Pengikut

Rabu, 21 November 2012

Abang King Control Ke? - bab 8



Irdina menyarung kembali tudung kepalanya dan mencapai kunci rumah. Dia ingin mendapatkan kembali telefonnya di rumah Razif. Setelah mengunci pintu rumah, dia melangkah ke rumah Razif.
“Irdina!” panggil Bakar yang tergesa-gesa keluar dari kawasan rumahnya.
Irdina menoleh seketika. Hatinya makin resah melihat Bakar yang tersenyum simpul menghampirinya.
“Nak ke mana pula? Kata demam tapi berjalan ke sana sini,” tanya Bakar.
“Saya nak ambil barang yang tertinggal di rumah Mak Cik Sopiah,” jawab Irdina sambil mempercepatkan langkahnya.
“Abang Burn temankan Irdina, ya?” Bakar menyaingi langkah Irdina.
“Tak mengapalah. Saya boleh pergi sendiri.”
“Janganlah begitu. Kalau Irdina terjatuh, nanti Abang Burn boleh tolong.”
Irdina terus melangkah tanpa memperdulikan Bakar. Perasaan cemas dan takut menguasai diri.
“Irdina ni sakit ke tidak? Laju saja jalannya.” Bakar cuba mencapai tangan Irdina.
Irdina sempat mengelak dan memasuki kawasan rumah Mak Cik Sopiah. Ustaz Azmi yang masih berada di situ segera mendapatkan Irdina.
“Kenapa Irdina?” tanya Ustaz Azmi.
“Abang Burn,” jawab Irdina lalu berdiri di belakang Ustaz Azmi.
“Apa khabar Abang Burn?” tanya Ustaz Azmi. Matanya tepat memandang wajah Bakar.
“Khabar baik. Ustaz buat apa di sini?” tanya Bakar, pura-pura tidak tahu.
“Saya baru habis mengajar Rosnah. Abang Burn buat apa kejar Irdina?”
“Aku tak kejar dialah. Aku cuma nak temankan dia. Tak salahkan?”
“Salah tu Abang Burn. Dia anak dara, tak manis berjalan berdua dengan lelaki bukan mahram.”
“Yang kau tu mahram dia ke?”
“Saya pun bukan mahram dia. Tapi saya hormati dia. Tak manis Abang Burn ganggu anak dara orang. Nanti apa pula kata jiran lain. Kalau Kak Zetty tahu, tentu dia mengamuk.”
Bakar hanya mendengus dan berlalu pergi.
“Irdina tak apa-apa ke?” tanya Ustaz Azmi.
“Saya tak apa-apa. Cuma rasa takut sangat tadi. Terima kasih kerana buat dia pergi.”
Ustaz Azmi tersenyum memandang Irdina. Irdina juga membalas senyuman itu. Lesung pipitnya kelihatan di kedua-dua belah pipinya.
“Cantik lesung pipit awak. Macam pelakon Hindustan, Preity Zinta,” puji Ustaz Azmi.
“Terima kasih.” Irdina melihat sekeliling. Dia terperasan yang Razif tiada di situ.
“Awak cari Razif ke?” tanya Ustaz Azmi.
“Tak. Saya nak ambil telefon yang tertinggal.”
“Kalau begitu, masuklah. Razif mungkin ada di bilik air.”
Irdina masuk ke rumah dan menuju ke bilik tamu. Dia membuka bilik dan masuk ke dalamnya. Matanya mencari-cari telefon yang tertinggal tetapi gagal dikesan.
‘Rasanya tadi aku tinggal atas meja ni. Mana pula perginya?’ bisik hati Irdina.
Sedang dia asyik mencari, tiba-tiba Razif keluar daripada bilik air. Irdina tergamam dan mulutnya seolah terkunci. Tidak mampu menjerit atau berkata. Matanya terbeliak merenung Razif.
 “Kenapa datang semula? Rindu pada abang ke?” Razif menyindir.
“Tolong sikit! Siapa nak rindukan awak?” Marah Irdina, seolah mendapat kembali semangatnya setelah disindir begitu.
“Habis tu kenapa masuk ke sini lagi? Tentu cari abangkan?” Razif semakin menghampiri Irdina.
“Saya cuma nak cari telefon saya. Awak ada nampak tak?”
“Awak ni memang tak reti nak panggil abang ke? Abang lebih tua dari Irdina. Panggil abang, jangan panggil awak saja.”
“Baiklah abang sayang! Ada nampak telefon saya tak?” tanya Irdina dengan nada yang geram.
“Begitulah. Sejuk rasa hati dengar Irdina panggil abang sayang.” Razif berdiri betul-betul di hadapan Irdina.
“Tolonglah! Mana telefon saya? Susah nanti kalau tak ada telefon tu.” Irdina agak cemas.
