Longlai
langkah Chan Chee Hong memasuki rumahnya setelah meletakkan motorsikal di bawah
pokok. Bapanya sedang duduk di sofa sambil membaca akhbar. Adiknya sedang
memasak sesuatu di dapur untuk makan tengah hari mereka.
“Chee
Hong, papa ucapkan takziah untuk cikgu kamu.”
“Terima
kasih, pa. Mana papa tahu?” Chan Chee Hong kehairanan kerana sewaktu dia keluar
pagi tadi bapanya masih tidur. Mungkin adiknya yang memberitahu akan hal
tersebut.
“Ada
dalam akhbar ini beritanya,” jawab bapanya sambil membuka helaian yang
memuatkan berita tersebut. Chan Chee Hong menghampiri bapanya dan melihat
berita ringkas yang ditulis di dalam akhbar berbahasa Mandarin tersebut.
Matanya
leka membaca ayat yang tertera di dada akhbar tersebut. Adiknya yang telah siap
menghidangkan makanan, memanggil mereka berdua untuk makan tengah hari. Akhbar
diletakkan dan mereka bergerak menuju meja makan. Chan Lee Fong memang boleh
memasak walaupun kadangkala masakannya tidak sedap. Dia tetap akan memasak
untuk mereka apabila pulang bercuti. Mungkin itu sahajalah caranya dan masa
untuk mereka berada bersama-sama. Selebihnya mereka akan membuat hal
masing-masing.
Di
atas meja telah terhidang ketam masak Kam Heong atau Golden Fragrance yang dihidangkan dengan nasi putih dan di padankan
dengan oyster sauced Kai-lan. Chan
Lee Fong sememangnya lebih gemar memasak makanan laut dan seolah-olah menjaga
pemakanannya. Bapanya pula tidak banyak kerenah tentang soal makan dan apa
sahaja yang dimasak oleh anaknya dia akan makan. Ini cukup melegakan Chan Chee
Hong kerana secara tidak langsung dia tidak perlu mencari alasan menghindari
makanan tidak halal.
Chan
Chee Hong menolong adiknya membersihkan meja makan dan membasuh pinggan.
Sesekali mereka bercerita sambil ketawa mesra. Bapanya telah keluar tanpa
memberitahu arah tujuan, suatu kebiasaan dalam hidup mereka. Tiba-tiba mereka
terdengar suara perempuan memanggil-manggil nama mereka dari arah hadapan.
Mereka segera mendapatkan perempuan tersebut. Perempuan itu berdiri sambil
memegang pintu pagar yang terkunci.
‘Perempuan
semalam,’ bisik hati Chan Chee Hong. ‘Siapa dia sebenarnya? Kenapa dia ke mari
lagi?’
“Chee
Hong… Lee Fong, ini mommy.” Perempuan tersebut memperkenalkan diri.
“Mommy?”
tanya mereka kehairanan.
“Ya,
mommy… ibu kamu berdua. Kamu tak ingat mommy?”
Kedua-duanya
menggeleng serentak. Tergambar kekecewaan di wajah perempuan yang berpenampilan
moden dan bergaya itu. Perempuan itu meminta mereka membukakan pintu pagar
supaya dia dapat berbicara dengan lebih selesa. Kedua-dua mereka teragak-agak
untuk membuka pintu pagar kerana bapa mereka pernah berpesan agar tidak
menerima tetamu yang tidak dikenali jika dia tiada di rumah.
“Mommy
rindukan anak-anak mommy. Tahun Baru ni, mommy nak beraya dengan kamu berdua
sebab itu mommy pulang ke Malaysia,” jelas Mary, ibu kandung mereka berdua.
Mereka
makin keliru apabila perempuan itu mengatakan dia terpaksa meninggalkan mereka
sewaktu masih kecil kerana ingin mencari rezeki di luar negara. “Mommy kesal
kerana meninggalkan kamu berdua. Sepatutnya mommy berkeras membawa kamu berdua
ke Amerika sejak dari dulu lagi. Sekarang mommy sudah senang dan mommy
bercadang untuk mengajak kamu berdua tinggal dengan mommy di Amerika,” jelas
Mary sambil tersenyum.
Chan
Chee Hong dan adiknya saling berpandangan. Tiada kata yang terkeluar dari mulut
mereka. Hanya wajah yang keliru menyapa ibu mereka.
“Mary!!
Berapa kali aku kata, jangan ganggu mereka,” sergah bapa mereka setelah
memberhentikan kenderaannya secara terburu-buru.
Mereka
bertiga terkejut terutama sekali Mary kerana dia tidak menyangka bekas suaminya
itu akan segera pulang sebelum sempat dia memujuk anak-anaknya. Dia sebenarnya
telah memerhatikan dari jauh rumah itu dan bila dia melihat bekas suaminya itu
keluar, peluang untuk dia berjumpa anak-anak terbuka luas. Tapi kini peluang
itu tertutup dengan kehadiran bekas suaminya di situ.
