baju
baru. Sayang nak beli di mana?
“Tak
payah susah-susah. Abangkan perlu ke klinik?”
“Lepas
abang balik, kita pergilah. Kita pergi Mid Valley Megamall.” Razif membuat
keputusan.
Irdina
tersenyum bagi menyenangkan hati Razif. Razif mengucup dahi Irdina. “Tidurlah sayang.”
Razif memeluk tubuh isterinya. Irdina memejamkan matanya dan lama kelamaan dia
terlelap juga.
……………………………………………
Irdina menolong Mak
Cik Sopiah menyiapkan sarapan di dapur. Mak Cik Sopiah menyuruh Irdina
menyediakan air untuk Razif. Irdina kemudiannya membawa air dan sarapan ke meja
makan. Dia melihat Razif sedang membaca akhbar di sofa hadapan.
“Abang…
minum dulu,” ajak Irdina.
Razif
tidak mendengar ajakan Irdina kerana sedang asyik membaca.
“Abang,
marilah minum dulu. Nanti sejuk pula makanan tu,” kata Irdina sambil berdiri di
hadapan Razif dan melipat sedikit akhbar itu.
“Ada
apa sayang?” tanya Razif, hairan.
“Dua
kali Irdina ajak abang tak dengar ke?”
“Nak
ke mana?”
Irdina
mengambil akhbar di tangan Razif dan menarik tangan Razif agar mengikutnya.
Razif hanya menurut langkah Irdina ke meja makan. Irdina menarik kerusi untuk
Razif dan meminta Razif duduk di situ. Dia menuangkan air dan menyendukkan nasi
goreng ke pinggan Razif.
“Abang…
makanlah,” kata Irdina sambil duduk di sebelah Razif.
“Sayang,
kita kongsi makan macam di penempatan banjir tu.” Pinta Razif.
Tanpa
bantahan, Irdina memasukkan sedikit kicap di atas nasi goreng itu lalu
memusingkan badannya menghadap Razif. Nasi itu disuapkan ke mulut Razif dan
kemudian ke mulutnya. Dia melebihkan suapan ke mulut Razif berbanding dirinya. Mak
Cik Sopiah yang melihat dari dapur hanya tersenyum gembira. Dia dapat melihat
kebahagiaan pada wajah anak lelakinya itu.
Setelah
selesai makan, Razif meminta diri dari ibunya untuk ke tempat kerja. Irdina
mencium tangan Razif dan Razif mengucup dahi Irdina sebelum Razif melangkah ke
kereta. Irdina menutup pintu dan melangkah ke meja makan.
“Mak,
kerja apa yang perlu Irdina buat hari ni?” tanya Irdina seolah-olah bertanyakan
ketuanya di pejabat.
“Duduklah
dulu. Banyak masa lagi nak buat kerja tu,” kata Mak Cik Sopiah yang sedang
menikmati makanannya.
“Irdina
dah biasa buat kerja. Tak reti pula nak duduk saja,” kata Irdina jujur.
“Kenapa
berhenti kerja? Sepatutnya Irdina boleh terus bekerja jika mahu.”
“Abang
Razif, tak bagi kerja.” Jawab Irdina perlahan.
Mak
Cik Sopiah dapat membaca riak wajah Irdina yang muram. Dia mengagak Irdina
tidak gembira dengan keputusan Razif.
“Irdina…
kalau Irdina nak, mak boleh pujuk Razif supaya izinkan Irdina bekerja.”
“Tak
mengapalah mak. Irdina dah hantar surat perletakkan jawatan dan rasa malu pula
nak memohon kembali. Biarlah Irdina jaga mak dan rumah tangga seperti yang Abang
Razif mahu.”
“Irdina…
kalau ada apa-apa yang terbuku di hati, jangan simpan. Bawalah berbincang agar
tiada rasa kecewa di hati yang boleh membawa masalah di kemudian hari,” nasihat
Mak Cik Sopiah.
