Pengikut

Sabtu, 17 November 2012

I LOVE YOU CIKGU - Bab 8

Jenazah Pak Ngah Salim dan Harris telah dibawa pulang ke kampung atas permintaan Mak Ngah Milah sekeluarga. Oleh itu hanya jenazah Izzat Hafis dan bapanya yang diuruskan di rumah mereka. Tubuh kaku Izzat Hafis dan bapanya yang hampir siap dikafan ditatap dengan penuh kepiluan oleh Sara Raihana. Air matanya seperti tidak mahu mengalir lagi. Tubuhnya yang lesu disandarkan ke badan Norita yang bergegas pulang dari tempat kursus. Norita sebenarnya menghadiri kursus kepimpinan Kelab Usahawan di Pulau Pangkor.

Cikgu Maimunah serta rakan-rakan guru yang lain dan beberapa orang pelajar yang mengetahui berita itu turut berada di situ. Chan Chee Hong hanya memerhati dari jauh tanpa mengalihkan pandangannya ke arah jenazah-jenazah itu. Kalau malam tadi dia begitu teringin menatap wajah suami Sara Raihana yang pastinya berseri-seri kerana perkahwinannya, tapi bila wajah tersebut di depan matanya tidak sanggup rasanya menatap wajah itu lama-lama. Kesedihan turut melanda sanubarinya.
Sara Raihana mengucup dahi suaminya buat kali terakhir. Dahi Izzat Hafis, dingin sedingin air batu. Sara Raihana merenung sepuas-puasnya wajah Izzat Hafis yang pucat sebelum wajah itu ditutup dengan kapas dan kain kafan. Mengalir juga air jernih di pipinya walaupun cuba ditahan. Sewaktu solat jenazah diadakan, Sara Raihana terperasan kelibat Chan Chee Hong turut berada di saf belakang. Hatinya tertanya untuk seketika tetapi dibiarkan sahaja. Otaknya bagai tidak dapat memproses apa yang dilihat.
Jenazah-jenazah tersebut kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan Islam Tekah, Assam Kumbang untuk disemadikan. Talkin dibaca setelah selesai jenazah-jenazah tersebut dikebumikan secara sebelah menyebelah. Sayu hati Sara Raihana melihat perjalanan terakhir suami dan bapa mentuanya menuju persinggahan abadi.
“Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu di sisi Allah Taala. Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini.
Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu. Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW. Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham dulillahi rabbil alamin. Setiap yang bernafas, pasti akan mati. Kullu nafsin za iqatul maut."
Bunga rampai ditabur di atas kubur bersama-sama jirusan air mawar. Moga perginya Izzat Hafis ibarat pengantin Mukmin yang memasuki kubur dengan rahmat Allah, seumpama menjalani malam pengantin di situ.
Selamat jalan, wahai kekasih hatiku. Hanyalah doa yang dapat ku panjatkan agar dipermudahkan perjalananmu. Cinta darimu akan ku simpan di dalam kalbu menjadi kenangan seumur hidupku, bisik hati Sara Raihana, pilu.
Sara Raihana dan keluarga terus pulang ke Bukit Mertajam selepas urusan pengebumian jenazah selesai . Sepanjang perjalanan, dia hanya mendiamkan diri. Matanya merenung ke luar dengan pandangan yang kosong, sekosong jiwanya. Tanpa sedar dia terlena kerana keletihan yang amat sangat.
Sebaik sahaja matanya dibuka, dia melihat ramai orang berada di rumahnya. Majlis kenduri tetap diadakan tetapi telah bertukar menjadi kenduri doa selamat dan tahlil untuk arwah. Bunga telur, beg hadiah dan cenderahati tetap diberikan kepada para tetamu.
Perlahan-lahan Sara Raihana membuka pintu kereta dan sebaik sahaja dia turun dari kereta, Amalina terus menerpa ke arahnya. Dia memeluk Amalina yang sedang menangis. Hadirin yang ada di situ hanya memerhati dengan penuh kesayuan. Ada yang mengalirkan air mata, bersimpati dengan nasib Sara Raihana. Hari yang sepatutnya menjadi hari gembira buat Sara Raihana telah bertukar menjadi hari yang paling menyedihkan. Dia menjadi balu setelah beberapa jam bergelar isteri.
“Amal, tolong bawa aku ke bilik,” bisik Sara Raihana, kelesuan.
Terasa berat untuk kakinya melangkah. Amalina segera membawa sepupunya itu ke bilik dan membiarkan Sara Raihana duduk di birai katil. Kak Haida datang bersama-sama segelas air lalu dihulurkan kepada Sara Raihana. Sara Raihana mengambil gelas tersebut dan hanya meneguknya sekali lalu diberi semula kepada Kak Haida.
“Minum lagi Sara. Dah lama benar Sara tak minum dan makan. Nanti Kak Haida ambilkan nasi untuk Sara.”
Sara Raihana diam tanpa perasaan. Perlahan-lahan Kak Haida melangkah keluar bilik.
“Amal, tinggalkan aku. Aku nak bersendirian,” tutur Sara Raihana perlahan.
Amalina tidak sampai hati meninggalkan Sara Raihana seorang diri tetapi dia mesti menghormati permintaan Sara Raihana.
 “Rehatlah dulu Sara. Kalau kau perlukan aku, panggillah nanti.”
Sara Raihana hanya mengangguk dan sebaik sahaja Amalina keluar dari biliknya dia terus mengunci bilik tersebut. Dia memerhatikan seluruh bilik yang dihias cantik dan susunan hadiah yang diberi oleh para tetamu yang hadir. Hatinya menjadi semakin sebak dan dia menangis lagi.
Abang, kenapa abang pergi tinggalkan Sara? Abang tak sayangkan Sara? Mana janji abang nak hidup bersama Sara? Sara sunyi tanpa abang. Sampai hati abang pergi dan tinggalkan kepiluan ini, hatinya terus merintih.
Sepatutnya hari ini majlis perkahwinan mereka berlangsung dengan gembira dan diraikan oleh sanak saudara serta jemputan yang tiba. Tapi kini segalanya tiada. Tiada gelak ketawa, tiada usik mengusik, tiada marhaban, tiada berzanji, tiada kompang dan tiada pengantinnya. Segalanya menjadi sunyi dan sepi. Sesepi tanah perkuburan.
“Sara, bukak pintu ni.”
Terdengar suara Kak Haida memanggil tetapi tidak diendahkan oleh Sara Raihana. Berkali-kali pintu diketuk dan namanya dipanggil tetapi dia hanya mematikan dirinya. Seketika kemudian telefonnya berbunyi berulang kali. Bosan dengan bunyi deringannya, Sara Raihana menjawab panggilan itu.
“Sara, ni ibu nak. Tolong bukak pintu.”
Senyap.
“Jangan buat ibu macam ni. Sara tak kesian kat ibu, ke? Bukaklah pintu, Sara.”
Tanpa menjawab panggilan tersebut, Sara Raihana terus bangun dan membuka pintu. Mak Cik Rohaya, Kak Haida dan Amalina segera memasuki biliknya dengan membawa hidangan tengah hari.
“Sara, mari duduk sini,” ajak Mak Cik Rohaya sambil menunjukkan kerusi yang terletak di meja solek.
 Hidangan tengah hari itu diletakkan di atas meja solek. Bau nasi minyak yang berlaukkan ayam masak merah, daging masak hitam, dalca dan acar memenuhi ruang bilik tersebut. Terdapat juga udang yang menjadi kegemaran Sara Raihana. Sara Raihana duduk di kerusi dan hanya memerhatikan hidangan tersebut tanpa nafsu makan.
“Sara, makanlah nak. Dari semalam Sara tak makan apa-apa. Risau hati ibu. Makan sikit, ya?” Mak Cik Rohaya terus memujuk.
Tiada respons.
“Makan sikit Sara. Kalau tak mahu nasi jamahlah udang tu,” Amalina pula cuba memujuk.
Tetap tiada respons. Mata Sara Raihana hanya terpaku memandang udang. Air matanya mengalir tanpa sedar. Udang adalah hidangan yang kerap dipilihnya apabila keluar makan bersama-sama Izzat Hafis. Mak Cik Rohaya, Kak Haida dan Amalina saling berpandangan. Tidak tahu macam mana hendak memujuk Sara Raihana lagi. Di dalam hati mereka sendiri pun terdapat perasaan yang meruntun kalbu.
Terdayakah mereka memujuk sedangkan hati mereka juga karam dalam tangisan? Mak Cik Rohaya mengajak Kak Haida keluar dan meninggalkan Sara Raihana bersama-sama Amalina. Pada Amalina dipesan agar memujuk Sara Raihana untuk makan walaupun hanya beberapa suap.
Amalina menutup pintu bilik tetapi tidak dikuncinya. Sara Raihana mengambil air dan minum beberapa teguk. Tanpa menjamah nasi yang terhidang, dia bingkas bangun dan merebahkan dirinya di atas katil. Amalina duduk di birai katil sambil memandang Sara Raihana tanpa kata. Dia dapat merasakan betapa beratnya beban perasaan yang dialami Sara Raihana kini. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Sepanjang hari itu Sara Raihana hanya berkurung di dalam biliknya bertemankan Amalina. Dia tidak mahu berjumpa dengan sesiapa pun kecuali ahli keluarga terdekat. Apabila masuk waktu solat, dia bersolat dan duduk lama membaca Surah Yasin serta ayat-ayat suci al-Quran. Hatinya mendapat sedikit ketenangan apabila membaca ayat-ayat suci tersebut. Apabila sedang berduka atau kecewa al-Quranlah penawarnya.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Warrrggghhhh.... Bergenang2 airmata di tubir mata.... Sedihnya.... Menyayat kalbu.... Warrrggghhhh..... Why? Why? Why? Sbb Sara akan dianugerahkan suami yg akan menyayanginya dan menjadi khalifahnya kelak...

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Ya betul tu. Dia akan berjumpa dgn yg terbaik utknya. Siapa dia? Kena baca hingga habis.

Tanpa Nama berkata...

Ouh.. klu mcm tue mesti baca ni kan hehe