Chan
Koon Cheng segera mengarahkan mereka berdua
masuk ke dalam rumah dan arahan tersebut dipatuhi oleh mereka. Mereka mengintai
di sebalik tirai pertikaman lidah yang berlaku antara bapa dan ibu mereka.
Tanpa sedar, kini mereka telah menjadi rebutan antara ibu yang tidak dikenali
dan bapa yang disayangi. Seketika kemudian pertengkaran tersebut berakhir dan
Mary menaiki kereta dengan marah. Pedal minyak sengaja ditekan kuat, tanda
protes.
Chan
Koon Cheng masuk ke dalam rumah dan mendapatkan anak-anaknya yang sedang
menikus di sofa. Hatinya merasa hiba melihat mereka berdua. Kasih sayangnya
pada mereka tidak berbelah bagi walaupun dia sedar kekurangan dirinya sebagai
seorang bapa. Dia rasa bangga kerana anak-anaknya itu menurut kata dan lebih
bersopan semenjak bersekolah di sekolah berasrama penuh bermula dari tingkatan
satu. Mungkin pendidikan di situ telah membentuk sikap mereka.
“
Lain kali jika perempuan itu datang lagi, jangan keluar. Papa tak suka kamu
berdua jumpa dia. Dia perempuan jahat,” kata Chan
Koon Cheng, beremosi.
Mereka
hanya memerhati wajah bapa mereka tetapi seketika kemudian menganggukkan
kepala.
“Siapa
perempuan tu, pa? Kenapa dia mengaku yang dia mommy kami?” tanya Chan Lee Fong.
“Mommy?? Orang tu tak layak dipanggil mommy. Dia
sanggup lari ke Amerika mengikut jantan kulit putih, tinggalkan kamu berdua
yang masih kecil semata-mata untuk kesenangan diri dia. Kamu tahu tak, masa tu
abang kamu baru berusia 6 tahun dan kamu 3 tahun. Tapi dia sanggup tinggalkan
kamu. Kenapa sekarang baru dia nak mengaku kamu berdua anaknya? Papa
betul-betul sakit hati dan terhina dengan perbuatannya. Padanya, papa ni ibarat
sampah.”
Chan Koon Cheng meraup
wajahnya. Ada penderitaan yang berat di
dalam hatinya. Selama ini dia merahsiakan dengan baik kewujudan Mary dari
pengetahuan anak-anaknya. Apabila mereka bertanya, dia memberitahu bahawa ibu
mereka telah meninggal dunia ketika mereka kecil lagi. Maklumat itu dimasukkan
ke minda anak-anak sejak dulu dan semenjak itu anak-anaknya tidak pernah
bertanyakan ibu mereka lagi.
Sebenarnya
Marylah punca dia memabukkan diri sejak dahulu lagi. Lama-kelamaan tabiat itu
menular dan melekat menjadi sebahagian hidupnya pula. Tanpa arak hidupnya tidak
lengkap. Bukan dia tidak pernah menghentikan tabiat tersebut tetapi dia tidak
mempunyai kekuatan diri. Apa yang mampu dilakukannya ialah mengawal diri agar
tidak mabuk apabila bertugas di sekolah tetapi sesekali terbabas juga.
Apabila
dia melihat anak-anaknya masih dalam kebingungan, dia merasa simpati kepada
mereka. Mereka kekurangan kasih sayang seorang ibu dan dia selaku bapa pun
tidak banyak membantu. “Papa sayangkan kamu berdua walaupun papa sedar yang
papa bukanlah bapa yang terbaik untuk kamu berdua. Janji pada papa, walau apa
pun yang terjadi jangan tinggalkan papa.” Rayunya meruntun jiwa. Ada air jernih
yang mengalir di pipinya.
Chan
Chee Hong dan Chan Lee Fong bangun serentak dan terus memeluk bapa mereka. “Pa,
walau apa pun terjadi kami tetap sayangkan papa. Papa adalah papa terbaik untuk
kami kerana telah membesarkan kami sendirian sejak kecil,” kata Chan Chee Hong
dan diakui oleh adiknya.
“Kami
sayangkan papa.” Mereka menyebutnya secara serentak.
Chan
Koon Cheng merasakan pelukan yang kemas dari kedua-dua anaknya itu. Dia merasa
bahagia dengan pengakuan itu. Senyum terukir di bibirnya lantas dia mencium
kepala mereka yang berada dipelukannya kiri dan kanan.
“Pergi
siapkan beg pakaian kamu. Kita pulang rumah datuk petang nanti. Papa tak mahu
perempuan tu datang ganggu kita lagi,” arah Chan Koon Cheng sambil
meleraikan pelukannya.
“Baiklah.
Kami pergi siapkan sekarang,” jawab Chan Lee Fong mewakili abangnya sekali.
Chan Chee Hong agak tidak selesa dengan keputusan bapanya. Pulang awal ke rumah
datuk akan menyukarkannya mengamalkan ibadat solat dan juga mengelakkan diri
makanan tidak halal. Persoalan itu tiba-tiba menyerbu di kalbu. Mereka
melangkah ke tingkat atas dan masuk ke bilik masing-masing.