“Mana awak tahu telefon tu ada di sini? Jangan-jangan awak tertinggal di rumah dan sengaja cari alasan untuk jumpa abang.” Razif sengaja hendak mendera perasaan Irdina. Seronok rasa dapat mengusik Irdina.
Irdina berasa kecewa kerana gagal mendapatkan telefonnya. Pelbagai bayangan buruk mengganggu mindanya. Banyak maklumat dan nombor yang penting terdapat di dalam telefon itu. Jika telefon itu hilang, bermakna dia terpaksa mencari semula termasuk nombor-nombor pelanggan syarikat. Dan yang paling ditakutinya kini, gangguan Bakar. Takut bila dia keseorangan di rumah, dia gagal menghubungi sesiapa untuk menolongnya disaat genting. Akhirnya Irdina duduk di birai katil sambil menangis. 
Razif agak terkejut kerana tidak menyangka Irdina akan menangis di hadapannya. Dia ingin memujuk Irdina tetapi belum sempat dia berbuat apa-apa, pintu bilik dibuka oleh emaknya.
“Razif! Apa yang Razif dah buat pada Irdina?” tanya Mak Cik Sopiah terkejut. Dia menyangka anak yang dipercayainya telah melakukan perkara yang boleh mencemarkan nama baiknya.
“Razif tak buat apa-apa pun.”
“Kalau tak buat apa-apa, kenapa Irdina menangis?” tanya Mak Cik Sopiah, geram.
“Dia menangis sebab telefon dia. Bukan sebab Razif.”
“Kenapa Razif masuk ke bilik ni sedangkan Razif tahu dia ada di dalam?” soal Mak Cik Sopiah, tidak berpuas hati.
“Dia dah balik sekejap tadi. Manalah Razif tahu dia nak datang balik. Bila Razif keluar daripada bilik air, dia dah ada di dalam ni.”
“Jangan buat cerita. Mak tak suka anak mak cakap bohong. Beritahu perkara sebenar. Apa yang Razif dah buat?” Mak Cik Sopiah makin marah.
“Hisy! Mak ni tak mahu percaya pada Razif pula. Razif tak bohonglah. Kalau mak tak percaya, mak tanya dia.”
Mak Cik Sopiah duduk di birai katil bersebelahan Irdina. Dia menggosok belakang Irdina untuk memujuk Irdina.
“Jangan menangis Irdina. Apa pun yang Razif dah buat pada Irdina, mak cik akan suruh dia bertanggungjawab,” pujuk Mak Cik Sopiah.
“Apa maksud mak cik?” tanya Irdina, hairan.
“Kalau Irdina setuju, mak cik sanggup terima Irdina sebagai menantu.” Mak Cik Sopiah meluahkan apa yang tersimpan di hatinya.
“Tapi mak cik, saya tak sanggup.”
“Takkan Irdina nak biar Razif begitu saja? Irdina tak takut apa orang kata kalau tahu Razif dah buat benda tak elok pada Irdina?”
“Benda tak elok? Maksud mak cik?” Berkerut dahi Irdina memikirkan kata-kata Mak Cik Sopiah.
“Ya, benda yang Razif dah buat pada Irdina tadi. Kalau tidak kenapa Irdina menangis?”
Irdina berfikir sejenak. Dia tahu maksud Mak Cik Sopiah dan merasakan itulah peluang untuk memperolokkan Razif.
Abang Razif dah mempermainkan saya. Dia dah hilangkan benda yang amat berharga buat diri saya. Lepas tu tak nak mengaku pula.” Sengaja Irdina tidak menyebut dengan jelas telefon yang hilang.
Terkejut Mak Cik Sopiah mendengar pengakuan Irdina. Dia menyangka telahan yang dibuatnya sebentar tadi adalah benar.
“Razif! Mak tak peduli. Razif kena kahwin juga dengan Irdina. Kenapa tak sabar sangat sampai sanggup buat Irdina begini?”
“Mak! Mak dah salah faham ni. Razif tak buat apa-apa pun pada dia. Razif cuma periksa gusi dia dan kemudian suruh dia minum air satu liter. Itu saja.”
“Jangan bohong! Irdina pun dah mengaku. Kalau tak kerana Razif siapa lagi?” tanya Mak Cik Sopiah dengan radangnya.
“Irdina! Tolong jelaskan pada mak, kita tak buat apa-apa. Mak dah salah faham tu.”
“Nak jelaskan apa abang? Irdina tak faham.” Irdina buat muka selamba.