Irdina
mendiamkan diri lalu menolong ibu mertuanya mengemas meja dan dapur. Irdina
melakukan kerja-kerja mencuci pakaian dan mengemas rumah. Selesai mengemas, dia
mengambil mop dan mengelap lantai.
“Irdina,
cukuplah dulu. Mak tengok Irdina tak henti bekerja dari tadi.”
“Tak
mengapa mak,” kata Irdina sambil meneruskan kerjanya.
“Marilah
temankan mak minum,” kata Mak Cik Sopiah sambil memegang tangan Irdina.
Irdina
terpaksa menghentikan kerjanya dan mengikut ibu mertuanya minum di dapur.
“Irdina,
macam mana Razif layan Irdina?” tanya Mak Cik Sopiah sambil melihat wajah
Irdina.
“Baik.”
“Mak
nampak Irdina macam tidak gembira. Adakah apa-apa yang Irdina sembunyikan?”
“Tak
ada.”
“Irdina,
mak tahu Irdina sedih tetapi tak tahu apa puncanya. Kalau Irdina terus berdiam
diri, masalah tak akan selesai. Cuba ceritakan apa masalah Irdina.” Mak Cik
Sopiah cuba menyelidik.
“Tak
mengapalah mak. Masalah kecil saja. Mak tak perlu risau,” kata Irdina sambil
tersenyum kepada ibu mertuanya.
Mak
Cik Sopiah hanya mendiamkan dirinya. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang
mengganggu fikiran menantunya itu. Sikap Irdina juga agak berbeza dan tidak
ceria seperti mula-mula dia mengenali Irdina dulu.
“Irdina,
pergilah berehat dulu di bilik,” kata Mak Cik Sopiah setelah melihat Irdina
ingin menyambung kerja mengelap lantai.
“Tapi,
kerja Irdina tak selesai lagi.”
“Tak
mengapa. Bukannya kotor sangat lantai ni. Pergilah berehat.”
Irdina
terpaksa mengikut suruhan ibu mertuanya dan naik ke bilik atas. Di dalam bilik,
dia mengemas dan mencuci bilik air. Setelah itu, dia menyusun barang dan
mengelap meja. Habis semua sudut dikemasnya. Dia melangkah keluar balkoni
setelah mengenakan tudung kepala. Dia duduk di kerusi sambil memandang ke arah
biliknya yang dahulu.
Airmatanya
mengalir membasahi pipi. Sangkar emas yang disediakan oleh Razif benar-benar
menyiksa jiwa dan raganya. Dia melihat telefon kesayangannya yang telah
dipantau oleh Razif. Malah setiap hari Razif akan memeriksa telefon Irdina. Dia
berkecil hati dengan sikap Razif yang seolah-olah meraguinya. Dia tahu Razif
begitu takut kejadian yang menimpa abang dan sepupunya berulang. Tetapi
tindakan Razif dirasakannya tidak wajar. Tidak mungkin dia berlaku curang.
Malah dia bukanlah tergolong dalam 39% perempuan yang curang. Dirinya ada dalam
kalangan 61% perempuan yang setia!
Balkoni
itu seolah-olah tempat paling sesuai baginya untuk menyendiri. Irdina
membiarkan air matanya terus bercucuran. Dia mahu menangis sepuas-puasnya
kerana selama ini dia hanya menahan tangisan di dalam hati. Razif
memperlakukannya seperti dia tidak mempunyai perasaan. Apa yang perlu
dilakukannya hanyalah patuh dan taat tanpa soal. Tiba-tiba telefonnya berbunyi
dan dia melihat di skrin, nama Razif yang tertera.
“Sayang,
tengah buat apa tu?”
“Buat
bodoh,” jawab Irdina, tidak bersemangat.
Razif
ketawa mendengar jawapan Irdina. “Sayang, abang nak balik sekejap lagi. Sayang
siaplah.”
“Irdina
tak sempat masak lagi.”
“Tak
payah masak. Kita makan di luar.”
