Pengikut

Isnin, 26 November 2012

I LOVE YOU CIKGU - Bab 10

        Tanah perkuburan Assam Kumbang, Taiping, Perak. (sumber gambar : Pak cik Google.)

Sara Raihana memerhatikan persekitaran tanah perkuburan yang bersih, kemas dan  tersusun rapi dengan susunan kubur mengikut urutan nombor. Para pengunjung boleh menyemak kedudukan kubur melalui nombor pada pelan yang terdapat di pintu masuk utama. Kenapa dia tidak perasan semua itu sebelum ini? Dia melangkah ke arah pondok yang dibina bagi menempatkan tikar dan payung yang telah diwakafkan. Segera tangannya mengambil sebidang tikar dan payung yang terdapat di situ. Dia melangkah melalui lorong pejalan kaki yang dibina antara kuburan. Kubur Izzat Hafis dan bapa mentuanya terletak di bahagian tengah barisan kedua.

Dia membentang tikar tersebut di tepi kubur suaminya sambil dibantu oleh Pak Majid dan Mak Cik Rohaya. Pak Majid duduk di bahagian kepala kubur dan diikuti oleh isterinya dan Sara Raihana yang memegang payung. Bacaan Yassin dibaca bersama-sama dan setelah selesai air disiram dan bunga ditabur memenuhi kedua-dua kuburan tersebut. Inilah kali kedua Sara Raihana mengunjungi pusara suaminya setelah lebih seminggu Izzat Hafis meninggal.
Pak Majid dan Mak Cik Rohaya dalam perjalanan menghantar Sara Raihana pulang ke rumah sewanya tetapi mereka singgah dahulu di tanah perkuburan tersebut atas permintaan Sara Raihana. Keadaan Sara Raihana masih tidak banyak berubah sejak hari kematian Izzat Hafis lagi. Dia masih dalam keadaan muram dan kurang bercakap, malah tidur malamnya pun tidak pernah nyenyak.
“Kita singgah rumah Mak Zainab dulu. Tadi abang Khairul pesan suruh kita ke sana,” beritahu Sara Raihana kepada bapanya.
“Baiklah. Macam mana keadaan Imran? Ada tak Khairul bagitau Sara?” tanya Pak Majid lagi.
“Okey sikit. Dah duduk dalam wad biasa.”
“Nanti Sara tolong tengok-tengokkan Mak Zainab dan Imran, ya. Mereka tu bukan orang lain lagi dengan Sara. Sara kena bantu mana yang patut. Kesian mak dengar masalah mereka,” kata Mak Cik Rohaya pula.
Sara Raihana tidak menjawab kata-kata ibunya. Dia sendiri tidak pasti adakah dia perlu melakukan semua yang disuruh oleh ibunya? Khairul Hafis telah meminta pertolongannya untuk menjaga Mak Zainab dan Imran Hafis sepanjang tempoh Khairul Hafis tiada di situ. Khairul Hafis yang bertugas sebagai anggota TLDM yang berpangkalan di TLDM Lumut terpaksa mengikuti pelayaran kapal KD Mahawangsa untuk tugas menghantar bantuan kemanusiaan bagi pelarian Afghanistan. Rosliana merupakan jururawat di Hospital Angkatan Tentera,  Lumut ( HAT ) terpaksa bertugas semula dan anak-anak mereka juga perlu ke sekolah kerana cuti persekolahan telah tamat.
Mak Zainab dan Rosliana telah menyiapkan makan tengah hari untuk menyambut Sara Raihana walaupun secara ala kadar sahaja. Tiada lagi kenduri menyambut menantu seperti yang selalu dilakukan orang. Khairul Hafis sedang berkemas-kemas untuk pulang ke rumahnya yang terletak di dalam Pangkalan Tentera Laut, Lumut. Kereta Sara Raihana yang dipandu oleh Pak Majid membelok masuk ke pekarangan rumah Mak Zainab.
“Jemput masuk Sara, Kak Rohaya, abang Majid,” pelawa Mak Zainab setelah dia bersalam-salaman dan berpelukan dengan Sara Raihana dan Mak Cik Rohaya. Sayu hati Sara Raihana bila memasuki rumah itu. Terasa bagaikan baru semalam dia menyaksikan suami dan bapa mentuanya dikafankan di ruang hadapan rumah itu. Air mata yang ingin menitis ditahannya. Dia perlu kuat untuk menghadapi semua itu.
“Mari kita makan dulu. Nasi dah terhidang.” Khairul Hafis mengajak mereka semua ke meja makan. Mereka semua menikmati hidangan sambil berbual ringan. Sara Raihana lebih banyak mendengar sambil menguis-guis nasi di pinggan dan akhirnya berhenti makan. Bila ditanya dia memberi alasan, sudah kenyang walhal pagi tadi hanya semulut dia menjamah sarapan yang disediakan.