Agak terkejut Mak Cik Sopiah kerana Irdina memanggil Razif, abang kerana sebelum ini Irdina memanggil Razif dengan panggilan doktor. Dia mula menaruh syak  hubungan mereka berdua.
“Irdina dah pernah kenal Razif sebelum ni?” tanya Mak Cik Sopiah.
“Ya, kami pernah jumpa di Pasar Mini sebelum saya berpindah ke sini.”
“Hah! Razif, jangan nak nafi lagi hubungan Razif dengan dia. Depan mak, Razif kata tak mahu kahwin tetapi belakang mak, Razif permainkan perempuan. Mak kesal dengan sikap Razif. Mak sangka Razif betul-betul nak cari isteri yang solehah dan bertakwa tetapi itu semua sebagai alasan Razif saja. Mak tak kira! Razif kena kahwin dengan Irdina,” kata Mak Cik Sopiah, tegas.
Razif mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia memandang Irdina yang masih termenung kesedihan. “Irdina! Tolonglah. Beritahu mak perkara sebenar.” Razif mengejutkan Irdina dari lamunan.
“Apa? Nak beritahu apa?” tanya Irdina kebingungan.
“Awak dengar tak apa yang mak cakap tadi?” tanya Razif.
“Cakap apa?” tanya Irdina, keliru. Sebenarnya dia tidak memperdulikan apa yang Mak Cik Sopiah katakan tadi. Di mindanya hanyalah memikirkan soal telefonnya sahaja.
“Hisy! Mak cakap panjang lebar, dia boleh termenung saja. Tolong jelaskan yang kita tak ada apa-apa hubungan. Dan kita tak buat apa yang mak fikirkan tu,” kata Razif kepada Irdina.
“Apa yang mak cik cakap tadi? Hubungan apa yang abang maksudkan?”
Razif yang geram dengan sikap Irdina, bertindak memegang kedua-dua bahu Irdina sambil melutut di hadapan Irdina. Mak Cik Sopiah agak terkejut dengan tindakan Razif tetapi dia hanya membiarkan untuk melihat apa yang akan dikatakan oleh Razif.
“Dengar sini! Telefon awak tak hilang. Saya simpan dengan ubat awak sekali. Tolong beritahu mak, kita tak buat benda yang tak senonoh tadi. Awak yang masuk ke bilik ni selepas awak balik ke rumah tadi. Kita tak ada apa-apa hubungan yang perlu kita kahwin. Faham tak?” kata Razif, geram.
Irdina yang agak terkejut mendengar kata-kata Razif segera menolak tangan Razif sehingga membuatkan Razif terduduk.
“Jangan pegang saya. Saya tak suka. Mana telefon saya? Tolong beri supaya saya boleh balik,” kata Irdina tanpa mahu memberitahu hal sebenar kepada Mak Cik Sopiah.
Sengaja dia membiarkan Mak Cik Sopiah beranggapan begitu supaya Razif akan terus dipersalahkan. Sengaja dia ingin mendera perasaan Razif.
“Irdina, tolonglah jelaskan hal sebenar,” rayu Razif.
Irdina berdiri tanpa memperdulikan Razif yang masih duduk di lantai. Mak Cik Sopiah hanya memerhati kelakuan mereka berdua. Keengganan Irdina menjelaskan hal sebenar membuatkan hati Mak Cik Sopiah menaruh syak terhadap anaknya sendiri.
“Abang sayang… telefon saya,” kata Irdina bertujuan menyakitkan hati Razif.
Razif yang meradang, bangun dan berlalu dari situ. Dia menghempas pintu sekuat hati kerana geram dengan sikap Irdina. Irdina hanya tersenyum memerhatikan tingkah laku Razif.
“Irdina, maafkanlah anak mak cik. Mak cik janji, akan pujuk dia untuk mengahwini Irdina,” janji Mak Cik Sopiah.
“Tak apalah mak cik. Jangan paksa dia. Saya pun tak kisah kalau tak kahwin dengan dia.”
Mak Cik Sopiah mendiamkan dirinya. Di dalam hatinya dia merancang untuk memujuk mereka berdua agar segera bersetuju untuk disatukan. Perlahan-lahan Mak Cik Sopiah mengikuti langkah Irdina keluar dari bilik tersebut.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

wahahahaha kelakar lah,, cepat2 sambung tk sabar ni kak, nak tengok kisah mereka..

sarimahshaniza @ Imanisa Riana berkata...

^_^ sabor

areyou berkata...

nice story...x sabar n tggu entry bru...thumb up....:)