“Baiklah.”
Irdina
memasuki biliknya setelah Razif mematikan talian telefon. Dia menutup dan
mengunci pintu balkoni. Kain tuala diambil dan dia melangkah ke bilik air untuk
mandi. Setelah mandi, Irdina membuka almarinya dan melihat pakaian yang
tergantung. Baju yang tinggal adalah baju kurung dan blaus longgar. Tiada baju
berwarna merah jambu. Air matanya menitis tanpa sedar. Irdina mengenakan blaus
berwarna biru dan skirt labuh berwarna putih. Tudungnya juga berwarna putih.
Dia turun ke tingkat bawah sambil membawa beg tangannya. Irdina melihat ibu
mertuanya belum bersiap lagi.
“Mak,
Abang Razif kata nak ajak kita keluar. Kenapa mak tak siap lagi?”
“Irdina
pergilah dengan Razif. Mak tak larat berjalan kalau nak membeli belah ni.” Mak
Cik Sopiah memberi alasan.
“Tapi,
nanti mak tinggal seorang diri pula.”
“Tak
mengapa sebab mak dah biasa tinggal seorang diri. Lagipun Rosnah akan balik tak
lama lagi.”
Irdina menganggukkan
kepalanya dan duduk menunggu Razif di ruang hadapan. Seketika kemudian, Razif
pulang dan memasuki rumah setelah memberi salam. Irdina menyambut kepulangan
Razif dan mencium tangannya. Razif tersenyum gembira melihat Irdina.
“Abang,
nak minum dulu?” tanya Irdina.
“Tak
payahlah. Abang dah minum di klinik tadi,” kata Razif sambil memerhati pakaian
Irdina dari atas ke bawah.
“Sayang,
cuba pusing sekejap,” kata Razif.
Irdina
menurut suruhan Razif dan memusingkan badannya.
“Mari
naik ke bilik. Salin baju yang lebih sesuai,” kata Razif sambil menarik
tangan Irdina.
Mak
Cik Sopiah hanya melihat tingkah laku Razif. Irdina menurut tanpa kata. Tetapi Mak
Cik Sopiah dapat melihat wajah Irdina yang sugul dan kecewa. Razif membuka
pintu bilik dan menyuruh Irdina menanggalkan semua pakaian tersebut sambil dia
memilih pakaian yang lain.
“Kenapa
baju ni tak boleh sedangkan longgar?” tanya Irdina. Lambat-lambat dia membuka
butang blausnya.
“Bukan
kerana baju tapi kain dan selendang tu. Kain tu nampak ketat di punggung dan
selendang tu jarang,” kata Razif membantu Irdina menanggalkan pakaian. Tanpa
kata, Irdina hanya menurut kehendak suaminya. Irdina mengambil baju kurung yang
diberi oleh Razif dan mengenakannya. Razif hanya memerhati ketika Irdina memakai
pakaian tersebut. Dia juga memilih tudung untuk Irdina. Setelah selesai
berpakaian Irdina memerhati ke arah Razif. Razif mengangguk dan tersenyum lebar
kerana Irdina patuh akan suruhannya.
Razif
memeluk pinggang Irdina sambil menuruni tangga. Irdina hanya tersenyum tawar
sambil mengikut langkah Razif. Mak Cik Sopiah memerhati wajah menantunya.
Hatinya dapat menangkap perasaan yang tersirat di sebalik wajah itu.
“Mak, Razif pergi dulu. Ada apa-apa yang mak
nak pesan?” tanya Razif setelah berada di hadapan ibunya.
“Gembirakanlah
hati Irdina.”
Irdina
hampir menitiskan air mata mendengar kata-kata ibu mertuanya. Tetapi Razif yang
tidak dapat memahami maksud ibunya itu tersenyum. “Mak jangan risau, Razif akan
pastikan Irdina sentiasa gembira bila berada di sisi Razif,” kata Razif sambil
memeluk lebih erat tubuh Irdina.