Mak Zainab, Mak Cik Rohaya dan Rosliana telah bergerak ke dapur untuk kerja-kerja membersih setelah selesai makan. Sengaja Pak Majid dan Khairul Hafis mengajak Sara Raihana duduk di sofa hadapan agar mereka dapat berbincang dengannya.
“Sara, abang nak minta tolong sangat-sangat pada Sara agar dapat menjaga mak sepanjang abang tiada di sini. Sara pun tahukan, yang mak tak boleh memandu. Jika Sara tak tolong, siapa yang akan bawa mak ke hospital untuk lihat Imran? Mak bukan ada siapa-siapa lagi.” Khairul Hafis separuh merayu.
Sara Raihana memang maklum akan hal itu malah dia juga tahu yang Mak Zainab adalah anak tunggal. Sara Raihana menghela nafasnya. Ada tugas berat menantinya kini. Dahulu Izzat Hafis pun pernah berpesan agar dia selalu menjengok dan bertanya khabar ibunya. Kini dia bukan hanya menjengok malah perlu menjaganya pula. Siapa lagi yang dapat menolong kalau bukan dirinya? Sudah menjadi kewajipan sebagai menantu keluarga itu.
“Abang jangan risau. Insya Allah Sara akan datang setiap hari untuk melihat dan menjaga keperluan mak serta Imran.” Sara Raihana memberi keyakinan walaupun dia tahu tugas tersebut agak berat untuk dilaksanakan.
“Terima kasih, Sara. Hanya Allah yang dapat membalas jasa baik Sara,” ujar Khairul Hafis yang terharu dengan kesanggupan Sara Raihana.
Dia sebenarnya tidak mahu membebankan Sara Raihana yang sedia terbeban perasaannya tetapi dia tidak punya pilihan. Ibunya enggan tinggal di pangkalan bersama-sama Rosliana dengan alasan tiada siapa hendak menjaga rumah peninggalan arwah bapanya itu. Dia tahu ibunya tak mungkin keluar dari rumah tersebut dalam masa terdekat.
 Petang itu setelah pulang dari melawat Imran Hafis, Khairul Hafis meneruskan perjalanannya balik ke Lumut manakala Sara Raihana membawa bapa, ibu dan ibu mentuanya ke rumah sewanya. Norita telah sampai lebih awal dari kampungnya dan dia menyambut kedatangan mereka dengan senyum di bibir. Mereka bersalaman dan masuk ke dalam rumah sewa yang mempunyai 3 bilik tidur. Habis semua ruang dilihat oleh Mak Cik Rohaya dan Mak Zainab kecuali Pak Majid yang lebih selesa duduk di ruang hadapan.
“Ita, malam ni kau tidur seorang, ya. Aku nak tidur di rumah mak mentua aku. Mak dan abah aku nak tidur di sana malam ni. Esok pagi-pagi aku kena hantar mak dan abah aku ke stesen bas. Lepas tu baru aku pergi sekolah. Kalau aku terlambat tolong beritahu pengetua,” beritahu Sara Raihana kepada Norita semasa mereka menyediakan minuman di dapur.
“Okey, no problem. Kalau aku tanya kau marah tak?” tanya Norita menduga.
“Tak tanya lagi nak marah apa?” Sara Raihana cuba berjenaka walaupun di telinganya sendiri terdengar sumbang.
“Malam ni aku pinjam bear kau yang besar tu boleh tak? Buat teman. Tak adalah aku nak cakap seorang nanti,” kata Norita sambil melakukan aksinya sekali, membuatkan Sara Raihana tergelak kecil. Mak Cik Rohaya merasa gembira melihat perlakuan tersebut kerana sebelum ini Sara Raihana sukar tersenyum apatah lagi hendak mendengarnya ketawa.
Bear tu untuk aku saja. Kalau kau nak, ambil yang kecil tak apa.”
“Cis, kedekut. Kalau yang kecil aku tak mahulah.”
Sara Raihana hanya tersenyum mendengar kata-kata Norita. Sikap Norita yang gemar berjenaka dan ceria selalu, menghiburkan hatinya. Dia tahu Norita sengaja mengusiknya kerana di dalam bilik Sara Raihana terdapat beberapa teddy bear pelbagai saiz dan yang paling besar sebesar orang utan.
“Nah Cik Ita, air dah siap. Tolong bawakan.” Sara Raihana menyuakan dulang air kepada Norita.
Norita mengambil dulang tersebut dan bergerak ke ruang hadapan. Sara Raihana mengekori sambil membawa sepinggan goreng pisang yang telah dibelinya. Mereka semua menikmati minum petang tersebut sambil bercerita ringan.
 Boleh baca lagi di  http://buku.karangkraf.com/ilham/ 

Tiada ulasan: