Cikgu
Maimunah serta rakan-rakan guru yang lain dan beberapa orang pelajar yang
mengetahui berita itu turut berada di situ. Chan Chee Hong hanya memerhati dari
jauh tanpa mengalihkan pandangannya ke arah jenazah-jenazah itu. Kalau malam
tadi dia begitu teringin menatap wajah suami Sara Raihana yang pastinya
berseri-seri kerana perkahwinannya, tapi bila wajah tersebut di depan matanya
tidak sanggup rasanya menatap wajah itu lama-lama. Kesedihan turut melanda sanubarinya.
Sara
Raihana mengucup dahi suaminya buat kali terakhir. Dahi Izzat Hafis, dingin
sedingin air batu. Sara Raihana merenung sepuas-puasnya wajah Izzat Hafis yang
pucat sebelum wajah itu ditutup dengan kapas dan kain kafan. Mengalir juga air
jernih di pipinya walaupun cuba ditahan. Sewaktu solat jenazah diadakan, Sara
Raihana terperasan kelibat Chan Chee Hong turut berada di saf belakang. Hatinya
tertanya untuk seketika tetapi dibiarkan sahaja. Otaknya bagai tidak dapat
memproses apa yang dilihat.
Jenazah-jenazah
tersebut kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan Islam Tekah, Assam Kumbang
untuk disemadikan. Talkin dibaca setelah selesai jenazah-jenazah tersebut
dikebumikan secara sebelah menyebelah. Sayu hati Sara Raihana melihat
perjalanan terakhir suami dan bapa mentuanya menuju persinggahan abadi.
“Di
akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu di sisi Allah
Taala. Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang
menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Taala menjinakkan
hati kamu yang liar dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang
seorang diri di dalam kubur ini.
Mudah-mudahan
Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala
amal kebajikan kamu. Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu
supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW. Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun
wassallamu alalmursalinwalham dulillahi rabbil alamin. Setiap yang
bernafas, pasti akan mati. Kullu nafsin
za iqatul maut."
Bunga
rampai ditabur di atas kubur bersama-sama jirusan air mawar. Moga perginya
Izzat Hafis ibarat pengantin Mukmin yang memasuki kubur dengan
rahmat Allah, seumpama menjalani malam pengantin di situ.
Selamat
jalan, wahai kekasih hatiku. Hanyalah doa yang dapat ku panjatkan agar
dipermudahkan perjalananmu. Cinta darimu akan ku simpan di dalam kalbu menjadi
kenangan seumur hidupku, bisik hati Sara Raihana, pilu.
Sara
Raihana dan keluarga terus pulang ke Bukit Mertajam selepas urusan pengebumian
jenazah selesai . Sepanjang perjalanan, dia hanya mendiamkan diri. Matanya merenung
ke luar dengan pandangan yang kosong, sekosong jiwanya. Tanpa sedar dia terlena
kerana keletihan yang amat sangat.
Sebaik
sahaja matanya dibuka, dia melihat ramai orang berada di rumahnya. Majlis
kenduri tetap diadakan tetapi telah bertukar menjadi kenduri doa selamat dan
tahlil untuk arwah. Bunga telur, beg hadiah dan cenderahati tetap diberikan
kepada para tetamu.
Perlahan-lahan
Sara Raihana membuka pintu kereta dan sebaik sahaja dia turun dari kereta,
Amalina terus menerpa ke arahnya. Dia memeluk Amalina yang sedang menangis. Hadirin
yang ada di situ hanya memerhati dengan penuh kesayuan. Ada yang mengalirkan
air mata, bersimpati dengan nasib Sara Raihana. Hari yang sepatutnya menjadi
hari gembira buat Sara Raihana telah bertukar menjadi hari yang paling
menyedihkan. Dia menjadi balu setelah beberapa jam bergelar isteri.
“Amal,
tolong bawa aku ke bilik,” bisik Sara Raihana, kelesuan.
Terasa
berat untuk kakinya melangkah. Amalina segera membawa sepupunya itu ke bilik
dan membiarkan Sara Raihana duduk di birai katil. Kak Haida datang bersama-sama
segelas air lalu dihulurkan kepada Sara Raihana. Sara Raihana mengambil gelas
tersebut dan hanya meneguknya sekali lalu diberi semula kepada Kak Haida.
“Minum
lagi Sara. Dah lama benar Sara tak minum dan makan. Nanti Kak Haida ambilkan
nasi untuk Sara.”
Sara
Raihana diam tanpa perasaan. Perlahan-lahan Kak Haida melangkah keluar bilik.
“Amal,
tinggalkan aku. Aku nak bersendirian,” tutur Sara Raihana perlahan.
Amalina
tidak sampai hati meninggalkan Sara Raihana seorang diri tetapi dia mesti
menghormati permintaan Sara Raihana.
“Rehatlah dulu Sara. Kalau kau perlukan aku,
panggillah nanti.”