Irdina
hanya mampu menundukkan wajah bagi menyembunyikan isi hatinya yang sebenar. Mak
Cik Sopiah memerhati langkah mereka dengan perasaan yang bercampur. Gembira
kerana anaknya mendapat pasangan hidup yang taat dan patuh kepada suami tetapi
dalam masa yang sama sedih dengan sikap anaknya sendiri yang tidak prihatin.
Razif
membawa Irdina mengunjungi pusat membeli belah terkenal di Kuala Lumpur dan
memilih pakaian untuk Irdina mengikut citarasa Razif. Walaupun Razif bertanya
apa yang ingin dibeli oleh Irdina tetapi keputusan untuk memilih tetap di
tangan Razif. Pelbagai pakaian harian termasuk pakaian dalam dibeli tetapi
kebanyakannya warna yang dipersetujui oleh Razif. Setelah penat membeli belah,
Razif membawa Irdina makan di sebuah restoran. Razif memilih menu untuk mereka
berdua.
“Sayang
nak air apa?” tanya Razif.
“Sirap
bandung.”
“Minuman
tu bersusu, ambil minuman lain.”
“Air
kosong,” kata Irdina kepada pelayan yang sedang mencatatkan pesanan.
Setelah
pelayan itu berlalu, Razif menegur Irdina. “Sayang, kita nak makan nasi yang
berlaukkan ikan. Jadi tak elok mengambil susu dengan ikan. Kalau makan makanan
yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin serentak, tidak baik
untuk kesihatan dan boleh mendatangkan penyakit. Contohnya susu dengan telur
atau daging dengan susu. Kita kena mengimbangi makanan bersifat panas dengan
sejuk. Ini adalah sunnah Nabi s.a.w.”
Irdina
mengangguk lemah. Mengiyakan sahaja apa kata Razif. Razif menyambung, “Kalau
sayang nak minum susu, elok tidak bercampur dengan makanan bersifat panas. Susu
ni baik untuk membuang panas badan, menguatkan belakang, memperbaiki otak,
memperbaharui pandangan mata dan membuang kelupaan.”
“Baiklah.”
Jawab Irdina, bosan.
Setelah
makanan yang dipesan tiba, Irdina makan tanpa banyak berbual. Dia lebih suka
melayan perasaannya dan tidak mendengar dengan teliti apa yang diperkatakan
oleh Razif. Selesai makan mereka ke surau berhampiran untuk menunaikan solat.
“Sayang…
kalau sayang sudah dahulu, tunggu abang di sini. Jangan ke mana-mana.”
“Baiklah.
Irdina masuk dulu.”
Razif
mengangguk dan memerhati langkah Irdina masuk ke bahagian surau perempuan.
Setelah kelibat Irdina hilang, Razif masuk ke surau lelaki. Irdina bersandar di
dinding dan memerhati jemaah yang agak ramai di situ. Sengaja dia memberi
peluang kepada orang lain untuk solat dahulu agar hatinya dapat ditenangkan.
Tindakan Razif sepanjang hari itu amat melukakan hatinya. Tetapi dia tidak
mempunyai pilihan kerana apa yang dipinta oleh Razif, tidak menyalahi Syariat.
‘Tenanglah
hati.’ Bisik hati Irdina sambil melangkah mengambil giliran untuk bersolat.
Selesai solat, Irdina keluar dari surau dan melihat Razif menantinya di bangku
kayu.
Razif
terus memeluk pinggang Irdina. “Ramai ke orang yang solat?”
“Ya.
Maaflah sebab buat abang terpaksa menunggu.”
“Tak
mengapa. Bukan salah sayang. Abang faham, tempat ni ramai orang.”
Irdina
menurut langkah Razif menyusuri kedai dan butik pakaian. Razif mencari
barang-barang yang dirasakan sesuai untuk Irdina. Mata Razif tertancap pada
sehelai jubah moden berwarna hitam yang tergantung di sebuah butik.
