Pengikut

Isnin, 12 November 2012

I LOVE YOU CIKGU - Bab 6

Izzat Hafis sekeluarga bertolak pulang ke Taiping setelah selesai Solat Maghrib dan menjamah hidangan ringan di rumah Long Hawa, kakak Pak Razak. Izzat Hafis menaiki kereta Proton Perdana bersama-sama ayah, adik bongsu, sepupu dan pak ngahnya manakala ibunya Mak Zainab menaiki kereta bersama-sama abang, kakak ipar, anak saudara dan mak ngahnya. Dia sempat menghantar mesej kepada Sara Raihana tetapi tidak dibalas oleh Sara Raihana.

‘Mungkin Sara Raihana sedang sibuk sekarang ni atau mungkin masih menunaikan solat Maghrib,’ bisik hati Izzat Hafis.
Hujan turun renyai-renyai di sepanjang jalan dari Pulau Pinang menghala ke Taiping. Pak  Razak membawa kereta dengan berhati-hati kerana jalan agak licin. Sesekali dia mencuri pandang ke belakang bagi melihat kereta anaknya yang mengekori di belakang. Kereta anaknya agak ketinggalan sedikit di belakang, berselang dua buah kereta yang lain.
“Izzat, esok pukul berapa kita nak pergi rumah Sara?” tanya Pak Ngah Salim memecahkan kebisuan di dalam kereta.
“Kita pergi awal sikitlah. Kalau boleh kita bertolak pukul 10.00 pagi dan boleh rehat dulu di rumah Long Hawa. Kita pergi rumah Sara lepas Zohor,” balas Izzat Hafis.
“Hrmm… kalau macam tu pak ngah datang rumah Izzat pukul 9.45 pagi boleh tak? Pak ngah nak kena hantar barang pelanggan dulu,” kata Pak Ngah Salim yang merupakan seorang peniaga di Bazar Melayu.
“Tak apa. Kami pasti tunggu abang Salim. Mana boleh tinggal ketua rombongan pengantin. Kalau tak ada Pak Ngah Salim siapa nak jadi jurucakap nanti. Abah tak pandai nak pantun-pantun,” sampuk Pak Razak tiba-tiba. Mereka semua ketawa gembira.
“Banyak pula bas dan lori waktu begini.” Pak Ngah Salim separuh merungut. Selalunya kenderaan berat akan bergerak pada waktu malam untuk mengelakkan kesesakan jalanraya.
Pak Razak memandang cermin pandang belakang dan dia dapat melihat anak bongsunya Imran Hafis dan anak abang Salim, Harris sedang lena dibuai mimpi. Izzat Hafis sedang leka menghantar mesej. Tiba-tiba Pak Ngah Salim menjerit memberi amaran.
“ Jak hati-hati….lori!!”
“Ya Allah!”
“ Arghhhhh!!!!!” bunyi dentuman memenuhi ruang angkasa.
…………………………………………………………………………..

Sara Raihana melangkah masuk ke biliknya dan ditemani oleh sepupunya Amalina yang baru tiba dari Negeri Sembilan. Amalina memuji-muji susun atur dan pemilihan warna bilik Sara Raihana yang dijadikan bilik pengantin.
“Cantiklah bilik ni. Siapa yang siapkan?” tanya Amalina sambil matanya memandang sekeliling bilik.
“Kak Haida dan Kak Emma dari Butik Idaman Pengantin. Sara tolong juga… tolong tengok.”
“Kalau takat tolong tengok, aku pun boleh.”
Senda gurau kedua-dua sepupu terhenti seketika apabila telefon Sara Raihana berbunyi tanda ada satu mesej yang masuk. Telefon yang terbiar di atas meja segera diambil. Terpapar di skrin, ada 4 mesej yang belum dibaca, 3 mesej Izzat Hafis dan 1 mesej yang baru masuk dari Cikgu Maimunah. Amalina hanya memerhati perlakuan sepupunya sambil dia duduk di atas katil. Punggungnya dihenyak berulangkali untuk merasakan keanjalan tilam tersebut. Sara Raihana duduk di sebelah Amalina sambil tangannya menekan butang buka pada mesej pertama Izzat Hafis.
Sayang, abang dah bertolak pulang ke Taiping. Kalau dah sampai nanti, abang call.
Miss u…love u.
Senyum lebar terukir di bibir Sara Raihana. Dia membaringkan tubuhnya di atas katil sambil diperhatikan oleh Amalina. Mesej kedua pula dibuka lalu puisi yang tertera dibaca.
‘Kau begitu istimewa di mataku, di hatiku, di jiwaku
Kerana itulah aku ingin selalu berada di sampingmu
 Baik dalam suka duka mu
Dalam sihat dan sakitmu.
Isteriku... Engkau adalah hal terindah dalam hidupku
Terima kasih kerana telah memilihku...
Sara Raihana, I love u.’
Ayat-ayat cinta Izzat Hafis amat menyentuh kalbu. Kebahagiaan meresap ke seluruh hati sanubarinya. Senyum di bibir makin melebar. Tanpa berlengah dia membuka mesej ke tiga dari Izzat Hafis.
‘Yang paling asyik dalam suatu perkahwinan adalah jatuh cinta lagi, lagi dan lagi, pada orang yang sama. I love u more than I can say…’
“Amboi! senyum seorang-seorang. Apa yang ditulis? Boleh kongsi?” Pertanyaan Amalina mengejutkan Sara Raihana.
“Mana boleh. Untuk aku seorang aje ni.”
“Kedekut”
“Tau tak apa.”
Tawa gembira mereka berdua terhenti apabila telefon Sara Raihana berbunyi nada lagu nasyid In-Team, Kasih Kekasih. Sara Raihana tahu itu adalah nada dering untuk panggilan telefon Izzat Hafis. Segera dia menjawab panggilan tersebut dengan hati yang sungguh gembira. Tentu Izzat Hafis telah tiba di Taiping kerana jarak antara Taiping dan Bukit Mertajam tidaklah jauh sangat, hanya 45 minit perjalanan kereta.
“Assalamualaikum. Abang dah sampai, ya?” tanya Sara Raihana dengan sungguh ceria.
Senyap.
“Abang, Sara dah baca mesej abang. So sweetI love you abang!”
Senyap.
“Abang? Abang dengar tak?”
“Sara, ini abang Khairul.”
“Ehh… abang Khairul, maaf. Tadi Sara ingat abang Izzat.” Sara Raihana terasa malu seketika kerana terburu-buru bercakap tanpa mengenal pasti pemanggilnya. Tapi bukankah itu telefon Izzat? Kenapa pula abang Khairul Hafis iaitu abang kepada Izzat Hafis yang menelefonnya? Hatinya mulai tertanya-tanya.
“Banyak-banyak bersabar Sara.” Ada nada sayu dan pilu dalam suara Khairul Hafis.
“Kenapa?” Sara Raihana mulai cemas dan terus duduk di atas katil. Amalina yang melihat perubahan wajah sepupunya turut bangun dari pembaringannya dan memerhati wajah itu dengan tanda tanya.
“Sara, kereta abah kemalangan dekat Bukit Merah. Izzat… Izzat cedera parah!” Ada suara pilu di hujung talian.
“Apa?? Tak mungkin!!” Sara Raihana amat terkejut dan terkaku di situ. Telinganya masih mendengar suara Khairul Hafis memberitahu bahawa Izzat Hafis telah dibawa ke Hospital Taiping dan dia diminta untuk segera ke sana. Telefon yang berada di dalam genggamannya terlepas dan deraian airmatanya tidak dapat ditahan lagi. Dia memeluk Amalina yang sedang terpinga-pinga di hadapannya.
“Sara, kenapa? Apa yang telah berlaku?”
“Izzat… Izzat kemalangan. Dia cedera parah.” Tangisan Sara Raihana makin menjadi-jadi dan menyebabkan Amalina turut mengalirkan air mata.
Kak Haida yang kebetulan lalu di hadapan bilik Sara Raihana segera mendapatkan mereka. Dia cuba memastikan kenapa kedua-dua saudara sepupu itu sedang bertangisan.
“Sara, Amal… Apa yang telah berlaku?” Kak Haida kehairanan.
“Kak Haida… Izzat kemalangan. Dia cedera parah,” terang Amalina sambil menyeka air matanya.
Kak Haida terkejut dan terdiam seketika. Terbayang wajah Izzat Hafis yang ceria petang tadi ketika di bilik pengantin. Air matanya mengalir laju tanpa sedar. Dia kemudiannya memberitahu ahli keluarga yang lain. Tanpa berlengah mereka segera bersiap dan bertolak ke Taiping.
Perjalanan terasa jauh bagi Sara Raihana. Tidak berhenti-henti hatinya berdoa agar suaminya selamat dari bahaya dan segera pulih seperti sedia kala. Berkali-kali dia melihat jam dengan resah dan gelisah. Sesekali air matanya berjurai di pipi tetapi segera diseka air mata itu dengan tisu yang sudah sememangnya lencun. Mak Cik Rohaya berkali-kali menasihati Sara Raihana agar bersabar dan banyak berdoa kepada Allah. Sebenarnya hatinya juga terasa amat pedih dan resah memikirkan nasib menantunya dan juga mereka yang berada di dalam kereta bapa Izzat Hafis.
Apabila mereka tiba berhampiran Bukit Merah, mereka dapat menyaksikan lori panjang yang tersadai di tepi jalan dengan tayar hadapannya pecah dan terdapat kesan kemalangan. Trak penunda sedang bersiap sedia untuk menunda lori tersebut. Hati Sara Raihana berdetik. Adakah lori itu yang terlibat dalam kemalangan dengan kereta bapa mertuanya? Lokasi kejadian juga sama seperti yang diberitahu oleh Khairul Hafis tadi. Cuma dia tidak tahu nasib yang menimpa mereka yang lain. Khairul Hafis tidak memberitahunya. Seolah-olah ada perkara yang disembunyikan.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam...saya dah bace pun bab6.. kali ni amat sedih sikit citernya..huhu..baru aje nak bermula alam pasangan suami isteri.. dah sara raiana kena hadapi dugaan..huhuhu..sangat sedih..~,~

sarimahshaniza @ Imanisa Riana berkata...

Waalaikumusalam..
Ni baru mula.Bab 7 & 8, saya tulis dgn air mata yg mengalir. Tp tak semua sedih. Bab yg kelakar pun ada. Teruskan ikuti kisah ni.

Tanpa Nama berkata...

saya sentisa ikuti kisah ni.. bab7 n 8 mesti paling sedih kan..huhu..rasa-rasa sangat. dan tak sabar ingin milikki nya..~,~

sarimahshaniza @ Imanisa Riana berkata...

Terima kasih. Bab 7 n 8 memang sedih dgn caranya. Bab2 di tengah dan hujung cerita pun ada sedih tp berlainan cara kesedihannya. Time kelakar saya sdn tergelak, time cinta mcm bercinta pula.. Pendek kata Insya-Allah tak rugi anda memilikinya.

Tanpa Nama berkata...

ohh..! sama-sama, pekare biasala tu, just komen aje.. rasa cerita ni pasti buat saya terharu, rasa di cintai, rasa kelakar, rasa cemburu..segalanya ada di I LOVE YOU CIKGU..! hehehe.. ~,~