Sara
Raihana hanya mengangguk dan sebaik sahaja Amalina keluar dari biliknya dia
terus mengunci bilik tersebut. Dia memerhatikan seluruh bilik yang dihias
cantik dan susunan hadiah yang diberi oleh para tetamu yang hadir. Hatinya
menjadi semakin sebak dan dia menangis lagi.
Abang,
kenapa abang pergi tinggalkan Sara? Abang tak sayangkan Sara? Mana janji abang
nak hidup bersama Sara? Sara sunyi tanpa abang. Sampai hati abang pergi dan
tinggalkan kepiluan ini, hatinya terus merintih.
Sepatutnya
hari ini majlis perkahwinan mereka berlangsung dengan gembira dan diraikan oleh
sanak saudara serta jemputan yang tiba. Tapi kini segalanya tiada. Tiada gelak
ketawa, tiada usik mengusik, tiada marhaban, tiada berzanji, tiada kompang dan
tiada pengantinnya. Segalanya menjadi sunyi dan sepi. Sesepi tanah perkuburan.
“Sara,
bukak pintu ni.”
Terdengar
suara Kak Haida memanggil tetapi tidak diendahkan oleh Sara Raihana.
Berkali-kali pintu diketuk dan namanya dipanggil tetapi dia hanya mematikan
dirinya. Seketika kemudian telefonnya berbunyi berulang kali. Bosan dengan
bunyi deringannya, Sara Raihana menjawab panggilan itu.
“Sara,
ni ibu nak. Tolong bukak pintu.”
Senyap.
“Jangan
buat ibu macam ni. Sara tak kesian kat ibu, ke? Bukaklah pintu, Sara.”
Tanpa
menjawab panggilan tersebut, Sara Raihana terus bangun dan membuka pintu. Mak
Cik Rohaya, Kak Haida dan Amalina segera memasuki biliknya dengan membawa
hidangan tengah hari.
“Sara,
mari duduk sini,” ajak Mak Cik Rohaya sambil menunjukkan kerusi yang terletak
di meja solek.
Hidangan tengah hari itu diletakkan di atas
meja solek. Bau nasi minyak yang berlaukkan ayam masak merah, daging masak
hitam, dalca dan acar memenuhi ruang bilik tersebut. Terdapat juga udang yang
menjadi kegemaran Sara Raihana. Sara Raihana duduk di kerusi dan hanya
memerhatikan hidangan tersebut tanpa nafsu makan.
“Sara,
makanlah nak. Dari semalam Sara tak makan apa-apa. Risau hati ibu. Makan sikit,
ya?” Mak Cik Rohaya terus memujuk.
Tiada
respons.
“Makan
sikit Sara. Kalau tak mahu nasi jamahlah udang tu,” Amalina pula cuba memujuk.
Tetap
tiada respons. Mata Sara Raihana hanya terpaku memandang udang. Air matanya
mengalir tanpa sedar. Udang adalah hidangan yang kerap dipilihnya apabila
keluar makan bersama-sama Izzat Hafis. Mak Cik Rohaya, Kak Haida dan Amalina
saling berpandangan. Tidak tahu macam mana hendak memujuk Sara Raihana lagi. Di
dalam hati mereka sendiri pun terdapat perasaan yang meruntun kalbu.
Terdayakah
mereka memujuk sedangkan hati mereka juga karam dalam tangisan? Mak Cik Rohaya
mengajak Kak Haida keluar dan meninggalkan Sara Raihana bersama-sama Amalina.
Pada Amalina dipesan agar memujuk Sara Raihana untuk makan walaupun hanya
beberapa suap.
Amalina
menutup pintu bilik tetapi tidak dikuncinya. Sara Raihana mengambil air dan
minum beberapa teguk. Tanpa menjamah nasi yang terhidang, dia bingkas bangun
dan merebahkan dirinya di atas katil. Amalina duduk di birai katil sambil
memandang Sara Raihana tanpa kata. Dia dapat merasakan betapa beratnya beban
perasaan yang dialami Sara Raihana kini. Berat mata memandang, berat lagi bahu
yang memikul.
Sepanjang
hari itu Sara Raihana hanya berkurung di dalam biliknya bertemankan Amalina.
Dia tidak mahu berjumpa dengan sesiapa pun kecuali ahli keluarga terdekat.
Apabila masuk waktu solat, dia bersolat dan duduk lama membaca Surah Yasin
serta ayat-ayat suci al-Quran. Hatinya mendapat sedikit ketenangan apabila
membaca ayat-ayat suci tersebut. Apabila sedang berduka atau kecewa al-Quranlah penawarnya.
3 ulasan:
Warrrggghhhh.... Bergenang2 airmata di tubir mata.... Sedihnya.... Menyayat kalbu.... Warrrggghhhh..... Why? Why? Why? Sbb Sara akan dianugerahkan suami yg akan menyayanginya dan menjadi khalifahnya kelak...
Ya betul tu. Dia akan berjumpa dgn yg terbaik utknya. Siapa dia? Kena baca hingga habis.
Ouh.. klu mcm tue mesti baca ni kan hehe
Catat Ulasan