“Sayang,
cuba pakai yang ni. Abang nak tengok.” Razif memberikan baju tersebut kepada
Irdina.
Irdina
menyambutnya tanpa perasaan. Dia kemudiannya melangkah ke ruang persalinan.
Seperti biasa, Razif turut masuk untuk melihat isterinya mencuba pakaian
pilihannya. Walaupun Irdina tidak selesa, tetapi dia terpaksa menebalkan
mukanya. Dia terasa malu dengan jurujual yang tersipu-sipu melihat perlakuan selamba
Razif. Razif membantu Irdina
menanggalkan pakaian dan kemudian memakai jubah tersebut.
“Sayang
nampak cantik dalam jubah ni.” Puji Razif sambil matanya meneliti susuk tubuh
Irdina. Pakaian tersebut terletak elok di tubuh Irdina.
Irdina
hanya tersenyum dan kemudian menanggalkan jubah tersebut. Razif memegang jubah
yang baru ditanggalkan itu sambil matanya memerhati Irdina mengenakan semula
pakaiannya. Sudah terasa seperti hobinya pula melihat Irdina membuka dan
memakai pakaian. Perlakuan Irdina yang bersahaja juga membuatkan dia merasakan
Irdina rela diperlakukan sebegitu.
Razif
membuka kunci bilik persalinan setelah memastikan pakaian Irdina telah
tersarung kemas. Tangan kiri Razif menggenggam erat tangan Irdina. Razif
mengeluarkan dompet dari saku seluarnya dengan tangan kanan dan menyua dompet
tersebut hadapan Irdina. Irdina yang telah maklum, akan mengeluarkan wang
dengan sebelah tangannya. Jurujual yang melihat perlakuan mereka berdua,
tersenyum-senyum. Mungkin memikirkan begitu romantiknya perlakuan Razif. Irdina
menyerahkan wang untuk pembayaran dan mengambil bakinya.Wang yang lebih akan
dimasukkan ke dalam beg tangannya. Itu yang disuruh oleh Razif.
“Sayang
nak apa-apa lagi tak?”
“Irdina
rasa letihlah. Jom, kita balik.” Irdina sempat mengurut kakinya yang terasa
kejang. Mungkin kerana lama berdiri dan berjalan.
“Baiklah.
Sayang rasa sakit kaki ke?” Tanya Razif sambil menyentuh kaki Irdina.
“Lenguh
sikit saja.”
“Hrmm…
malam nanti abang tolong urutkan sayang, ya.” Razif tersenyum senang.
Irdina
hanya mengangguk dan menghadiahkan senyuman. Apa yang dilakukannya kini
hanyalah untuk menyenangkan hati Razif. Padanya jika suami gembira dan redha,
Allah pasti akan memberikan ganjaran pahala yang tidak sedikit untuk dirinya.
Bukan susah untuk seorang isteri mengutip pahala. Apa yang perlu dilakukan,
patuh dan taat.
5 ulasan:
razif...razif .. jgn over sgt .dari rasa syg dah jadi menyampah pulak....jgn sampai bini lari nanti....
x suke r laki lau prangai cm2... ish33... melampau taw.. x prihatin lgsung,,.. nk ikot kate dye je... ooppss... sori terEMO sket... hehe
Tanpa nama;
Betul tu. Kalau sayang isteri, jgn terlalu mengawal. Buruk akibatnya nanti. Terus ikuti cerita ini ya.
Salam kak,
Baru ada kesempatan belek blog novel akak ni. Akan diterbitkan dalam bentuk novel ke cerita ni? Rasa marah pulak pada Razif. Haha.. Memiliki itu tidak sepatutnya menafikan hak. Takpe baru seminggu. Saya tunggu episod seterusnya. Caiyok2 kak..
Waalaikumusalam Linda,
Terima kasih.
Novel ni tak hantar ke mana2 lg. Tp InsyaAllah akan dihantar ke editor juga. Kena tunggu giliran...
Catat Ulasan