Chan
Lee Fong terperasan akan perubahan air muka abangnya apabila bapa mereka ingin
pulang awal ke rumah datuk. Dia tidak pasti kenapa tetapi di dalam dirinya juga
merasakan ketidak selesaan itu.
Chan
Chee Hong berbaring di katilnya sambil memicit-micit kepala yang tidak sakit.
Dia mesti mencari jalan untuk mengatasi masalah yang dialaminya itu. Tangannya
mencapai telefon dan mendail nombor ibu angkatnya Ustazah Habsah. Pada Ustazah
Habsah dia mengadukan masalahnya dan meminta pendapat Ustazah Habsah bagaimana
hendak melakukan ibadat solat tanpa diketahui oleh orang lain dan mengelakkan
diri daripada memakan benda haram.
Ustazah
Habsah menerangkan, “Sekiranya ragu-ragu
tentang status halal makanan yang dihidangkan, jangan makan makanan yang
disyaki tersebut dan makan makanan lain yang ada pada ketika itu. Makan
seperti biasa dengan mereka secara penuh sopan, mesra dan berhikmah. Chan kena
bijak menyesuaikan diri dan kalau boleh belilah makanan halal yang siap dimasak
atau Chan makan di luar saja. Bila nak solat kunci pintu bilik. Boleh buat
solat Jamak dan Qasar kerana jarak rumah datuk Chan cukup memenuhi syarat solat
Jamak dan Qasar. Rujuk buku panduan solat. Kalau Chan tak faham apa-apa lagi
nanti telefon ummi atau babah ” Ummi dan babah adalah merujuk kepada diri
Ustazah Habsah dan suaminya Ustaz Ramli.
“Baiklah
ummi, Insya Allah saya akan ikut semua pesanan tu. Tolong doakan saya agar
selamat dan sentiasa dipelihara Allah,” jawab Chan Chee Hong.
“Insya
Allah, mudah-mudahan Chan sentiasa dilindungi Allah dan dijauhkan dari segala
bahaya.”
“Saya
minta diri dulu ummi, nak solat Zohor dan berkemas-kemas.”
“Baiklah…
Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Talian dimatikan.
Sebelum
sempat dia melangkah ke bilik air, pintu biliknya dibuka secara mengejut.
Terhenti langkahnya dan dia memerhatikan wajah adiknya yang sedang memandang
dengan penuh tanda tanya. Chan Lee Fong telah terdengar perbualan abangnya itu
ketika dia hendak memasuki bilik abangnya yang tidak berkunci.
“Abang
cakap dengan siapa tadi? Siapa ummi? Solat? Abang…”
Chan
Chee Hong terus menutup mulut adiknya dengan telapak tangannya dan memberi
isyarat agar diam. Apabila adiknya mengangguk, tangannya dilepaskan dan terus
mengunci pintu bilik. Adiknya disuruh duduk di kerusi.
“Lee
Fong, abang harap awak tak dedahkan rahsia abang kepada papa atau mana-mana
ahli keluarga yang lain. Abang dah memeluk agama Islam, tapi tak boleh
didaftarkan lagi sehingga umur abang cukup 18 tahun. Islam agama kebenaran dan
abang telah mendapat hidayah Allah. Ummi sebenarnya adalah emak angkat dan juga
guru agama abang.”
“Saya
tak terkejut dengan pilihan abang. Kita sama-sama belajar tentang agama Islam
di sekolah. Saya pun pernah terfikir untuk memeluk agama Islam tetapi takut
tekanan keluarga. Mereka tentu marah dan bencikan kita.” Jawapan Chan Lee Fong
agak melegakan hati Chan Chee Hong.
“Tolong
abang rahsiakan akan hal ini. Bila abang dah berumur 18 tahun dan sudah
mendaftar sebagai seorang Islam, baru abang beritahu papa.”
“Abang
jangan takut, saya akan tolong abang rahsiakan hal ini dan saya berjanji bila
kita ke rumah datuk, saya akan bantu abang dalam soal makanan halal. Saya
sendiri pun cuba elakkan makanan yang sebegitu. Kalau abang perasan, saya hanya
makan makanan laut tetapi tidak jenis-jenis daging.”
“Terima
kasih Lee Fong. Abang akan balas segala jasa baik awak dan jika satu hari
nanti, awak memilih Islam abang akan lindungi awak dari segala tekanan dan
masalah yang datang,” kata Chan Chee Hong penuh keazaman sambil tangan adiknya
digenggam dan dicium bertalu-talu.
Chan
Lee Fong terharu dengan pengakuan abangnya dan kini teka-teki tentang agama
abangnya telah terjawab.
“Okeylah, abang. Saya nak kemas baju dulu. Ini CD yang
saya pinjam semalam.” Chan Lee Fong menyerahkan CD lagu kepunyaan abangnya.
Tujuan
asalnya ke bilik itu adalah untuk memulangkan CD tersebut tetapi tidak disangka
dapat mengetahui rahsia abangnya pula. Chan Chee Hong mengunci pintu dan terus
ke bilik air untuk berwuduk. Dia memanjatkan kata-kata syukur kerana adiknya
dapat memahami situasi dirinya sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan