Pengikut

Jumaat, 2 November 2012

I LOVE YOU CIKGU - BAB 2 DAN 3


Bab 2.

Indahnya pemandangan di tempat itu. Udara yang segar dan nyaman begitu mengasyikkan. Pelangi diwaktu petang kelihatan di ufuk barat menambahkan seri suasana di situ. Terasa damai di sanubari. Kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang asyik bermain sambil ketawa gembira. Mereka berlari-lari di celah pohon-pohon yang lebat buahnya. Di suatu sudut kelihatan beberapa orang dewasa asyik memerhatikan gelagat mereka.
Izzat Hafis memandang sekeliling dengan senyuman. Dia belum pernah melihat tempat setenang itu. Sangat mengujakan. Itulah perasaannya ketika itu. Seketika kemudian dia mengerutkan dahinya. Terlintas di fikiran, di manakah dia berada? Tempat itu terasa asing. Bagaimana dia boleh berada di situ sedangkan tadi dia masih berada di biliknya?
“Izzat,” suatu suara memanggil namanya.
Izzat Hafis berpaling ke arah suara tersebut dan dia melihat seorang lelaki berjubah panjang serba putih. Janggut dan keningnya kelihatan keputih-putihan juga. Wajah itu begitu tenang dan mendamaikan. Bibirnya mengukir senyuman. Izzat Hafis kenal akan lelaki itu.
“Mari ikut atuk ke sana.” Lelaki itu menunjukkan ke arah sekumpulan lelaki yang lain. Baru Izzat Hafis terperasan, kesemua mereka berpakaian serba putih termasuk dirinya. Dia makin keliru. Perlukah dia mengikut lelaki itu?
Tiba-tiba kedengaran azan sayup-sayup berkumandang. Izzat Hafis cuba membuka matanya. Matanya digosok berkali-kali. Segera dia bangun dan duduk di birai katil. Dipandang sekeliling, baru dia terperasan yang dia berada di dalam biliknya sendiri. Tapi ke manakah datuknya menghilang? Izzat Hafis mencapai tuala di hujung katil dan serentak dengan itu ada sesuatu yang terjatuh. Diangkatnya bingkai gambar yang terjatuh itu.
‘Nasib baik tak pecah,’ bisik hatinya. Gambar tunangnya itu ditenung lama. Tidak sampai sebulan lagi mereka akan disatukan di dalam ikatan perkahwinan. Ada kerinduan yang bertamu. Spontan dia mengucup gambar tersebut dan meletakkan kembali gambar tersebut di atas meja. Segera dia melangkah ke bilik air untuk membersihkan diri.
Setelah selesai menunaikan Solat Subuh, Izzat Hafis bersiap-siap untuk ke tempat kerjanya. Sudah dua hari dia bertugas di salah sebuah sekolah menengah di daerah Muar, Johor. Jarak telah memisahkan dia dengan tunangannya, Sara Raihana. Tapi dia bersyukur kepada Allah kerana tempat bertugas Sara Raihana tidak jauh dari rumah ibu bapanya di Assam Kumbang, Perak. Tangannya mencapai telefon lalu mendail nombor telefon Sara Raihana.
“ Assalamualaikum,” riang terdengar suara Sara Raihana.
“Waalaikumusalam. Sara apa khabar? Macam mana sekolah, okey tak?”
“Alhamdulillah, baik. Sekolah ni pun okey. Kawan-kawan di sini baik-baik belaka dan banyak membantu.”
“Alhamdulillah…senang hati abang mendengarnya.”
“Sara dah dapat kawan serumah. Norita namanya, cikgu baru yang sama-sama bertugas di sini. Dia kongsi menyewa dengan Sara.”
“Baguslah tu. Adalah kawan buat teman Sara nanti, taklah risau hati abang.” Ada rasa sayu di hati Izzat Hafis.
“Maaf, abang. Sara tengah memandu ni. Insya Allah nanti Sara telefon lain. Err…Norita kirim salam. Dia ada di sebelah Sara.” Terdengar ketawa kecil di hujung talian sebelum talian dimatikan. Izzat Hafis hanya menghela nafas yang panjang. Hajat hati untuk berbual lebih lama terbantut. Mungkin Sara Raihana malu dengan Norita.
Sepanjang hari itu Sara Raihana tidak menelefon Izzat Hafis. Ini menyebabkan Izzat Hafis agak resah menanti. Malam, baru Sara Raihana menghubunginya.
“Maafkan Sara, bang. Hari ini Sara sibuk sangat. Itu yang tak dapat telefon siang tadi.”
“Tak apa. Asalkan Sara sentiasa ingat dan doakan abang, dah cukup bermakna hidup abang.”
“Insya Allah, Sara akan sentiasa doakan.”
“Kalau suatu hari nanti abang tiada lagi di sisi Sara, tolong tengok-tengokkan mak abang, ya.”
“Insya Allah. Tapi kenapa abang kata begitu?”
“Entahlah…Sara, abang masih mimpikan arwah datuk yang berpakaian serba putih. Dia nak abang ikut dia.”
“Abang rindukan dia agaknya. Sebaik-baiknya bila kita ingatkan orang yang telah tiada, kita bacakan Al-Fatihah dan Al-Ikhlas sebanyak tiga kali. Niatkan sedekah pahala bacaan tersebut kepada arwah. Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat-Nya. Janganlah risau.” Sara Raihana cuba menenangkan Izzat Hafis. Tangannya mencapai buku yang baru dibelinya. Muka surat yang ditandanya terlebih dahulu di buka.
“Abang sendiri tak pasti, Sara,” jawab Izzat Hafis, lemah.
“Abang dengar ni. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, ‘Mimpi yang baik adalah dari Allah, sedangkan mimpi yang menakutkan berasal dari syaitan. Barangsiapa bermimpi yang tidak menyenangkan, hendaklah dia meludah ke sebelah kirinya tiga kali dan berlindung diri kepada Allah dari syaitan, sehingga mimpi tersebut tidak membahayakannya.’ Jadi, jika abang rasa mimpi itu dari syaitan cubalah buat apa yang Rasulullah s.a.w sabdakan tu.” Sara Raihana membacakan petikan hadis daripada buku Himpunan Hadis yang berada ditangannya.
“Insya Allah. Terima kasih Sara. Bila abang bercakap dengan Sara, rasa bersemangat dan kuat untuk menempuhi hidup ini. Abang harap Sara boleh memberikan semangat dan dorongan untuk abang diwaktu susah mahupun senang.”
“Insya Allah, Sara akan sentiasa menyokong abang selagi tidak menyalahi Allah dan Rasul-Nya.”
Ada senyuman di wajah Izzat Hafis. Tidak sia-sia dia memilih Sara Raihana sebagai teman hidup. Dia yakin Sara Raihana mampu menjadi isteri yang solehah.
“Sara, abang minta diri dulu. Nak ikut kawan pergi makan. Mereka dah tunggu di luar.”
“Baiklah. Nanti bila lapang Sara telefon lagi.”
“Okey…assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam. Semoga malam ini mimpi yang indah,” kata Sara Raihana sambil ketawa manja.
“Insya Allah…bye.” Talian dimatikan dan Izzat Hafis tersenyum lebar sambil melangkah mendapatkan kawan-kawannya yang sedang menanti di luar. 

Bab 3

Sara Raihana  tekun menulis di mejanya di dalam bilik guru. Hampir kesemua nama guru dan staf, ditulis di atas kad undangan perkahwinannya. Dia ingin memastikan semua mendapat undangan tersebut. Ustazah Habsah yang berada selang dua meja hanya memerhati tingkah laku Sara Raihana menyusun kad undangan tersebut.
“Kad Kak Habsah tak ada ke?”
“Ada. Ini untuk Kak Habsah.” Sara Raihana menghampirinya. “Nanti jemputlah hadir seisi keluarga ke rumah saya di Bukit Mertajam.”
Kad bertukar tangan. Ustazah Habsah membuka sampul kad tersebut dan meneliti isi kandungannya. Berkali-kali dia mencium kad tersebut kerana baunya yang wangi.
“Terima kasih. Kalau tiada aral, Insya Allah Kak Habsah pergi.”
“Kad untuk saya tak ada ke Cikgu?” tiba-tiba saja Chan Chee Hong muncul di situ mengejutkan Sara Raihana.
“Kamu ni Chan buat saya terkejut saja,” ujar Sara Raihana.
“Maaf…maaf. Saya bukan sengaja nak mengejutkan Cikgu.” Ada riak cemas di wajah Chan Chee Hong. Mungkin rasa bersalah.
“Tak apa. Jemputlah nanti ke rumah saya, Sabtu depan. Ini kad untuk Chan.”
Gembira sungguh Chan Chee Hong mendapat undangan itu. Paling tidak, cikgu kesayangannya tetap mengingatinya. “Ustazah Habsah nak pergikah kenduri ni nanti? Kalau ustazah pergi, boleh saya ikut sekali.” ujar Chan Chee Hong.
“Boleh. Nanti Ustazah beritahu lain,” kata Ustazah Habsah.
Pengakuan itu cukup menyeronokkan Chan Chee Hong. Dia memang teringin melihat bakal suami cikgu yang disukainya itu. Bertuah sungguh lelaki yang dapat berkahwin dengan Cikgu Sara Raihana, bisik hati kecilnya.
 ‘Teringin lihat Cikgu Sara bersanding,” Chan Chee Hong bersuara lagi.
“Saya tak bersanding, Chan.”
“Kenapa? Bukan ke orang Melayu selalu bersanding pada hari perkahwinan mereka?”
“Mungkin bagi orang lain tapi bagi saya, tak. Bersanding tu hanyalah satu adat sahaja. Tak kena gaya berdosa pula.”
“Berdosa? Maksud Cikgu?” tanya Chan Chee Hong lagi.
 Dia memang berminat jika dapat bersoal jawab dengan Sara Raihana tentang Islam walaupun Ustazah Habsah yang mengajarnya mata pelajaran Pendidikan Islam. Dia sendiri tak pasti perasaannya, tapi dia tahu yang dia suka cara Sara Raihana menerangkan sesuatu perkara. Malah apa sahaja tutur kata cikgu itu amat disenanginya.
“Terdapat unsur-unsur khurafat dan syirik dalam persandingan seperti penggunaan beras kunyit untuk memberi semangat kepada pengantin dan penggunaan jampi mentera untuk menghalau hantu syaitan yang mungkin mengganggu majlis itu,” terang Sara Raihana.
“Oh…begitu rupanya. Betul ke lepas kenduri nanti cikgu nak pergi Mekah? Honeymoon?”
“Hai, Chan! Mengalahkan pemberita TV3 awak ni. Mana awak tahu? Ustazah yang duduk tak jauh dari Cikgu Sara pun tak tahu,” soal Ustazah Habsah kehairanan.
“Cikgu Maimunah yang beritahu,” jawab Chan Chee Hong jujur.
“Amboi! Cikgu Maimunah ni tak boleh sorokkan apa-apa maklumat pada awak. Saya nak ke Mekah buat umrah tapi bukanlah lepas kenduri. Mungkin masa cuti pertengahan penggal nanti,” jawab Sara Raihana.
“Kalau saya nak melawat ke Mekah boleh tak ustazah? Bila Ustazah Habsah cerita tentang Sirah Nabi, teringin rasa nak tengok sendiri.”
“Kalau Chan nak pergi, ustazah sudi temankan,” jawab Ustazah Habsah sambil tersenyum.
“Betul ke? Seronoknya. Tapi lebih seronok kalau Cikgu Sara ikut sekali,” Chan Chee Hong cuba berseloroh walaupun jauh di sudut hati, itulah harapannya.
Sara Raihana hanya ketawa kecil. “Ada-ada sajalah Chan ni.”
“Ustazah, sebenarnya saya nak tanya tentang…” Sebelum sempat Chan Chee Hong menghabiskan ayat tersebut, tiba-tiba telefon Sara Raihana berbunyi.
Sara Raihana segera menjawab dengan ceria. Dia terus berlalu ke mejanya meninggalkan Chan Chee Hong yang termangu-mangu di hadapan Ustazah Habsah. Chan Chee Hong terasa resah. Bagai ada sembilu menusuk kalbu apabila melihat Sara Raihana berbual mesra di telefon. ‘Tentu tunang Cikgu Sara yang telefon, sebab tu ceria semacam,’ bisik hatinya. Cemburukah dia?
“Chan nak tanya apa tadi?” soalan Ustazah Habsah mengejutkannya dari lamunan.
“Err…saya nak masuk Islam. Macam mana caranya?” jawab Chan Chee Hong teragak-agak tapi cukup untuk mengejutkan Ustazah Habsah.
“Mari duduk di sini.” Ustazah Habsah menunjukkan kerusi yang kosong di hadapannya. Chan Chee Hong duduk di kerusi itu tetapi tidak terlalu dekat dengan Ustazah Habsah. Dia tahu batas-batas yang perlu dijaga.
“Chan, betul ke kamu nak memeluk Islam?”
Chan Chee Hong mengangguk yakin.
“Bapa kamu dah tahu?”
Geleng.
“Saya takut kalau saya beritahu dia akan menghalang niat saya. Walaupun dia benarkan saya belajar Pendidikan Islam tapi tak bererti dia akan benarkan saya memeluk agama Islam dengan mudah. Dulu dia pernah berpesan, belajar Pendidikan Islam bukan bermakna kamu akan masuk agama mereka. Dia bagi belajar Pendidikan Islam pun hanya kerana dia ingin buktikan kepada Nazir dan pengetua sekolahnya yang pernah menolak kaedah dia dulu,” terang Chan Chee Hong panjang lebar.
“Alhamdulillah. Ustazah amat gembira dengan keputusan kamu. Kamu tunggu di sini sekejap. Ustazah nak panggil Ustaz Hadi untuk bincangkan apa yang perlu kita lakukan seterusnya.”
Ustazah Habsah melangkah ke arah meja Ustaz Hadi yang terletak di bahagian kanan bilik guru tersebut. Walaupun bilik guru tersebut tiada dinding pemisah, tetapi bahagian kiri bilik guru diduduki guru perempuan yang bilangannya lebih ramai dan di sebelah kanan bilik didiami guru lelaki.
Chan Chee Hong memerhatikan Ustazah Habsah yang tampak sungguh gembira dari kejauhan. Ekor matanya masih dapat memerhatikan gelagat Sara Raihana yang sedang leka berbual di telefon. Butir-butir percakapan tidak jelas tetapi telinganya dapat menangkap beberapa patah perkataan. Dia tahu Sara Raihana sedang berbincang tentang majlis pernikahan yang akan diadakan pada hari Jumaat akan datang.
‘Semoga Cikgu berbahagia,’ bisik hatinya. Dia pasrah. Sara Raihana tidak mungkin menjadi miliknya. Dari kejauhan dia melihat Ustazah Habsah melambaikan tangan memberi isyarat agar dia bergerak ke arah mereka. Chan Chee Hong segera mengatur langkah. Dia pasti Ustaz Hadi dan Ustazah Habsah akan memberi khabar gembira kepadanya.
“Chan, Ustaz Hadi boleh bantu kamu. Disebabkan kamu masih di bawah umur, kita rahsiakan dahulu pengislaman kamu daripada pengetahuan bapa kamu,” kata Ustazah Habsah.
 “Chan, kita tak perlu mendaftarkan pengislaman kamu buat seketika sehingga umur kamu mencapai 18 tahun.  Kamu boleh mengamalkan Islam secara senyap-senyap dan jangan menimbulkan kecurigaan keluarga,” sambung pula Ustaz Hadi.
 Ustaz Hadi tahu implikasi yang bakal ditempuhi oleh saudara Muslim yang memeluk Islam semasa berumur 18 tahun ke bawah kerana tidak ada pertubuhan kerajaan atau individu yang berani menjaga kebajikan mereka. Oleh itu ahli keluarga boleh menuntut mereka di mahkamah atas alasan melanggar Perlembagaan Persekutuan. Ibu bapa atau penjaga mempunyai hak memaksa saudara Muslim tersebut untuk kembali kepada agama asal tanpa ada perlindungan undang-undang terhadap mereka untuk mengekalkan agama mereka.
Mereka amat maklum yang Chan Chee Hong tidak akan pulang setiap hari ke rumahnya kerana semua pelajar sekolah berasrama penuh perlu tinggal di asrama sepenuh masa. Dia hanya akan pulang bila cuti persekolahan atau pulang bermalam. Jadi, untuk merahsiakan hal ini mungkin akan berjaya.
“Saya pun rasa begitu Ustaz,” Chan Chee Hong berkata penuh yakin.
Kali ini dia akan tetap dengan pendiriannya. Dia tidak mahu berpaling lagi. Islam yang dipelajarinya amat sempurna. Dia amat kagum akan keperibadian Rasulullah s.a.w. Hatinya sentiasa tenang bila mendengar pengajaran Ustazah Habsah sewaktu pelajaran Pendidikan Islam. Ketenangan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ustazah Habsah pernah meminjamkan sebuah buku agama tentang Islam. Hatinya tersentuh apabila membaca terjemahan ayat Al-Quran dalam Surah Muhamad ayat 19 yang bermaksud; ‘Ketahuilah sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan mintalah ampun atas dosa-dosa kamu dan dosa-dosa orang Islam.’ Pada ketika itu dia tahu yang cahaya iman telah tumbuh di hatinya.
Ustaz Hadi menepuk bahu Chan Chee Hong dengan penuh mesra seraya berdoa, “Semoga segala urusan dipermudahkan Allah dan moga kamu mendapat petunjuk dan hidayah ke jalan yang lurus, jalan yang diredhai Allah.”
“Insya Allah” jawab Chan Chee Hong dan disambut dengan senyuman yang lebar daripada kedua-dua ustaz dan ustazah tersebut.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kak, ni bukankah cahaya iman tajuknya knapa jd i love cik gu. Tpi mcam best lah

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Ya ni Cahaya Iman tapi editor tukar tajuk jd ILYC. Cerita ni penuh emosi suka, sedih, cemas dan kasih sayang, dlm bab2 mendatang.
p/s sediakan tisu selepas bab 6.